This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Monday, June 15, 2009

Keagungan dan Kebesaran Islam(3)-Hasil Keagungan Yang Sebenar

Sejarah telah membuktikan kepada kita bagaimana orang-orang kaya di zaman Rasulullah kerana mereka takut kepada Allah, takut kepada neraka Allah dan cinta kepada syurga Allah, mereka sanggup menjadi bank kepada masyarakat Islam. Ertinya orang-orang kaya di zaman itu sanggup mengorbankan harta dan wang mereka untuk memajukan masyarakat Islam. Sebagai contoh, Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar, Sayidina Abdurrahman bin Auf, Sayidina Utsman, mereka semua telah mengorbankan harta kekayaan mereka untuk membangun masyarakat Islam, membantu membangun berbagai aspek kehidupan, mengatasi kemiskinan dan penindasan kaum Yahudi. Akhirnya masyarakat Islam ketika itu dapat membangun dan mencapai kemajan tanpa bersandar kepada orang kafir. Apakah Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar, Sayidina Abdurrahman bin Auf, Sayidina Utsman berkorban kereana mereka maju dalam pembangunan atau kerana banyak menguasi ilmu pengetahuan dan sebagainya. Jawabannya, tidak! Mereka sanggup berkorban kerana mereka takut kepada Allah, takut dengan neraka Allah dan cinta Syurga Allah. Bukankah sebelum itu mereka adalah orang-orang kaya tetapi mereka tidak berkorban karena mereka adalah orang yang bakhil dan tamak ketika itu. Mereka menjadi orang yang begitu pemurah hanya setelah mereka menerima Islam dan Rasulullah.

Sejarah juga telah membuktikan bagaimana orang-orang yang susah dan menderita di zaman Rasulullah dapat berlaku sabar dan redha dengan kesusahan dan penderitaan mereka setelah mereka menerima ajaran Islam dan setelah mereka takut dengan Allah, takut dengan neraka Allah dan cinta kepada Syurga Allah. Mereka tidak pernah mengeluh dengan kesusahan itu. Mereka tidak pernah merasa kecewa dengan penderitaan hingga mendapat pujian dari Allah SWT di dalam Al Qur’an:

“Orang yang tidak tahu menyangka mereka itu adalah orang-orang yang kaya karena mereka memelihara diri dari meminta-minta.” (QS Al Baqarah 273)

Kemudian kita juga dapat mengetahui dari sejarah bagaimana Sayidatina Fatimah puteri Rasulullah sentiasa ditimpa dengan barbagai ujian hidup. Di masa kecilnya, ibundanya, Sayidatina Khadijah meninggal dunia dan hiduplah beliau bersama Rasulullah yang serba miskin. Kemudian setelah dewasa, Sayidatina Fatimah menikah dengan seorang yang serba miskin iaitu Sayidina Ali. Bertambahlah penderitaan hidupnya. Yang membuatnya lebih menderita adalah Sayidina Ali sering meninggalkannya seorang diri karena Sayidina Ali adalah seorang pendakwah dan pejuang. Apabila Sayidina Ali keluar rumah, berminggu-minggu kemudian beliau baru kembali. Maklumlah, mengadakan perjalanan di masa itu adalah amat sukar. Dan pada waktu Sayidatina Fatimah tinggal seorang diri, dialah yang terpaksa menyelenggarakan urusan rumahnya seperti mengambil air di perigi yang jaraknya kira-kira sejauh empat kilometer dari rumah. Dia terpaksa berjalan kaki di tengah-tengah padang pasir yang panas dan terik di waktu siang dan sangat dingin di malam hari. Perigi itu sedalam lebih 20 hasta yang airnya diambil dengan menggunakan timba. Hampir setiap hari Sayidatina Fatimah melakukan pekerjaan ini.

Demikianlah digambarkan tentang kehidupan Sayidatina Fatimah tetapi beliau tidak pernah mengeluh tentang kesusahannya. Ini adalah kerana dia takut kepada Allah, takut kepada neraka Allah dan cinta kepada Syurga Allah. Kerana itu Sayidatina Fatimah senantiasa bersabar dan redha dengan penderitaan yang menimpa.

Kalau seseorang itu sudah takut kepada Allah dan takut kepada neraka Allah serta cinta kepada Syurga Allah, sebagaimana yang dicontohkan oleh Sayidatina Fatimah, puteri Rasulullah, inilah yang dikatakan sebagai keagungan dan kebesaran Islam itu. Dengan rasa takut kepada Allah, takut kepada neraka Allah, cinta dengan Syurga Allah ini maka manusia dapat melawan hawa nafsu dan syaitan hingga dapat melahirkan ketenangan hidup yang sebelumnya telah terhapus segala kekacauan, pertengkaran, pertentangan, peperangan. Ini telah dapat diwujudkan oleh umat Islam di zaman yang lampau. Dengan demikian keagungan Islam itu bukan terletak pada banyaknya ahli falsafah atau para pemikir, bukan terletak pada pembangunan dan kemajuannya dan bukan terletak pada kekuasaan dan luasnya wilayah pemerintahannya.

Jika kita katakan bahwa keagungan Islam itu bukan terletak pada banyaknya ilmuwan atau pada majunya pembangunannya atau pada daerah kekuasan yang luas, jangan pula dianggap bahwa kita mengatakan jangan membangun, jangan mencari ilmu pengetahuan, jangan belajar dan jangan mengushakan kemajuan. Sebab sebagaimana yang telah kita katakan tadi bahwa ingin berilmu pengetahuan, ingin menjadi pandai, ingin membangun, ingin maju dan ingin menaklukkan daerah yang luas dan ingin berkuasa adalah fitrah manusia, baik dia Islam ataupun bukan. Jadi ajaran Islam ini tidak menolak dan menghalangi kemauan fitrah manusia. Islam tidak menghalang manusia mencari ilmu pengetahuan dan Islam tidak menghalang manusia maju dan membangun. Tapi Islam menyediakan peraturan-peraturannya untuk menjamin keselamatan umat agar jangan sampai timbul kekacauan, agar jangan sampai melanggar hak asasi manusia lain dan agar tidak timbul hasad dengki dan perkelahian dan agar jangan sampai meruosak akhlak. Apa saja yang diinginkan oleh fitrah manusia, lakukanlah, tetapi mesti diatur mengikut garis-garis yang telah ditetapkan oleh Islam.

Oleh kerana itu, apa saja yang hendak kita lakukan harus memenuhi lima syarat ibadah. Fitrah ingin maju, usahakanlah kemajuan. Tetapi pertama, niat mesti betul dan mengikuti syariat. Kedua pelaksanaannya betul sesuai syariat. Ketiga, perkara yang hendak dibuat itu juga dibenarkan oleh syariat Islam. Kemudian keempat, hasil yang diperoleh dari usaha itu juga mesti digunakan dengan benar dan kelima ketika menjalankan usaha itu jangan sampai meninggalkan perkara asas yaitu kewajiban yang terkandung dalam rukun Islam yang lima dan rukun Iman yang enam.

Begitu juga dengan fitrah manusia yang ingin mencari ilmu pengetahuan. Belajarlah dan tuntutlah ilmu tetapi niat mencari ilmu itu mesti betul, pelaksanaannya mesti betul menurut syariat, perkara yang dipelajari itu sah menurut syariat, hasil dari menuntut ilmu itu digunakan dengan benar dan selama menuntut ilmu itu kita tidak meninggalkan perkara-perkara asas seperti tidak meninggalkan shalat, puasa, dan sebagainya.

Dan kerana fitrah kita ingin menguasai daerah yang luas, maka kuasailah dunia ini untuk kebaikan. Tetapi mesti menempuh lima syarat yang kita sebutkan tadi, supaya kekuasaan itu tidak meninggalkan huru-hara orang lain, supaya tidak menimbulkan hasad dengki dan supaya jangan melanggar hak asasi manusia lain.

