Thursday, August 5, 2010

Mengenal Diri Melalui Rasa Hati (6) - Derhaka Dalam Taat

ALLAH SWT berfirman dalam surah Ali Imran:

Terjemahannya: "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga padahal Allah belum mengenali mereka yang berjihad antaramu dan belum juga mengenali mereka yang sabar". (Ali Imran : 142)

Berjihad menurut Tafsir ialah:

1. Berperang dengan orang kafir dan munafik untuk menegakkan Islam dan melindungi orang-orang Islam.

2. Memerangi hawa nafsu dan syaitan.

3. Mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam.

4. Membenteras yang batil dan menegakkan yang hak.

Allah SWT menimbulkan persoalan (tanda tanya) pada kita umat Islam, sudahkah kita berjihad dan bersabar? Kalau belum kita lakukan itu maka jangan kita fikir bahawa kita akan dapat masuk syurga Allah di Akhirat kelak.

Jika sudah, maka kita sebenarnya sedang fisabilillah. Berperang melawan kafir dan munafik adalah mudah. Yang susah ialah berperang dengan hawa nafsu dan syaitan. Kalau kita berjaya terhadap orang kafir tetapi tidak berjaya dengan nafsu, itu belum menjamin kita benar-benar bertaqwa.

Rasulullah SAW bersabda:

Tejemahannya: Kita baru balik dari peperangan kecil untuk masuk ke satu peperangan yang lebih besar. Sahabat bertanya: "Peperangan apa itu, ya Rasulullah ?dan Baginda menjawab, “Peperangan hati yakni melawan hawa nafsu. ”
Rasulullah SAW bersabda:

Terjemahannya: "ketahuilah sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik daging maka baiklah seluruh jasad. Bila busuk daging itu, maka jahatlah seluruh jasad. ketahuilah, itulah hati". (Riwayat Al Bukhari & Muslim)

Marilah kita tanyai diri kita sendiri: “Sudahkah aku melakukan jihad yang besar itu? Atau sudahkah aku perangi hawa nafsuku?”

Untuk menjawabnya, tiliklah ke dalam hati kita apakah sentiasa ingat Allah atau selalu lalai? Apakah sudah cinta Allah atau lebih cinta pada dunia? Apakah sudah sabar atas ujian Allah atau masih memberontak terhadapnya? Apakah sudah bersih dari mazmumah-mazmumah lainnya atau masih lagi hasad dengki, benci membenci, minta puji, gila nama, tamak dan mementingkan diri sendiri?

Kalau hati masih berisi dakidaki dunia yang kotor itu, janganlah mimpi amalan-amalan lahir seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, sedekah, berdakwah, menuntut ilmu, menutup aurat, baca Quran, zikrullah dan lain-lain itu dapat menebus kita dari kebencian Allah dan api neraka.

Cuba kita lihat firmanAllah:

Terjemahannya: "Hari itu (hari ketika meninggal dunia) harta dan anak tidak berguna lagi kecuali orang yang mengadap ALLah membawa hati yang selamat (hati yang bersih dari segala kejahatannya dari sifat marmumah)". (Asy Syuara ‘: 88-89)

Kalau sembahyang tidak khusyuk dan tiada rasa hamba, itu tanda masih menderhaka. Bukan amalan lahir sahaja yang dapat membawa seseorang kepada keredhaan Allah dan syurga-Nya, tetapi yang lebih penting ialah amalan hati.

Sabda Rasulullah SAW:
Terjemahannya: "Allah tidak memandang rupa dan harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu". (Riwayat Muslim)

Kalau hati kita beramal soleh dan lahir kita juga turut beramal soleh (sebab amalan lahir mengikut amalan batin, umpama rakyat mengikut raja) itulah kesempurnaan amalan manusia yang dijamin dengan Syurga.

