This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Tuesday, March 24, 2009

AKU PASRAH: TELAH KU LIHAT JALAN KEBENARAN INI



Tuhanku,
Kini aku pasrah ,
Pada takdirMu ke atas ku,
kerna telah ku lihat jalan kebenaran itu..
Telah terdampar luas di hadapanku.
Akan ku gengam kebenaran ini seeratnya,
Biarpun hati terluka, biar juga jasad terlulur.

Tuhan,
Telah aku pasrah,
Pada takdirMu ke atas ku
Atas kehilangan segalanya yang ku miliki,
Asal kebenaran itu bertahta dihati ini,
kerna kebenaran itu hanya datang sekali,
Pada setiap dekad yang pergi.

Tuhanku,
Telah aku pasrah
Pada TakdirMu padaku,
Akan kehilangan seorang kekasih,
Di antara dua persimpangan kasih,
Maka persimpangan kebenaran itu ku pilih,
Walau hati merintih, walau terasa pedih.

Tuhanku,
ku pohon restuMu,
Agar teguhkan jiwa dan kakiku ini
Di atas jalan kebenaran ini
Kerna kebenaran ini hanya satu
Untuk hambaMu yang telah lama menunggu

Nukilan hatiKu

BUKTI- BUKTI SUSAHNYA MELAWAN NAFSU


Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan yang maha besar."
Para Sahabat bertanya: "Peperangan apakah itu ya Rasulullah?"
Jawab baginda: "Perang melawan nafsu." (Riwayat Al Baihaqi)

Melawan nafsu (mujahadah) ini memang susah. Rasulullah ibaratkan lebih susah daripada berdepan dengan peperangan senjata. Dalam bab-bab sebelum ini, kita sudah huraikan betapa sulitnya nafsu itu hendak dikesan dan tersembunyi pula. Sebab itu sesetengah orang tidak dapat mengesannya. Sesetengahnya lagi tidak pernah ambil tahu adanya perkara batin ini. Jadi dia tidak pernah berfikir untuk berperang dengan nafsu sendiri. Golongan ini merasa hairan bila diajak melawan hawa nafsu.

Kata mereka,
“Di mana susahnya hendak melawan nafsu?”
“Betulkah nafsu itu sulit untuk diperangi?”
“Nafsu itu tidak ada apa-apa. Saya tidak ada masalah dengan nafsu saya.”
“Pelik! Mengapa orang kata nafsu itu sangat jahat? Sulit untuk ditundukkan? Ia perlu diperangi? Aku tak faham!”


Untuk golongan ini, agar mudah memahaminya kita cuba buat perbandingan. Nafsu yang jahat itu kita ibaratkan pencuri, perompak dan penyamun. Jadi mencuri, merompak dan menyamun itu memang profesyen mereka. Mereka tidak rasa susah dengan kerja mencuri, merompak atau menyamun sebab kerja-kerja itu memang kerja mereka. Merekalah yang selalu mengganggu-gugat keamanan orang, mencuri, kidnap, pecah rumah, rampas barang orang, larikan anak gadis orang, mengancam nyawa orang, membunuh dan lain-lain lagi. Oleh kerana itu kerjanya, dia tidak terasa susah dan sulit dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut. Tetapi yang rasa susahnya ialah orang yang kena curi. Yang rasa terganggu-gugat adalah orang yang kena rompak. Yang rasa huru-haranya adalah orang yang kena samun. Betapa azabnya mereka menanggung.

Hidup dalam ketakutan. Rasa hilang keselamatan. Rasa hilang bahagia sebab harta hilang, rumah musnah, duit habis dikebas hingga jadi papa kedana. Anak isteri dilarikan dan nyawa terancam. Hati susah yang amat sangat. Hilang ketenangan. Makan tidak kenyang, tidur tidak lena. Segala kerja terganggu hingga haru-biru masyarakat. Tidak aman negara. Polis dan orang ramai turut sama susah, terganggu dan terancam. Di195 susahkan, diganggu dan diancam oleh perompak-perompak dan lanun-lanun tadi.

Membendung perompak dan lanun-lanun ini bukannya mudah. Satu kerja yang payah dan sulit. Hendak memusnahkan semua sekali tidak mungkin sebab perompak-perompak ini selalunya bekerja di waktu malam, dalam gelap pekat, di waktu orang sedang tidur nyenyak dan di waktu orang sedang sibuk dan asyik. Dia bekerja bukan terang-terangan tetapi secara senyap- senyap dan berhati-hati. Kerjanya tangkas, cekap dan pakar. Selepas kerja, terus hilang lesap. Dia pandai menyembunyikan diri dengan menyamar macam orang biasa. Hingga manusia susah hendak mengesan dan menangkapnya. Hanya polis yang cekap dan pintar, yang dibantu dengan alatan canggih sahaja yang dapat mengesannya dan sekaligus berjaya menangkapnya. Itulah kerja perompak dan lanun-lanun yang menjadikan semua orang pening, risau, terganggu, tergugat dan huru-hara.

Jadi orang yang terganggu ini akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:
1. Susah kerana gangguan mereka.
2. Susah hendak mengesan siapakah yang mengganggu itu kerana mereka tidak isytiharkan diri.
3. Susah hendak melawan dan memusnahkan pengganggu tadi.

Tetapi perompak-perompak dan lanun-lanun tadi relaks saja. Mereka tidak rasa terganggu atau hilang ketenangan sebab mereka yang mengganggu. Bagi orang yang senyap-senyap bekerjasama dengan perompak-perompak dan lanun-lanun tadi, mana terasa susah. Dia juga tidak susah macam tidak susahnya perompak-perompak tadi. Orang yang beri laluan, orang yang jadi spy dan beri kerjasama dengan perompak-perompak tadi pun tidak rasa susah dan tergugat.

Begitulah tamsilannya nafsu kita yang jahat ini. Jika seseorang itu sudah jadi pengikut nafsu yang jahat itu, dia pun senang hati dengan perbuatan jahatnya. Mana terasa susah lagi kerana telah sama-sama jadi geng jahat. Yang terasa kejahatannya itu ialah orang yang diganggu. Bagi orang yang tidak mahu tunduk dengan kejahatan nafsu dan ingin memeranginya, tentulah dia terasa susah, amat terseksa dan letih untuk memusuhi nafsunya. Kalau tidak benar-benar tekad dan tabah, ia akan kalah dan menyerah sahaja.

Orang yang terasa betapa susahnya melawan nafsu akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:
1. Susah hendak mengesan nafsu yang abstrak, yang maknawiyah, yang terlalu halus hingga terpaksa mempelajarinya.
2. Bila sudah tahu, kehendak-kehendak hati nuraninya pula terpaksa bertarung dengan kehendak-kehendak nafsunya. Amat susah pula untuk tidak mengikut kehendak-kehendak nafsu.
3. Susah hendak mujahadah terhadap nafsu kerana terpaksa membuat bermacam-macam latihan yang mencabar.

Di sini didatangkan beberapa contoh sebagai bukti susahnya berperang atau bertarung dengan nafsu iaitu:
1. Kalau ada orang mengata, menghina, mengumpat, maki hamun di depan atau di belakang kita, bagaimanakah sikap kita? Bolehkah hati kita rasa senang dan tenang? Mudahkah kita tahan hati kita yang sedang gelojak marah itu? Bolehkah kita diamkan sahaja tanpa sakit hati atau susah hati atau berdendam. Bolehkah kita ucapkan “Assalaamualaikum,” dan tinggalkan mereka dengan senyum manis? Mampukah kita memaafkannya? Tentu tidak mudah. Hati kita tentu sakit dan menderita. Apatah lagi hendak berbuat baik dengan orang yang berbuat jahat terhadap kita seperti kehendak Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Berbuatlah baik pada orang yang berbuat jahat pada kamu.”

2. Mudahkah kita memaafkan orang yang telah bersalah pada kita? Mungkin telah menghina atau berlaku kasar dengan menengking-nengking kita. Tentu tidak mudah, susah dan pahit. Kerana hati kita sudah dilukakannya selama ini kecuali kita lawan nafsu kita itu.

3. Kita diuji Allah dengan bermacam-macam ujian seperti hidup miskin. Kita sudah berusaha tetapi tidak juga kaya. Kita ingin pandai. Setelah berusaha, kita tidak juga cerdik. Kita gagal peperiksaan. Masyarakat tidak peduli. Dicemuh pula kerana kemiskinan dan tidak ada sijil tinggi. Mudahkah kita tanamkan jiwa besar di waktu itu sehingga kita boleh berdikari dan tidak pedulikan kata-kata mereka itu? Apakah di waktu itu kita boleh menahan perasaan daripada keluhkesah hingga boleh menyerahkan pada takdir? Bolehkah redha dan baik sangka dengan Allah? Hati atau nafsu mana mahu menerima hakikat di sebalik kejadian itu ada pahala yang menunggu?

