This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Sunday, January 31, 2010

Mengenal Diri Melalui Rasa hati(3): Bukti-Bukti Susahnya Mengamalkan Syariat Batin

Mengamalkan syariat adalah susah. Buktinya lihat sahaja umat Islam hari ini bukan sedikit yang tidak sembahyang, tidak puasa, tidak membayar zakat, tidak tahu baca Quran, tidak belajar agama, tidak menutup aurat, melakukan pergaulan bebas, ambil riba, zina, arak, menipu, mengadu domba, fitnah memfitnah dan macam-macam lagi yang semuanya sangat bersalahan dengan syariat. Umat Islam yang beria-ia mengaku ke-Islaman mereka hari ini ialah umat Islam yang gagal menegakkan syiar Islam dalam kehidupan rumah tangga dan masyarakat mereka. Bukan mereka tidak tahu apakah dia syariat Islam yang diperintahkan pada mereka, tetapi mereka tidak mampu melaksanakannya. Mereka lemah untuk melawan runtunan hawa nafsu dan syaitan yang kuat menarik kepada jalan-jalan kejahatan dan kerosakan. Begitulah susahnya untuk mengamalkan syariat Islam. Dan itulah masalah besar yang dihadapi oleh majoriti umat Islam hari ini. Namun, melakukan amalan batin adalah lebih susah dari itu. Sebab ia merupakan ilmu rasa zauk dan bukan ilmu kata, bukan sebutan dan teori tetapi adalah rasa hati. Bukan sahaja orang yang lemah syariatnya tidak dapat melaksanakannya hatta orang yang sudah kuat dan kemas syariat lahir pun masih belum dapat merasai dan menghayatinya. Buktinya, kita sendiri dapat merasakan. Sekalipun sedikit sebanyak kita sudah lakukan syariat lahir seperti sembahyang fardhu, sembahyang sunat, puasa, zakat, haji, berjuang dan berjihad, belajar ilmu-ilmu agama malah mengajar orang lain menutup aurat, berdakwah dan lain-lain, tetapi kita masih lalai dari mengingati Allah dan tidak cinta pada-Nya, tidak ada rasa takut, hebat dan hina diri denganAllah. Tidak sabar berdepan dengan ujian, tidak merasai kuasa itu di tangan Allah, tidak rasa diri berdosa. Masih suka mengumpat, berhasad dengki, cinta dunia, tidak ada belas kasihan, tidak berlapang dada berdepan dengan ragam manusia, sombong, pemarah, pendendam, jahat sangka, tamak, degil, keluh kesah, putus asa, tidak redha dengan takdir, tidak bimbang dengan hari hisab, tidak takut Neraka, tidak rasa rindu dengan Syurga yang penuh kenikmatan. Dan kita menganggap sebab-sebab itulah yang menjayakan diri kita, tidak merasai yang mana bila-bila masa sahaja Allah boleh balakan dan matikan kita. Dan dengan sebab itu pula kita membuat hutang, gila pangkat, membuat macam-macam rancangan, tidak rasa kelemahan diri, tidak senang dengan kata nista orang, tidak senang dengan kelebihan orang yang menandingi kita, rasa menderita dengan kemiskinan, masih benci dengan orang yang tidak beramal (bukan rasa kasihan), masih merasai lebih bila berdepan dengan orang yang tidak beramal, masih rasa terhina untuk menerima kebenaran dari orang lain, masih berat untuk mengakui kesalahan walaupun sedar kita sudah bersalah. Rasa menderita jiwa bila dikeji, rasa tenang dan senang hati bila disanjung, masih rasa bangga bila dapat nikmat, masih merasa mahu hidup lama lagi, rasa menderita bila miskin dan papa. Rasa bangga dengan kelebihan diri, rasa terhina dengan kekurangan, tidak pernah puas (cukup) dengan apa yang ada, tidak rasa berdosa (bersalah), tidak rasa dunia kecil dan hina, tidak rasa akhirat besar, tidak menderita bila buat dosa atau kesalahan tetapi menderita bila harta hilang dan pangkat terbang.

