This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Sunday, July 5, 2009

Manusia Ditimpa Penyakit Jiwa

Di akhir zaman banyak manusia ditimpa penyakit jiwa
Jiwa tidak tenang sekalipun sudah berkuasa dan kaya
Sudah ternama, sudah glamour, sudah dikenal
Di waktu itu segala yang dimiliki tiada memberi faedah apa-apa
Duduk di rumah gelisah, duduk di pejabat resah
Salah sedikit orang lain, mudah marah-marah
Segala yang dilihat tiada yang indah
Fikiran berserabut, jiwa parah
Yang tiada beriman bunuh diri
Yang lemah iman terlibat dengan bermacam-macam jenayah
Rasuah, arak, judi, zina, menzalim manusia
Di dalam rumah tiada ukhwah,tiada harmoni, tiada sekata
Mereka ditimpa neraka dunia
Sebelum Neraka di Akhirat sana
Aduh kalau di dunia tiada bahagia
Apakah di Akhirat nanti dapat bahagia
Pada Tuhan ada kebahagiaan, pada Tuhan ada ketenangan
Serahlah diri kepada-Nya, redhalah dengan ketentuan-Nya
Buanglah mazmumah, hiasilah diri dengan mahmudah
Di sinilah rahsia kebahagiaan, di sinilah rahsia keindahan

Saturday, July 4, 2009

Jihad Menegakkan Islam Melalui Kasih Sayang

Islam tidak akan tegak kecuali melalui jihad atau perjuangan.Namun bukan mudah untuk memperjuangkan kebenaran. Sebelum melangkah ke gelanggang perjuangan terlebih dahulu
mesti memiliki ilmu dan kefahaman tentang perjuangan. Betapa susahnya perjuangan menegakkan kebenaran itu kerana kebenaran itu amat mahal dan tinggi nilainya. Sedikit sahaja di kalangan umat Islam ini yang mampu perjuangkan kebenaran kerana untuk memiliki ilmu dan memahami segala liku dan selok-belok perjuangan itu sudah amat sukar, betapalah untuk menempuh perjuangan itu sendiri. Kita sudah terlalu jauh dari kehidupan perjuangan Rasulullah SAW dan para Sahabat. Tiada siapa yang berupaya mentafsirkan erti perjuangan itu secara tepat. Masing-masing ada berbagai fahaman dan tafsiran. Kalau dalam pentafsiran perjuangan itu sudah pelbagai, maka dalam perlaksanaan juga sudah pasti berbeza dan kadang-kadang bercanggah antara satu pihak dengan pihak lain atau satu puak dengan puak lain. Lebih parah lagi apabila masing-masing pihak mempertahankan bahawa takrif perjuangan pihak merekalah yang paling tepat lantas mempertikaikan pula pengertian dan cara pihak lain. Akibatnya bukan saja Islam tidak tegak bahkan semakin runtuh kerana berlakunya krisis di kalangan pihak yang hendak memperjuangkan Islam itu. Sebab itu, tidak hairan di mana saja di dunia ini umat Islam terhina. Ini kerana tidak mendapat pembelaan Tuhan. Tuhan tidak bela dan tidak bantu para pejuang Islam kerana kaedah yang dibawa sudah tidak menepati kehendak Tuhan dan sudah jauh menyimpang dari cara yang pernah ditempuh oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat.

Kebenaran (Islam) itu datangnya dari Tuhan. Tuhan jugalah yang berhak untuk memenangkan agama-Nya. Sepanjang sejarah perjuangan kebenaran, di tangan para rasul, Tuhan angkat martabat kebenaran itu mengatasi yang lain. Tuhan yang mengilhamkan kepada para rasul bagaimana kebenaran itu mesti diperjuangkan. Di zaman tiada lagi rasul, Tuhan tetap agungkan agama-Nya di tangan para pemimpin berwatak rasul. Itulah dia para mujaddid yang diutus oleh Tuhan setiap 100 tahun dan dilahirkan di awal kurun. Kepada para mujaddid inilah Tuhan ilhamkan kaedah tajdid hingga Islam itu kembali gemilang. Kalau bukan di tangan mereka, Islam hanyalah ibarat bara saja. Tidak padam tetapi tidak menyala. Para mujaddid atau para pemimpin berwatak rasul inilah yang paling faham tentang jihad dan paling tepat tafsiran dan kaedah perjuangan. Dan di tangan merekalah dijanjikan kemenangan. Memperjuangkan kebenaran yang pertama dan utama ialah memperjuangkan Tuhan hingga Tuhan dikenali, diagungkan, dibesarkan, ditakuti, dicintai dan dirasai segala-galanya dalam hidup manusia.

Apabila manusia mendapat Tuhan barulah syariat Tuhan serta yang lain-lain itu ada nilai di sisi Tuhan. Andainya Tuhan tidak diperjuangkan maka syariat Tuhan sama saja seperti ideologi. Ini kerana agama mesti ada hubungkait dengan Tuhan. Selain itu sekiranya Tuhan tidak ditakuti dan dicintai, syariat Tuhan amat mudah terabai dan terbarai. Apabila Tuhan tidak diutamakan, tidak dibesarkan, tidak diagungkan, tidak memiliki rasa bertuhan, maka syariat Tuhan juga turut dipandang remeh. Syariat sering diamalkan mengikut selera atau mengambil aspek aspek yang menguntungkan. Kadang-kadang apabila menghadapi risiko, amat mudah mengenepikannya sahaja. Kesimpulannya, aspek-aspek lain seperti keadilan, perpaduan, hukum-hakam menghapuskan kemungkaran dan kezaliman, akan menjadi mudah dilaksanakan, diamalkan dan dihayati setelah Tuhan itu terlebih dulu diperjuangkan. Segala syariat Tuhan sama ada yang berbentuk perintah mahupun larangan akan dirasai cantik dan indah untuk diamalkan. Perkara- perkara kecil dan remeh pun bernilai tinggi di sisi Tuhan dan seronok untuk diamalkan. Betapalah ajaran-ajaran Tuhan yang besar-besar.

