Tuesday, April 7, 2009

BILA MANUSIA SALAH MENILAI DAN MENYELESAIKAN MASALAH

Dalam hidup, setiap manusia pasti akan berhadapan dengan ujian atau masalah. Bezanya hanya banyak atau sedikit, berat atau ringan. Itulah sifat dunia. Ini jelas seperti yang disebut di dalam sebuah hadis:

"Dunia itu negara bala dan ujian."

Ramai orang menganggap ujian itu masalah dan masalah itu adalah masalah.Mereka tidak suka dengan masalah.Mereka rasa tertekan dengan ujian dan masalah. Mereka hilang bahagia dan hilang ketenangan. Mereka rasa resah dan gelisah. Bila ditimpa masalah, ia terasa besar, berat dan sangat menyakitkan. Ia menghantui fikiran dan perasaan mereka. Hilang selera makan, tidak boleh tidur dan kadang-kadang boleh jatuh sakit.

Manusia takut dengan ujian dan masalah. Manusia takut dengan kemiskinan, sakit, kemunduran dan berbagai-bagai lagi bentuk masalah yang menimpa mereka seperti rugi dalam perniagaan, tidak naik pangkat, kematian orang yang disayangi dan sebagainya. Bagi Tuhan, ini semua bukan masalah.Miskin bukan masalah kerana miskin tidak berdosa. Jatuh sakit bukan masalah kerana ia tidak berdosa. Mundur bukan masalah kerana mundur tidak berdosa. Tidak naik pangkat,hilang jawatan, rugi dalam perniagaan, kematian orang yangdisayangi dan sebagainya juga bukan masalah. Kerana semua ini tidak berdosa. Orang tidak masuk ke neraka kerana perkara-perkara seperti ini. Tetapi manusia menganggap perkara-perkara seperti ini sebagai masalah.Perkara yang sebenarnya masalah, manusia tidak pula anggap sebagai masalah. Masalah manusia yang paling besar ialah tidak kenal dan tidak takut Tuhan. Kalau tidak takut Tuhan, perkara yang bukan masalah pun akan menjadi masalah. Lebih-lebih lagilah kalau perkara itu memang masalah.Manusia sudah tidak pandai menilai masalah. Perkara yang remeh dan kecil dianggap masalah tetapi perkara besar yang sebenarnya satu masalah langsung tidak dipedulikan.

Contohnya, miskin bukan satu masalah. Tetapi kalau manusia tidak takut Tuhan, dia tidak akan sabar dengan kemiskinan.Oleh itu, untuk mengatasinya, dia akan mencuri, merompak,menyamun, pecah rumah dan mungkin juga akan membunuh. Ini sudah menjadi masalah. Dia telah membuat dosa dan kemungkaran. Dosa adalah satu masalah. Hukumannya neraka.

Kaya bukan satu masalah tetapi kalau manusia tidak takut Tuhan, kekayaannya akan membuatkannya menjadi sombong,hidup nafsu-nafsi, suka berpoya-poya, membazir, boros, bakhil dan sebagainya. Ini sudah menjadi masalah. Semua itu adalah berdosa dan hukumannya adalah neraka.Pandai dan berilmu bukan satu masalah. Ia perkara yang baik. Tetapi kalau manusia tidak takut Tuhan, ilmu dan kepandaiannya akan membuatkannya menjadi sombong, tidak mahu bergaul dengan orang, hidup suka menyendiri dan akan digunakan ilmunya itu untuk mengejar pangkat dan jawatan dan untuk mengumpul harta kekayaan. Hatta, kalau ilmu agama sekalipun akan dijualnya untuk mendapat dunia. Ini adalah masalah.

Jawatan dan menjadi pemimpin bukan satu masalah.Memang pemimpin itu perlu. Tetapi kalau manusia tidak takut Tuhan, jawatannya sebagai pemimpin akan membuatkannya menjadi sombong, zalim, suka menindas dan mementingkan diri sendiri. Ini adalah masalah.Kalau manusia tidak takut Tuhan, yang positif akan menjadi negatif dan yang negatif akan menjadi lebih negatif.Yang baik akan menjadi buruk dan yang buruk akan menjadilebih buruk.

Hidup di dunia sampai bila pun tidak akan sunyi dari masalah. Oleh itu, kalau masalah dianggap sebagai masalah maka hidup di dunia tidak akan putus-putus dengan kesusahan dan penderitaan. Dunia akan dirasakan seperti neraka.Ini tidak benar. Dunia adalah dunia. Dunia bukan neraka.Tujuan Tuhan mendatangkan ujian dan masalah kepada manusia di dunia bukan untuk menjadikan hidup manusia tersiksa, sengsara dan menderita. Bukan untuk menjadikan dunia ini seperti neraka. Maha suci Tuhan dari perkara itu.

Oleh itu, kita kena belajar dan faham apa itu ujian dan masalah dan kenapa Tuhan datangkan ujian dan masalah kepada kita. Nanti, kalau kita sudah faham, kita akan terasa bahawa di dalam ujian dan masalah yang menimpa kita itu terkandung berbagai hikmah dan kasih sayang Tuhan. Kita akan sedar bahawa tanpa ujian dan masalah, manusia akan tersangat rugi.