Orang yang kemas dan kuat syariat lahir pun masih belum dapat melaksanakan amalan batin (syariat batin) secara “istiqamah” dan sungguh-sungguh, apa lagi orang yang amalan lahirnya diabaikan langsung, lagi susahlah dia mendapatkan amalan batin. Kalau diumpamakan syariat itu pokok, maka amalan batin ialah buahnya. Orang yang sudah ada pokok pun belum tentu memperolehi buahnya (dan kalau dapat pun belum tentu sedap buahnya), apa lagi orang yang langsung tidak tanam pokok. Begitulah bandingannya orang yang tidak bersyariat. Susah sekalilah baginya untuk merasakan hakikat. Kalau lahirpun dia tidak dapat tunduk pada Allah, tentu batinnya lagi susah untuk diserahkan pada Allah.

Di antara tanda susahnya mendapat hakikat (amalan batin) ialah:
1. Ketika kita sembahyang, lahirnya kita berdiri, rukuk dan sujud dengan mulut terkumat-kamit memuji dan berdoa pada Allah, tetapi hati kita (ingatan dan fikiran) di mana? Adakah juga mengadap Allah, khusyuk dan tawadhuk serta rasa rendah dan hina diri dengan penuh pengabdian dan harapan serta malu dan takut pada Allah SWT? Ataukah hati terbang menerawang ke merata-rata tempat dengan membelakangkan Allah Yang Maha Perkasa yang sedang disembah? Begitu juga ketika sedang membaca Al Quran, bertahlil, zikir dan wirid, berselawat dan bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Adakah roh kita turut menghayatinya? Atau waktu itu ia sedang merasakan satu perasaan yang tidak ada sangkut paut dengan amalan lahir yang sedang dilakukan?

2 . Pernahkah kita rasa indah dapat bersendirian di tempat sunyi kerana mengingati Allah dan menumpukan perhatian sepenuhnya pada-Nya, merasa rendah dan hina diri, menyesali dosa dan kelalaian, mengingatinya sambil berazam untuk membanyakkan amal bakti pada-Nya?

3. Kalau ada orang Islam yang sakit menderita atau miskin, adakah hati kita rasa belas kasihan untuk membantu atau tolong doakan dari jauh agar dia selamat?

4. Pernahkah pula kita menghitung dosa-dosa lahir dan batin sambil menangis kerana “istighfar” kita terlalu sedikit dibandingkan dengan dosa kita yang menyebabkan kita nanti jadi bahan bakar api neraka?

5. Selalukah hati kita sentiasa ingat pada mati yang boleh sahaja mendatangi kita sebentar lagi, kerana memang boleh Tuhan berbuat begitu cuma kalau tidak dimatikan itu adalah kerana Tuhan mahu kita mencuba lagi untuk mencari jalan mendekatkan diri pada-Nya?

6. Pernahkah kita menghitung berapa banyak harta kita, duit kita, rumah kita, kereta kita, perabot kita, pinggan mangkuk kita, periuk belanga kita, kain baju kita, kasut kita, makanan kita dan lain-lain kepunyaan kita yang berada di dalam simpanan kita yang lebih daripada perlu (halal) yang mana semua itu akan dikira-bicara dan dihisab dan ditanya, dicerca dan dihina oleh Allah di padang mahsyar nanti kerana membesarkan dunia dan memperkecilkan akhirat?

7. Pernahkah kita menungkan orang-orang yang pernah kita kasari, umpat, tipu, fitnah, hina dan aniaya samada suami, isteri, ibu bapa, saudara mara, sahabat, jiran dan siapa sahaja, supaya kita meminta maaf dan membersihkan dosa dengan manusia, di dunia lagi tanpa menunggu ketibaan hari yang dahsyat(hari kiamat)?

8. Apabila Allah merasakan sakit pada kita atau pada orang lain yang kita kasihi (walau apa jua jenis sakit itu), dapatkah kita tenangkan hati dengan rasa kesabaran dan kesedaran bahawa sakit ialah kifarah dosa atau sebagai darjat dan pangkat di sisi Allah SWT?

9. Ketika menerima takdir atau rezeki yang tidak sesuai dengan kehendak kita, dapatkah kita rasa redha ia sebagai satu pemberian Allah yang patut untuk kita?

10. Di kala sesuatu yang kita ingini dan cita-citakan tidak kita perolehi, dapatkah kita tenangkan perasaan kita dengan rasa insaf akan kelemahan dan kekurangan diri sebagai hamba Allah yang hina dina, yang menggantungkan hidup mati dan rezeki sepenuhnya pada Allah?

