This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Wednesday, May 27, 2009

APABILA PEMIMIPIN TIDAK MEMIMPIN

Terlalu banyak istilah digunakan bagi mengatakan tentang kepimpinan. Ada yang menggunakan istilah "Pemerintahan ". Ada yang menggunakan istilah "Kekuasaan" Ada pula yang menggunakan istilah "Pentadbiran "seperti Pentadbiran Carter (Carter Administration) dan sebagainya.

Bagi pemimpin pula, ada yang menggelarkan diri mereka "Presiden" Ada yang menggelarkan diri mereka "Raja" . Ada “Perdana Menteri” . "Chairman" dan bermacam-macam lagi.

Akan tetapi walaupun semua mereka ini berkuasa dan dianggap sebagai pemimpin di negara mereka masing-masing, mereka sebenarnya tidak memimpin dalam erti kata yang sebenarnya. Mereka hanya menyusun dan mentadbir hal-hal yang bersangkutan dengan ekonomi, perumahan, pembangunan, keselamatan sosial, pelajaran, pengangkutan, kesihatan dan yang seumpamanya. Mereka hanya terlibat dengan hal-hal yang menyentuh kehidupan lahiriah rakyat dan yang memenuhi keperluan dan kehendak fizikal dan material rakyat semata-mata.

Kepimpinan seperti ini tidak banyak bezanya dengan menggembala lembu dan kambing. Disediakan kandang, diberi makan minum atau disediakan padang ragut, dijaga keselamatan haiwan-haiwan tersebut supaya tidak diserang oleh musuh dan kalau sakit, dipanggil doktor haiwan untuk merawatnya.

Memimpin manusia bukan seperti menternak lembu atau kambing. Bukan setakat memberi mereka rumah, makan minum, hiburan, khidmat kesihatan dan kemudian membiarkan mereka membiak dan beranak-pinak.

Kalau kita lihat dan halusi betul-betul istilah kepimpinan itu sendiri, ia membawa maksud yang lebih dalam dan luas dari hanya menjaga, menyusun dan mentadbir hal-hal fizikal dan keperluan hidup. Memimpin itu ada sangkut-paut dengan membimbing, mendidik, menunjuk ajar dan membina peribadi dan akhlak rakyat yang banyak berkait dengan soal roh dan jiwa mereka.

Memimpin itu ialah membangunkan kemanusiaan dan keinsanan rakyat. Laitu membangunkan fizikal mereka, membina akal mereka, mendidik hati dan nafsu mereka. Memimpin adalah memperkenalkan rakyat kepada Tuhan agar Tuhan itu diimani dan diyakini, dicintai dan ditakuti. Agar Tuhan itu ditaati dan dipatuhi.

Tidak hairanlah mengapa manusia di seluruh dunia ini tidak terpimpin. Tidak ada orang yang memimpin mereka. Pemimpin-pemimpin mereka sendiri pun tidak menjalankan tugas memimpin ini. Malahan pemimpin-pemimpin mereka pun tidak terpimpin.

Kalau kita lihat negara-negara yang bukan Islam, walaupun rakyat mereka tidak dipimpin, namun keperluan lahiriah mereka sangat tersusun dan mereka sangat mewah dari segi material. Di kebanyakan negara-negara umat Islam pula, bukan sahaja rakyatnya tidak dipimpin, keperluan lahiriah atau material rakyat pun sangat kurang dan pentadbirannya lemah dan kucar-kacir. Ini sudah dua kali malang. Bukan sahaja soal material tidak selesai, soal rohani pun terabai. Macam orang kena penyakit barah dan leukimia pada masa yang sama. Kedua-duanya berbahaya dan boleh membawa maut.

Apabila tidak dipimpin, rakyat akan jauh dari Tuhan. Mereka akan jauh dari kebenaran. Mereka akan jauh dari petunjuk dan hidayah. Jiwa mereka akan kosong dari keimanan dan ketaqwaan. Fitrah mereka akan rosak. Keinsanan mereka akan rosak. Akhlak mereka juga akan rosak. Mereka akan hilang panduan dan matlamat hidup. Dunia akan masuk ke dalam hati-hati mereka. Mereka akan lupa Akhirat. Mereka akan hanya terangsang dan merasa ringan dengan hal-hal dunia dan akan merasa susah, berat dan tertekan dengan hal-hal Akhirat.

Nafsu mereka akan menggila dan menjadi tidak terkawal. Mereka akan rakus dan tidak puas mengejar dunia. Sudah ada sepuluh biji kereta mewah, mereka mahu sepuluh lagi. Sudah ada sepuluh buah rumah “mansion”, mereka mahu sepuluh buah lagi. Nampak laut, mahu “luxury yacht” Nampak ruang udara mahu “private jet”. Mereka tidak ada rasa bersalah. Buatlah apa maksiat pun, mereka tetap merasa megah. Mereka tunduk kepada hawa nafsu mereka dan akan merebut dunia ini semahu-mahunya. Mereka mengangkat nafsu-nafsu mereka menjadi Tuhan mereka.

Bila ini berlaku dan nafsu amarah bermaharajalela dalam diri mereka, maka hati-hati mereka akan menjadi gelap. Jiwa mereka akan mati. Mata hati mereka akan jadi buta. Sukar untuk mereka merasa bertuhan. Sukar untuk mereka melihat kebenaran. Akhirat itu jadi kecil dan tidak penting bagi mereka. Bagi mereka, dunialah segala-galanya.

Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan bermacam-macam sifat mazmumah yang keji. Mereka akan jadi pencinta dunia. Mereka akan gila dunia. Mereka akan jadi pemburu dunia. Mereka akan jadi hamba dunia. Mereka tidak akan nampak lagi halal haram, baik buruk, patut tak patut, sah atau batal. Apa sahaja yang mereka inginkan, mereka akan ambil. Apa cara pun akan digunakan. Bagi mereka matlamat menghalalkan cara.

Mereka akan menjadi ego, sombong dan angkuh. Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan sifat-sifat pemarah, bakhil, hasad dengki, tamak haloba, penting diri, besar diri dan mereka akan hidup nafsi-nafsi. Macam pokok dalam hutan. Masing-masing hendak meninggikan pucuk masing-masing.

Yang sedihnya, bukan sahaja rakyat biasa yang akan jadi begini. Pemimpin lebih-lebih lagi. Kalau begitu, siapakah yang akan memberi tunjuk ajar. Siapakah yang akan melarang. Pemimpin sendiri membawa contoh negatif yang diikuti oleh rakyat. Lama-lama ia jadi budaya. Sukar untuk diubah.

Inilah puncanya mengapa tidak wujud perpaduan. Inilah sebabnya tidak wujud kesatuan. Tidak wujud kasih sayang di kalangan manusia. Manusia asyik merebut-rebut dunia dan khazanah negara macam anjing merebut bangkai. Sambil merebut bangkai, bergaduh dan menggigit-gigit sesama sendiri. Timbul krisis. Berlakulah pergaduhan dan perbalahan. Terjadilah tindas menindas, tekan menekan dan jatuh menjatuh.

Inilah juga puncanya mengapa maksiat dan jenayah berleluasa di kalangan manusia. Menipu, mencuri, merompak, menculik, merogol, membunuh dan macam-macam lagi. Ini jugalah puncanya akhlak dan moral manusia jatuh menyapu bumi. Rupa macam manusia, tamadun lahiriah dan pembangunan hebat tetapi nilai, moral, akhlak dan cara hidup tidak ada beza dengan haiwan.

Inilah akibatnya apabila pemimpin tidak memimpin. Inilah akibatnya bila tumpuan hanya diberi kepada keperluan hidup lahiriah manusia semata-mata. Kepada ekonomi, kepada pembangunan dan kepada kemajuan. Inilah akibatnya bila roh dan jiwa manusia diabai dan tidak dididik dan dibimbing. Tidak diisi dengan ketuhanan dan cinta Akhirat. Tidak diisi dengan keimanan dan ketagwaan. Rakyat jadi rosak. Masyarakat jadi rosak. Negara jadi rosak. Akhirnya seluruh dunia jadi rosak.

Pemimpin yang tidak memimpin hanya mencipta neraka di dunia. Dia membina huru-hara dan kacau-bilau. Dia mencipta kesusahan dan kesengsaraan. Dia membawa kebimbangan, keresahan dan ketakutan di dalam hidup manusia. Dia merosakkan perpaduan. Dia memecah-belah. Dia memusnahkan kasih sayang. Dia menghijab dan mendinding manusia dari rahmat dan kasih sayang Tuhan. Dia merosakkan akhlak rakyat. Dia memusnahkan kemanusiaan dan keinsanan rakyat. Pemimpin yang tidak memimpin sebenarnya membawa terlalu banyak kerosakan kepada rakyat. Deritanya bukan sahaja di dunia bahkan akan dibawa ke Akhirat.

Lebih-lebih lagilah pemimpin yang menyuruh, menggalak dan menganjurkan manusia membuat maksiat dan kemungkaran. Yang menyuruh manusia melanggar dan membelakangkan syariat. Yang menggalakkan rakyat berfoya-foya dan berlalai-lalai. Pemimpin yang meremehkan agama dan menghalang manusia beragama. Pemimpin yang menghalang manusia menuju Tuhan. Yang menyusahkan urusan agama manusia. Kemusnahan dan kerosakan bukan sahaja akan berlaku dengan lebih cepat bahkan akan berlaku dengan lebih dahsyat. Lebih baik manusia beruzlah untuk melindung dan memelihara diri dan iman masing-masing dari berada di bawah pemerintahan pemimpin yang seperti ini.

Di Akhirat nanti, setiap pemimpin itu akan disoal tentang apa yang dia pimpin. Lebih-lebih lagilah pemimpin negara. Tanggungjawabnya bukan setakat mengadakan rumah, makan minum, menjaga kesihatan, keselamatan atau mengadakan segala keperluan lahir rakyat. Itu semua perkara kecil. Perkara remeh. Yang besarnya ialah tentang iman, amalan dan peribadi rakyat. Tentang aqidah, ibadah dan akhlak rakyat. Sudahkah dia mendidik, membimbing dan menunjuk ajar rakyat. Sudahkah dia membawa rakyat kepada Tuhan dan merapatkan rakyat dengan agama.