4. Kita lihat ada orang susah, menderita dan melarat. Mungkin terasa simpati untuk membantu memberi duit padanya. Ini mungkin mudah dan rasa mulia dilakukan kerana orang kata kita baik dan pemurah. Disanjung dan dipuji pula. Tetapi untuk duduk setaraf bersama-sama mereka dan menghiburkan hati mereka, tentu susah. Mampukah kita bergaul dengan mereka? Tidur baring dan makan minum bersama mereka? Bermesra-mesra dengan mereka? Memberi salam mendahului mereka? Tentu tidak mudah. Nafsu terasa hina dan malu. Lebih-lebih lagi kalau kita ada kedudukan, tentu nafsu rasa jatuh wibawanya.

5. Kita ada kelulusan pengajian Islam, mungkin B.A., M.A. atau PhD. Kita tahu bekerja atas tiket ijazah satu perkara yang hina dan keji dalam Islam. Sebab Rasulullah SAW pernah bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa menuntut sesuatu dari ilmu ini yang dikehendaki dengannya wajah Allah untuk mendapatkan sedikit dari mata benda dunia, pasti masuk Neraka.” (Riwayat Ibnu Asakir) Sedangkan peluang ada. Terbuka bila-bila masa sahaja. Kelulusan yang kita miliki membolehkan kita menjawat jawatan tinggi dengan gaji dan elaun yang lumayan. Ada pangkat, ada nama, disebut dan disanjung orang. Mungkin jadi mufti, kadhi atau ketua pengarah jabatan Islam. Apakah kita akan tolak tawaran tersebut dengan alasan ingin mencari pekerjaan yang lebih halal seperti berniaga, bertani atau berternak? Tentulah akan berperang dengan nafsu sendiri. Senangkah untuk lepaskan peluang ini? Tentu payah. Nafsu akan terlonjak-lonjak berkehendakkan jawatan dan kedudukan dengan kelulusan agama tadi. Nafsu akan rasa rugi dan bodoh bila menolak peluang merebut kemewahan dunia itu.

6. Kita ada jawatan penting. Ada kuasa untuk luluskan projek- projek untuk kemajuan rakyat. Rakyat memohon dan merayu pada kita. Kita tunaikan. Adakalanya projek yang diminta kita luluskan segera, disogoknya ratusan ribu atau berjuta-juta ringgit atau diumpan dengan perempuan-perempuan cantik serta macam-macam tawaran istimewa lagi. Apakah mudah kita menolak tawaran-tawaran istimewa ini? Tentu payah. Nafsu akan mendorong dan membisikbisikkan supaya peluang keemasan itu jangan dilepaskan. Inilah yang ditunggu-tunggu selama ini. Kawan-kawan yang setaraf sudah lama merasa. Tentu nafsu tidak mahu kalah. Hendak ditolak, orang lain pun buat. Nyatalah sulitnya melawan nafsu ini.

7. Kita seorang peniaga. Bersama-sama kita ada peniagapeniaga lain yang berniaga bersebelahan dengan kita. Perniagaannya sangat maju dan berjaya sedangkan kita sebaliknya, tidak maju dan hampir bangkrap. Apakah mudah untuk menahan nafsu supaya sabar dan redha dengan takdir serta tidak berlaku hasad dengki dengan peniaga yang berjiran dengan kita tadi. Tentu tidak mudah!

8. Kita sebagai petani, sama-sama berkebun dengan jiran kita. Kebunnya menjadi dan subur. Sedangkan kebun kita tidak menjadi dan tidak subur. Hasilnya juga kurang. Pendapatan kita jauh kurangnya berbanding dengan kawan kita tadi yang sudah jadi kaya-raya dengan jualan hasil kebunnya. Apakah mudah kita redha dengan keputusan Allah itu? Apakah boleh kita membendung nafsu kita supaya tidak hasad dengki dengan jiran kita itu. Tentu sulit!

9. Kita seorang pendakwah. Kita berdepan dengan pendakwah bebas atau pendakwah dari jemaah lain atau sama-sama berdakwah dalam sebuah jemaah. Kita dapati orang itu lebih diterima oleh orang ramai dan disanjung-sanjung. Ada pengikut pula. Sedangkan dakwah kita tidak diterima orang. Bahkan dihina-hina pula. Kita tidak ada pengikut sedangkan kita ada kelulusan tinggi dari universiti oversea atau kita adalah pendakwah rasmi. Mudahkah kita terima hakikat ini? Apakah kita sanggup mengangkat tangan mendoakan kejayaannya? Kemudian memberi sokongan moral dan material pada orang itu? Sebab melalui tangannya orang boleh terima Islam. Bahkan mampukah hati kita berkata: “Tak apalah kerana ada orang yang sedar melalui orang itu.” Tentu tidak mudah. Nafsu selalunya hasad dengki bila melihat orang lain berjaya. Bahkan bertindak menyebarkan fitnah dan menjatuhkan orang itu. Kalau kita ada kuasa, kita akan cuba menyekatnya dengan alasan orang itu tidak ada tauliah.

10. Seorang isteri yang dipoligamikan. Suami memberi kasih sayang yang lebih pada isteri-isteri yang lain. Diistimewakannya pula. Dibawa ke mana-mana. Segala permintaannya dilayan mesra sedangkan diri kita tidak. Mudahkah untuk kita bersabar dan redha dengan suami itu. Mudahkah kita bermuka manis dengan suami? Senangkah untuk tidak berdendam dengan suami dan madu kita itu? Bahkan mendoakan keselamatan dan kejayaan untuk mereka? Tidak mudah! Walaupun kita tahu betapa besarnya ganjaran yang Allah kurniakan di Akhirat kelak disebabkan tolak ansur kesabaran kita itu, nafsu tetap terasa berat. Begitulah sulitnya melawan nafsu ini.

11. Kita duduk sekampung atau satu pejabat dengan kawan kita. Sama-sama jatuh cinta dengan seorang perempuan cantik jelita. Masing-masing berusaha menawan dan menambat hati perempuan itu. Bersaing memberikan hadiah-hadiah istimewa, mengharapkan perempuan itu membalas cinta kita. Didapati cinta kita tidak berbalas. Bertepuk sebelah tangan. Sama-sama pergi meminang. Pinangan kita ditolak tetapi pinangan kawan kita itu diterima. Bagaimana hati kita pada waktu itu? Hati tentu hancur berkecai dan remuk-redam. Dirasakan hilang dunia ini dari pandangan. Di waktu itu mampukah kita membendung nafsu supaya jangan gilakan perempuan itu lagi? Tetap seperti biasa, berbuat baik pada perempuan itu? Mampukah untuk tidak berdendam dengan kawan sepejabat kita tadi? Bolehkah hati kita menerima takdir itu dengan tenang, tanpa keluh-kesah kerana redha dengan takdir Allah? Tentu payah.

12. Sebagai bos pejabat, di bawah kita ada kerani, pekerjapekerja, pemandu, tukang kebun, tukang sapu dan lain-lain lagi. Mampukah kita bergaul mesra dengan mereka? Mampukah kita memberi kasih sayang pada mereka? Makan minum serta tidur baring dengan mereka? Apakah boleh kita membantu mereka bila mereka perlukan bantuan? Adakah senang kita memberi nasihat baik-baik dengan penuh kasih sayang, bukan marah-marah? Adakah nafsu tidak terasa tercabar untuk buat itu semua? Apakah nafsu tidak terasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Tentulah nafsu rasa tercabar. Nafsu rasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Nafsu akan rasa tuan, rasa superman. Kesalahan perlu ditegur dengan marah-marah baru orang-orang bawahan takut. Nafsu rasa puas kalau dapat tengking dan herdik-herdik, cerca dan hina-hina orang bawahan. Begitulah jahatnya nafsu yang hendak dilawan itu.

13. Kita berdepan dengan isteri yang buat salah. Mudahkah kita nasihatkan isteri dengan baik dan penuh kasih sayang? Atau isteri, bila dapati suami bersalah, mudahkah untuk memaafkannya? Tegur dengan baik. Diingatkan dengan kasih sayang? Bukan dengan marah-marah dan mengaraharah? Mudahkah untuk berakhlak mulia ini? Tentu payah.

