Tuesday, February 17, 2009

POLITIK BARAT, POLITIK SEKULAR


Hari ini umum umat Islam menganggap apa yang dikatakan politik itu ialah politik Barat. Ini kerana rujukan mereka pada definisi politik ialah kepada Barat. Mereka tidak lagi merujuk perkara penting ini kepada Islam, yakni Al Quran dan Sunnah. Bahkan dikalangan alim ulama dan pejuang-pejuang Islam pun, politik yang mereka faham adalah politik Barat atau sistem politik berpilihan raya.
Bila kita tanya kepada kebanyakan tokoh politik Islam, mengapa mereka ikut serta dalam politik Barat itu, biasanya mereka menjawab,” Tiada pilihan lain.” Ya, seolah-olah secara tidak langsung mereka menggangap Islam tidak mempunyai jalan sendiri dalam soal politik. Seolah-olah Islam tidak sempurna, ia kekurangan cara untuk berpolitik walaupun mereka mengaku Islam itu syumul. Rasulullah SAW telah pun menunjukkan jalan tersebut. Bukankah Rasul lahir dizaman politik jahiliah menguasai dunia? Namun baginda tidak pun menyertainya. Tanpa membuat alasan konon tiada pilihan lain, baginda berjuang menampilkan politik Islam, lalu membunuh politik karut itu.
Hari ini, umat Islam mengamalkan politik yang tidak Islamik. Pada mereka itulah politik.Politik tidak Islamik digunakan untuk menegakkan negara Islam. Mereka menghalalkan cara.Mana-mana jemaah atau badan Islam yang tidak terlibat dalam politik Barat yang kotor itu dicap tidak berpolitik, bahkan dituduh tidak berjuang. Orang yang mengamalkan politik Islam dicemuh. Katanya tidak berpolitik. Lalu bertungkus-lumuslah mereka berjuang di atas platform yang tidak Islamik itu, yakni politik Barat.
Mereka berjuang secara pilihan raya dengan mendaftarkan diri dan kumpulan sebagai parti politik. Untuk memilih pemimpin-pemimpin yang dinamakan wakil-wakil rakyat, mereka menempuh sistem pengundian dan pemilihan dalam tempoh beberapa tahun sekali. Semua lapisan rakyat tanpa kecuali dilibatkan dengan pemilihan pemimpin secara mengundi. Mana-mana parti yang dapat undi majoriti, itulah yang jadi pemimpin atau pemerintah. Parti yang calonnya paling ramai memenangi kerusi parlimen, maka parti itulah yang berhak menubuh kerajaan. Tanpa mengira lagi cara-cara yang digunakan dalam proses kemenangan yang dicapai sama ada baik atau tidak. Tanpa mengambil kira peribadi-peribadi calon itu sama ada boleh memimpin atau tidak, orang baik atau orang jahat. Tanpa mengenal pasti kemungkinan adanya musuh menyamar.
Dengan tertubuhnya kerajaan, maka dilantiklah jemaah kabinet, senator, anggota dewan senat, pengerusi-pengerusi untuk institusi-institusi penting dalam kerajaan dan melantik duta-duta keluar negara untuk perhubungan antarabangsa.
Lalu perlembagaan dan undang-undang negara yang akan menjadi dasar pemerintahan kerajaan pilihan raya ini dibuat sendiri oleh mereka. Kalaupun ada kitab rujukan, tentunya dari Barat yang mengasaskan politik sekular ini. Sama sekali tidak merujuk kepada Allah dan Rasul, yakni Al Quran dan Sunnah.
Untuk membuktikan kebenaran undang-undang yang dibuat, ia dibentangkan di parlimen. Kemudian dibahaskan dan diundi.Bila mana dipersetujui oleh majoriti, kerana memang bilangan mereka ramai, maka akhirya undang-undang itu disahkan. Kalau ada suara-suara membangkang dari parti pembangkang yang menyuarakan ketidaksetujuan terhadap mana-mana undang-undang, tetap tertolak kerana tidak dapat sokongan majoriti.
Demikianlah politik yang dipuja oleh umat Islam hari ini.Juga oleh pejuang-pejuang Islam dan ulama-ulama.Politik yang menghalalkan cara demi untuk mendapatkan kemenangan dalam perebutan jawatan. Bukan mereka tidak tahu bahawa cara-cara itu semuanya bertentangan dengan Islam, membeli undi, mengupah gedebe-gedebe untuk mengugut mana-mana pengundi yang dijangka tidak akan mengundi partinya, menuduh, memfitnah, melarikan peti undi, berbohong, menghina dan sebagainya, yang digunakan calon pemimpin itu, semuanya perkara-perkara haram yang dimurkai Allah. Tetapi mreka halalkan semua itu dengan alasan tiada cara lain.Katanya lagi, nanti bila menang semua itu diharamkan semula.
Begitulah mereka bermain-main dengan hukum Allah SWT demi mencapai kepentingan diri, bukan kepentingan agama Allah.Mereka mengambil sebahagian hukum Allah dan menolak sebahagian pula.

0 comments:

Post a Comment