Tuhan ciptakan manusia berserta dua peranan iaitu sebagai hamba dan khalifah. Sebagai hamba, Tuhan perintahkan manusia agar benar-benar kenal penciptanya iaitu Tuhan, mengagungkan Tuhan, membesarkan Tuhan, merasakan Tuhan segala-galanya. Sehingga dengan itu benar-benar memiliki jiwa tauhid, iaitu rasa takut dan cintanya kepada Tuhan amat mendalam serta tidak lekang dari hati. Amat merasai kehebatan Tuhan. Amat merasai Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan sebagainya. Kesan dari itu rasa bertuhan amat mendalam seperti rasa takut, gerun, cemas, bimbang, cinta, mengharap, rasa Tuhan tempat bergantung serta merasai Tuhan itu segala-galanya serta keperluan paling utama. Sehingga dirasai mendapat Tuhan mendapat segala-galanya, kehilangan Tuhan dirasakan kehilangan segala-galanya dalam hidup. Sekaligus rasa kehambaan juga amat mendalam. Rasa lemah, dhaif, berdosa, derhaka, lalai dan leka. Juga merasa diri tidak upaya dan tidak mampu, bodoh dan jahil. Yakin bahawa setiap sesuatu kejadian dan peristiwa adalah kerja Tuhan yang tidak sia-sia dan mempunyai maksud atau hikmah di sebaliknya. Menerima bahawa setiap sesuatu itu ada maksud baik dari Tuhan yang Maha Sempurna dan Maha Hebat. Natijah dari rasa bertuhan dan rasa kehambaan itu menjadikan seseorang hamba itu benar-benar bertaqwa. Rasa takut kepada Tuhan menjadikan seseorang itu membenci dan menolak segala kejahatan, kemungkaran lebih-lebih lagilah sangat membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah yang sangat meracun kehidupan manusia.nRasa cinta kepada Tuhan pula menjadi pendorong paling kuat seseorang hamba itu membawa segala kebaikan, kebaktian, taat dan berbuat kebajikan. Lebih-lebih lagi dari rasa cinta kepada Tuhan itu menyuburkan segala sifat positif dan mahmudah. Apabila ini berjaya dikuasai oleh seorang hamba maka jadilah dirinya selamat dan turut menyelamatkan orang lain. Peranan kedua yang Tuhan perintahkan kepada manusia ini adalah sebagai khalifah. Sebagai khalifah, Tuhan perintahkan supaya manusia ini mentadbir, mengatur, menyusun, membangun, berkemajuan dan mengendalikan segala urusan kehidupan
manusia. Manusia perlukan pendidikan, ekonomi, kebudayaan, politik, sosial, kesihatan, makan minum, pentadbiran, perhubungan teknologi dan berbagai lagi. Semua keperluan manusia perlu diatur, ditadbir, dikendalikan sebaik mungkin. Oleh kerana bumi ini Tuhan punya, maka segala urusan kekhalifahan itu adalah amanah dari Tuhan. Sekaligus Tuhan mahu ia menjadi alat dan saluran untuk berbakti kepada Tuhan. Segala urusan kekhalifahan itu mestilah sifatnya selamat dan menyelamatkan. Mesti mendatangkan kesejahteraan kepada manusia. Mestilah memberi manfaat kepada manusia itu sendiri.

Apa jaminan bagi mereka yang bertanggung jawab terhadap tugas dan peranan kekhalifahan boleh mencapai matlamat di atas? Sudah terbukti di mana saja di dunia ini berlakunya bermacam- macam penyelewengan, pecah amanah, penindasan, kerosakan dan sebagainya. Di atas nama kemajuan dan pembangunan itulah manusia berkrisis, berpecah, bermusuh, bergaduh, tindas-menindas, menzalim, berebut kuasa, gila kuasa, berbunuhan dan berperang. Kemajuan dan pembangunan sudah hilang manfaatnya, menghapuskan kebahagiaan, keharmonian dan kesejahteraan manusia. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana manusia yang mengendalikan urusan kekhalifahan itu tidak menyempurnakan bahkan tiada langsung peranan sebagai hamba. Dengan lain kata, pengurus, pentadbir dan pengendali urusan kehidupan manusia adalah di kalangan manusia yang tidak kenal Tuhan, tidak faham kerja Tuhan, tiada rasa bertuhan dan sekaligus tidak ada rasa kehambaan. Dengan lain kata, manusia yang tidak bertaqwa, manusia yang subur dengan mazmumah, jahat, derhaka dan mungkar. Sempurnanya peranan seorang hamba itulah jaminan selamatnya peranan sebagai khlaifah.

