Sunday, March 15, 2009

MARILAH KITA HIDUPKAN ISLAM AGAR MERIAH


Islam diturunkan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya, bukan semata-mata ilmu untuk ilmu. Jauh sekali hanya sekadar mental exercise, atau sebagai bahan kajian Islam perlu dihidupkan dengan cara diyakini, dihayati, diamal dan dilaksanakan di dalam kehidupan. Baik itu dihidupkan di dalam kehidupan yang lahir ini, di dalam akal atau mental kita, lebih-lebih lagi di dalam jiwa kita.
Apabila Islam itu dihidupkan di dalam kehidupan kita, maka akan jadi meriah sekaligus sebagai syiar di mayapada ini. Dengan itu Sunnah Rasulullah SAW akan menjadi pedoman hidup dan akan kelihatan lambang-lambang kebesaran Allah itu (ayatullah) di dalam kehidupan manusia.
Baik itu di dalam kehidupan pribadi maupun di dalam kehidupan bermasyarakat, di dalam kehidupan berpendidikan, di dalam ekonomi, di dalam kebudayaan, di dalam pemerintahan di dalam komunikasi dan lain-lain lagi.
CARA MENGHIDUPKAN ISLAM AGAR MERIAH
Agar Islam itu hidup dan meriah, maka perlu dihidupkan atau dibangunkan di dalam akal, di dalam jiwa dan di dalam kehidupan yang lahir ini.

1. Menghidupkan Islam di dalam akal artinya kita harus menguasai ilmunya, baik itu ilmu akidah, fiqh, tasawuf, akhlak, tafsir dan lain-lain lagi dengan tepat. Apabila Islam itu dapat dihidupkan di dalam akal maka:
a. Akan menjadi ilmu dan informasi yang dimiliki.
b. Akan menjadi panduan di dalam kehidupan yang berbagai aspek.
c. Akan dapat menyelesaikan berbagai-bagai masalah hidup apabila buntu.
d. Akan menjadi kawan secara maknawi pada seseorang.
e. Dari ilmu boleh mendapatkan ilmu.
f. Dengan ilmu akan dapat tempat merujuk.
g. Dengan ilmu akan dapat mendidik orang.
h. Dengan ilmu akan dapat menguasai orang.
i. Dengan ilmu akan dapat membangunkan kemajuan dunia dan Akhirat.

2. Menghidupkan Islam di dalam jiwa. Dengan berpandukan ilmu Islam itu, ia dapat membangunkan sifat-sifat mahmudah di dalam jiwa atau hati, dengan kata-kata yang lain sifatsifat mulia. Dengan itu akan lahirlah pada seseorang itu seperti sifat-sifat sabar, redha, tawakal, pemurah, lapang dada, pemaaf, meminta maaf, rendah diri (tawadhuk), penyayang, bertimbang rasa, lemah-lembut, jujur, adil dan berlaku benar.
Dengan jiwa yang hidup itu seperti yang telah kita sebut di atas, akan sangat membantu manusia melahirkan kehidupan di dalam masyarakat yang berkasih sayang, harmonis, aman damai, tolong menolong, adil dan lain-lain lagi. Dari sini, hilang rasa ketakutan, kebimbangan, huru-hara, krisis, pergaduhan dan peperangan yang sangat ditakuti oleh manusia.
Jiwa yang hidup itu memang manusia sejagad memerlukannya karena di sanalah rahasia rukun damai di dalam kehidupan bermasyarakat atau pergaulan. Jika jiwa tidak hidup atau dengan kata-kata lain tiada sifat-sifat batin yang mulia itu di kalangan manusia, maka akan wujudlah lawannya iaitu sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji seperti sombong, riyak, pemarah, gila pujian dan nama, hasad, berdendam, bakhil, tamak, mementingkan diri dan lain-lain lagi.
Dari sifat-sifat yang keji tadi akan lahir buahnya di dalam masyarakat manusia seperti bersakit-sakit hati, berkecil-kecil hati, pergeseran, permusuhan, krisis, pergaduhan, pembunuhan dan seterusnya peperangan. Akibat dari itu tiada siapa yang susah melainkan manusia itu sendiri.
Dengan ulasan ini jelaslah pada kita bahawa dengan menghidupkan jiwa, akan meriahlah di dalam kehidupan
manusia sesuatu yang positif atau akan lahirlah berbagaibagai bentuk kebaikan yang faedahnya kembali kepada manusia itu sendiri.

3. Menghidupkan Islam di dalam kehidupan yang lahir seperti sembahyang jemaah, berdakwah, bermusyawarah, membaca Al Quran, berzikir, menutup aurat, membanyakkan sedekah, menolong orang susah dengan wang ringgit dan tenaga, bertolong bantu, mengutamakan orang lain, bersimpati dengan kesusahan orang, melahirkan kegembiraan di atas kegembiraan kawan, membayar hutang orang, memberin hadiah, mengajar orang yang jahil, memberi nasihat bagi orang yang buntu atau yang memerlukan nasihat, melupakann kesalahan kawan bahkan memaafkannya, menziarahinya, kunjung-mengunjung, menerima jemputan yang dihalalkan, berniaga dengan tujuan melayani dan menjalin kasih sayang di antara pebisnis dan pelanggan, menerima dan menghormati tetamu, menunjuk jalan bagi orang yang sesat jalan, menghormati ibu ayah, orang tua, pemimpin dan guru, mengasihi kanak-kanak, bertimbang rasa kepada manusia, bertolak ansur dan lain-lain.
Apabila kita menghidupkan Islam di dalam kehidupan lahir hingga menjadi budaya hidup di kalangan umat Islam, akan terlihat syiar-syiar Islam atau ayatullah atau lambang-lambang kebesaran Allah di dalam kehidupan umat Islam. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah Taala di dalam sepotong ayat Al Quran yang berbunyi:
Maksudnya: “Barang siapa membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia daripada hati yang bertaqwa.” (Al Haj: 32)
Untuk menghidupkan Islam agar ia meriah di dalam akal, jiwa dan kehidupan lahir, ia memerlukan ilmu, mujahadah yang serius serta berterusan, pimpinan guru serta memohon selalu kepada Allah Taala agar memberi hidayah dan taufik. Tanpa ilmu dan mujahadah yang berterusan serta tanpa pimpinan guru dan hidayah dan taufik dari Allah Taala, tidak mungkin Islam itu dapat dimeriahkan di dalam diri dan kehidupan manusia. Oleh itu perjuangan yang gigih dan istiqamah dengan dipandu oleh ilmu yang tepat serta pimpinan guru amat diperlukan oleh umat Islam. Tanpanya, segala-galanya akan gagal, tanpanya hanya akan tinggal di dalam slogan dan saran, tanpanya hanya tinggal angan-angan dan ucapan.

0 comments:

Post a Comment