Encik Jamaluddin melahirkan rasa terkilan melihat banyaknya berlaku keretakan, pecah belah, krisis bahkan perceraian. Banyak akibat buruk hasil dari rumahtangga yang haru biru dan kacau bilau, terutama yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Bukan itu sahaja, kesan buruk jangka panjang ialah banyaknya berlaku gejala sosial, kerana asas masyarakat ialah rumahtangga.
Apa yang menghairankan Encik Jamaluddin ialah setiap umat Islam yang hendak mendirikan rumahtangga sentiasa mengidamkan terbinanya mahligai bahagia hingga ke anak cucu. Idaman hanya tinggal idaman. Harapan hancur di tengah jalan. Kadang- kadang bercinta macam Remeo dan Juliet, majlis perkahwinan berbelanja besar, ribuan orang turut meraikannya. Kadang-kadang terpampang di media massa. Anehnya baru satu atau dua anak dah mula timbul krisis hingga hendak atau hampir bercerai. Sebelum berkahwin, panduan sudah diberikan, mengapa masih banyak rumahtangga yang terbarai.
Jawapan kepada persoalan yang diajukan oleh Encik Jamaluddin adalah seperti berikut.
Sebagai perbandingan, bolehlah diumpamakan seperti orang yang hendak menjadi askar. Ada syarat asas atau syarat minima, seperti kelulusan, berat badan, ketinggian, sihat tubuh badan, penglihatan dan pendengaran. Memiliki syarat minima itu bukan bererti otomatik dia sudah boleh diiktiraf sebagai seorang askar. Proses melayakkan diri sebagai askar masih panjang dan banyak peringkat yang perlu ditempuhi. Sudah dilalui dengan penuh gigih pun masih ada yang kecundang, betapalah dalam keadaan acuh tak acuh.
Berbalik kepada rumahtangga, kalau sudah ada calon, kemudian sudah bersedia untuk berumahtangga, maka diikutilah kursus atau bimbingan rumahtangga itu untuk dua atau tiga hari. Di akhir kursus, setiap peserta menerima sijil pengesahan menghadiri kursus. Dan dengan sijil itu pula adalah sebagai syarat tambahan untuk layak berkahwin. Semua yang diperoleh itu hanyalah sebagai syarat minima, termasuk isi sukatan kursus itu juga adalah minima. Itu belumlah menjadi faktor penentu bakal wujudnya rumahtangga idaman. Belum tentu dalam berkursus dua atau tiga hari itu peserta dapat memahami sepenuhnya panduan yang diberikan.
Kalau pun faham belum tentu dapat mempraktikkan panduan tersebut. Lebih-lebih lagi selok-belok dan likuliku rumahtangga amat jauh berbeza daripada apa yang diperoleh dalam dewan kuliah, lebih-lebih lagi kalau penekanan kuliah itu banyak kepada aspek hukum hakam, hak dan enakrmen.
Apabila benar-benar berumahtangga, pasangan sedang berhadapan dengan manusia yang memiliki jasad, akal, nafsu dan roh. Yang kalau tidak mengenal setiap unsur itu ertinya sudah nerupakan satu kegagalan dalam rumahtangga. Begitu juga pada manusia itu Tuhan sudah bekalkan dengan benih malaikat untuk disuburkan, benih haiwan untuk dididik dan didisiplinkan dan benih syaitan untuk dicantas dan ditumpaskan sepenuhnya. Awal-awal lagi kalau ilmu tentang aspek ini tidak dimiliki, tentulah amat sukar untuk mengemudikan rumahtangga. Umpama askar yang tidak cukup ilmu peperangan, tiba-tiba dihantar operasi ke hutan, tentulah dia merasa amat sukar kerana dia sendiri tidak pernah mengenal hutan.
Fahamlah kita bahawa untuk tercapainya rumahtangga impian, tidak memadai atau tidak terhenti setakat anggota dalam rumahtangga itu beragama Islam, tetapi mestilah ada cita-cita Tuhan, berjiwa Islam, hidup mati untuk Tuhan dan Islam serta menghayati syariat Tuhan. Oleh itu perkara-perkara berikut perlu diambil perhatian serta perlu dipraktikkan: 1. Suami isteri mestilah faham segala aspek tentang ajaran Islam. Memahami ajaran Islam amat penting kerana yang hendak dibangunkan itu adalah rumahtangga Islam. Bahkan ajaran Islam itu juga memang perlu direalisasikan dalam kehidupan harian yang bermula dari rumahtangga. Dalam kehidupan sebagai seorang Islam kenalah faham hablumminallah dan segala yang terangkum di dalamnya, dan juga hablumminannas dan segala yang terangkum di dalamnya. Dengan itu barulah ajaran Islam yang dipraktikkan itu syumul atau menyeluruh.
2. Suami atau ayah selaku pemimpin atau ketua keluarga, yang bertanggungjawab dunia dan Akhirat, perlu ada ilmu pendidikan isteri dan anak-anak, serta faham bagaimana mendidik isteri dan anak-anak. Terutama sekali dalam mendidik isteri dan anak-anak untuk takut dan cintakan Tuhan. Juga mendidik mereka hidup berkasih sayang.
3. Suami kena serba sedikit memahami saikologi isteri dan anak-anak. Sekurang-kurangnya mengenali isteri dan anak-anak dalam aspek berikut:
a. Tahap IQ.
b. Peringkat nafsu.
c. Jenis kekuatan mereka sama ada jenis kuat akal, perasaan atau jiwa, atau sebahagian atau semua sekali.
d. Kesukaan dan kebencian mereka.
e. Bakat, minat, hobi dan bidang kecenderungan mereka.
f. Perubahan pada perasaan mereka yang terzahir pada wajah, perangai atau tingkah laku.
g. Perkembangan mereka mengikut perubahan usia.
4. Isteri juga perlu serba sedikit memahami saikologi suami dan anak-anak. Memahami saikologi ini amat diperlukan dalam konteks mendidik serta menjaga hubungan. Iaitu suami terhadap isteri dan anak-anak, juga isteri terhadap suami dan anak-anak perlu mengadakan pendekatan yang sesuai dengan keadaan (saikologi) mereka.
5. Suami isteri perlu bersungguh-sungguh mempraktikkan sikap dan akhlak Islam serta syariat Islam. Terhadap anak-anak pula kenalah berupaya memberi ilmu untuk mereka memahami, tidaklah mereka menurut secara membuta tuli tanpa ilmu dan kefahaman.
6. Kena bersabar dalam menghayati ajaran Islam termasuklah kena bersabar dalam mendidik dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang.
0 comments:
Post a Comment