Di sinilah buktinya betapa pentingnya taqwa kepada manusia. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhimpun sebanyak- banyak sifat mahmudah pada dirinya. Dan sifat-sifat mahmudah itu pula mestilah pada kategori yang tebal. Perlu diingat dan difahami bahawa kerja-kerja kekhalifahan itu amat mencabar, banyak risiko dan kerenahnya. Memikul bebannya
mesti berjiwa besar. Orang yang berperanan sebagai hamba dan berjiwa tauhid saja yang berjiwa besar. Mereka saja yang mampu sabar, syukur, amanah, jujur, zuhud, tawakal,
berkasih sayang, redha, ikhlas, tawadhuk, rajin, bertanggungjawab dan lain-lain dalam segala urusan kehidupan. Sandaran hidup mereka hanya kepada Tuhan. Mereka menjadi orang yang sangat bersyukur terhadap Tuhan di atas rahmat dan nikmat yang tidak terhingga, tidak terhitung banyaknya. Di atas nikmat itu mereka juga takut kalau-kalau tidak pandai
dan tidak cukup bersyukur. Ketaatan tidak pula menjadikan mereka riyak, sombong, sum’ah dan merasa senang, kerana ketaatan itu belum pasti diterima oleh Tuhan dan belum pasti sampai ke hujung hayat. Lantas segala ketaatan dan kebaikan dilupakan. Kesusahan yang menimpa tidak menjadikan hati resah dan rusuh. Kesusahan diterima dengan senang, tenang dan sabar. Keyakinan tetap mantap bahawa di sebalik setiap kesusahan itu banyak hikmahnya. Hati sentiasa merintih terhadap kelemahan diri sekaligus mengharapkan pertolongan dan bantuan Tuhan. Terhadap bala bencana atau musibah diterimanya dengan redha kerana yakin bahawa tidak bergerak dan diam sesuatu itu melainkan datangnya dari Allah SWT dengan izin Allah dan dengan kehendak-Nya yang sudah ditakdirkan. Yakin bahawa Tuhan segala-galanya yang seluruh makhluk ini dalam genggaman-Nya. Demikianlah kesan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mendalam dalam diri manusia. Ini juga membuktikan bahawa kepincangan yang berlaku dalam kehidupan manusia kerana tidak sempurnanya peranan kehambaan bagi digunakan dalam peranan kekhalifahan. Yakni manusia yang jahat, hati yang subur mazmumah ini yang menghasilkan kepincangan dalam kehidupan. Sepintas lalu dapatlah disimpulkan sekiranya semua golongan dalam masyarakat dapat menyuburkan segala sifat-sifat mahmudah. Hasilnya golongan pemimpin akan sangat bertanggung jawab dan mendatangkan manfaat kepada manusia. Golongan kaya sangat membela dan berbakti kepada manusia yang memerlukan. Para ulama sangat berjasa dalam mendidik manusia. Golongan miskin dan pekerja sangat sabar dan redha tanpa mencetuskan sebarang masalah. Para suami sangat bertanggung
jawab kepada isteri dan isteri-isteri patuh kepada suami. Anak-anak mudah dididik dan sangat menghormati ibu bapa dan orang-orang tua. Para wanita sangat menjaga maruah. Para remaja menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara. Masyarakat bertuhan bersungguh-sungguh untuk menegakkan keadilan dalam semua aspek bermula dari diri sendiri, keluarga, masyarakat dan seterusnya. Kasih sayang dan perpaduan amat mudah tercetus kerana masing-masing sama-sama mencintai Tuhan. Semua orang sangat melihat kepada cacat cela, kesalahan, kelemahan diri, mazmumah diri hingga tidak sempat memikirkan kesalahan orang lain kerana takutkan Tuhan. Kaedah dan pendekatan dalam memperjuangkan kebenaran itu pula sangat lemah lembut dan penuh dengan kasih sayang. Sehingga dengan itu amat mudah terbongkarnya fitrah rasa ber tuhan di hati manusia. Sangat mudah menjinakkan hati manusia untuk dididik dan dibawa kepada Tuhan. Inilah rahsia perjuangan kebenaran yang dibawa oleh orang-orang
Tuhan di sepanjang zaman. Pendekatan yang diwahyukan kepada para rasul dan diilhamkan kepada para mujaddid. Oleh kerana mereka sangat memperjuangkan Tuhan maka Tuhanlah
yang berhak membela dan memenangkan mereka. Tuhan janji kejayaan kepada mereka.

Friday, July 3, 2009

Mengapa ada ulamak tidak takutkan Tuhan?

Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya: "Yang paling takut kepadaKu di kalangan hamba-hambaKu ialah ulamak." Al-Fathir:28 Ayat ini jelas menunjukkan yang paling takut kepada Allah adalah ulamak. Ilmu yang ada pada ulamak itu melayakkan mereka untuk jadi orang yang takutkan Allah. Tapi realiti yang berlaku ulamak yang ada pada hari ini sudah tidak takutkan Allah, malah ramai di antara mereka sewenang-wenangnya mengabaikan perintah Allah. Apa sudah berlaku? Apa yang tidak kena sehingga realiti itu bertentangan dengan kehendak ayat ini? Mari kita pekatakannya.
1) Ulamak menjadi orang yang tidak takutkan Allah disebabkan ilmu mereka tidak cukup. Ilmu tidak global. Ilmu mereka hanya pada satu-satu bidang sahaja dan tidak menyeluruh. Kebanyakan bertumpu pada ilmu fekah. Mereka menguasai ilmu fekah sehingga boleh berhukum dan memberi fatwa. Tetapi mereka tidak pula berminat pada tasawuf. Ada juga yang mengambil usuluddin hingga mahir, boleh berpidato dan berbahas tentangnya. Tapi tidak pula mendalami fekah dan tasawuf. Sedangkan untuk takutkan Allah, ilmunya kena diambil secara pakej. Tidak boleh bertumpu pada satu-satu ilmu sahaja. Kenalah dipelajari, difahami dan dihayati ketiga-tiga bidang ilmu iaitu tauhid, fekah dan tasauf. Bila dikatakan ulamak tidak boleh disebut ulamak tauhid atau ulamak fekah atau ulamak sufi. Sebut sahaja ulamak bermaksud, ilmu mereka mencakupi ketiga-tiga bidang tersebut. Ini yang patut difahami.
2) Ulamak tidak takutkan Tuhan kerana mereka mengambil ilmu sebagai pengajian sahaja dan melupakan pendidikannya. Sedangkan pada ilmu itu ada pengajian dan ada pendidikan. Ilmu itu pengajiannya adalah dengan belajar atau berguru sedangkan pendidikan itu adalah perlaksanaan ilmu. Daripada perlaksanaan ilmu barulah ilmu itu boleh di”apply” dengan berkesan. Daripada perlaksanaan ilmu barulah ilmu itu boleh dihayati dan dijiwai. Perlaksanaan ilmu itu pula kenalah ada murysid yang “monitor”, jika tidak perlaksanaan ilmu tidak akan berjaya. Ulamak tidak boleh berdiri dengan sendirinya, kecuali dia adalah mursyid. Ulamak kena bersandar pada mursyid kerana di situ dia akan menempuh proses pendidikan.
3) Ulamak juga tidak menjadi atas faktor niat menuntut ilmu sudah tersasar. Awal niat itu menentukan kejayaan ulamak bersama Tuhannya. Jika awal niat belajar atau menuntut itu kerana Tuhan, maka natijahnya adalah baik dan sampai kepada Tuhan. Tetapi jika niat itu bukan kerana Tuhan, ada terselit kepentingan peribadi dan dunia, maka natijahnya ulamak itu rosak hubungan dengan Tuhan. Dia tidak dapat menjadi orang yang takutkan Tuhan kerana ilmu yang ada padanya tidak dapat membentuk dirinya. Ini disebabkan roh ilmu itu sudah dirosakkan oleh niatnya yang tersasar tadi. Ilmu yang tanpa roh tidak akan memberi kesan pada jiwa. Tidak memberi kekuatan pada dalam diri. Ia sekadar ilmu biasa yang bertapak di akal, bukan di hati.
4) Faktor guru memainkan peranan penting dalam menuntut ilmu. Walaupun sudah menuntut ilmu dan seseorang itu boleh “claim” dirinya ulamak tetapi harus dilihat siapakah gurunya. Apakah dengan mendapat ijazah dalam pengajian Islam itu sudah boleh ditabalkan sebagai ulamak? Sedangkan entah siapa-siapa gurunya yang sudah tentu boleh dipersoalkan pula entah daripada mana ilmu guru itu. Hakikatnya, hanya ulamak yang melahirkan ulamak. Sebab itu ulamak yang tak menjadi ini, boleh dikatakan kesilapan besar mereka adalah dalam memilih guru. Mereka sangka guru mereka ada di universiti sahaja. Mereka sangka belajar secara formal dengan guru tersebut boleh melayakkan diri mereka menjadi ulamak. Sedangkan mereka tak teliti dan berhati-hati dalam memilih guru yang benar-benar ulamak dalam mengajar dan mendidik mereka. Guru yang sepatutnya membawa mereka cintakan Tuhan, bukan sekadar cintakan ilmu.
Sekian.

Thursday, July 2, 2009

Orang Mukmin yang Baik itu Unik

Orang mukmin yang baik itu hidupnya luar biasa
Unik dan berbeza sangat dengan manusia yang lain
Dia berhadapan dengan kehidupan penuh tenang
Kejahatan orang tidak dibalas dengan kejahatan
Bahkan didoakan orang yang membuat jahat dengannya
Berhadapan dengan ujian dia tenang
Berhadapan dengan nikmat dia bersyukur
Jadual waktunya dengan Tuhan tetap dan istiqamah
Walau di dalam keadaan susah dan senang
Bermesra dengan orang
Tetamu yang datang dihormati sesuai dengan kedudukannya
Tidak boleh mendengar orang mendapat kesusahan
Selagi tidak dapat ditolongnya, menderita jiwanya
Merendah diri adalah budaya hidupnya
Setiap orang yang meminta pertolongan
jarang tidak ditunaikannya
Pemurah sangat terserlah di dalam kehidupannya
Tidak pernah mengeluh berhadapan dengan penderitaan
Tapi dia mengeluh dengan dosa-dosanya
Atau mengeluh bila berhadapan dengan kelemahan dan kecuaian
Rasa kehambaan tampak kelihatan pada mukanya
Tuhan selalu sahaja disebut-sebut di dalam perbualannya
Nampak sangat bahawa Tuhan itu adalah sandaran hidupnya
Gembira tidaklah sampai ketawa berdekah-dekah
Kesusahannya tidaklah sampai muram di mukanya
Lebih-lebih lagi tidak rasa kecewa dan putus asa
berhadapan dengan kesusahannya
Tawakal, sabar dan redha
adalah menjadi budaya hidupnya