Apa yang harus kita faham, neraka itu dikelilingi oleh berbagai perkara yang menyeronok dan mengasyikkan. Sebaliknya,syurga itu pula dikelilingi oleh berbagai perkara yang menyakitkan dan menyusahkan. Oleh itu, kalau kita ditimpa ujian dan masalah, kita sebenarnya sedang dalam perjalanan menghala ke syurga. Itu hala tujuan yang benar dan baik.Hanya kita perlu sabar dan redha dengan ujian tersebut. Kalau kita mampu bersabar, maka ujian itu akan bertukar menjadi satu rahmat. Kita akan dapat pahala dan pengampunan dari Tuhan.Sebaliknya, kalau kita berada dalam keadaan bersuka-ria, seronok, asyik-masyuk dan dibuai-buai oleh nikmat dan kesenangan, kita sebenarnya sedang berada dalam perjalanan menghala ke neraka. Semua perkara ini boleh melalaikan kita dan membuatkan kita lupa kepada Tuhan.

Maka, apalah salahnya kita diuji dan ditimpakan masalah.Masalah dan ujian, kalau kita dapat bersabar menghadapinya,Tuhan akan ampunkan dosa kita atau akan mengangkat darjat kita di syurga. Bukankah ini satu perkara yang baik seolah-olah ianya satu hadiah dari Tuhan.Di samping itu, masalah dan ujian yang datang dapat mematangkan roh dan menguatkan jiwa kita. Kita terdidik dengan masalah dan ujian. Sebenarnya masalah dan ujian adalah cara Tuhan mendidik agar hati, roh dan jiwa kita terbina dan terbangun.
Masalah dan ujian mendorong kita kembali kepada Tuhan.Ia menyedarkan dan menginsafkan kita. Ia dapat membantu kita kembali kepada rasa berTuhan, mengadu, bergantung harap, merintih dan meminta tolong kepada Tuhan. Ujian dan masalah boleh menyuburkan sifat-sifat hamba kita.Masalah dan ujian meningkatkan iman. Malahan ia adalah syarat untuk mendapatkan iman. Oleh itu, kalau kita benci atau tidak suka diuji dan kita tidak senang dengan masalah,takut-takut kita tidak termasuk golongan orang yang Tuhan akan campakkan iman ke dalam hati-hati mereka. Ini kerana Allah SWT ada berfirman:

Maksudnya: "Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan `Kami telah beriman,` sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan dia mengetahui orang yang dusta." (Al-Ankabut: 2-3)

Yang sangat benci kepada ujian dan masalah itu ialah nafsu kita. Di antara sebabnya Tuhan datangkan ujian dan masalah dalam hidup kita ialah untuk menekan dan mengekang nafsu agar ia tidak terlalu rakus dan buas. Nafsu terdidik dengan ujian dan masalah. Kalaulah Tuhan tidak datangkan ujian dan masalah, nafsu kita akan menjadi subur. Ia kemudian berbunga dan akhirnya berbuah.Buah nafsu ialah sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati yang merosakkan kebahagiaan dan hidup manusia.Buah nafsu ialah sombong, angkuh, tinggi diri, hasad dengki,bakhil, pemarah, panas baran, gila dunia, gila puji dan berbagai-bagai lagi.

Maka jelaslah bahawa ujian dan masalah itu adalah satu rahmat dan kasih sayang dari Tuhan. Ia membantu kita mengawal, melemahkan dan mendidik nafsu yang sangat memusuhi kita. Justeru itu, kalau kita terlalu benci, terlalu tertekan dan terlalu sakit dengan ujian dan masalah, ketahuilah bahawa nafsu kita sedang menguasai kita dan kita tergolong dari orang yang sangat dipengaruhi oleh nafsu. Besar kemungkinan nafsu kita masih di peringkat amarah iaitu nafsu yang sangat mengajak kepada kejahatan. Allah SWT ada berfirman:

Maksudnya: "Sesungguhnya nafsu amarah itu sangat mengajak kepada kejahatan." (Yusuf: 53)

Bagi orang yang nafsunya telah terdidik, fitrahnya bersih dan sangat berperanan. Fitrahnya sangat ingin menyembah dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Fitrahnya sangat suka bersusah-payah kerana Tuhan. Ujian dan masalah baginya adalah perhatian dan kasih sayang Tuhan. Ia adalah makanan bagi jiwanya.Oleh itu, kita lihat para sahabat sangat sedih kalau Tuhan tidak menguji mereka. Kalau satu hari mereka tidak diuji,mereka bimbang. Kalau dua hari tidak diuji, mereka cemas.Kalau tiga hari tidak diuji, mereka mula merasa takut. Mereka rasa Tuhan sudah lupa dan tidak pedulikan mereka lagi.Lantas mereka merayu dan merintih kepada Tuhan agar mereka tidak disisih dan dilupakan. Agar Tuhan tidak meninggalkan mereka. Ini berterusan hingga Tuhan uji mereka kembali.Barulah mereka kembali tenang.

Para sahabat merasa tenang dalam ujian dan mereka resah dan gelisah apabila tidak diuji. Mengapa kita tidak begitu?Mengapa sikap kita sangat berbeza dan bertentangan dengan sikap para sahabat?

Allah SWT ada berfirman dalam sebuah hadis Qudsi:

Maksudnya: "Kalau kamu diuji, kamu tidak sabar. Dan kalau kamu diberi nikmat, kamu tidak bersyukur. Maka keluarlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan carilah Tuhan yang lain selain Aku."

0 comments:

Post a Comment