Jadi, Islam mengatur supaya manusia mendapat keselamatan dengan mengikuti lima syarat yang telah dibentangkan tadi. Dengan demikian maka Allah akan menilainya sebagai ibadah. Jika kita dapat memahami apa yang kita kaji ini dan kemudian kita amalkan sungguh-sungguh maka di akhirat nanti semua itu akan berbuah begitu cantik karena apa saja yang kita usahakan akan mendatangkan dua manfaat. Apa yang kita usahakan itu selain merupakan kemajuan di dunia jugalah mendatangkan kemajuan untuk kita di Akhirat. Ini kerana apa yang kita usahakan bernilai ibadah menurut syariat Islam yaitu dengan memenuhi lima syarat ibadah.

Inilah keagungan dan kebesaran Islam yang sesungguhnya, iaitu setelah datang Rasulullah SAW dan menanamkan iman kepada manusia, maka timbul rasa segan kepada Allah, takut dengan neraka Allah dan cinta dengan Syurga Allah. Dengan itu semua manusia dapat melawan hawa nafsudan syaitan yang senantiasa mengajak manusia berbuat kejahatan. Maka manusia-manusia yang dapat melawan hawa nafsu ini adalah manusia-manusia yang dapat melahirkan kedamaian, keamanan, serta kasih sayang di tengah-tengah kehidupan manusia seluruhnya

Sebaliknya, manusia yang tidak takut kepada Allah, tidak takut dengan neraka Allah dan tidak pula cinta kepada Syurga Allah, semakin dia berkemajuan, semakin banyak ilmunya dan semakin luas daerah kekuasaannya, semakin dia menjadi orang yang jahat. Akhirnya, lahirlah kemungkaran di tengah masyarakat, penindasan dan penzaliman. Akibatnya tidak ada lagi kedamaian dan keamanan di tengah masyarakat, berlakulah perkelahian, pembunuhan dan peperangan yang semua itu membawa penderitaan tidak ubah seperti kehidupan di neraka. Inilah yang dikatakan sebagai ‘neraka dunia’ sebelum neraka akhirat. Allah berfirman di dalam Al Quran:

“Lahirlah kerusakan di daratan dan di lautan adalah akibat ulah tangan manusia.” (QS Ar Ruum 41)

Saturday, June 13, 2009

KE MANA ARAH PERJUANGAN BANGSA MELAYU KINI ?

Petikan : Berita Harian 5 Mei 2008

Pemimpin wajar elak perpecahan daripada hancurkan bangsa Melayu

UMNO ke mana arahmu? Bagi kebanyakan orang, soalan ini agak ganjil untuk dikaitkan dengan Umno. Bukankah Umno sejak kelahirannya pada 1946 sudah mempunyai arah yang jelas dalam perjuangannya?

Asal perjuangan Umno adalah berjuang untuk bangsa, agama dan watan (tanah air). Selama berpeluang memerintah negara dalam bentuk pakatan politik yang dikenali sebagai Barisan Nasional (BN), Umno menjadi parti yang dilihat hebat dan kuat kekuasaannya.

Tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu, keadaan berubah. Umno dan rakan utamanya dalam BN mula ditolak oleh rakyat, menyebabkan Umno semakin kalut menentukan arah tujunya.
Umno bagaikan orang 'kemamau' (kebingungan) untuk menentukan arah tuju dan masa depannya. Justeru, soalan Umno ke mana arahmu amat sesuai dilontarkan ketika ini.

Umno yang sejak kelahirannya sehingga kini sudah berusaha dan berjuang mengangkat 'karamah' (kemuliaan) dan martabat bangsa Melayu adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan sesiapa pun.

Jika Pas memperjuangkan nasib orang Melayu dalam bentuk retorika yang disandarkan kepada pemikiran Islamnya, Umno memperjuangkannya dalam bentuk praktikal melalui semangat Melayu-Islamnya.

Ketika pada awal kemunculan dan kebangkitannya, Umno bukan saja dilihat membawa obor nasionalisme Melayu, malah nasionalisme ini turut disandarkan kepada semangat dan tuntutan Islam yang menghendaki umat Melayu dibela melalui pendekatan wasathiyyah (pertengahan) tanpa menzalimi kaum atau agama lain. Itulah sifat Umno pada asal kelahiran dan penubuhannya.

ULASAN IKHWAN

Sesebuah masyarakat Islam perlu maju dan membangun supaya ia jadi kuat secara lahirnya. Untuk mencapai kekuatan lahir ini bukan mudah. Ia tidak datang menggolek. Ia mesti diusahakan. Tidak seperti yang difahamkan oleh kebanyakan orang, usaha untuk mendapatkan kekuatan lahir tidak bermula dengan usaha lahir. Kekuatan lahir bermula dan bertitik tolak dari mencapai kekuatan rohani. Kekuatan umat Islam sama ada di peringkat jemaah, masyarakat atau negara, bukan terletak kepada ramai atau banyak bilangannya, kepada kepandaiannya, kepada kemajuannya, kepada kekayaannya dan lain-lain lagi. Ini semua adalah kekuatan- kekuatan tambahan yang tidak ada nilai apa-apa kalau tidak ada kekuatan-kekuatan yang asas.

Malahan tanpa kekuatan-kekuatan yang asas, semua kekuatan tambahan ini bukan sahaja tidak ada apa-apa makna, bahkan ia akan menjadi punca pecah-belah, rebut-merebut, perbalahan, perkelahian dan krisis. Lagi besar dan hebat kekuatan- kekuatan tambahan ini, lagi cepat masyarakat Islam akan runtuh. Ia ibarat membina rumah di atas tanah lumpur. Tidak ada tapak atau foundation yang kuat dan kukuh. Lagi besar rumah dibina, lagi cepat dan lagi dalam ia akan tenggelam.

Tanpa kekuatan-kekuatan yang asas, umat Islam akan berpecah- belah seperti firman Allah SWT:
Maksudnya: “Kamu lihat mereka itu bersatu padu, tetapi hati mereka berpecah belah.” (Al Hasyr: 14)

Tanpa kekuatan-kekuatan yang asas, umat Islam akan lemah walaupun mereka ramai seperti sebuah Hadis yang bermaksud:

Sabda Rasulullah SAW: “ Akan tiba masanya bahawa kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh) sebagaimana orang menghadapi makanan dalam hidangan.”

Seorang Sahabat bertanya: “ Adakah ketika itu jumlah kami sedikit ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab: “Bahkan jumlah kamu di waktu itu ramai tetapi kamu tak ubah seperti buih di laut.”

Tanpa kekuatan-kekuatan yang asas juga, musuh tidak akan takut dan gerun terhadap umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis yang bermaksud:

Sabda Rasulullah SAW: “Allah akan mencabut rasa ketakutan dari hati musuh-musuh kamu dan sebaliknya Allah akan masukkan ke dalam hati-hati kamu penyakit ‘al wahan’.”

Seorang Sahabat bertanya: “Apakah penyakit ‘alwahan’ itu ya Rasulullah?”
Rasulullah menjawab: “Iaitu cinta dunia dan takut mati.”

Tiga Kekuatan Asas Masyarakat Islam iaitu Kekuatan jemaah, masyarakat atau umat Islam terletak kepada tiga perkara asas yang terpokok iaitu:

1. Iman
2. Ukhwah
3. Kesefahaman dan keselarasan

• Iman
Iman yang dimaksudkan di sini ialah iman yang sempurna yang menjurus kepada taqwa. Setidak-tidaknya di tahap iman orang soleh atau iman ‘ayan’ atau iman di hati. Tidak memadai iman yang hanya di akal. Tidak memadai hanya setakat percaya dengan rukun-rukun iman tetapi ia mesti diyakini dan dijadikan pegangan dan aqidah.

Di antara sifat-sifat orang yang mempunyai iman ‘ayan’ ini ialah hatinya sentiasa mengingati Allah, sentiasa memikirkan tentang ciptaan Allah dan sentiasa merasakan bahawa dirinya diawasi oleh Allah. Cetusan dari keadaan hati yang seperti ini, dia akan sentiasa merasa malu dengan Allah, rasa tawakal kepada Allah, rasa sabar terhadap segala ujian dan mehnah dari Allah, rasa bersyukur terhadap segala nikmat Allah, rasa cinta dan takut kepada Allah dan berbagai-bagai lagi sifat mahmudah yang lain.

