This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Sunday, June 28, 2009

Janji Besar Akhir Zaman: Akan Berlaku Tidak Lama Lagi

Tuhan telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Tuhan untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul. Maka diceritakanlah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan mene­rima takdir yang bakal berlaku.

Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah:

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian itu sebagai­ma­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengang­kat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekha­lifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Lalu berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (Zaman Fit­nah). Berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah ke­hen­daki. Kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pe­nin­dasan dan penzaliman (Zaman Diktator) dan berla­ku­lah zaman itu sepertimana yang Allah kehendaki. Kemudian berlaku pula Zaman Kekha­lifahan (Imam Mah­di dan Nabi Isa a.s.) yang berjalan di atas cara hidup Zaman Kenabian.”
(Riwayat Ahmad)

Demikianlah Tuhan telah siapkan satu grand design untuk umat Rasulullah SAW. Kini, sesudah lebih 1400 tahun ke­wafatan Nabi penutup SAW, sebahagian besar dari jadual atau agenda dalam Hadis di atas sudah berlaku. Melalui Hadis ini, terdapat satu janji Tuhan yang belum berlaku tapi bakal ber­laku tidak lama lagi iaitu Islam akan kembali gemilang seperti Zaman Kenabian di akhir zaman di bawah pimpinan Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.

Jadual Tuhan yang Telah Berlaku

Telah banyak jadual Tuhan yang terjadi dalam sejarah sama ada yang positif atau negatif. Berikut adalah dua jadual besar positif yang telah pun berlaku.

1. Rom dan Farsi akan jatuh ke tangan Islam

Ketika menggali parit dalam persiapan peperangan Khandaq, Rasulullah telah memberitahu para Sahabat bahawa Rom dan Farsi akan jatuh ke tangan umat Islam.

Rom dan Farsi ketika itu adalah dua super power dunia, bagaikan Amerika dan Rusia (sebelum kejatuhannya dalam tahun 80-an). Dan ternyata Hadis itu terbukti dengan jatuh­nya Romawi Timur dan Farsi ke tangan tentera Islam pada zaman Khalifah Umar Al Khattab. Bahkan jadual ini Tuhan nyatakan dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Rom dikalahkan oleh Farsi di tanah ja­jah­an­nya dan mereka (Rom) selepas itu akan menga­lah­­kan Farsi di beberapa tahun kemudian. Sama ada se­be­lum dan selepas, semuanya dalam urusan (jadual) Allah. Ketika (Rom mengalahkan Farsi) orang mukmin bergem­bira dengan pertolongan Allah itu.” (Ar Rum: 2-4)

2. Konstantinopel jatuh ke tangan Islam

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik lagi beragama, (tenteranya) tidak melampaui batas, tidak mencuri dan (rakyat) tidak menipu dan tidak bergaul bebas.”
(Riwayat Al Imam Abu Hassan Ahmad bin Jaafar) – Dipetik dari kitab Al Uq­dud­­durar fi akhbar Al Muntazar.

Dalam Hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Pasti Konstantinopel akan dibuka (ditakluk), dan sebaik-baik ketua adalan ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”
(Riwayat Ahmad dan Hakim dari Busyr Al Ghanawi)

Para Sahabat dan salafussoleh berlumba-lumba untuk me­re­but janji Tuhan tentang kejatuhan Konstantinopel itu, dengan harapan di tangan merekalah berlaku janji tersebut. Te­tapi mereka gagal sehinggalah 600 tahun sesudah kewa­fatan Rasulullah. Hal ini baru terjadi di tangan Muhammad Al Fateh, keturunan Bani Usman. Lalu dari situlah munculnya Turki Usmaniah yang menjadi empayar kepada tiga benua dengan 29 negara di bawah takluknya. Hingga hari ini kalau kita ke Turki, kita masih dapat saksikan kesan-kesan kege­milangan dan kegagahan Islam yang ditinggalkan itu.

Jadual Tuhan untuk umat Islam akhir zaman

Tuhan telah menyiapkan satu jadual untuk umat akhir zaman. Maka kita sepatutnya berjuang dan berlumba-lumba untuk membuktikannya sebagaimana para Sahabat dahulu. Antara janji-janji Tuhan dalam jadual-Nya untuk zaman ini seperti berikut:

1. Kegemilangan Islam akan berulang di akhir zaman

Dan telah mengeluarkan dari Nuaim daripada Ibnu Mas’ud, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Kalau tidak tinggal dari umur dunia kecuali sehari, nescaya Allah panjangkan hari itu sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki dari keturunanku atau kaum keluargaku, namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana (sebe­lum­nya) ia telah dipenuhi dengan kezaliman.”
(Ri­wa­yat At Tirmizi) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti, Mujaddid kurun ke-9)

2. Kebangkitan Islam akhir zaman akan bermula dari Timur

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Dari Abdullah bin Mas’ud dia berkata: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang akan mereka, maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “Mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”

Baginda menjawab, “Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami Akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka menye­rahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan seba­gai­mana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara
kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Al Mahdi.”
(Riwayat Ibnu Majah) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa, m.s. 71-72)

3. Setiap awal kurun Allah akan datangkan mujaddid (reformer)

Rasulullah SAW bersabda (lihat matan Hadis di muka 4):
Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengu­tus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang (mujad­did) yang akan memperbaharui urusan agama mereka.”
(Ri­wayat Abu Daud)

4. Imam Mahdi mujaddid dan khalifah akhir zaman

i. Dan telah mengeluarkan dari Nuaim daripada Ibnu Mas’ud, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda (lihat matan Hadis di muka 12):

Maksudnya: “Kalau tidak tinggal dari umur dunia kecuali sehari, nescaya Allah panjangkan hari itu sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki dari keluargaku, namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana (sebelumnya) ia telah dipenuhi dengan kezaliman.”
(Ri­wa­yat At Tirmizi) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti, Mujaddid kurun ke-9)

ii. Sabda Rasulullah SAW dalam riwayat yang lain:

Dari Abu Nu’aim mengeluarkan dari Abi Said dan Nabi SAW katanya: “Al Mahdi daripada kami Ahlul Bait, seorang lelaki dari umatku, mancung hidungnya. Dia memenuhi bumi dengan keadilan sepertimana ia di­penuhi ke­zaliman.”

iii. Sabda Rasulullah SAW lagi:

Dan telah mengeluarkan Abu Na’im dan Al Khatib dalam Talkhis Al Mutasyabih dari Ibnu Umar katanya sabda Rasulullah SAW: “Akan keluar Al Mahdi dan di atas kepalanya malaikat yang menyeru: Inilah Al Mahdi dan ikutilah dia.”
5. Putera Bani Tamim dari Timur pemegang panji-panji Imam Mahdi

Dikeluarkan oleh Tabrani dalam Al Ausat:

Maksudnya: Dari Ibnu Umar bahawa Nabi SAW telah memegang tangan Sayidina Ali dan bersabda: “Akan keluar dari sulbi ini, seorang pemuda yang akan meme­nuhi dunia dengan keadilan (Imam Mahdi). Bilamana kamu melihat yang demikian itu maka wajiblah bagi kamu bersama (yakni dengan mencarinya) Pe­muda dari Bani Tamim, dia datang dari sebelah Timur dan dia adalah pemegang panji-panji Al Mahdi.”
(Dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)

6. Jemaah kebenaran pimpinan Putera Bani Tamim men­dapat kemenangan di Timur dan merintis jalan untuk Imam Mahdi.

i. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Akan sentiasa ada toifah di kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan dirosakkan oleh penentang mereka hinggalah da­tang­nya ketentuan Allah (Kiamat).”
(Riwayat Muslim)

ii. Sabda Nabi SAW, dikeluarkan dari Al Hasan bin Sofyan dari Abu Nuaim:

Maksudnya: Daripada Tsauban, telah bersabda Rasu­lullah SAW: “Akan datang panji-panji hitam dari Timur, hati mereka seperti kepingan besi. Barang siapa yang mendengar tentang mereka, hendaklah mendatangi mere­ka dan berbai’ahlah kepada mereka walaupun ter­paksa merangkak di atas salji.”
(Dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)

iii. Dari Ibnu Majah dan Tabrani daripada Abdullah bin Al Haras bin Juzu’ Al Zubaidi telah bersabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Akan keluarlah manusia dari Timur, mereka itu merintis kekuasaan untuk Al Mahdi.”
(Dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)

v. Hadis Ibnu Mas‘ud (lihat matan Hadis di muka 13):

Maksudnya: Dari Abdullah bin Mas’ud dia berkata: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang akan mereka, maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “Mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”

Baginda menjawab, “Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami Akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka me­nye­­rahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabat­ku yang memenuhi bumi dengan keadilan seba­gai­mana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Al Mahdi.”
(Riwayat Ibnu Majah) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa, m.s. 71-72)

7. Pengisytiharan Imam Mahdi pimpinan ummah di Mekah

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya ketika zahir Al Mahdi, menyerulah malaikat dari atas kepalanya: “Inilah Al Mahdi sebagai khalifah Allah, maka kamu ikutilah dia.” Seluruh manu­sia tunduk dan patuh kepadanya dan mendapat kasih sayangnya. Sesungguhnya Al Mahdi itu menguasai Timur dan Barat. Dan adapun yang berbai’ah kepadanya antara rukun Al Aswad dan maqam Ibrahim, yang pertama sebanyak bilangan ahli Badar, kemudian Abdal dari Syam mendatanginya, diikuti oleh Nujabak dari Mesir dan Asoib dari Timur. Setelah itu Allah mengutus kepadanya tentera dari Khurasan dengan bendera-bendera (panji-panji) hitam dan mereka menuju ke Syam. Dan Allah menghantar kepadanya 3000 malaikat dan Ashabul Kahfi adalah di antara pembantunya.”
(Al Hadis dari kitab As’afur Raghibin)

Sesuai dengan janji Allah dan bukti-bukti nyata maka Islam­lah yang akan menggantikan kuasa Amerika sebagai super power dunia nanti. Ini giliran Islam. Islam akan bangkit kembali dan menjadi sebuah empayar dan sekali lagi bumi akan dinaungi oleh keadilan dan kemakmuran. Dunia akan diserahkan lagi kepada umat Islam sebagaimana Allah telah menyerahkannya kepada Rasulullah dan para Sahabat.

Kita kini berada di akhir zaman yang mana sedang berlaku kemuncak kerosakan di lautan dan di daratan. Segala sistem hi­dup yang ada hari ini telah begitu rosak. Semakin dicari penye­lesaian semakin kronik keadaannya. Pembunuhan, per­gaduhan, peperangan, penzaliman, penindasan, tipu-menipu, mementingkan diri, jatuh-menjatuhkan dan lain-lain berlaku di mana-mana. Masyarakat manusia sudah tidak ada kasih sayang, tidak boleh bekerjasama, tidak bertolak ansur dan tidak bertolong bantu. Pergaduhan berlaku di antara suami isteri, anak-anak dengan ibu bapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dan pemimpin, negara dengan negara lain. Manusia sudah hilang kemanusiaannya.

Watak dunia hari ini menunjukkan sudah sampai masanya Tuhan mengutuskan penyelamat bagi memimpin manusia serta membaiki segala kerosakan yang berlaku. Begitulah se­jarah memberitahu kita. Tambahan pula kita kini berada di sekitar awal kurun yakni awal kurun ke-15 (suku kurun per­tama). Di waktu inilah sepatutnya; sepertimana berlaku di kurun-kurun sebelum ini; lahirnya seorang mujaddid.

Jadual Tuhan untuk umat akhir zaman ini nampaknya sedang berlaku di waktu ini. Kebangkitan Islam kali pertama sedang berulang di sebelah Timur dengan kehendak Allah. Kita dapat lihat suatu kebangkitan Islam se­dang melanda dunia terutamanya di nusantara ini. Inilah dia akhir zaman yang dijanjikan itu.

Rupa-rupanya akhir zaman yang dimaksudkan ialah se­kitar kurun ke-15 Hijrah ini. Dan Timur yang dimaksudkan ia­lah Gugusan Kepulauan Melayu iaitu Malaysia, Indonesia dan sekitarnya. Walau bagaimanapun kebangkitan di Malaysia nampaknya lebih me­nonjol.

Berdasarkan Hadis tentangnya, secara umumnya Jadual Tuhan itu berlaku seperti berikut:

• Di waktu Islam sedang musnah dan binasa di alam Melayu (Timur), bangunlah seorang manusia yang Allah janjikan untuk menyelamatkan kembali agama-Nya. Dia seorang yang berbangsa Quraisy dari Bani Tamim tetapi sudah nipis sekali kearabannya. Ini kerana seperti yang kita tahu, orang-orang Arab yang datang ke Timur pada masa dahulu sudah berkahwin dengan orang ajam (bangsa selain Arab) maka tidak pelik kalau Putera Bani Tamim itu sudah nipis Arabnya. Rasulullah tidak menyebut salasilah tetapi banyak memperkatakan tentang ciri-ciri fizikal Putera Bani Tamim ini serta ciri-ciri perjuangan dan pengikutnya. Sebab itu untuk mencari Putera Bani Tamim yang dijanjikan itu, kita carilah ciri-ciri dan stail perjuangannya, bukan salasilahnya.

• Dia berjuang mulanya tentu melalui kumpulan kecil tetapi kumpulan atau jemaah atau toifahnya kemudian mem­besar. Sifat toifahnya mirip kepada jemaah Rasulullah kerana wanitanya berpakaian serba hitam seperti gagak-ga­gak hitam. Lelakinya berjubah serban. Pengikutnya sangat berpadu seolah-olah lahir dari satu ibu dan ayah. Cita-cita dan azam mereka kental dan besar. Ibarat kalau me­reka hendak meratakan gunung sekalipun, dapat me­reka lakukan. Rasulullah SAW dalam Hadis yang panjang menyebut malaikat Jibril a.s. sebagai berkata:
Maksudnya: “Maka Allah Azzawajalla mengumpul­kan sahabatnya (Al Mahdi) sejumlah ahli perang Badar atau tentera Thalut iaitu 313 lelaki. Mereka bagaikan singa jantan yang keluar dari hutan, hati mereka bagai­kan besi waja, kalau mereka bercita-cita untuk mengubah gunung nescaya boleh dilakukannya. Gaya mereka adalah satu dan pakaian mereka juga satu, seolah-olah bapa mereka bapa yang satu.”
(Dipetik dari kitab Aqdur Durar fi Akhbar Al Muntazar tahun 1983 m.s. 95)

• Dia (Putera Bani Tamim) meminta kebaikan dari penguasa negara di mana dia berjuang tetapi tidak diberikan. Na­mun dia dan pengikutnya terus berjuang hingga akhirnya berjaya negara itu diserahkan padanya. Ertinya toifah kecil itu telah membesar ke peringkat daulah Islamiah.

