This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Friday, July 17, 2009

Kuliah Solat 5:Mengapa Ibadah Solat/Sembahyang Tidak Membangunkan Insan?

Pada hari ini mengapa umat Islam tidak menjadi satu bangsa yang berdisiplin, yang berpadu, yang bersih daripada maksiat dan kemungkaran, yang tinggi akhlaknya, kukuh imannya, kemas syariatnya, tinggi tamadunnya dan unggul kebudayaannya? Mengapa dan kenapa sembahyang mereka tidak dapat mendidik mereka lagi? Apakah mereka sudah meninggalkan sembahyang? Atau mereka masih bersembahyang tapi sembahyang mereka sudah tidak sempurna, tidak seperti di zaman salafussoleh? Atau apakah yang sudah tidak kena lagi dengan sembahyang mereka?
Untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan itu, mari kita senaraikan peringkat-peringkat orang yang ada hubung kait dengan perintah sembahyang yang agung, yang merupakan ibu segala ibadah di dalam Islam. Dengan mengenal kategori atau golongan umat Islam yang ada hubung kait dengan sembahyang itu dengan sendirinya akan terjawab mengapa ibadah sembahyang tidak dapat membangunkan umat Islam menjadi satu bangsa yang kuat dan agung, insya-Allah. Antaranya:
1. Sudah ramai di kalangan umat Islam yang sudah tidak bersembahyang. Bahkan ramai yang sudah tidak tahu bersembahyang. Golongan ini berdasarkan sebuah Hadis, mereka sudah menjadi kufur.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Barang siapa yang meninggalkan sembahyangdengan sengaja maka kafirlah dia secara terangterangan.” (Riwayat Ahmad)

2. Ada di kalangan umat Islam mengerjakan ibadah sembahyang secara jahil. Bacaannya tidak betul. Mereka tidak kenal syarat rukun sembahyang, sah batalnya, cara-cara bersuci sebelum mengerjakan sembahyang. Maka golongan ini tertolak ibadahnya dan berada di dalam dosa dan derhaka.

3. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang, faham tentang ilmu sembahyang tetapi oleh kerana tidak boleh melawan nafsu, godaan dunia atau tarikan dunia terlalu kuat, maka mereka mengerjakan sembahyang tidak istiqamah. Kadang-kadang sembahyang, kadang-kadang tidak. Waktu sempat, buat. Bila sibuk, tidak buat. Bila ada mood, sembahyang. Bila tidak ada mood, meninggalkan sembahyang. Inilah golongan fasik.

4. Ada golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang, walaupun ilmunya tepat, tapi waktu mengerjakan sembahyang tidak khusyuk. Fikirannya tidak sepenuhnya dengan sembahyang
atau terus-menerus mengingat perkara-perkara lain. Fikiran dan jiwanya selalu sahaja melayang-layang dan mengembara ke alam kehidupan sehari-hari. Macam-macam perkara terlintas di dalam sembahyang. Itulah golongan yang lalai.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Allah tidak akan menundukkan pandangan- Nya kepada orang yang hatinya tidak hadir dalam solat bersama-sama badannya.”

5. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang sentiasa tarik tali di antara mengingati bacaan sembahyang dengan tidak. Bila lalai dibetulkannya semula. Kadang-kadang ingat, kadang-kadang lalai. Ingat dengan lalai sentiasa silih berganti. Mereka tidak mahu begitu tapi terjadi juga. Golongan ini adalah golongan yang lemah. Golongan ini terpulanglah kepada Allah Taala. Moga-moga yang sedarnya dikira, yang tidak sedarnya tidak dikira.

6. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang bertepatan dengan ilmunya kemudian dapat menyorot dan menumpukan bacaannya di setiap perkataan dan lafaz yang diucapkan. Oleh yang demikian fikirannya tidaklah melilaulilau atau teringat-ingat perkara-perkara yang lain selain
daripada perkara-perkara yang ada hubung kait dengan sembahyang tapi tidak pula dapat memahami setiap perkataan atau lafaz yang diucapkan. Inilah golongan awamul muslimin.

7. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang selain ilmunya tepat, dapat pula menyorot dan mengikuti maknamakna setiap perkataan atau lafaz yang diucapkan atau dibacanya di dalam sembahyang. Setiap bacaannya dapat difahami. Oleh yang demikian mereka dapat membuat penumpuan di dalam sembahyang hingga tidak teringat lagi perkara di luar sembahyang. Inilah golongan orang-orang yang soleh.

8. Golongan ini sama seperti golongan yang ketujuh tadi, tapi kelebihannya mereka dapat menghayati dan menjiwai setiap makna atau pengertian pada setiap perkataan atau lafaz yang dibacanya. Dengan perkataan yang lain, setiap perkataan yang dibacanya, yang difahaminya, dapat difikirkan dan dijiwai oleh hatinya. Inilah golongan muqarrobin.

9. Golongan ini selain daripada dapat memahami setiap yang dibaca di dalam sembahyang, setiap yang dapat difahaminya itu dapat difikirkan dan dijiwainya sungguh-sungguh hingga asyik, tenggelam dan mabuk dengan Tuhan, sama ada mabuk takut atau mabuk rindu hingga alam sekelilingnya dan dirinya tidak disedarinya lagi. Itulah golongan siddiqin.

Setelah kita mengkaji, menganalisa peringkat orang yang mengerjakan ibadah sembahyang atau yang ada hubung kait dengan sembahyang, bahawa sembahyang yang boleh membangunkan
iman, kesedaran bertuhan, penguat jiwa, membersihkan diri lahir dan batin daripada kejahatan dan dosa, yang boleh melahirkan disiplin diri di dalam kehidupan, yang boleh membangunkan akhlak yang tinggi, yang boleh bersatu padu, berkasih sayang, yang dapat melahirkan perasaan kehambaan yang tinggi dan boleh melahirkan manusia yang agung ialah tiga golongan sahaja. Iaitu golongan yang ketujuh, kelapan dan kesembilan.
Golongan yang lain itu sebahagiannya tidak sah sembahyangnya, sebahagian lalai di dalam sembahyang dan sebahagian lagi pula walaupun sembahyangnya sah dan di dalam sembahyang tidak mengingatkan perkara yang lain, namun tidak faham tentang sembahyang terutama apa yang dibaca, jauh sekalilah untuk dihayati. Sudah tentulah sembahyangnya tidak memberi kesan kepada peribadi masing-masing. Sembahyangnya tidak akan dapat mendidik mereka, sembahyangnya tidak akan menjadi benteng daripada maksiat dan kemungkaran, sembahyangnya tidak dapat meneguhkan iman dan seterusnya sembahyang tidak akan dapat melahirkan jiwa tauhid dan rasa bertuhan.
Golongan yang sembahyangnya tidak boleh mendidik dan mencegah daripada maksiat dan kemungkaran, ada keterangan di dalam kitab berdasarkan Hadis:

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Barangsiapa sembahyangnya tidak dapat mencegahnya daripada maksiat dan kemungkaran, tiada bertambah apa-apa daripada Allah Taala melainkan jauh daripada Tuhan.” (Riwayat Tabrani dan Ibnu Mardawih)

Sembahyang yang di antara tujuannya ialah hendak mendekatkan seseorang hamba itu kepada Allah Taala tapi berlaku sebaliknya iaitu jauh daripada Allah Taala. Wal‘iyazubillah

Kuliah Solat 4: Peranan Solat/Sembahyang

Setelah kita mengkaji, menganalisa di sudut ilmu yang ada hubungan dengan sembahyang, sama ada di segi lahir mahupun di segi batin, yang ada kaitannya dengan jasmani, mahupun maknawi dan rohani, zikir, doa dan lain-lain lagi, setakat atas dasar ilmu sahaja pun terasa benar bahawa sembahyang itu benar-benar agung, hebat dan unik. Itu belum lagi sesiapa yang Allah Taala anugerahkan dia dapat benar-benar hayati sembahyang itu. Jika sembahyang itu dapat dijiwai, kita akan merasa didikan dan hikmah sembahyang memenuhi hati, mendapat ilmu di dalam sembahyang, seluruh bacaan sembahyang itu membangunkan jiwa dan mental serta kita bermusafir dalam sembahyang itu, lebih-lebih lagilah kita akan terasa benar bahawa sembahyang itu sungguh agung. Maka daripada keagungan sembahyang yang dapat dihayati itulah akan melahirkan hamba-hamba Allah seperti berikut:

1. Akan melahirkan peribadi yang kuat keyakinan dan agung.

2. Akan melahirkan peribadi yang kuat imannya.

3. Akan melahirkan peribadi yang kuat dan agung akhlaknya.

4. Akan melahirkan peribadi yang berdisiplin hidupnya.

5. Akan melahirkan hamba Allah yang bersih jiwanya daripada mazmumah.

6. Akan melahirkan hamba Allah yang bersih lahirnya daripada maksiat dan kemungkaran kecuali terlalu sedikit.

7. Akan melahirkan peribadi yang kuat syariatnya.

Gabungan individu-individu ini akan lahirlah satu bangsa yang agung. Agung keyakinannya, agung imannya, agung akhlaknya, agung disiplinnya, bersih kehidupan mereka daripada maksiat dan mungkar, agung perpaduannya dan agung kebudayaannya. Dan Allah Taala akan jadikan bangsa-bangsa lain untuk tunduk kepada keagungannya kerana bangsa yang agung ini telah dinaungi oleh Allah Taala yang Maha Agung, kesan daripada didikan sembahyang yang agung itu. Begitulah peranan sembahyang.

Kuliah Solat 3: Keagungan Solat

Dalam Islam, solat atau sembahyang adalah amalan yang paling besar dan agung selepas iman. Tiada amalan yang lebih besar selepas iman yang boleh menandingi sembahyang. Kerana itulah di dalam Islam sembahyang adalah menjadi tiang agama Islam. Tapaknya atau foundationnya adalah iman.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Pangkal segala hal ialah Islam. Sedang tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah berjuang di jalan Allah.” (Riwayat Tarmizi)

Kebesaran dan keagungan sembahyang itu boleh dilihat dan dirasakan melalui ilmu pengetahuan berdasarkan beberapa aspek seperti di bawah ini:

1. Ia merupakan ibu segala ibadah dalam Islam.

2. Ia adalah merupakan tiang seri agama Islam.

3. Ia diperintah oleh Allah Taala dengan cara Allah Taala memanggil Rasulullah SAW mengadap-Nya waktu Israk dan Mikraj, tidak seperti amalan-amalan yang lain hanya diwahyukan oleh Allah Taala kepada Rasulullah SAW melalui malaikat Jibril a.s.

4. Siapa yang meninggalkan sembahyang menjadi kafir berdasarkan Hadis. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja maka kafirlah dia secara terangterangan.” (Riwayat Ahmad)

5. Sembahyang, seluruh anggota terlibat. Perbuatan (fizikal), perkataan atau bacaan (lisan) dan hati atau roh serta akal kerana memahami.

6. Mengerjakannya disyaratkan suci lahir dan batin, daripada hadas besar dan hadas kecil, najis ain dan najis hukmi.

7. Kena mengadap kiblat. Ertinya merupakan lambang perpaduan umat Islam.

8. Terikat dengan waktu.

9. Digalakkan berjemaah.

10. Berbagai-bagai amalan malaikat ada di dalam sembahyang, kerana malaikat itu ibadahnya hanya satu-satu perkara sahaja. Seperti ada yang bertasbih sahaja sejak diperintahkan hinggalah hari Qiamat, yang bertakbir sahaja, yang bertahmid sahaja, ada yang rukuk sahaja, ada yang berdiri sahaja, ada yang sujud sahaja, begitulah seterusnya.

11. Berbagai-bagai bentuk zikir ada di dalam sembahyang. Ada berdiri, ada rukuk, ada sujud, ada duduk di antara dua sujud, ada tasbih, ada tahmid, ada takbir, ada munajat, ada berbagai-bagai bentuk doa, ada zikir, ada selawat, ada fizikal, ada akal, ada rohani, ada material, ada maknawi.

12. Ia merupakan ibadah yang terikat dengan disiplin yang tertentu, cara-cara yang tertentu.

13. Amalan sembahyang itu adalah merupakan intipati dan intisari ajaran Islam. Di dalamnya ada akidah, ada ibadah, ada taharah, ada masyarakat, ada perpaduan, ada disiplin, ada pemimpin, ada yang dipimpin (politik), ada pendidikan, ada syariat, ada tasawuf, ada akhlak, ada kebudayaan, ada ekonomi dan ada psikologi. Ertinya sembahyang menggambarkan keseluruhan ajaran Islam secara ijmali.

