Sunday, November 28, 2010

Poligami Menjana Kemakmuran Keluarga

Oleh: Fakhrur Razi Asaari

Apabila orang bertanya berapa jumlah isteri dan anak saya, umumnya mereka terkejut dengan jawaban saya. Empat isteri dan 23 anak? Macamana nak bagi makan? Itu respon spontan yang saya rasa wajar dipertanyakan.

Kalau saya bimbang tentang nafkah keluarga ini, mungkin nak kahwin satu pun saya tak berani. Tapi saya nak cerita apa yang sebenarnya berlaku dalam keluarga saya.

1. Saya berpoligami dengan niat kerana Allah dan cita-cita nak buktikan cinta pada Allah dan Rasul. Dari kecil-kecil lagi saya dengar orang mengata poligami itu zalim, punca huru-hara keluarga, dan lain-lain lagi perkara negatif. Atas didikan ayah saya, kenyataan itu saya tak boleh terima. Takkanlah Allah buat syariat yang salah? Takkanlah Rasulullah itu suami yang zalim. Lebih-lebih lagi bila ayah saya berpoligami, saya tak nampak pun sesiapa yang dizalimi oleh sistem poligami ini.

2. Bila saya berkahwin maka saya pastikan semua isteri saya punya cita-cita yang sama dengan saya. Sebab itu saya tak pilih sendiri dan tak bercinta sebelum kahwin, sebab saya tak nak ada kepentingan nafsu selain cita-cita itu. Saya serah pilihan itu pada ayah dan dia yang buat tapisan apakah calon isteri saya bersetuju dengan syarat tersebut.

3. Apabila cita-cita sama maka cara berfikir, berperasaan dan bertindak mudah diselaraskan. Di antaranya, kami semua menerima konsep dan pelaksanaan bahwa bukan suami sahaja boleh dikongsi, tapi kasih sayang, harta, kemakmuran, anak-anak, tanggungjawab, masalah dll itu boleh dan mesti dikongsi dalam rumahtangga kami.

4. Bila isteri-isteri dan anak-anak boleh diatur maka suami akan dapat beberapa orang yang taat setia dalam semua perkara, termasuklah dalam perniagaan. Ketika saya buat syarikat berupa kilang maka dari rumah saya sahaja sudah ada sekurang-kurangnya 4 orang pengurus yang saya percaya dan setia dengan saya. Ada pengurus: produksi, marketing, pentadbiran/kewangan, dan kebajikan. Suami menjadi pengarah syarikat yang memantau keseluruhan perjalanan syarikat itu khususnya perkara insaniah atau modal insan (human resources), penyelarasan, pengembangan dan menangani masalah-masalah yang tak dapat diselesaikan oleh pengurus, dll.

5. Anak-anak yang besar otomatik menjadi pekerja-pekerja yang taat dan bersungguh-sungguh. Kalau mereka buat salah, saya dapat menegur dan membetulkan kesalahannya tanpa perlu saya bimbang dia akan lari dari saya bekerja di tempat lain, sebab mereka tahu saya sayangkan mereka dan sebaliknya.

Saya hanya mengambil pekerja-pekerja dari luar rumah yang mana perlu sahaja, samada kerana tak cukup atau kerana perlukan kemahiran tertentu yang belum dikuasai oleh ahli keluarga sendiri. Begitupun saya layan mereka seperti anak-anak sendiri.

6. Dengan cara ini banyak penjimatan dalam syarikat. Tak perlu bayar gaji dan elaun yang mahal sebab kami boleh berkongsi rumah, kereta dan lain-lain. Kami bekerja sebagai sebuah keluarga, bukan sebagai majikan dan buruh. Keuntungan, kemakmuran dikongsi bersama. Begitu juga bila ada masalah diselesaikan bersama.

7. Walaubagaimanapun setiap orang akan mendapat habuan sesuai dengan kerajinan, kreatifiti dan kekuatan bergantung dan meminta kepada Tuhan. Perkongsian yang wajib dipersetujui oleh semua pihak adalah pada keperluan yang asas, yang semua orang memang tak boleh elak kena dapatkannya, seperti makan-minum, tempat tinggal, kenderaan, dll. Sedangkan yang bersifat keselesaan dan kemewahan adalah bergantung kepada kemampuan, peranan, tugasan dan kejayaan masing-masing dalam mendapatkan bantuan Allah dalam usahanya. Sebab itulah, saya menggalakkan ahli keluarga saya berlumba-lumba dalam membuat kebaikan dan kemajuan. Yakin bahwa Allah pasti akan membantu hamba-hamba-Nya yang bekerja dan berjuang untuk-Nya. Maka tak hairanlah kalau ada anak saya yang memiliki kereta sendiri, begitu juga isteri-isteri saya, ada yang punya kereta dan rumah sendiri selain kereta dan rumah saya yang boleh dikongsi oleh semua.

8. Hasil dari kerjasama ini, keluarga saya dari masa ke semasa bertambah makmur. Anak-anak pula jadi pandai berdikari. Anak-anak yang sudah berumahtangga buat juga perkara yang sama dalam keluarganya. Akhirnya, kami memiliki syarikat keluarga yang makin lama makin besar dan makmur. Poligami bila dilaksanakan dengan cara Allah dan Rasul benar-benar dapat menjana kemakmuran keluarga.

0 comments:

Post a Comment