• Terdapat juga Hadis yang menyebut Putera Bani Tamim juga diterima kepimpinannya di Khurasan. Hadis yang dikeluarkan oleh Al Hafiz Abu Nuaim berbunyi:

Maksudnya: Dari Tsauban r.a. dia telah berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Apabila kamu lihat panji-panji hitam telah diterima di sebelah Khurasan maka datangilah ia sekalipun merangkak di atas salji. Kerana sesungguhnya padanya ada khalifah Allah iaitu Al Mahdi.”


• Apabila Putera Bani Tamim mendapat daulah, tidak lama selepas itu (dua tahun) zahirlah Imam Mahdi. Namanya sama seperti nama Rasulullah, nama bapa dan nama ibu­nya sama seperti nama bapa dan ibu Rasulullah yakni namanya Muhammad bin Abdullah dan ibunya Aminah.
Tentang Imam Mahdi, Rasulullah mengait­kan dengan baginda dari segi hubungan darah. Maka faktor salasilah Imam Mahdi adalah penting, sebab ia disebutkan di dalam Hadis. Tidak sepertimana Putera Bani Tamim tadi, Rasu­lullah hanya menyebut tentang ciri-ciri fizi­kalnya.

• Putera Bani Tamim kerana rapat dengan Imam Mahdi seperti rapatnya Nabi Harun dengan Nabi Musa, maka telah menyerahkan kuasa negaranya kepada Imam Mahdi, jelas disebut dalam Hadis. Dia muncul di Mekah, antara Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim, terus mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi.

• Penyerahan kuasa daulah kepada Imam Mahdi dilakukan oleh Putera Bani Tamim.

• Apabila Imam Mahdi berkuasa, maka Islam akan berkem­bang ke seluruh dunia. Tetapi ramai lagi manusia yang belum Islam hingga turunnya Nabi Isa a.s. Dunia dan ma­nusia seluruhnya akan masuk Islam. Terjadilah keamanan sejagat melalui pemimpin tiga serangkai: Putera Bani Tamim, Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.

Setelah kedatangan Nabi Isa a.s., semua manusia akan masuk Islam. Maka selamatlah manusia daripada api Neraka. Itulah dikatakan rahmat Tuhan kepada seluruh manusia.

Sejarah pasti berulang. Kita beruntung kerana dengan kasih sayang Allah, diberitahu apa-apa yang bakal terjadi. Bolehlah kita bersiap sedia. Seperti juga peristiwa selepas mati, di alam Barzakh, di Padang Mahsyar, di Syurga, Neraka dan lain-lain lagi semuanya Allah sudah ceritakan. Supaya kita tidak menyesal nanti. Beruntunglah orang yang direzeki­kan dengan iman kepada yang ghaib ini. Rugi besarlah orang yang mengingkarinya.

Wednesday, June 24, 2009

Pemerintahan Saidina Umar Ibnu Abd Aziz

PEMERINTAHAN SAIDINA UMAR IBNU ABD AZIZ
Lim Guan Eng(LGE), pada peringkat awal menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, ada menyebut bahawa pemerintahan negeri mahu meniru model pemerintahan Saidina Umar Ibnu Abd Aziz(SUIAA). Membaca sejarah kejayaan SUIAA memang terasa keindahannya, Terutama bagi mereka yang melihat kejayaan SUIAA dalam aspek sosio-ekonomi. Sejarah memaparkan betapa zaman SUIAA itu rakyatnya aman damai, harmoni serta makmur. Pencapaian ekonomi yang amat dikagumi ialah tidak terdapat golongan rakyatnya yang layak menerima zakat, yang ditafsirkan miskin tegarnya 0%.
Keinginan dan cita-cita LGE amat elok dituruti serta menjadi idaman semua pemimpin. LGE tentunya ada sebab-sebab tersendiri yang mendorong beliau mengambil SUIAA sebagai model. Diantaranya mungkin beliau melihat ditengah-tengah kemajuan dan pembangunan yang pesat, manusianya tak habis-habis berkrisis. Gejala negatif pula berleluasa. Disamping itu miskin tegar juga amat ketara terselit dimana-mana, samada dikampung mahu pun dibandar. Pemimpin pula sudah bagitu lama bercakap untuk membenteras gejala sosial dan mahu mengatasi masalah miskin tegar. Namun hasilnya negara bertambah kaya, gejala sosial makin berkembang, manakala proses mengatasi kemiskinan amat perlahan. Sedangkan memang dianggap ajaib kerana tempoh pemerintahan SUIAA hanya sekitar dua tahun sahaja.
Sekali lagi saya sebut disini bahawa cita-cita mahu menjadikan SUIAA sebagai model memang satu cita-cita yang amat baik. Memang mustahil untuk mencapai kesempurnaan seperti yang dicapai oleh SUIAA. ‘Better let than never’ ertinya sekurang-kurangnya LGE ada cita-cita untuk meniru sistem pemerintahan yang sudah terbukti berjaya. Namun terdapat rahsia kejayaan SUIAA yang amat jarang menjadi perhatian pengkaji sejarah iaitu:

1- SIUAA adalah seorang mujaddid. Setiap Mujaddid adalah wakil Tuhan dizamannya. Mujaddid juga adalah rasul lil Rasul dizamannya. Tuhan dan Rasulullah saw memimpin para Mujaddid. Mereka memiliki karamah yang luar biasa sebagai anugerah Allah swt. Kisah masyhur yang berlaku dizaman SUIAA ialah serigala dan kambing boleh bergurau senda. Bukankah itu adalah kuasa Tuhan yang mengawal hati haiwan ganas boleh berjinak dengan mangsannya sendiri. Kalau dikalangan manusia boleh juga dilojikkan yang manusia itu ada hati dan ada akal fikiran yang boleh menimbang baik dan buruk. Tetapi kalau haiwan ganas yang hidup dengan nafsu rakus mana lojiknya. Inilah yang dinamakan karamah.
2- SIUAA pemimpin pilihan Tuhan, pada dirinya amat subur tanda-tanda kebesaran Tuhan sehingga dengan itu hati manusia amat mudah merasa bertuhan. Manusia amat mudah tertambat hati dan jinak hati kepada Tuhan. Terutamanya sifat pemurah dan penyayang. Pada diri Mujaddid itu merupakan pemimpin yang menjadi lambang perpaduan. Kasih sayangnya amat ketara. Hasilnya pemerintahan Mujaddid menjadikan seluruh rakyatnya sebagai satu keluarga. Semua golongan dalam masyarakat sangat mengutamakan Tuhan, utamakan syariat, berakhlak dan berdisiplin. Masing-masing menjalankan fungsi masing-masing dengan sebaik mungkin. Sesama rakyat keseluruhannya seperti adik beradik dan anak beranak. Kehidupan rakyat dalam satu negara penuh kasih sayang, tolong menolong, bela membela, sangat prihatin, saling ziarah menziarahi, jenguk menjenguk. Pemimpin sangat bertanggung jawab, ulama sangat mendidik, orang kaya menjadi bank kepada masyarakat yang memerlukan, golongan pekerja,buruh dan petani sangat sabar dan redha dengan kedudukan mereka.
3- Apabila kehidupan seluruh rakyat dalam satu negara umpama satu keluarga, seperti adik beradik dan umpama anak beranak maka semua kehidupan masyarakatnya terbela. Selain masyarakat yang sangat bertaqwa itu memiliki kekayaan jiwa yang luar biasa, hingga merasa kaya dengan yang sedikit, manakala orang fakir dan miskin amat terbela, tiada yang terpinggir. Masyarakatnya lebih utama memberi, tiada yang meminta. Masyarakat fakir dan miskin mendapat pembelaan tidak formal dari masyarakat kelilingnya. Pembelaan tak formal dari masyarakat keliling itu yang membuatkan orang fakir dan miskin merasa kaya hingga menolak pembelaan formal dari zakat.
Apa yang berlaku dizaman SUIAA itu adalah warisan dari zaman Rasulullah saw dan para Sahabat. Warisan yang telah dijanjikan oleh Allah swt kepada para Mujaddid. Janji Allah pasti berlaku. Warisan dari Rasulullah saw yang juga disebut sebagai sistem Tuhan. Satu sistem yang tegak diatas modal taqwa dan kasih sayang. Tuhan buka pintu berkat dari langit dan bumi. Sistem yang terbentuk dari sikap manusia yang cita-cita dan matlamat mereka adalah Tuhan. Maka Tuhan campur tangan dalam semua urusan, termasuk dalam menurunkan rahmat dan berkat kepada sekelian alam. Bukan sahaja manusia, haiwan, tumbuhan, cuaca, makhluk lahir dan ghaib turut mendapat rahmat dan berkat. Perasaan manusia bukan sahaja aman tenteram bahkan penuh kemakmuran. Semua orang memiliki kekayaan jiwa. Kerana kekayaan jiwa itulah maka orang yang berada suka memberi, sebaliknya yang tidak berada pula tidak suka menerima. Golongan miskin pun merasa kaya kerana kekayaan jiwa, betapalah golongan kaya dapat merasakan Maha Kayanya Allah swt. Mereka menjadi pemurah dan penyayang kerana mereka juga merasakan Tuhan Maha Pemurah dan Maha Penyang. Bolehkah LGE mencetuskan sistem Tuhan ini? Jawabnya tidak salah bercita-cita dan berusaha kearah itu. Namun sistem Tuhan mesti dibuat oleh orang Tuhan keran itu adalah janji Tuhan. LGE hendak laksanakan sistem Tuhan dalam masyarakat yang tidak memperdulikan Tuhan?
Namun satu harapan yang akan melegakan perasaan semua manusia kerana Tuhan ada menjanjikan bahawa sistem Tuhan itu akan berlaku sekali lagi bertaraf empayar sebagai satu rahmat besar dari Tuhan kepada semua manusia sebelum dunia dikiamatkan. Empayar yang dipimpin oleh Khalifah yang hak, yang ditunggu-tunggu iaitu Al Mahadi. Sebelum Al Mahadi didahului oleh sebuah Daulah Islamiyah yang juga di pimpin oleh Putera Bani Tamim. Inilah satu harapan besar kepada umat Islam yang sangat wajar ditunggu dan ditagih akan kedatangannya. Satu peristiwa yang sepatutnya ditagih dengan penuh harapan kepada Allah swt semoga kita termasuk kedalam golongan yang turut memberi sumbangan kepada kebangkitan Islam kali kedua yang dijanjikan oleh Allah swt. Semoga LGE termasuk kedalam golongan tersebut kerana beliau ingin melihat sistem yang dibawa oleh SUIAA ujud dizaman ini.

Perpaduan Tetap Gagal Dari Pencetus Perpecahan

Nampaknya krisis dan perpecahan dikalangan masyarakat kita semakin serius. Tidak perlu disebut kesnya satu persatu, cukup sekadar melihat kepada situasi banyaknya pihak yang mengajak kepada perpaduan. Lojiknya kalau masyarakat sudah bersatu padu, apa perlunya laungan perpaduan bergema disana sini? Malah yang malangnya, pencetus krisis dan perpecahan turut lantang melaungkan seruan perpaduan.
Krisis, permusuhan, sengketa, perpecahan, bahkan peperangan biasanya berpunca dari kalangan orang politik, samada orang politik berparti mahu pun orang yang memiliki political minded, diantaranya:
1. Melalui kata-kata atau lisanul maqal. Contohnya menuduh, mengugut, memfitnah, mengadu domba, menghasut, mengumpat, mengutuk, mencerca, mencaci maki dan seumpamanya. Pihak yang kena akan cuba membela diri dengan cara yang sama. Akibatnya timbul kebencian antara satu sama lain.
2. Melalui sikap atau tindak tanduk atau lisannul hal. Seperti kronisma, double standard, bias atau berat sebelah, prejudis, ego, sombong, zalim dan menindas. ekploitasi, diskriminasi dan sebagainya. Kesan dari lisanul hal ini lebih berat kerana pihak yang kena akan memendam rasa dan bila-bila masa akan bertindak balas dengan cara sikap juga. Sukar untuk dipulihkan kerana sikap dendam amat payah untuk dipadamkan.
3. Gabungan kedua-dua cara diatas yakni lisanul maqal dan lisanul hal. Inilah yang paling berat dan sukar untuk diatasi. Boleh membawa kesan hingga keperingkat berbunuhan antara dua orang, dua pihak dan dua negara.
Biar dari bentuk mana sekali pun apa yang jelas,krisis dan perpecahan datangnya dari satu faktor saja iaitu cinta dunia. Orang yang cinta dunia sanggup berbuat apa saja hatta membunuh keluarga sendiri. Demi mencapai matlamat duniawi,manusia sanggup menjadikan kawan kawan sebagai musuh dan sebaliknya. Apa saja yang dilakukan semuanya menjurus kepada mencapai cita-cita dan memenuhi kehendak duniawi. Tiada keikhlasan, sebaliknya yang subur ialah kepentingan.
Cintakan Tuhan membawa kasih sayang yang suci murni. Hidup berkasih sayang akan membawa perpaduan yang sejati serta utuh. Kemuncaknya sanggup korbankan nyawa demi orang lain kerana Tuhan. Kasih sayang juga amat mudah dapat dicetuskan apabila adanya pemimpin kasih sayang yang juga selaku pengikat antara hati manusia.
Kasih sayang amat mudah disebut, namun memenuhi ciri-ciri kasih sayang itu tidak mudah. Sebab itu kasih sayang juga sukar terjadi, akibatnya perpaduan juga sukar berlaku. Diantara ciri2 kasih sayang:
1. Lemah lembut dalam sikap dan kata-kata.
2. Mudah mesra dan mudah dimesrai.
3. Rasa bersama dan sangat bekerjasama.
4. Prihatin dan sangat peka terhadap hal ehwal orang lain.
5. Sangat saling menyelamat, membela dan menghiburkan.
6. Mudah berpakat dan bermufakat serta mudah seia sekata.
7. Sangat berlapang dada dan bertoleransi dalam perkara yang dibolehkan.
8. Saling mengenang budi dan jasa.
9. Masing-masing sangat mengorbankan perasaan.
10. Sangat pemaaf.
11. Saling doa mendoa.