14. Ia merupakan cara peribadahan atau penyembahan yang paling lengkap kerana segala bentuk ibadah dan zikir para malaikat wujud dalam sembahyang.

15. Ia merupakan zikir yang paling besar kerana seluruh bentuk zikir ada di dalam sembahyang.

16. Ia merupakan peribadahan yang melibatkan semua anggota lahir dan batin. Ada yang bersifat fizikal dan ada yang bersifat maknawi atau rohani.

17. Di dalam sembahyang ada seluruh bentuk doa. Ertinya berbagai-bagai permintaan ada di dalam sembahyang.

18. Berbagai-bagai amalan para rasul wujud di dalam sembahyang.

19. Sembahyang merupakan mikraj orang mukmin.

20. Pada sembahyang ada latihan jasmani, ada latihan mental dan ada latihan rohani.

21. Sembahyang ada simbol-simbol merendah diri, ketaatan, kepatuhan dan simbol berdirinya manusia di Padang Mahsyar seolah-olah berhadapan dengan Tuhan menunggu perintah-Nya.

22. Sembahyang merupakan pembaharuan ikrar manusia kepada Tuhan, sehari semalam lima kali.

23. Sembahyang merupakan pembaharuan syahadah dan iman dengan Tuhan.

24. Sembahyang merupakan pembersihan jiwa dan dosa

Thursday, July 16, 2009

Kuliah Solat 2:Mengapa kita Diperintahkan Mendirikan Solat

Kita diperintahkan mengerjakan sembahyang dengan tujuan hendak melahirkan berbagai-bagai perasaan kehambaan; kerana kita adalah hamba; seperti rasa hina, takut, malu,
gementar, rendah diri, harap, bimbang. Agar daripada lahirnya pelbagai perasaan kehambaan itu, terbakarlah, musnahlah atau hilanglah sifat-sifat mazmumah yang sangat merosakkan kehidupan manusia. Sifat-sifat itu ia sangat rosak dan merosakkan, mudarat dan memudaratkan. Seperti sifat-sifat sombong, hasad dengki, tamak, pemarah, bakhil, ujub, jahat sangka, berdendam, memfitnah, mengadu domba, mengumpat dan menghina. Dengan kata-kata yang lain, sembahyang yang dapat dihayati dapat membakar dan memusnahkan sifat-sifat mazmumah yang sangat meracun kehidupan bermasyarakat di kalangan manusia. Oleh itu jika di dalam ibadah sembahyang tidak dapat melahirkan rasa kehambaan kepada Tuhan maka di luar sembahyang mustahil dapat merasakan sifat-sifat kehambaan seperti yang kita sebutkan di atas. Apabila sifat-sifat kehambaan atau rasa-rasa kehambaan tidak wujud di dalam hati manusia maka yang akan mengisi hati manusia atau jiwa manusia ialah sifat-sifat mazmumah seperti sombong, pemarah, hasad, tamak, bakhil, keras hati, dendam, riyak dan lain-lain lagi.

Penyakit-penyakit jiwa itulah atau sifat mazmumah itulah yang menjadikan manusia berkrisis, bergaduh, bertengkar, jatuhmenjatuhkan, bunuh-membunuh dan berperangan. Justeru itu
rosaklah kehidupan manusia, binasalah dunia, hilang kasih sayang, rosak perpaduan, hilanglah kebahagiaan dan keharmonian. Maka terseksa hidup manusia.

