Monday, March 9, 2009

SYARIKAT GLOBAL IKHWAN SDN BHD

Berikut apa kata Pengerusi Eksekutif GLOBAL IKHWAN SDN BHD (GISB) iaitu Abuya Syeikh Ashaari Muhammad tentang penubuhan syarikat GISB.

"Kebangkitan Islam yang kian memuncak di Malaysia dan antarabangsa telah mendorong negara ini dan negara Islam lainnya berusaha untuk kian menepati ajaran Islam yang sebenarnya.

Pemimpin dunia telah bercakap tentang merujuk kepimpinan kepada apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW"


Perkembangan inilah di antara faktor penyebab mengapa Abuya Ashaari Muhammad mendaftarkan satu lagi syarikat perniagaan Global Ikhwan Sdn. Bhd. Bertujuan mencetuskan perniagaan komersial ke peringkat nasional dan internasional, satu bidang yang umat Islam patut perjuangkan sebagai keutamaan sesudah Iman; jika kita mahu jadi umat yang kuat."

Selari dengan kebangkitan Islam yang kian memuncak di seluruh dunia, umat islam dari pelbagai bangsa dan negara sudah ramai yang berusaha untuk melaksanakan cara hidup yang bertepatan dengan ajaran Islam.

Apa yang menjadi hasrat rakyat di kalangan umat islam itu, mendorong para pemimpinnya pula bercakap tentang perlunya merujuk kaedah kepimpinan Nabi Muhammad SAW.

Kekuatan umat Islam boleh ditingkatkan dengan membangunkan ekonomi komersial kerana ekonomi menjadi kekuatan tambahan yang utama sesudah kekuatan asas iaitu iman, ukhwah dan kesefahaman dan keselarasan.

Atas dasar itulah, Abuya Syeikh Ashaari Muhammad telah mendaftar satu lagi syarikat perniagaannya iaitu Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).

Dengan hasrat untuk mencetuskan perniagaan komersial di peringkat komersial di peringkat nasional dan antarabanga, Abuya Syeikh Ashaari Muhammad amat yakin bahawa, hanya dengan melaksanakan program fardhu kifayah ini secara beramai-ramai atau berjemaah, barulah akan datang rahmat dan bantuan Tuhan untuk menjayakannya. Ini kerana Rasulullah SAW sendiri pernah mengingatkan bahawa berjemaah itu rahmat manakala berpecah belah itu azab.

GISB sedang merangka dan melaksanakan pelbagai projek yang tidak hanya tertumpu kepada aktiviti ekonomi sahaja, bahkan dibangunkan juga projek-projek lain yang membawa keuntungan kepada umat islam khasnya dan seluruh anggota masyarakat amnya.

Ia mencakupi bidang-bidang seperti motivasi, pendidikan, kebajikan, kebudayaan, penerangan, kesihatan, pertanian, dan perlancongan.

Apa yang menjadi hasrat Pengerusi Eksekutif GISB, Abuya Syeikh Ashaari Muhammad adalah untuk membangunkan model sistem hidup islam yang sempurna di semua aspek.

Moga-moga dengan itu umat Islam dapat melihat betapa cantiknya dari Tuhan itu. Juga untuk membuktikan bahawa hanya sistem dari Tuhan sahaja yang menjamin kasih sayang, pembelaan dan keselamatan.

Terdapat 12 jenis biro atau kegiatan yang diperjuangkan oleh Global Ikhwan Sdn. Bhd. ini:

1. Politik/ Tugas Khas/ Strategi.
2. Pentadbiran/ Perlaksanaan
3. Pendidikan/ Pelajaran.
4. Dakwah dan Motivasi
5. Hal Ehwal Masyarakat.
6. Ekonomi.
7. Kewangan.
8. Kebajikan.
9. Kesihatan.
10. Kebudayaan.
11. Pertanian/ Teknologi/ Ternakan.
12. Pelancongan.

Semua ini digerakkan di dalam 6 zon perniagaan:

Zon Utara,
Zon Tengah,
Zon Selatan,
Zon Pantai Timur,
Zon Malaysia Timur dan
Zon Antarabangsa.

