Friday, August 6, 2010

Mengenal diri Melalui Rasa Hati (7) - Tanda atau Sifat-Sifat Orang Yang Mendapat Amalan batin

TELAH kita katakan bahawa kita mesti beribadah kepada Allah lahir dan batin. Ibadah lahir disebut syariat. Ibadah batin disebut hakikat. Orang yang sudah melaksanakan syariat akan nampak oleh kita tandanya iaitu mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, puasa, zakat, haji, baca Quran, selawat, zikrullah, menutup aurat, menuntut ilmu, bersilaturrahim dan lain-lain cara hidup yang diperintahkan oleh Allah SWT dengan meninggalkan (tidak melakukan) segala yang ditegah oleh Allah. Begitulah juga bagi orang-orang yang melakukan ibadah batin, ada juga tanda-tandanya. Tanda-tanda ini tidak dapat dilihat oleh mata lahir kita, sebab ia tersembunyi di dalam hati. Ia hanya dapat dilihat oleh orang yang empunya diri iaitu dengan merasai gerak dan arah perjalanan hati kita. Hati yang sudah melakukan ibadah adalah berbeza dengan hati yang masih derhaka. Untuk mengetahui perbezaan ini dan supaya dapat mengenal hati kita, apakah sudah taat atau masih derhaka, saya perturunkan tanda-tanda atau sifat-sifat hati yang tinggi yang dimiliki oleh orangorang yang melakukan ibadah batin.

1. SYARIAT LEBAT

Orang yang kuat beribadah batin pasti akan kuat (lebat) pula ibadah lahirnya (syariat). Tetapi (perlu diingat) orang yang kuat syariat sahaja belum tentu kuat ibadah batinnya.

Sebabnya begini:

Pada diri kita, hati (jasad batin) kita adalah pengarah manakala anggota-anggota lain (jasad lahir)sebagai pekerja. Kita makan ialah kerana hati kita suruh makan. Kaki dan tangan pun bekerja untuk mencari makanan. Kita hendak ke masjid pun adalah amalan hati kita. Kaki kita hanya menurut sahaja. Tetapi kalau hati tidak mahu pergi walau masjid di sebelah rumah pun, kaki tidak akan melangkah pergi. Begitu besarnya kuasa dan peranan hati dalam menentukan corak hidup kita. Sebab itu kalau hati sudah baik, taat menghambakan diri pada Allah, hati itu akan mengarahkan anggota lahir semuanya tunduk menyembah Allah. Semua suruhan Allah akan ditaati tanpa soal jawab. Semua larangan Allah akan ditinggalkan tanpa ragu-ragu.

Firman Allah:
Terjemahannya: Dan mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat. ” (Dan mereka berdoa): “Tuhan, keampunan-Mu kami pohon, dan kepada-Mulah tempat kembali.” (Al Baqarah: 285)