Kuliah Solat 1:Bukan Agama Kalau Tidak Ada Upacara Penyembahan

Setiap agama sama ada yang hak mahupun yang batil, mesti ada cara penyembahan dan upacara penyembahan, atau ada sistem peribadahan yang khusus. Cara penyembahan itu atau cara peribadahan itu pula ada yang menjadi pokok dan ada yang menjadi tambahan. Dalam Islam, ibadah tambahan itu dinamakan fadhoilula’mal atau amalan yang disunatkan. Kalau sesuatu ajaran itu tidak ada cara dan upacara peribadahan atau penyembahan, ia tidak dinamakan agama atau bukan agama namanya. Adapun agama, ia mesti ada hubung kait dengan Tuhan, sama ada Tuhan yang sebenarnya mahupun Tuhan yang palsu atau yang dikhayalkan. Sesuatu ajaran yang tidak ada penyembahan atau upacara peribadahan, ia dinamakan ideologi atau isme. Ideologi atau isme tidak ada hubung kait dengan Tuhan. Justeru itulah tidak ada penyembahan dan peribadahan di dalam ajaran ideologi. Ideologi atau isme, orang panggil atau namakan ajaran politik, bukan ajaran agama. Kerana itulah orang politik atau penganut-penganut ideologi atau isme, biasanya ada pegangan agamanya untuk mengisi kekosongan jiwa mereka sama ada agama yang hak mahupun agama yang batil; kecuali orang yang berfahaman komunis, kerana di dalam ajaran ideologinya tidak ada penyembahan kepada Tuhan.

Dalam ajaran Islam, upacara ibadah yang pertama dan utama disebut ‘as-Solah’ atau di dalam Bahasa Melayu ialah sembahyang. Di dalam Islam, sembahyang merupakan tiang agama. Ia wajib dilakukan lima kali di dalam sehari semalami. Solat di dalam Islam merupakan ibu segala ibadah yang ada di dalam ajaran Islam dan juga ia merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Bahkan ia adalah sebagai tiang serinya. Dalam ajaran Islam, sesiapa yang meninggalkan ibadah yang pertama dan utama ini, yang menjadi tiang seri agama Islam, maka seluruh amalannya yang lain tertolak atau tidak diterima. Rugi sungguhlah orang yang meninggalkan sembahyang lima waktu.

Tuesday, July 14, 2009

APAKAH PERKARA YANG SUDAH HILANG DARI UMAT ISLAM?

Perkara yang sudah hilang dari milik kaum muslimin atau umat Islam secara umum amat banyak sekali. Sama ada kita sedari atau tidak. Tapi yang kita dengar selama ini, kerana sering diperkatakan, selalu saja disebut oleh para pemimpin, ulama, pendakwah, penceramah, para pejuang Islam, ialah ilmu pengetahuan. Hingga hampir semua umat tahu. Bahkan mengakui bahawa umat Islam telah kehilangan ilmu pengetahuan, yang mana satu ketika dahulu umat Islam membawa ilmu dan menguasainya di dalam berbagai-bagai bidang. Umat Islam pernah menguasai ilmu falsafah, sains, kedoktoran, ilmu falak, geografi, sejarah, matematik, selain daripada menguasai ilmu yang bersumberkan Al Quran dan Hadis. Lahirlah pakar-pakar tauhid, pakar feqah, pakar tasawuf, pakar tafsir, pakar Hadis, pakar sejarah dan lain-lain.
Di waktu itu umat Islam menjadi mahaguru dan tempat rujuk di berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan seluruh bangsa di dunia, bahkan bangsa-bangsa Eropah pun berdatangan ke negara umat Islam kerana mempelajari ilmu pengetahuan di pelbagai bidang. Ilmu yang dimiliki dan dikembangkan dan dikuasai oleh orang-orang Barat dan Amerika sekarang ini, asalnya adalah warisan daripada ilmu yang pernah dimiliki oleh umat Islam. Kemudian mereka memperdalaminya, memperluas dan mengembangkannya hingga mereka telah menjadi mahaguru kepada bangsa-bangsa di dunia. Termasuklah umat Islam, terpaksa belajar semula dengan mereka. Jadi kehilangan ilmu pengetahuan daripada umat Islam memang rata-rata umat Islam mengetahuinya dan mengakuinya kerana ia sering disebut-sebut di dalam ucapan dan tulisan. Perlu diingatkan bahawa apakah ilmu sahaja yang hilang dari umat Islam? Apakah tidak ada perkara-perkara lain yang hilang daripada umat Islam? Perkara-perkara yang perlu bahkan sesetengahnya wajib kita mencarinya?