Dengan iman yang di tahap ini, seseorang itu akan memperolehi kekuatan dan kemerdekaan yang luar biasa yang tidak boleh dikalahkan oleh kuasa apa pun selain Allah. Dia merasa gagah dan kuat dengan Allah. Dia berani berjuang dan berkorban kerana pergantungannya yang total kepada Allah. Dia rasa cukup dengan Allah. Allah itu modal dan asetnya yang paling besar. Kekuatan seperti ini tidak dapat dibina melalui apa cara sekalipun kecuali dengan menanam iman yang sebenarnya di dalam hati-hati umat Islam. Kalau kekuatan seperti ini dapat dicapai maka sebahagian dari kejayaan sudah diperolehi. Usaha dan perjuangan yang dibangunkan oleh umat Islam yang teguh iman mereka seperti ini akan menjadi kuat dan dibantu oleh Tuhan walaupun jumlah mereka sedikit.

Sebaliknya, usaha dan perjuangan yang dibangunkan oleh umat Islam yang lemah iman mereka akan turut menjadi lemah dan tidak dibantu Tuhan walaupun jumlah mereka ramai. Lagi ramai, lagi cepat mereka jatuh, gagal dan kecundang kerana terlalu ramai yang membuat masalah dan terlibat dengan dosa dannoda yang menjadi hijab dari bantuan Tuhan. Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: “Jika ada di kalangan kamu 20 orang yang sabar, akan dapat mengalahkan 200 orang musuh.” (Al Anfal: 65)

Maksudnya: “Allah itu pembela (pembantu) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)

• Ukhwah

Ukhwah dan kasih sayang sesama umat Islam tidak akan dapat dibina tanpa iman dan taqwa. Kasih sayang adalah buah dari iman. Tidak ada apa-apa erti kalau kita berslogan, berkempen dan mengajak masyarakat supaya berkasih sayang jika iman yang sebenarnya tidak ada di dalam hati. Sampai bila pun masyarakat tidak akan dapat berkasih sayang. Kasih sayang sesama manusia lebih-lebih lagi sesama umat Islam adalah cetusan dari rasa cinta kepada Tuhan. Tuhan akan campakkan ke dalam hati-hati orang yang mencintai-Nya, rasa perikemanusiaan. Dengan rasa perkemanusiaan inilah manusia akan saling mengasihi di antara satu sama lain.

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Berpeganglah kamu pada tali-tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” (Al Imran: 103)

Tali-tali Allah itu dimaksudkan kepada syariat Allah. Semua umat Islam mesti sama-sama menerima dan mengamalkan syariat Tuhan. Berpegang kepada tali-tali Allah juga bermaksudsama-sama merasa cinta dan takut kepada Allah. Orang-orang yang sama-sama rasa cinta dan takut pada Allah akan diikat hati-hati mereka oleh Allah dan akan mudah berkasih sayang. Hasil dari ukhwah dan kasih sayang akan timbul tolongmenolong, bantu-membantu, bela-membela, berlapang dada, bertoleransi, suka memberi maaf, suka meminta maaf, bertimbang rasa dan sebagainya. Akan timbul rasa bersama dan bekerjasama. Ini semua akan mencetuskan perpaduan dan persaudaraan. Umat Islam akan menjadi kuat dan bersatu padu.

• Kesefahaman dan keselarasan


Kesefahaman tidak akan timbul tanpa iman dan ukhwah. Iman dan ukhwah boleh menyuburkan kesefahaman. Umat Islam perlu bersatu fahaman dalam segala hal. Bersatu fahaman dalam aqidah. Bersatu fahaman dalam ibadah. Bersatu fahaman dalam akhlak. Bersatu fahaman dalam menetapkan siapa lawan dan siapa kawan. Bersatu fahaman dalam menerima hal-hal ijtihad dan mazhab dalam masalah-masalah furuk.

Bersatu fahaman dalam berjuang dan berkorban dengan minda yang satu dari pemimpin yang satu. Sekiranya kefahaman tidak sama dan tidak disatukan, maka pegangan akan berbeza. Kepercayaan akan berbeza. Keutamaan akan berbeza. Akhirnya tindak-tanduk juga akan berbeza. Jika kesefahaman tidak wujud di antara pemimpin dan pengikut, maka ketaatan sukar dicapai. Kalau pun nampak macam ada ketaatan, ia hanya ketaatan lahir. Hati tidak bersama. Ketaatan itu tidak total. Tanpa kesefaman, ukhwah dan perpaduan boleh menjadi rosak.

Manusia boleh terpisah ke dalam berbagai kumpulan, puak, parti atau klik mengikut fahaman mereka masing-masing. Rosak ukhwah dan perpaduan maka lemahlah masyarakat Islam. Tanpa kesefahaman, tidak akan lahir keselarasan, sama ada pada rasa, pemikiran dan tindak-tanduk. Ini boleh menyebabkan umat Islam menjadi kucar-kacir. Dalam bergerak danberjuang, ada yang hendak ke hulu, ada yang hendak ke hilir. Ada yang hendak ke darat, ada yang hendak ke baruh. Ada pula yang hendak duduk diam, tidak mahu pergi ke manamana. Tenaga umat Islam tidak dapat digemblingkan ke satu arah yang sama untuk kepentingan bersama. Seperti juga di dalam satu perahu, ada yang hendak berdayung ke hadapan. Ada yang hendak berdayung ke belakang. Ada yang tidak mahu berdayung langsung. Maka perahu akan berpusing-pusing di tempat yang sama. Kalau nasib tidak baik, ia boleh karam dan semua orang di dalamnya akan tenggelam. Ketiga-tiga kekuatan asas ini tidak timbul dengan sendiri.

Ia perlu kepada seorang pemimpin yang membawa minda dan yang mendidik masyarakat Islam ke arah itu. Pemimpin ini pula bukan calang-calang pemimpin. Dia mesti pemimpin yang berilmu, bertaqwa, berwibawa, yang manusia memberi hati padanya dan yang mendapat rahmat dan berkat dari Allah.

Thursday, June 11, 2009

Wanita Contoh – Rabiatul Adawiyah

Rabi’atul-Adawiyyah Al-Basriyyah!

Ibubapa Rabia’atul-adawiyyah adalah orang miskin. Hinggakan dalam rumah mereka tidak ada minyak untuk memasang lampu dan tidak ada kain untuk membalut badan beliau. Beliau ialah anak yang keempat. Ibunya menyuruh ayahnya meminjam minyak dari jiran. tetapi bapa beliau telah membuat keputusan tidak akan meminta kepada sesiapa kecuali kepada Allah. Bapa itu pun pergilah berpura-pura ke rumah jiran dan perlahan-lahan mengetuk pintu rumah itu agar tidak didengar oleh orang dalam rumah itu.

Kemudian dia pun pulang dengan tangan kosong. Katanya orang dalam rumah itu tidak mahu membuka pintu. Pada malam itu si bapa bermimpi yang ia bertemu dengan Nabi. Nabi berkata kepadanya, “Anak perempuanmu yang baru lahir itu adalah seorang yang dikasihi Allah dan akan memimpin banyak orang Islam ke jalan yang benar. Kamu hendaklah pergi berjumpa amir Basrah dan beri dia sepucuk surat yang bertulis – kamu hendaklah berselawat kepada Nabi seratus kali tiap-tiap malam dan empat ratus kali tiap-tiap malam Jumaat.

Tetapi oleh kerana kamu tidak mematuhi peraturan pada hari Khamis sudah, maka sebagai dendanya kamu hendaklah membayar kepada pembawa surat ini empat ratus dinar.” Bapa Rabi’atul-adawiyyah pun terus jaga dari tidur dan pergi berjumpa dengan amir tersebut, dengan air mata kesukaan mengalir di pipinya. Amir sungguh berasa gembira membaca surat itu dan faham bahawa beliau ada dalam perhatian Nabi. Amir pun memberi sedekah kepada fakir miskin sebanyak seribu dinar dan dengan gembira memberi bapa Rabi’atul-adawiyyah sebanyak empat ratus dinar.

