Wednesday, April 15, 2009

KESYUMULAN ISLAM

ISLAM adalah agama yang syumul. Ia merupakan agama yang meliputi semua aspek kehidupan manusia, bermula daripada persoalan diri, keluarga, rumahtangga, jemaah, masyarakat, negara hinggalah kepada persoalan dunia antarabangsa. Kesyumulan Islam ini tidak dapat tidak mesti kita tegakkan. Tetapi perlu diingat, bentuk dan tahap kesyumulan Islam itu tidak sama antara satu peringkat dengan satu peringkat yang lain.

Ertinya, kesyumulan Islam yang tegak dalam diri tidak sama dengan kesyumulan Islam yang tegak dalam rumahtangga; kesyumulan Islam yang tegak dalam jemaah tidak sama dengan kesyumulan di dalam masyarakat, negara dan begitu-lah seterusnya. Ini bermakna, adakalanya kesyumulan Islam itu tegak dalam diri tetapi tidak dalam rumahtangga; adakalanya tegak dalam rumahtangga tetapi tidak dalam jemaah dan begitu pulalah seterusnya.

Dengan kata lain, tertegaknya kesyumulan Islam di sesuatu peringkat itu bukanlah jaminan untuk tertegaknya Islam di satu peringkat yang lain. Jika kesyumulan Islam tidak tertegak dalam diri maka sudah tentu ia tidak akan dapat kita tegakkan dalam rumahtangga. Ini disebabkan menegakkan Islam dalam rumahtangga jauh lebih sukar daripada menegakkan kesyumulan Islam dalam diri. Jika kesyumulan Islam tidak dapat ditegakkan dalam rumahtangga maka usah diharap tegaknya kesyumulan Islam di dalam jemaah; itu lebih sukar. Begitu juga, jika kesyumulan Islam belum dapat ditegakkan dalam jemaah maka sudah tentu ia tidak dapat ditegakkan dalam masyarakat. Kalau kesyumulan itu tidak dapat ditegakkan dalam masyarakat sudah tentu kesyumulan Islam tidak dapat ditegakkan dalam negara.

Kesimpulannya, adalah lebih mudah menegakkan kesyumulan Islam di peringkat yang lebih rendah daripada peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu langkah menegakkan kesyumulan Islam itu mestilah bermula dari bawah kerana ia lebih mudah bahkan lebih utama.

Kesyumulan individu :
Bagaimana atau bilakah kesyumulan Islam itu dikatakan telah tegak di dalam diri seseorang individu itu? Kesyumulan Islam dalam diri seseorang individu itu dicapai setelah ia dapat menegakkan perkara-perkara berikut:

1) Mempelajari, memahami dan menghayati Rukun Iman yang enam (percaya kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, qadak dan qadar dan Hari Kiamat) sehingga ia menjadi keyakinan yang padu di dalam hati.

Dalam persoalan percaya kepada Allah misalnya, seorang individu itu wajiblah meyakini sifat-sifat wajib bagi Allah SWT, sifat-sifat mustahil bagi-Nya dan sifat-sifat yang harus. Seseorang individu itu wajib meyakini sifat-sifat yang wajib bagi rasul, sifat-sifat mustahil baginya dan juga sifat-sifat yang harus. Keyakinan inilah yang dikatakan aqidah. Persoalan aqidah ini tidak dapat tidak, mesti berakar umbi di dalam hati seseorang. Aqidah inilah yang menjadi penggerak utama kepada seseorang muslim untuk melaksanakan perintah Allah sama ada amalan lahir ataupun batin. Inilah yang dimaksudkan dengan "hidup bertunjangkan aqidah". Ertinya, kegigihan seseorang dalam menegakkan hukum Allah dalam hidup ditentukan oleh sekuat mana aqidah yang bertunjang di dalam hatinya.

2) Memahami, meyakini dan melaksanakan Rukun Islam yang lima (mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat dan naik haji).

Ia hendaklah memahami semua persoalan yang berkaitan dengan rukun-rukun Islam ini secara ilmiah dan kemudian melaksanakannya secara praktikal. Secara individunya ialah seperti melaksanakan makan minum dan pakaian yang halal. Dan juga menjauhi perkara yang haram seperti mendedahkan aurat dan lain-lain. Inilah yang dikatakan syariat ataupun feqah. Persoalan feqah atau syariat ini berbeza dengan persoalan aqidah kerana ia lebih berbentuk tindakan yang boleh dilihat dengan mata kepala. Sedangkan persoalan aqidah hanya bertunjang di dalam hati.