Sembahyang fardhu beres, sembahyang sunat hajat dan lain-lain tidak ditinggalkan. Puasa sunat dianggap besar dan sentiasa dilakukan dengan ringan. Baca Quran, selawat, wirid, zikir, tahlil, tasbih dan tahmid dan lain-lain telah menjadi nyanyian tetap yang mengasyikkan. Berjuang menyebarkan agama Allah terasa satu kewajipan yang mesti dan tidak pernah jemu dan letih kerana perjuangan. Kuat berkorban harta, fikiran, masa dan tenaga untuk membantu Islam dan umat Islam. Tidak bermewah-mewah dengan rezeki pemberian Allah sekalipun halal dan hanya diambil untuk keperluan sahaja. Lebihnya diserahkan untuk jihad. Sebab itu rumahnya sederhana, pakaian, makan minum juga sederhana. Kerana hatinya suruh tutup aurat maka ia akan melakukannya tanpa peduli apa orang kata. Kerana hatinya suruh berderma dan bersedekah maka ia akan melakukannya tanpa takut miskin dan bimbang hari depan. Kerana hatinya suruh ia berjemaah sesama kaum Muslimin maka ia pun turut berjemaah tanpa ragu meninggalkan alam dan kawan yang di luar jemaah. Kerana hatinya suruh hentikan pergaulan bebas maka ia hentikan tanpa takut kehilangan atau putusnya jodoh. Dan apa sahaja suruhan hati ia akan taat. Hati yang taat dan takutkan Allah akan mengarahkan kita mengikut semua suruhan Allah. Tidak pernah terlintas dalam hati orang-orang soleh satu keinginan untuk menderhakai Allah. Hatinya tidak merancang untuk melakukan larangan Allah. Sebab itu orang yang kuat ibadah batinnya cukup kuat meninggalkan perkara-perkara haram, makruh dan syubahat. Tidak melakukan zina, tidak menipu, tidak minum arak, tidak berjudi, tidak mengambil pinjaman riba (loan) untuk membeli rumah atau kereta, tidak terlibat dengan rasuah, tidak berkhianat, tidak merokok, tidak mengumpat, tidak memfitnah, tidak bergaul bebas lelaki dan perempuan, tidak membazir dan bermewah-mewah, tidak berpoya-poya, tidak terlibat dengan muzik-muzik haram, tidak bercinta-cintaan lelaki perempuan secara haram dan lain-lain. Hati yang kuat dengan Allah akan melarang keras dari terlibat dengan pekerjaan yang dikutuk Allah. Hati yang sempurna ibadahnya akan menolak segala-gala perkara yang dibenci Allah. Tegasnya hati kitalah yang boleh membetulkan kita dan hati jugalah yang boleh menjahanamkan kita. Kalau hati baik, baik pulalah tindakan kita. Dan kalau hati jahat, jahat pulalah tindakan kita. Konsep “baik hati” ini janganlah pula disalah-ertikan. Jangan kita kata, “Tidak sembahyang pun tidak mengapa, asal hati baik. Tidak menutup aurat pun tak apa, asal hati baik.” Kalau kita kata begitu, kita telah buat dua kejahatan. Pertama kerana berani menidakkan suruhan Allah (sembahyang dan tutup aurat itu suruhan Allah). Kedua kerana kita menganggap hati kita baik dalam keadaan hati kita masih derhaka pada Allah.
Hati yang tidak mahu sembahyang atau tutup aurat itu ialah hati yang derhaka pada Allah. Hati yang baik ialah hati yang taat dan takut pada Allah. Bila hati taat maka kita akan mentaati serba-serbi perintah Allah. Bila hati kita baik kita akan kuat bersyariat.

2. MENDAPAT KEJERNIHAN ATAU KERINGANAN BATIN
Apabila seseorang hamba itu sudah mendapat kerohanian yang tinggi, hatinya (batinnya) akan jadi suci dan ringan.

Allah SWT berfirman:

Terjemahannya: "Iaitu mereka yang memenuhi janji Allah dan tidak pula merosakkan perjanjian".(Ar Ra’d: 20)

Firman Allah lagi

Terjemahannya:" Dan mereka menghubungi apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan (silaturahim) dan mereka takut pada Tuhan mereka dan takut pada hisab yang buruk". (Ar Ra’d: 21)

Firman Allah lagi

Terjemahannya: "Dan mereka juga bersabar dalam mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan pada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan. Dan mereka menutupi kejahatan dengan kebaikan. Mereka itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik)". (Ar Ra ‘d: 22)

Firman Allah lagi

Terjemahannya: "(Iaitu) syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh di kalangan bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedangkan malaikat-malaikat masuk menemui mereka di semua pintu masuk". (Ar Ra ‘d: 23)

Firman Allah lagi

Terjemahannya: "(Sambil mengucapkan) “salam sejahtera kerana kesabaran kamu ” maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu". (Ar Ra’d: 24)

Apabila roh sudah suci dan ringan maka rasa ringanlah hati kita untuk mentaati Allah. Nafsu kita akan berubah dari nafsu-nafsu yang rendah kepada nafsu mutmainnah. Ketika ini kita akan sentiasa merasa kita adalah hamba Allah, mahu hidup sebagai hamba dan rela menerima apa sahaja qada dan qadar Tuhan tanpa soal jawab atau resah gelisah.
Untuk lebih jelas biar saya senaraikan sifat-sifat hati yang saya maksudkan:

1. Rasa malu pada Allah kerana sentiasa merasa diawasi oleh Allah.

2. Rasa takut dan hebat pada Allah kerana terasa diri sentiasa berada dalam kuasa Allah yang mana Allah boleh buat apa sahaja seperti sakit, miskin, mati dan lain-lain.

3. Sentiasa rasa berdosa pada Allah (bukan depan manusia kerana ada kesalahan sulit yang tidak dapat dikesan seperti dosa-dosa hati) sebab itu dia selalu menangis seorang diri (bukan depan orang) kerana takut dosanya tidak terampun.