11. Di waktu mendapat nikmat, terasakah di hati bahawa ianya sebagai pemberian Allah lalu timbul rasa terima kasih (syukur) pada Allah SWT dan rasa takut kalau-kalau ianya tidak dapat digunakan kerana Allah dan berazam untuk menggunakan nikmat itu untuk Allah jua?

12. Kalau kita miskin dapatkah kita rasa bahagiadengan kemiskinan itu dan rasa lapang kerana tidak payah lagi mentadbir nikmat Allah hingga tidak mahu mengadu-ngadu dan meminta pada manusia kecuali pada Allah?

13. Kalau ada orang mencerca kita bolehkah hati kita merasa senang dan tenang lalu kita diamkan sahaja (tanpa sakit dan susah hati dan dendam) bahkan kita maafkan orang itu sambil doakan kebaikan untuknya sebab merasakan ia telah memberi pahala pada kita melalui cercaannya itu?
Imam As Syafie ada berpuisi:
Apabila seorang yang jahat mencerca aku, bertambah tinggi lagi kehormatanku.Tidak ada yang hina itu kecuali kalau aku yang mencercanya.

14. Begitu juga kalau orang menipu, menganiaya dan mencuri harta kita, mampukah kita relakan saja atas dasar kita mendapat pahala menanggung kerugian itu?

15. Di waktu kita rasa kita bersalah dengan seseorang, datangkah rasa takut akan kemurkaan Allah pada kita dan sanggupkah kita minta maaf sambil mengaku kesalahan kita?

16. Selepas kita melakukan usaha dan ikhtiar atas kerja-kerja kita, adakah dapat kita lupakan usaha kita itu kerana menyerahkannya pada Allah atau kita rasa besar dan terpaut dengan usaha kita itu hingga kita rasa senang dan tenang dengan usaha kita itu?

17. Kalau orang lain dapat kesenangan dan kejayaan dapatkah kita rasa gembira dan turut bersyukur dan mengharapkan kekalnya nikmat itu bersamanya tanpa hasad dengki dan sakit hati?

18. Setiap kali orang bersalah, lahirkah rasa kasihan kita padanya, di samping ingin membetulkannya tanpa menghina dan mengumpatnya?

19. Kalau ada orang memuji kita adakah kita rasa susah hati sebab pujian itu boleh merosakkan amalan kita dan dapatkah kita bendung hati dari rasa bangga dan sombong, kemudian mengembalikan pujian pada Allah yang patut menerima pujian dan yang mengurniakan kemuliaan itu?

20. Bolehkah kita menunjukkan rasa kasih sayang dan ramah tamah dengan semua orang sekalipun orang bawahan dari kita?

21. Selamatkah kita dari jahat sangka dan prasangka pada orang lain?

22. Kalau kita diturunkan dari jawatan atau kekayaan kita hilang, selamatkah kita dari rasa kecewa dan putus asa kerana merasakan pemberian jawatan dan penurunannya ialah kerja Allah? Sebab itu kita redha.

23. Sanggupkah kita bertolak ansur dengan orang lain di waktu orang itu memerlukan apa yang kita juga perlukan?

24. Adakah kita sentiasa puas dan cukup dengan apa yang ada tanpa mengharapkan apa yang tidak ada?

Untuk memberi jawapannya pada semua persoalan-persoalan di atas adalah susah kerana memang susah melakukan amalan-amalan batin, amat sulit dan rumit. Hingga kerana itu ramai orang yang tidak nampak dan tidak mempedulikannya. Namun, bagi mereka yang betul-betul mahu mendekatkan dirinya pada Allah di sinilah perhatian dan minatnya tertumpu. Dia akan berusaha tanpa jemu untuk melakukan amalan-amalan batin dan menyuburkannya sepanjang masa dan ketika dengan cara mujahadatunnafsi. Dia akan mendidik hatinya itu supaya biasa dan suka dengan amalan batin malah dia sanggup berkorban (mujahadah) untuk itu.
Para ulama berkata:
‘Perjuangan itu 10 bahagian. Satu bahagian ialah perjuangan menentang musuh-musuh lahir (orang kafir, munafik, Yahudi dun Nasrani), di waktu-waktu yang tertentu sahaja (bukan sepanjang masa). Manakala 9 bahagian lagi ialah perjuangan menentang musuh batin (nafsu dan syaitan) yang tiada hentinya yakni sepanjang masa. ”