Sudahkah dia mensejahterakan hati dan rohani rakyat. Kesejahteraan fizikal dan lahiriah tidak ada makna apa-apa tanpa kesejahteraan rohani. Kesejahteraan lahiriah tetap akan membawa kepada huru-hara, kacau-bilau, pergaduhan, perbalahan dan krisis. Kesejahteraan lahiriah semata-mata tetap akan mencetuskan pecah-belah dan benci-membenci. Tidak akan wujud perpaduan dan kasih sayang hanya dengan kesejahteraan lahiriah. Keamanan, ketenangan, kedamaian, keharmonian dan kasih sayang akan hanya tercetus bila hati dan rohani rakyat berada dalam keadaan sejahtera. Inilah sebenarnya tanggungjawab pemimpin. Mensejahterakan dan menenangkan hati dan rohani rakyat dengan mengembalikan mereka kepada fitrah semulajadi mereka yang suci murni. Inilah caranya pemimpin boleh memandu negara menjadi seperti apa yang Tuhan firmankan:
"Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan." (As Saba': 15)

IBADAH UNTUK MELAHIRKAN CINTA DAN TAKUT DENGAN TUHAN

Di dalam kita beribadah, tujuan kita adalah Tuhan. Agar Tuhan itu dibesarkan, disanjung dan dicintai. Untuk terjadinya perasaan itu, Tuhan datangkan syariat, peraturan, ada yang asas, sunat dan umum.

Yang asas itu adalah ibadah yang fardhu, solat, puasa, zakat dan haji. Semoga dengan ibadah itu dapat lahir perasaan-perasaan membesarkan Tuhan. Tetapi kalau dengan yang fardhu tidak cukup, Tuhan tambahkan yang sunat.

Tuhan tahu ada orang yang asyik dengan Tuhan, sebentar-sebentar ingin bertemu, sebab itu tidak cukup dengan yang fardhu. Bagi orang yang mabuk Tuhan suruh banyakkan ibadah yang sunat. Seolah-olah yang fardhu tidak cukup untuk mendatangkan rasa hamba, cinta, takut dll,

Begitulah seterusnya, ibadah yang fardhu dan sunat pun terbatas, banyak lagi waktu, untuk makan, rehat, yang semuanya harus. Kemudian seolah-olah Tuhan beritahu kalau dengan ibadah yang harus itu hambaNya tidak mendekatkan diri denganNYa, Tuhan beri rukhsah, ertinya Tuhan tdiak bertindak. Asalkan tempat yang harus jangan digantikan dengan yang haram. Seolah-olah Tuhan berkata, kalau kau ingin berehat bukan dengan tujuan untuk dekatkan diri dengan Aku, Aku beri keringanan. Itulah rahmat Tuhan. Supaya kita tidak berdosa.

Tetapi yang sebaik-baiknya, kerja yang harus pun dijadikan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Ertinya 24 jam dalam beribadah. Segala pekerjaan baik yang fardhu, yang sunat, dan yang harus dilakukan dengan tujuan untuk taqarrub dengan Tuhan, untuk merasa kasih, takut dan mabuk dengan Tuhan.

Kalau ibadah ataupun pekerjaan tadi baik yang fardhu, sunat mahu pun yang harus tidak mendatangkan perasaan kasih, takut dan mabuk dengan Tuhan, maka tidak akan ada nilainya. Solat, puasa, zakat, haji semuanya tidak ada nilainya sebab tujuannya tidak sampai.

Sekarang ini masyarakat tidak faham peranan ibadah, sebab itu walaupun banyak sembahyang, pergi umrah tetapi perangai tidak berubah. Padahal Tuhan tidak memandang pada banyaknya ibadah, tetapi pada kesannya. Ertinya bila dengan amalan lahir itu tidak timbul rasa cinta, rindu dengan Tuhan, tidak terasa malu dan takut dengan Tuhan maka ibadah yang banyak tidak ada nilainya. Sebaliknya walaupun hanya mengerjakan yang fardhu tetapi terasa peranan ibadah, maka itu sudah cukup.

Sebab itu dalam beribadah jangan mengejar fadhilat. Itu hanya tambahan. Kita kiaskan dengan orang yang mendapat gaji di pejabat. Kadang-kadnag gaji yang pokok sedikit sahaja, mungkin 500 RM. Tapi kalau over time dapat 1000 RM. Yang 1000 RM itu fadhilat. Tapi jika kerja asas tidak dibuat, apakah akan dapat yang 1000 RM. Tidak buat kerja yang asas, ingin dapatkan yang overtime, apakah boleh begitu ? Kalau kita kiaskan, orang yang mengejar fadhilat dengan solat sunat, sedangkan ibadah yang fardhu tidak berperanan. Itu ertinya orang yang mengejar fadhilat tertipu. Hal ini ramai ulama pun banyak yang tidak tahu.

Sekarang peranan ibadah dan syariat sudah diselewengkan. Bila kita lihat kehidupan orang-orang Allah, seperti isteri Umar bin Abdul Azis, memberitahu tentang suaminya, ibadahnya tidak sebanyak orang lain. Mungkin kita rasakan sudah sewajarnya demikian sebab dia memerintah, tidak sempat beribadah banyak. Tetapi kata isterinya ada satu hal yang dia lihat ketika hendak tidur malam dia menangis, menggelupur sebab takut dengan Tuhan. Selama 2 tahun memerintah, walaupun isteri ada di sebelah tapi dia tidak pernah bersama dengan isteri. Sentiasa merasa malu dan takut dengan Tuhan.

Orang yang secara lahir kelihatan amalannya banyak tapi hati tidak terasa takut dengan Tuhan itu lebih berat kesalahannya daripada orang yang mencuri. Kalau kita mencuri terasa berdosa sebab kesalahan itu dapat dinilai secara lahir. Tetapi kesalahan orang yang beribadah karena fadhilat itu tidak terasa, sangat halus dan berbahaya.


Ibadah yang kita buat baik yang fardhu maupun yang sunat, seperti orang berkebun. Cukup 1 atau 2 hektar, tapi ada hasilnya. Daripada banyak, tapi tidak ada hasil. Biar sedikit tapi ada buah. Buah ibadah adalah akhlak yang mulia.

Sebab itu Rasulullah selalu bersabda, orang itu masuk syurga bukan kerana solatnya banyak, puasanya banyak, sembahyangnya banyak, Rasulullah tidak pernah berkata begitu. Rasulullah tidak berkata, kuat iman seseorang itu kerana banyak ibadah. Apa sabda Rasulullah yang maksudnya kepada khalifah Sayidina Abu Bakar, yang maksudnya lebih kurang, kuatnya iman Saidina Abu Bakar itu bukan kerana solatnya banyak, bukan kerana perjuangannya, tapi kerana jiwa yang teguh dalam hati, tawaduk, pemaaf, rendah diri, cinta dengan Tuhan, tawaduk, rendah diri, tahan uji. Itu yang membuat tinggi darjat Sayidina Abu Bakar.

Pernah Sayidina Umar sendiri bertanya pada Sayidina Abu Bakar, “Saya dengar Rasulullah banyak menceritakan tentang keutamaan engkau ya Sayidina Abu Bakar. Apa yang ada pada engkau?” Jadi spontan saja dia jawab, ada 5 perkara,iaitu:

1. Manusia ada dua golongan iaitu yang memburu dunia dan yang memburu akhirat. Tetapi saya tidak memburu dua-duanya, saya memburu Tuhan. Dia berbuat itu bukan kerana syurga, tidak juga kerana neraka tetapi kerana Tuhan.

2. Saya tidak pernah merasa kenyang ketika makan, kerana kelezatan makan diatasi oleh kelazatan mengenal Tuhan.

3. Begitu juga saya tidak pernah minum sampai hilang haus, sebab kelazatan minum itu telah diatasi oleh cintakan Tuhan.

4. Bila bertemu dua kerja dalam satu masa iaitu kerja dunia dan kerja akhirat, saya dahulukan kerja akhirat.

5. Saya bersahabat dengan Rasulullah, saya lakukan sebaik-baik sahabat.


Dengan Tuhan, Dia tidak minta pun kita beri, apalagi bila dia minta. Cinta dengan Tuhan ada pengorbanan, termasuk pengorbanan dengan manusia. Manusia itu makhlukNya, hambaNya. Seperti kita ingin ambil hati orang tua, kita buat baik dengan adik-adik, sebab mereka adalah anak-anaknya juga. Kita buat baik dengan manusia, ertinya kita cinta dengan Tuhan. Termasuk juga makhluk Tuhan, sebab makhluk itu hamba Tuhan. Kadang kita puasa banyak, sembahyang banyak, jiran lapar tidak terurus, tidak ada gunanya. Sebab itu Rasulullah bersabda yang maksudnya, tidak diterima ibadah seseorang itu kalau dia tidur malam tetapi jirannya lapar. Satu hari itu ibadahnya tdak ada harga, kalau ketika dia tidur dalam kekenyangan, sedangkan jirannya lapar.

Satu hari Rasulullah SAW bercerita di depan sahabat, tidak lama lagi akan datang seorang di majlis ini dia ahli syurga. Kalau Rasulullah SAW berkata, dia itu ahli syurga, maka itu pasti ahli syurga. Jadi orang tunggulah siapa yang akan datang, tak lama kemudian datang orang, Assalamualaikum, itulah dia. Sahabat banyak tak kenal. Lepas kuliah, sahabat ada yang ingin ambil perhatian, apa amalannya sampai Rasulullah sebut dia ahli syurga, tapi dia tidak beritahu pada kawannya. Ketika majlis selesai, sahabat itupun ikut dari belakang. Ketika sudah dekat dengan rumah, dia pun bertanya bolehkah saya bermalam di rumah saudara. Jawabnya ahlan wa sahlan. Sebenarnya sahabat ingin melihat apa amalannya, sehingga Rasulullah SAW sebut dia ahli syurga. Kemudian dia ikuti sepanjang malam. Sahabat melihat tidak ada yang istimewa, sembahyang sunat tidak dilakukan, tahajud pun tidak dilakukan. Setelah subuh sahabat bertanya, ketika sedang kuliah Rasulullah memberitahu kepada kami, waktu itu saudara belum datang lagi, Rasulullah katakan sebentar lagi akan datang seorang ahli syuga. Saya ingin bertanya apa amalan saudara ? Jawab orang itu, saya bukan saja tidak ada hasad dengki dengan orang, niat hasad pun tak ada. Jadi ibadah yang sedikit berbuah.