Rakyat yang bertaqwa bermula daripada pemimpin yang bertaqwa. Bagitulah fakta sejarah. Para Rasul adalah figure yang bertaqwa diutus Tuhan terlebih dulu, barulah kaumnya menuruti para Rasul tersebut. Maka terjadilah penduduk disuatu tempat itu bertaqwa keseluruhannya. Apabila itu berlaku, maka Tuhan tunaikan janjiNya seperti yang disebut dalam firmanNya dengan maksud “Apabila penduduk suatu tempat itu beriman dan bertaqwa, Tuhan akan buka pintu berkat dari langit dan bumi”.
Berkat adalah satu perkara yang amat besar kerana dikaitkan dengan kerajaan Tuhan. Demikian yang di sebut oleh Allah swt dalam surah Al Mulk ayat satu yang bermaksud, “Maha berkatlah Allah yang mempunyai kerajaan…..” Maka disinilah pentingnya pemimpin sesebuah negara itu adalah orang bertaqwa, yang berupaya membawa rakyat kepada taqwa.
Kita riuh dan resah dengan kekurangan bekalan makanan serta harga barang naik melampau. Sedikit masa lagi mungkin bayaran tandas awam pun akan naik. Disini kita perlu memahami paranan Tuhan terhadap masyarakat yang bertaqwa. Orang bertaqwa mendapat pemeliharaan Tuhan, umpama kita memelihara haiwan ternakan, maka kita yang bertanggungjawab keatas semua hal ehwal ternakan tersebut. Orang bertaqwa ertinya mendapat payung Tuhan. seperti payung melindungi panas dan hujan. Orang bertaqwa ertinya masuk kedalam kubu atau benteng Tuha, seperti kita selamat aman damai berada dalam kubu. Mendapat perlindungan berada dalam benteng.
Kalau kita memiliki hati dan akal yang tajam, kita sudah dapat menyelami erti taqwa serta peranan Tuhan kepada mereka yang bertaqwa, samada maksudnya yang tersurat mahu pun yang tersirat.
Diantara akibat tidak bertaqwa ialah kekurangan bekalan makanan. Tuhan biarkan manusia tanpa pembelaan, tanpa penyelesaian, tanpa perlindungan, bahkan terus menerus bergelut dengan masalah bertimpa-timpa, dan semakin kusut. Sebagai peringatan kepada semua manusia, Tuhan abadikan didalam Al Quran kisah kaum Tsamud dan kaum ‘Aad di bumi Saba. Mereka sebelumnya adalah kaum yang amat maju dan makmur. Tanaman mereka amat subur, binatang ternakan sangat biak serta gemuk. Akhirnya Tuhan hancur musnahkan seluruh kemajuan mereka, kerana mereka melupai dan derhaka kepada Tuhan.
Mari kita selesaikan masalah kehidupan kita dengan membawa Tuhan bersama melalui bertaqwa. Bukan dalam masalah makan minum semata-mata, tetapi dalam semua hal dan urusan.
Bagi orang bertaqwa, bukan menunggu adanya masalah barulah hendak kembali mencari Tuhan, seolah-olah Tuhan itu hanya keperluan bermusim atau mencari Tuhan ketika menghadapi masaalah. Seolah-olah kalau tiada masaalah, maka tidak perlukan Tuhan. Sepatutnya keperluan kepada kepada Tuhan atau bertaqwa tetap pada bila-bila masa, kerana taqwa itu adalah hak hamba kepada Tuhan. Betapalah maka dijadikan suis automatik untuk lebih mendekati Tuhan.
Asas atau modal utama sifat taqwa ialah rasa kehambaan dan rasa bertuhan yang tinggi. Yakni rasa takut dan cinta kepada Tuhan amat mendalam. Selepas itu orang bertaqwa sangat menjaga syariat dalam semua aspek kehidupan. Syariat yang diamalkan itu tidak lekang disertakan dengan takut dan cintakan Tuhan. Maka dalam mengamalkan syariat itu, mereka bersih dari sifat-sifat mazmumah sekaligus sangat subur sifat-sifat mahmudah. Orang bertaqwa sangat mengharapkan bantuan dan pertolongan Tuhan. Lantaran itu mereka istiqamah dalam membuka kunci pertolongan Allah swt. Mereka istiqamah dalam melakukan amalan seperti berikut:
1. Orang bertaqwa sentiasa bertaubat, samada taubat terhadap dosa atau taubat sebagai seorang hamba.
2. Menebus dosa-dosa melalui berbagai kebaikan dan kebajikan atau amalan.
3. Menyuburkan lagi sifat pemurah terutamanya membanyakkan sedekah secara istiqamah walaupun sadikit.
4. Bangun malam untuk bertahajjud.
5. Berkasih sayang sesama manusia.
Semua lima langkah diatas adalah anak kunci membuka pintu keberkatan dari kerajaan Tuhan.
Perlu difahami, sudah menjadi sunatullah bahawa masalah tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Al Imam Mutaqqin iaitu Rasulullah SAW pun berhadapan dengan masalah, namun Tuhan yang selesaikan. Tuhan campur tangan dan masalah amat mudah diselesaikan. Bagi orang bertaqwa itu sendiri, setiap masalah dirasai sebagai satu keuntungan terutama dirasakan bahawa Tuhan memanggil untuk mendekati Tuhan dan memperolehi kifarah. Selain itu, orang bertaqwa dalam menyelesaikan masaalah kerana sangat dibantu oleh Tuhan, hasilnya tidak terjadi sebarang side effect. Ini kerana dikalangan orang bertaqwa itu terhimpun sifat-sifat mahmudah. Maka mereka menghadapi masalah dalam keadaan diberkati oleh Tuhan, tenang dan tenteram. Tidak keluh kesah dan tidak saling salah menyalah atau menunding kesalahan kepada pihak lain.
Contohnya dalam menghadapi krisis makanan, tidak pula ditambah dengan krisis dikalangan manusia. Tiada yang tamak haloba dan mengambil kesempatan diatas kesusahan orang lain. Tuhan kawal hati-hati manusia dari sebarang unsur negatif. Orang yang berniat jahat pun luntur hatinya dari meneruskan niat jahatnya.
Tanpa taqwa, ertinya tanpa jalan keluar dari Tuhan. Kemungkinan selepas ini kita akan makan besi dan sekeru kerana selama ini kita terlalu ghairah dan berahi membangun negara dengan besi dan sekeru saja. Kalau duit banyak sekalipun negara boleh bangkrap sekiranya cili yang boleh ditanam sendiri pun turut mengemis dari India. Itu pun selagi mereka sudi memberinya. Dan kerana Tuhan tidak bantu, akibatnya orang kampung turut membeli cili padi, pucuk ubi, bunga kantan, ubi kayu, keledek, pucuk paku, pegaga di pasaraya. Para pemimpin pula masih bercakap besar dan angkuh. Lupa bahawa Tuhan itu segala-galanya. Tuhan berkuasa menjadikan sekelian alam ini dengan sedetik sahaja dan Tuhan juga berkuasa memusnahkan seluruh alam semesta ini dengan sedetik sahaja. Oleh itu jadikan iktibar dan pengajaran bagaimana kaum Saba dan kaum-kaum lain terdahulu yang dimusnahkan oleh Tuhan.

Seni Kata Putus

“Ustaz, ada perempuan minat dengan saya. Puas saya memberitahunya tetapi dia macam tidak faham-faham,” kata seorang anak muda kepada saya.
Kasihan.
Itulah nasibnya menjadi manusia ada rupa, barangkali.
“Anta cakap macam mana kepada perempuan itu?” saya menyoalnya.
“Saya beritahu dia yang saya belum bersedia untuk memikirkan hal ini. Saya baru sahaja menjejakkan kaki ke universiti, tak mahulah pening-pening kepala fikir tentang cinta,” jawabnya. Sugul.

“Hah, rasanya ustaz boleh agak kenapa perempuan itu tidak faham atau buat-buat tidak faham,” saya ketawa kecil.
“Kenapa ustaz?” anak muda itu seperti kaget dengan reaksi saya.
“Sebab anta masih memberikannya harapan. Perkataan anta menolaknya amat samar dan kesamaran itu diterjemahkan sebagai harapan” saya menambah.
Ya.
Itulah akibat-akibat yang timbul daripada perhubungan yang cuba dibuat di luar ikatan perkahwinan. Benda yang asalnya sudah salah, amat sulit untuk diperbetulkan.
Jika ia sebuah perkahwinan, maka komitmen perkahwinan diikat dengan proses ijab dan kabul, tanda menerima perhubungan itu secara sedar dan penuh tanggungjawab. Segala-galanya harus jelas. Apabila perkahwinan tidak lagi dapat dipertahankan, maka kaedah memutuskan ikatan yang telah dibina oleh ijab kabul itu, turut dilakukan dengan ijab kabul yang jelas juga.
Segalanya jelas.
“Aku terima nikahnya,” kata pengantin lelaki.
Ya, hubungan itu ialah sebuah pernikahan. Maka tanggungjawab, kasih sayang dan segala yang timbul tenggelam dalam perkahwinan itu dikendalikan oleh sebuah sistem bernama pernikahan.
Tetapi jika seorang lelaki dan perempuan itu ‘kawan-kawan dulu’, ‘teman tapi mesra’, ‘lebih hangat daripada biasa’ dan entah apa-apa lagi status rekaan seperti ini, atas dasar apakah garis panduan perhubungan itu mahu diuruskan? Melainkan serabutlah jiwa dan raga manusia yang terbabit dengan perhubungan seperti ini, dan ‘tiada Allah untuk membantu mereka’.
Itu soal menerima.
Soal memutuskan hubungan juga sama.
“Aku ceraikan engkau… dengan talak pertama” kata seorang suami.
Ungkapannya jelas. Bahawa ia bernama sebuah penceraian. Pemisahnya adalah talak. Justeru segala tanggungjawab, batas hubungan dan lain-lain, diuruskan oleh sebuah sistem bernama ‘penceraian’.
Tidak sekali-kali sebuah penceraian dibuat dengan ungkapan yang tidak jelas.
Ungkapan, “engkau tiada lagi di dalam hidupku” atau “mulai hari ini kita sudah tidak lagi boleh bersama” atau “pulanglah engkau ke rumah ibumu dan jangan kembali lagi” atau “engkau dan aku seperti anak panah yang sudah meninggalkan busarnya”, semua itu adalah ungkapan-ungkapan kinayah yang menyusahkan. Ia memerlukan kepada penyiasatan dan padanan contoh bagi mencari maksud apakah sang suami itu menceraikan isterinya, atau apa?
Maka permulaan perkahwinan adalah dengan ikatan yang jelas. Penyudah perkahwinan juga adalah dengan kenyataan yang jelas. Tiada samar-samar di dalamnya.
“Habis, apa yang patut saya buat?” tanya anak muda itu dengan wajah yang sudah agak cerah berbanding sebelumnya.
“Berikan perkataan yang jelas kepada perempuan itu” saya memberikannya cadangan.
“Aku ceraikan dikau?” soalnya sambil ketawa.
“Sudah aku terima nikahnya kah? Cuba anta sebutkan perkataan yang jelas. Ustaz nilaikan” saya menyoalnya pula.
“Saya tidak mahu bercinta dengan awak atau dengan sesiapa. Saya takut Allah. Lupakan saya. Lima tahun akan datang, kalau ada jodoh, adalah. Kalau tiada, pun tak mengapa” katanya, mencontohkan sebuah ‘talak’ untuk perhubungan di luar perkahwinan.
“Err… bahagian pertama lulus. Bahagian kedua, tak perlu” saya mengomen.
“Maksud ustaz?” tanya anak muda itu.
“Sebutkan sahaja yang anta takutkan Allah dan tidak mahu terbabit dengan cinta. Full stop. Bab kalau ada jodoh ke tak ada jodoh tu, tak payah sebut” saya menyambung cerita.
“Tapi macam kejam sangat bunyinya nanti, ustaz” kata anak muda itu.
“Ya, apalah sangat kejam pada menolaknya sekarang, berbanding kejamnya pilihan kalian menyertai kemurkaan Allah!” saya cuba menyudahkan perbualan.
“Hmm… I got the point. Thanks ustaz!” beliau tersenyum. Berfikir barangkali.
No sweat… Selamat menduda kerana-Nya” saya menghulurkan salam.
“Lepas buku AKU TERIMA NIKAHNYA, tulislah buku AKU CERAIKAN DIKAU pula, ustaz!” katanya.
Horrornya cadangan anta!” saya ketawa.
“Apalah sangat horror mengajar orang bercerai cara betul, berbanding horror membiarkan kami-kami ini kebingungan dalam kemurkaan Allah!” katanya, meniru ayat saya tadi.
“Amboi, pulang paku buah keras nampak!” saya tersenyum.
“Ustaz juga yang ajar!” jawab beliau, disambut dengan tawa kami semua.
Ya, andai keredhaan Allah yang kalian utamakan, fikir-fikirkanlah mengapa Allah meletakkan jarak pemisah antara kita dan zina seperti Timur dijauhkan dari Barat dengan firman-Nya:
17_32“Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang amat jahat” [al-Israa' 17: 32]
Mungkin kerana kurangnya teruna tunggal dan anak dara tunggal sebelum mereka berkahwin, menjadi punca membiaknya ibu tunggal dan bapa tunggal selepas mereka berkahwin.