Amalan batin memang susah dibandingkan dengan amalan lahir. Tetapi ia pula lebih penting dari
yang lain.
Sabda Rasulullah SAW:
Terjemahannya: Bahawasanya Allah tidak memandang akan rupa dan harta kamu, tetapi Dia memandang hati dan amalkamu.(Riwayat Muslim)

Dan Allah berfirman:
Terjemahannya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada kaum itu, sehinggalah mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka (hati mereka). (Ar Raad : 11)

Kalau hati kita jahat, Allah tidak akan bantu kita. Kalau hati kita busuk Allah langsung tidak pandang kita. Begitulah keutamaan amalan batin. Tiap umat Islam wajib melakukannya. Kalau kita cuai ertinya sepanjang hidup kita berada dalam dosa. Dosa batin yang tidak kita sedari.
Marilah kita bersihkan dosa lahir dan dosa batin kita. Mari kita bermujahadah untuk itu. Moga-moga Allah merestui kita:

Thursday, January 21, 2010

Mengenal Diri Melalui Rasa Hati(2):Amalan Lahir (syariat) dan Amalan Batin (hakikat)

SYARIAT ialah apa sahaja amalan-amalan lahir yang diperintahkan kepada umat Islam sama ada wajib atau sunat. Dan apa sahaja yang ditegahkan sama ada yang haram atau makruh termasuk juga amalanamalan yang harus kedudukannya.

Syariat lahir terbahagi dua:
1. Hablumminallah
2. Hablumminannas

Hablumminallah ialah amalan-amalan yang ‘termasuk persoalan ibadah. Contohnya sembahyang, puasa, zakat, haji, baca Quran, doa, zikir, tahlil, selawat dan lain-lain.
Hablumminann as ialah amalan-amalan lahir kita yang termasuk dalam bidang-bidang muamalat (kerjakerja yang ada hubungkait dengan masyarakat), munakahat (persoalan kekeluargaan) dan jenayah serta tarbiah Islamiah, soal-soal siasah, fisabilillah, jihad dan persoalan alam sejagat.

HAKIKAT pula ialah apa jua amalan batin yang diperintahkan ataupun yang ditegah oleh Allah SWT kepada umat Islam. Amalan yang diperintahkan dikenali sebagai sifat “mahmudah (sifat-sifat terpuji) dan yang ditegah ialah sifat “mazmumah” (sifat-sifat terkeji).

Hakikat juga terbahagi dua:
1. Berakhlak dengan Allah
2. Berakhlak dengan manusia

Antara bentuk-bentuk akhlak dengan Allah ialah:
1. Mengenal Allah dengan yakin;
2.Merasa kehebatan Allah;
3. Merasa gerun dengan Neraka Allah;
4.Merasa sentiasa diawasi oleh Allah;
5.Merasa hina diri dan malu dengan Allah;
6.Meredhai setiap takdir dan ketentuan Allah;
7.Sabar di atas sebarang ujian Allah;
8.Mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah;
9.Menyintai Allah;
10.Merasa takut pada Allah atas kecuaian dan dosa-dosa kita;
11.Tawakal kepada Allah;
12.Merasa harap pada rahmat Allah;
13.Rindu pada Allah;
14.Sentiasa mengingati Allah;
15.Rindu pada syurga Allah kerana ingin bertemu dengan-Nya.

Bentuk-bentuk akhlak kepada manusia:
1.Mengasihinya sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri;
2.Merasa gembira di atas kegembiraannya dan tumpang berdukacita kerana kedukacitaannya;
3.Menginginkan kebahagiaan untuknya di samping berharap agar kecelakaan menjauhinya;
4.Benci pada kejahatannya tetapi kasihan pada dirinya hingga timbul perasaan untuk menasihatinya;
5.Pemurah padanya;
6.Bertolak ansur dengannya;
7.Mengenang jasanya dan berusaha membalasinya kerana Allah;
8. Memaafkan kesalahannya dan sanggup meminta maaf atas kesalahan padanya;
9.Kebaikannya disanjung dan diikut, kejahatannya dinasihati dan dirahsiakan. Lapang dada berdepan dengan ragam manusia;
10.Baik sangka terhadap orang Islam;
11.Tawadhuk dengan manusia.