Untuk keyakinan saudara, saya perturunkan firman Allah yang menunjukkan amalan batin adalah wajib:

1. Perintah khusyuk dalam sembahyang, iaitu mengingati Allah:

Terjemahannya: "Apakah belum masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk mengingati Allah". (Al Hadid : 16)

2. Perintah supaya sentiasa merasa diawasi oleh Allah:

Terjemahannya: "Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca satu ayat dari Al Quran dan tidak mengerjakan suatu pekerjaan melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melukukannya. Tidak luput dari pengetahuan Allah biar pun sebesar zarah (atom) di bumi biar pun di langit. Tidak ada yang keci1 dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz)". (Yunus: 61)

3. Perintah supaya takut kepada Allah:

Terjemahannya: "Janganlah kamu menyembah dua Tuhan. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku sahaja kamu takut". (An Nahl : 51)

4. Perintah supaya tawakal kepada Allah:

Terjemahannya:" Hanya kepada Allah sahajalah orang-orang beriman harus bertawakal". (At Taubah: 51)

5. Perintah supaya syukur pada Allah:
Tejemahannya: "Bersyukurlah kamu kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembah-Nya". (Al Baqarah: 172)

Kalau betul kita menghambakan diri pada Allah, kita mesti ada rasa syukur pada Allah. Umpama kita dapat hadiah dari raja. Kita mesti rasa terhutang budi dan berterimakasih padanya, dan bersyukur atas hadiah pemberiannya. Jangan pula asyik fikir hadiah itu sahaja hingga lupa pada yang memberi hadiah.

Fiman Allah lagi:

Terjemahannya: "Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu maka dari Allahlah datangnya dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya pada-Nyalah kamu minta tolong". (An Nahl: 53)

6. Perintah supaya sabar:

Terjemahannya: "Sabarlah kamu tetapi tidak mungkin kamu bersabar kecuali dengan pertolongan Allah". (An Nahl: 127)

Antara kedua-dua amalan lahir dan amalan batin, Allah lebih mengutamakan amalan batin, sebab itu kalau ia diamalkan hendaklah benar-benar kerana dan untuk Allah, bukan untuk manusia. Sebab manusia tidak nampak. Kalau hati sudah betul, akan betullah lahirnya. Kalau lahir sahaja betul, hati belum tentu betul.

Jangan pula ada orang yang mengatakan: “Kalau begitu, kita jaga hati sudahlah, lahir tidak payah!” Ini lagi tidak betul. Sebab hati yang betul ialah hati yang taat pada perintah-perintah Allah lahir dan batin. Kalau amalan lahir tidak dibuat maknanya hati belum betul.

Banyak berlaku dalam masyarakat umat Islam hari ini mereka yang beramal dengan hukum Islam tentang syariat lahir sahaja seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, zikrullah, sedekah, tutup aurat dan bersilaturrahim. Namun amalan hati (batin) tidak dipedulikan. Inilah yang dimaksudkan sebagai derhaka dalam taat.

Ada dua jenis orang yang derhaka dalam taat:

1. Orang yang beramal dengan syariat lahir sahaja seperti sembahyang wajib dan sunat, puasa, haji, zakat, baca Quran, zikir dan wirid, di samping sedikit-sedikit amalan batin, tetapi kedua-dua tidak sempurna (iaitu tidak seperti yang dikehendaki Allah dan tidak semua perintah Allah yang dibuatnya).

Contohnya ialah orang-orang yang melakukan semua perintah fardhu di samping Fadhail ul-A’mal (sembahyang sunat witir, dhuha, tahajud, puasa siang hari, membaca Quran, tahlil) tetapi masih terlibat dengan riba (makan dan memberi riba), mendedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah, mencerca, sombong, bakhil dan cinta dunia. Golongan ini adalah golongan derhaka dan tidak lepas dari api neraka.

Imam Al Ghazali berkata:
“Tidak mengapa kalau tidak boleh tahajjud malam (kerana ianya sunat), tetapi janganlah membuat dosa (haram) di siang hari kerana tidak ada gunanya pada Allah di malam hari (tahajjud) tetapi derhaka (buat dosa - haram) di siangnya".

Orang ini bandingannya sama seperti seorang yang menanam padi di tengah-tengah lalang. Hasilnya padi akan dirosakkan oleh lalang dan tidak memperolehi apa-apa hasil pun. Atau seperti seorang yang memelihara kesihatan badannya dengan memakan ubat-ubatan yang perlu, tetapi dimakan juga racun. Jadi orang itu tidak sesihat seperti yang diharap-harapkan.