Hamba yang Jiwanya Bersih

Jika seorang hamba itu ilmunya cukup
Jiwanya bersih hingga hatinya terpimpin
Kelihatan orangnya tenang
Ibadahnya terutama sembahyang, sangat berdisiplin
Berhadapan dengan orang, penuh bijaksana
dan lemah lembut
Wibawanya tinggi, akhlaknya mulia
Hingga disenangi oleh orang
Kalau dia pemimpin,
sangat dikasihi dan disayangi
Kerja-kerja tersusun dan teratur
Tenang, tidak gopoh, berdisiplin
Pandai bergaul dengan manusia
Sangat beradab dengan Tuhannya
Redha dengan ketentuan Tuhan,
sabar dengan ujian
Mengutamakan orang lain dari dirinya
Bertimbang rasa dengan manusia
Sangat bersimpati dengan orang yang susah
dan mendapat kemalangan
Ingatannya dengan Tuhan sentiasa hidup
Jiwanya hidup, sangat peka,
suka khidmat dengan manusia

Pembangunan Jiwa Asas Kepada pembangunan Akhlak

Membangunkan jiwa(ertinya)membersihkannya daripada sifat-sifat mazmumah(sifat-sifat batin yang terkeji seperti bakhil,sombong, tamak, cinta dunia,hasad dengki, adu domba dan lain-lain, kemudian digantikan dengan sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat batin yang terpuji) seperti pemurah, pemalu, sabar, kasih sayang, cinta Akhirat dan lain-lain dan lain-lain
Siapa yang berjaya membersihkan hatinya (roh) itulah orangyang mendapat kemenangan yang akan memperolehi Syurga di Akhirat kelak. Ini jelas sekali Allah menyebutkan melalui Al Quran, di antara firman Allah itu ialah:

Maksudnya: “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah sesiapa yang membersihkan (hati/roh/nafsu) dan kecewalah siapa yang mengotorinya.”
(As Syams: 9-10)


Orang yang jiwanya bersih daripada sifat-sifat mazmumah,orang inilah yang akan dapat membangunkan dunia sama ada aspek ekonomi, politik, pembangunan, sains dan teknologi,
pentadbiran atau lain-lain aspek dengan bersih daripada kemungkaran dan gejala masyarakat yang negatif serta dapat menggunakan dunia ini sebagai jambatan ke Akhirat sepertimana
Rasulullah SAW pernah bersabda:

Maksudnya: “Dunia itu adalah merupakan tanam-tanaman untuk Akhirat.”

Maksudnya segala usaha, pembangunan, kemajuan dan tamadun yang dibina di dunia ini seolah-olahnya ladang pertanian tetapi mengetamnya atau makan hasilnya di Akhirat. Di sanalah nanti akan dapat pahalanya iaitu Syurga. Pembangunan dan kemajuan serta tamadun yang dibangunkan oleh orang yang jiwanya bersih ialah pembangunan yang selamat dan menyelamatkan. Ia tidak ada side effect seperti gejala-gejala masyarakat yang tidak sihat, tidak mudarat dan tidak pula memudaratkan.

Membangunkan jiwa manusia agar jiwa bersih daripada sifat-sifat mazmumah, maka daripada kebersihan jiwa itulah membuahkan akhlak yang mulia. Perlu diingat, membangunkan jiwa untuk membuahkan akhlak tidak semudah yang kita sangka. Manusia itu tidak cukup diberi ilmu atau pelajaran semata-mata, tapi keberkesanannya adalah melalui pendidikan dan asuhan. Ini supaya ilmu itu dapat dihayati serta dapat diterapkan di dalam akal, jiwa, sikap dan perbuatan hingga mendarah mendaging, menjadi tabiat, sikap dan watak, akhirnya jadi budaya di dalam kehidupan. Setakat mendapatkan ilmu adalah mudah. Kita boleh mendengar guru menyampaikan, kita boleh mendengar dari para mubaligh, kita boleh membaca sendiri, kita boleh mendengar dari radio dan tv, tapi untuk menghayati hingga jadi sikap diri kita seterusnya jadi budaya hidup, ia memerlukan pendidikan, asuhan, bimbingan yang berterusan. Sekadar ilmu sahaja tidak cukup jika tidak disertai didikan, asuhan dan pimpinan. Ia akan jadi ilmu semata-mata. Sekadar boleh diajar dan dikuliahkan, sebagai hobi dan aktiviti, sebagai untuk pemanis mulut, untuk penyedap tulisan, tapi untuk menjadi sikap dan budaya hidup tidak mungkin. Kalau setakat ilmu, orang bukan Islam pun boleh mempelajari dan memiliki ilmu Islam yang banyak bahkan boleh menyampaikan.

