Friday, April 10, 2009

KITA ADALAH PELAKON SANDIWARA DI DUNIA

Aku hamba-Mu Tuhan adalah pelakon di pentas sandiwara-Mu. Engkau telah berfirman di dalam Al Quran,
“Sesungguhnya dunia adalah tempat sandiwara (bermain-main).”

Yang indah, benar dan kekal hanyalah di Akhirat sana. Dunia-Mu diibaratkan seperti pentas sandiwara. Di dalamnya ada pelakon-pelakon yang sedang melakonkan watak masing-masing mengikut karektor masing-masing dengan arahan seorang Pengarah Sandiwara. Ada yang dapat watak hero, ada yang menjadi heroin, ada yang menjadi penjahat, ada yang menjadi pendamai. Ada yang memegang watak korporat kaya-raya, ada yang kena melakonkan watak si miskin, dan pelbagai watak-watak manusia berdasarkan kehidupan sebenar diolah menjadi sebuah karya cerita. Pementasan itu akan berjaya sekiranya setiap pelakon benar-benar berjaya menghidupkan watak masing-masing sebagaimana arahan sang pengarah. Sudah tentulah para pelakon yang faham, menjiwai cerita dan memberikan komitmen yang sungguh-sungguh kepada pementasan sang pengarah akan beroleh hasil yang baik. Dan sudah tentulah para pelakon yang malas, tidak bersungguh-sungguh dan tidak menjiwai pementasan itu akan gagal di dalam pementasannya.


Begitulah hidup kita hamba Tuhan di dunia ini adalah ibarat para pelakon tadi yang mana Tuhan adalah Pengarah kepada kehidupan manusia di dunia ini. Tuhan berikan 2 tanggungjawab utama kepada manusia yang diutuskan ke bumi Tuhan :
1. Tanggungjawab sebagai hamba yang wajib menyembah-Nya, mentaati-Nya, menyintai-Nya, membesarkan-Nya dan takut kepada-Nya.HabluminAllah, berusaha menjadi hamba yang sebenar-benarnya kepada Tuhan.

2. Tanggungjawab sebagai khalifah-Nya di mukabumi Tuhan.Tanggungjawab Habluminannas di dalam pelbagai peringkat samada pemimpin, pentadbir, pengurus, pekerja, guru, ibu ayah, pelajar, anak-anak dan lain-lain yang mana semuanya berjalan mengikut kehendak Tuhan dan syariat Tuhan. Aku akur dengan segala Percaturan dan Peraturan-Mu, wahai Tuhan. Aku serahkan diriku kepada-Mu kerana itulah yang telah aku janjikan di hadapan-Mu setiap kali waktu solat.
“Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan sekalian alam.”


Aku hanya seorang pelakon di pentas sandiwara-Mu yang perlu beribadah, bekerja, berfikir,berkehendak dan berperasaan menurut kehendak-Mu dan arahan-Mu. Kerana pada kehendak-Mu ada Keselamatan. Pada setiap arahan-Mu ada Pembelaan dan Kasih Sayang.


Aku sama sekali tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya di atas pentas-Mu ini, berlagak sombong dan pandai membelakangkan arahan Pengarah pentas Dunia dan Akhirat. Sekiranya para pelakon pentas-Mu durhaka, maka akan kucar-kacir dan haru-birulah pentas-Mu ini. Padahnya neraka sebelum neraka di akhirat sana.




Manakala kehidupan yang sebenar adalah di akhirat sana. Yang telah melaksanakan amanah Tuhan dengan baik, Tuhan merahmatinya dengan balasan Syurga yang indah dan kekal abadi. Bagi yang telah mencuaikan amanah Tuhan, Nerakalah padahnya. Di sinilah realiti kehidupan hamba di sisi Tuhan. Di sinilah kehidupan yang hakiki dan abadi. Kerana di sinilah hamba-Mu yang mentaati dan menyintai-Mu akan bersama-Mu. Sedangkan dunia sebuah pentas lakonan. Cuma...Tolonglah aku wahai Tuhan. Hambamu yang lemah dan hina ini sangat memerlukan pimpinan-Mu dan pertolongan-Mu
untuk menjalani kehidupan sandiwara di dunia yang sementara ini.

0 comments:

Post a Comment