Kategori Kasih Sayang

1. Mencintai saudaranya lebih dari diri sendiri
  • Inilah taraf tertinggi dalam ukhwah atau berkasih sayang. Dan taraf inilah yang berlaku di kalangan para Sahabat. Terbukti bagaimana Kaum Ansar yang sanggup membahagikan sama banyak apa saja yang mereka miliki untuk Muhajirin. Kalau sedikit, sama-sama dapat sadikit. Kalau banyak, sama-sama dapat banyak.
  • Oleh kerana para Sahabat sangat mencintai Tuhan, maka mereka juga sangat berkasih sayang kerana kasih sayang itu adalah buah atau bukti mencintai Tuhan. Di kalangan mereka merasakan Sahabat lain lebih berharga, lebih berjasa, lebih mulia, lebih dihormati, lebih tinggi darjat, lebih perlu dibela dan lebih berhak untuk hidup berbanding diri sendiri.
  • Sesama mereka saling meraikan Sahabatnya sendiri. Sedangkan mereka sering bertemu namun mereka meraikan sesama mereka seperti meraikan tetamu yang dua tiga tahun terpisah. Sesama mereka sentiasa mesra, ceria dan meriah. Mereka tidak sekali-kali bersengit hati dalam perkara material.
  • Dalam hal membela kehidupan, mereka memberi sebelum diminta. Dalam keadaan tidak memiliki untuk keperluan sendiri, namun mereka tetap mengusahakan untuk orang lain. Mereka merasa malu kalau memberi setelah terlebih dulu Sahabat lain meminta, kerana seolah-olah tidak peka dan tidak prihatin kepada Sahabatnya sendiri. Meminta sesama mereka tidak dianggap hina atau menjatuhkan maruah diri kerana begitulah kehidupan berjemaah atau dalam satu keluarga. Yang tidak berlaku ialah sifat meminta-minta.
  • Sesama mereka, para Sahabat sangat menjaga adab bersahabat, di antaranya menjaga aib dan maruah diri sesama mereka. Mereka merasakan ibarat satu tubuh, oleh itu mengumpat, menghina, menjatuhkan maruah, membuka aib seolah-olah ditujukan kepada diri sendiri.
  • Begitu tinggi tahap persaudaraan dan kasih sayang mereka, begitulah utuhnya tahap perpaduan mereka. Sebab itu mereka sangat dibantu oleh Tuhan dan dikagumi manusia serta ditakuti oleh musuh.
  • Sanggup bergalang ganti nyawa.
  • Sangat pemaaf
2. Mencintai saudaranya sama seperti mencintai diri sendiri
Maksud Hadis Rasulullah SAW: ‘Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.”
Ini adalah kategori kedua, merupakan tahap yang sewajarnya dipertahankan dan tidak boleh di bawah daripada ini. Kalau di bawah daripada tahap ini maka tidak lagi termasuk dalam adanya kasih sayang atau ukhwah.
Mencintai saudara seagama dikaitkan dengan kesempurnaan iman. Inilah hujah bahawa ukhwah atau kasih sayang itu dipandang besar oleh Tuhan hingga dikaitkan dengan kesempurnaan iman seseorang. Untuk lebih mudah difahami tahap ini ialah:
  • Rasa bersama yang amat kuat. Apa yang kita rasai, itulah yang dirasai oleh saudara kita dan sebaliknya. Susah sama susah, senang sama senang. Apa yang kita sukai sesuatu itu ada atau berlaku kepada diri, itu juga yang kita sukai ada atau berlaku kepada saudara kita. Kejayaan saudara kita, itu juga kejayaan kita dan sama-sama bersyukur serta bergembira. Begitu juga kalau saudara kita gagal, ditimpa ujian atau musibah, maka kita rasai kegagalan bersama dan berusaha mengatasi secara bersama.
  • Hidup bela-membela.
  • Mudah sepakat dan muafakat dan seia sekata.
  • Saling mengambil tahu antara satu dengan yang lain. Kalau ada yang meminta, pasti ditunaikan.
  • Sangat kuat mengorbankan perasaan sehingga tidak ada yang tersinggung atau terguris hati atau kecil hati. Andainya berlaku juga ada hal yang tidak menyenangkan, masing-masing hanya menelannya begitu saja agar keburukan itu tidak dijaja atau tidak tersebar.
  • Hidup dalam suasana bertolak ansur, mengutamakan budi bicara dan bertimbang rasa. Bertolong bantu dalam apa saja aspek taqwa dan kehidupan, tetapi sangat menutup pintu kejahatan.
Beginilah salah satu ciri keanehan ajaran Islam yang dikagumi oleh pihak lain termasuk musuh. Mereka melihat secara dalam realiti kehidupan Sahabat betapa indahnya ajaran Islam secara praktikal. Musuh pula takut dan berusaha memecahkan perpaduan agar umat Islam menjadi lemah. Selama ini keindahan Islam hanya ada pada ajarannya, tetapi bukan pada penganutnya. Sebab itu musuh tidak takut.
3. Lebih mencintai diri sendiri berbanding orang lain.
Kategori ini, masing-masing mementingkan diri sendiri. Puncanya ialah cinta dunia yang menimbulkan perpecahan. Tidak berkumpul dua cinta dalam satu hati serentak. Apabila hati mencintai Tuhan, hati yang sama tidak akan mencintai duniawi dan sebaliknya. Dunia yang dicintainya bukan material sahaja tetapi termasuk yang bersifat maknawiah seperti pangkat, populariti, pengaruh, keluarga serta klik sendiri.
Orang yang mencintai dunia, dia tidak akan memikirkan nasib agama dan masyarakatnya. Apa yang penting ialah cita-cita peribadinya tercapai. Lantaran itu dia sanggup berbuat apa saja tanpa pedulikan agama dan nasib orang lain, biarpun agama dan masyarakatnya sendiri terabai dan terpinggir. Bahkan lebih teruk daripada itu, dia sendiri turut menyumbang kepada rosaknya agama dan masyarakat, sekiranya dengan cara itu dia meraih keuntungan peribadi. Perpecahan sengaja dicetuskan agar dia kekal berkuasa, dapat kekayaan dan pengaruh. Kerosakan sengaja dicetuskan, selepas itu dia juga yang menjadi wira kononnya sangat prehatin terhadap masaalah masyarakat.
Dalam masyarakat yang semua mementingkan diri sendiri, natijahnya ramai orang terbiar, terabai, terpinggir dan tidak mendapat pembelaan. Mereka yang bernasib malang ini berada di mana-mana, bahkan di sesetengah negara menjadi golongan majoriti. Kalau ada yang menagih pembelaan, bukan sahaja akan kecewa bahkan dimalukan, ditempelak, diherdik, dijaja aibnya dan dijatuhkan maruahnya. Dituduh dengan berbagai andaian dan penuh prasangka.
Membela orang memang suruhan Tuhan dan Tuhan sukai, menjatuhkan maruah dan menjaja nama baik orang itu adalah berdosa, tambah pula kalau sampai memecahbelahkan perpaduan masyarakat, termasuk dosa besar. Itu semua tidak diambil kira. Dosa pahala dan apa kata Tuhan tidak ada dalam kamus hidupnya. Sebab itu hingga hari ini masyarakat Islam lemah, agama terpinggir dan tidak diperjuangkan kerana ramai di kalangan orang Islam yang bersikap begini. Kerana tidak mencintai Tuhan sebaliknya mencintai dunia, maka kasih sayang pun tiada, perpecahan menjadi-jadi.
Di sinilah para pejuang perlu berjemaah agar dapat hidup berkasih sayang, saling membela sesama pejuang, mencurah tenaga bersepadu umpama satu tubuh dengan setiap anggota ada peranan. Atau umpama satu bangunan yang setiap batu bata saling menguatkan, membahu, lengkap-melengkapi pada posisi dan peranan masing-masing yang membuahkan perpaduan sekaligus kekuatan yang luar biasa. Perlu bergabung tenaga menurut bidang dan kemampuan masing-masing kerana diakui tiada individu yang mampu membuat semua jenis dan bidang kerja. Itu sudah memang sunnatullah yang kita kena terima. Apabila anggota pejuang itu mencurahkan tenaga kepada perjuangan maka kenalah pula jemaah membela kehidupan mereka walaupun tanpa diminta. Dengan cara itu mereka tidak terganggu untuk terus memberi tenaga oleh urusan peribadi.
Dalam berperanan pula, jangan mengukur standard kemampuan orang lain dengan keupayaan diri. Itu ciri orang ego yang membatalkan kasih sayang. Dalam satu pasukan masing-masing ada kemampuan dan peranan tersendiri. Janganlah scorer perlecehkan barisan pertahanan dan penjaga gol kerana tidak pernah menyumbat gol lawan lantas mengatakan penjaga gol itu bukan pemain. Janganlah atlit pecut pertikaikan atlit angkat berat kerana tidak mampu memecut macam dirinya. Kalau kita pertikaikan orang lain, mereka juga ada ruang untuk pertikaikan kita, maka berlakulah saling mempertikai sesama pejuang. Hakikat inilah yang perlu diterima dan difahami oleh setiap pejuang agar perpaduan tetap kekal utuh.
Hubungan antara pemimpin dengan pengikut dalam jemaah atau dalam kelompok atau dalam pertubuhan atau apa-apa institusi, bukan seperti majikan dan kuli. Dalam jemaah, hubungan yang dijalin umpama adik-beradik. Perbezaan hanyalah pada tanggungjawab dan peranan. Jawatan itu hanyalah dari sudut keupayaan berperanan dan bukan penentu taqwa. Taqwa adalah darjat manusia di sisi Tuhan, tiada siapa yang tahu. Betapa tersembunyinya taqwa itu, adakalanya orang lain dibantu atas sebab taqwa orang lain. Manakala diri orang bertaqwa itu diselubungi berbagai kelemahan. Inilah caranya Tuhan hendak selamatkan orang yang bertaqwa itu kerana kalau dia sendiri terdetik di hati merasai dia orang bertaqwa maka Tuhan batalkan taqwanya.
Berbalik tentang hubungan pemimpin dengan pengikut yang bagaikan adik-beradik, pemimpin itu abang, pengikut itu adik. Sesama mereka di ikat oleh kasih sayang. Sama-sama merasakan dapat saluran ibadah dan menyumbang bakti menurut kemampuan yang Tuhan anugerahkan. Ini berbeza dengan majikan dan kuli. Kalau majikan dan kuli diikat oleh kepentingan, majikan hendakkan untung dengan memerah tenaga kuli, manakala kuli hendakkan gaji. Tidak ada kasih sayang. Bila majikan perlukan kuli, diambil bila-bila masa dengan berbagai tawaran. Sepanjang bekerja boleh ditengking herdik. Nasib mereka tidak difikirkan. Bagaimana situasi kehidupan mereka tidak pernah difikirkan. Sekiranya tenaga mereka tidak diperlukan lagi atau syarikat menghadapi masalah ditendang begitu saja. Sebab itu banyak syarikat bertindak membuang pekerja.
Ketiadaan kasih sayang, manusia akan hidup menderita walaupun kaya raya, betapalah kalau papa. Ketiadaan kasih sayang, manusia tiada tempat hendak mengadu, derita tanggung sendiri. Akibatnya menjadi orang yang membenci orang lain.
Kesan dari kasih sayang amat besar kepada manusia. Kalau ayah memberi kasih sayang kepada isteri dan anak-anak, mereka satu keluarga akan menjadi ceria dan bahagia. Anak-anak akan mudah taat dan mendengar kata. Kalau guru-guru memberi kasih sayang, anak murid akan menjadi lembut dan mudah dididik. Kalau pemimpin memberi kasih sayang kepada anak buah, mereka akan sanggup berkorban apa saja dengan penuh rela. Mereka taat dalam perasaan yang bahagia dan seronok, dan tidak ada istilah taat dalam seksa atau derita, atau istilah lain taat dalam rasa terpaksa. Apa tugas atau kerja yang diberikan kepada mereka akan disambut dengan penuh gembira. Ke mana saja mereka disuruh pergi mereka merasakan mendapat satu hiburan, kalau ingkar terasa hilanglah berkat hidup, bahkan rasa berdosa.
Pemimpin yang begini sifatnya, kehadirannya dinanti-nanti. Ketiadaannya dirindui dan terasa kehilangan. Bersua muka saja hati sudah merasa lega. Ketika mula bertemu, separuh masalah sudah terasa ringan dan hilang. Bertemu sekejap rasa tidak puas, bertemu lama tidak pula jemu. Sekali bertemu tiga bulan jiwa rasa terisi dan mendapat ilmu serta panduan, ibarat pokok layu yang mendapat siraman air. Tegurannya tidak melukakan hati atau mengguris hati bahkan jadi penyembuh jiwa yang gersang.