Di dunia hari ini di universiti-universiti terutama di Barat dan Amerika, ramai pensyarah ilmu Islam dari kalangan orang yang bukan Islam, bahkan orang Islam pun belajar dari mereka.
Mereka memberi ilmu Islam tapi bukan pendidikan dan asuhan Islam. Hari ini ilmu umat Islam tidak lemah. Masih banyak sekolah Islam di dunia ini hingga ke taraf universiti, bahkan setiap tahun sekolah-sekolah mengajar ilmu Islam bertambah. Apa yang lemah ialah pendidikan Islam bahkan di setengah-setengah sekolah yang mengajar mata pelajaran Islam pun, pendidikan
Islam tidak berlaku di sekolah itu. Setakat mengadakan sembahyang berjemaah pun tidak berlaku, betapalah lebih dari itu. Justeru itulah sekolah Islam dan ilmu Islam bertambah serta bercambah, tapi amalan Islam tidak bertambah. Ilmu Islam tersebar tapi akhlak Islam tidak terserlah. Dakwah dan kuliah-kuliah Islam gelanggangnya bertambah luas tapi amalan dan
akhlak Islam bertambah sempit. Hari ini hampir semua golongan memperkatakan Islam terutama bila berlaku gejala masyarakat yang negatif, namun kemungkaran dan gejala masyarakat bukan sahaja tidak tumpas tapi bertambah meningkat setiap hari. Ini kerana kita bercakap di sudut ilmunya tapi pendidikan tidak berjalan. Kalau ada pun dinamakan program-program pendidikan, namun ia masih berbentuk fizikal tapi tidak bersifat kejiwaan. Ia tidak membangunkan rasa tauhid di dalam jiwa seperti rasa bertuhan, rasa takut, rasa cinta, rasa gerun dengan Neraka, rasa hebat terhadap Tuhan, rasa malu, rasa hina diri dengan Tuhan, rasa berdosa, rasa takzim kepada Tuhan. Sedangkan dengan adanya rasa-rasa bertuhan itulah umat Islam boleh control diri daripada melakukan kemungkaran dan gejala masyarakat yang tidak sihat. Ia lebih berkesan dan menghalang, daripada undang-undang, peraturan dan akta-akta. Ini kerana peranan rasa hati tadi seperti rasa takut kepada Tuhan dan lainlain lagi, ia merupakan benteng yang paling kebal daripada melakukan kejahatan, lebih-lebih lagi daripada takut polis atau akta-akta yang dibuat.

Justeru itulah di dalam Islam ada dikatakan:
Maksudnya: “Hendaklah kamu takut (kepada Allah) di mana sahaja kamu berada dan hendaklah iringi kejahatan itu dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya (kejahatan) dan hendaklah berakhlak dengan manusia dengan akhlak yang baik.”
(Riwayat Ahmad, Tarmizi dan
Baihaqi)

Cuba lihat, setelah ada rasa takut dengan Tuhan baru boleh berakhlak baik. Itulah yang dikatakan akidah atau tauhid penghayatan, tauhid yang bertapak pada hati bukan di kepala,
lebih-lebih lagi bukan sekadar bertapak di bibir mulut. Bila dikatakan takutkan Allah benteng yang paling kebal menghalang diri seseorang daripada melakukan kemungkaran dan maksiat lebih daripada undang-undang, peraturan dan akta, bukan pula undang-undang, peraturan dan akta tidak perlu. Ia perlu juga, tapi ia bukan perkara asas untuk menyekat kemungkaran
dan gejala masyarakat yang tidak sihat. Ia setakat mengemaskan lagi perjalanan sebuah negara, kementerian, jabatan, institusi dan lain-lain lagi. Kalau ibarat di dalam peperangan, takutkan Allah adalah kubu pertahanan yang pertama yang paling kebal menjaga keselamatan daripada musuh-musuh. Kubu-kubu yang lain adalah pertahanan sementara waktu,
untuk melarikan diri dan menyelamatkan diri, tapi untuk bertahan lama tidak mungkin. Begitulah sifat taqwa benteng yang paling kebal atau kubu yang paling kebal mempertahankan diri daripada serangan hawa nafsu dan syaitan yang mengajak manusia melakukan
kejahatan. Tapi kalau di zaman taqwa sudah tidak ada tempat, kerana orang sudah lalai, nafsu pun mengaruk, syaitan pun bermaharajalela mengheret manusia melakukan kejahatan lahir
dan batin, maka untuk membendung daripada berlakunya kemungkaran dan gejala-gejala masyarakat yang buruk itu jangan sampai terdedah terus kepada jahanam, maka di waktu
itu perlu kepada undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta kerana tidak ada jalan lain dan tidak ada pilihan. Jadi kalau ada orang menganggap bahawa undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta yang dibuat itu lebih berkesan di dalam membendung kemungkaran dan gejala yang negatif, adalah satu kesilapan besar. Kalau setakat undang-undang, peraturan dan akta, orang tidak melakukan kejahatan bukan ertinya tidak mahu melakukan kesalahan, hatinya tetap mahu, cuma peluang belum ada. Dia mungkin takut kena tangkap, takut masuk jel, takut dibuang kerja, takut nanti diisytiharkan di dalam media massa dapat malu pula. Namun kalau itu semua dapat dielakkan, lebih-lebih lagi di zaman manusia pintar, alat-alat pengetahuan canggih, alat-alat sains teknologi tinggi, orang boleh buat penipuan secara halus dan payah dikesan, maka di waktu itu dia akan melakukan apa sahaja.
Katakanlah seseorang itu tidak melakukan rasuah kerana
terlalu takut kalau dapat dikesan, maka kerja-kerja masyarakat dan umat terselamat daripada dikhianati dan ditipu. Tapi mengikut ajaran Islam, orang itu masih tertipu kerana sikapnya
itu tidak jadi ibadah. Dia tidak dapat pahala apa-apa kerana dia meninggalkan kejahatan itu bukan takut kerana Allah, tapi kerana takut dengan manusia. Nampaknya lahirnya baik, tapi
sebenarnya dia belum baik bahkan berdosa pula kerana dia telah melakukan syirik. Peluang dia hendak membuat jahat tidak ada kerana tersekat oleh undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta tadi serta takut dapat dikesan. Namun kerana hatinya tetap tidak takut dengan Allah dan pembalasan di hari Akhirat,kalau ada peluang dapat menyembunyikan kejahatan itu daripada manusia dia akan lakukan juga.