14. Seorang ibu ayah yang berdepan dengan kerenah anak-anak yang memeningkan kepala. Mudahkah untuk bersabar dengan mereka itu? Tidak mudah. Selalunya nafsu akan hilang pertimbangan dengan kenakalan mereka. Terpekikpekik, terjerit-jerit dan anak-anak jadi mangsanya. Atau ibu ayah yang bersalah pada anak-anaknya, mudahkah untuk anak-anak memaafkannya? Dan berdiam diri tidak menjawab kata-kata kesat mereka? Senangkah untuk taat arahan mereka? Nafsu selalunya mendorong kita untuk melawan cakap ibu ayah kita, tidak mentaatinya, menyakiti dan menderhakai mereka.

15. Kalau kita sebagai pemimpin berdepan dengan rakyat yang menegur kita, apakah kita dapat menerima teguran dengan sebaik-baik dan berlapang dada? Kalau teguran itu baik, apakah kita ucapkan terima kasih kerana dia sudah selamatkan kita di dunia dan Akhirat? Ertinya selamat daripada Neraka. Selalunya rakyat yang begitu akan diancam atau ditekan. Dikatakan cuba mengancam keamanan negara, hendak rebut kuasa atau hendak gulingkan kerajaan.

Begitulah nafsu kita. Betapa susahnya berperang dengan nafsu itu terbukti daripada salah satu pengalaman kita tadi. Berperang dengan musuh memanglah azab. Untuk mengikut kata nafsu memang mudah kerana kita sudah jadikan musuh sebagai kawan. Untuk jadikan nafsu itu sebagai tuhan, itulah paling mudah. Tidak terasa apa-apa susahnya kerana nafsu sudah menjadi tempat kita meletakkan cinta. Apabila nafsu sudah dijadikan cinta kita, memanglah seronok untuk kita tunduk dengannya. Diajak ke mana-mana pun senang kita ikut dan kita taati. Ini sudah pun diberitahu Allah dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Apakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsu itu tuhannya?” (Al Furqan: 43)

Tunduk dengan cinta agung memanglah mudah. Macamlah apabila kita sayangkan isteri maka untuk mengikut cakapnya memanglah mudah. Cuba kalau isteri itu sudah dibenci dan dimusuhi. Apakah mudah diikut cakapnya? Tentu payah. Jadi walaupun kita susah memerangi nafsu ini tetapi kita usahakan juga tanpa jemu-jemu. Kita tahu memerangi nafsu inilah yang paling Allah suka. Oleh kerana ia dianggap jihad akbar (peperangan yang besar) maka kita teruskan juga. Kita yakin Allah membantu.

Kalau hati kita jahat, Allah tidak akan bantu kita. Segala kerja-kerja kita terbengkalai dan tersangkut. Tidak selesai. Itulah hukuman Allah di dunia di atas kecuaian kita bermujahadah itu. Sepanjang hidup kita berada dalam dosa. Dosa batin yang tidak kita sedari. Oleh itu mari kita bersihkan dosa batin kita ini. Mari kita terus bermujahadah yakni berperang dan bertarung dengan nafsu kita sendiri sehinggalah akhir hayat kita. Barulah dikatakan wira sejati. Seperti sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Siapakah yang dianggap wira itu?”
Kata Sahabat: “Mereka yang tidak dapat dikalahkan (dalam peperangan).”
Nabi menjawab: “(Orang yang dianggap wira itu) ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Riwayat Ibnu Atsir)

Allah SWT juga ada berjanji:
Maksudnya: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman).” (Al A’la: 14)

Maksudnya: “Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 10)

ANTARA NIAT DAN SIKAP


Kejayaan dalam mendidik manusia ialah bilamana seseorang itu mampu memperkenalkan Tuhan kepada manusia sehingga takut dan cinta kepada-Nya. Cinta dan takut itu menjadikan manusia itu suka untuk beribadah kepada Tuhannya. Buah daripada ibadahnya melahirkan manusia yang baik yang boleh memberi manfaat kepada orang lain. Ini semua ada hubungan rapat dengan ilmu rohaniah.

Maka bagi orang yang ada cita-cita untuk membaiki diri atau guru-guru yang hendak mendidik manusia, mereka mestilah mengetahui ilmu rohaniah ini. Sekaligus mempraktikkan ke dalam diri mereka terlebih dahulu sehingga mereka menjadi baik. Contoh dan suri teladan yang baik daripada mereka itulah jadi ikutan pula kepada murid-murid dan pengikut-pengikutnya. Dengan kata-kata lain, mereka menjadi model hamba Allah yang baik yang mampu memberifaedah kepada manusia sejagat.

Melalui pengalaman kita, mendidik manusia adalah sulit sekali. Ini kerana manusia itu ada akal, roh, nafsu dan fizikal. Fizikal adalah anggota lahir. Akal, roh dan nafsu adalah anggota batin. Kejayaan mendidik manusia adalah ditentukan oleh tiga anggota batin yang tidak nampak tadi iaitu akal, roh dan nafsu itu.

Jadi kalau pendidik-pendidik atau guru-guru tidak ada ilmu rohaniah, hanya faham fizikal manusia semata-mata, bagaimana dia hendak mendidik murid-murid dan pengikut-pengikutnya.Tentu sekali pendidik-pendidik atau guru-guru tadi akan gagal. Mendidik manusia tidak cukup mendidik fizikal mereka sahaja. Tapi itulah yang berlaku selama ini. Murid-murid atau pengikut-pengikut dididik fizikal mereka semata-mata. Tiga anggota batin yakni roh, akal dan nafsu tidak dididik. Walhal hakikat manusia itu ialah anggota batin inilah, manakala anggota lahir mengikut saja.

Ilmu rohaniah ertinya ilmu yang berkait rapat dengan roh (hati nurani manusia). Ilmu rohaniah ini juga disebut sebagai ilmu tasawuf. Al Quran menganjurkan ilmu ini iaitu:
Maksudnya: Beruntunglah orang yang mensucikan hatinya dan rugilah orang-orang yang mengotorinya. (Asy Syam: 9 - 10)

Roh atau hati nurani (anggota batin) adalah merupakan hakikat diri manusia. Ertinya, harga diri dan nilai diri manusia itu ditentukan oleh roh, akal dan nafsunya. Tanpa roh, manusia adalah bangkai. Kerana adanya roh juga maka manusia itu dikatakan mukalaf yakni makhluk yang diperintahkan untuk menyembah Allah, patuh kepada suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Tanpa roh, perintah dan larangan Allah tidak ada erti apa-apa. Tapi bukan semua roh itu yang menjalankan perintah dan menjauhi larangan. Ada juga roh yang melanggar perintah dan melakukan larangan. Ini bergantunglah kepada proses pendidikan yang diterima oleh roh itu.

Roh yang taat, takut dan cinta pada Allah akan menjadikan manusia itu berguna dan menguntungkan dirinya serta orang lain. Tapi roh atau hati yang rosak atau kotor akan menjadikan manusia itu tidak berguna apa-apa lagi. Dirinya seolah-olah bangkai bernyawa. Dengan kata lain, dia adalah sampah masyarakat. Dia masih hidup, boleh bergerak ke hulu ke hilir, boleh mengatur dan mentadbir, bercakap dan bertindak, namun semua itu penuh kejahatan dan kerosakan.
Maksud saya, sekiranya roh atau hati yang rosak atau kotor itu ada pada seorang pemimpin maka kepimpinannya tidak lagi adil bahkan penuh dengan kekejaman, diskriminasi, mementingkan diri, keluarga dan kliknya sahaja, malah dia adalah perosak bangsa, agama dan negara.

Kalau roh atau hati atau anggota batin yang rosak itu berada dalam diri orang kaya, jadilah si kaya itu bakhil, tamak, lintah darat dan membazir. Kalau roh atau hati dalam diri ulama sudah rosak, jadilah si ulama itu penjahat (ulama suk). Dia akan menjual ilmu Islamnya untuk membeli kepentingan dunia yakni dia gunakan ilmu Allah untuk mencari pangkat, nama dan duit semata-mata macam petani menjual tanamannya untuk mendapat duit. Ulama suk menjual ilmunya untuk kepentingan dunianya. Kalau ia bercakap adalah bagi pihak tuan bukan bagi pihak Tuhan. Kalau tidak bercakap, mereka menjadi syaitan-syaitan bisu pula.

Roh atau hati atau anggota batin yang sudah rosak kalau berada dalam diri para pemuda, pemuda itu akan menghabiskan masanya dengan berfoya-foya, berangan-angan, melepak-lepak dan berseronok-seronok. Tenaga sasanya disia-siakan tanpa memberi apa-apa faedah atau khidmat kepada masyarakat. Akhirnya mereka jadi sampah masyarakat.