Kedua-dua syariat dan hakikat adalah perkara-perkara yang sangat penting untuk membentuk peribadi yang benar-benar bertaqwa dan terlepas dari sifat-sifat nifaq. Kita wajib mengamalkan kedua-duanya serentak dan seiring. Namun adalah diakui bahawa bukanlah mudah bagi kita untuk mengamalkannya. Allah SWT menjelaskan ini dengan firman-Nya dalam surah Al Baqarah:

Terjemahannya:
Mintalah bantuan dalam urusanmu dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu adalah sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk iaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa kepada Nyalah mereka akan kembali (Al Baqarah : 45)

Allah SWT mengatakan untuk menjadi orang yang sabar itu susah dan untuk menjadi orang-orang yang tetap bersembahyang itu juga susah. Maknanya kedua-dua amalan lahir dan batin itu memang susah untuk diamalkan. Tetapi ianya jadi mudah dan senang bila kita dapat memiliki sesuatu yang lebih penting dari keduanya iaitu rasa khusyuk dengan Allah (rasa diawasi Allah setiap masa), yakni yakin akan pertemuan dan pengembalian diri ke hadrat
Allah SWT di akhirat nanti. Dari situ fahamlah kita bahawa antara kedua-dua amalan lahir dan batin, yang mesti diberatkan dan didahulukan pada diri kita ialah amalan batin. Kita usaha dapatkan dulu rasa khusyuk atau yakin akan kewujudan Allah serta pertemuan kembali kita dengan-Nya di satu hari nanti. Kemudian nanti, barulah kita akan ada kekuatan untuk mengamalkan syariat dan hakikat.

Tanpa rasa khusyuk itu, kita tidak akan dapat mengalahkan hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa bersungguh-sungguh mengajak kita menderhakai Allah. Inilah panduan kita untuk memperjuangkan Islam dalam diri manusia. Apa yang mesti didahulukan ialah berusaha supaya hatinya berubah, dari hati yang tidak kenal Allah kepada hati yang khusyuk dan cinta kepada Allah. Dari hati yang lalai kepada hati yang sentiasa ingatkan Allah. Bila hati sudah cinta Allah akan ringanlah manusia itu menerima dan mengamalkan syariat Allah lahir dan batin.

Sunday, January 17, 2010

Mengenal Diri Melalui Rasa Hati(1): Muqadimah

ISLAM yang Allah redhakan kepada kita yang disampaikan melalui pesuruh-Nya Nabi Muhammad SAW adalah satu syariat yang menyuluh persoalan hidup lahir dan batin. Syariat lahir disebut syariat. Syariat batin disebut hakikat. Ini amat patut dan sesuai dengan struktur kejadian manusia itu sendiri yang mana merupakan kombinasi dan paduan antara jasad lahir dan jasad batin.
Jasad lahir ialah semua anggota kita yang nampak dengan mata kasar. Manakala jasad batin ialah jasad ghaib yang menggerakkan seluruh anggota lahir yang boleh berfikir, merasa, mengingat, mengetahui, memahami dan apa sahaja yang kita miliki dalam diri kita masing masing (yang lebih dikenali sebagai roh). Allah SWT menetapkan bahawa syariat lahir adalah untuk diamalkan oleh jasad lahir manakala syariat batin adalah untuk diamalkan oleh jasad batin iaitu roh. Sesuai dengan lahir batin kita yang berpadu erat tanpa terpisah-pisah maka amalan lahir dan batin wajib dilaksanakan serentak dalam satu masa di semua waktu dan semua keadaan. Kalau kita mengasingkan atau menolak salah satu dari amalan ini kita tidak mungkin menjadi hamba Allah (Islam) yang sebenar sebab Islam memandang syariat itu sebagai kulit, manakala hakikat itu ialah intipati. Kedua-duanya sama penting dan saling perlu memerlukan, ibarat kulit dan isi pada buah-buahan. Kedua-duanya mesti ada untuk kesempurnaan kewujudan buah itu sendiri. Tanpa kulit isi tidak selamat malah isi tidak mungkin ada kalau kulit tidak ada. Sebaliknya tanpa isi, kulit jadi tiada bererti apa-apa. Sebab buah dimakan bukan pada kulit tetapi isinya. Begitu juga hubungan antara’ syariat dan hakikat, Kedua-duanya mesti diterima dan diamalkan serentak. Kedua-duanya saling isi mengisi dan perlu, memerlukan. Kalau kita bersyariat sahaja (ertinya berkulit sahaja tanpa isi), itu tidak membawa erti apaapa di sisi Allah.