Pernah juga Rasulullah berkumpul dengan sahabat kemudian berkata, saya ada seorang tetangga perempuan, malam tahajud, ibadah banyak, cuma ada satu perbuatan yang saya lihat, dia selalu menyakiti tetangga. Sahabat bertanya bagaimana perempuan itu ya Rasulullah ? kata Rasulullah, dia ahli neraka. Kenapa? sebab ibadah tidak berbuah. Jadi orang yang menyakiti orang lain tidak berbuah ibadahnya, tidak berakhlak

Monday, May 25, 2009

KEBURUKAN AKIBAT PENYAKIT EGO

Sifat kibir, sombong atau ego adalah penyakit paling besar di hati manusia. Tetapi ia tidak dianggap penyakit jiwa. Ia lebih terkenal sebagai sifat mazmumah. Orang tidak anggap sifat mazmumah seperti sombong atau ego itu sebagai penyakit jiwa walhal ia adalah penyakit jiwa yang paling bahaya.
Sombong ini sekurang-kurangnya ada tiga peringkat buruk atau jahatnya iaitu:
1. Apabila manusia sombong, ertinya dia mengambil sifat atau pakaian Tuhan yang tidak dibolehkan oleh Tuhan.
Ada Hadis Qudsi yang menyatakan:
Maksudnya:
"Kibir itu adalah selendang-Ku dan kemegahan adalah sarung-Ku. Barang siapa merampas salah satu darinya, Aku lemparkan dia ke Neraka Jahannam." (Riwayat Abu Daud)

Sifat Tuhan ada 99. Salah satunya ego. Sifat-sifat lain boleh kita mengambilnya terutama sifat Rahman dan Rahim. Tapi sifat yang satu ini hak mutlak Tuhan. Pakaian Raja segala raja. Siapa yang ada sifat ego, ertinya dia mengambil pakaian Raja segala raja.

Orang yang ada sifat ego, terutama yang menebal, sebenarnya dia mengaku dirinya Tuhan secara tidak langsung. Ini mazmumah besar selain kekufuran dan syirik. Bahkan dari ego boleh lahir syirik. Bagi orang yang masih sayang egonya, walaupun dia tidak mengaku dirinya Tuhan, secara tidak langsung dia pertuhankan dirinya. Ini merupakan dosa besar.

2. Sifat ego ini bukan dimulai oleh manusia tetapi dimulai oleh iblis laknatullah. Bahkan sifat ego adalah mazmumah yang pertama berlaku. Bukan manusia yang cetuskan tetapi iblis, makhluk yang paling dimusuhi oleh Tuhan. Mana ada makhluk yang lebih dimusuhi oleh Tuhan kecuali iblis. Musuh paling besar di sisi Tuhan ialah iblis. Seolah-olah dialah makhluk pertama yang mempertuhankan dirinya. Ini keburukan yang kedua. Jadi kalau ada orang yang masih simpan sifat ego, dibelai-belainya dan dijadikan senjata, ertinya dia mengikut iblis, bukan ikut Tuhan. Hadis menyebutkan:
Maksudnya: "Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (Riwayat Muslim)

Begitulah marahnya Tuhan pada orang yang ego kerana dia mengikut iblis, tidak ikut Tuhan.

3. Sifat ego ini salah satu sifat mazmumah yang membawa dosa besar selepas kufur. Bahkan dari ego, seseorang itu boleh jadi kufur apabila ego itu sudah besar. Dari sifat ego ini melahirkan lebih banyak mazmumah-mazmumah yang lain. Dari satu mazmumah, beranak-anak mazmumah yang lain. Seolah-olah ego itu bukan buah lagi tetapi ia adalah pokok kejahatan dalam hati manusia, yang akan melahirkan buah-buah kejahatan, yang berduri, kelat dan beracun. Dari ego, lahirlah sifat pemarah, dendam, sifat keras hati dan susah terima kebenaran. Dari situ lahir penzaliman. Sudah berapa banyak sifat yang dilahirkan oleh ego, yang bukan sahaja merosakkan dirinya bahkan mengharu-birukan kehidupan, memecahbelahkan rumah tangga, masyarakat, antara etnik dengan etnik, bangsa dengan bangsa dan akhirnya mencetuskan peperangan.

Betapa bahayanya sifat kibir ini. Penyakit jiwa yang tidak dianggap penyakit jiwa oleh orang akal. Penyakit jiwa dari mazmumah, terutamanya kibir, menyebabkan hancurnya dunia, hancurnya pembangunan, pecah belah kaum dan kemuncaknya berlaku peperangan. Jadi sifat kibir ini seolah-olah pokok yang boleh melahirkan buah-buah yang lain. Buah besarnya ialah sifat pemarah, hasad dengki, keras hati dan payah hendak terima kebenaran. Betapalah kalau kebenaran itu datang dari orang di bawahnya.

Dari kibir, lahirlah pemarah. Orang yang pemarah ini, berani marah terang-terangan sebab waktu dia marah itu dia rasa dia besar. Emak ayah yang bersifat ego, dia marah anak-anaknya secara terang-terangan. Anak yang ego, dia menyimpan marahnya. Untuk melepaskannya, tidak berani kerana emak dan ayahnya di depannya. Dia menyimpan dendam.

Begitu juga bos di pejabat. Dia akan ledakkan kemarahannya kepada staf-stafnya di pejabat. Pekerja yang tidak bersalah pun jadi susah hati walaupun bos hanya memarahi pekerja yang bersalah. Haru-biru dibuatnya. Tetapi kalau pemarah itu berlaku pada pekerjanya, dia tidak lahirkan pemarahnya sebab bos ada di depannya. Dia simpan dan berdendam. Dendam yang disimpan itulah merupakan bom jangka yang bila ada peluang akan diledakkan. Contohnya waktu bos berjalan di tempat sunyi, dia tembak bos. Lambat dia hendak melepaskan kemarahan itu tetapi sekali dia lepaskan, bahaya.
Demikianlah juga kalau dia pemimpin, dia boleh marah rakyatnya. Waktu itu, rakyat tidak berani melepaskan kemarahannya. Marah itu disimpan. Jangka panjang, berlakulah jenayah. Dia akan mengata-ngata pemimpin itu di belakangnya. Dia bermusuh dengan orang yang mengikut pemimpin itu. Dia lakukan sabotaj, vandalisme dan bermacam-macam perkara pada mereka. Kesan dari marah yang tidak dapat dilepaskan waktu itu, disimpan dan dalam jangka masa yang lama, ramai masyarakat yang haru-biru bila kemarahan itu dilepaskan.
Orang yang memiliki sifat ego; sama ada pemimpin, bos pejabat atau emak ayah; dia suka menzalimi. Kalau anak-anak atau pengikut pula ego, dia payah hendak taat. Kalau dia pemimpin, dia akan berlaku zalim. Kalau dia pengikut, dia tidak boleh taat. Inilah kesan dari ego.

Selain itu, kesan dari ego ialah tidak boleh menerima kalau orang lebih darinya. Terutama kalau sama-sama sekampung, sekelas, sejemaah, setempat kerja atau sebagainya. Tidak boleh orang melebihinya. Tidak boleh orang lebih kaya, lebih pandai, dia akan hasad dengki. Bila datang hasad dengki, dia akan fitnah orang itu, dia akan upah orang untuk menganiaya orang itu. Itulah kesan dari sifat ego.

Betapalah kalau sifat ego ini dimiliki oleh penguasa besar. Dia tengok bangsa-bangsa lain itu seperti tikus-tikus sahaja. Dia singa atau harimau. Dia akan serang sana dan serang sini. Tetapi bagi negara lemah yang diserang, yang rakyatnya lemah, dia tidak buat begitu tetapi dendam kesumatnya mendalam. Apabila jumpa orang-orang dari negara penguasa itu, dia akan bunuh. Maka tidak tidur malamlah 'singa' yang ego kerana 'tikus-tikus' yang ego.
Masing-masing melepaskan sifat egonya dengan cara masing-masing. Yang lemah secara lemah, yang militan secara militan. Isteri ada caranya sendiri, suami ada cara sendiri, anak-anak pun ada cara sendiri untuk melepaskan ego. Tidakkah haru-biru dunia? Akhirnya bila semua sudah ego, orang besar susah, orang kecil susah, ulama susah, orang bodoh susah, kerajaan susah dan rakyat pun susah.

Inilah kesan dari mengambil pakaian Tuhan. Kesan dari menjadi pengikut iblis bukan pengikut Tuhan. Lahirlah pemarah, pendendam, sakit hati, tidak taat. Rupanya ego ini adalah penyakit jiwa yang jadi punca kerosakan. Tapi orang tidak ambil berat tentang hal ini. Orang mengambil berat sakit jiwa yang membawa kepada penagihan dadah. Tapi itu kecil sebab ia tidak membawa kepada peperangan. Berlakukah dalam sejarah, pesakit jiwa yang menagih dadah itu berperang? Tetapi kerana sakit jiwa yang bersifat mazmumah, disebabkan sifat ego berlaku haru-biru dalam parti politik, dalam keluarga, dalam jemaah, dalam masyarakat dan dalam negara.

Apakah tempat pemulihan ego sudah diwujudkan sebagaimana tempat pemulihan penagih dadah? Sepatutnya ada pusat pemulihan ego kerana ia lebih bahaya dari penagihan dadah. Tetapi kalaupun ada pusat pemulihan ego, siapa yang hendak merawat penyakit ego itu? Semua orang ada ego. Mana ada orang yang tidak mempunyai sifat ego. Pendakwah pun ego. Yang hendak baiki ego pun sama-sama ego. Bertambah besarlah ego itu. Penagih dadah itu boleh dibuat pusat pemulihan kerana ada orang yang tidak terlibat dengan penagihan dadah. Jadi mereka boleh merawat penagih dadah.