Yang sebenarnya banyak perkara yang telah hilang daripada umat Islam. Sebahagian daripadanya wajib kita mendapatkannya semula. Kerana ia perkara yang amat berharga. Demi keselamatan kita di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat. Secara umum, perkara-perkara yang telah hilang daripada umat Islam itu boleh dibahagi kepada dua kategori:
Pertama:Kehilangan secara khusus
Kedua: Kehilangan secara umum

KEHILANGAN SECARA KHUSUS
Perkara-perkara yang hilang dari umat Islam secara khusus, antaranya ialah:
1. Hilangnya keadilan dari pemimpin atau pemerintah dan juga kasih sayangnya.
2. Hilangnya sifat berani daripada para alim ulama juga kasih sayang dan nasihat-nasihatnya serta sifat zuhudnya.
3. Hilangnya sifat malu daripada kaum wanita.
4. Hilangnya sifat sabar daripada fakir miskin.
5. Hilangnya sifat pemurah daripada orang kaya.
6. Hilangnya sifat tawadhuk daripada golongan atasan.
7. Hilangnya ilmu pengetahuan daripada ahli ibadah.
8. Hilangnya sifat lemah lembut dan kebijaksanaan daripada para pejuang Islam.
9. Hilangnya sifat bijaksana dan lemah lembut daripada para pendakwah.
10. Hilangnya rasa khusyuk daripada orang yang bersembahyang.
11. Hilangnya sifat amanah daripada orang yang diberi tanggungjawab.

KEHILANGAN SECARA UMUM
Perkara-perkara yang hilang daripada umat Islam secara umum, antaranya ialah:
1. Hilangnya ilmu pengetahuan.
2. Hilangnya kepimpinan bertaraf empayar atau sejagat.
3. Hilangnya akhlak dan budi pekerti yang mulia.
4. Hilangnya ukhwah dan kasih sayang.
5. Hilangnya rasa sifat cemburu terhadap agama dan terhadap kaum wanitanya.
6. Hilangnya perpaduan dan kesatuan umat Islam.
7. Hilangnya rasa bertuhan atau rasa tauhid.
8. Hilangnya rasa cinta kepada Akhirat.
9. Hilangnya rasa takut dengan Tuhan atau dengan dosa.
10. Hilangnya rasa tawakal.
11. Hilangnya rasa qanaah.
12. Hilangnya sifat redha.
13. Hilangnya sifat sabar.
14. Hilangnya sifat bertolak ansur.
15. Hilangnya persahabatan di kalangan kaum muslimin.
16. Hilangnya sifat taat dan setia daripada pengikut terhadap pemimpin.
17. Kehilangan tamadun Islam.
18. Kehilangan undang-undang dan perlembagaan Islam.

Inilah dia secara rambang apa yang telah hilang daripada umat Islam sama ada yang bersifat khusus mahupun bersifat umum. Kalau begitu keadaannya, ertinya umat Islam itu secara umum telah menjadi miskin di dalam semua hal. Miskin di segi material, miskin dari segi moral, miskin bersifat dunia mahupun miskin bersifat Akhirat. Miskin yang bersifat maddi mahupun miskin yang bersifat maknawi dan rohani.

Oleh itu kalau kita ingin mengembalikan sesuatu yang hilang dari umat Islam agar mereka memilikinya semula, ini memerlukan satu perjuangan yang bukan main-main. Memerlukan satu
perjuangan yang gigih. Memerlukan pengorbanan apa sahaja. Memerlukan satu perjuangan yang tersusun dan berdisiplin. Memerlukan pemimpin yang boleh menjadi contoh terutama ketaqwaan dan ilmu serta kepimpinannya. Memerlukan ketaatan dan kesetiaan para pengikut. Memerlukan perjuangan yang terus-menerus tanpa henti-henti. Memerlukan kebijaksanaan. Memerlukan role model di kalangan para pejuang dan pemimpin-pemimpinnya.
Pada hari ini, oleh kerana umat Islam memandang serius bahawa yang hilang itu adalah ilmu pengetahuan, nampaknya di dalam memperjuangkan ilmu pengetahuan kelihatan ada kesungguhan walaupun belum sampai ke matlamatnya. Namun sedihnya dan amat malang sekali perkara-perkara yang lain selain ilmu pengetahuan tidak dirasakan hilang atau mungkin terasa juga kehilangannya tapi tidak dianggap penting seperti pentingnya ilmu pengetahuan. Maka usaha dan perjuangan untuk mengembalikan perkara-perkara itu kurang diambil perhatian atau tidak begitu serius memperjuangkannya. Lantaran itu kehilangan perkara-perkara yang lain selain ilmu pengetahuan rasa amat payah untuk dikembalikan atau amat payah hendak dicari semula. Bahkan sebahagian umat Islam tidak mengambil pusing langsung mengenai akhlak, ukhwah dan lainlain. Umat Islam sudah tidak terasa lagi kehilangan iman, kehilangan akhlak, kehilangan sifat pemurah, kehilangan sifat sabar, kehilangan sifat redha, kehilangan kesatuan dan perpaduan, kehilangan sifat bertolak ansur dan lain-lain lagi.