Kalau roh atau hati yang jahat ada pada si miskin, maka keluh- kesahlah dia sepanjang masa, rasa hina, rasa malu kepada orang yang lebih darinya. Dengan orang kaya mereka rasa dengki dan dendam. Ertinya dia tidak sabar dan tidak redha dengan kemiskinan yang menimpa dirinya.

Demikianlah kalau roh yang jahat itu ada dalam diri para gadis remaja dan kaum wanita maka rosaklah dirinya dengan asyik berlawa-lawa, bersolek-solek dan bergaya untuk menarik perhatian orang padanya. Dirinya sanggup dijual pada sesiapa saja yang boleh memberi nikmat dunia padanya. Ramai lelaki yang tergoda. Sesama sendiri saling benci-membenci dan bersenget-senget hati.

Begitulah peranan roh dalam hidup manusia. Ia bagaikan raja dalam negara diri. Menjadi penentu baik atau tidaknya manusia itu bahkan penentu hidup mati manusia. Kalau ia keluar dari jasad, manusia akan menjadi bangkai. Kalau ia ada pula dialah yang akan mencorak kehidupan itu, baik atau buruk, perosak atau pengislah, peruntuh atau pembangun, bertanggungjawab terhadap masalah atau pencetus kepada masalah, pendamai atau penghuru-hara dan lain-lain lagi. Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
Maksudnya: Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)

Pengalaman kita sendiri membuktikan bahawa hati atau roh kitalah yang menentukan tindak-tanduk kita. Fizikal (tangan, kaki, mulut, mata, telinga, perut dan lain-lain anggota) cuma menunaikan kehendak-kehendak hati. Anggota lahir (fizikal) bukan penentu tetapi hanya pekerja dan buruh-buruhnya sahaja. Kalau hati mahu, semuanya jadi. Kalau hati tidak mahu, apa pun tidak jadi. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu disertai dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang dinilai dari apa yang diniatkan. Sesiapa yang hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu adalah dinilai kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrah kerana dunia yang diidamkan atau perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya dinilai kerana itulah. (Riwayat Bukhari)

Kalau niat baik maka amalan itu diterima sebagai amalan baik. Sebaliknya kalau niat jahat maka amalan itu dikira jahat sekalipun nampaknya baik. Contoh, Si A berniat untuk sembahyang kerana Allah, maka sembahyang itu diterima sebagai amalan soleh. Manakala Si B meniatkan sembahyang itu untuk dia dikatakan orang baik maka sembahyangnya tertolak.

Ada juga niat yang baik tetapi dilaksanakan dengan cara yang jahat. Ini juga tertolak. Misalnya seorang yang berniat untuk menolong seseorang dengan cara mencuri duit seseorang yang lain. Ini tidak betul. Lebih-lebih lagilah tidak betul kalau niatnya salah dan perlaksanaannya pun salah. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu. (Riwayat At Tabrani)

Di sinilah kita lihat Allah membahagikan amalan hamba-hamba-Nya kepada dua bahagian:
Pertama: Apa kata hati (niat)
Kedua: Bentuk perlaksanaan lahir

Dengan kata lain Allah bezakan niat dengan sikap. Walaupun kedua-duanya diperintahkan tetapi keutamaan diberi pada niat supaya seseorang tidak menipu dirinya dan orang lain dengan berbuat baik tapi bermaksud jahat. Manusia cuma nampak yang lahir dan tidak tahu apa yang dirahsiakan di dalam hatinya.

Sedangkan kalau dia buat jahat orang boleh nampak dan boleh tegur untuk keselamatan dirinya. Hal ini boleh diibaratkan pada sebiji buah yang ada kulit dan ada isi. Kedua-dua kulit dan isi adalah penting. Buah yang baik itu adalah kerana kulitnya baik dan isinya pun baik. Buah yang kulitnya baik tapi isinya tidak baik, ia tidak berguna apa-apa.Manakala buah yang kulitnya buruk sedangkan isinya baik pun tidak bagus. Cuma ia masih boleh dimakan. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Niat orang mukmin lebih baik dari amalannya.
(Riwayat Al Baihaqi dan Ar Rabi)

Maksudnya niat yang baik itu lebih baik dari amalan yang baik kerana niat yang baik tidak dicelah oleh riyak atau ujub. Manakala amalan yang baik cukup mudah dihinggap oleh riyak dan ujub. Jarang manusia boleh selamat dari diganggu dan dirosakkan amalannya oleh riyak dan ujub. Ada Hadis mengatakan bahawa seseorang yang baru berniat baik sahaja sudah diberi pahala oleh Allah. Sedangkan niat yang jahat tidak dikira berdosa sehinggalah orang itu benar-benar melaksanakan niat jahat tersebut.

Para pembaca, pendidik, guru-guru yang dikasihi sekalian.
Begitulah pentingnya roh diberi perhatian dan pendidikan. Memerhati, mengkaji dan menilai bidang inilah yang disebut ilmu tasawuf atau ilmu rohaniah atau ilmu batiniah. Ilmu yang merupakan satu bahagian yang terpenting dalam ilmu Islam di samping ilmu usuluddin yang menjadi asasnya dan kemudian ilmu fekah (syariat). Tasawuf umpama isi buah manakala ilmu syariat itu umpama kulit buah. Atau ilmu syariat itu dianggap kisrun (kulit) dan ilmu tasawuf itu dianggap lubbun (intipati).

Kedua-duanya penting tetapi yang lebih penting ialah isinya kerana isi itulah yang mahu dimakan. Syariat dan tasawuf sama-sama penting tetapi keutamaan ialah tasawuf, kerana ia yang menjadi perhatian dan penilaian Allah.

ROH: APAKAH MAKANAN UNTUK MENYIHATKANNYA?


Sabda Rasululah SAW:
Maksudnya:
"Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah manusia. Kalau ia rosak, maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati (roh)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini bermaksud, hati kitalah yang menentukan tindak-tanduk kita seharian. Tangan, kaki, mulut, perut dan lain-lain anggota, cuma menunaikan kehendak-kehendak hati. Oleh kerana itu roh (hati) hendaklah diberi makanan atau hiburan yang baik (sempurna) barulah roh (hati) itu sihat dan kuat. Roh yang sihat ialah roh yang mempunyai sifat-sifat hati yang bersih (baik) yakni sifat-sifat hati yang mahmudah.

Sebaliknya kalau roh (hati) diberi makanan atau hiburan yang tidak baik atau kotor, roh tadi jadi sakit atau lemah (lemah jiwa). Roh yang sakit ialah kerana dia berpenyakit. Yakni roh itu mempunyai sifat-sifat hati yang kotor (keji) iaitu sifat-sifat mazmumah.

Barangkali boleh kita kiaskan keperluan makanan atau hiburan roh sama seperti keperluan makanan jasad lahir. Kalau jasad lahir perlukan makanan, maka roh juga perlukan makanan. Jasad akan gemuk dan subur kalau dia diberi makanan yang baik dan berzat. Memilih makanan yang baik untuk badan sangat penting untuk menentukan badan sihat bertenaga dan tidak berpenyakit seperti diberi makan nasi, daging, ikan, sayur, susu dan lain-lain lagi. Ia merupakan makanan berzat yang mampu membina tubuh. Jasad lahir jadi subur dan cepat membesar. Badan jadi segar, cergas, aktif dan bergerak tangkas.

Kalaulah jasad lahir tadi perlukan makanan yang baik dan berzat, roh juga perlukan makanan atau hiburannya yang baik untuk membina roh atau memberi kekuatan kepada roh. Makanan yang baik dan bersih untuk roh ialah zikir, tasbih, tahmid, tahlil, sembahyang, puasa, baca Al Quran, doa, selawat, tafakur, mendapatkan ilmu yang memberi manfaat, memahami dan merasa tentang kebesaran dan kehebatan Allah, faham kenapa Allah datangkan ujian, faham segala qadak dan qadar Allah. Juga berjuang dan berjihad, berdakwah dan mengajar kerana keredhaan Allah, berkhidmat dengan manusia sama ada dengan ilmunya, tenaganya, hartanya dan lain-lain lagi, dengan kefahaman dan penghayatan serta dengan hati yang penuh ikhlas.

Bila makanan yang baik untuk roh ini diberikan maka roh itu akan subur dan sihat. Kemudian ia tidak sakit dan berpenyakit. Roh yang sihat ialah roh yang mempunyai sifat-sifat yang baik (mahmudah) seperti sifat-sifat tawadhuk, pemaaf, pemurah, berani, tawakal, sabar, lapang dada, kasih sayang, timbang rasa, taat, patuh, redha, zuhud, cintakan Akhirat, cinta Allah, rindukan Syurga, takutkan Neraka dan lain-lain lagi. Dengan wujudnya sifat-sifat roh atau hati yang disebutkan tadi, akan tercetuslah keharmonian, aman damai dan kebahagiaan di dalam kehidupan secara individu dan bermasyarakat.