Dunia hancur kerana sifat ego. Ada orang sayang hendak membuang egonya. Dia rasa terhibur dengan egonya. Kalau dia bos, bolehlah dia gertak-gertak pekerjanya. Kalau dia pemimpin, senanglah hendak gertak pengikut. Kalau ibu bapa, senang hendak gertak anak-anaknya. Kalau dia kawan, senanglah hendak perli kawan. Sesetengah orang menganggap ego itu perlu dibela. Sebab dia fikir, semua orang sudah ego, takkan dia tidak boleh ego. Nanti dia kena perli, kena zalimi, kena aniaya, kena marah. Maka baginya senjata ego itu penting.

Begitulah bahayanya sifat ego kepada kehidupan manusia. Orang yang ego bukan sahaja memakai pakaian Tuhan, tetapi dia juga menjadi pengikut iblis. Dari sifat ego itulah lahirnya berbagai-bagai mazmumah lain yang mengharu-birukan kehidupan manusia.

SUSAHNYA MENCARI SAHABAT

elah menjadi fitrah semula jadi setiap manusia, suka bermasyarakat dan berkawan. Setidak-tidaknya bermasyarakat dan berkawan itu secara terpaksa kerana keadaan kehidupan manusia itu memaksa manusia itu bermasyarakat dan berkawan. Manusia itu tidak seperti malaikat atau haiwan atau pokok kayu yang boleh hidup bersendirian kerana keadaan manusia itu tidak mungkin boleh mengusahakan sendiri setiap keperluan-keperluan kehidupan mereka.

Pengalaman atau realiti kehidupan manusia itu telah memberitahu kepada kita bahawa ada sebahagian kehidupan kita, orang lain yang mengusahakannya. Sepertimana juga sebahagian kehidupan orang lain, kita yang mengusahakannya. Ini berlaku sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung. Secara disedari atau tidak disedari. Justeru itulah manusia cenderung kepada bermasyarakat atau berkawan.

Namun demikian di akhir zaman ini, di antara perkara yang susah hendak dicari, bahkan hampir mustahil untuk didapati ialah mencari sahabat. Untuk mencari kenalan adalah mudah. Nafsu dan sifat yang ada di dalam diri manusia itu yang kadangkala menjadi punca payah hendak bersahabat atau setelah bersahabat, pecah semula kerana perangai negatif masing-masing.

Sekalipun mudah mendapat kenalan sekampung, kenalan disebuah sekolah, kenalan dalam sebuah darjah, kenalan di tempat kerja, kenalan di dalam sebuah jemaah atau kenalan sepermainan, tetapi untuk mendapat seorang sahabat pun amat susah sekali.

Bersahabat tidak sama dengan berkawan. Berkawan itu ikatan di antara manusia yang agak longgar. Mungkin kawan sepermainan sahaja. Diikat oleh permainan yang sama. Mungkin kawan sekerja. Di luar waktu kerja, tidak lagi berkawan. Sekadar itu sahaja. Mungkin kawan separti. Di luar parti, tiada kawan lagi. Mungkin kawan senasib. Apabila nasib sudah tidak sama, hilanglah kawan. Masing-masing membawa nasib. Selepas itu tidak ingin pun hendak bertemu lagi.

Memang untuk mendapat seorang sahabat amat payah. Terlalu sulit. Buktinya dari pengalaman kita, sama ada diri kita atau orang lain, tidak ada yang dapat berkawan dengan seseorang itu berpanjangan. Adakalanya kita boleh berkawan waktu sama-sama bersekolah di sebuah sekolah. Selepas habis persekolahan, tidak pun ingin bertemu.

Waktu sama-sama di tempat kerja, kita rapat dengan seseorang. Selepas berpisah, sama ada tukar tempat kerja atau pencen, tidak ada pun satu sama lain ingin bertemu lagi. Kalau bertemu pun secara tidak dirancang dan diduga.

Adakalanya kita berkawan rapat dengan seseorang. Selepas dia berkahwin atau kita berkahwin atau setelah sama-sama sudah berkahwin, hilang kawan. Tidak ada pun minat hendak bertemu dan berjumpa. Jauh sekali terasa rindu-merindui, hingga hubung-menghubungi, ziarah-menziarahi dan berimemberi. Tiada lagi hadiah-menghadiahkan, tolong-menolong dan bantu-membantu.

Ertinya susah sekali kita melihat seseorang itu bersahabat dengan seseorang sampai ke hujung. Yang sempadannya adalah mati. Sekalipun sudah menjadi lumrah atau budaya, selalu sahaja seseorang itu berkata:
Dia ini sahabat saya.

Sebenarnya apa yang diperkatakan itu bukan sahabat, hanya sekadar berkawan. Ikatan kawan longgar. Ikatan sahabat itu kuat. Ikatan kawan hanya luaran atau dari luar saja seperti berkawan kerana bersama memancing atau bersama memikat burung. Boleh jadi juga berkawan kerana sama-sama memperjuangkan nasib yang sama, seperti sama-sama menjadi ahli di dalam kesatuan buruh dan lain-lain. Apabila nasib selesai atau tidak dapat diselesaikan, masing-masing membawa diri. Tidak ada ikatan lagi. Selepas itu adakalanya tidak pernah bertemu satu sama lain. Sudah tidak tahu-menahu lagi hingga sampai mati.

Mengapa berkawan tidak mahu kekal?Di mana salah dan silapnya?
Sedangkan fitrah semula jadi setiap manusia memang suka berkawan atau cenderung berkawan. Kerana hidup bersendirian tanpa kawan, banyak cacat dan kesusahan yang dihadapi manusia. Manusia yang banyak kawan, lebih ceria dan riang hidupnya daripada orang yang hidup bersendirian. Sebab itulah tabiat manusia suka berkawan. Walaupun begitu manusia ini selalu sahaja dapat kawan dan kemudian hilang kawan. Kawan silih berganti. Payah hendak kekal hingga mati.

Mengapa? Ada beberapa sebab.
Di antaranya:
1. Berkawan itu ada kepentingan peribadi.
Sama ada kedua-dua orang yang berkawan atau salah seorangnya ada kepentingan peribadi. Mungkin berkawan kerana kekayaan orang itu, atau kerana kekuatan orang itu yang mana kalau ada musuh, boleh tumpang berlindung atau menumpang pengaruhnya. Apabila tujuan tersebut sudah tiada lagi, berkawan sudah tidak diperlukan lagi.

2. Berkawan dengan sebab seagama, sebangsa, sekaum, sekampung, senegeri dan lain-lain.
Berkawan apabila bertemu dengan orang yang satu kaum atau satu kampung atau satu negeri atau satu bangsa atau seagama (walaupun agamanya tidak dipraktikkan) di negeri atau negara lain yang asing pada mereka. Di waktu itu mungkin mereka tidak boleh sesuaikan diri di segi agama,bahasa, bangsa atau budaya di situ. Maka di waktu itu mereka amat rapat berkawan kerana satu sama lain perlumemerlukan lantaran sama-sama berdagang di negeri atau di negara orang. Setelah berpisah atau setelah sama-sama balik ke negeri sendiri, walaupun bertemu tetapi hubungan rapat sudah tiada lagi.

3. Kawan kongsi
Berkawan kerana berkongsi berniaga atau berternak untuk hidup. Selama berkongsi bolehlah berkawan. Apabila sudah tidak berkongsi lagi, satu sama lain sudah macam orang lain sahaja. Tidak serapat dulu.

4. Kawan seasrama
Berkawan waktu sama-sama duduk di asrama. Kebetulan pula berkongsi di dalam satu bilik atau duduk di pondok pengajian di dalam satu bangunan. Sama-sama memasak dan mentelaah. Setelah habis pengajian, berkawan sudah tidak berlaku lagi. Seolah-olah macam kenalan biasa walaupun masih selalu bertemu.

5. Berkawan kerana takut
Berkawan kerana duduk di satu kawasan yang banyak berlaku jenayah. Oleh kerana takut bersendirian maka terpaksa berkawan. Setelah jenayah sudah tiada atau masingmasing berpindah, masing-masing membawa diri. Kalaupun masih boleh bertemu tetapi tidak serapat dahulu.

Mengapa berkawan seperti yang digambarkan tadi tidak pernah kekal? Mengapa berkawan tidak berpanjangan?
Tidak kekal berkawan secara itu kerana ikatan tidak kuat. Ia diikat oleh perkara luaran. Diikat oleh keperluan semasa. Diikat oleh keadaan yang memaksa. Ia bukan dijalin oleh ikatan hati yang mempunyai akidah yang sama, ada hubung kait dengan Tuhan yang kekal abadi dan untuk kepentingan kedua sahabat yang berkekalan hingga sampai ke Akhirat.

Dengan kata-kata yang lain, ia bukan ikatan hati dua orang yang berkawan kerana Allah Taala. Orang yang berkawan kerana Allah Taala, kalau berpisah pun kerana Allah Taala. Suka dan benci pun kerana Allah Taala.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Tiadalah dua orang yang saling cintamencintai kerana Allah itu, melainkan yang lebih dicintai Allah itu, orang yang lebih banyak cintanya pada rakannya."

Bersahabat kerana Allah Taala, ikatan amat kuat sekali. Ia diikat oleh satu akidah. Ia berkawan tidak ada kepentingan dunia yang sementara ini. Mereka bersahabat kerana iman, akhlak dan kerana ketaqwaan. Bersahabat seperti ini adalah kuat ikatannya. Biasanya sampai mati.

Bersahabat seperti ini mendapat perlindungan di Mahsyar dari Allah Taala yang mana hari itu tidak ada perlindungan melainkan perlindungan dari Allah Taala. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Cinta kasih-Ku terlimpah di atas mereka yang berkasih sayang kerana-Ku. Akan Kunaungi mereka di bawah naungan Arasy pada hari Kiamat yang mana pada hari itu tiada naungan melainkan naungan-Ku."(Riwayat Abiddunya)

Orang yang benar-benar bersahabat ada beberapa peringkat:
1. Sahabat secara umum
Iaitu sahabat yang berada di dalam satu perjuangan Islam atau di dalam sebuah jemaah Islam yang bercita-cita menegakkan Islam di dalam kehidupan individu, rumah tangga, masyarakat, negara dan seterusnya alam sejagat.

