Friday, August 10, 2012

7 KATEGORI KEZALIMAN

Ada perkara yang selalu orang sebut-sebut di hadapan kita, bahkan orang ramai sebut iaitu tentang penzaliman. Ada ayat Qur’an yang pendek yang berkait dengan perkara ini :
"Tuhan tak menzalimi mereka itu tetapi merekalah (manusialah) yang menzalimi diri mereka sendiri."

Ayat ini pendek tapi mempunyai ilmu yang global. Didalamnya ada ilmu yang tersurat dan tersirat.

Hari-hari kita baca dalam surat kabar, di media masa, di TV, orang sebut tentang penzaliman. Tetapi penzaliman yang selalu disebut orang, termasuk kita, diberitakan seseorang itu menzalimi seseorang yang lain, satu etnik menzalimi etnik lain, satu bangsa menzalimi bangsa lain, satu puak menzalimi puak lain.

Di sekitar itulah kezaliman itu disebut orang. Tapi orang tak pernah terfikir bahawa kezaliman itu lebih luas dari itu. Tuhan kata : ‘Tuhan tak menzalimi mereka tapi mereka menzalimi diri sendiri’

Disini, kalau kita hurai erti kezaliman paling-paling tidak ada 7 aspek kezaliman. Dalam penzaliman mengikut pengertian Tuhan paling tidak ada 7 kategori atau 7 aspek yang menyebabkan manusia boleh menjadi zalim :

1.Zalim dengan Tuhan
Ini penzaliman peringkat tertinggi. Tak ada yang lebih tinggi daripada zalim taraf ini, yakni seorang manusia zalim dengan Tuhan.

Apa maksud zalim dengan Tuhan. Ialah :
tak kenal Tuhan
syirik dengan Tuhan.
Tak takut dengan Tuhan,
tak cinta dengan Tuhan,
tak pedulikan Tuhan,
tak dihubungkan hidup ini dengan Tuhan.
Tuhan ada atau Tuhan tak ada dia tak ambil peduli. “Ada tak ada Tuhan, apa perlu aku fikir Tuhan.”

Ini penzaliman taraf tinggi sekali. Paling atas. Tak terfikir oleh kita. Padahal ramai orang tak peduli Tuhan, ini termasuk kita. Tiap2 hari kita tak pedulikan Tuhan.

Padahal satu perkara Tuhan kata dalam Qur’an :
‘Iqra bismirabbik’.

Maksudnya : ”Hendaklah kamu membaca atas nama Tuhan-Mu.”

Apa sahaja hendak dibuat mesti atas nama Tuhan. Membaca, bertindak, berjuang, membangun, berpendidikan, berekonomi, berkebudayaan, berhibur, berhubung, mentadbir, mesti atas nama Tuhan. Mesti dikaitkan dengan Tuhan, mesti ada hubungan dengan Tuhan. Kalau kita tidak lakukan atas nama Tuhan maka sebenarnya kita melakukan penzaliman paling tinggi.

Kalau begitu yang dimaksud, kita juga ada melakukan zalim peringkat tinggi ini. Yang paling banyak, ada pada orang kafir dan orang munafik. Tapi pada kita orang Islam pun unsur-unsur itu ada. Mana orang Islam hari ini yang betul-betul cinta dengan Tuhan, takut dengan Tuhan, menghubungkan hidupnya dengan Tuhan? Maaf, sekalipun ulama, orang Islam hari ini sekedarkan percaya ujudnya Tuhan ; Tuhan itu begian-begian. Sekedar betul akidah atau sekedar tidak jatuh kafir. Atau Akidah sekedar cukup makan. Di luar itu, dengan Tuhan tak ada pun takut, cinta, tak ada hendak menghubungkan diri dengan Tuhan.

Awal-awal umat Islam telah melakukan penzaliman peringkat atas. Kemudian hendak minta bantuan Tuhan, hendak minta pertolongan Tuhan untuk menghancurkan musuh-musuh Tuhan. Padahal kita juga sudah jadi musuh Tuhan karena awal-awal sudah melakukan zalim peringkat paling atas. Akhirnya kita sama-sama hancur, kerana kita sudah masuk dalam golongan musuh Tuhan.

2.Zalim dengan Fisikal
Yakni zalim yang ada hubungan dengan fizikal. Manusia melihat dengan mata, mesti atas nama Tuhan. Bercakap, mendengar, bertindak, menggunakan tangan, kaki dan seluruh anggota badan kita mesti atas nama Tuhan. Ertinya selaras dengan kehendak Tuhan. Mata, telinga, tangan, kaki, semua gerak gerik kita jangan bertentangan dengan kehendak Tuhan. Kalau berlaku pertentangan itu ertinya kita telah melakukan penzaliman peringkat ke-2.