Ertinya, kalau roh sihat, individunya jadi orang yang baikbaik dan soleh. Bukan sahaja dia baik tetapi orang-orang lain juga dapat manfaat bersama dengan kebaikannya. Dia boleh memberi bantuan untuk keamanan dan keselamatan orang lain. Sepertimana pernah berlaku dalam sejarah di zaman Rasulullah SAW juga salafussoleh. Makanan roh mereka adalah zikir, tasbih, tahmid, tahlil, baca Al Quran, sembahyang, sedekah, puasa, tafakur, selawat dan lain-lain lagi. Mereka disebut oleh Rasulullah SAW sebagai:

Maksudnya:
"Sebaik-baik manusia ialah manusia di kurunku. Kemudian kurun yang mengiringinya. Kemudian kurun selepas itu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru itu lahirlah dalam kehidupan mereka hasil daripada roh yang kuat dan tenang serta akal yang dipimpin oleh hati, satu kehidupan yang luar biasa. Mereka aktif membantu masyarakat, berkhidmat pada masyarakat, mementingkan masyarakat dan mengutamakan orang lain lebih dari diri sendiri. Mereka jadi pelindung dan penaung kepada masyarakat. Jadi pembangun tamadun dan pengislah di bumi. Masyarakat selamat, dunia jadi aman makmur.

Kenapa berlaku roh atau hati itu sakit? Kiasannya, macam juga badan atau jasad lahir. Badan sakit kerana makanan yang tidak baik atau tersalah memilih makanan. Atau badan terdedah dengan udara yang berkuman. Badan atau jasad kurus kalau tidak diberi makanan yang baik-baik. Makanan yang tidak bersih, bernajis dan berkuman tidak baik untuk badan atau jasad seperti rokok, arak, candu, ganja, morfin dan lain-lain lagi. Akhirnya, badan jadi tidak subur, rosak dan mudah diserang penyakit.

Akibatnya badan jadi lemah, tidak bertenaga, hilang kecergasan, tidak bermaya, tidak aktif, pasif dan sakit-sakit. Bahkan menyusahkan orang lain dengan kesakitan yang ditanggungnya. Boleh jadi penyakitnya itu penyakit yang berjangkit yang menyebabkan orang menjauhi diri darinya. Ertinya bukan dia sahaja yang sakit dan susah bahkan orang lain juga turut susah dan disusahkannya.

Begitu jugalah bandingannya roh yang diberi makan dengan makanan yang tidak baik atau tersalah pilih makanan yang tidak bersih tadi. Makanan roh yang tidak bersih atau tidak baik itu seperti berhibur dengan nyanyian yang melalaikan, muzik-muzik, menonton filem-filem lucah, suka melihat aurat perempuan, suka bergaul bebas dengan lelaki atau perempuan yang bukan muhramnya, berhibur dengan judi, tari-menari, arak, zina, suka ke kelab malam, pub, disko, rumah sundal dan sebagainya.

Semua makanan atau hiburan roh bentuk ini akan membina mazmumah serta menyuburkan dan membangkitkan nafsu. Oleh kerana makanan roh tadi itu tidak bersih, maka akibatnya roh jadi tidak subur. Roh sudah dirosakkan. Jadilah roh itu sakit, mudah berpenyakit atau lemah jiwa. Iaitu ia ditimpa penyakit-penyakit sifat-sifat mazmumah seperti sombong, riyak, ujub, pemarah, tamak, hasad dengki, pendendam, bakhil, penakut, gila dunia, gila pangkat, gila puji dan lain-lain lagi.

Dorongan hati (roh) yang bersifat jahat ini akan menghasilkan tindak-tanduk anggota-anggota lahir yang mencetuskan perbuatan- perbuatan jahat di tengah kehidupan masyarakat. Maka lahirlah mengumpat, mengeji, menghina, menghasut, berkrisis yang tidak sudah-sudah, demonstrasi di sana sini, perpecahan di mana-mana, penipuan di semua peringkat, rasuah berleluasa, kecurian dan rompakan yang menjadi-jadi, penyalahgunaan kuasa bermaharajalela, menggelapkan wang negara, kekusutan rumah tangga yang berpanjangan dan pergaduhan yang akhirnya membawa peperangan. Inilah kemuncaknya. Akibat dari itu, akan hilang ketenangan, kebahagiaan, kedamaian dan keselamatan di kalangan manusia.

Tidak ada ketenangan, kebahagiaan dan kedamaian di dunia hari ini kerana roh manusianya sudah ditimpa penyakit mazmumah. Bukan sebab-sebab yang lain. Tapi malangnya para pemimpin, golongan intelek, para pendidik atau para cendiakawan hari ini banyak yang belum ketemu lagi punca-punca penyakit ini. Masing-masing menyangka tidak bahagia, tidak tenang, tidak damai adalah berpunca daripada soal-soal kemiskinan, berpunca dari soal-soal ekonomi, soal-soal politik yang ada, berpunca daripada sistem masyarakat yang wujud di hari ini.

Walhal itu semua adalah buah atau hasilnya. Pokoknya adalah hati. Hati (roh) itulah punca segala masalah (penyakit). Oleh kerana cerdik pandai dan para pemimpin hari ini tidak nampak penyakit-penyakit ini berpunca daripada hati, maka dicuba-cubalah baiki penyakit-penyakit tadi dengan membaiki sistem yang ada ini. Dibaiki sistem pentadbiran, dibaiki sistem politik, dibaiki sistem masyarakat, membasmi kemiskinan dan lain-lain lagi. Yang paling parahnya, hati mereka sendiri lebih banyak penyakitnya (mazmumah) atau paling jahat. Apakah orang jahat boleh membaiki orang jahat? Anda jawablah sendiri. Inilah yang berlaku di dunia moden hari ini.

Oleh itu kononnya berhibur mengikut istilah masyarakat hari ini mesti dengan melakukan maksiat dan kemungkaran. Itu adalah pendapat yang tidak betul menurut Islam. Hakikatnya ia menjadikan hati (roh) macam badan atau jasad yang makan makanan yang kotor, bernajis dan berkuman atau macam tersalah pilih makanan seperti ganja atau morfin. Bahkan bertambah melalaikan dan merosakkan badan. Begitu juga roh (hati), dia jadi bertambah berpenyakit dan sakit. Memperdalamkan lagi sakit jiwanya. Disangka terhibur tapi yang sebenarnya tidak.

Cuma berhibur dengan maksiat ini mengghalitkan (melalaikan). Lupa sekejap masalah dan penderitaan jiwa (buat semen- tara waktu). Bukan membahagiakan, hanya lupakan sekejap masalah diri. Selepas itu penderitaan itu datang semula bahkan bertambah kusut dan bertambah frust lagi. Buktinya, kita lihat di dunia hari ini, mereka yang menggelar diri mereka itu penghibur antarabangsa, merekalah yang paling tidak terhibur. Berjaya menghiburkan orang tetapi hatinya sendiri tidak terhibur. Akhirnya ambil dadah, ganja, morfin dan sebagainya. Diri binasa dengan AIDs dan akhirnya mati. Sesetengahnya pula bunuh diri.

Sebab itu penghibur-penghibur di hari ini seperti penyanyi, penasyid-penasyid yang telah melacurkan nasyid-nasyidnya, penari, pelakon, penyambut tetamu, peragawati, pelacur-pelacur, yang dedah aurat dan jual maruah diri dengan harga yang murah, mereka semuanya sebenarnya orang yang paling sakit jiwa. Itulah sebabnya golongan inilah yang paling banyak ‘frust’ dalam hidup. Data dan fakta menunjukkan golongan inilah yang paling banyak bunuh diri, kahwin cerai, kecewa dan sakit jiwa. Paling tidak, jiwanya gelisah.

Ini menunjukkan berhibur cara itu bukan fitrah tetapi adalah rangsangan nafsu yang jahat. Oleh itu orang-orang yang berhibur dengan perkara itu tadi, akan jadi orang yang jahat pula. Yang mana selalu jadi masalah pada masyarakat. Untuk membuktikan ia bukan dari fitrah murni tetapi dari dorongan nafsu jahat, kita lihat walaupun majoriti manusia terjebak dengan hiburan itu kerana tidak mampu untuk lawan nafsu tetapi kalau seseorang itu hendak jadi pemimpin negara atau raja, orang ramai akan mempersoalkan jika dia kaki disko, kaki zina dan kaki membuang masa di kelab malam.