2. Sahabat secara khusus
Sahabat secara khusus iaitu orang yang bersahabat dengan lebih mendalam lagi kasih sayang dan ikatan jiwa satu sama lain. Selain daripada diikat oleh sahabat secara umum, ditambah pula kerana ada cita-cita bersama menegakkan Islam.

3. Sahabat yang dipersaudarakan
Sahabat ini lebih mendalam lagi kerana mereka ada membuat perjanjian antara satu sama lain. Bersaudara seolaholah adik-beradik satu keturunan, dari satu ibu dan ayah.Itulah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW di kalangan para Sahabat.

Lanjutan daripada kisah mempersaudarakan para Sahabat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, baginda sendiri mengambil Sayidina Ali karamallahu wajhah sebagai saudaranya. Setelah Rasulullah mempersaudarakan Sahabat-Sahabat Ansar dan Muhajirin,

Sahabat-Sahabat Ansar pun berkata: "Harta benda kami (tanah dan kebun tamar), kami akan bahagi-bahagikan di antara mereka."

Apabila Sahabat-Sahabat Ansar memungut hasil kebun kurma, mereka membahagikan hasil pungutan itu kepada dua bahagian. Salah satu bahagian lebih banyak dari bahagian yang satu lagi. Sahabat Ansar pun meletakkan pelepah-pelepah kurma di bahagian bawahnya sehingga bahagian yang sedikit itu nampak lebih banyak daripada bahagian yang banyak tadi. Mereka pun memberi bahagian yang kelihatan sedikit (tetapi pada hakikatnya inilah yang lebih banyak) kepada saudara mereka, orang Muhajirin dan mereka mengambil bahagian yang mengandungi pelepah kurma itu.

Hal ini berterusan sehinggalah Islam semakin kuat dan mendapat banyak harta lalu Rasulullah SAW telah menawarkan kepada orang-orang Ansar harta-harta itu sebagai membalas budi mereka. Sebaliknya Sahabat-Sahabat Ansar menolak sambil berkata, "Tidak, melainkan tuan membahagi-bahagikannya sama rata dengan saudara-saudara kami (orang Muhajirin)."

Ada seorang Sahabat Ansar bernama Saad bin Rabi` telah dipersaudarakan dengan Sayidina Abdul Rahman bin Auf. Saad berkata, "Ya saudaraku, aku adalah orang yang paling banyak mempunyai harta di Madinah, maka lihatlah olehmu kepada hartaku dan ambillah sebanyak mana yang kamu inginkan. Aku juga mempunyai dua orang isteri, lihatlah mereka, siapa di antara keduanya yang engkau sukai, aku akan menceraikannya untukmu."

Akan tetapi Sayidina Abdul Rahman tidak sanggup menerimanya lalu berkata, Allah memberkati kamu, harta dan keluarga kamu. Tunjukkan aku arah ke pasar."Lalu dia ditunjukkan jalan ke pasar dan Abdul Rahman bin Auf pun berniaga sehingga mencukupi keperluan hidupnya.

Oleh itu, bersahabat besar ertinya. Kerana itulah Rasulullah SAW memanggil pengikut-pengikutnya dengan perkataan Sahabat. Padahal di dalam bahasa Arab ada perkataan lain yang makna lahirnya agak sama, misalnya zamil atau rafiq. Tetapi erti sahabat lebih mendalam dan mesra. Erti sahabat, orang yang sentiasa mengiringi kita, sentiasa ada di samping kita atau selalu berdekatan dengan kita. Erti mengiring atau sentiasa di samping atau berdekatan dengan kita itu, bukan erti luaran sahaja. Bukan sekadar lahiriah sahaja tetapi batinnya sekali. Seperti mengiringi dan mendampingi hati kita. Dekat dengan hati kita. Dengan kata yang lain, seseorang sahabat itu sentiasa memerhati dan memikirkan kehidupan lahir sahabatnya seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, situasi tempat tinggal, sakit pening, susah payah dan pendidikannya.

Bahkan dia juga sentiasa memahami psikologi atau batin sahabatnya seperti tentang perasaan, kegemaran, kebencian, kesukaan, kemarahan, siapa orang yang dia suka dan siapa orang yang tidak disukainya. Bahkan kenal anak isteri, keluarga, sahabat-sahabat dan musuhmusuh kepada sahabatnya itu.

Perlu kita faham itu semua agar dapat kita berkongsi sama dengan sahabat, suka duka, masalah, kemahuan dan kebencian mereka. Agar perkara-perkara yang mereka perlukan bantuan, kita bantu. Manakala yang perlu dijauhi, sama-sama kita hindari dan jauhi. Jika perlu nasihat, kita beri nasihat. Apabila kita bersahabat, kenalah jaga perasaan mereka.

Selain itu kalau kita bersahabat dengan sesiapa, kita kenalah jujur dan amanah serta bertanggungjawab terhadap mereka. Sepertimana kita berlaku jujur, amanah serta bertanggungjawab kepada diri kita, begitu jugalah tanggungjawab kita kepada mereka dan keluarga mereka. Kita kenalah jaga mereka macam kita menjaga diri dan keluarga kita.

Kalau begitu di antara syarat-syarat kita bersahabat ialah:
1. Kalau mereka susah, memerlukan bantuan, kenalah kita bantu sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun nasihat dan pandangan kita.
2. Kalau mereka meminta sesuatu, kenalah kita beri. Jika kita tidak mampu, minta maaflah kepadanya.
3. Kenalah ziarah selalu dan lihat-lihatlah apakah yang perlu kita bantu.
4. Sewaktu ke rumahnya, bawalah buah tangan.
5. Berilah hadiah terutama di waktu-waktu yang sesuai seperti mereka mendapat anak, waktu perkahwinan dan sebagainya.
6. Di waktu sakitnya kenalah ziarah dan doakan kesembuhannya.
7. Di waktu mereka mendapat sesuatu yang menggembirakan, hendaklah kita juga lahirkan kegembiraan.
8. Di waktu mereka mendapat sesuatu kesusahan dan kesedihan, hendaklah kita juga melahirkan rasa kesedihan dan kesusahan sama.
9. Kebaikannya selalulah kita puji di belakangnya.
10. Kecacatan dan kekurangan atau keaibannya dan keluarganya, hendaklah kita tutup. Ertinya kita jangan mengumpatnya.
11. Kalau ada orang lain mengumpatnya di hadapan kita, kenalah nasihat orang itu atau kita tinggalkan majlis itu.
12. Kalau dia mengajak kita menemaninya ke mana-mana, kenalah kita menerimanya kecuali kalau ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.
13. Kalau dia menjemput ke majlis, wajib kita menerima jemputannya.
14. Kenalah ziarah serta mengambil perhatian keluarganya selepas matinya.
15. Kenalah ziarah sahabat baiknya. Kalau boleh mengambil perhatian kehidupan keluarga mereka selepas matinya.
16. Selalu mendoakannya di luar pengetahuannya atau bukan di majlisnya.
17. Berilah kemaafan di atas kesalahan terhadap kita.
18. Mintalah maaf kepadanya di atas kesalahan dan kekurangan dan kelemahan diri dalam menunaikan tanggungjawab terhadapnya.

PERINGKAT ORANG YANG BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SAHABAT
Oleh kerana orang yang bersahabat itu tidak sama satu sama lain di dalam menunaikan tanggungjawab terhadap sahabatnya, justeru itu bersahabat itu ada beberapa peringkat:
1. Golongan orang soleh
Iaitu seseorang sahabat terhadap sahabatnya sekadar dapat memberi tanggungjawabnya kepada sahabatnya apabila diminta. Apabila sahabat itu memerlukan sesuatu, kalau dia tahu, (sama ada dia tahu sendiri atau sahabatnya memberitahu atau ada orang lain memberitahu) dia akan membantunya. Dengan kata-kata yang lain dia akan membantu, memberi, menolong sahabatnya di waktu sahabatnya memerlukan bantuannya.

2. Golongan muqarrabin
Iaitu seorang sahabat dapat memberi tanggungjawab terhadap sahabatnya dengan memberi sesuatu kepunyaannya dibahagi dua kepada sahabat-sahabatnya. Apa sahaja yang dia dapat, maka separuh untuknya dan separuh lagi untuk sahabatnya. Dengan kata-kata yang lain setiap nikmat yang dia perolehi dia akan memberi sahabatnya separuh daripadanya iaitu sama banyak atau dibahagi dua.

3. Golongan siddiqin
Iaitu seseorang itu lebih mengutamakan sahabatnya daripada diri sendiri. Ini adalah berdasarkan ayat Al Quran:
Maksudnya: "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu, dia sanggup membahayakan dirinya demi keselamatanmu, orang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu, sanggup mengorbankan segala-gala untuk kepentingan dirimu."

Dalam setiap hal dan keadaan, dia mesti mengutamakan sahabatnya lebih dahulu daripada dirinya sendiri. Sebagai contoh, kalau di dalam masa yang sama dia dan sahabatnya sama-sama memerlukan duit, maka duit itu akan diberi kepada sahabatnya. Kalau dia memerlukan kenderaan, sahabatnya juga memerlukan kenderaan, maka kenderaan itu akan diberi kepada sahabatnya. Kalau ada makan minum, di waktu itu dia memerlukannya, sahabatnya juga memerlukan, maka makan minum itu akan diberi kepada sahabatnya.

Golongan ini lebih menyayangi sahabatnya daripada diri sendiri. Kalau dua orang yang berkawan tidak termasuk di dalam salah satu sifat daripada tiga peringkat atau kategori golongan tadi, dua orang tadi belum boleh dianggap sebagai orang yang bersahabat. Hanya sebagai kenalan atau kawan biasa sahaja. Belum boleh lagi dipanggil sahabat mengikut ukuran Islam.