3) Ia mestilah menegakkan akhlak pada peribadinya.
Persoalan akhlak inilah yang dikatakan ajaran tasawuf. Apabila kita memperkatakan persoalan akhlak, hendaklah kita ingat bahawa akhlak itu terbahagi kepada dua:

1. Akhlak dengan Allah; dan
2. Akhlak dengan sesama makhluk atau manusia.

Akhlak dengan Allah itu, antaranya ialah:
a) Hubbullah (cinta kepada Allah).
b) Khaufullah (takut kepada Allah).
c) Rasa malu kepada Allah.
d) Syukur.
e) Sabar.
f) Redha dengan apa yang ditentukan Allah.
g) Ikhlas
h) Bertaubat.
i) Rasa kehambaan (iaitu rasa hina, rasa khusyuk, rasa tadarruk dan lain-lain rasa yang sewajamya ada pada diri seseorang hamba apabila berdepan dengan Tuhannya).
j) Harap.
k) Tawakal.

Akhlak dengan sesama makhluk atau sesama manusia itu pula ialah:
a) Merendah diri.
b) Bertolong bantu.
c) Nasihat-menasihati.
d) Pemaaf.
e) Suka meminta maaf.
f) Pemurah.
g) Kasih sayang atau kasih mesra.
h) Lapang dada.
i) Bertolak ansur.

Jadi, jelaslah kepada kita bahawa untuk membentuk seorang individu muslim yang dapat menegakkan Islam secara syumul, tiga perkara perlu ada pada individu tersebut. Pertama aqidah, kedua syariat dan ketiga akhlak. Atau, pertama Iman, kedua Islam dan ketiga Ihsan .

Kesyumulan rumahtangga : Apakah ciri-ciri yang menunjukkan telah tertegaknya kesyumulan Islam di dalam sebuah rumahtangga?

Antaranya ialah:
a) Suami mampu memimpin anggota keluarganya ke arah Islam.

b) Isteri, anak-anak atau siapa sahaja yang ada di dalam rumahtangga itu mentaati Allah, Rasul dan pemimpin rumahtangga (ayah atau suami).

c) Isteri-isteri dapat menjaga maruah dirinya ketika suami tidak ada di rumah.

d) Isteri mampu mendidik anak-anak serta dapat menjaga kebersihan lahir dan batin dalam rumahtangga meliputi soal pakaian, makanan, minuman dan harta benda yang ada di dalam rumahnya.

e) Mempunyai sebuah rumah yang mengandungi bilik-bilik yang dikhaskan buat tempat tidur ibu dan ayah (suami isteri), anak-anak perempuan dan anak-anak lelaki. Anak-anak mesti tidur berasingan daripada ibu bapanya. Anak lelaki pula mesti tidur berasingan daripada anak perempuan. Ajaran Islam telah menetapkan, kanak-kanak yang telah mencapai umur sepuluh tahun mesti dipisahkan tempat tidurnya daripada tempat tidur ibu bapa dan antara sesama adik-beradiknya (lelaki dan perempuan).

f) Jika tidak dapat bersembahyang jemaah dengan orang ramai kerana rumah terletak jauh dari surau atau masjid, maka anggota keluarga di dalam rumahtangga itu hendaklah mendirikan sembahyang jemaah di rumah dengan bapa atau suami sebagai imam, isteri dan anak-anak sebagai makmum.

g) Isteri yang hendak keluar dari rumah (bersama muhram) mestilah mendapat keizinan daripada suami.

h) Isteri-isteri tidak membenarkan tetamu datang bagi pihaknya tanpa mendapat keizinan daripada suaminya.

i) Wujud suasana kasih sayang dan hormat-menghormati sesama anggota keluarga di dalam rumahtangga itu.

j) Semua anggota keluarga hendaklah selalu berusaha supaya mempunyai sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah. Pergaulan, tutur kata dan gerak-geri selalu dijaga, agar sentiasa sopan dan bermaruah.

k) Mempunyai rumah yang mengekalkan ciri-ciri kesederhanaan menurut ajaran Islam. Tidak terdapat di dalamnya lambang-lambang kemewahan dan pembaziran seperti perhiasan-perhiasan daripada sutera, intan berlian, pinggan mangkuk yang dibuat daripada perak atau emas, patung-patung atau hiasan yang diperbuat daripada sesuatu yang najis, berbentuk lucah dan menyerupai hiasan-hiasan orang kafir yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