Amir itu meminta supaya bapa Rabi’atul- adawiyyah selalu mengunjungi beliau apabila hendakkan sesuatu kerana beliau sungguh berasa bertuah dengan kedatangan orang yang hampir dengan Allah. Selepas bapanya meninggal dunia, Basrah dilanda oleh kebuluran. Rabi’atul-adawiyyah berpisah dari adik-beradiknya. Suatu ketika kafilah yang beliau tumpangi itu telah diserang oleh penyamun. Ketua penyamun itu menangkap Rabi’atul-adawiyyah untuk dijadikan barang rampasan untuk dijual ke pasar sebagai abdi. Maka lepaslah ia ke tangan tuan yang baru. Suatu hari, tatkala beliau pergi ke satu tempat atas suruhan tuannya, beliau telah dikejar oleh orang jahat. beliau lari.

Tetapi malang, kakinya tergelincir dan jatuh. Tangannya patah. Beliau berdoa kepada Allah, “Ya Allah! Aku ini orang yatim dan abdi. Sekarang tanganku pula patah. tetapi aku tidak peduli segala itu asalkan Kau redha denganku. tetapi nyatakanlah keredhaanMu itu padaku.” Tatkala itu terdengarlah suatu suara, “Tak mengapa semua penderitaanmu itu. Di hari akhirat kelak kamu akan ditempatkan di peringkat yang tinggi hinggakan Malaikat pun kehairanan melihatmu.” Kemudian pergilah ia semula kepada tuannya. Selepas peristiwa itu, tiap-tiap malam ia menghabiskan masa dengan beribadat kepada Allah, selepas melakukan kerja-kerjanya. Beliau berpuasa berhari-hari.

Suatu hari, tuannya terdengar suara rayuan Rabi’atul-adawiyyah di tengah malam yang berdoa kepada Allah : “Tuhanku! Engkau lebih tahu bagaimana aku cenderung benar hendak melakukan perintah-perintahMu dan menghambakan diriku dengan sepenuh jiwa, wahai cahaya mataku. Jikalau aku bebas, aku habiskan seluruh masa malam dan siang dengan melakukan ibadat kepadaMu. tetapi apa yang boleh aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia.”

Dilihat oleh tuannya itu suatu pelita yang bercahaya terang tergantung di awang-awangan, dalam bilik Rabi’atul-adawiyyah itu, dan cahaya itu meliputi seluruh biliknya. Sebentar itu juga tuannya berasa adalah berdosa jika tidak membebaskan orang yang begitu hampir dengan Tuhannya. sebaliknya tuan itu pula ingin menjadi khadam kepada Rabi’atul-adawiyyah. Esoknya, Rabi’atul-adawiyyah pun dipanggil oleh tuannya dan diberitahunya tentang keputusannya hendak menjadi khadam itu dan Rabi’atul-adawiyyah bolehlah menjadi tuan rumah atau pun jika ia tidak sudi bolehlah ia meninggalkan rumah itu.

Rabi’atul-adawiyyah berkata bahawa ia ingin mengasingkan dirinya dan meninggalkan rumah itu. Tuannya bersetuju. Rabi’atul-adawiyyah pun pergi. Suatu masa Rabi’atul-adawiyyah pergi naik haji ke Mekkah. Dibawanya barang-barangnya atas seekor keldai yang telah tua. Keldai itu mati di tengah jalan. Rakan-rakannya bersetuju hendak membawa barang -barangnya itu tetapi beliau enggan kerana katanya dia naik haji bukan di bawah perlindungan sesiapa. Hanya perlindungan Allah S.W.T.

Beliau pun tinggal seorang diri di situ. Rabi’atul-adawiyyah terus berdoa, “Oh Tuhan sekalian alam, aku ini keseorangan, lemah dan tidak berdaya. Engkau juga yang menyuruhku pergi mengunjungi Ka’abah dan sekarang Engkau matikan keldaiku dan membiarkan aku keseorangan di tengah jalan.” Serta-merta dengan tidak disangka- sangka keldai itu pun hidup semula. Diletaknya barang-barangnya di atas keldai itu dan terus menuju Mekkah. Apabila hampir ke Ka’abah, beliau pun duduk dan berdoa, “Aku ini hanya sekepal tanah dan Ka’abah itu rumah yang kuat. Maksudku ialah Engkau temui aku tanpa sebarang perantaraan.”

Terdengar suara berkata, “Rabi’atul-adawiyyah, patutkah Aku tunggangbalikkan dunia ini kerana mu agar darah semua makhluk ini direkodkan dalam namamu dalam suratan takdir? Tidakkah kamu tahu Nabi Musa pun ada hendak melihatKu? Aku sinarkan cahayaKu sedikit sahaja dan dia jatuh pengsan dan Gunung Sinai runtuh menjadi tanah hitam.” Suatu ketika yang lain, semasa Rabi’atul-adawiyyah menuju Ka’abah dan sedang melalui hutan, dilihatnya Ka’abah datang mempelawanya. Melihatkan itu, beliau berkata, “Apa hendakku buat dengan Ka’abah ini; aku hendak bertemu dengan tuan Ka’abah (Allah) itu sendiri. Bukankah Allah juga berfirman iaitu orang yang selangkah menuju Dia, maka Dia akan menuju orang itu dengan tujuh langkah? Aku tidak mahu hanya melihat Ka’abah, aku mahu Allah.”

Pada masa itu juga, Ibrahim Adham sedang dalam perjalanan ke Ka’abah. Sudah menjadi amalan beliau mengerjakan sembahyang pada setiap langkah dalam perjalanan itu. Maka oleh itu, beliau mengambil masa empat belas tahun baru sampai ke Ka’bah. Apabila sampai didapatinya Ka’abah tidak ada. Beliau sangat merasa hampa. Terdengar olehnya satu suara yang berkata, “Ka’abah itu telah pergi melawat Rabi’atul -adawiyyah.” Apabila Ka’bah itu telah kembali ke tempatnya dan Rabi’atul-adawiyyah sedang menongkat badannya yang tua itu kepada kepada tongkatnya, maka Ibrahim Adham pun pergi bertemu dengan Rabi’atul- adawiyyah dan berkata “Rabi’atul-adawiyyah, kenapa kamu dengan perbuatanmu yang yang ganjil itu membuat haru-biru di dunia ini?”

Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Saya tidak membuat satu apa pun sedemikian itu, tetapi kamu dengan sikap ria (untul mendapat publisiti) pergi ke Ka’abah mengambil masa empat belas tahun.” Ibrahim mengaku yang ia sembahyang setiap langkah dalam perjalanannya. Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Kamu isi perjalananmu itu dengan sembahyang, tetapi aku mengisinya dengan perasaan tawaduk dan khusyuk.” Tahun kemudiannya, lagi sekali Rabi’atul-adawiyyah pergi ke Ka’abah. beliau berdoa, “Oh Tuhan! Perlihatkanlah diriMu padaku.” Beliau pun berguling-guling di atas tanah dalam perjalanan itu.

Terdengar suara, “Rabi’atul-adawiyyah, hati-hatilah, jika Aku perlihatkan diriKu kepadamu, kamu akan jadi abu.” Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Aku tidak berdaya memandang keagungan dan kebesaranMu, kurniakanlah kepadaku kefakiran (zahid) yang mulia di sisiMu.” Terdengar lagi suara berkata, “Kamu tidak sesuai dengan itu. Kemuliaan seperti itu dikhaskan untuk lelaki yang memfanakan diri mereka semasa hidup mereka kerana Aku dan antara mereka dan Aku tidak ada regang walau sebesar rambut pun, Aku bawa orang-orang demikian sangat hampir kepadaKu dan kemudian Aku jauhkan mereka, apabila mereka berusaha untuk mencapai Aku. Rabi’atul- adawiyyah, antara kamu dan Aku ada lagi tujuh puluh hijab atau tirai. Hijab ini mestilah dibuang dulu dan kemudian dengan hati yang suci berhadaplah kepadaKu. Sia-sia sahaja kamu meminta pangkat fakir dari Aku.”

Kemudian suara itu menyuruh Rabi’atul-adawiyyah melihat ke hadapan. Dilihatnya semua pandangan telah berubah. Dilihatnya perkara yang luar biasa. Di awang-awangan ternampak lautan darah yang berombak kencang. Terdengar suara lagi, “Rabi’atul-adawiyyah, inilah darah yang mengalir dari mata mereka yang mencintai Kami (Tuhan) dan tidak mahu berpisah dengan Kami. Meskipun mereka dicuba dan diduga, namun mereka tidak berganjak seinci pun dari jalan Kami dan tidak pula meminta sesuatu dari Kami. Dalam langkah permulaan dalam perjalanan itu, mereka mengatasi semua nafsu dan cita-cita yang berkaitan dengan dunia dan akhirat.

Mereka beruzlah (memencilkan diri) dari dunia hingga tidak ada sesiapa yang mengetahui mereka. Begitulah mereka itu tidak mahu publisiti (disebarkan kepada umum) dalam dunia ini.” Mendengar itu, Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Tuhanku! Biarkan aku tinggal di Ka’abah.” Ini pun tidak diberi kepada beliau. Beliau dibenarkan kembali ke Basrah dan menghabiskan umurnya di situ dengan sembahyang dan memencilkan diri dari orang ramai. Suatu hari Rabi’atul-adawiyyah sedang duduk di rumahnya menunggu ketibaan seorang darwisy untuk makan bersamanya dengan maksud untuk melayan darwisy itu, Rabi’atul-adawiyyah meletakkan dua buku roti yang dibuatnya itu di hadapan darwisy itu.

Darwisy itu terkejut kerana tidak ada lagi makanan untuk Rabi’atul-adawiyyah. Tidak lama kemudian, dilihatnya seorang perempuan membawa sehidang roti dan memberinya kepada Rabi’atul-adawiyyah menyatakan tuannya menyuruh dia membawa roti itu kepada Rabi’atul-adawiyyah, Rabi’atul-adawiyyah bertanya berapa ketul roti yang dibawanya itu. Perempuan itu menjawab, “Lapan belas.” Rabi’atul-adawiyyah tidak mahu menerima roti itu dan disuruhnya kembalikan kepada tuannya. Perempuan itu pergi. Kemudian datang semula. Rabi’atul-adawiyyah menerima roti itu selepas diberitahu bahawa ada dua puluh ketul roti dibawa perempuan itu.

Darwisy itu bertanya kenapa Rabi’atul-adawiyyah enggan menerima dan kemudian menerima pula. Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Allah berfirman dalam Al-Quran iaitu : “Orang yang memberi dengan nama Allah maka Dia akan beri ganjaran sepuluh kali ganda. Oleh itu, saya terima hadiah apabila suruhan dalam Al-Quran itu dilaksanakan.” Suatu hari Rabi’atul-adawiyyah sedang menyediakan makanan. Beliau teringat yang beliau tidak ada sayur. Tiba-tiba jatuh bawang dari bumbung. Disepaknya bawang itu sambil berkata, “Syaitan! Pergi jahanam dengan tipu-helahmu. Adakah Allah mempunyai kedai bawang?” Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Aku tidak pernah meminta dari sesiapa kecuali dari Allah dan aku tidak terima sesuatu melainkan dari Allah.”

Suatu hari, Hassan Al-Basri melihat Rabi’atul-adawiyyah dikelilingi oleh binatang liar yang memandangnya dengan kasih sayang. Bila Hassan Al-Basri pergi menujunya, binatang itu lari. Hassan bertanya, “Kenapa binatang itu lari?” Sebagai jawapan, Rabi’atul-adawiyyah bertanya, “Apa kamu makan hari ini?” Hassan menjawab, “Daging.” Rabi’atul- adawiyyah berkata, Oleh kerana kamu makan daging, mereka pun lari, aku hanya memakan roti kering.” Suatu hari Rabi’atul-adawiyyah pergi berjumpa Hassan Al-Basri. Beliau sedang menangis terisak-isak kerana bercerai (lupa) kepada Allah.

Oleh kerana hebatnya tangisan beliau itu, hingga air matanya mengalir dilongkang rumahnya. Melihatkan itu, Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Janganlah tunjukkan perasaan sedemikian ini supaya batinmu penuh dengan cinta Allah dan hatimu tenggelam dalamnya dan kamu tidak akan mendapati di mana tempatnya.” Dengan penuh kehendak untuk mendapat publiksiti, suatu hari, Hassan yang sedang melihat Rabi’atul-adawiyyah dalam satu perhimpunan Aulia’ Allah, terus pergi bertemu dengan Rabi’atul- adawiyyah dan berkata, “Rabi’atul-adawiyyah, marilah kita meninggalkan perhimpunan ini dan marilah kita duduk di atas air tasik sana dan berbincang hal-hal keruhanian di sana.”

Beliau berkata dengan niat hendak menunjukkan keramatnya kepada orang lain yang ia dapat menguasai air (seperti Nabi Isa a.s. boleh berjalan di atas air). Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Hassan, buangkanlah perkara yang sia-sia itu. Jika kamu hendak benar memisahkan diri dari perhimpunan Aulia’ Allah, maka kenapa kita tidak terbang sahaja dan berbincang di udara?” Rabi’atul-adawiyyah berkata bergini kerana beliau ada kuasa berbuat demikian tetapi Hassan tidak ada berkuasa seperti itu. Hassan meminta maaf. Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Ketahuilah bahawa apa yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan jika aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara yang luarbiasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan-santun terhadap Allah.”

Seorang hamba Allah bertanya kepada Rabi’atul-adawiyyah tentang perkara kahwin. beliau menjawab, “Orang yang berkahwin itu ialah orang yang ada dirinya. Tetapi aku bukan menguasai badan dan nyawaku sendiri. Aku ini kepunyaan Tuhanku. Pintalah kepada Allah jika mahu mengahwini aku.” Hassan Al-Basri bertanya kepada Rabi’atul-adawiyyah bagaiman beliau mencapai taraf keruhanian yang tinggi itu. Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Aku hilang (fana) dalam mengenang Allah.” Beliau ditanya, “Dari mana kamu datang?” Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Aku datang dari Allah dan kembali kepada Allah.”

Rabi’atul-adawiyyah pernah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. dan baginda bertanya kepadanya sama ada beliau pernah mengingatnya sebagai sahabat. Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Siapa yang tidak kenal kepada tuan? Tetapi apakan dayaku. Cinta kepada Allah telah memenuhi seluruhku, hinggakan tidak ada ruang untuk cinta kepadamu atau benci kepada syaitan.” Orang bertanya kepada Rabi’atul-adawiyyah, “Adakah kamu lihat Tuhan yang kamu sembah itu? Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Jika aku tidak lihat Dia, aku tidak akan menyembahNya.”

Rabi’atul-adawiyyah sentiasa menangis kerana Allah. Orang bertanya kepadanya sebab beliau menangis. rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Aku takit berpisah walau sedetik pun dengan Tuhan dan tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku yakut Tuhan akan berkta kepadaku tatkala menghembuskan nafas terakhir – jauhkan dia dariKu kerana dia tidak layak berada di majlisKu.” Allah suka dengan hambaNya yang bersyukur apabila ia berusaha sepertimana ia bersyukur tatkala menerima kurniaNya (iaitu ia menyedari yang ia tidak sanggup berusaha untuk Allah tanpa pertolongan dan kurniaan Allah). Seorang bertanya kepada Rabi’atul-adawiyyah, “Adakah Allah menerima taubat orang yang membuat dosa?” Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Itu hanya apabila Allah mengurniakan kuasaNya kepada pembuat dosa itu yang ia digesa untuk mengakui dosanya dan ingin bertaubat. Hanya dengan itu Allah akan menerima taubatnya kerana dosa yang telah dilakukannya.”

Salih Al-Qazwini selalu mengajar muridnya, “Siapa yang selalu mengetuk pintu rumah seseorang akhirnya satu hari pintu itu pasti akan dibuka untuknya.” Satu hari Rabi’atul-adawiyyah mendengar beliau bercakap demikian. Rabi’atul-adawiyyah pun berkata kepada Salih, “Berapa lama kamu hendak berkata demikian menggunakan perkataan untuk masa depan (Futuretense) iaitu “Akan dibuka”? Adakah pintu itu pernah ditutup? Pintu itu sentiasa terbuka.” Salih mengakui kebenarannya itu. Seorang hamba Allah berteriak, “Aduh sakitnya!” Rabi’atul-adawiyyah bertemu dengan orang itu dan berkata, “Oh! bukannya sakit.” Orang itu bertanya kenapa beliau berkata begitu. Rabi’atul- adawiyyah menjawab, “Kerana sakit itu adalah satu nikmat bagi orang yang sangat mulia di sisi Allah.