Kesimpulannya, orang yang bersahabat kerana Allah, besar sekali keuntungannya di Akhirat.
Kebaikannya, mari kita dengar apa kata Al Hadis.

1. "Kasihilah siapa sahaja di bumi ini nescaya akan mengasihi kamu sesiapa sahaja (malaikat) yang di langit."

2. Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat kepada manusia lain (termasuk meratakan kasih sayang)." (Riwayat At Tabrani)

3. Kebanyakan sebab yang memasukkan manusia ke dalam Syurga ialah taqwa kepada Allah dan kebaikan budi pekerti."

4. Hadis Qudsi menyebut:
Maksudnya:
Cinta Kasih-Ku patut diperolehi mereka yang saling berkasih sayang kerana-Ku, cinta kasih-Ku patut dinikmati oleh mereka yang saling bersilaturrahim kerana- Ku, cinta kasih-Ku patut dikurniakan kepada mereka yang nasihat-menasihati kerana-Ku, cinta kasih-Ku patut dicurahkan kepada mereka yang kunjung-mengunjungi kerana- Ku, cinta kasih-Ku patut dinikmati oleh mereka yang saling memberi kerana-Ku. Mereka yang saling berkasih sayang kerana-Ku dan pada jalan-Ku, (mereka) berada di atas mimbar- mimbar di hari Kiamat dari cahaya suatu kedudukan yang diinginkan oleh para nabi, para siddiqin dan para syuhada." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Al Hakim dan Al Qudha` ie)

Daripada Hadis yang telah dinyatakan tadi, orang yang bersahabat kerana Allah Taala itu ada tiga perkara yang mereka perolehi:
1. Dikasihi oleh Allah dan seluruh penghuni langit.
2. Mendapat keredhaan Allah serta ganjaran pahala dan kurnia yang besar dari Allah.
3. Mendapat perlindungan Arasy di hari Akhirat.

ANTARA ILMU DAN REALITI

Dalam apa pun yang kita hendak buat kita perlu ada ilmu tentang perkara tersebut. Ilmu menjadi asasnya. Namun, ilmu sahaja selalunya tidak memadai.

Begitu juga dalam hendak menilai atau hendak mengukur sesuatu perkara, tidak memadai kita mengukur sesuatu itu hanya dengan ilmu atau secara ilmiah semata-mata. Secara ilmiah, hanya akan tercetus ilmul yakin atau keyakinan yang berdasarkan kepada ilmu sahaja. Ilmul yakin masih terdedah kepada berbagai-bagai keraguan dan faktor-faktor yang belum tentu. Mungkin ilmu kita tidak tepat atau tidak cukup atau tidak mengikut dan tidak mengambil kira perubahan yang berlaku atau variasi yang wujud dalam satu-satu hal, perkara atau situasi itu.

Mendasarkan sesuatu kepada ilmu semata-mata tidak semestinya akan menghasilkan kepastian atau ketentuan yang nyata.

Justeru itu, di samping ilmu, kita mesti juga ukur sesuatu perkara itu dengan realiti. Realiti membuahkan kepastian dan ketentuan. Realiti mampu mencetuskan ainul yakin atau yakin yang berdasarkan realiti yang kita lihat yang tentunya lebih kuat dari ilmul yakin.

Contohnya, kita hendak mencipta suatu alat untuk membuat tali. Berdasarkan kepada ilmu dan kepakaran yang ada, mungkin kita akan dapat membuat lakaran teknikal atau technical drawing untuk membuat alat tersebut. Berikutan itu, kita mungkin juga akan dapat membuat alat tersebut di dalam workshop tepat dengan kehendak lakaran teknikal yang kita buat itu. Tetapi sama ada alat tersebut boleh berfungsi seperti mana yang kita kehendaki tidak dapat kita tentukan. Hasil ilmu dan kepakaran kita itu perlu dipastikan dengan ujian-ujian praktikal untuk menentukan ia benar-benar boleh berfungsi. Ujian praktikal ini sebenarnya ialah ukuran realiti. Kalau secara realitinya alat tersebut boleh digunakan untuk membuat tali, maka barulah ia dianggap berjaya. Kalau tidak, pembetulan, ubah suai dan pelarasan perlu dibuat terhadap alat tersebut sehingga segala masalah dapat diatasi.

Begitu juga kalau kita mencipta suatu resipi masakan. Memang, kita boleh masak mengikut resipi yang kita cipta itu. Akan tetapi, berjaya atau tidak, sedap atau tidak resipi tersebut perlu ditentukan dengan ujian cita rasa. Kita mesti rasa hasil masakan resipi itu. Baru kita tahu ianya baik atau tidak. Merasa masakan inilah yang dinamakan ukuran berdasarkan realiti seperti dalam peribahasa Inggeris, " the proof of the pudding is in the eating".

Begitulah juga dengan ciptaan kereta, kapal atau pesawat terbang. Setakat mana hebat pun ilmu dan kepakaran yang digunakan, prototaipnya mesti melalui berbagai-bagai ujian realiti sebelum ianya diluluskan untuk kegunaan umum.

Kalau tidak, akan terjadilah apa yang telah berlaku kepada kapal Titanic yang tenggelam di Lautan Atlantik pada pelayaran sulungnya. Kapal yang dikatakan hebat, sink proof (tidak boleh karam) dan termoden itu, nyata pada realitinya adalah kapal yang tidak selamat. Keluli yang digunakan untuk membuat badan kapal itu tidak tahan suhu sejuk. la menjadi rapuh dan mudah pecah apabila terlanggar bongkah ais (ice-berg).

Pernah berlaku di bandar raya Kuala Lumpur, pihak yang merancang pengawalan lalu lintas dengan menggunakan sistem berkomputer terlalu yakin dengan ilmu mereka. Mereka berkata sistem berkomputer mereka cukup canggih tetapi keberkesanannya telah diganggu oleh polis trafik yang mengawal lalu lintas secara manual. Lantas pihak polis trafik menarik semua anggota-anggota kawalan trafik mereka supaya tidak keluar mengawal lalu lintas.

Maka berlakulah huru-hara jalan raya yang terbesar yang pernah dialami oleh bandar raya Kuala Lumpur. Ibarat peribahasa Inggeris, "All hell broke loose" . Ramai yang lambat sampai ke pejabat. Ramai yang lambat balik ke rumah dari pejabat. Ramai yang tidak dapat ke masjid, kerana peristiwa itu berlaku pada hari Jumaat. Selepas polis trafik dirayu agar bertugas semula, barulah keadaan menjadi reda dan kembali normal. Inilah kesan buruk menilai sesuatu dengan ilmu semata-mata tanpa diukur dengan realiti.

Perkara ini ada juga relevannya dengan kaedah mentafsir atau memahami ayat-ayat Quran atau Hadis. Kita bawa beberapa contoh.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Berpeganglah kamu pada tali-tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah." (Ali Imran: 103)

Kebanyakan ulama mentafsirkan tali-tali Allah itu sebagai syariat Islam. Mereka mentafsirkan, kalau semua orang Islam sama-sama berpegang dan mengamalkan syariat Islam maka mereka akan bersatu padu. Itu ilmunya. Tetapi, realiti yang kita lihat tidak begitu. Ramai orang-orang Islam yang sama-sama sembahyang, berpuasa, berzakat dan pergi menunaikan haji tidak bersatu padu.

Malahan dalam satu masjid pun mereka bergaduh. Masjid dan surau sekarang ini bukan lagi tempat berkasih sayang dan bermasyarakat tetapi telah menjadi tempat pergaduhan, perbalahan, perebutan pengaruh dan jawatan dan pecah belah. Sesama ahli jawatankuasa masjid pun berlaku perbalahan dan rebutan kuasa. Tidak kurang juga umat Islam bergaduh semasa menunaikan haji. Yang bunuh membunuh pun ada.

Tafsiran seperti ini tidak meyakinkan sebab ia bercanggah dengan realiti. Namun ada tafsiran ulama-ulama lain yang lebih meyakinkan dan lebih hampir kepada realiti. Mereka mentafsirkan tali-tali Allah itu bukan setakat syariat Islam tetapi ialah rasa cinta dan rasa takut kepada Allah. Kalau semua umat Islam sama-sama cinta dan takut kepada Allah, maka Allah akan ikat hati-hati mereka dan mereka akan berkasih sayang di antara satu sama lain.

Dalam sepotong ayat yang lain pula, Allah SWT berfirman:

Maksudnya: "Yang paling bertaqwa di kalangan hamba-hamba-Ku ialah ulama." (Al Fathir: 28)

Tetapi kita lihat ini terlalu jauh dari realiti. Ramai ulama yang tidak bertaqwa. Ada yang terang-terangan terlibat dengan maksiat. Ramai yang terpengaruh dan tertambat hati dengan dunia dan kepentingan peribadi. Ramai yang akhlak mereka menjadi tanda tanya. Ramai pula yang menjual ayat-ayat Allah dengan nilai dunia yang sedikit.

Lebih hampir kepada realiti kalau istilah "ulama" di dalam ayat ini dimaksudkan kepada "ulama ul amilin" atau ulama yang beramal dengan ilmu mereka dan bukan semua atau sebarang ulama. Ini dikuatkan lagi dengan Hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tentang wujudnya "ulama` suuk" atau ulama jahat yang kerja mereka ialah merosakkan manusia. Jadi, bukan semua ulama itu bertaqwa.

Rumusannya, kita perlu jadikan realiti itu sebagai satu bentuk ukuran yang patut diguna pakai di mana boleh, dalam kita menilai sesuatu perkara. Ini kerana ia lebih hampir kepada kebenaran. Justeru itu, kita akan lebih yakin dan lebih adil dalam kita membuat penilaian. Penilaian dengan ilmu tidak salah. Tetapi di mana realiti boleh digunakan, kita patut bersandar kepada realiti lebih daripada kita bersandar kepada ilmu semata-mat

CABARAN FAHAMAN ORIENTALIS

Petikan:
1. Para orientalis belajar Islam dengan tujuan merosakkan ajaran Islam itu sendiri. Mereka mengubah atau menambah, membuang dan menokok serta menyelewengkan fakta-fakta serta huraian-huraian untuk mengelirukan umat Islam yang jahil dan untuk menakut-nakutkan orang di luar Islam agar mereka jangan menganut agama Islam.