Wednesday, July 1, 2009

Antara Bicara dengan Amal

Berbicara tentang kebenaran adalah mudah. Berbicara itu peranan akal. Bila akal ada ilmu maka manusia mampu untuk berbicara. Manusia yang mempunyai ilmu mampu memperkatakan soal-soal ilmunya. Jika akalnya mempunyai ilmu tentang ibadah, ia mampu memperkatakan tentang hukum hakam dalam ibadah, ilmu khusyuk dalam solat, ilmu dan hikmah dalam tahajjud. Memperkatakannya adalah mudah, cukup sekadar jika mempunyai ilmu tentangnya. Lebih-lebih lagi ilmu itu disandarkan pada sijil atau atau pangkatnya. Jika seseorang itu mempunyai sijil dalam pertanian maka ia mampu membicarakan tentang pertanian. Begitulah juga hal-hal lain dalam ekonomi, politik, sosial, motivasi, teknologi, agama dan sebagainya. sekali lagi saya katakan, memperkatakan tentang kebenaran adalah mudah, cukup sekadar mempunyai ilmu tentangnya.

Tetapi yang susahnya itu ialah menegakkan kebenaran. Menegakkan kebenaran ertinya menzahirkan apa yang diperkatakan. Ia bukan sekadar mempunyai ilmu tentangnya tetapi ia mesti mempunyai kekuatan yang luar biasa. Kekuatan luarbiasa itu ialah mempunyai jiwa besar. Jiwa besar tidak mampu sekadar mempunyai ilmu lebih-lebih lagi sekadar yang diperolehi melalui bacaan atau pengajian-pengajian. Jiwa besar ini lahir dari mujahadah an nafs. Mujahadah ini melalui satu proses iaitu takhalli, tahalli dan tajalli. Tanpa proses ini, kebenaran hanya mampu diucapkan tetapi tidak mampu dizahirkan.

1. Takhalli
Untuk melahirkan jiwa besar perlu mempunyai modal yang besar. Modal bagi jiwa besar ialah pengorbanan jiwa itu sendiri. Tanpa modal ini, jiwa besar tak mungkin dilahirkan. Sebagai ibarat, orang yang ingin mempunyai perniagaan yang besar, maka modal hendaklah kukuh. Tanpa modal yang kukuh, perniagaan besar tak mungkin berjaya. Hal lahir pun perlu modal lahir maka hal jiwa perlu modal jiwa juga.
Sebelum mendapat modal jiwa yang kukuh maka pengorbanan ke arah mendapatkan modal itu juga diperlukan. Ertinya modal jiwa besar ialah pengorbanan jiwa.Mengapa?sebabnya jiwa adalah punca segala kekuatan dan punca segala permasalahan. Orang yang kuat jiwa akan kuat kekuatan akal dan kekuatan lahirnya. Orang yang lemah jiwa maka akan lemah akalnya dan lemah lahirnya. Ertinya orang yang kuat jiwa akan melahirkan kekuatan positif dalam semua aspek dirinya. Orang yang lemah jiwanya akan melahirkan aspek negatif dalam dirinya. Untuk mendapatkan kekuatan jiwa maka proses takhalli di perlukan. Takhalli bermaksud mengosongkan jiwa dari hal-hal yang merosakkan jiwa atau imannya. Punca kerosakkan iman melalui mata, akal,perasaan,mulut, telinga, tangan, kaki, perut dan kemaluannya. Hal yang merosakkan perkara di atas perlu dikosongkan atau dibuang satu persatu. Tanpa membuang perkara tersebut, jiwa besar hanyalah angan-angan kosong sahaja.Bagaimana? Jika mata selalu memandang hal-hal maksiat spt menonton konsert, program tv/astro/video yang merosakkan dan melalaikan maka kita kosongkan atau tinggalkan perkara tersebut. Jika kaki suka melangkah ke tempat maksiat spt tempat hiburan yang melalaikan maka kita kosongkan(tinggalkan). Jika tangan suka mengambil atau memegang atau menghantar sesuatu perkara maksiat atau melalaikan maka kita kosongkan(tinggalkan). Jika akal suka membaca ilmu-ilmu yang maksiat dan melalaikan spt bahan bacaan dan majalah yang menonjolkan kemaksiatan maka kita tinggalkan(kosongkan). Jika mulut bercakap/berbual perkara yang melalaikan/maksiat maka kita kosongkan(tinggalkan). Jika perasaan suka kepada hal maksiat/melalaikan atau bergantung perasaan kepada makhluk atau bukan muhrimnya maka kita tinggalkan(kosongkan). jika perut suka kepada makan berlebihan atau yang haram maka kita kosongkan(tinggalkan). Jika syahwat digunakan untuk perkara yang selain dari kehendak Tuhan maka kita tinggalkan(kosongkan). Itulah antara yang dimaksudkan dengan Takhalli(kosongkan). Ertinya nak menjadi orang jiwa besar segala maksiat/sifat negatif/bergantungharap selain kepada Tuahan maka hendaklah dikosongkan(ditinggalkan). Ini proses yang pertama