Tersebut sebuah hadis:

Terjemahannya: "Tahukuh kamu apa itu muflis? Mereka menjawab: Muflis pada kami mereka yang tidak mempunyai dirham dan sebarang benda. Sabda Rasulullah: Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah yang datang pada hari Qiamat dengan sembahyang, puasa dan zakat tetapi dia juga pernah mencaci, menuduh orang buat jahat, dan mengambil hak orang. Dia juga pernah menumpahkan darah (membunuh orang) atau sekurang-kuranpya memukul. Oleh itu pahala ibadahnya akan diberi kepada orang yang dianiayai itu satu persatu. Dan kalau pahalanya tidal cukup, dosadosa orang itu pula diberikan kepadanya (jadilah ia muflis) dan akan dijerumuskan ke dalam Neraka". (Riwayat Muslim)

2. Orang yang taat dalam mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan batin.
Lahirnya nampak sempurna tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, jahat sangka, sombong, bakhil, riak, panjang angan-angan, minta puji, cinta dunia, tamak, mementingkan diri sendiri, di samping tidak ada rasa hina diri, mengharap dan malu dengan Allah. Sebaliknya dia suka menghina orang yang tidak beribadah. Rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di Akhirat. Orang ini sebenarnya orang yang derhaka pada Allah dalam taatnya pada Allah. Hakikatnya dia adalah orang yang derhaka dan amalannya ditolak. Dia bukan orang yang dekat dengan Allah tetapi orang yang jauh daripada Allah dan hatinya terputus dengan Allah. Telah sepakat ulama berkata:

i. “Biar sedikit amal (yang fardhu sahaja) bersama hati rasa takut pada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa.”

ii. ‘Walau bagaimana banyak dan hebat sekalipun ibadah seseorang tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai.”

Orang yang beramal lahir tanpa amalan batin ini bandingannya seperti seorang pekerja di istana raja yang rajin dan taat melakukan kerja-kerja yang ditugaskan padanya di istana itu. Kerjanya beres dan lengkap mengatasi pekerja-pekerja lainnya. Maka timbullah bangganya dan sombongnya. Sudahlah sesama kawan-kawan dia berlagak angkuh, depan raja pun sudah tidak sopan lagi, tidak hormat dan tidak beradab. Dia rasa diri hebat dan besar kerana dia beranggapan raja tidak murka kepadanya sebab semua kerjanya beres. Sebaliknya apa
pandangan raja? Sekalipun dia tahu hambanya itu kerjanya beres tetapi kerana biadabnya itu, raja tidak akan sayang untuk membuangnya dari istana sebab dia seolah-olah hendak jadi raja (ataupun rasa setaraf dengan raja). Begitu juga jika seorang manusia yang beres melakukan perintah-perintah Allah tetapi hatinya tidak beradab dengan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki, nescaya Allah tetap murka dan akan dicampakkan ke dalam Neraka Allah.

Firman Allah:

Terjemahannya: "Adapun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksa yang pedih". (An Nisa’: 173)

Dan fir-man Allah dalam hadis Qudsi bermaksud:

"Hai Isa, apabila Aku lihat di dalam hati hamba-Ku terdapat cinta yang suci pada-Ku tidak bercampur oleh sesuatu tamak, keinginun-keinginan yang berkenaan dengan Akhirat dan dunia maka ia akan Kuperlakukan sebagai penjaga cintanya itu".