Mereka merasa seronok menanggung sakit itu.” Suatu hari rabi’atul-adawiyyah sedang melihat orang sedang berjalan dengan kepalanya berbalut. Beliau bertanya kenapa kepalanya dibalut. Orang itu menjawab mengatakan ia sakit kepala. rabi’atul-adawiyyah bertanya, “Berapa umurmu?” Jawab orang itu, “Tiga puluh.” Rabi’atul-adawiyyah bertanya lagi, “Hingga hari ini begaimana keadaanmu?” Kata orang itu, “Sihat-sihat shaja.” Rabi’atul-adawiyyah pula berkata, “Selama tiga puluh tahun Allah menyihatkan kamu, tetapi kamu tidak mengibarkan bendera pada badanmu untuk menunjukkan kesyukuran kepada Allah, dan agar manusia bertanya kenapa kamu gembira sekali dan setelah mengetahui kurniaan Tuhan kepadamu, mereka akan memuji Allah. Sebaliknya kamu, setelah mendapat sakit sedikit, membalut kepalamu dan pergi ke sana ke mari menunjukkan sakitmu dan kekasaran Tuhan terhadapmu. Kenapa kamu berlaku sehina itu!”

Suatu hari khadamnya berkata, “Puan, keluarlah dan mari kita melihat keindahan kejadian Tuhan di musim bunga ini.’ Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Duduklah dalam rumah seperti aku berseorangan dan melihat yang menjadikan. Aku lihat Dia dan bukan kejadianNya.” Suatu hari, orang bertanya kepada Rabi’atul-adawiyyah kenapa beliau tidak menyimpan pisau dalam rumahnya. Beliau menjawab, “Memotong itu adalah kerja pisau. Aku takut pisau itu akan memotong pertalian aku dengan Allah yang ku cintai.” Suatu masa Rabi’atul-adawiyyah berpuasa selama lapan hari. Pada hari terakhir, beliau merasa lapar sedikit.

Datang seorang hamba Allah membawa minuman yang manis dalam sebuah cawan. Rabi’atul-adawiyyah ambil minuman itu dan meletakkannya di atas lantai di satu penjuru rumahnya itu. Beliau pun pergi hendak memasang lampu. Datang seekor kucing lalu menumpahkan minuman dalam cawan itu. Melihat itu, terfikirlah Rabi’atul-adawiyyah hendak minum air sahaja malam itu. Tatkala ia hendak mencari bekas air (tempayan), lampu pun padam. Bekas air itu jatuh dan pecah airnya bertaburan di atas lantai. Rabi’atul-adawiyyah pun mengeluh sambil berkata, “Tuhanku! Kenapa Kau lakukan begini kepadaku?” Terdengar suara berkata, “Rabi’atul-adawiyyah, jika kamu hendakkan kurnia dunia, Aku boleh berikan padamu, tetapi akan menarik balik darimu siksaan dan kesakitan yang Aku beri padamu. Kurnia dunia dan siksaan Aku tidak boleh duduk bersama-sama dalam satu hati.

Rabi’atul-adawiyyah, kamu hendak satu satu perkara dan Aku hendak satu perkara lain. Dua kehendak yang berlainan tidak boleh duduk bersama dalam satu hati.” Dengan serta-merta beliau pun membuangkan kehendak kepada keperluan hidup ini, seperti orang yang telah tidak berkehendakkan lagi perkara-perkara dunia ini semasa nyawa hendak bercerai dengan badan. Tiap-tiap pagi beliau berdoa, “Tuhan! Penuhilah masaku dengan menyembah dan mengingatMu agar orang lain tidak mengajakku dengan kerja-kerja lain.” Rabi’atul-adawiyyah ditanya, “Kenapa kamu sentiasa menangis-nangis?” Beliau menjawab, “Kerana ubat penyakit ini ialah berdampingan dengan Tuhan.” “Kenapa kamu memakai pakainan koyak dan kotor?”

Beliau ditanya lagi, “Kamu ada kawan yang kaya, dan dia boleh memberimu pakaian baru.” Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Aku berasa malu meminta perkara dunia dari sesiapa pun yang bukan milik mereka kerana perkara-perkara itu adalah amanah Allah kepada mereka dan Allah jua yang memiliki segala- galanya.” Orang berkata, “Rabi’atul-adawiyyah, Tuhan mengurniakan ilmu dan kenabian kepada lelaki, dan tidak pernah kepada perempuan, tentu kamu tidak dapat mencapai pangkat kewalian yang tinggi itu (kerana perempuan). Oleh itu apakah faedahnya usaha kamu menuju ke taraf tersebut?”

Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Apa yang kamu kata itu benar, tetapi cubalah ketakan kepadaku siapakah perempuannya yang telah mencapai taraf kehampiran dengan Allah dan lalu berkata, “Akulah yang hak”. Di samping itu tidak ada orang yang kasihkan perempuan. Hanya didapati dalam kaum lelaki sahaja.”

Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Seorang perempuan yang sentiasa bersembahyang kerana Allah adalah lelaki dan bukan perempuan.” Satu hari Rabi’atul-adawiyyah jatuh sakit. Orang bertanya kepadanya sebab ia sakit. Beliau berkata, “Hatiku cenderung hendak mencapai Syurga, sayu hari yang lampau. Kerana itu, Allah jatuhkan sakit ini sementara sebagai hukuman.” Hassan Al-Basri datang berjumpa Rabi’atul-adawiyyah yang sedang sakit. Di pintu rumah beliau itu, Hassan bertemu dengan Amir Al-Basri yang sedang duduk dengan sebuah bag mengandungi wang. Amir itu menangis.

Apabila ditanya kenapa beliau menangis, beliau menjawab, “Aku hendak menghadiahkan wang kepada Rabi’atul-adawiyyah, tetapi aku tahu dia tidak akan menerimanya. Kerana itulah aku menangis. Bolehkah kamu menjadi pengantara dan meminta dia menerima hadiahku ini?” Hassan pun pergilah membawa wang itu kepada Rabi’atul-adawiyyah dan meminta beliau menerima wang itu. Tetapi Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Oleh kerana aku telah kenal Allah, maka aku tidak lagi mahu bersembang dengan manusia dan tidak menerima hadiah dari mereka dan juga tidak mahu memberi apa-apa kepada mereka. Di samping itu aku tidak mahu sama ada wang itu didapatinya secara halal atau haram.”

Sufyan Al-Thauri berkata, “Kenapa kamu tidak memohon kepada Allah untuk menyembuhkan kamu?” Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Kenapa aku merungut pula kerana itu hadiah Allah bagiku. Bukankah salah jika tidak mahu menerima hadiah Tuhan? Adakah bersahabat namanya jika kehendak sahabat itu tidak kita turuti?” Malik bin Dinar pergi mengunjungi Rabi’atul-adawiyyah satu hari. Dilihatnya dalam rumah Rabi’atul-adawiyyah satu balang yang pecah dan mengandungi air untuk minum dan mengambil wuduk, satu bata sebagai bantal dan tikar yang buruk sebagai alas tempat tidur.

Malik berkata, “Jika kamu izinkan, boleh aku suruh seorang kawanku yang kaya memberimu semua keperluan harian.” Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Adakah satu Tuhan yang menanggung aku, dan Tuhan lain pula menanggung kawanmu itu? Jika tidak, adakah Tuhan lupa kepadaku kerana aku miskin dan ingat kepada kawanmu itu kerana ia kaya? Sebenarnya Allah itu tidak lupa kepada siapa pun. Kita tidak perlu memberi ingat kepada Tuhan itu. Dia lebih mengetahui apa yang baik untuk kita. Dia yang memberi kurnia dan Dia juga yang menahan kurnia itu.” Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Orang yang cinta kepada Allah itu hilang dalam melihat Allah hingga kesedaran kepada yang lain lenyap darinya dan Dia tidak boleh membezakan mana sakit dan mana senang.”