PAS Belum Di Bantu Oleh Tuhan Dan Belum Menjadi Pilihan Masyarakat

(1)Tuhan sebut dalam Al Quran dengan maksud, ‘Akan ditimpa kehinaan dimana saja kamu berada kecuali kamu melaksanakan Hablumminallah dan Hablumminannas.’ Inilah rangkuman ajaran Islam yang syumul itu. Ini juga ajaran yang sesuai dengan ciptaan fitrah manusia yang mengandungi unsur roh, akal, nafsu dan jasad.
Tanpa huraian yang panjang, memadai rasanya dinyatakan disini bahawa manusia tidak dapat lari dari dua aspek rohaniah dan material. Kedua-duanya mesti seiring dan serentak. Tidak boleh sama sekali diabaikan kedua-duanya atau salah satu daripadanya. Aspek rohaniah diantaranya ialah rasa bertuhan dan rasa kehambaan, rasa takut dan rasa cintakan Tuhan, iman dan taqwa, ibadah-ibadah khusus.
Manakala aspek material pula adalah seluruh keperluan hidup manusia seperti ekonomi, pembangunan, pendidikan, kesihatan, pertanian, kebudayaan, perhubungan, politik, pentadbiran, sosial, keselamatan, perundangan, kebajikan, teknologi dll.
Dalam aspek pembangunan material, selama ini sangat dikuasai oleh barat dan bukan Islam. Umat Islam hanya mengekori sahaja apa yang dibuat oleh barat. Memanglah tidak menjadi kesalahan kerana dalam aspek material tidak ada Islam dan kafir. Siapa pun boleh menguasainya, mencipta dan mereka apa jua ciptaan untuk keperluan kehidupan sejagat. Namun kalau umat Islam mahu menguasainya, mestilah berserta dengan roh Islam atau bersifat Islamik terutama dikalangan pelaksana atau petugas atau orangnya. Selama ini umat Islam sedikit sebanyak ada juga pembangunan aspek material yang Islamik, namun kadang-kadang pada sistemnya tetapi bukan orangnya. Ini kerana sistemnya bejalan atas nama Islam, tetapi pelaksana atau orang yang terlibat tidak membawa Tuhan bersama mereka.
Apabila disebut sistem, sekurang-kurangnya mesti merangkumi empat perkara iaitu 1. Dasar 2. Matlamat 3. Pelaksanaan 4. Model Semua empat perkara ini mesti terperinci, jelas dan nyata, bukan secara umum yang kabur. Faktor orang yang terlibat atau dukungan pelaksanalah yang paling utama mesti Islamik. Yakni dari pembuat dasar hinggalah kepada golongan pelaksanaan mestilah dari kalangan yang jiwa tauhid atau Rasa bertuhan yang amat mendalam. Atau dengan kata lain. iman dan taqwa yang sangat di pandang Tuhan. Barulah segala sistem akan berjalan lancar keran di bantu oleh Tuhan. Sehingga kini dalam PAS belum terdapat bantuan Tuhan. Dan belum juga menjadi pilihan masyarakat kerana sistemnya belum jelas. Lantaran terlalu mementingkan perhitungan politik, maka sering kali tergadai prinsip perjuangan. Menang pilihanraya belum menjadi ukuran, sekadar mendapat undi lebih banyak kerana BN sudah terlalu tua dan uzur.
(11)
Tahun lepas saya sekeluarga berkunjung ke Kelantan. Saya bukanlah seperti sifat lalat yang kemana sahaja mencari bangkai, tempat kotor dan busuk. Saya hanya ingin menyatakan realiti yang dilihat. Bukan saya sahaja, pengunjung lain yang melihatnya turut sama merasa jijik. Apa yang saya maksudkan ialah Pantai Seri Tujuh, di Tumpat. Salah satu tempat popular yang menjadi pilihan pelancong terutama orang luar Kelantan seperti saya. Sampah sarap yang bertaburan dimerata tempat di Pantai Seri Tujuh itu sangat mencacatkan keindahan tempat tersebut.
Keadaan itu terjadi mungkin berpunca oleh dua pihak, yakni dari sikap pengunjung dan juga dari sikap pihak berkuasa atau pengurusan tempat tersebut. Pengunjung yang jiwanya tidak terdidik akibatnya tiada disiplin. Apabila jiwa tidak terdidik, maka mewarisi sikap tidak prihatin dan juga tidak berupaya mengatasi masaalah kecil dan remeh seperti masaalah kebersihan.
Pihak pengurusan pula, apa masaalahnya bagi mereka untuk menyediakan seberapa banyak tong sampah yang harganya bukanlah terlalu mahal. Selain memudahkan pengunjung, juga turut memudahkan pengendalian sampah di kawasan tersebut.
Musuh Islam memang sudah lama melabelkan umat Islam sebagai mundur, jahil, jumud, kolot dan pengotor. Kita selalunya tidak senang dengan berbagai label negatif seumpama itu. Namun realitinya memang terdapat situasi bagitu dimana-mana negara umat Islam. Sekiranya berlaku ditempat lain di luar Kelantan saya pun tidak anggap perkara ini terlalu serious. Tetapi keadaan ini sedang terjadi didepan mata dalam sebuah negeri yang sudah lebih sepuluh tahun dikuasai parti yang memperjuangkan Islam. Dulu sebelum berkuasa di Kelantan, Pas ada alasan kerana tidak berkuasa untuk membuat dasar, matlamat dan pelaksanaan Islam. Dibimbangi sepuluh tahun lagi PAS belum mampu menyediakan dasar, matlamat dan pelaksanaan Islam di negeri Kelantan.
Satu hal yang amat perlu difahami bahawa ajaran Islam yang luas itu, sebahagian kecil sahaja yang memerlukan kuasa pemerintahan untuk melaksanakannya. Lebih banyak ajaran Islam itu tanpa kuasa pun tiada halangan untuk dilaksanakan dengan syarat masyarakat dididik dengan iman dan taqwa. Dengan takut dan cintakan Tuhan, maka syariat Tuhan akan seronok diamalkan, tak perlu akta, uandang-undang, peraturan dan penguatkuasaan. Dengan iman dan Taqwa juga segala maksiat dan kemungkaran ditingalkan dengan rela tanpa paksaan. Masyarakat yang takut dan cintakan Tuhan sangat menyukai kebersihan, kecantikan, haruman dan keindahan.
SEPATUTNYA NEGERI KELANTAN DAN RAKYATNYA LEBIH BERSIH BERBANDING JEPUN TANPA MENUNGGU HINGGA PAS BERKUASA SEPULUH TAHUN LAGI.

Suami Isteri: Toleransi Dan Redha Meredhai

Suami ada kewajipan dan tuntutan keatas isteri dan begitulah sebaliknya. Oleh yang demikian, Jika gagal dalam menunaikan kewajipan masing-masing maka kedudukannya berdosa. Oleh yang demikian, bermodalkan takut dan cintakan Tuhan atau iman dan taqwa, suami isteri hendaklah semaksima mungkin, seberapa sempurna yang mungkin, sebaik mungkin melunaskan segala tanggung-jawab. Bukan boleh sambil lewa atau acuh tak acuh kerana Allah akan persoalkan di akhirat kelak.
Sebagai sifatnya manusia yang serba lemah dan dhaif, maka sudah pasti tidak dapat lari dari lupa, lalai, banyak salah dan silap. Di dunia ini ada syariat dan undang2 yang mengatur kehidupan keluarga. Terhadap sebarang bentuk terabainya kewajipan, ada keharusan untuk menuntut hak dihadapan kadhi atau hakim. Manakala di Mahkamah Qadhi Rabbul Jalil di akhirat kelak pun sama juga, bahkan lebih dahsyat lagi. Kalau begitu, samada didunia mahu pun di akhirat tiada siapa diantara suami isteri yang dapat melepaskan diri. Atau kalau di dunia boleh bebas, namun disisi Allah sudah pasti tersangkut juga.
Tuhan Maha Penyayang, Tuhan juga maha mengetahui akan kelemahan makhluk ciptaanNya. Tuhan datangkan ajaran Islam yang amat sempurna. Dalam apa masalah pun pasti ada jalan keluar, pasti ada jalan penyelesaian. Hanya kita saja yang kurang mengambil manfaat dari Ajaran Tuhan itu. Caranya ialah melalui toleransi dan redha meredhai. Syaratnya masing2 berusaha sedaya upaya, sedapat mungkin penuhi segala kewajipan dan tanggung-jawab. Dalam berusaha untuk berbuat yang terbaik, jika terjadi juga salah dan silap, terjadi juga cacat cela, terjadi juga kecuaian, maka maafkan saja, atau lupakan saja. Terimalah seadanya.
Melalui cara toleransi dan redhai meredhai maka selesailah ‘hutang piutang’ antara suami isteri tersebut. Hanya perlu pula difahami bahawa toleransi dan redha meredhai itu tidak boleh di paksakan. Ianya mestilah dalam keadaan setelah masing-masing memecut untuk sempurnakan kewajipan, disitu terdapat cacat cela. Cuba kita insafi, tentulah seorang suami tidak mahu isterinya terjunam ke dalam neraka, dan begitulah sebaliknya. Kalau begitu, maka sama-sama saling membantu, saling selamat dan menyelamatkan. Kalau ini berlaku, sudah pasti Tuhan yang Maha Pengampun dan Pemaaf akan mengampuni dan memaafkan hambaNya.
Disnilah indahnya ajaran Islam apabila di praktikan dalam kehidupan berumah tangga.
Inilah jalan, panduan dan penyelesaian mudah daripada berlakunya krisis rumahtangga. Malangnya cara yang begini mudah, sudah tidak dipakai lagi. Masing-masing ego, sombong dan mementingkan diri sendiri. Sebab itu dizaman ini, terlalu banyak kes suami isteri menuntut hak. Yang terbaik ialah mengorbankan hak. Barulah rumahtangga menjadi Syurga di dunia. Terlalu menuntut hak atau mempertahankan hak dalam rumahtangga umpama sebuah kereta datang dari arah yang bertentangan. Kereta tersebut sedang memasuki line kita. Kereta tersebut memanglah melakukan kesalahan. Kita pula oleh kerana ego dan mementingkan diri, maka kita mempertahankan hak kita dengan berkata, ‘Aku tak peduli, ini line aku.’ Berlakulah eksiden. Setelah berlaku eksiden, kereta berkecai, akibatnya ditanggung bersama, bukan lagi soal siapa betul siapa salah. Sedangkan kita boleh memilih jalan selamat dengan bertolak ansur. Indahnya hidup bertuhan dengan ajaran Islam.

Monday, June 22, 2009

Mujahadah Dan Istiqamah

Orang yang bilamana dia hendak membuat sesuatu amalan, terasa payah, diusaha-usahakannya, ditekan-tekan nafsunya, dipujuk-pujuk hatinya, maka orang ini termasuk dalam golongan orang yang bermujahadah. Orang mujahadah disebut juga sebagai orang soleh. Nak buat amalan baik, terpaksa berhempas pula melawan nafsu. Kena dipaksa-paksa diri untuk membuat suruhan Tuhan dan meninggalkan larangan Tuhan. Pada satu peringkat, bila mujahadah dilakukan secara berterusan, dia dapat melepasi mujahadah itu. Ini disebabkan amalan yang dilakukannya sudah menjadi kebiasaan. Tak perlu dipaksa atau dipujuk diri lagi. Amalan baik itu sudah mendarah mendaging dalam kehidupan. Dia jadi mudah dan terbiasa untuk buat suruhan Tuhan dan meninggalkan larangan Tuhan. Di sini, dia sudah mendapat istiqamah. Istiqamah ini melayakkan dia menjadi orang bertaqwa. Itulah sebabnya Rasulullah ada menyebut, jangan kamu meminta menjadi wali, tetapi mintalah istiqamah, kerana istiqamah itu adalah sifat kewalian.

Jangan mudah-mudah kita sangka kita boleh dapat istiqamah tanpa mujahadah. Kena mujahadah dulu, baru boleh layak dapat istiqamah. Mujahadah pula tidak boleh bersendirian, tanpa guru mursyid yang memberi panduan. Dibimbangkan mujahadah kita dicelahi syaitan, menggagalkan kita menjadi orang bertaqwa. Syaitan menunggu peluang untuk mengganggu hamba-hamba Tuhan yang menuju kepada Tuhan. Itu sebabnya ada waktu-waktu orang-orang mujahadah tewas dalam mujahadah. Ada waktu-waktu orang mujahadah terlepas Tuhan. Mereka tak boleh sentiasa bersama Tuhan kerana susahnya hendak bersama Tuhan itu. Nak mujahadah, nak istiqamah, kena ada guru mursyid yang memandu dan menunjuk jalan. Kerana Rasulullah juga sudah berpesan, kalau kamu tidak dapat bersama Allah, hendaklah kamu bersama orang yang bersama Allah. Maksudnya di sini, hendaklah kamu bersama guru mursyid. Di samping itu, mujahadah akan lebih mudah bila bersama jemaah. Jemaah mengatur sistem kehidupan kita untuk menjadikan kita mudah bermujahadah untuk mencapai istiqamah. Tuntutan berjemaah ini memang menjadi tradisi orang-orang yang menuju Tuhan. Kalaulah ada guru muryid, nescaya ada muridnya. Perhubungan guru dan murid-murid ini menjadikan mereka satu kelompok jemaah yang terbangun di dalamnya kehidupan Islam.

Apa yang kita boleh simpulkan di sini, orang-orang yang mengusahakan taqwa adalah orang yang mengusahakan mujahadah untuk dapat istiqamah, yang mana mereka ini mestilah dalam satu jemaah di bawah pimpinan guru mursyid. Sekian.

Sikap Tawadhuk Yang Perlu Dicontohi

Mengapa perlu tawadhuk? Tawadhuk adalah salah satu sifat mahmudah. Tawadhuk ialah lawan kepada sifat sombong. Orang yang ada sifat sombong itu dibenci Tuhan. Jika tidak dibuang sifat sombong tersebut dalam dirinya, dan dia mati membawa sifat itu, maka neraka lebih layak baginya.

Rasulullah saw bersabda:
“Tidak akan masuk syurga bagi orang yang ada dalam hatinya walau sebesar zarah sifat sombong.”

Abuya Syeikh Ashaari berkata: “Orang sombong itu ialah orang yang membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan.”

Maksudnya di sini, orang tawadhuk itu ialah orang yang tidak membesarkan diri atas kelebihan atau keistimewaan yang ada padanya. Baginya segala macam kelebihan dan keistimewaan itu bukan dari hasil usaha atau kepandaiannya. Dirasakan semuanya itu kerja Tuhan semata-mata. Lagi, orang tawadhuk ini mengetahui dan merasakan yang dia itu hamba Tuhan. Sebagai hamba, dia itu bekerja atau berbuat untuk Tuhan. Majikannya adalah Tuhan. Kalaupun ada kuasa, harta atau kepandaian pada dirinya, itu adalah dalam ertikata pinjaman, kerana nak selesaikan kerja Tuhan. Dia dapat semuanya itu kerana ada peranan atau kerja yang ingin Tuhan mahu dia berbuat.