Orang-orang yang benar-benar taat ialah orang yang hatinya cinta kepada Allah. Cinta sucinya akan membuatkan dia beramal semata-mata untuk Allah. Tidak bercampur dengan niat untuk untung dunia atau akhirat. Orang begini taatnya kepada Allah adalah taat yang suci. Dia tidak akan ujub dalam taatnya, tidak riak dalam taatnya, tidak buruk sangka dalam taatnya, tidak sombong dalam taatnya, tidak panjang angan-angan dalam taatnya, tidak rasa tuan dalam taatnya dan lain-lain.
Inilah orang yang dekat hatinya kepada Allah. Dia taat dalam taatnya. Jasad lahirnya dan jasad batinnya sama-sama tunduk menyembah Allah dengan taat, rasa hina diri, malu, rasa bersalah, rasa berdosa dengan Allah, tidak menghina hamba-hamba yang lain, tidak sombong dan tidak hasad. Ibadah-ibadahnya yang lahir (membuat yang fardhu dan sunat dan meninggalkan yang haram, syubahat dan makruh) dan ibadah batin itu betul-betul dilakukan sebagai satu persembahan yang sepatutnya dari seorang hamba kepada Tuhannya. Dia tidak mengharap apa-apa balasan di dunia dan di akhirat. Inilah sebenar-benarnya hamba Allah yang menjadi kecintaan Allah di Akhirat nanti.

Firman Allah dalam surah Al Waaqiah:

Terjemahannya: "Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya). Dan naungan yang terbentang luas. Dan air yang sentiasa mengalir. Dan buah-buahan yang lebat. Yang tidak bermusim (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya. Dan tilam-tilam yang tersedia di atas katil. Sesungguhnya Kami menciptakan untuk mereka (bidadari-bidadari) ciptaan yang unik (tidak beranak). Dan Kami jadikan mereka muda-muda belaka. Saling mencintai dan sebaya umurnya. Untuk golongan kanan (terdapat dua kumpulan). (Iaitu) kumpulan besar dari orangorang yang terdahulu. Dan kumpulan besar dari orang-orang yang kemudian". (Al Waaqiah: 27 - 40)

Ada pula segolongan manusia yang taat dalam derhaka. Ini ialah orang yang tidak kuat beramal dengan syariat lahir disebabkan tidak kuatnya melawan hawa nafsu dan syaitan. Mereka hanya dapat membuat yang fardhu dan meninggalkan yang haram tetapi sunat-sunat Fadhoilul-A’mal sangatlah kurang. Dan kerana kekurangan ini mereka sentiasa merasa kekurangan diri, hina diri dan rasa bersalah, berdosa, mengharap amal yang sedikit itu diterima Allah, malu dan takut dengan Allah. Mereka selalu menyesali diri yang tidak kuat melawan hawa nafsu dan rasa berdosa, rasa tidak sempurna khidmat sentiasa ada di hati mereka dan minta dikasihani oleh Allah. Sebab itu mereka selalu beristighfar. Golongan ini sebenarnya golongan yang taat. Mereka taat dalam derhaka. Mereka akan selamat didunia dan di akhirat.
Bandingan mereka ialah seperti seorang pekerja istana raja yang tidak begitu rajin. Kerjanya setakat cukup, tidak lebih, kadang-kadang tersilap pula, cuai, sepatutnya dua jam, dibuat hanya satu jam. Kerana itu dia rasa bersalah, rasa kurang, tidak besar diri, tidak fikir lagi kesalahan orang, takut sesama kawan apalagi raja. Dia bimbang kalau-kalau kekurangannya mendatangkan kemurkaan pada raja. Sebab itu bukan sahaja dengan raja dia sangat bersopan malah dia tidak berani pandai-pandai dalam istana, gerak-gerinya dijaga dalam bimbang dan sentiasa mengharapkan kemaafan dan keampunan raja. Raja menyedari keadaan ini, dengan sebab itu raja memaafkan kekurangan hambanya itu dan hamba itu akan tetap diterima sebagai hamba di dalam istananya. Begitulah kalau hamba Allah yang sentiasa sedar diri dan insaf kelemahannya, sentiasa taubat, takut, malu dan rasa hina diri pada Allah dan berakhlak pula sesama manusia. Dia akan mendapat keampunan dan syurga Allah di Akhirat nanti.

Firman Allah:

Terjemahannya: "Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh maka mereka akan masuk syurga dan tidak dianiaya sedikit pun". (Mariam: 60)

Hidup kita ialah untuk menghambakan diri pada Allah. Itulah jalan keselamatan seorang manusia. Dua puluh empat jam kita mesti beribadah pada Allah, lahir dan batin.