Di Barat, mana-mana pemimpin yang terlibat dengan kes-kes perempuan, dia akan jatuh dalam pilihan raya. Rakyat tidak menyenanginya sedangkan rata-rata rakyatnya pun sama-sama jahat seperti pemimpin mereka. Ini menunjukkan fitrah manusia suka pada kebaikan walaupun dia sendiri seorang yang tidak baik

PERKAHWINAN IBARAT MEMBANGUNKAN MASJID


Dalam masyarakat Melayu Islam memang sering mengungkapkan bahawa perkahwinan atau berumahtangga itu sebagai membangunkan masjid. Tanpa huraian mendalam pun, sudah ada satu tanggapan atau persepsi bahawa membina rumahtangga itu punya maksud yang suci murni dan nilai yang tinggi hingga dikatakan sebagai membina masjid. Masjid pula adalah satu institusi yang wajib ada dalam kehidupan masyarakat. Dan sudah tentu dalam pembinaan masjid bukan boleh dibuat sambil lewa. Semua aspek yang berkaitan dengan masjid mesti tiada yang tertinggal. Misalnya masjid mesti tepat arah kiblat. Dibina dengan sempurna supaya tiada gangguan dalam penggunaannya. Penjagaan masjid yang berterusan mesti diperkirakan dari awal kerana masjid bukan sekadar hendak dipakai untuk tempoh yang singkat, sebaliknya penggunaan masjid sampai bila-bila.

Sekarang mari kita tinjau lebih terperinci lagi tentang konsep dan falsafah masjid dan bandingannya dengan rumahtangga.

1. Masjid dibina kerana Allah SWT. Dilarang membina masjid dengan niat-niat yang lain. Begitulah dalam membina rumahtangga, tidak boleh dengan niat lain. Terpesong niat akan dengan mudah memusnahkan rumahtangga. Umpamanya niat berumahtangga hanya sekadar untuk memenuhi tuntutan naluri atau sekadar hendak melepaskan nafsu semata-mata. Niat-niat yang tidak murni ini awal-awal lagi mengundang kemurkaan Allah SWT. Tuhan tidak pimpin dalam menjalani hidup berkeluarga. Hilang keberkatan dari Tuhan. Hasilnya rumahtangga itu tidak akan tenteram. Amat perlu diingat bahawa tanda sebuah keluarga yang hilang keberkatan ialah apabila suasana tidak tenteram, sering marah-marah, sering bertengkar, hilang kasih sayang, mementingkan diri sendiri, hidup nafsi-nafsi.

2. Arah kiblat semua masjid adalah tepat. Arah kiblat yang salah membatalkan sembahyang. Semua anggota keluarga mesti memiliki niat dan arah kehidupan yang sama iaitu mencari keredhaan Allah SWT melalui rumahtangga dan hidup berkeluarga. Barulah rumahtangga itu akan melahirkan orang-orang yang mudah sepakat, bermuafakat, seia sekata, saling memiliki rasa bersama, bekerjasama dan bertolong bantu. Andainya niat berumahtangga itu tidak tepat, ibarat masjid salah kiblat. Biarpun berjaya juga dibendung dari timbulnya krisis, namun rumahtangga itu hakikatnya sudah berpecah belah.Untuk sementara waktu mungkin boleh bertahan. Dan mungkin juga masih boleh bertahan kerana belum ada sebarang cabaran atau gangguan. Lazimnya sadikit saja cabaran yang melanda akan mudah rapuh dan terbarai.

3. Masjid adalah tempat membesarkan Allah SWT. Ertinya rumahtangga adalah saluran anggota keluarga membesarkan Allah SWT. Bukan tenpat membesarkan dunia, nafsu dan syaitan. Rumahtangga yang sering berkrisis adalah berpunca kerana dalam diri masing-masing subur cinta dunia, subur perangai syaitan, bertunjangkan nafsu dan tabiat haiwan semata-mata. Cinta dunia, angkara nafsu dan syaitan adalah punca dunia porak peranda dan tidak ada noktah dari bermusuh dan berperang. Inilah juga akibat yang bakal ditanggung oleh rumahtangga yang memiliki faktor yang serupa. Iaitu rumahtangga yang Tuhan tidak dipedulikan, Tuhan terpinggir, Tuhan tidak dibawa bersama dalam kehidupan.

4. Masjid adalah tempat ibadah. Tempat beramal mengabdikan diri kepada Allah SWT. Masjid bukan tempat hingar bingar, bukan tempat kelakar dan lucu dengan hilai ketawa berdekah-dekah, bukan pasar yang riuh rendah tanpa haluan dan bukan juga arena konsert atau tempat menonton sebarang permainan. Ini bukan bererti tiada kegembiraan dan gurau senda dalam rumahtangga. Namun semuanya berlaku dengan penuh berdisiplin, kaya dengan adab sopan, tata susila dan ketertiban. Suasana yang aman tenteram seolah-olah dalam suasana menjaga ibadah. Seperti mana dalam masjid tiada maksiat, kemungkaran pertengkaran, kata nista, maki hamun, sumpah seranah, bertegang leher, maka begitulah suasana dalam rumahtangga.

5. Masjid adalah tempat berlakunya pengajian, majlis ilmu,nasihat menasihati dan peringatan. Secara khususnya atau rasminya adalah Khutbah Jumaat. Begitulah keadaan yang seharusnya berlaku dalam rumahtangga.Terutamanya suami, selaku ketua keluarga mesti mampu menjadi imam sembahyang, mengadakan majlis pengajian yang ringan-ringan terutama di bidang fardhu ain,adab-adab dan membaca Al-Quran. Juga mesti mampu memberi tunjuk ajar dan peringatan kepada anggota keluarga.

6. Masjid adalah tempat manusia merendah diri, berkasih sayang, hormat menghormati dan saling bermaafan.Demikianlah sewajarnya terjadi dalam rumahtangga.Hidup dengan ketiadaan ego dan sombong, berkasih sayang,saling selamat dan menyelamatkan, saling menghiburkan, prihatin, setia dan bela membela. Yang tua mengasihi, manakala yang muda menghormati. Yang tidak tahu diberi tunjuk ajar, yang bersalah meminta maaf dan yang tidak bersalah memberi maaf.

7. Bangunan masjid itu merupakan gabungan berbagai komponen dan bahan binaan. Gabungan yang lengkap itulah menjadikan sempurnanya sebuah masjid. Ditambah lagi dengan berbagai ukiran yang menambahkan lagi cantiknya sesebuah masjid. Dalam konteks rumahtangga, ianya bukan setakat ikatan antara dua orang atau sepasang suami isteri itu saja. Lebih dari itu bermula dari ikatan dua orang suami isteri, terjalin hubungan antara keluarga kedua-dua pihak. Sanak saudara antara kedua pihak bertukar menjadi ikatan kekeluargaan yang lebih besar. Termasuk juga selepas perkahwinan itu akan mendapat anak, seterusnya menantu pula, maka bertambah lagi anggota keluarga. Selepas anak-anak dan menantu- menantu, datang pula cucu-cucu. Cucu-cucu pula berkahwin maka bertambah lagi jumlah anggota keluarga. Seluruh ikatan kekeluargaan itu perlu dijaga agar kekal tidak terungkai bahkan kekal utuh. Begitu besarnya fungsi rumahtangga.

Cuba bayangkan andainya berlaku perceraian antara suami isteri. Maka perceraian itu diibaratkan meruntuhkan masjid. Selain hilang peranan yang diibaratkan masjid, putus pula segala ikatan kekeluargaan antara dua pihak. Seolah-olah seluruh bangunan masjid itu runtuh. Walaupun bercerai itu tidak berdosa, namun ianya ibarat runtuhnya sebuah masjid, kesan negatif dari perceraian itu amat besar. Perceraian akan memberi kesan kepada retaknya ikatan dalam keluarga keseluruhannya.

Seperti mana masjid perlu ada penjagaan berterusan agar kekal berfungsi maka begitulah juga rumahtangga perlu sangat dijaga agar kekal hingga akhir hayat. Kalau runtuh masjid maka tiada lagi tempat tumpuan masyarakat untuk melaksanakan berbagai aktiviti kepada Tuhan mahu pun sesama manusia, demikianlah juga sekiranya runtuh rumahtangga maka akan berlaku berbagai kepincangan dalam masyarakat.