Malangnya orang sombong ini ada rasa memiliki. Bila ada rasa memiliki, timbullah rasa lebih daripada orang lain. Timbullah rasa orang lain itu kurang. Timbullah rasa orang lain tak sama dengan dia. Walhal, dia tak faham Tuhan dan apa yang Tuhan nak dia buat atas kelebihan yang Tuhan bagi padanya. Orang tawadhuk tidak begitu sebaliknya merasakan yang dirinya itu dimiliki Tuhan. Termasuk segala apa yang ada bersamanya adalah milik Tuhan. Dia tidak ada apa-apa.

Kalaulah faham Tuhan dan peranan Tuhan, mudah. Kalau tak faham, maka jadilah seperti yang kita lihat hari ini. Ramai orang sombong-sombong. Asas kesombongannya adalah kejahilan. Jahil tentang Tuhan dan peranan Tuhan. Inilah masalah besar umat hari ini. Tak boleh buang sifat sombong. Bila ada sombong, daripada sombongnya itu, timbullah perpecahan. Timbullah krisis. Engkau-engkau, aku-aku. Masyarakat jadi kelam-kabut dibuatnya. Inilah akibat yang perlu ditanggung bersama.

Mari kita lihat beberapa contoh sifat orang tawadhuk sebagai panduan untuk kita:

1. Mudah menerima pandangan orang lain biarpun dia juga ada pandangannya sendiri. Dia tidak ada apa-apa masalah menerima pandangan orang yang lebih muda daripadanya ataupun orang yang lebih rendah pangkat daripadanya.

2. Dia sangat sabar dalam perbincangan. Dia tidak mudah marah atau emosional. Dia lebih mahu menjaga suasana harmoni dalam perbincangan tersebut daripada bertegang leher dengan rakan-rakannya.

3. Dia tidak memilih-milih kawan. Dia boleh bergaul dengan semua orang, tidak kira samada orang bawahan atau orang atasan, kaya atau miskin, sihat atau sakit. Malah, dia boleh duduk bermesra dalam satu majlis dengan orang yang pernah mengkritiknya.

4. Kalaupun dia berjawatan, dia menghormati orang bawahannya. Kalaupun dia kaya, dia sangat memuliakan orang yang fakir dan miskin. Tidak timbul baginya yang dia itu ada kelas tersendiri.
5. Dalam pergaulan, dia lebih suka menjadi pendengar dan hanya akan bercakap bila perlu sahaja. Dia tidak sewenang-wenangnya akan memotong percakapan orang sebaliknya memberi peluang orang itu menghabiskan percakapannya.

6. Dalam majlis, jika ada sesuatu kebenaran yang hendak diperkatakan, dia suka kebenaran itu keluar daripada mulut orang lain. Lebih-lebih lagi, jika ada orang yang lebih berpengalaman atau berilmu daripadanya dalam majlis itu.

7. Kalau dia minta memberi pendapat dan pendapatnya diterima orang, dia tidak mendabik dada sebaliknya bersyukur kepada Tuhan. Jika pendapatnya ditolak, dia lapang dada dan tidak berkecil hati.

8. Dia mudah memberi maaf kepada orang yang tersilap dengannya. Dia tidak mudah memarahi atau menghina orang tersebut.

9. Kalau dia yang bersalah, dia akan cepat-cepat minta maaf. Sekalipun orang itu lebih rendah daripadanya dari segi jawatan atau umur.

10. Dia tidak minta dihormati atau dimuliakan atas kedudukannya. Jauh sekali berkecil hati jika tidak dihormati atau dimuliakan. Namun dia menerima dengan baik orang-orang yang mahu menghormati dan memuliakannya.

11. Bila bercakap, dia tidak mengangkat diri dengan menceritakan kelebihan yang ada pada dirinya. Sebaliknya dia lebih suka menceritakan kebaikan orang lain sebagai teladan.

Moga-moga Tuhan membantu kita menjadi orang yang tawadhuk. Sekian.

Kaedah Dalam Berjuang

Apapun yang hendak kita lakukan, asasnya kena ada ilmu. Samalah juga dengan berjuang, sebelum nak berjuang, kena ada ilmu. Jadi dengan ilmu itu, kena difahami. Dengan faham, baru boleh melaksanakan. Mana mungkin mudah-mudah kita nak berdakwah dan berjuang, tanpa ilmu dan faham agama. Itu sebab banyak orang kita termasuk ulamak ada yang tersasar dalam berjuang. Sebab ilmu tak tepat, jauh sekali dari faham. Di bawah ini adalah sedikit panduan sebagai kaedah dalam berjuang, moga-moga kita mendapat ilmu tentangnya:

1) Kalau kita kaji Al-Quran, ada firman Tuhan yang bermaksud, “bila hak itu datang, maka kebatilan akan lenyap.” Inilah yang perlu dilaksanakan. Kena menzahirkan kebenaran dalam bentuk jemaah. Tegakkan sistem Tuhan dalam jemaah seperti sistem ekonomi, sistem kebudayaan, sistem pentadbiran dan sistem pendidikan. Bila kita tegakkan sistem, bukan maknanya kita beruzlah atau menyendiri. Jemaah itu bila menzahirkan kebenaran, di situlah dia bermasyarakat. Di situlah dakwah mereka melalui model Islam yang ditonjolkan. Di situlah nanti proses jongkang jongket akan berlaku. Tuhan sendiri akan campurtangan melenyapkan sistem batil seperti kapitalisma dan demokrasi. Itu kerja Tuhan. Kita buat kerja kita, nanti Tuhan yang akan bertindak. Inilah yang perlu difahami daripada ayat tersebut.

2) Kemudian, bila kita tengok masyarakat sudah rosak, yang utama bagi kita ialah baiki diri kita dahulu. Tuhan sudah sebut dalam Al-Quran, “peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka”. Tuhan anjurkan kita baiki diri kita dahulu, bukan diri orang lain. Asas dalam baiki diri kita ialah membaiki sembahyang. Sembahyang di awal waktu, berjemaah dan usahakan khusyuk semampu termungkin.

3) Nak tackle masalah masyarakat kena tahu puncanya. Takut-takut sakitnya lain, kita ubatkan yang lain. Punca masyarakat rosak ialah masyarakat sudah tak kenal Tuhan. Hasil tak kenal Tuhan, tidaklah mereka itu cinta dan takutkan Tuhan. Jadi ini yang hendak dibawa iaitu nak bawa masyarakat kenal Tuhan. Tetapi ada syaratnya, kenalah pendakwah itu kenal Tuhan dahulu. Mana mungkin kita yang tak kenal Tuhan, boleh mengenalkan orang lain pada Tuhan.

4) Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah. Dalam ayat tersebut, jelas Allah tak sebut: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan ilmu. Tetapi Allah sebut hikmah. Apa maksud hikmah? Hikmah itu ialah ilmu di dalam ilmu. Atau dalam ertikata lain ilmu yang tersirat. Bukan sekadar ilmu Islam tetapi ilmu yang ada roh. Jadi roh ilmu itulah yang perlu kita ada. Nak dapatkan hikmah, bukan daripada sembarangan orang yang boleh kita dapati hikmah ini. Ia hanya dimiliki oleh orang yang dianugerahkan Tuhan hikmah atau disebut “Ahlul-Hikmah.“

5) Asas Rasulullah berjuang atau berdakwah ialah memperjuangkan taqwa di kalangan sahabat. Begitu juga boleh diapplykan kepada kita, sebelum hendak berjuang kena persiapkan bekalan taqwa. Hasilnya nanti macam sahabat juga. Kesan daripada taqwa mereka, tak perlu bercakap banyak, orang lain masuk Islam. Orang tengok akhlak mereka, boleh masuk Islam. Orang tengok mereka berwudhuk dan bersembahyang, orang masuk Islam. Kenapa? Kerana taqwa sahabat itu ibarat besi berani yang menarik orang pada Islam. Kita nak jadi macam itu. Kalau tidak, berbuih mulut, penat berjuang, hasilnya kosong. Tuhan tak bantu, sebab kita tak bertaqwa. Jadi asasnya kena usahakan taqwa dahulu.

6) Dalam perjuangan menegakkan agama Tuhan, faktor pemimpin itu penting. Tak boleh tidak, mesti ada pemimpin yang dilantik Tuhan. Dulu ada Rasul. Sekarang tidak ada rasul, ada ulamak berwatak Rasul yang memperjuangkan agama Tuhan. Teknik dan kaedah ada pada ulamak tersebut. Kita kena mencari dan merujuk pada ulamak ini. Jangan kita memandai buat sembarangan, takut-takut Tuhan tak iktiraf perjuangan kita itu sebagai ibadah. Takut-takut kedatangan kita lebih merosakkan keadaan yang sedia ada. Bila kita berusaha berjuang, yang nak jayakan adalah Tuhan. Kita hanya mampu berbuat. Ujian yang datang, hakikatnya daripada Tuhan juga, itu adalah asam garam perjuangan. Agama ini Tuhan punya, Dia sendiri akan bertanggungjawab terhadap agamaNya. Fahamilah panduan ini, jika tidak, nanti jauh tersasar daripada kaedah dan matlamat perjuangan yang sebenar. Sekian.

Saturday, June 20, 2009

Tanda Orang Yang Kenal Tuhannnya

Ada orang mengatakan yang dia kenal Tuhan. Ada orang mengatakan yang dia cinta Tuhan. Benarkah begitu? Sedangkan yang kata kenal Tuhan itu hanya boleh cerita tentang Tuhan. Menceritakan tentang Tuhan itu sebenarnya baru tahu tentang Tuhan. Belum tentu kenal lagi. Setakat menceritakan, ramai yang bukan Islam boleh cerita tentang Tuhan. Malah Tuhan menjadi bahan kajian mereka. Apakah orang bukan Islam itu mengenali Tuhan? Untuk test orang itu kenal Tuhan atau tidak, kayu ukurnya cinta Tuhan. Maksudnya di sini, kalaulah orang itu benar-benar kenal Tuhan, sudah pasti dia akan jatuh cinta dengan Tuhan. Sebab kenal dengan cinta itu saling kait mengait. Tak kenal maka tak cinta. Sudah kenal pasti jatuh cinta. Maksud kenal ini bukan boleh sekadar di bibir sahaja, sekadar menjadi sebutan. Atau sekadar cakap-cakap. Lebih baik daripada itu sekadar tulis-tulis. Yang mana ini semua datang dari hasil ingatan atau hafalan. Lebih baik daripada itu boleh menghurai sahaja sedangkan tiada penghayatan dan penjiwaan.

Kalau nak buat perbandingan, contohnya cinta seorang lelaki kepada wanita yang dikenalinya. Kalau setakat kenal, hanya tahu namanya, umurnya, sedikit sebanyak keluarganya. Mungkin sekadar itu sahaja. Tetapi jika sampai cinta kepada wanita atau lelaki tersebut, peringkat ini lebih jauh. Mula ada rasa rindu nak jumpa, tak sedar berjam-jam bersms atau berbual-bual. Ertinya bila hati dah berbunga, keadaan sekeliling dah kita lupa. Kita lupa orang sekeliling kita, lupa waktu, lupa makan minum atau dalam erti yang lain lupa diri atau lupa dunia ini. Cuma jangan samakan cinta Allah itu dengan cinta lelaki wanita tadi. Cinta Tuhan membawa pahala, ketenangan dan kebahagiaan tetapi cinta lelaki atau wanita itu membawa kepada dosa, mazmumah, kerosakan jiwa dan penderitaan. Ertinya cintakan Tuhan itu Ajinatul Ajilah yang disegerakan tetapi cintak lelaki atau wanita itu merupakan neraka yang disegerakan sebelum neraka yang kekal abadi di sana nanti.

Berbalik kepada cinta Tuhan, orang yang benar-benar cintakan Tuhan, hatinya sudah melupakan dunia ini. Rasa rindu berbual-bual dengan Tuhan di dalam sembahyangnya. Rasa tenang dapat melepaskan rintihannya di dalam tahajjud malamnya. Hatinya sentiasa rindu nak berjumpa Tuhannya. bahkan dalam sejarah orang yang kenal Tuhan ini, cinta dunia dan makhluk ini sudah lenyap dari hatinya.sebelum berkahwin dengan nabi Yusof sejarah Zulaikha sangat rakus, hinggakan baju Nabi Yusuf koyak rabak diterkamnya kerana gilakan Nabi Yusuf. Tetapi setelah berkahwin dan dididik oleh seorang Nabi, Zulaikha sangat cintakan Tuhannya. hinggakan apabila Nabi Yusof meminta melayannya, Zulaikha meminta Nabi Yusof berkahwin lain. Zulaikha merasakan terlalu rindu dan berhabis-habisan sepanjang malamnya untuk bersama Tuhannya. Dia gadaikan hak dunianya untuk mendapatkan cinta Allah padanya.

Kerana itu kenal mesti mengenali daripada hati. Yang mana hasil kenal itu, jatuh cinta yang juga daripada hati. Kenal itulah yang membawa faham. Faham tentang Tuhan membuatkan seseorang itu membuat apa sahaja perkara di dunia ini sesuai dengan kehendak Tuhan. Faham sungguh apa kehendak Tuhan. Faham sungguh apa yang tidak disukai Tuhan. Faham bagaimana nak beradab dengan Tuhan. Cinta itu pula membawa kepada takut. Takut sangat cinta itu terputus di tengah jalan. Takut sangat cinta itu tidak berpanjangan. Kalau boleh biarlah cinta itu berlama-lama sepanjang hayat, sepanjang masa. Janganlah cinta itu terhenti separuh jalan. Janganlah cinta itu tidak berbalas. Bila tidak berbalas ibarat bertepuk sebelah tangan. Begitulah hasil orang yang kenal, cinta dan takut Tuhan. Orang seperti ini adalah orang yang dekat dengan Tuhan. Orang seperti ini membuktikan cintanya dengan berkorban untuk Tuhan. Dia sanggup berkorban apa sahaja yang ada pada dirinya untuk Tuhan. Malah cinta dan takut itu jugalah yang membuatkan dia sangat mengasihi dan menyayangi sesama makhluk Tuhan. Orang ini, dia mendapat gelaran ‘Arifbillah. Orang inilah yang dimaksudkan hadis, Hendaklah kamu bersama Allah, dan sudah pasti kamu tidak mampu, oleh kerana itu bersamalah dengan orang yang sudah dapat bersama Allah (Arifbillah). Kerana bila kamu bersama ‘Arifbillah, sama seperti kamu bersama Allah.