Sabda Rasulullah SAW :
Terjemahannya:
Allah tidak memandang rupa dan harta kamu tetapi Dia memandang hati dan amalan kamu. (Riwayat: Muslim)

Sebaliknya kalau kita berhakikat sahaja (isi tanpa kulit), maka tiada jaminan keselamatan oleh Allah SWT. Hakikat itu akan mudah rosak dan kita tiada akan memperolehi apa-apa langsung, hatta Islam kita akan rosak tanpa sedar.

Berkata Imam Malik Rahimahullahu Taala:
Terjemahannya:
Barangsiapa berfeqah (syariat) dan tidak bertasawuf maka ia jadi fasik. Barangsiapa yang bertasawuf (hakikat) tanpa feqah maka ia adalah kafir zindik.

Ertinya kita mesti mengamalkan kedua-duanya sekali iaitu syariat dan hakikat. Kalau kita ambil salah satu kita tidak akan selamat. Kalau kita bersyariat sahaja tanpa dibendung oleh hakikat, kita jadi fasik. Dan kalau kita berhakikat sahaja tanpa kawalan syariat, maka hakikat itu akan mudah rosak dan bila terjadi begitu kita akan jatuh kafir zindik (kafir tanpa sedar) . Begitulah kepentingan kedua-dua syariat dan hakikat. Tetapi dalam keadaan keduanya, hakikatlah yang lebih utama.

Benarlah sabda Rasulullah SAW :
Terjemahannya:
Allah tidak memandang rupa dan harta kamu tetapi Dia memandang hati dan amalan kamu. (Riwayat: Muslim)

Bukanlah bermakna syariat itu tidak dituntut, bahkan syariat juga adalah hukum-hukum yang fardhu yang wajib diamalkan oleh semua umat Islam. Cuma dalam keadaan keduanya (syariat dan hakikat) itu sama-sama diamalkan, Allah memberi keutamaan pada amalan hakikat. Bandingannya, antara kulit dan isi buah (dalam keadaan keduanya sama pentingnya) tetapi manusia memberi keutamaan pada isi sebab ia boleh dimakan. Begitulah peranan hakikat. Ia menjadi penentu kepada berakhlak atau tidaknya seseorang manusia kepada Allah dan kepada sesama manusia. Orang yang tinggi pencapaian tasawufnya adalah orang yang hatinya hampir dengan Allah, sentiasa merasakan kebesaran Allah, sedang dirinya maha lemah dan sentiasa memerlukan pertolongan Allah, sangat beradab dengan Allah dan adalah seorang zahid yang dapat mengorbankan dunia untuk Tuhannya. Seorang zahid juga adalah seorang yang mampu mengasihi semua manusia, bersedia untuk susah untuk manusia dan yang bakal menyelamatkan manusia dari tipuan dunia, nafsu dan syaitan. Sebaliknya orang yang lemah dalam amalan batin adalah orang yang jauh dan terpisah hatinya dari Allah (tidak takut dengan Allah, tidak malu, tidak harap, tidak cinta Allah, tidak redha dan tidak sabar), kurang beradab dengan Allah (penuh hasad, sombong, bakhil, dendam dan pemarah) dan seorang pencinta dunia yang bekerja keras hanya untuk dunianya. Orang begini selalu dibelenggu oleh kecintaannya itu hingga menjadikan ia takut untuk berjuang dan berjihad untuk agama Allah dan untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi. Orang yang tidak berhakikat (sekalipun sembahyangnya banyak, puasa, baca Quran dan gigih berjuang) adalah orang yang kurang berakhlak dengan Allah dan kurang berakhlak dengan manusia.

Kekurangan pada amalan batin inilah yang menjadikan orang-orang yang tidak berhakikat itu selalunya mati dalam dosa yang tidak sedar. Mungkin dosa kerana buruk sangka dengan Allah, putus asa dengan ketentuan Allah, tidak redha dengan takdir Allah dan dosa kerana merasakan amalan lahirnyalah yang bakal menyelamatkan dirinya dari neraka Allah. Rasa riak, ujub atau rasa diri bersih itu adalah dosa batin yang tiada siapa yang nampak, bahkan yang empunya diri pun tidak dapat mengesannya. Kecualilah orang yang mempunyai basirah (pandangan hati yang tembus) sahaja yang boleh mengesannya. Nanti di akhirat bila Allah dedahkan segala kesalahannya (dosa-dosa batin itu), baru dia terkejut dan tersentak.