Firman Allah: .
Terjemahannya: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku". (Adz Dzaariyat: 56)

Mungkin ibadah lahir ada juga rehatnya tetapi ibadah batin iaitu hati kita, mesti beramal terus menerus. Mesti sentiasa mengekalkan rasa kehambaan pada Allah, rasa hina, rasa malu, rendah diri, takut, bimbang, ingin berkhidmat, rasa berdosa, rasa lemah dan rasa kurang. Perasaan perasaan (zauk) ini hendaklah kita adakan dalam hati sepanjang masa. Bagi kita orang awam ini mungkin rasa itu belum ada di hati maka hendaklah kita mengusahakannya yakni dengan memikirkan kebesaran, kehebatan dan keagungan Allah. Lihatlah dan fikirkan tanda-tanda kebesaran Allah pada alam. Dari situ datanglah perasaan kehambaan kita itu.
Pada peringkat awal perlu dipaksa-paksa supaya perasaan itu ada. Bagi orang yang telah bersih hatinya mereka tidak payah memikirkannya lagi. Perasaan itu sedia ada dan sentiasa ada dalam hati mereka. Bukan sahaja waktu sembahyang, waktu membaca Quran, berpuasa, waktu berzikir dan lain-lainnya, malah di waktu berkhidmat di luar ibadah, hati mereka tetap kepada Allah SWT. Pendek kata perasaan kehambaan itu telah benarbenar dihayati oleh lahir dan batin mereka sepanjang masa. Macamlah seorang pekerja istana hatinya sentiasa terisi dengan perasaan kehambaan sama ada ketika dia bekerja atau ketika dia berehat-rehat, waktu makan, minum dan waktu tidur. Bukannya waktu kerja dia merasa dia “kuli”, tetapi waktu rehat dia rasa dia tuan dan berlagak macam tuan. Orang yang kenal Allah akan benar-benar merasa dia hamba Allah. Hatinya tidak merasa dia lebih, dia pandai, dia hebat, dia besar, dia kuat, dia segala-galanya. Sebab kalau dia pandai pun dia tetap hamba, dia rasa dia hamba, ingin berkhidmat sebagai hamba, hidupnya seperti hamba dan bergaya sebagai hamba. Hamba kepada Allah, bekerja untuk Allah,mengabdikan diri kepada Allah, berjuang membela agama Allah, berkorban untuk Allah dan berperang kerana Allah dan rela mati kerana Allah. Sesiapa sahaja musuh Allah adalah musuhnya, akan ditentang sehebat-hebatnya. Dan sesiapa sahaja “orang-orang Allah” adalah orang-orangnya maka digauli penuh mesra dan kasih sayang.
Inilah jiwa yang merdeka bebas dari ikatan dunia. Jiwa yang tidak akan diperhambakan oleh dunia kerana jiwanya diserah bulat-bulat pada Allah. Banyak berlaku di kalangan kita, mereka yang merasa hamba Allah ketika waktu beribadah, sembahyang, puasa, waktu mengerjakan haji, atau waktu membaca Quran, berwirid dan zikir sahaja. Di luar dari waktu itu, waktu makan, waktu tidur, waktu membasuh, waktu menyapu halaman dan lain-lain, tidak rasa diri sebagai hamba. Kita rasa itu urusan kita, kejayaan kita adalah untuk kita dan kerana kita. Kita perturutkan selera kita, pendapat kita dan cara kita dalam melaksanakannya. Kita tidak rasa kita berkhidmat untuk dan kerana Allah lagi. Kita tidak terasa hubungan dengan Allah lagi, kita tidak rasa malu dengan Allah dan hina diri lagi. Mungkin kalau ditanya orang, kita akan menjawab kita bekerja untuk Allah tetapi itu akal, hakikatnya hati kita tidak merasa begitu. Perasaan kita bukan begitu (zauk tidak begitu). Hati rasa tuan, rasa kita punya, kuasa kita, kejayaan kita, kelebihan kita dan kerana kita. Sebab itu kita ikut selera kita dalam tindakan hingga membelakangkan peraturan hidup dari Tuhan.
Orang begini sebenarnya bukan menghambakan diri pada Allah, dan tidak bertuhankan Allah. Dia bertuhankan hawa nafsu dan menghambakan diri untuk nafsu.

0 comments:

Post a Comment