Lihatlah diri kita hari ini, sudahkah kita benar-benar kenal Allah atau sekadar tahu Allah itu ada sahaja. Kita sanggup berhabisan sepanjang malam berbual, sms atau seronok di tempat tidur daripada berhabisan sepanjang malam untuk bersama-sama Allah?
Adakah hati kita hari ini lebih cintakan makhlukNya daripada cintakan Allah?
Adakah diri kita akan selamat di negara kekal abadi sekiranya cinta diserahkan kepada makhluk dan dunia ini berbanding kita serahkan hati kita ini kepada Tuhan kita, sedangkan diakhir hayat dunia kita, makhluk yang kita cintai itu akan ditinggalkan sedangkan Tuhan yang kita lupakan itu akan menyambut kedatangan kita.wajarkah makhlukNya lebih kita kenali sedangkan penciptaNya kita kenal ala kadar sahaja.Wajarkah kita mohon perlindungan dari seksanya sakaratul maut, azabnya alam barzakh, terseksanya berdiri di Mahsyar atau wajarkah kita mohon dimasukkan ke syurga pada Allah, Tuhan kita sedangkan cinta kita kita serahkan kepada makhluk yang tidak mampu memberi pertolongan pada sakarat, alam kubur dan tidak mampu meberi pertolongan di Mashyar apatah lagi memberi syurga, Apatah lagi makhluk yang kita serahkan jiwa raga kita di dunia ini yang akan meminta-minta pahala akibat kecuaian kita bersamanya di dunia dahulu. Alangkah buruknya kita sebagai hambaNya kerana tersalah meletakkan cinta pada tempatnya....sekian

Ya Allah, Tuhan kami,
Kami hambaMu yang amat lemah ini mohon pertolongan,
bantulah hambaMu dalam mujahadah ini,
agar dihujung hidup hambaMu ini,
Tidak tersisa lagi cinta kami pada makhlukMu,
kosongkan hati hambaMu ini dari dunia dan seisinya.
kerani hambaMu ini tahu,
Tidak mungkin berkumpul 2 cinta dalam satu jiwa
Jika dalam hati hambaMu ini ada makhlukMu,
Nescaya jauhlah DiriMu dari hati ini.

Ya Allah, cinta hati ini..
tiada daya upaya hambaMu ini
kecuali dengan Kasihsayang dan RahmatMu
yang mampu menolong hambaMu ini

menjelang subuh

Rasa-rasa di Dalam Istiqhfar

Beristighfar itu adalah perkara biasa yang kita lakukan selepas sembahyang. Ianya seperti sudah menjadi kelaziman. Walaupun ia bukan wajib, tapi seolah-olah menjadi kewajiban. Apa yang sebenarnya dituntut daripada istighfar itu, mungkin ramai yang tidak tahu. Mari kita memperkatakannya.

Istighfar selepas sembahyang itu bukan sekadar lafaz sahaja. Tapi apa yang dituntut daripada istighfar ini adalah hati yang beristighfar. Mulut menyebut, hati merasa. Maksudnya yang lebih jelas, bila kita beristighfar, hati mesti turut sama merasa. Hati rasa berdosa. Hati rasa bersalah. Terasa sembahyang banyak kekurangannya. Terasa sembahyang banyak cacat-celanya. Sembahyang yang tidak khusyuk bahkan selalu sahaja lalai dengan Tuhan. Begitulah keadaan sembahyang kita sehingga merasa amat bersalah dengan Tuhan. Jadi, bila beristighfar, rasa-rasa itulah yang patut timbul. Rasa-rasa itulah yang patut hadir.

Walau sembahyang sudah sesempurna mungkin, kena rasa sebaliknya. Kena rasakan yang sembahyang kita seperti tiada nilai di sisi Tuhan. Walau sudah dapat khusyuk, kena rasakan yang sembahyang kita ini jauh daripada khusyuk. Lebih-lebih lagilah kena dirasakan bila sembahyang itu memang kita sedar yang kita buat dengan berlebih kurang. Jadi, istighfar yang terkandung di dalamnya rasa-rasa seperti ini adalah istighfar yang mendapat perhatian Tuhan. Selainnya, Tuhan tak pandang. Istighfar yang tidak membawa rasa adalah istighfar kosong. Beristighfar beribu kali pun, jika tidak membawa kesan kepada hati; isitghfar itu tidak dikira. Di sisi Tuhan, seperti belum beristighfar.

Sebenarnya, janganlah istighfar setakat untuk sembahyang sahaja. Untuk apa-apa ibadah sekalipun, memang dituntut untuk kita beristighfar. Puasa, sebagai contoh. Selepas berpuasa, istighfarlah dengan Tuhan dan rasakan yang puasa kita banyak kurangnya. Puasa kita tidak lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga. Zakat, haji dan lain-lain ibadah sunat pun seperti itu juga. Istighfar dan rasakan sedemikian. Malah, sebaik selesai bekerja atau berniaga pun, elok beristighfar. Secara sedar atau tidak sedar, entah berapa banyak dosa yang sudah kita lakukan dalam berniaga atau bekerja. Betapa banyak hukum Tuhan sudah kita langgar. Kalau tidak dosa lahir, dosa batin tak terlepas. Ada riyak, ujub, takbur, sombong, hasad dengki, buruk sangka dan berbagai lagi. Begitulah hendaknya.

Jadi, bilamana kita beristighfar, bukti kita hamba yang sangat sensitif dengan Tuhan. Yang bukan sahaja akan memohon ampun bila terbuat dosa, tetapi tetap juga memohon ampun bila selesai membuat kebaikan. Sedangkan Rasulullah pun beristighfar tidak kurang daripada 70 kali sehari. Inikan pula kita umatnya, mestilah lebih daripada itu. Moga-moga dengan istighfar itu, Tuhan pandang kita dengan rahmat dan kasih sayangNya. Diampunkan kita dan dimasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang mensucikan diri. Sekian.

Jalan Yang Lurus

Apa yang kita minta di dalam sembahyang adalah besar. Banyaklah yang kita minta, tetapi tulisan ini ingin memfokuskan tentang apa yang kita diwajibkan minta di dalam surah Al-Fatihah. Itulah dia “ihdinassiratal mustaqim” ataupun maksudnya adalah tunjukilah kami jalan yang lurus. Besarnya doa ini, kita diwajibkan membacanya setiap kali di dalam sembahyang sebanyak 17 kali sehari. Besarnya doa ini tidak didahulukan ia melainkan setelah kita memuji-muji Tuhan dahulu. Bahawa segala pujian itu meliputi padaNya dan Dia itu adalah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Besarnya doa ini tidak didahulukan ia, melainkan setelah kita berikrar mengaku sebenar-benarnya bahawa hanya Allah, Tuhan yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan.

Kita minta setiap hari “jalan yang lurus” bahkan diwajibkan Tuhan untuk memintanya. Jadi apakah dia jalan yang lurus ini?

Sebaik sahaja kita meminta jalan yang lurus, Tuhan terangkan dalam surah Al-fatihah ini, supaya kita meminta jalan yang Tuhan sudah berikan nikmatNya kepada orang-orang yang terdahulu. Siapakah orang-orang ini? Mereka adalah para Rasul, nabi, sahabat-sahabat dan para aulia’. Mereka adalah kekasih Tuhan yang Tuhan anugerahkan nikmat besar Tuhan kepada mereka. Apakah nikmat itu? Itulah nikmat Iman, Islam dan Ihsan. Hanya dengan jalan iman, islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus, jalan yang sama dilalui oleh kekasih-kekasih Allah iaitu para rasul, nabi dan wali-wali Allah. Mereka telah melalui jalan itu dan Allah telah tunjukkan jalannya. Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut jalan seperti mereka supaya kita benar-benar sampai kepada Allah. Jalan yang lurus inilah yang akan sampai kepada Allah. Selain itu ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah. Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah ini, minta dijauhkan kita daripada 2 jalan yang tidak sampai kepada Allah. Itulah dia jalan orang yang Allah murkai dan jalan orang-orang yang sesat. Jalan orang yang Allah murkai adalah jalan orang-orang yang tidak percaya Tuhan seperti Namrud dan Firaun. Mereka menolak Allah dan mereka adalah orang-orang yang mendapat laknat Allah. Jalan orang-orang yang sesat pula ialah seperti yahudi dan Nasrani. Walaupun mereka percaya Tuhan, tetapi jalan yang mereka lalui itu adalah bertentangan dengan kehendak Tuhan. Yang dimaksudkan tidak mengikut Yahudi dan Nasrani ini bukan sahaja mengikut agama mereka tetapi juga tidak mengikut millah mereka. Ini termasuk cara politik mereka, isme-isme ekonomi, kebudayaan, hiburan dan cara hidup mereka. Jangan dalam sembahyang kita mengaku bahawa Yahudi dan Nasrani itu sesat tetapi di luar sembahyang, kitalah pengikut setia isme-isme dan ideologi mereka. Bahkan sampai ada yang mencari-cari dalil Al-Quran dan Hadis agar isme-isme dan ideologi ini kononnya dibenarkan oleh Allah. jika terjadi demikian,seolah-olah kita bermain-main sahaja di dalam solat, tidak bersungguh-sungguh di dalam solat.Justeru, apa yang kita minta tidak akan sampai kepada Tuhan.

Hanya sanya orang-orang yang boleh sampai kepada Tuhan adalah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus. Jalan ini telah ditempuh oleh para Nabi rasul, nabi, sahabat, tabiin dan juga wali-wali Allah sebelum ini. Maka, kita mengharapkan belas kasihan Tuhan agar Allah tunjukkan kita jalan itu supaya kita boleh sampai kepada Allah. Sehingga kita ini mendapat keredhaan Allah. Disebutkan tadi jalan itu adalah Iman, Islam dan Ihsan. Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Tuhan kepada kita jika kita mendapatkannya. Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita. Barulah kita mendapat jalan yang lurus. Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap sahaja, itu dikira belum dapat lagi. Kenalah difahami, dihayati, diamalkan dan diperjuangkan, barulah kita boleh ikut sama jalan yang lurus ini. Sekian.

Monday, June 15, 2009

Keagungan dan Kebesaran Islam (I)-Pendapat Kebanyakkan Manusia

Rasulullah SAW diutus oleh Allah ke dunia ini dengan membawa agama Islam. Beliaulah disebut sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam. Agama Islam yang diberikan Allah kepada Rasulullah SAW adalah untuk memimpin umat manusia ini. Allah berfirman di dalam Al Quran:

“Dan tidaklah Aku mengutus Engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada semesta alam.” (QS Al Anbiyaa’ 107)

Ayat ini menyatakan bahwa rahmat yang dibawa oleh Rasulullah itu adalah umum kepada semua manusia tetapi secara hakikatnya rahmat itu dikhususkan kepada orang-orang beriman semata. Selain orang-orang yang beriman, mereka tidak mendapatkan rahmat bahkan mereka cenderung merasa tidak senang hati dengan ajaran Islam dan kedatangan Al Qur’an yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Kedatangan Rasulullah yang pada beliau disampaikan agama Islam dan dengan agama ini Rasulullah menyampaikannya kepada umat serta memimpin umat hingga umat ini menerima Allah dan menerima Rasul-Nya, inilah letak rahasia keagungan Islam dan kebesaran Islam.

Jadi, apakah yang dikatakan dengan keagungan Islam atau kebesaran Islam itu? Sebelum kita membicarakan mengenai hal ini, mari kita cuba memaparkan beberapa pendapat yang telah sering kita dengar dan biasa disampaikan kepada umat Islam tentang apa yang dimaksudkan dengan keagungan Islam itu.

1. Salah satu dari pada pendapat-pendapat tersebut mengatakan bahwa setelah umat ini menerima agama Islam, mereka telah terdorong untuk menuntut ilmu pengetahuan dan terdorong untuk berpikir sehingga lahirlah ahli-ahli falsafah,para pemikir dan ilmuwan di kalangan masyarakat Islam seperti Imam Ghazali Rahimahumullahu Taala, Ibnu Rusyd, Al Farabi, Ibnu Sina, dan beribu-ribu lagi tokoh Islam yang lain. Mereka menjadi filasof dan pakar ilmu di bidang masing-masing disebabkan agama Islam mendorong mereka mencari dan menyelidiki ilmu pengetahuan. Kerana itulah maka ada sebagian umat Islam yang menilai hal ini sebagai sebab-sebab keagungan Islam. Mereka mengatakan bahwa kebesaran Islam itu adalah kerana Islam telah melahirkan imuwan-ilmuwan yang terkenal kerana agama Islam itu mendorong umatnya menuntut ilmu dan melakukan penelitian.

Tapi mari kita renungkan pendapat ini. Kalau hanya untuk mendorong manusia untuk mencari ilmu pengetahuan serta mengenbangkan ilmu di berbagai bidang sehingga menjadi ilmuwan dan ahli falsafah yang terkenal, kita rasa tidak perlu didatangkan Rasulullah SAW yang membawa ajaran Islam juga tidak perlu didatangkannya Al Qur’an dan Sunnah pun manusia juga boleh menjadi pandai dan sanggup mengkaji ilmu pengetahuan di berbagai bidang sehingga manusia banyak yang menjadi ahli falsafah dan ilmuwan. Ini telah dibuktikan oleh sejarah manusia. Umpamanya di kalangan bangsa Yunani telah muncul banyak filosof dan pemikir-pemikir besar dan kecil seperti Aristoteles, Plato, Socrates dan lain-lain. Mereka menguasai ilmu pengetahuan di bidang masing-masing sehingga mereka disanjung oleh manusia di masa itu bahkan masih tetap disanjung hingga saat ini. Dan sebagaimana yang kita ketahui, mereka ini telah lahir ribuan tahun sebelum kedatangan Rasulullah SAW, Al Qur’an dan Islam. Ertinya mereka telah menjadi pemikir dan ahli falsafah tanpa perlu didatangkan Rasulullah, Al Qur’an dan Islam.