8. Masjid amat dijaga kebersihan dan kesuciannya. Habuk,debu, sawang semuanya disingkirkan. Najis memanglah sangat diawasi. Tahi cicak pun tidak boleh ada. Ini kesucian yang bersifat lahir. Orang-orang yang memasuki masjid turut menjaga kesucian batin. Masing-masing berusaha mengawasi gerak hati agar tidak menjalar sifat mazmumah sepanjang berada dalam masjid. Ertinya, sedikit sebanyak berusaha juga membuat penyucian hati. Kerana hati memang terasa diawasi oleh Allah SWT. Dengan harapan perasaan atau rasa diawasi oleh Allah SWT itu dapat dibawa keluar dari masjid.

Sama juga fungsi rumahtangga. Tempat di mana anggota keluaga menjadikannya gelangang mujahadah untuk membuang dan membakar sifat mazmumah, sekaligus menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Juga dengan harapan sifat-sifat mahmudah dapat di bawa bersama ketika berada di luar rumah bersama masyarakat. Kalau setiap keluarga berbuat perkara yang serupa, maka kesannya ialah anggota masyarakat terdiri daripada manusia yang baik-baik. Aman damailah pula masyarakat dan negara.

ISLAM DAGANG(GHARIB): BAHAGIALAH ORANG YANG DAGANG(GHARIB) ITU

Ada hadis Rasulullah S.A.W menyebut (terjemahannya), "Islam mula datang keadaannya dagang, dan akan kembali dagang dengan seperti mulanya datang."
Maka berbahagialah orang yang dagang itu atau bertuahlah karena mereka telah membaiki apa yang telah dirosakkan manusia.

Di dalam hadis ini ada 4 perkara :

1. Dagang
2. Kembali dagang
3. Bertuahlah orang yang dagang
4. Orang yang gharib dapat membaiki apa yang dirosakkan orang.

Erti Dagang Dan Kembali Dagang

Apa maksud dagang? Asing, pelik, terpinggir atau ganjil. Rasulullah kata dagang itu ialah pelik, asing, terpinggir atau ganjil. Dagang ini orang berdagang, orang musafir ke tempat orang. Cuba kita kaji orang musafir ke tempat orang bagaimana? Kita tidak kenal orang, orang tidak kenal kita, orang pandang kita tercengang-cengang, kita pandang orang pun tercengang-cengang, sebab orang tengok kita lain macam, sebab dia tak pernah tengok kita. Budaya tidak sama, cara makan tidak sama, kita pelik tengok mereka, mereka pun pelik tengok kita.

Kalau hendak dikiaskan awal-awal Islam, orang yang terima Islam peringkat awal, orang ramai tengok mereka pelik. Mengapa? Kerana perangai tidak sama, cita-cita tidak sama, budaya tidak sama. Orang yang mula-mula masuk Islam, tiba-tiba takutkan Tuhan, cintakan Tuhan sedangkan orang ramai tidak begitu. Mereka (orang ramai) takut susah, takut miskin, cintakan harta. Jadilah 2 puak yang berbeza. Orang ramai pelik tengok mereka : ini orang mana? Ada satu puak tiba-tiba cintakan akhirat, ajak orang cinta akhirat, jadi orang pelik. Orang ramai tidak fikir mati, fikir dunia sahaja, fikir hidup sahaja. Orang Islam menjadi orang pelik. Mereka sebut Tuhan, orang ramai sebut hal-hal dunia.

Orang Islam peringkat awal bermati-matian perjuangkan Tuhan, orang ramai pelik mengapa buang duit untuk perjuangkan Tuhan, sedangkan orang ramai sampai berperang perjuangkan dunia. Sama-sama pelik. Orang lain berpecah belah, orang yang Islam ini ajak bersatu padu, orang lain fikirkan diri, orang yang gharib ini mahu buat baik dengan orang, orang ramai tengok pelik, dianggap bodoh, orang tidak boleh terima, akhirnya dipinggirkan.

Begitulah Rasulullah SAW menggambarkan orang Islam itu pelik, terpinggir, seperti gagak sama gagak bergaul tapi diantara gagak hitam, ada seekor yg merah. Kan pelik, gagak, gagaklah tapi mengapa merah tak seperti aku? Kan pelik, jenis sama, spesies sama tapi kenapa dia merah tak hitam? Sebab itu Rasulullah SAW kata gharib.

Berbahagialah Orang Yang Gharib

Rasulullah SAW berkata, orang yang dagang ini berbahagialah. Untung sangatlah, bertuah sangatlah. apa untungnya danapa bahagianya? Kerana mereka mampu baiki apa yang dirosakkan oleh manusia. Orang ajak dunia semata-mata, dia ajak ke akhirat, ajak cinta dan takut pada Tuhan. Orang ramai fikir kepentingan diri, yang gharib memikirkan bagaimana hendak buat baik pada orang.

Rasulullah SAW bersabda, sebaik-baik manusia ialah manusia yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain. Jadi berbahagialah, bertuahlah orang yang pelik ini, orang yang dagang ini. Mengapa dianggap bertuah? Dia membetulkan apa yang salah. Yang rosak dibaiki, yang cacat dibetulkan, yang pecah belah disatukan. Dari tidak kenal Tuhan kepada kenal Tuhan, tidak perjuangkan akhirat kepada perjuangkan akhirat. Berbahagialah orang yang gharib. Bertuahlah mereka membaiki apa yang telah dirosakkan orang, baiki cara orang berfikir. Sebelum ini fikir dunia semata-mata, lalu dia ajak cinta Tuhan, cinta akhirat.

Rasulullah SAW kata dalam hadis tadi Islam akan dagang semula sepertimana mula-mula datang. Ramai orang terkejut. Kata Rasulullah SAW di akhir zaman akan berlaku orang yang pelik ini, orang yang terpinggir ini, orang yang dagang ini, akan kembali sepertimana asal. Berbahagialah orang yang kembali dagang seperti awal Islam dulu. Kerana mereka akan membaiki apa yang dirosakkan manusia.

Ada maksud tersirat, bahagia ada 2 makna, orang yang pelik, yang paling bahagia di akhirat dengan rahmat dan nikmat dengan keredhaan Tuhan, keampunan Tuhan. Tapi di akhir zaman kalau panjang umur, di dunia dapat bahagia. Mengapa? Yang rosak sudah jadi baik. Yang rosak sudah dibaiki oleh orang Islam. Umat Islam akan gemilang kali kedua. Setelah rosak dibaiki, setelah cacat di baiki, kalau panjang umur akan dapat saksikan perubahan itu. Kita akan saksikan yang cacat jadi baik, jadi ertinya di dunia lagi kalau panjang umur akan rasa bahagia, rasa terhibur karena Tuhan sudah jadi hiburan sementara waktu. Orang berpecah belah bersatu semula, tidak kenal Tuhan boleh kenal, orang tak cinta Tuhan boleh cinta, huru hara jadi aman damai. Itulah yang dimaksudkan hiburan sementara waktu. Hiburan yang sebenar di akhirat nanti. Orang yang dapat baiki benda yang rosak, ini orang yang berjasa. Maka berbahagialah di akhirat.

Tapi yang panjang umur sempat tengok di dunia lagi, aman damai hidup penuh harmoni, tidak ada gejala masyarakat. Tapi untuk jadi orang dagang bukan senang, sebuah kereta sudah rosak, rosak sangat, apakah senang untuk dibaiki semula? Tentu susah. Ia memerlukan orang yang benar-benar bertaqwa.

Contoh kita ambil yang kecil sedikit, yang kecil tentulah mudah. Kalau perkara kecil pun tidak boleh jadi orang ganjil, Katalah fitrah manusia samada lelaki atau perempuan ialah hendak kahwin. Itu fitrah. Fitrah itu yang disukai oleh hati. Hati suka. Kalau kita kendalikan sesuatu yang kita suka, tak mampu, kita tidak boleh jadi orang gharib, maka bukan kitalah orangnya. Sebulan kahwin boleh tahan. Masuk 2 bulan sudah krisis, maka bukan kitalah orangnya. Walaupun kahwin itu fitrah, maka masa yang sama tidak terlepas dari salah silap, timbul krisis, untuk selesaikan krisis tak pandai, maka kita tidak boleh jadi orang pelik. Gertak, hilang pertimbangan, bukan cara itu untuk baiki krisis rumahtangga tapi bincang apa yang tidak kena.

Kalau contoh yang besar sedikit, lagi gagallah. Katalah poligami, bukan senang untuk satukan 2,3,4 isteri. Kalau tidak boleh disatukan tidak boleh jadi orang ghariblah, jadi orang biasalah. Yang jadi pelik itu, ialah benda yang tak logik berlaku. Patut dia syukur Tuhan bantu dapat 2,3 isteri. Moga-moga kita pandai apply dalam sikap kita agar kita jadi orang pelik jadi orang bahagia di akhirat dan di dunia kalau panjang umur.