Seorang Wali Allah datang dan merungut tentang dunia. Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Nampaknya kamu sangat cinta kepada dunia, kerana orang yang bercakap tentang sesuatu perkara itu tentulah dia cenderung kepada perkara tersebut.” Satu hari, Sufyan Al-Thauri pergi berjumpa Rabi’atul-adawiyyah. Rabi’atul-adawiyyah menghabiskan masa malam itu dengan sembahyang. Apabila sampai pagi, beliau berkata, “Pujian bagi Allah yang telah memberkati kita dapat sembahyang sepanjang malam. Untuk tanda kesyukuran, marilah kita puasa pula sepanjang hari ini.”

Rabi’atul-adawiyyah selalu berdoa demikian, “Tuhanku! Apa sahaja yang Engkau hendak kurnia kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa sahaja kebaikan yang Engkau hendak kurnia kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang berIman, kerana aku hanya hendakkan Engkau kerana Engkau. Biarlah aku tidak dapat Syurga atau Neraka. Aku hendak pandangan Engkau padaku sahaja.” Sufyan Al-Thauri menghabiskan masa sepanjang malam bercakap-cakap tentang ibadat kepada Allah dengan Rabi’atul-adawiyyah.

Di pagi hari Al-Thauri berkata, “Kita telah menghabiskan masa malam tadi dengan sebaik-baiknya.” Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Tidak, kita habiskan masa dengan sia- sia kerana sepanjang percakapan itu kamu berkata perkara-perkara yang memuaskan hatiku sahaja dan aku pula memikirkan perkara yang kamu sukai pula. Masa itu kita buang tanpa mengenang Allah. Adalah lebih baik jika aku duduk seorang diri dan menghabiskan masa malam itu dengan mengenang Allah.” Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Doaku padaMu ialah sepanjang hayatku berilah aku dapat mengingatMu dan apabila mati kelak berilah aku dapat memandangMu.”

IKUTLAH DISIPLIN TUHAN SEPANJANG HARI

Renungan:

*Apabila bangun tidur sahaja di waktu Subuh, mulakanlah dengan Tuhan. Ingatlah Tuhan. Dia adalah Kawan Setiamu.

*Apabila nanti kamu menyembah-Nya di dalam solatmu, engkau akan mudah mengingatinya. Engkau akan rasa puas beribadah. Kerana segala ikrar, seluruh bentuk pengaduan telah engkau panjatkan kepada-Nya.

*Selepas engkau selesai semua itu, kalau perlu makan, maka makanlah rezeki yang dianugerahkan kepadamu. Tetapi, ingatlah lebih dahulu nikmat yang di hadapanmu itu anugerah-Nya. Dan rasakan di hati bahawa kita tidak layak menerimanya. Tapi Allah Taala dengan kemurahan-Nya diberi-Nya juga, agar kita merasa malu berhadapan dengan nikmat Tuhan. Juga agar kita malu kepada-Nya kerana merasa Ia sentiasa memerhatikan kita. Kemudian mulakanlah makan dengan menyebut nama-Nya. Janganlah lupa menyebut nama-Nya lebih dahulu.

*Selepas itu berjalanlah pergi membuat kerja atau menunaikan kewajipan masing-masing. Tapi ingatlah, Tuhan hendaklah dibawa bersama. Dia adalah Kawan Setia kita.

*Di tempat kerja, jangan lupa lagi, Tuhan bersama kita. Ia memerhati dan melihat kerja-kerja kita.

*Selesai bekerja, menjelang pulang ingatlah bahawa Tuhan bersama kita. Rasa malulah, jagalah mata, jagalah telinga, Dia melihat kita. Sampai di rumah, masuklah ke rumah bersama Tuhan.

*Apabila mengerjakan sembahyang Maghrib dan Isyak, sembahyanglah puas-puas. Ertinya kita bercakap-cakap dengan Tuhan dengan sepenuh hati seperti Subuh tadi.

*Selepas itu tidurlah bersama Tuhan. Ertinya sepanjang hidup kita, kita mulakan dengan Tuhan dan kita tutuplah dengan Tuhan. Di waktu itu, kalau kita mati, di waktu mana dan bagaimana pun tidak mengapa. Kerana seluruh hidup kita telah mengikut disiplin Tuhan!

RAHMAT TUHAN

Keredhaan Tuhan itu penting. Buatlah apa saja asal mengharapkan keredhan Tuhan. Jika Tuhan sudah redha maka yang lain tidak ada nilainya. Mengharap rahmat dan keredhaan Tuhan itu penting. Lupakan saja segala amal kebaikan, sebab seorang hamba masuk ke syurga kerana rahmat Tuhan.

Bila Tuhan murka, bererti neraka. Sebab itu memohon keredhaan sangat penting, supaya kita merasa bukan kerana ibadah kita selamat tapi kerana redha Tuhan.

Di dalam Al Quran Tuhan berkata,” Yang selamat ialah hamba-hambaKu yang diikhlaskan oleh Allah”. Tuhan tidak berkata yang selamat adalah hamba-hambaKu yang ikhlas. Sebab ikhlas itu adalah rahsia dan anugerah Allah. Manusia tidak mampu untuk buat sendiri. Malaikat pun tidak tahu siapa yang ikhlas. Padahal ikhlas itu roh amal. Jika tidak ikhlas, maka tidak dianggap beramal. Sebab ikhlas itu tidak dapat dilakukan jika Tuhan tidak anugerahkan. Malaikat pun tidak tahu amalan yang dibuat itu ikhlas atau tidak. Malaikat membawa amalan sampai ke langit yang ke-7 kemudian dicampakkan semua.

Tapi dengan rahmat Tuhan, supaya kita tidak putus harapan, maka saluran rahmat Tuhan itu sangat banyak. Rahmat Tuhan itulah yang akan menyelamatkan. Sebab itu dikatakan orang yang masuk syurga itu dengan rahmat Tuhan. Kalau atas dasar amal, walaupun menggunung tidak mungkin selamat. Tuhan memberi jalan keluar, rahmatnya luas. Misalnya kita berbuat dosa itu berbahaya, tapi jika kita mengeluh dengan dosa, itu rahmat. Ertinya Tuhan berkata jangan berbuat dosa, rasanya tak mungkin, tapi bila berbuat dosa, kemudian mengeluh dengan dosa, itu rahmat.
Banyak hal yang dapat mendatangkan rahmat Tuhan, misalnya makan dengan orang soleh, ulama yang beramal, itu rahmat, menolong orang , membaca selawat, kedatangan tetamu itu pun rahmat dan penghapusan dosa. Masuk syurga atas dasar rahmat, masuk neraka kerana keadilan Tuhan. Kalau kita ingin mengharapkan amal ibadah tidak mampu untuk masuk syurga, sebab itu mesti mencari rahmat Tuhan, walaupun pekerjaan itu kelihatan kecil.

MASALAH MASYARAKAT 1: LARI DARI RUMAH

Tuhan kurniakan pada pasangan Othman dan Hawa 13 orang anak. Kehidupan keluarga sederhana ini mula dilanda keresahan kerana dua orang anak mereka melarikan diri dari rumah. Mokhtar, 13 tahun, dan Ali, 11 tahun, tidak pulang ke rumah sudah lebih setahun.

Harus juga diakui bahawa hidup di bandar besar seperti Seremban memang mencabar. Serba serbi memerlukan duit, seperti ungkapan yang biasa diluahkan oleh penduduk bandar, “Nak buang air kecil pun kena bayar 30 sen. Kalau silap buang sampah pula boleh melayang RM500 untuk bayar denda.” Cabaran kehidupan di bandar membuatkan isteri Othman terpaksa turut bekerja. Ini membuatkan sebahagian masa untuk anak-anak perlu dikorbankan.

Peluang dan ruang untuk bersama anak-anak semakin terbatas. Apa yang menghairankan, Mokhtar dan Ali meninggalkan rumah tanpa sebarang pesanan dan tanpa adanya tanda atau isyarat awal, umpamanya krisis atau kurang duit atau kena marah. Sudah berbagai usaha dilakukan untuk mengesan di mana mereka berada. Semua keluarga dan kenalan sudah dimaklumkan termasuk menggunakan khidmat bomoh.