Setiap zon mempunyai barisan kepimpinan atau pengarah yang mengetuai pekerja yang akan menjayakan perniagaan Global Ikhwan Sdn Bhd.
Dengan bilangan pengarah dan pengurus seramai 300 orang di berbagai peringkat, pekerja seramai 5000, remaja 7000, syarikat ini sekarang mempunyai 700 premis perniagaan di semua bidang biro yang disenaraikan.

RANGKAIAN PERNIAGAAN

Cita-cita Pengerusi Eksekutif GISB, Abuya Syeikh Ashaari Muhammad dan syarikat ini bersama seluruh kakitangan di Muharram 1429 bersamaan Januari 2008, ialah menghidupkan rangkaian syarikat untuk lonjakan perniagaan Komersial Ikhwan.

Dengan produk-produk seperti Roti Ikhwan, Minuman Ikhwan, Snek Ikhwan, Mee, Laksa, Meehoon, Kuew Tiow Ikhwan, Sos Kicap Ikhwan, diharapkan syarikat dapat mengedar keseluruh premis di seluruh zon dalam dan luar syarikat. Ertinya produk ini akan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia bahkan antarabangsa.

STRATEGI PEMASARAN DAN PROMOSI

Umat Islam perlu membina dan memulakan rangkaian perniagaan sendiri dengan mencetuskan sistem pemasaran yang praktikal dan berkesan. Tidak berlakunya selama ini adalah kerana umat Islam tidak mendapat sokongan dari Tuhan. Sedangkan orang bukan Islam mampu melakukan kerana mereka dapat mencukupkan syarat yang ditetapkan oleh Tuhan. Iaitu mereka ada Quwwah yakni kekuatan wang, orang, kepakaran dan strategi. Sedangkan orang Islam, kalaupun semua Quwwah itu dapat disediakan namun Tuhan tidak juga akan beri kerjasama, selagi mereka tidak bertaqwa.

Taqwa adalah syarat utama untuk umat Islam jika mahu berjaya.
Tanpa Taqwa, nescaya Tuhan tidak akan menyerahkan urusan dunia ini kepada orang Islam, sepertimana telah diserahkan kepada orang bukan Islam sekian lamanya. Walhal sebelum 700 tahun terakhir dunia memang dalam tangan orang Islam oleh kebangkitan Islam pertama oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.. Sebab mereka melakukannya dengan Taqwa. Maka untuk kali kedua inipun umat Islam akan bangkit dengan Taqwa.

SUMBER DANA DAN KEKUATAN

Sumber kekuatan yang disediakan Tuhan kepada orang Islam tidak sama dengan sumber untuk orang bukan Islam.

Orang bukan Islam diberi dari sumber alam dunia yang lahir. Sedangkan orang Islam yang bertaqwa sumbernya dari alam ghaib oleh kekuatan roh. Maksudnya dan contohnya; Rasulullah memenangi Perang Badar adalah oleh adanya sokongan 5000 malaikat yang datang dari alam ghaib. Maka walaupun lahirnya para sahabat cuma 313, sedangkan kafir Quraisy 1000 orang, tapi Rasulullah memenanginya. Peperangan perniagaan di zaman ini, orang bertaqwa akan Tuhan hantarkan wang dari Bank Tuhan. Iaitu dari tangan orang kaya-Nya, yang menyalurkan untuk Islam atas dasar cinta Tuhan tanpa meminta balasan. Mereka memberi bukan sebagai pinjam atau hutang. Pemberian adalah untuk buktikan cinta sekaligus ingin melihat syiar Islam bangun di muka bumi Tuhan. Usaha menanamkan cinta dan takut Tuhan kedalam hati insan untuk lahirkan Bank Tuhan ini, itulah kerja paling asas yang dibuat oleh para pemimpin yang dilantik Tuhan sama ada Rasul atau Mujaddid.