Sekian

Sunday, March 22, 2009

SOLAT DAPAT MEMBINA PERIBADI DAN TAMADDUN YANG AGUNG


KEKUATAN SESUATU BANGSA
Di dalam sejarah tamadun manusia, ada bangsa-bangsa yang telah menempa sejarah yang agung. Bangsa-bangsa itu dianggap agung kerana kedudukan dan martabat mereka yang jauh lebih tinggi dari bangsa-bangsa lain yang sezaman dengan mereka. Mereka itu agung kerana mereka:
1. Bangsa yang berjiwa besar
2. Berwibawa
3. Bertamadun
4. Disegani
5. Dihormati
6. Maju
7. Mengatur
8. Banyak memberi khidmat kepada bangsa lain

Bangsa-bangsa yang lemah dan mundur mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat negatif yang menyebabkan mereka itu tidak boleh maju dan ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Di antara ciri-ciri dan sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut:
1. Pemalas
2. Berjiwa kecil
3. Penakut
4. Suka meminta-minta (bantuan dan subsidi)
5. Lemah jiwa. Mudah putus asa dan kecewa
6. Tidak ada keyakinan diri
7. Tidak ada cita-cita untuk bangsanya. Mereka hanya ada cita-cita peribadi, untuk hidup senang dan untuk makan sendiri sama ada pemimpin dan orang besarnya ataupun rakyatnya.

Bangsa-bangsa yang kuat dan agung pula mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang jauh berbeza. Mereka sebaliknya mempunyai berbagai-bagai sifat positif yang dapat memberi kekuatan kepada mereka. Sifat-sifat itu termasuklah:
1. Rajin
2. Berjiwa besar
3. Berani
4. Tidak suka meminta-minta dan sangat berdikari
5. Kuat jiwa. Tidak mudah putus asa atau kecewa
6. Yakin diri
7. Ada cita-cita untuk bangsanya, sama ada cita-cita itu pada pemimpin, pada orang besarnya atau pada rakyatnya.

Di samping sifat-sifat di atas, ada lagi sifat-sifat positif yang sangat meneguhkan dan menguatkan peribadi mereka. Ini termasuklah sifat-sifat:
1. Berdisiplin
2. Sabar

Agungnya peribadi itu pula dapat dilihat pada:
1. Akhlaknya
2. Imannya
3. Keyakinannya
4. Disiplin hidupnya
5. Kebersihan hatinya
6. Jauhnya mereka daripada melakukan maksiat dan dosa
7. Kemas syariatnya

Bukan mudah untuk mengubah bangsa yang lemah dan mundur supaya menjadi bangsa yang kuat dan agung. Segala ciri dan sifat-sifat mereka itu perlu diubah. Sifat pemalas mesti diubah menjadi rajin. Jiwa yang kecil mesti diubah menjadi jiwa yang besar. Sifat suka meminta-minta dan sentiasa mengharapkan bantuan dan subsidi, mesti dikikis dan dibuang. Mesti ditanam dengan sifat berdikari. Jiwa yang lemah mesti dikuatkan. Tidak boleh mudah kecewa dan berputus asa. Sifat penakut mesti ditukar kepada sifat berani. Mereka mesti kuat keyakinan. Cita-cita bangsa perlu ditanam di dalam hati sanubari setiap anak bangsa. Sifat suka mementingkan diri dan bekerja hanya untuk kesenangan diri sendiri mesti dihapuskan. Ini sesuai dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri (hati atau jiwa) mereka." (Ar Ra'd: 11)

BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN
Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.

Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.

PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH

Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang senang. Perlu ada pemimpin yang mendidik ke arah itu. Kalau tidak ada pemimpin yang mendidik, ia mustahil boleh berlaku.

Pemimpin itu pula tidak boleh sebarang atau calang-calang pemimpin.Pemimpin yang hendak menjadikan bangsanya kuat dan agung mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung itu pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia hendak mendidik bangsanya supaya mempunyai ketujuh-tujuh ciri dan sifat yang agung tadi. Dia mesti mempunyai mandat dari Tuhan. Dia juga mesti mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik. Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia. Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi. Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.

Pendidikan bangsa mestilah melalui ibadah. Itulah sebabnya Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat. Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa. Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat atau sembahyang lima waktu. Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat. Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada. Ia menjadi syarat. Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain.
Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:
1. Ilmu
2. Kefahaman
3. Penghayatan

Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini. Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu.
Kefahaman lebih penting. Faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan:
"Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.'' (Riwayat Muawiyah)

Dalam doa pun selalu kita minta kepada Tuhan begini:
Maksudnya: "Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman."
Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya, difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan.

KENAPA SELAMA INI IBADAH TIDAK MENDIDIK KITA
1. Ibadah tanpa penghayatan tidak memberi kesan
Kita diberi ilmu tentang ibadah, sama ada ibadah asas mahupun ibadah sunat, hanya setakat yang bersangkut paut dengan hukum-hakam iaitu tentang syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Oleh itu dalam beribadah, itulah yang kita jaga iaitu syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Tidak lebih dari itu. Dalam solat, itulah juga empat perkara yang ditekankan. Begitu juga dalam ibadah puasa dan haji. Ilmu lain termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman dan penghayatan pun tidak diajarkan. Kalau begitu keadaannya bagaimanalah ibadah itu dapat dihayati.

Kalau ibadah penting seperti solat yang menjadi tiang agama dan ibu segala ibadah pun hanya diajar syarat, rukun, sah dan batalnya sahaja tetapi ilmu falsafah, kefahaman dan penghayatannya tidak diajar, maka rugi sungguhlah kita.
Fenomena ini sudah berlaku selama tujuh ratus tahun semenjak jatuhnya empayar Islam. Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini sangat terbatas. Ilmu ibadah yang diajar tidak langsung menyentuh tentang roh ibadah atau hikmah dalam ibadah. Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak bersolat pun, ianya tidak memberi apa-apa kesan pada diri dan hati mereka. Akhlak mereka tidak banyak berubah. Bahkan orang yang banyak ibadah menjadi lebih beku, tidak aktif, tidak produktif dan sangat pasif. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Barangsiapa yang sembahyangnya tidak dapat mencegahnya daripada maksiat dan kemungkaran maka tidak bertambah dekat dia dengan Allah, melainkan bertambah jauh daripada Allah." (Riwayat At Tabrani)

Ibadah tanpa penghayatan dan penjiwaan ini tidak memberi apa-apa kekuatan. Ibadah seperti ini tidak dapat melahirkan bangsa yang kuat dan yang mempunyai peribadi yang agung. Dalam perintah Tuhan supaya kita beribadah itu terkandung ubat untuk bagaimana kita boleh melahirkan bangsa yang gagah dan agung, yang dapat menguasai dunia. Tetapi disebabkan ibadah kita itu hanya ibadah lahir, tidak ada jiwa, tidak ada roh dan tidak dihayati, kita bersolat atau tidak bersolat, kita ibadah atau tidak ibadah, sama sahaja kesannya kepada kita.

2. Tidak ada ilmu tentang Tuhan
Solat atau sembahyang itu, di antara tujuannya ialah untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Bukan untuk mengajar manusia tentang Tuhan tetapi untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang. Cuma, manusia atau insan itu sifatnya adalah pelupa. Walaupun manusia ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang tetapi mereka tetap akan lupa. Itulah sifat manusia. Istilah insan adalah dari istilah ins dalam bahasa Arab yang maksudnya pelupa.

Solat atau sembahyang akan hanya memberi kesan pada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Maka dalam sembahyang, dia hanya diingat-ingatkan dan disedarkan lagi. Lima kali sehari semalam, Allah ingat-ingatkan dia tentang Tuhan untuk menampung sifat pelupanya itu supaya dia jangan terus lupa. Itulah rahmat dan kasih sayang Tuhan.

Sembahyang hanya boleh menyedarkan orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Tetapi bagi kebanyakan umat Islam, di luar sembahyang dan dalam kehidupan seharian, mereka memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan. Kalau di luar sembahyang sudah jahil, tidak ada ilmu dan tidak faham, bagaimana untuk mengingat Tuhan dalam sembahyang. Bagaimana dapat mengingat perkara yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah faham. Ini perkara mustahil. Orang yang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan sangat susah untuk disedarkan. Orang macam ini, sembahyang tidak ada makna baginya. Terpekik terlolong dalam sembahyang pun tidak jadi apa-apa. Dia tidak ubah seperti orang gila.

Inilah juga sebab kenapa ibadah terutama solat atau sembahyang itu tidak mendidik kita. Umat Islam rata-rata memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan. Sembahyang tidak membawa mereka kepada Tuhan. Jauh sekali mengingatkan mereka tentang Tuhan.