Tuesday, April 14, 2009

AL JANNATU AJILAH (SYURGA YANG DISEGERAKAN)

Antara perkara yang pertama dituntut dalam Islam adalah mengenal Tuhannya. Ada Hadis yang berbunyi:

Maksudnya: “Awal-awal agama mengenal Allah.”
Hanya setelah kita kenal Tuhan, barulah kita tahu betapa
baiknya Tuhan kita itu. Betapa Dia sangat mengambil berat
tentang kita. Betapa Dia cukup menjaga dan mencukupkan segala
keperluan kita. Betapa Dia sangat melindung dan membela kita.
Betapa Dia tidak ada apa-apa kepentingan terhadap diri kita dan
tidak menuntut apa-apa keuntungan dari kita. Dia hanya memberi,
memberi dan terus memberi dan tidak pernah mengambil
apa-apa dari kita.

Betapa kasih sayang-Nya Dia terhadap kita. Diberi-Nya kita
nikmat supaya kita bersyukur. Dan kalau kita bersyukur, ditambah-
Nya lagi nikmat-Nya itu kepada kita. Diuji-Nya kita dengan
kesusahan. Dan kalau kita bersabar, dihapuskan dosa-dosa kita
dan diangkat-Nya darjat kita. Dalam nikmat-Nya ada rahmat.
Dalam ujian-Nya juga ada rahmat. Alangkah baiknya Tuhan kita
itu.

Keampunan-Nya mengatasi kemurkaan-Nya. Kalau kita
terbuat dosa sebesar dunia ini pun, Allah akan kurniakan
keampunan-Nya sebesar dunia ini juga kalau kita sudi dan mahu
bertaubat dan meminta ampun dari-Nya.

Disuruh-Nya kita beriman dan beramal soleh. Bukan kerana
Dia akan mendapat untung apa-apa tetapi kerana Dia mahukan
kita selamat hidup di dunia dan selamat hidup di akhirat. Supaya
hidup kita tenang dan bahagia. Supaya di dunia ini pun kita dapat
hidup seperti di syurga sebelum Syurga yang sebenar di akhirat
nanti.

Tuhan seolah-olah bertungkus-lumus menjaga kita. Pagi
petang, siang dan malam. Dia tidak tidur, tidak rehat, tidak
mengantuk dan tidak penat. Dia tidak pernah melupakan kita.
Kita yang selalu melupakan Dia. Namun, dalam kita lupakan
Dia pun, Tuhan tetap menjaga kita. Dia tetap memberi kita rezeki.
Dia Tuhan. Dia tidak perlukan kita. Kita hamba. Kita yang
perlukan Dia. Tetapi Tuhan rela ‘memperhambakan’ Diri-Nya
dan bersusah-payah demi untuk menjaga kepentingan hamba-hamba-
Nya.

Begitulah Tuhan. Kalau kita betul-betul kenal akan Dia, sudah
barang tentu kita akan sayang dan jatuh cinta pada-Nya. Jasa
dan kebaikan-Nya kepada kita tidak dapat dikira atau dihitung.
Ia terlalu banyak. Tak kenal maka tak cinta. Yang tidak sayang
dan tidak cinta pada Tuhan hanyalah orang yang tidak kenal akan
Dia.

Setelah cinta, akan timbul rasa takut pada Tuhan. Takut ini
bukan macam kita takut harimau. Tuhan bukan hendak baham
kita macam harimau. Kita takut terputus cinta dengan Tuhan.
Kita takut kalau-kalau Tuhan tidak peduli atau tidak endahkan
kita lagi. Kita takut Tuhan tidak kisah dan tidak ambil berat
tentang kita lagi. Kita takut Tuhan lupakan kita. Kita takut tersisih
dari rahmat, keampunan dan kasih sayang Tuhan. Bagi orang
yang bercinta, putus cintalah yang paling ditakutinya. Ini
termasuklah bercinta dengan Tuhan. Takut inilah yang dikaitkan
dengan ‘taqwa’.

Taqwa ini banyak faedah dan kebaikannya pada diri kita.
Antaranya:

– Ia menghapuskan dosa
– Ia mendatangkan syafaat
– Ia benteng dari maksiat
– Ia pemangkin untuk membangunkan syariat
– Ia boleh mencetuskan rasa bertuhan yang sangat kuat
diikuti dengan rasa kehambaan yang juga kuat
– Ia membunuh sifat ‘hubbud dunia’ atau cinta dunia iaitu
ibu atau kepala segala maksiat
– Ia membakar dan mencairkan sifat-sifat mazmumah dan
keji di dalam hati

Perkara kedua yang dituntut dalam Islam selepas mengenal
Tuhan ialah kasih sayang.