Mengapa tidak menggunakan khidmat akhbar atau laporkan kepada pihak polis? Bukankah rugi dan mensia-siakan umur kerana dua beradik itu meninggalkan bangku sekolah? Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pasangan Othman dan Hawa lebih-lebih lagi menanggung derita di atas kehilangan dua anak mereka. Namun tetap mempertahankan keputusan tidak mahu melaporkan kepada polis dan tidak mahu menggunakan khidmat media. Alasannya ialah untuk menjaga maruah Othman selaku pemimpin masyarakat setempat, imam dan sekali sekala memberi syarahan agama. Dengan status sosial yang dimilikinya itu walaupun tidak tinggi, sudah cukup merasa aib andainya masyarakat tahu bahawa anaknya lari. Masyarakat pula lazimnya akan menokok tambah dengan cerita rekaan yang dicampur dengan berbagai prasangka negatif.

Panduan yang disarankan kepada suami isteri itu antaranya dinyatakan di bawah ini. Panduan-panduan ini adalah memang diperlukan bagi setiap hamba untuk meningkatkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Panduan-panduan ini perlu diamalkan bukan kerana hendak mencari anak lari, atau juga bukan kerana lain-lain habuan duniawi, atau bukan ketika menghadapi musibah dan kesusahan. Ianya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menjadi orang bertaqwa itulah yang lebih utama dalam apa keadaan sekalipun. Kalau pun tiada sebarang masalah, sifat-sifat taqwa itu tetap menjadi tuntutan utama dalam kehidupan manusia. Ini juga adalah sebagai iktibar, didikan dan hikmah di sebalik kehilangan anak Encik Othman dan Puan Hawa ini. Bertitik tolak dari kesedaran agar Tuhan kembalikan anak-anak, mereka memperoleh sebahagian panduan untuk menjadi orang bertaqwa.

Panduan-panduan yang diberikan ini melengkapi usahausaha lahir yang masih diteruskan.

1. Hendaklah sentiasa berbaik sangka terhadap Tuhan serta menyakini bahawa di sebalik peristiwa yang menimpa itu pasti terdapat didikan, pengajaran, iktibar dan hikmah. Ada maksud baik dari Tuhan biar pun tidak difahami.

2. Perbanyakan taubat terutamanya menghitung-hitung dosa yang lepas, terutamanya dosa dan kezaliman terhadap manusia lain. Mana tahu mungkin ada kezaliman terhadap manusia lain walau pun kecil, Tuhan pandang besar, maka Tuhan datangkan kifarahnya. Kezaliman terhadap manusia lain itu terutama terhadap kedua-dua ibu bapa dan guru. Oleh itu perlu sangat kedua suami isteri ini memohon maaf kepada sesiapa jua yang pernah dizaliminya.

3. Setiap dosa memang dituntut untuk segera bertaubat dan diiringi dengan perbuatan atau amalan menebus dosa. Amalan menebus dosa ini di antaranya berkhidmat kepada ibu bapa untuk tempoh tertentu. Zikir, selawat dan membaca Al-Quran dengan ditentukan jumlahnya serta ditetapkan jangka masa. Yang paling baik ialah membanyakkan sedekah. Di samping dapat menghiburkan manusia, sedekah juga lebih tajam (mustajab) berbanding dengan doa. Maka setiap kali bersedekah, niatkan agar Tuhan kembalikan anak mereka yang hilang itu ke pangkuan keluarga.

4. Istiqamah bangun malam untuk solat tahajjud, solat hajat, merintih, merayu, bermunajat kepada Tuhan. Memohon agar Tuhan ampunkan dosa serta bersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah.

Encik Othman dan Puan Hawa berbuat menurut panduan-panduan yang disarankan. Usaha menjejaki anak-anak yang lari itu tetap diteruskan. Hanya satu sahaja dari panduan-panduan tersebut yang mereka belum lakukan iaitu memohon maaf daripada guru. Mereka merasa sukar untuk melakukannya atas dua alasan iaitu tidak tahu apa kesalahan dan kalau tahu pun tentulah sukar pula untuk menyatakan kesalahan.

Dalam soal kesalahan kepada manusia lain, Encik Othman dan Puan Hawa sama saja dengan kefahaman dan tanggapan umumnya manusia. Kefahaman dan tanggapan yang salah iaitu apabila hanya melihat kesalahan di sudut lahiriah sahaja. Sedangkan kesalahan batiniah iaitu sifat-sifat mazmumah jauh lebih banyak dan lebih besar implikasinya.

Dosa-dosa lahir mudah dihitung kerana sifatnya yang nyata dan dapat dilihat. Manakala dosa-dosa mazmumah sifatnya tersembunyi, tidak dapat dihitung satu persatu. Kalau dosa mazmumah itu dihimpunkan semenjak baligh, mungkin sudah tidak terkira lagi banyaknya.

Akhirnya Encik Othman dan Puan Hawa akur tentang dosa mazmumah ini. Mungkin sifat buruk sangka, mungkin mempertikaikan keputusan guru, mungkin meragui akan kebenaran dan ilmu yang diberikan, mungkin iri hati terhadap murid yang kelihatan lebih disayangi oleh gurunya. Mereka akhirnya mengakui memang terdapat dosa mazmumah terhadap guru mereka.

Atas dorongan takutkan Tuhan kerana memiliki mazmumah sekaligus untuk membersihkannya, juga dengan harapan agar Tuhan gerakkan hati anak-anak mereka supaya pulang, mereka tekad untuk menghadap guru mereka untuk memohon maaf.

Di sinilah terbukti betapa perlu kenal Tuhan serta faham kerja Tuhan. Betapa perlunya dalam setiap aspek kehidupan bersandar kepada Tuhan, tidak meminggir dan mengabaikan Tuhan. Kerja Tuhan sentiasa aneh, ajaib dan di luar lojik, sentiasa berlaku tidak seperti yang akal manusia fikirkan.

Selang dua hari sahaja selepas suami isteri ini memohon maaf kepada gurunya, mereka dikejutkan oleh panggilan telefon dari sebuah hospital di Kuala Lumpur. Pihak berkenaan di hospital tersebut memaklumkan bahawa dua orang anak mereka ingin menemui mereka. Hari itu juga mereka bergegas ke Kuala Lumpur. Alangkah gembira bercampur sedih apabila mereka menemui anak-anak mereka di wad hospital. Gembira kerana Tuhan kembalikan anak-anak ke pangkuan keluarga. Sedih kerana anak-anak mereka dalam keadaan kurang sihat. Lebih-lebih lagi sedih kerana anak-anak mereka lari lantaran selama ini mereka terlalu lalai dengan Tuhan, bahkan dalam kebanyakan masa sudah tidak lagi ada hubung kait dengan Tuhan. Dunia hanya semata-mata duniawi yang tidak lagi menjadi ibadah, jauh sekali daripada menambah sifat taqwa. Selama ini `lari`nya hati mereka dari Tuhan dan juga dari guru mereka, Tuhan jadikan anak mereka benar-benar lari dari rumah. Tuhan kembalikan anak-anak mereka setelah hati mereka `jinak` dengan Tuhan dan membaiki hubungan hati dengan guru mereka.

MENANG DENGAN AKHLAK

Imam Abu Hanifah,salah seorang daripada empat Imam Mazhab,adalah seorang yang sangat sabar dan baik hati.

Pernah suatu ketika beliau sedang mengajar murid-muridnya di masjid,datang seorang lelaki mencercanya dengan kata-kata yang kesat.

Namun Imam Abu Hanifah tidak mempedulikannya,apatah lagi untuk membalas cercaan-cercaan itu.Oleh kerana orang itu tidak henti-henti mencerca,maka murid-muridnya pun meminta Imam Abu hanifah hentikan sahaja pengajarannya untuk disambung pada hari yang lain.Imam Abu hanifah bersetuju lalu bangkit dan berjalan pulang.

Lelaki itu terus mengikutinya sambil mencerca Imam Abu Hanifah yang tidak berkata apa-apa.Setelah sampai di rumahnya,Imam Abu Hanifah yang terkenal dengan kesabarannya pun berpaling ke arah pemuda itu dan berkata: ” Saudara,inilah rumah saya.Kalau masih ada lagi yang terbuku di hati saudara,datanglah dan keluarkanlah semuanya agar saudara merasa puas dan tidak lagi menaruh dendam terhadap saya.”

Lelaki itu merasa malu lalu beredar dari situ tanpa apa-apa bicara lagi.