2. Penyelewengan golongan orientalis ini biasanya berbunyi sumbang, menghala ke dunia, bersalahan atau "contradictory", tidak masuk akal dan tidak boleh diterima oleh hati.


Keterangan:
1. Fahaman orientalis kini sudah berakar umbi dalam masyarakat kerana sudah lama diterap oleh umat Islam sendiri yang menjadi anak didik orientalis.

2. Ilmu Islam yang bersih daripada fahaman orientalis perlu segera disebarkan kepada masyarakat agar mereka dapat kembali ke jalan yang sebenar.


Musuh Islam memang banyak. Yang paling menonjol ialah kaum Yahudi dan Nasoro (Nasrani) seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidak sekali-kali akan redha kepada kamu (Muhammad) orang Yahudi dan Nasoro sehinggalah kamu mengikut cara hidup mereka."

Satu golongan lagi yang memusuhi umat Islam ialah golongan yang dinamakan orientalis iaitu golongan yang ditakrifkan sebagai "pakar" dalam hal bangsa-bangsa timur. Mereka ini terdiri daripada sebahagian orang Nasoro atau Kristian, sebahagian orang Yahudi dan termasuk juga golongan "FreeThinker" atau orang-orang yang tidak mengakui akan peraturan agama.

Para orientalis ini suka mengkaji Al Quran dan Hadis, bukan kerana mereka mahu beriman dengannya bahkan mereka tidak pun berminat untuk menganut Islam, tetapi setakat mahu mengetahui ilmu Islam untuk diperbandingkan dengan agama lain atau dengan ajaran-ajaran ideologi yang lain. Mereka belajar dengan tujuan untuk merosakkan ajaran Islam itu sendiri. Mereka mengubah atau menambah, membuang dan menokok serta menyelewengkan fakta-fakta serta huraian-huraian untuk mengelirukan umat Islam yang jahil dan untuk menakut-nakutkan orang di luar Islam agar mereka jangan menganut agama Islam.

Golongan yang utama yang hendak mereka kelirukan ialah umat Islam yang mendapat pendidikan Barat tetapi jahil dengan ajaran Islam. Dengan usaha mereka ini, telah ramai cerdik pandai di kalangan umat Islam yang berpendidikan Barat dapat mereka pengaruhi. Mereka yang sudah berfahaman Barat ini sebahagian besarnya mempunyai kuasa dan kedudukan tinggi di negara mereka sama ada di bidang politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Di antara fahaman-fahaman orientalis yang sampai kepada kita melalui lidah orang-orang Islam seperti ini di dalam ceramah-ceramah dan penerangan-penerangan mereka, antaranya ialah:
1. Tentang peribadi Rasulullah SAW itu sendiri.
Mereka berkata bahawa Rasulullah SAW bertindak atas dua asas, iaitu pertama sebagai seorang Rasul dan kedua sebagai seorang manusia biasa. Mereka juga berkata di waktu mana Rasulullah bertindak sebagai seorang Rasul, maka ketika itu segala tindakannya adalah Sunnahnya dan kita patut ikut dan contohi. Tetapi di kala mana Rasulullah bertindak sebagai seorang manusia biasa, maka segala tindakannya itu tidak perlu diikuti atau dicontohi ataupun dijadikan hukum.

Hujah mereka itu nampak macam logik dan masuk akal. Maka mereka pun menyenaraikanlah amalan-amalan Rasulullah SAW sebagai seorang manusia biasa yang mereka kata tidak sepatutnya diikuti atau dicontohi oleh umat Islam.

Rupa-rupanya inilah cara halus yang mereka gunakan untuk memisahkan umat Islam yang jahil dan lemah dengan Sunnah-Sunnah Rasul. Walhal Allah Taala ada berfirman yang bermaksud:
"Dan tidaklah Muhammad itu bercakap daripada hawa nafsunya sendiri melainkan dari wahyu yang diwahyukan."

Di samping itu akhlak dan peribadi Rasulullah ialah Al Quran dan dialah sebaik-baik contoh bagi seluruh umat Islam.


2. Menyelewengkan maksud ayat Quran.
Kemudian ada pula kita dengar di dalam ucapan pemimpin-pemimpin politik bahkan juga dibaca di dalam khutbah-khutbah solat Jumaat tentang ayat Quran yang berbunyi seperti berikut:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan (nasib) sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka."

Jelas dalam ayat ini disebut "apa yang ada dalam diri mereka". Tetapi ayat ini diselewengkan maksudnya oleh para orientalis hingga berbunyi:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan (nasib) sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri."

Ayat "apa yang ada dalam diri mereka" itu telah ditukar kepada "nasib mereka sendiri".

Inilah kerja para orientalis yang lidah mereka dipanjangkan dan disambung oleh orang-orang Islam yang jahil dan berkepentingan.

Implikasi penyelewengan ini sangat besar. Pertama, ia mengatakan bahawa Allah tidak ada peranan di dalam mengubah nasib sesuatu kaum. Ia juga mengatakan bahawa kaum itulah yang berkuasa dan berupaya untuk mengubah nasibnya sendiri. Ini sudah membawa kepada iktiqad Qadariyah yang beranggapan bahawa kuasa itu ada di tangan manusia dan bukan lagi di pihak Allah. Walhal Ahlul Sunnah wal Jamaah berpegang kepada iktiqad bahawa walaupun usaha ikhtiar itu di tangan manusia tetapi Allahlah yang menentukan segala-galanya .

Kedua, manusia bertungkus-lumuslah berusaha memperbaiki nasib kaum mereka sendiri dengan menggunakan akal mereka semata-mata tanpa bergantung, tanpa bersandar dan tanpa merujuk kepada Allah dan ajaran agama. Maka semakin banyak mereka berusaha, keadaan dan nasib kaum mereka semakin bertambah buruk dan bertambah rosak kerana mereka telah lari dan tersimpang dari kehendak dan tuntutan ayat itu yang sebenar.

Di dalam hendak mengubah nasib kaum kita, ayat tersebut sebenarnya mahukan kita mengubah apa yang ada dalam diri kita. Iaitu kalau kita tidak beriman, ubah supaya kita jadi beriman. Kalau kita tidak taat kepada agama, ubah supaya kita jadi taat dengan ajaran dan hukum-hakam agama. Kalau kita tidak takutkan Allah, ubah supaya kita jadi bertaqwa. Kalau kita banyak sifat-sifat keji dan mazmumah dalam hati, maka kenalah kita bermujahadah dan memperbaiki diri dan memenuhkan hati kita dengan segala sifat-sifat mahmudah dan terpuji. Kalau fitrah kita kotor dan tercemar hendaklah kita bersihkannya supaya ia kembali kepada keadaan asal semula jadinya yang bersih dan suci murni. Pokoknya kita kena bina insan kita. Kita kena bina akal, hati dan nafsu kita seperti mana yang diajarkan oleh agama.

Selepas segala itu kita lakukan maka Allah akan tunjukkan jalan dan akan datangkan bantuan dan akan memperbaiki nasib kita. Apa sahaja yang kita buat selepas itu semuanya akan tepat, berkesan dan dibantu Allah. Allah ada berjanji:
"Dan Allah itu pembela bagi orang-orang yang bertaqwa."

Selagi kita tidak mengubah apa yang ada dalam diri kita, selagi kita abaikan agama, selagi kita abaikan proses membaiki diri, kita abaikan Tuhan dan kita tidak mahu kembali dan merujuk kepada Tuhan, selagi itulah kita akan tersasar. Kita akan bertambah rosak dan bertambah rosak hingga kaum dan bangsa kita akan hancur-lebur dengan sendirinya tanpa perlu diganggu-gugat oleh musuh seperti mana yang kita lihat sedang berlaku sekarang ini. Ukhuwah hilang, kasih sayang rosak, perpaduan runtuh, amanah sudah tidak ada, masing-masing tidak boleh dipercayai, rasuah, berkepentingan diri, nepotisme, runtuh moral, runtuh akhlak dan berbagai-bagai lagi.

Memberi tafsiran yang salah kepada Hadis.
Di samping itu terdengar juga Hadis seperti di bawah disebut dan diperkatakan oleh golongan yang disebutkan tadi:
"Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan berkerjalah untuk Akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok."

Maka sibuklah pemimpin-pemimpin politik dan khatib-khatib di mimbar masjid, bahkan ulama-ulama, mengupas dan menghuraikannya mengikut cara orientalis hingga umat Islam jadi keliru dibuatnya. Mereka kata bekerja dan berusahalah untuk dunia bersungguh-sungguh dan beribadat jugalah untuk Akhirat bersungguh-sungguh.

Soalnya, kalau bertembung antara kerja dunia dengan kerja Akhirat, mana satu yang hendak didahulukan? Mana yang hendak diutamakan? Mengikut kupasan mereka, yang dunia utama, yang Akhirat pun utama. Mana boleh ada dua perkara yang bertentangan yang sama-sama utama. Mesti ada satu yang lebih utama dari yang satu lagi. Kalau tidak, mana dapat kita buat pemilihan. Kalau patut ke kiri, ke kirilah. Kalau patut ke kanan, ke kananlah. Mana boleh ke kiri pun hendak pergi dan pada waktu yang sama ke kanan pun kita hendak pergi. Inilah huraian yang pelik dan tidak masuk akal. Ramai umat Islam yang keliru.

Hairan, kenapa ada juga orang Islam yang membuat huraian macam ini.Kalau kita sedang bermesyuarat membincangkan hal kerja jabatan contohnya, dan kemudian terdengar azan solat Jumaat, maka apa perlu kita buat? Teruskan mesyuarat ke atau berhenti dan pergi ke masjid? Pasti kupasan dan huraian mereka ini tidak akan dapat menjawab.

Yang sebenarnya, hadis ini bermaksud bahawa kerja dunia ini mesti dibuat bersungguh-sungguh kerana hasilnya kita perlu pakai lama dan ia juga ialah ibadah. Namun, kalau bertembung dengan kerja Akhirat, maka dahulukan yang Akhirat kerana kerja dunia boleh di tangguh ke petang ke, esok ke, lusa ke, minggu depan ke dan seterusnya kerana kita akan hidup untuk selama-lamanya.