3.Zalim dengan harta

Yakni zalim yang ada hubungan dengan harta. Harta itu milik Tuhan. Tuhan bagi pada kita. Ada yang sedikit, ada yang banyak, ada yang jadi jutawan, ada yang jadi bilyuner. Ada yang kaya jangan gunakan sedikitpun atas nama selain Tuhan. Mesti selaras dengan kehendak Tuhan, sebab yang kita miliki itu sebenarnya Tuhan punya. Diri kita pun Tuhan yang punya. Tak boleh sesuka hati kita gunakan diri & kekayaan kita, sesuka hati kita. Mesti digunakan menurut kehendak Tuhan. Kalau tidak, kita melakukan penzaliman yang ketiga yang ada hubungan dengan harta.

4.Zalim dengan manusia lain

Zalim seseorang pada manusia lain, atau penzaliman manusia sesama manusia contohnya : orang pukul orang lain, mengata orang lain, menjauhkan orang lain, bagi malu, menghina, fitnah, curi barang orang lain, itu ialah kezaliman ke-4 yang ada hubungan dengan orang lain.

Zalim yang ke 4 ini lah yang dibesarkan2 tiap hari. Tentang zalim peringkat yang pertama, manusia senyap sahaja. Tidak diperkatakan sama sekali. Zalim peringkat 2 dan 3 kurang diperkatakan. Sedangkan zalim yang ke 4 ini di surat kabar, awal-awal sahaja diceritakan : “Tak patut dia tuduh saya, pukul saya, fitnah saya.”

Setiap hari zalim peringkat ke 4 itu di heboh2kan. Jadi perkataan zalim itu sudah sempit, tapi perkara yang kecil dibesarkan. Zalim peringkat 1,2 dan 3 tak masuk buku langsung, tak masuk surat kabar langsung, tak masuk TV langsung. Tak pernah pun dikatakan dalam perbualan.


5.Zalim dengan jawatan
Yakni zalimnya seseorang yang ada hubungan dengan jawatannya. Jawatan itu macam-macam : Mungkin dia PM, Presiden, DO, mungkin dia gubernur, kerani, pegawai mungkin dia pengarah, pengurus, dll. Jawatan2 itu semua kalau tak dihubungkan dengan Tuhan tak selari dengan kehendak Tuhan, sesuka hati tak buat seperti yang Tuhan kehendaki, maka dia zalim.

Yang ini pun ada orang bisingkan :
“Nampak presiden tak betul.”
“Nampak PM tak betul.”
“Nampak DO tak betul.”
“Gabenor tak betul.”


Tapi kerani, cikgu, ustaz tak betul, itu tak nampak. Yang nampak Presiden, PM, gubernur tak betul. Dibawah itu tak sebut. Contoh Pion tak betul, perkara itu tak nampak. Padahal pion itu jawatan juga. Sebenarnya walau sekecil apapun jawatan mesti dilakukan selaras dengan kehendak Tuhan.

Zalim peringkat ini ada dibincangkan juga tapi fokus pada jawatan yang besar-besar. Jawatan yang kecil tak disebut, lebih-lebih lagi orang kecil. Dia suluh yang besar-besar : ‘Presiden tak betul’, “PM tak betul”, “Gabenor tak betul.” Tapi guru, ustaz tak diteropong, kerani, pion tak diteropong. Pengurus, guru tadika, guru kemas tak pernah disuluh. Padahal itu jawatan juga. Kalau tak selaras dengan kehendak Tuhan, maka zalim.

6.Zalim dengan ilmu

Peringkat 6 adalah penzaliman oleh manusia terhadap ilmu. Ada yang dapat ilmu banyak ada yang dapat ilmu sedikit. Professor dapat ilmu banyak. DR dapat ilmu banyak juga. Master dapat kurang sedikit. BA dapat ilmu lagi kurang. Kalau di bawah itu lagi kurang. Samada banyak atau sedikit ilmu yang dimiliki, kalau digunakan ilmu itu untuk kepentingan diri, maka dia zalim. Sebab itu orang masuk neraka bukan sahaja karena termasuk golongan orang yang zalim pada peringkat 1-5 tapi golongan yang termasuk zalim peringkat 6 inipun masuk neraka. Kalau zalim yang ada hubungan dengan ilmu, maka akan masuk neraka.

Kebanyakan di zaman ini, orang telah menyalah gunakan ilmu, sekalipun orang yang mempunyai ilmu Islam. Ilmu digunakan bukan untuk Tuhan tapi untuk poket, untuk megah, untuk nama, untuk glamour, untuk cari duit. Tapi hal ini tak pernah dibesarkan/diberitakan dalam surat kabar.

Dia zalim dengan ilmunya, kitapun zalim dengan ilmu. Tapi orang tak pernah sebut perkara ini. Mana ada hari ini orang terfikir bahawa satu kezaliman bila orang menggunakan ilmunya untuk kepentingan diri. Orang tak terfikir bila ada yang menggunakan ilmunya untuk mencari nama, itu dikatakan zalim. Orang tak mengatakan zalim pada seseorang yang megah kerana ilmunya, yang sombong dengan ilmunya. Bahkan orang anggap dia ada wibawa. Bila sombong dengan ilmu, rasa hebat, apakah itu dikatakan berwibawa? Dia derhaka dengan Tuhan, akan masuk neraka, itukah wibawa?
Itu zalim kategori 6. yakni menyalah gunakan ilmu bukan untuk Tuhan tapi untuk kepentingan diri samada untuk pangkat, nama glamor, untuk megah.