4. Tidak menangguh-nangguhkan urusan dengan Allah kerana hati sentiasa merasa kedatangan maut itu bila-bila masa sahaja boleh berlaku.

5. Setiap kali terbuat kesalahan yang kecil pun hatinya rasa takut dan terhina di depan Allah dan terus dengan serta merta meminta ampun dengan Allah SWT.

6. Setiap kali selesai beramal, hati merasa itu adalah kurnia Allah bukan kuasanya. Jadi dia tidak bangga malah rasa amalannya tidak sempurna bersama rasa harapkan kasihan belas dari Allah agar menerima amalannya.

7. Kalau Allah menentukan satu hal pada dirinya, hatinya meredhai apa yang terjadi (tanpa kesal dan keluh-kesah) kerana dia sedar kerendahan dirinya yang layak menerima apa sahaja taqdir Allah.

8. Setiap kali melihat pandangan alam yang indah, hati segera terasa kebesaran Allah.

9. Kalau dia mendapat kejayaan atau nikmat, hati segera terasa itu pemberian Allah bukan kemampuan sendiri sebab itu dia rasa takut pada Allah kalau-kalau harta itu disalahgunaka atau kurang disyukuri.

10. Kalau dia dimiskinkan (atau tidak memperolehi nikmat) hatinya rasa lapang kerana dia merasakan lepas dari tanggungjawab untuk menjaga amanah dari Allah.

11. Kalau mendapat bala seperti sakit, hati boleh tenang kerana merasakan bala adalah kifarah
(balasan) pada dosanya. Dia rasa lebih baik dihukum di dunia daripada dihukum di akhirat. Penderitaan di dunia adalah pengampunan dosa di akhirat.

12. Bila mendapat pujian, hati rasa tidak senang sebab pujian itu tidak layak baginya dan boleh merosakkan rasa kehambaannya.

13. Kalau dikeji atau dihina orang, hatinya rasa kasihan pada orang yang menghinanya dan segera memaafkan orang itu tanpa diminta sebabnya. Dia rasa kerana dosanyalah dia dihukum begitu (kalau tidak begitu dia tidak akan dapat pahala dari penghinaan itu). Sebab itu dia tidak berniat langsung untuk membalas perbuatan orang itu.

14. Dia sentiasa berlapang dada berdepan dengan ragam dan kesusahan yang manusia timpakan
ke atasnya.

15. Dia tidak berbangga dengan nikmat, tidak gelisah dengan bala, tidak rasa tenang dengan pujian dan tidak menderita dengan kejian.

16. Hatinya sentiasa merasakan sebagai hamba yang serba kekurangan dan amat memerlukan
Allah SWT dalam semua keadaan.

17. Kalau dia melihat atau tahu orang membuat maksiat, dia syukur pada Allah kerana dirinya
selamat dari maksiat. Sebab itu dia tidak menghina orang itu bahkan dia rasa kasihan, ingin menolong dengan memberi nasihat. Dan dia tidak menaruh sangka jahat pada orang itu sebaliknya dia menganggap kesalahan itu adalah kerana tidak tahu, terlupa ataupun tidak sengaja.

18. Ketika berhadapan dengan orang yang memarahinya, dia tidak turut marah dan tidak lawan bertekak sekalipun dia benar.

19. Berhadapan dengan kepandaian orang lain, dia akan terima ilmu atau kebenaran sekalipun dari seorang kanak-kanak.

20. Kalau bermuzakarah dia tidak menunjuk-nunjuk. Kalau dia pandai tidak pula rasa megah.

21. Kalau orang memuji seorang lain di hadapannya dia tidak sakit hati sebab dia faham kuasa (hak) Allahlah yang melebih dan mengurangkan nikmat pada hamba-hamba-Nya.

22. Kalau ada orang lain membuat kerjanya, dia tidak meradang sebab dia rasa dia terbantu.

23. Kalau dia digemari ramai, dia tidak bangga sebaliknya dia bimbang kalau-kalau itu membuatkan dirinya riak.

24. Dia tidak makan seorang diri.

25. Kalau beri bantuan pada seseorang tidak di hadapan orang lain.

26. Dia beribadah hanya kerana Allah(sebagai seorang hamba) bukannya kerana balasan Syurga atau takutkan neraka.

0 comments:

Post a Comment