Sunday, March 15, 2009

KELUARAN PERDANA TABLOID ASOIB

Tabloid ASOIB keluaran perdana dari Global Ikhwan Sdn Bhd sudah dilancarkan pada Jun 2008.

Mari kita sama-sama hayati selingkar kata dari Ketua Editor ASOIB, iaitu Ummu Khadijah Aam.




Di akhir zaman sudah ramai umat Islam yang kehilangan Tuhan atau mereka sudah tidak fikirkan lagi adanya Tuhan, hingga mereka sudah tidak terasa lagi peranan Tuhan di dalam kehidupan. Akibatnya semua peringkat manusia hidup dalam ketakutan. Yang miskin takut dalam kepapaan, yang kaya takut bila orang kidnap atau kena rompak. Yang berkuasa pula takut dijatuhkan atau takut rakyat tidak setia. Guru-guru takut murid-muridnya tidak patuh dan taat. Ibu bapa takut anak-anak mereka tidak mengikut kata. Suami isteri prejudis satu sama lain. Masing-masing sering sahaja curiga-mencurigai. Suami takut isteri tidak setia, isteri takut kalau poligami. Begitulah ketakutan menyerang semua peringkat manusia. Untuk menghilangkan ketakutan ini, hendaklah perjuangkan semula Tuhan hingga Dia dicintai.Yakinkan semula bahawa Tuhan itu Maha Berkuasa. Dialah pengurus, penjaga, pelindung, menyelamat manusia.

Namun, siapakah yang mampu melakukan kerja besar ini? Membawa manusia kembali kepada Tuhan adalah kerja para rasul dan nabi. Sedangkan Rasul kita Muhammad sudah wafat. Jadi bagaimana? Beruntungnya kita kerana menjadi umat Nabi Muhammad, Rasul yang terakhir. Ertinya selepas baginda tidak ada Rasul yang lain, sedang kerja menyelamatkan manusia mesti terus berlaku. Maha Baiknya Tuhan kerana Dia memberi jalan, iaitu walaupun Muhammad sudah wafat, tetapi masih meninggalkan janji untuk umat yang telah ditinggalkan.

Janji itulah yang akan ditunaikan oleh Allah untuk menyelamatkan umat akhir zaman ini. Janji Tuhan melalui lidah Rasul-Nya itu, umat Islam khasnya dan umat manusia seluruhnya akan diselamatkan oleh sekumpulan manusia yang cinta dan takut Tuhan. Mereka dinamakan Ikhwan dan Asoib. Mereka membawa kasih sayang dan model sistem kehidupan yang menggembirakan kerana sistem itu penuh dengan keadilan dan kemakmuran. Siapakah Ikhwan dan Asoib itu? Ikhwan ertinya saudara. Mereka di antara satu sama lain seperti satu ibu dan satu ayah yang penyayang. ASOIB pula ertinya satu kumpulan.

Dalam makna lain ASOIB juga bererti balutan atau sesuatu yang melindungi dan menyempurnakan. ASOIB juga bererti serban atau mahkota, simbol kemuliaan. Jika digabungkan makna-makna itu ASOIB ertinya satu kumpulan yang mendokong dan menyempurnakan bagaikan mahkota menambah kemuliaan dan seri golongan Ikhwan. Asoib terdiri dari golongan ahli tarekat yang hak di seluruh dunia dan manusia awam yakni golongan orang soleh pilihan yang sangat bersimpati dan menyokong perjuangan jemaah Ikhwan.

Ikhwan dan Asoib adalah pejuang-pejuang yang menjadikan Tuhan sebagai kawan. Mereka Ruhbanu Billail wa Fursanun fin Nahar. Di malam hari menjadi abid atau ahli ibadah seperti ruhban (rahib), bercinta-cinta, bermanja-manja dengan Tuhan Cinta Agung. Di siang hari sibuk berjuang seperti tentera berkuda (fursan). Sifat fursan seperti singa yang aktif mencari mangsa, bukan pasif menunggu makanan datang menggolek. Begitulah sifat ikhwan dan asoib, sentiasa aktif mencari kebaikan apa lagi yang mesti dibuat. Mereka sibuk dengan aktiviti 'Zohirina 'alal haq', menzahirkan sistem kehidupan dalam pelbagai bidang: pendidikan, kebudayaan, ekonomi, kebajikan, kesihatan, pertanian, dan lain-lain. Apa yang dilakukan oleh ikhwan dan asoib itu adalah membina kasih sayang dan kemakmuran yang diidamkan oleh semua insan sebagai bukti cinta kepada Tuhan.

Tabloid ASOIB, dari wanita untuk wanita, ingin mengajak anda para pembaca sekalian untuk sama-sama bercinta dengan Tuhan dan membuktikan cinta itu dengan membina kasih sayang, kemajuan dan kemakmuran dalam setiap aktiviti dan kerjaya wanita.

Bercinta dengan Tuhan tiada rebutan, tiada kecewa, tiada persaingan. Tuhan, Cinta Yang Agung. Siapa mencintai-Nya, dialah peribadi yang agung.

Moga kita direzekikan untuk menjadi ikhwan atau ASOIB yang dirindui Rasulullah SAW.

Pn. Khadijah Aam, Ketua Editor ASOIB

0 comments:

Post a Comment