Ulama tasawuf berkata:
“Biarlah sedikit amalan beserta rasa takut pada Allah, kerana itu lebih baik daripada banyak amalan tetapi tiada rasa takut dengan Allah.

Lebih baik orang yang merasa berdosa dan bersalah dengan Allah daripada orang yang banyak amalan tetapi tidak rasa berdosa pada Allah bahkan dia merasa tenang dengan amalan itu.”

Firman Allah:
Terjemahannya:
"Hari kiamat ialah hari di mana harta dan anak-anak tidak dapat memberi manfaat, kecuali mereka yang mengadap Allah mem bawa hati yang selamat sejahtera". (Asy Syuara: 88-89)

Hati yang selamat sejahtera ialah hati yang bertaqwa yang berisi iman, yakin, ikhlas, redha, sabar, syukur, tawakal, takut, harap dan lain-lain rasa hati dengan Allah SWT. Hati yang sentiasa merasa sihat dalam sakit, kaya dalam kemiskinan, ramai dalam keseorangan, lapang dalam kesempitan dan terhibur dengan apa sahaja ujian kerana ia bersikap redha dengan apa sahaja pemberian Tuhannya. Untuk memperolehi hati yang begini, kita mesti bersungguh sungguh melawan hawa nafsu untuk melakukan amalan lahir dan batin (syariat dan hakikat). Kedua-duanya akan saling kawal mengawal untuk mengangkat kita ke taraf taqwa. Syariat dan hakikat akan mendidik dan memimpin kita menjadi seorang insan yang kamil yang mampu memenuhi keinginan dan keperluan fitrah semulajadi manusia secara suci lagi mulia. Orang beginilah yang Allah maksudkan sebagai golongan as siddiqin atau golongan al ‘Ariffin. Sifat mereka Allah senaraikan dalam Surah Al Furqaan ayat 63 - ‘74:

Terjemahannya:
"Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang (hamba-hamba yang baik) itu ialah mereka yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.
Dan mereka yang berjaga di malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka (orang -orang yang bersembahyang tahajjud di malam hari semata-mata kerana Allah). Dan orang -orang yang berkata: YaTuhan kami, jauhkanlah azab jahannam dari kami. Sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal. Sesungguhnya jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dun tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) pertengahan. Dan mereka juga tidak mengharap (menyembah) yang lain di samping Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (orang Islam) kecuali yang dibenarkan syarak (pembunuh, penzina murtad) dan tidak juga berzina. Barangsiapa yang melakukan yang demikian itu nescaya dia akan menerima pembalasan dosanya. (Yakni) akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia kekal dalam azab itu dalam keadaan terhina. Kecuali mereka yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, kejahatan mereka Allah gantikan dengan kebajikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan orang-orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh maka sesungguhnya mereka bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan diri. Dan orang-orang yang apabila diberi ingatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka tidaklah mereka menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta. Dan orang-orang yang sering berdoa: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa".

Merekalah orang-orang yang bertaqwa yang akan memperolehi ketenangan hidup di dunia dan di akhirat. Tempat untuk kita mempelajari dan mencontohi kehidupan yang berbahagia ini ialah kehidupan solafussoleh. Mereka telah menjalani suatu kehidupan yang mana mereka menerima dan mengamalkan sepenuhnya kehendak syariat dan hakikat. Dan hasilnya, mereka (para solafussoleh) menjadi orang-orang yang bahagia lagi membahagiakan orang lain. Sejarah 15 abad yang silam memberitahu kepada kita bahawa 3/4 dunia menjadi tenang, aman dan damai di bawah pentadbiran mereka. Dan kawan mahupun lawan terasa selamat berada di dalam kekuasaan mereka. Demikianlah, dan inilah satu kenyataan bahawa kiranya manusia patuh menjalani syariat lahir dan batin, selamat dan berbahagialah mereka di dunia dan di akhirat.

Allah berfirman:
Terjemahannya: "Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan amal soleh di antara kamu bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana diberi kuasa kepada orang sebelum mereka Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barangsiapa yang engkar sesudah (janji) itu,maka mereka itulah orang-orang fasik".
(An Nur: 55)