Orang yang kemas dan kuat syariat lahir pun masih belum dapat melaksanakan amalan batin (syariat batin) secara “istiqamah” dan sungguh-sungguh, apa lagi orang yang amalan lahirnya diabaikan langsung, lagi susahlah dia mendapatkan amalan batin. Kalau diumpamakan syariat itu pokok, maka amalan batin ialah buahnya. Orang yang sudah ada pokok pun belum tentu memperolehi buahnya (dan kalau dapat pun belum tentu sedap buahnya), apa lagi orang yang langsung tidak tanam pokok. Begitulah bandingannya orang yang tidak bersyariat. Susah sekalilah baginya untuk merasakan hakikat. Kalau lahirpun dia tidak dapat tunduk pada Allah, tentu batinnya lagi susah untuk diserahkan pada Allah.
Di antara tanda susahnya mendapat hakikat (amalan batin) ialah:
1. Ketika kita sembahyang, lahirnya kita berdiri, rukuk dan sujud dengan mulut terkumat-kamit memuji dan berdoa pada Allah, tetapi hati kita (ingatan dan fikiran) di mana? Adakah juga mengadap Allah, khusyuk dan tawadhuk serta rasa rendah dan hina diri dengan penuh pengabdian dan harapan serta malu dan takut pada Allah SWT? Ataukah hati terbang menerawang ke merata-rata tempat dengan membelakangkan Allah Yang Maha Perkasa yang sedang disembah? Begitu juga ketika sedang membaca Al Quran, bertahlil, zikir dan wirid, berselawat dan bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Adakah roh kita turut menghayatinya? Atau waktu itu ia sedang merasakan satu perasaan yang tidak ada sangkut paut dengan amalan lahir yang sedang dilakukan?
2 . Pernahkah kita rasa indah dapat bersendirian di tempat sunyi kerana mengingati Allah dan menumpukan perhatian sepenuhnya pada-Nya, merasa rendah dan hina diri, menyesali dosa dan kelalaian, mengingatinya sambil berazam untuk membanyakkan amal bakti pada-Nya?
3. Kalau ada orang Islam yang sakit menderita atau miskin, adakah hati kita rasa belas kasihan untuk membantu atau tolong doakan dari jauh agar dia selamat?
4. Pernahkah pula kita menghitung dosa-dosa lahir dan batin sambil menangis kerana “istighfar” kita terlalu sedikit dibandingkan dengan dosa kita yang menyebabkan kita nanti jadi bahan bakar api neraka?
5. Selalukah hati kita sentiasa ingat pada mati yang boleh sahaja mendatangi kita sebentar lagi, kerana memang boleh Tuhan berbuat begitu cuma kalau tidak dimatikan itu adalah kerana Tuhan mahu kita mencuba lagi untuk mencari jalan mendekatkan diri pada-Nya?
6. Pernahkah kita menghitung berapa banyak harta kita, duit kita, rumah kita, kereta kita, perabot kita, pinggan mangkuk kita, periuk belanga kita, kain baju kita, kasut kita, makanan kita dan lain-lain kepunyaan kita yang berada di dalam simpanan kita yang lebih daripada perlu (halal) yang mana semua itu akan dikira-bicara dan dihisab dan ditanya, dicerca dan dihina oleh Allah di padang mahsyar nanti kerana membesarkan dunia dan memperkecilkan akhirat?
7. Pernahkah kita menungkan orang-orang yang pernah kita kasari, umpat, tipu, fitnah, hina dan aniaya samada suami, isteri, ibu bapa, saudara mara, sahabat, jiran dan siapa sahaja, supaya kita meminta maaf dan membersihkan dosa dengan manusia, di dunia lagi tanpa menunggu ketibaan hari yang dahsyat(hari kiamat)?
8. Apabila Allah merasakan sakit pada kita atau pada orang lain yang kita kasihi (walau apa jua jenis sakit itu), dapatkah kita tenangkan hati dengan rasa kesabaran dan kesedaran bahawa sakit ialah kifarah dosa atau sebagai darjat dan pangkat di sisi Allah SWT?
9. Ketika menerima takdir atau rezeki yang tidak sesuai dengan kehendak kita, dapatkah kita rasa redha ia sebagai satu pemberian Allah yang patut untuk kita?
10. Di kala sesuatu yang kita ingini dan cita-citakan tidak kita perolehi, dapatkah kita tenangkan perasaan kita dengan rasa insaf akan kelemahan dan kekurangan diri sebagai hamba Allah yang hina dina, yang menggantungkan hidup mati dan rezeki sepenuhnya pada Allah?
11. Di waktu mendapat nikmat, terasakah di hati bahawa ianya sebagai pemberian Allah lalu timbul rasa terima kasih (syukur) pada Allah SWT dan rasa takut kalau-kalau ianya tidak dapat digunakan kerana Allah dan berazam untuk menggunakan nikmat itu untuk Allah jua?