Kasih sayang sesama manusia adalah cetusan dari rasa cinta
dan rasa takut kepada Tuhan. Manusia tidak akan boleh bersatu
padu dan berkasih sayang kalau tidak diikat dengan tali-tali
Allah. Dalam Al-Quran, Tuhan ada berfirman:

Maksudnya: “Berpeganglah kamu pada tali-tali Allah
dan janganlah kamu berpecah belah.” (Al-Imran: 103)

Tali-tali Allah di sini diantara lain bermaksud rasa cinta dan
rasa takut pada Allah. Kalau semua manusia cinta dan takut pada
Allah, mereka akan berkasih sayang di antara satu sama lain
kerana hati-hati mereka diikat kepada Tuhan yang satu. Sesiapa
yang berpegang kepada Allah, mereka akan berkasih sayang
sesama mereka. Tidak ada orang bergaduh kerana merebut
Tuhan. Sesiapa yang berpegang kepada dunia (apa-apa pun selain
Allah), hati-hati mereka akan bercerai berai dan mereka akan
berpecah belah. Memang dunia ini punca segala rebutan,
pergaduhan, perbalahan, krisis, penindasan dan perpecahan.
Ada Hadis yang bermaksud :

“Kamu tidak cinta pada Allah kalau kamu tidak cinta
pada makhluk-Nya.”

Kalau cinta pada makhluk selain manusia pun sudah dianggap
sebagai bukti cinta kita pada Tuhan, inikan pula cinta
kita sesama manusia? Tentulah cinta dan kasih sayang sesama
manusia itu lebih dituntut.

Sebagai tamsilan, kalau kita hormat, sayang dan cinta kepada
bos kita, sudah tentulah kita sayang juga pada kucingnya. Kalau
kita pergi ke rumah bos, masakan gamak kita tendang kucingnya
atau kita sengaja pijak ekor kucingnya. Kita sayang bos kita dan
sudah tentu kita sayang kepada apa sahaja yang disayangi oleh
bos kita itu termasuk kucingnya. Itu baru betul-betul sayang.

Samalah dengan Tuhan. Kalau kita betul-betul cinta Tuhan,
otomatik, kita akan sayang pada apa sahaja yang menjadi
kesayangan Tuhan termasuklah sekelian makhluk-Nya.

Kasih sayang sesama manusia juga banyak faedah dan
kebaikannya pada diri kita. Antaranya:

– Ia memudahkan kita memaafkan orang
– Kalau kita bersalah, kita mudah meminta maaf
– Kita jadi mudah mesra dengan orang
– Mudah memberi senyum kepada orang
– Bertanggungjawab terhadap jiran
– Kalau kita kaya, senang jadi pemurah
– Kalau kita miskin, mudah sabar dan tidak menganiayai
harta orang kaya
– Mudah memberi bantuan kepada orang susah, menolong
mereka, bersimpati atau memberi kemesraan kepada
mereka.

Cuba kita lapangkan fikiran dan hati kita buat seketika dan
mari kita bayangkan suatu suasana di mana hubungan kita
dengan Tuhan sungguh baik iaitu kita sangat cinta pada-Nya,
kita baik sangka dengan-Nya, Dialah pelindung, pembela dan
penyelamat kita dan Dialah tempat kita bergantung harap dan
tempat kita mengadu segala hal dan masalah. Kita betul-betul
rasa Tuhan itu kita punya, Tuhan itu hak kita dan kita rela dan
berbahagia menjadi hambaNya.

Bayangkan juga satu suasana di mana semua manusia disekeliling
kita, baik ibu kita, ayah, isteri, anak-anak, jiran tetangga,
rakan pejabat, rakan sekolah, kawan sekampung, kawan setaman,
semuanya kekasih-kekasih kita belaka yang sangat kita sayang
dan rindukan. Mereka juga merasakan begitu terhadap kita.
Selalu bertanya khabar, bertolong bantu, ziarah menziarah, memberi
hadiah dan mendoakan kita. Mereka sangat-sangat inginkan
kebaikan untuk kita dan sanggup pula bersusah payah dan
berkorban apa sahaja untuk kita.

Alangkah bahagianya hidup kita. Dengan Tuhan kita bercinta,
Sesama manusia kita berkasih sayang. Kalau wujudlah keadaan
yang seperti ini, apalagikah yang kita inginkan? Kita rasa kuat
dengan Tuhan, rasa terbela sesama manusia, rasa aman, tenang,
harmoni dan penuh keselamatan. Hidup di dunia bersama
kekasih. Pulang ke akhirat pun untuk bertemu kekasih.

Inilah apa yang dinamakan “Al Jannatul Ajilah” atau “Syurga
Yang Didahulukan” yang Tuhan janjikan kepada orang-orang
yang beriman dan beramal soleh. Sesiapa yang dikurniakan Al
Jannatul Ajilah di dunia akan bakal menikmati syurga yang
sebenar di Akhirat.

Alangkah bahagianya hidup kita. Dengan Tuhan kita bercinta, Sesama
manusia kita berkasih sayang. Kalau wujudlah keadaan yang seperti
ini, apalagikah yang kita inginkan?

0 comments:

Post a Comment