PELAKSANA

Mengapa Pasar Ansar kepunyaan Rasulullah s.a.w.di Madinah mencipta sejarah menang besar dalam persaingan perniagaan dengan kapitalis atau orang bukan Islam Madinah? Rahsianya ialah setiap malam yang sepi waktu dinihari, para pelaksana diketuai oleh Saidina Abdur Rahman bin 'Auf r.a. memanggil Allah dan Rasul untuk menyokong dan memberi kerjasama dalam perniagaan mereka. Mereka sembahyang hajat, berdoa, taubat, zikir wirid, baca Quran, selawat dan lain-lain demi mendapatkan Tuhan sebagai penolong dan pemimpin. Maka jatuhlah ke hati mereka mukjizat Rasulullah s.a.w. mengajarkan bagaimana perniagaan menurut Tuhan atau cara berniaga yang disuruh Tuhan. Iaitu dengan menawan hati orang. Para penyokong dari alam ghaib berdatangan selepas mendapat 'call' dari orang lahir. Hati penduduk Madinah ditawan. Datang ke Pasar Ansar orang dapat Tuhan, dapat pemimpin, dapat ibu ayah, dapat kasih sayang, dapat kebahagiaan. Rindu untuk duduk bersama Rasul dan para sahabat membuatkan orang Madinah akhirnya berpusu-pusu membeli di Pasar Ansar. Mahal pun tak apa demi cinta. Lalu sunyilah gelanggang perniagaan kapitalis bukan Islam hingga membawa mereka gulung tilam bantal meninggalkan Madinah.

Demikianlah sejarah bagaimana jauh hebatnya kekuatan sistem ekonomi oleh Allah dan Rasul dibandingkan dengan sistem perniagaan akal. Ia sudah berlaku tapi pasti berulang bilamana berulangnya kemunculan orang bertaqwa di muka bumi Tuhan ini sekali lagi. Rasulullah berjanji akan kemunculan itu di akhir zaman oleh satu etnik bernama Ikhwan. Mari kita berdoa dan berusaha untuk realitikan janji agung ini.

Maka bagi menjayakan sistem hidup Islam, Abuya Syeikh Ashaari Muhamad, melalui GISB telah mendidik para kakitangannya untuk untuk berusaha melayakkan diri menjadi orang-orang yang bertaqwa. Moga-moga dengan mengusahakan taqwa itu, Tuhan datangkan pertolongan sama ada di sudut rohaniah mahupun materialnya. Untuk itu, melalui program-program motivasi, para kakitangannya sentiasa diberikan ilmu dan panduan untu mengusahakan taqwa di bidang masing-masing.

Melalui GISB juga, Abuya Syeikh Ashaari Muhammad sangat berharap, masyarakat Islam dan bukan Islam akan mendapat manafaat yang besar hasil bekerjasama melalui hubungan perniagaan dan khidmat masyarakat.

Moga-moga semua golongan akan mendapat pembelaan dan hiburan dari GISB, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW dahulu. Amin.

3 comments:

  1. assalamualaikum. saya mencadangkan supaya global ikhwan di sabah ini, dapat mengadakan kegiatan dakwah di pedalaman sabah kerana ramai muallaf yang terbiar dalam pendidikan islam...disebabkan hambatan kemiskinan ,mereka tidak mampu pergi belajar agama di pondok agama yang terdapat di kelantan atau kedah .

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum.saya mencadangkan supaya global ikhwan dapat membuka sebuah sekolah agama pondok di sabah seperti yang pernah dibuat semasa al arqam kerana kita sedia maklum ramai muallaf di sabah ini tidak berpeluang belajar agama selepas memeluk agama islam . Kita sedia maklum bilangan sekolah pondok pengajian agama di sabah ini,masih sangat kurang jika dibandingkan di semenanjung malaysia . Hendak harapkan PLDK, berapa orang saja yang berpeluang diterima belajar disitu kerana tempat amat terhad.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum.... saya nak tahu lebih lagi tentang Ikhwan Global. Dan saya seorang saudara Muslim yang baru memeluk Islam. Saya nak mendalami ilmu agama Allah. Adakah Ikhwan Global dapat membantu saya untuk menguasai ilmu al-Quran dengan memahaminya serta menguasai bahasa Arab supaya saya dapat menghayati kalamAllah. maklum balas

    ReplyDelete