12. Kalau kita miskin dapatkah kita rasa bahagiadengan kemiskinan itu dan rasa lapang kerana tidak payah lagi mentadbir nikmat Allah hingga tidak mahu mengadu-ngadu dan meminta pada manusia kecuali pada Allah?
13. Kalau ada orang mencerca kita bolehkah hati kita merasa senang dan tenang lalu kita diamkan sahaja (tanpa sakit dan susah hati dan dendam) bahkan kita maafkan orang itu sambil doakan kebaikan untuknya sebab merasakan ia telah memberi pahala pada kita melalui cercaannya itu?
Imam As Syafie ada berpuisi:
Apabila seorang yang jahat mencerca aku, bertambah tinggi lagi kehormatanku.Tidak ada yang hina itu kecuali kalau aku yang mencercanya.
14. Begitu juga kalau orang menipu, menganiaya dan mencuri harta kita, mampukah kita relakan saja atas dasar kita mendapat pahala menanggung kerugian itu?
15. Di waktu kita rasa kita bersalah dengan seseorang, datangkah rasa takut akan kemurkaan Allah pada kita dan sanggupkah kita minta maaf sambil mengaku kesalahan kita?
16. Selepas kita melakukan usaha dan ikhtiar atas kerja-kerja kita, adakah dapat kita lupakan usaha kita itu kerana menyerahkannya pada Allah atau kita rasa besar dan terpaut dengan usaha kita itu hingga kita rasa senang dan tenang dengan usaha kita itu?
17. Kalau orang lain dapat kesenangan dan kejayaan dapatkah kita rasa gembira dan turut bersyukur dan mengharapkan kekalnya nikmat itu bersamanya tanpa hasad dengki dan sakit hati?
18. Setiap kali orang bersalah, lahirkah rasa kasihan kita padanya, di samping ingin membetulkannya tanpa menghina dan mengumpatnya?
19. Kalau ada orang memuji kita adakah kita rasa susah hati sebab pujian itu boleh merosakkan amalan kita dan dapatkah kita bendung hati dari rasa bangga dan sombong, kemudian mengembalikan pujian pada Allah yang patut menerima pujian dan yang mengurniakan kemuliaan itu?
20. Bolehkah kita menunjukkan rasa kasih sayang dan ramah tamah dengan semua orang sekalipun orang bawahan dari kita?
21. Selamatkah kita dari jahat sangka dan prasangka pada orang lain?
22. Kalau kita diturunkan dari jawatan atau kekayaan kita hilang, selamatkah kita dari rasa kecewa dan putus asa kerana merasakan pemberian jawatan dan penurunannya ialah kerja Allah? Sebab itu kita redha.
23. Sanggupkah kita bertolak ansur dengan orang lain di waktu orang itu memerlukan apa yang kita juga perlukan?
24. Adakah kita sentiasa puas dan cukup dengan apa yang ada tanpa mengharapkan apa yang tidak ada?
Untuk memberi jawapannya pada semua persoalan-persoalan di atas adalah susah kerana memang susah melakukan amalan-amalan batin, amat sulit dan rumit. Hingga kerana itu ramai orang yang tidak nampak dan tidak mempedulikannya. Namun, bagi mereka yang betul-betul mahu mendekatkan dirinya pada Allah di sinilah perhatian dan minatnya tertumpu. Dia akan berusaha tanpa jemu untuk melakukan amalan-amalan batin dan menyuburkannya sepanjang masa dan ketika dengan cara mujahadatunnafsi. Dia akan mendidik hatinya itu supaya biasa dan suka dengan amalan batin malah dia sanggup berkorban (mujahadah) untuk itu.
Para ulama berkata:
‘Perjuangan itu 10 bahagian. Satu bahagian ialah perjuangan menentang musuh-musuh lahir (orang kafir, munafik, Yahudi dun Nasrani), di waktu-waktu yang tertentu sahaja (bukan sepanjang masa). Manakala 9 bahagian lagi ialah perjuangan menentang musuh batin (nafsu dan syaitan) yang tiada hentinya yakni sepanjang masa. ”
Amalan batin memang susah dibandingkan dengan amalan lahir. Tetapi ia pula lebih penting dari
yang lain.
Sabda Rasulullah SAW:
Terjemahannya: Bahawasanya Allah tidak memandang akan rupa dan harta kamu, tetapi Dia memandang hati dan amalkamu.(Riwayat Muslim)
Dan Allah berfirman:
Terjemahannya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada kaum itu, sehinggalah mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka (hati mereka). (Ar Raad : 11)
Kalau hati kita jahat, Allah tidak akan bantu kita. Kalau hati kita busuk Allah langsung tidak pandang kita. Begitulah keutamaan amalan batin. Tiap umat Islam wajib melakukannya. Kalau kita cuai ertinya sepanjang hidup kita berada dalam dosa. Dosa batin yang tidak kita sedari.
Marilah kita bersihkan dosa lahir dan dosa batin kita. Mari kita bermujahadah untuk itu. Moga-moga Allah merestui kita:










