Sempena Hari Bapa yang disambut pada Ahad minggu ketiga bulan  Jun, ingin saya mencoretkan sedidik cacatan bagi mengingatkan kembali  peranan kita sebagai bapa. Semoga ada maaf kepada kita semua. Pada masa  yang sama, anak kita dapat hargai peranan itu lalu tidak menyakitkan  hati kita. 
Cuma sedikit ingatan, bapa wajib ditaati dan dihargai setiap  hari. Dengan ini tidak wajar kita membuat majlis sambutan seperti orang  bukan Islam menyambutnya. Namun tidak salah anak menjamu makan bapanya  di restoran terkemuka sebagai salah satu usaha menghargai peranan  bapanya. 
Sebagai ketua keluarga, maka  seorang bapa wajib menyediakan bajet yang cukup untuk keluarga, memimpin  dan melindungi anak dan isteri. Itulah asas dalam merealisasikan  perintah Allah dalam ayat di atas. Maknanya kalau salah satu daripada  tiga perkara itu diabaikan, neraka sedia mengalu-alukan mereka  sekeluarga.
1. Menyediakan bajet; sebagai bapa dia wajib berusaha sedaya  mungkin untuk mendapatkan pendapatan halal. Untuk itu bapa boleh bekerja  dengan orang lain atau menjadi pengusaha sendiri, yang penting sumber  pendapatannya halal. Inilah yang selalu diistilahkan sebagai nafkah.
Perkara ini bukan senang untuk direalisasikan  oleh golongan bapa. Kadang-kadang sebagai pekerja, dia tidak amanah.  Kalau dia berjawatan tinggi terlibat dengan penyelewengan dan rasuah.  Kalau dia berusaha sendiri, terlibat dengan penipuan, riba dan  sebagainya. Kalau ini yang mampu dilakukan, bagaimana bajet yang  sediakan itu boleh menyelamatkan dirinya dan keluarganya daripada api  neraka?
Namun jika  bapa boleh bersyukur, rezeki mereka akan datang mencurah-curah. Firman  Allah yang bermaksud:  “Sesungguhnya  Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami  perintahkan kepadanya) ‘bersyukurlah kepada Allah (akan Segala  nikmat-Nya kepada-Mu)’, dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya akan  dipulangkan kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur  (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah  Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah Loqman : 12)
2. Memimpin; sebagai pemimpin bapa perlu kuat iman, kuat jiwa dan  bijak merancang. Pemimpin yang kuat iman tidak akan bertolak ansur soal  dosa. Maka dengan itu bapa akan mendidik keluarganya agar mentaati  agama. Mereka akan dibimbing supaya takut kepada Allah, gerun kepada  neraka-Nya dan cintakan syurga-Nya. Firman Allah menukilkan pesanan Loqman kepada  anaknya yang bermaksud:
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah  berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar,  dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya  yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil  berat melakukannya.” (Surah Loqman :17)
Pemimpin yang kuat jiwa mampu berhadapan dengan pelbagai karenah  isteri dan anak-anak. Masalah yang ditimbulkan oleh mereka dapat diatasi  dengan baik. Bapa ini tidak akan mudah mengalah lalu mudah menyerah  kepada takdir. Dengan sikap ini isteri dan anak-anak akan hormat dan  kagum dengan kepimpinannya.
Begitu juga dengan pandai merancang; sebagai  pemimpin bapa sudah memikirkan masa depan mereka bahkan anak-anak  mereka. Bapa sentiasa memikirkan masa depan yang cerah di dunia ini dan  syurga di akhirat nanti. Dengan ini dia merancang pendidikan yang  berkesan kepada anak-anaknya.
Di sinilah kebanyakan bapa gagal merancang.  Pendidikan yang diberikan kepada anak-anaknya tidak seimbang dengan  kehendak Islam. Akhirnya anaknya yang berjaya dalam pelajaran menjadi  sombong kepada orang ramai dan Allah. Kalau ini yang terjadi, bolehkah  selamat daripada api neraka.
3. Melindungi; bapa wajib melindungi anak  daripada dikhianati atau dizalimi oleh orang lain. Oleh sebab itu pasti  anak-anak berada dalam keadaan selamat apatah lagi mencetuskan keadaan  yang tidak selesa terhadap orang lain. Tentulah tidak wajar bapa  membiarkan anak lelakinya bergaul bebas dengan wanita. Lebih-lebih lagi  tidak wajar dia membiarkan anak perempuannya keluar bersendirian dengan  lelaki.
Sikap bapa seperti ini bukan sahaja tidak melindungi anaknya  tetapi mendedahkan mereka kepada bahaya. Inilah yang sering terjadi  dalam masyarakat kita. Maka atas dasar percaya, kononnya kerana ikatan  tunang, anaknya dilepaskan bebas. Bapa dalam keadaan ini adalah dayus.
Tanggungjawab yang diremehkan
Selain  tanggungjawab di atas, terdapat beberapa lagi tanggungjawab namun sering  diremehkan. Padahal perkara yang kecil itu boleh memberi infak kepada  kemajuan anaknya pada masa hadapan. Antara tanggungjawab itu ialah:
1. Memilih nama yang baik untuk anak
Bapa  seharusnya memilih nama yang baik kepada anak. Pilihan itu merupakan  cermin keperibadian dan kefahaman orang tua, kerana nama yang diberikan  menggambarkan harapan hati dan harapan orang yang memberikannya. Sabda  Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya antara hak anak  ke atas bapa ialah mengelokkan namanya dan mengelokkan adabnya.”  (Riwayat al-Bazzar)Nama yang baik ini penting kerana nama itulah nanti akan dipanggil di padang mahsyar nanti. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksudnya: “Sesungguhnya kamu dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, dari itu elokkanlah nama-nama kamu.”(Riwayat Abu Daud dan Ahmad)
2. Membuat  Aqiqah
Untuk  mensyukuri kelahiran anak, agama menganjurkan bapa mengadakan acara  kesyukuran dengan menyembelihkan kambing. Untuk anak lelaki, dua ekor  dan seekor untuk anak perempuan. Acara tersebut sebaiknya dijalankan  ketika anak berumur 7 hari. Aqiqah amat penting, malah menurut  keterangan ulama hukumnya adalah “Sunat Muakkad”. 
Hukum ini masih pada tanggungjawab bapa selagi anak  itu belum baligh. Tetapi setelah baligh masih lagi belum melakukannya,  tanggungjawab itu dikembalikan kepada anak itu sendiri. Walaupun bapa  itu tidak berdosa, namun dia dianggap cuai melaksanakan tanggungjawab  itu. 
3.  Mengkhatankan anak
Berkhatan atau bersunat harus dilakukan untuk  membersihkan anak-anak kerana kemaluan merupakan tempat berkumpulnya  najis. Jadi, bahagian itu harus dibersihkan. Hukum berkhatan bagi anak  lelaki menurut Imam Shafi’i, Imam Malik dan Al-Auzai dan lain-lain  adalah wajib.
Berkhatan  untuk anak perempuan dihukumkan sunat. Jadi, peluang bapa menunaikan  tanggungjawab itu harus tidak diabaikan. Semoga anak-anak kita sentiasa  berada dalam keadaan bersih. 
Saya  percaya, jika tanggungjawab dan peranan ini dapat dilakukan sebaiknya,  bukan sahaja rumah tangga kita berada dalam keadaan selamat dan bahagia,  malah anak-anak kita akan menjadi anak soleh. Mereka akan taat dan  sayang kepada bapa apatah lagi sewaktu mereka sudah tua.

