Sebagai contoh:
Seorang ibu atau bapa atau guru, apabila seseorang anak atau murid tidak lulus di dalam peperiksaan, mereka marah, susah hati, risau. Kemudian guru itu atau ibu bapa akan memberi berbagai-bagai nasihat, berbagai-bagai cara dan tekanan dilakukan agar murid atau anak itu lulus pada masa yang akan datang. Guru atau ibu bapa bising sungguh dengan pelajar atau anak yang tidak lulus tadi. Tapi kalau dia tidak bersembahyang atau tidak berakhlak, guru atau ibu bapa tidak pula rasa susah hati. Tidak pula bising, tidak pula memberi nasihat, memberi ingatan serta memberi berbagai-bagai cara dan tekanan agar dia bersembahyang atau berakhlak. Kalaupun guru atau ibu bapa tidak senang tapi rasa tidak senang itu tidak serius, tidak begitu menekan perasaan. Begitulah seterusnya golongan-golongan lain. Tapi kalau ilmu pengetahuan, semua golongan mengambil berat. Semua golongan membising-bisingkannya. Semua golongan mengambil tahu. Semua golongan mengambil perhatian. Kalau mundur, semua golongan susah hati. Kalau berjaya atau cemerlang, semua golongan suka atau gembira. Mengapa terjadi demikian? Ini kerana ilmu yang dikejar itu, mereka hendak jadikan alat untuk mendapatkan keuntungan dunia. Tapi sembahyang, akhlak, iman, taqwa, mereka fikir tidak ada hubungan dengan kepentingan atau keuntungan dunia. Kalau begitu, cuba gambarkan betapa sulitnya kita hendak mengembalikan sesuatu yang hilang selain daripada ilmu pengetahuan. Umat Islam memandang kehilangan itu semua tidak merugikan. Kalau dapat pun mereka menganggap tidak menguntungkan apa-apa. Begitulah rosaknya jiwa dan cara berfikir umat Islam pada hari ini. Padahal kekuatan umat Islam, survivalnya, kemerdekaannya, kedaulatannya, kemajuannya, kejayaannya, kebahagiaannya, keharmoniannya, bukan ditentukan oleh faktor ilmu sematamata. Tapi ditentukan oleh semua faktor tadi. Oleh yang demikian, kita umat Islam wajib berusaha dan berjuang untuk mengembalikan semua yang hilang itu agar menjadi milik kita semula. Di sanalah semuanya kemuliaan kita.

PERINGKAT-PERINGKAT MANUSIA MENCARI HARTA DUNIA

Seperti artikel sebelum ini, bahawa dunia ini adalah jambatan bagi akhirat atau ladang bagi akhirat. Manusia yang berjiwa akan bersungguh-sungguh mengusahakan ladang tersebut agar hasilnya akan dapat dituai di akhirat nanti. Namun terdapat manusia yang terlupa atau lalai dalam usaha mereka. Dalam mencari atau mengusahakan ladang dunia ini, terbahagilahlah manusia-manusia kepada 14 golongan.

1. Golongan yang sesat
Golongan yang hanya percayakan kehidupan dunia sematamata, tidak ada kehidupan yang kedua atau kehidupan hari Akhirat. Kalaupun mereka percaya adanya kehidupan Akhirat, tapi mereka menganggap bahawa kesenangan dan kesusahan kehidupan di dunia ini yang menentukan kesenangan dan kesusahan di Akhirat. Oleh itu mereka burulah kesenangan dan
kekayaan dunia tanpa batas. Mereka hanya memikirkan makan, minum dan seks. Mereka
tidak akan memikirkan halal dan haram sama ada mencarinya mahupun menggunakannya. Halal dan haram tidak ada di dalam kamus hidup mereka. Mereka benar-benar tenggelam di
dalam memburu dunia semata-mata iaitu makan, minum dan seks. Mereka itu ialah golongan seperti yang Allah firmankan melalui Al Quran iaitu seperti binatang bahkan ada yang lebih sesat lagi iaitu golongan orang kafir.