2.Tahalli
tahalli bermaksud memasukkan perkara-perkara positif atau perkara yang mendatangkan iman ke dalam jiwa. Proses ini berkesan jika proses takhalli dilakukan bersungguh-sungguh. Oleh kerana melalui proses takhalli, maka mata meninggalkan dari menonton hal-hal maksiat maka melalui prosess tahalli maka mata digunakan untuk menonton perkara-perkara yang mendatangkan iman. contohnya meninggalkan menonton hiburan yang melalaikan maka digantikan dengan menonton program yang mendatangkan iman. Begitu juga telinga mengosongkan dari lagu/suara yang merosakkan iman kepada lagu/suara yang mendatangkan iman. begitu juga mengosongkan perasaan daripa bersangkut dengan perasaan manusia lebih-lebih lagi perasaan wanita/lelaki kepada lelaki/wanita yang bukan muhrimnya kepada perasaan diletakkan untuk Tuhannya sahaja. Bagi orang yang ingin mencapai darjat yang tinggi di sisi Tuhannya, perasaan cinta tidak diletakkan kepada selain Tuhannya walupun kepada isterinya yang sah. Perkahwinan bukan meletakkan cinta suami atau isteri kepada pasangannya tetapi perkahwinan adalah satu jalan suami mendidik isteri supaya meletakkan cinta itu kepada Tuhannya. Mengapa? kerana meletakkan cinta kepada makhluk akan menyebabkan rosaknya iman. Suami isteri hanyalah satu jalan(amanah) yang sementara yang kemudiannyanya amanah itu akan diambil balik oleh Tuhan dan orang yang menjaga amanah itu akan ditanya tentang segala tanggungjawabnya terhadap amanah tersebut. Begitu juga dengan hal kaki, tangan, perut dan syahwat. Kita kosongkan dari perkara yang merosakkan iman kepada yang mendatangkan iman. Proses takhalli dan tahalli adalah proses yang amat berat. Oleh itu ia memerlukan pengorbanan dan pimpinan. Tanpa pengorbanan dan pimpinan, nescaya manusia tidak mampu lakukan. sebab itulah dijadikan mujahadah an nafs itu adalah peperangan yang sangat besar. untuk menghadapi peperangan an nafs ini, Tuhan turukan wakilnya iaitu Para Rasul, Nabi-nabi, Ulama-ulama dan Mujaddid. kalau sekadar akal sahaja tanpa perlu mujahadah, cukup sekadar dijadikan ahli falsafah sahaja.

3. Tajalli
tajalli adalah hasil dari proses takhalli dan tahalli. Tanpa proses takhalli dan tahalli yang sempurna, manusia tidak akan dapat tajalli. Tajalli ialah kelazatan iman. Hasil proses di atas, manusia itu akan merasai lazatnya beriman dan beramal. Datangnya rasa roza' dan qauf. Bila berhadapan dengan hal-hal keimanan, hatinya mengharap. Bila datangnya hal-hal yang merosakkan iman, hatinya sakit dan merintih. Bila datang hal-hal yang merosakkan iman, ia akan berusaha membetulkannya. Proses membetulkan itu lah yang akan menzahirkan kebenaran. Jika dia melihat ekonomi yang dirosakkan oleh sistem ideologi kapitalis, hatinya meronta-ronta dengan membuat jemaah atau membina ekonomi yang menentang sistem kapitalis tersebut. Maka dari proses ini zahirlah ekonomi Islam yang selamat dan menyelamatkan. Apabila melihat sistem politik dirosakkan oleh ideologi ciptaan manusia seperti demokrasi, komunisme, autokratik dan seumpamanya, maka hatinya meronta-ronta untuk membetulkannya. Maka dia akan membina sistem politik yang bertunjangkan Tuhan. Hasil zahirlah dalam keluarganya, jemaaahnya sistem politik Islam yang selamat dan Menyelamat. Jika ia melihat hiburan-hiburan yang merosakkan dan melalaikan lahir dan berkembang, hatinya sayu dan merintih. Hasil keindahan iman, maka dizahirkan hiburan-hiburan Islam yang menambahkan iman. Inilah antara contoh menzahirkan kebenaran. Sebab itu menzahirkan sangat susah tetapi bercakap tentang kebenaran itu mudah. kadang-kadang orang yang bercakap tentang kebenaran, malangnya zahirnya terlibat dalam hal-hal yang dilarang oleh Tuhannya. Ramai ulama yang terlibat dalam politik demokrasi, komunisme. Ramai ustaz-ustazah yang terlibat dalam ekonomi kapitalisme. Ramai lulusan agama yang terlibat dalam hiburan yang merosakkan. Ramai bijak pandai agama yang terlibat dalam hal-hal percintaan dan penyerahan perasaan murahan. Sepatutnya mereka adalah role model Islam yang selamat dan menyelamatkan, tetapi sekarang hakikatnya tidak sebegitu. kerana apa? kerana tidak berlaku proses jiwa besar dalam diri mereka. Mereka terikut-ikut rentak pembangunan akal, tetapi tidak berjaya mengikut rentak pembangunankerohanian(kejiwaan).

Sebab itu saya melihat, gagalnya membangunkan jiwa besar di Malaysia adalah kerana sistem pendidikan yang tidak tepat mengikut kehendak Tuhan. Pendidikan yang ada sekarang hanya tertumpu kepada pembangunan tamaddun akal dan perasaan. sekolah hanya melahirkan bijak pandai dan pelakon-pelakon cinta dan perasaan. Hasilnya perasaa cinta manusia dikejar sungguh-sungguh tetapi cinta kepada Tuhan hanyalah nolstagia. Hasilnya lahir bijak pandai tetapi berjiwa lemah. Dasar pendidikan sepatutnya membina dasarkan melahirkan cinta dan perngorbanan kepada Tuhan serta pembangunan akal. Hasilnya ialah lahir bijak pandai yang mengorbankan segala tenaga, akal fikiran dan jiwa raga untu meninggikan kalimah Tuhan di muka bumi ini. Barulah Tuhan akan jadikan Malaysia ini negara yang mendapat rahmat dan kerberkatan.

sekian