7.Zalim dengan roh/perasaan

Kezaliman yang ada hubungan dengan roh atau perasaan, dengan hatinya. Ini lagi susah, ini lagi payah. Tak pernah orang sebut, surat kabar pun tak sebut, radio sekalipun tak sebut. Patutnya dalam roh atau dalam hati ada perasaan untuk Tuhan :

“Sedih, Tuhan redha ke tidak. Sedih, jangan-jangan aku berdosa. Sedih aku tak ada rasa kehambaan. Sedih aku tak takut dengan Tuhan, aku tak cinta dengan Tuhan.”

Tapi hati kita tak merasa seperti itu. Apa yang dirasa?
“Sakit aku ini bilakah nak sehat. Asyik sakit je.”
“Sedihnya, aku miskin. Bila nak kaya.”
“Sedihlah istri tak sayang aku.”
“Sedih, suami tak sayang aku.”


Perasaan kita tidak diberi pada Tuhan. Perasaan telah disalah digunakan : orang tak peduli, suami tak sayang, istri tak sayang. Itulah yang disedihkan dan disusahkan. Hati ini, perasaan ini telah kita salah gunakan. Kita zalim dengan perasaan.

Sebenarnya zalim ini bukan setakat 7 ini boleh lebih luas. Sedangkan orang lain hanya sebut 1, 2 perkara sahaja. Bahkan dalam ajaran Islam, nafas turun naik bukan untuk Tuhan adalah satu kezaliman. Tuhan akan tanya. Kalau Tuhan tanya kita tak boleh jawab, kalau Tuhan tak maafkan, dengan nafas manusia boleh masuk neraka. Betapalah kalau tak takut dengan Tuhan, tak cinta dengan Tuhan. Kalau Tuhan tanya dan kita tak boleh jawab, Tuhan tak maafkan, maka manusia masuk neraka. Mana orang terfikir nafas turun naik, bila tidak digunakan untuk Tuhan boleh masuk neraka? orang tak terfikir.

Jadi kalau orang paham ayat tadi, kemudian dapat betulkan diri dan selamat dari 7 peringkat zalim tadi barulah sesuai dengan pengakuan kita dalam sembahyang :

“Inasholati manusuki wamahyaya wamamaati lillaahirabbil ‘alamin.”

Sebab itu kalau kita faham, waktu sembahyang bila akan menyebut janji tersebut, macam mahu gila. Tapi karena kita tak paham, jadi tak rasa.

Sebab itu mahu baca janji itu kalau orang paham, akan teragak2. Sebab kita berbohong dengan Tuhan. Sedangkan Tuhan mendengar. Hendak baca pun takut.

Tapi karena tak paham, kita tak rasa itu. Sebab itu karena tak paham, tak rasa apa-apa, orang sembahyang tapi tak boleh membaiki diri. Lagilah wirid, baca Qur’an tak kan boleh baiki diri. Sebab zikir yang paling besar adalah sembahyang. Zikir, wirid yang lain itu kecil. Dalam sembahyang ada zikir bacaan, perbuatan, percakapan dan perasaan. Macam2 bentuk zikir terhimpun dalam sembahyang, termasuk zikir perasaan. Tapi kita tak rasa. Sebab itu patutnya mahu sembahyang itu takut. Sembahyang diperintah tapi takut janji-bohong, janji-bohong lagi. Itu sudah zalim.

Jadi pengertian zalim itu luas. Tapi yang orang besarkan zalim peringkat 4. Padahal zalim itu cukup luas.
“Jangan campakkan diri engkau kepada kebinasaan.”

Ayat itu ditujukan pada orang yang tak berkorban, tak menginfakkan hartanya, orang yang tak menderma. Mereka dianggap mencampakkan diri dalam kebinasaan. Orang yang tak bersedekah ertinya mencampakkan diri dalam neraka. Dia zalim. Tuhan kata jangan campakkan diri engkau dalam kebinasaan neraka. Orang yang tak korbankan harta dianggap zalim.

Tapi zalim peringkat atas sekali : syirik, tak takut Tuhan itu zalim teratas. Bila kita bahas, yang zalim yang pertama pun sudah ada pada diri kita. Kalau tak selalupun sekali sekala. Kalau manusia ini paham bahwa pengertian zalim dengan Tuhan itu begitu luas, begitu global, dia tak akan lagi bergaduh. Sebab tak nampak lagi salah orang. Walaupun orang zalim, tapi kita tak nampak kezaliman dia sebab kitapun zalim dengan Tuhan. Kezaliman yang lebih besar. Tapi kerana Tuhan tak nampak, kita tak rasa Tuhan itu yang patut dibesarkan, jadi akhirnya manusia membesarkan zalim no. 4.

0 comments:

Post a Comment