Kita ada banyak masa untuk membuat kerja-kerja dunia. Kerja Akhirat pula tidak boleh ditangguhkan kerana kita akan mati esok. Kalau ditangguhkan maka tidak akan ada peluang lagi untuk kita melaksanakannya.

Begitulah beberapa contoh penyelewengan golongan orientalis yang telah mempengaruhi sebahagian dari umat Islam. Namun kalau majoriti umat Islam faham akan maksud ayat-ayat Al Quran dan Hadis yang sebenarnya, maka penyelewengan ini lama-kelamaan akan dapat dibendung dan dihapuskan.

Penyelewengan golongan orientalis ini biasanya berbunyi sumbang, menghala ke dunia, bersalahan atau " contradictory ", tidak masuk akal dan tidak boleh diterima oleh hati. Mana akan sama firman Allah Taala dan sabda Rasul berbanding pendapat para orientalis yang jiwa mereka sudah mati dan hati mereka dihinggapi berbagai jenis penyakit rohani yang kronik.

MATLAMAT DAN TUJUAN PENDIDIKAN

" Di mana-mana saja negara di dunia ini, warga pelajar dianggap tidak lebih sebagai bahan atau `buruh ekonomi` yang perlu diajar dan diberi kemahiran supaya mereka boleh digunakan untuk menjana ekonomi negara dalam segala bidangnya sama ada pertanian, perikanan, industri perubatan, perdagangan, industri perkhidmatan dan lain-lain lagi. "

Kebanyakan ibu bapa menganggap bahawa sekolah ialah tempat untuk menimba sebanyak-banyak ilmu hingga peringkat yang setinggi mungkin, supaya masa depan anak-anak terjamin. Dengan mendapat sijil dan kelulusan dalam bentuk ijazah sama ada ijazah pertama, masters atau PHD, itulah tiket untuk anak-anak mudah mendapat jawatan yang tinggi dan gaji lumayan. Mungkin di celah-celah itu terselit juga maksud supaya ibu, ayah, anak dan keluarga seluruhnya dipandang mulia di sisi masyarakat.

Sijil-sijil itulah juga asas yang digunakan dalam masyarakat kita bagi mengurniakan anugerah dan sebagainya. Mithali atau tidak, cemerlang atau tidak, sama ada ibu, ayah, anak atau keluarga itu boleh dijadikan contoh atau tidak, adalah berdasarkan kepada berapa ramai anak-anak yang berjaya dididik hingga menjadi doktor, jurutera, arkitek, akauntan, pensyarah univesiti, peguam dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, anak-anak dihantar ke sekolah khusus untuk tujuan ekonomi (untuk mendapat kerja) dan bagi tujuan mendapat kemulian dan kehormatan di sisi masyarakat. Tidak dapat kita lihat adanya maklumat yang lain selain dari dua matlamat yang disebutkan itu.

Oleh yang demikian samalah kita sebagai ibu ayah, dengan ibu ayah dalam masyarakat yang bukan Islam seperti di Amerika, United Kingdom, negara-negara Eropah, Jepun, Cina dan sebagainya. Ibu ayah di negara-negara tersebut juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tujuan ekonomi dan untuk mendapat kehormatan dan kemuliaan di sisi masyarakat dan tidak lebih dari itu.

Sedangkan menuntut ilmu itu diwajibkan oleh Islam. Masakan Islam mewajibkan kita menuntut ilmu hanya supaya kita boleh dapat kerja, dapat gaji yang banyak dan dimuliakan di sisi masyarakat kerana ilmu kita itu. Masakan matlamat hukum Islam supaya kita mencari ilmu itu terhenti setakat hal-hal dunia yang remeh-temeh seperti itu.

Kalau setakat itulah matlamatnya, apa perlunya Allah datangkan Islam kepada kita dengan apa perlunya diwajibkan pula kita menuntut ilmu. Orang-orang bukan Islam pun boleh faham malah mereka lebih gigih mencari ilmu tanpa payah mereka menganut dan mengamalkan Islam.

Di peringkat negara pula, berdasarkan kepada dasar pelajaran yang diamalkan dimana-mana saja negara di dunia ini, warga pelajar dianggap tidak lebih sebagai bahan atau `buruh ekonomi` yang perlu diajar dan diberi kemahiran supaya mereka boleh digunakan untuk menjana ekonomi negara dalam segala bidangnya sama ada pertanian, perikanan, industri perubatan, perdagangan, industri perkhidmatan dan lain-lain lagi. Inilah perkara pokok yang terkandung dalam dasar pelajaran negara.Kalaupun ada dasar yang berbau atau bersifat kemanusian seperti agama, moral atau bina insan, itu adalah untuk menentukan pelajar tidak liar atau jahat supaya mereka tidak merosakkan sistem yang sedia ada. Ia adalah untuk mempertahan dan menyelamatkan sistem yang ada dan bukan untuk menyelamatkan para pelajar itu sendiri dari kemurkaan Tuhan dan dari seksa api Neraka.

Digunakan istilah `dasar pelajaran` di sini, dan tidak `dasar pendidikan` seperti yang rasminya digunakan, untuk mengelak kekeliruan kerana dasar tersebut kurang menekankan hal-hal pendidikan yang sepatutnya membuahkan akhlak tetapi banyak kepada hal-hal pembelajaran yang bermatlamatkan ilmu terutama ilmu dunia atau ilmu akademik semata-mata.

Inilah keadaan sistem dan matlamat persekolahan yang wujud sekarang di mana-mana saja di dunia ini. Tidak salahlah kalau ada pihak yang menuduh sistem ini sebagai sekular kerana ia tepat dengan takrif sekular itu sendiri, sekalipun sekolah-sekolah agama. Kerana tujuannya adalah sama iaitu untuk mendapatkan sijil bagi melayakkannya memperolehi dua perkara seperti yang dinyatakan di atas tadi.

Ini kerana sekular bermaksud sesuatu yang bermatlamatkan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan dengan Akhirat. Oleh itu, sesuatu mesti dilakukan supaya sistem sekolah kita dapat disusun untuk menjadikannya satu sistem yang menjurus kepada Akhirat, dan kepada keredhaan Tuhan dan tidak hanya untuk mencetuskan kemajuan dan pembangunan duniawi.

Dalam erti kata yang lain, sistem persekolahan kita mesti mampu membina suatu tamadun rohani yang akan membawa kebahagiaan di dunia dan di Akhirat. Tujuan utama pelajaran dan pendidikan dalam Islam bukan semata-mata hendak menguasai berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan tetapi adalah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Iaitu insan yang menjadikan Allah cinta agungnya, Akhirat matlamat hidupnya, yang melihat dunia ini semata-mata sebagai tempat bercucuk tanam yang hasilnya diperolehi di Akhirat, agar terselamat dari Neraka dan berjaya memasuki Syurga.

Juga untuk melahirkan insan yang rela berjuang dan berkorban dalam menyampaikan pelajaran serta membangunkan syakhsiah manusia di tengah masyarakat agar ahli-ahli masyarakat juga menjadi insan-insan yang bertaqwa.

Dalam erti kata yang lain, untuk melahirkan insan yang mampu mengajak dan menyeru manusia kepada kebajikan dan kebaikan serta untuk menegah dan menghindar mereka dari kejahatan dan kemungkaran (amru bil makruf wanahyun anil mungkar).

Dalam Islam, sekolah bukan semata-mata untuk melahirkan ahli ilmu yang bertauliah dengan tujuan untuk makan gaji, untuk sara hidup atau untuk kemegahan dan nama di dunia, tetapi adalah untuk melahirkan orang-orang yang bekerja untuk Tuhan. Iaitu orang-orang yang bertanggung jawab menyampaikan ajaran Allah Taala dan memperkenalkan manusia kepada Allah. Agar agama Allah diterima oleh manusia dan dapat mengatasi seluruh agama lain di atas muka bumi ini.Agar manusia seluruhnya menyembah Allah yang mencipta mereka dan bukan tuhan-tuhan palsu yang lain.

Ini semua adalah untuk menentukan agar seluruh kehidupan berjalan dengan penuh disiplin, bertolong bantu, bekerjasama dan mengikut syariat Allah supaya akan wujud harmoni dan kasih sayang antara manusia.

Begitulah besarnya matlamat dan erti pelajaran dan pendidikan kepada manusia. Ia merupakan roh dan nadi kepada seluruh kehidupan. Kalau sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu hanya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, dapat melahirkan ahli-ahli ilmu di berbagai bidang dan dapat melahirkan cendikiawan-cendikiawan yang terbilang dan tidak lebih dari itu, maka ia dianggap telah gagal. Kerana ia telah melahirkan manusia yang tidak kenal penciptanya yang membelakangkan syariat-Nya, yang mengutamakan hidup di dunia melebihi hidup di Akhirat, yang sombong, yang mementingkan diri dan yang gilakan nama dan glamour.

Dengan adanya manusia-manusia seperti ini maka akan lahirlah budaya jatuh-menjatuh, fitnah-memfitnah, singgung-menyinggung, umpat-mengumpat dan kata-mengata. Akan timbul huru-hara dalam kehidupan dan manusia akan hilang keamanan dan keselamatan.

Matlamat pelajaran dan pendidikan ialah untuk membolehkan manusia melaksanakan tanggungjawab dan fungsi ianya dicipta oleh Tuhan.
Dan tidaklah manusia itu dicipta oleh Tuhan melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya . Sekiranya sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu tidak menghasilkan manusia yang pandai mengabdi dan memperhambakan dirinya pada Allah dan sebaliknya pula hanya bertujuan untuk membina hidup di dunia, mengumpul kekayaan dan harta, ingin dipuji dan dimuliakan oleh manusia, maka ini telah tersimpang jauh dari tujuan manusia itu diciptakan. Kalau kita tidak menepati tujuan kita diciptakan oleh Tuhan, maka sudah barang tentu Nerakalah tempat kembali yang selayaknya, wanauzubillah.