1) Tidak berlaku pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan seperti antara tetamu yang hadir dengan anggota keluarga tuan rumah yang bukan muhram. Ajaran Islam menyuruh kita menghormati tetamu, tetapi tidaklah sehingga melewati batas yang telah ditetapkan oleh syariat. Isteri tuan rumah tidak boleh bersalaman dengan tetamu lelaki yang bertandang, tidak boleh bebas keluar masuk atau berlegar-legar untuk melayani tetamu dengan mendedahkan aurat. Persoalan ini mesti diteliti dengan baik dan berhati-hati. Kita sebagai pemimpin keluarga mesti menitikberatkan persoalan ini. la tidak boleh dianggap remeh.

Sekarang mari kita lihat apakah tanda-tanda yang menunjukkan tertegaknya kesyumulan Islam di dalam sesebuah jemaah atau masyarakat.

a) Melindungi anggota-anggotanya dengan menyediakan semua keperluan hidup seperti makan minum yang halal, tempat tinggal yang selamat, peluang pekerjaan yang sesuai, kemudahan mendapat pendidikan anak-anak, kemudahan mendapat rawatan perubatan dan lain-lain bentuk keperluan. Oleh itu sesebuah jemaah Islamiah itu mestilah mampu mendirikan sistem pendidikan Islamnya sendiri, sistem ekonomi Islam yang bebas daripada unsur riba; kilang-kilang perusahaan yang dapat menyediakan bahan makanan dan alat-alat keperluan harian kepada ahli-ahlinya; mewujudkan hospital atau klinik yang dapat memberi kemudahan rawatan dan perubatan yang selaras dengan syariat; dan membuka ladang-ladang pertanian dan pusat penternakan yang berupaya membekalkan bahan-bahan mentah untuk membangunkan satu masyarakat yang berdikari dan dapat membina kemajuannya sendiri. Dengan adanya usaha-usaha ini secara langsung atau tidak, anggota-anggota jemaah itu akan mendapat pekerjaan sesuai dengan kemampuan, bakat dan minat masing-masing. Jemaah Islam ialah sebuah jemaah yang ahlinya tidak ada seorang pun yang menganggur! Pendek kata, jemaah Islam yang benar-benar dapat menegakkan kesyumulan Islam ialah jemaah yang mampu menjadi satu model negara Islam yang kecil. Jemaah Islam ialah bayangan negara Islam. Cuma ada beberapa aspek tertentu sahaja yang belum dapat ditegakkan.

Sebuah negara yang dapat menegakkan Islam secara syumul itu juga ialah negara yang dapat membentuk seorang pemimpin dan jemaah menterinya yang faham tentang Islam, yang bertaqwa, yang adil, dan yang mengutamakan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan diri atau peribadi . Ia juga dapat membentuk gabenor-gabenor atau menteri-menteri besar yang faham tentang Islam, yang bertaqwa, yang adil dan mengutamakan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan peribadi. Dan ia juga dapat membentuk ketua angkatan tentera yang mempunyai ciri-ciri yang tersebut di atas berserta satu angkatan tentera Islam yang anggota-anggotanya dapat didisiplinkan lahir dan batin agar sentiasa mentaati Allah dan Rasul pada setiap masa dan ketika. Tentera yang bersembahyang, berpuasa, berakhlak, berkasih sayang dan bertanggungjawab kepada keamanan negara, bangsa dan agamanya.

Tepat seperti yang digambarkan oleh kata-kata hukamak: Menjadi abid pada malam hari dan menjadi singa pejuang pada siang hari Begitulah sifat-sifat tentera Islam di dalam sebuah daulah Islamiah. Zahirnya lengkap dengan kekuatan fizikal dan alat senjata yang moden (sesuai dengan perkembangan zaman). Batinnya pula penuh dengan sifat mahmudah sebagai hamba Allah yang bertaqwa.

Jadi jelaslah, jalan untuk menuju kepada tertegaknya kesyumulan Islam di dalam sesebuah negara itu tidaklah terlalu berat jika ia telah terlebih dahulu ditegakkan di peringkat jemaah. Sebuah jemaah Islamiah yang sempurna adalah umpama wadah yang di dalamnya telah tertegak sistem ekonomi, pendidikan, pertanian, perubatan, perhubungan, kebajikan dan aspek-aspek hidup lain secara Islam.

0 comments:

Post a Comment