2. Golongan yang bakhil
Golongan yang merebut harta dengan tamak tapi masih menjaga tentang halal dan haram, zakat dikeluarkan, masih menjaga perkara-perkara yang asas, namun tidak sanggup dibelanjakan ke jalan Allah Taala. Tapi dibelanjakan ke jalan haram pun tidak juga, sekadar untuk kepentingan sendiri dan suka menyimpan. Itulah golongan muslim yang bakhil.

3. Golongan yang tamak
Golongan yang merebut dunia yang masih menjaga usahanya itu daripada yang haram, zakat tetap dikeluarkan, tetapi apa yang didapati tidak puas-puas kerana ingin kaya hingga cuai melaksanakan amalan yang asas di samping tidak dikorban ke jalan Allah Taala. Ini golongan yang tamak.

4. Golongan yang lalai
Golongan yang memburu harta namun tetap menjaga amalan yang asas dan usahanya juga halal tapi tidak mengeluarkan zakat dan tidak dikorbankan hartanya ke jalan Allah. Itulah golongan
muslim yang tertipu atau lalai.

5. Golongan yang bersyukur
Golongan yang bersungguh-sungguh mencari kekayaan tapi dengan tujuan untuk khidmat. Semua hal dijaga, ibadahnya yang asas dijaga, usahanya halal, zakat dikeluarkan, dikorbankan ke jalan Allah, pemurah kepada fakir miskin. Inilah golongan yang bersyukur dan pemurah tapi hisabnya banyak.

6. Golongan orang soleh
Golongan mencari harta sekadar untuk hidup dan boleh beribadah kepada Allah, tidak mahu mencari harta yang banyak takut tidak dapat menunaikan kewajipan dan takut lalai daripada Allah dan mereka pemurah pula, usahanya sangat dijaga daripada haram dan syubhat. Itulah golongan orang yang soleh dan pemurah.

7. Golongan pemalas
Golongan yang tidak suka bersusah-susah dengan harta dunia tapi bukan pula kerana takut lalai, tidak juga kerana takut tidak dapat menunaikan kewajipan. Kalau tidak ada dia memintaminta tapi tidak pula dia mencuri, menipu dan sebagainya.Ibadah tetap dilaksanakannya. Itulah golongan muslim yang pemalas.

8. Golongan siddiqin
Golongan yang tidak ada usaha langsung kerana menumpukan semata-mata untuk ibadah kepada Allah dan tidak pula meminta-minta. Tentang rezekinya diserah bulat-bulat kepada
Allah. Bahkan ada kalanya orang memberi pun dia menolaknya. Itulah golongan siddiqin.

9. Golongan fasik
Golongan yang tidak suka bersusah payah mencari rezeki, bila tidak ada dia meminta, menumpukan ibadah tidak juga. Inilah golongan yang fasik yang pemalas.

10. Golongan yang sentiasa lalai
Di dalam pada itu ada golongan yang memburu harta, kalau dapat dia lalai, kalau tidak dapat pun dia lalai.

11. Golongan yang lalai bila kaya
Ada golongan jika dapat menjadi kaya dia lalai tapi jika tidak dapat dia tidak lalai.

12. Golongan yang lalai bila miskin
Ada golongan yang apabila dia tidak dapat dia lalai, bila dapat dia tidak lalai.

13. Golongan yang tidak lalai apabila hidup sederhana
Ada golongan jika dia kaya dia lalai dan kalau miskin pun dia lalai tapi bila pendapatannya sederhana dia tidak lalai.

14. Golongan yang tidak lalai dalam suasana apa sekalipun
Ada golongan di dalam suasana apa dan bagaimana sekalipun dia tetap boleh mengabdikan dirinya kepada Allah dan mereka tetap tidak dilalaikan oleh kehidupan dunia. Golongan itulah yang menjadikan dunia sebagai jambatan ke Akhirat.