Jadi dapat kita fahami bahwa kalau sekiranya Allah tidak mendatangkan Rasulullah dan Al Qur’an pun manusia juga bioleh menjadi ahli fikir yang terkenal. Ini kereana keinginan untuk mencari ilmu pengetahuan, ingin meneliti dan ingin pandai itu adalah fitrah asal yang ada dalam diri manusia, tanpa perlu didorong oleh Islam dan Al Qur’an. Oleh kerana itulah maka tidak dapat kita katakan bahwa keagungan dan kebesaran Islam adalah karena Islam mendorong manusia menjadi cendikiawan atau menjadi para pemikir.

Kemudian ada pula sebagian orang yang berpendapat bahwa keagungan Islam itu adalah kerana Islam mendorong penganutnya menjadi ahli seni bangunan dan arkitek sehingga dapat membangun bangunan yang indah seperti masjid Qurtuba yang besar dan indah yang hingga saat ini masih bisa disaksikan. Kemudian dibangunnya Jannatul Aris yang merupakan suatu taman yang indah yang dibangun oleh umat Islam di zaman kerajaan Islam di Sepanyol (Andalusia). Taman ini begitu indah dan cantik sekali hasil dari seni bangunan umat Islam. Di Sepanyol juga terdapat istana Al-Hambra, sebuah bangunan yang terkenal yang juga didirikan oleh masyarakat Islam di waktu itu. Terdapat juga satu bangunan di India yang sangat termasyhur yang dinamai Taj Mahal. Bangunan ini dibangun oleh umat Islam ketika itu dengan jumlah pekerja sebanyak puluhan ribu. Maj Mahal berdiri dengan indah dan gagah hingga ke hari ini. Sekarang ini di Malaysia dibangunkan Taman Tamadun Islam(TDI) di Terengganu juga Masjid Kristal di situ.

Mari kita renungkan pendapat tersebut. Kalau hanya untuk mendorong manusia membangun dan mendirikana istana-istana atau bangunan-bangunan yang indah seperti Al-Hambra, Taj Mahal dan sebagainya, kita rasa tanpa didatangkan Rasulullah, tanpa adanya Al Qur’an dan Islam, manusia juga dapat menghasilkan bangunan-bangunan yang indah seperti itu. Sejarah telah memaparkan kepada kita bagaimana Empayar Romawi dan Parsi yang merupakan dua kekuatan dunia di zaman sebelum Rasulullah SAW dapat melahirkan manusia-manusia yang bisa membangun bangunan-bangunan yang indah dan gagah yang juga masih dapat kita jumpai saat ini.

Juga di dalam Al Qur’an telah digambarkan bagaimana kaum Aad, kaum Tsamud, kerajaan Saba’ di negeri Yaman, ribuan tahun sebelum kedatangan Rasulullah SAW pernah membangun berbagai kemajuan, pernah mendirikan gudang-gudang besar, pernah membangun sistem pengairan yang besar sehingga dapat menyuburkan tanaman-tanaman mereka. Kaum ini juga tidak pernah didorong oleh Al Qur’an dan ajaran Islam. Ertinya, tanpa Rasulullah, tanpa Al Qur’an dan tanpa Islam pun mereka juga boleh membangun.

2.Kemudian pendapat yang lain lagi menyatakan bahwa keagungan dan kebesaran Islam itu karena Islam mendorong penganutnya untuk dapat menguasai bumi ini. Bahkan sampai tiga per empat muka bumi ini pernah dikuasai oleh umat Islam. Memang benar, para sahabat dan umat Islam di zaman salafussoleh telah dapat menguasai tiga perempat dunia ini. Akan tetapi kalau inilah yang menyebabkan Islam itu agung dan besar, maka kita rasa pandangan itu tidak tepat. Justeru pandangan ini boleh memperkecilkan Islam karena bangsa-bangsa sebelum Rasulullah seperti bangsa Romawi dan Parsi juga dapat menguasai wilayah jajahan yang begitu luas di tanah Arab. Bangsa Cina juga menguasai daerah jajahan yang luas. Bangsa Yunani juga pernah mempunyai tanah jajahan yang sangat luas sebelum kedatangan Rasulullah dan Islam. Bahkan bangsa-bangsa Eropah di suatu masa dahulu telah dapat menaklukkan banyak negara di dunia ini, termasuk negara kita ini. Mereka tidak didorong oleh Rasulullah dan Al Qur’an. Ertinya mereka dapat menaklukkan satu kawasan yang luas tanpa dorongan Rasulullah, tanpa dorongan Al Qur’an dan tanpa dorongan Islam.

Sebenarnya keinginan untuk berkuasa, keinginan untuk membangun dan berkemajuan, juga keinginan untuk mencari ilmu pengetahuan adalah fitrah manusia. Seperti juga manusia ingin makan, ingin berumah tangga dan sebagainya, semua itu adalah fitrah manusia. Semua yang menjadi fitrah manusia, tanpa perlu didorong-dorong, tanpa perlu diajar, semua bangsa dan kaum dapat bertindak secara automatik dan mengikuti apa saja yang dikehendaki oleh fitrahnya. Oleh karena itu, tanpa Rasulullah, tanpa Al Qur’an dan tanpa Islam, manusia dapat langsung bertindak untuk mencari ilmu pengetahuan, untuk membangun dan berkemajuan dan untuk memiliki wilayah kekuasaan. Dengan demikian maka bukan pada hal-hal tersebut letak keagungan dan kebesaran Islam.

Keagungan dan Kebesaran Islam (2)-Pendapat Yang Sebenarnya

Sebenarnya letak keagungan dan kebesaran Islam itu adalah bahwa setelah didatangkan Rasulullah SAW, barulah manusia dapat mengenal Allah dengan tepat melalui sifat-sifat-Nya, misalnya melalui sifat Rahman-Nya dan Rahim-Nya, melalui sifat Qadim-Nya dan lain-lain. Ertinya setelah Rasulullah didatangkan barulah manusia ini dapat mengenal Allah dengan sebenar-benarnya yang sebelum kedatangan Rasulullah SAW manusia hanya tahu tentang adanya pencipta bumi dan langit ini tetapi manusia tidak betul-betul mengenal siapa Allah. Manusia ketika itu hanya dapat merasakan adanya Allah tetapi tidak mengenal Allah dengan tepat sesuai pengertian yang sebenarnya. Manusia di saat itu juga tidak tahu bagaimana hendak menyembah Allah, walaupun rasa bertuhan itu ada. Jadi, sebelum diutusnya Rasulullah manusia hanya menyembah Allah mengikut cara-cara yang mereka pikirkan sendiri, tidak mengikut cara yang sebenarnya. Baru setelah didatangkan Rasulullah dan Al Qur’an manusia mengetahui bagaimana cara menyembah Allah.

Selain dari itu, sebelum didatangkan Rasulullah atau sebelum adanya Islam manusia hanya tahu adanya akhirat tetapi mereka tidak betul-betul mengetahui bagaimana akhirat itu sebenarnya. Manusia juga tidak mengetahui tentang syurga dan neraka mengikut pengertian yang tepat. Setelah kedatangan Rasulullah, Al Qur’an dan Islam, barulah manusia mengetahui bagimanakah akhirat itu sebenarnya dan barulah manusia ini mengenal Syurga dan neraka dengan tepat. Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah dapat memperkenalkan kepada manusia tentang Syurga dan neraka yang sebenar-benarnya.

Kita dapati di sini bahwa kedatangan Islam kepada umat ini menjadikan manusia dapat benar-benar mengenal Allah SWT, dapat mengenal negeri akhirat serta dapat pula mengetahui tentang Syurga dan neraka dengan tepat. Hasil daripada pengenalan ini, manusia dapat melahirkan rasa takut dan merasakan kehebatan Allah SWT, dapat merasa takut kepada neraka Allah dan cinta kepada syurga Allah. Dengan keyakinan inilah maka manusia dapat melawan hawa nafsu dan syaitan. Sebelum memiliki keyakian ini, manusia begitu mudah digoda nafsu dan syaitan padahal kita tahu bahwa syaitan itu adalah musuh manusia yang amat nyata seperti yang diperingatkan oleh Allah melalui firman-Nya:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagimu.” (QS Al Baqarah 168)


Sedangkan nafsu senantiasa membujuk manusia agar berbuat jahat seperti yang tersebut dalam firman Allah yang artinya:

“Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak manusia berbuat kejahatan” (QS Yusuf 53)

Jelaslah bagi kita bahwa syaitan dan hawa nafsu itu sentiasa mengajak kita menjadi derhaka kepada Allah SWT dan memujuk kita agar tidak mempedulikan akhirat, Syurga dan neraka. Tetapi dengan Islam yang dibawa oleh Rasulullah, maka manusia menjadi mengenal Allah, merasa takut dan merasakan kehebatan-Nya dan juga mengenal Syurga dan neraka sehingga manusia dapat melawan hawa nafsu dan syaitan. Inilah yang tidak dapat dicapai dengan berbagai kemajuan dan pembangunan material. Dengan berbagai kemajuan itu manusia tetap tidak dapat melawan hawa nafsu. Karena itulah, semakin banyak membangun dan semakin maju manusia itu, semakin bertambah derhaka kepada Allah. Semakin manusia menguasai wilayah kekuasaan yang luas dan semakin menindas dan menzalimi. Manusia yang menguasai berbagai macam hilmu pengetahuan belum tentu dapat melawan nafsu dan syaitan. Oleh kerana itu, tidak hairan betapa banyak orang yang memiliki ilmu pengetahuan yang luas tetapi masih tetap derhaka dan ingkar kepada Allah.

Apakah hasil daripada manusia dapat melawan hawa nafsu dan syaitan ini?
* Pada awalnya nafsu dan syaitan ini bersifat bakhil dan tamak dan kemudian mendorong manusia untuk bersifat bakhil dan tamak. Tetapi jika sesorang itu dapat melawan hawa nafsu dan syaitan karena takut kepada Allah, takut kepada neraka Allah dan rasa cinta kepada Syurga, maka dia takan terdorong untuk sanggup berkorban.
* Kemudian nafsu dan syaitan pula bersifat sombong yang mengakibatkan manusia menjadi bersikap sombong. Tetapi apabila seseorang dapat melawan hawa nafsu ini karena dia takut kepada Allah, takut kepada neraka dan cinta kepada Syurga, maka dia akan dapat bersikap rendah hati kepada Allah dan kepada sesama manusia, terutamanya kepada sesama kaum muslimin.
* Hawa nafsu dan syaitan juga bersifat tidak mahu mengakui kesalahan jika berbuat salah. Tetapi jika seseorang itu mau melawan dorongan hawa nafsu dan syaitan, maka dia terdorong mau mengakui kesalahan dirinya sendiri. Ini adalah karena manusia itu sudah merasa takut kepada Allah, takut kepada neraka Allah dan cinta kepada Syurga.
* Selain itu, nafsu dan syaitan bersifat tidak suka memaafkan kesalahan orang lain. Tetapi apabila seseorang itu dapat melawan hawa nafsu dan syaitan karena telah kenal dan takut kepada Allah serta takut kepada neraka dan cinta Syurga, maka dia sanggup memberi maaf kepada orang lain yang berbuat kesalahan kepada dirinya.
* Begitu juga hawa nafsu dan syaitan itu bersikap gelisah bila berhadapan dengan kesusahan. Akan tetapi jika seseorang itu dapat melawan hawa nafsu dan syaitan karena takut kepada Allah, takut kepada neraka dan cinta kepada Syurga, maka dia dapat bersikap sabar dan redha ketika berhadapan dengan kesusahan dan bala bencana.
* Kemudian hawa nafsu dan syaitan pula bersikap kejam dan zalim. Tetapi apabila seseorang itu dapat melawan syaitan dan hawa nafsu ini dia akan terdorong untuk bersikap belas dan kasih.

Jelaslah bahwa hasil dari upaya manusia dalam melawan hawa nafsu dan syaitan, maka manusia akan menjadi pemurah dan suka berkorban, rendah hati kepada Allah dan manusia, sanggup mengakui kesalahan diri sendiri, bersedia memaafkan kesalahan orang lain, sanggup bersikap sabar dan redha dan belas kasih. Inilah rahasia untuk melahirkan kasih sayang di tengah masyarakat dan inilah rahasia untuk mewujudkan ketenangan, kedamaian serta keamanan di tengah kehidupan manusia.

Kasih sayang, keamanan serta kedamaian di dalam kehidupan manusia ini tidak akan lahir kalau manusia tidak takut kepada Allah, tidak takut kepada neraka Allah dan tidak cinta kepada Syurga Allah. Manusia yang tidak taku kepada Allah akan bersifat tamak dan rakus, tidak sabar dengan ujian-ujian hidup, bersifat sombong dan kejam dan sebagainya. Akhirnya timbullah perkelahian, perselisihan dan pertentangan di tengah-tengah masyarakat yang menyebabkan hilangnya kedamaian dan ketenangan dalam kehidupan manusia. Inilah akan terjadi walaupun manusia itu maju dan membangun, mempunyai kekuasaan dan wilayah jajahan yang luas dan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi.

Jadi, yang mampu melahirkan keamanan dan kedamaian di tengah-tengah kehidupan adalah manusia yang dapat melawan hawa nafsu dan syaitan sehingga menjadikan manusia itu memiliki sifat mau berkorban, sabar dan redha, pemaaf, berkasih sayang dan sebagainya. Ini adalah hasil dari rasa takut kepada Allah, takut kepada neraka dan cintakan Syurga Allah. Inilah yang terjadi di zaman Rasulullah, di zaman para sahabat, tabiin dan salafussoleh. Hal ini tidak terjadi di zaman kita dan di kalangan masyarakat Islam kita hari ini karena kita tidak mengikuti ajaran Islam itu dengan sungguh-sungguh.