Saturday, April 11, 2009

ANAK-ANAK : SIAPA SEPATUTNYA YANG MENDIDIK

Di zaman para Sahabat, para tabiin dan para tabiit-tabiin, tidak ada sekolah dan tidak ada madrasah. Anak-anak dididik dan diajar di rumah. Ibu bapa ketika itu alim dan berakhlak mulia. Mudah bagi mereka mendidik dan mengajar anak-anak mereka di rumah hingga menjadi alim dan berakhlak mulia seperti mereka juga.

Selepas zaman tabiit-tabiin, kebanyakan ibu bapa tidak sealim dahulu lagi. Mereka tidak mampu lagi mengajar anak-anak mereka di rumah. Justeru itu tugas mengajar diserahkan kepada orang lain yang lebih alim. Kebanyakan pengajian ini berpusat di masjid-masjid dan di rumah guru-guru yang mengajar. Pelajaran yang diajar diasaskan kepada ilmu agama.Ini berterusan sehingga tugas mengajar ini keseluruhannya diserahkan kepada masyarakat. Masyarakat membina sekolah dan madrasah dan para muallim atau orang-orang yang berilmu ditugaskan untuk mengajar anak-anak di madrasah-madrasah tersebut.

Guru-guru yang mengajar di masjid, di rumah-rumah dan di madrasah, di samping mengajar ilmu, sedikit sebanyak turut juga memberi tarbiah atau didikan. Namun begitu, didikan di rumah oleh ibu bapa masih diteruskan. Anak-anak belajar dan diberi ilmu agama di madrasah tetapi mereka ditarbiah dan dididik di rumah.

Di zaman ini, keadaan sudah berubah. Sekolah merata-rata. Semua anak-anak belajar di sekolah. Tetapi kebanyakan sekolah di zaman ini hanya memberatkan ilmu dunia atau ilmu
akademik semata-mata yang tidak ada apa-apa nilai pendidikan. Kalaupun ada mata pelajaran agama, ia sangatlah sedikit dan tidak dijadikan mata pelajaran teras. Ia pula berbentuk ilmiah semata-mata dan amalannya tidak ditekankan. Di sekolah agama pun, ilmu akademik sangat diutamakan hingga tumpuan para pelajar terbahagi dua di antara ilmu agama dan ilmu akademik. Akhirnya ke sini tidak, ke sana pun tidak.

Ada pula sekolah yang dinamakan sekolah agama tetapi tidak ada bezanya dengan sekolah akademik yang lain kecuali ada tambahan mata pelajaran bahasa Arab. Apa kaitannya bahasa Arab dengan agama sehingga sekolah itu dinamakan sekolah agama,kita pun tak tahu. Setakat mengajar bahasa Arab sahaja,tidak layak rasanya sesebuah sekolah itu dinamakan sekolah agama.

Melihat kepada keadaan yang wujud di sekolah ketika ini, sukar bagi kita untuk membayangkan bagaimana pendidikan boleh dilaksanakan di sekolah. Iklim dan suasana untuk mendidik tidak wujud di sekolah. Kalau pelajaran ialah proses mengumpul ilmu di mana ada guru yang mengajar dan ada murid yang belajar dan matlamatnya khusus supaya murid menjadi pandai dan berilmu pengetahuan, maka ini mudah dicapai dan sesuai dilaksanakan di sekolah. Tetapi tarbiah atau pendidikan yang matlamatnya ialah untuk mengenal Tuhan, membentuk akhlak yang baik dan peribadi yang luhur, memerlukan kepada pemahaman, penghayatan, penjiwaan dan pengamalan. Ia memerlukan bimbingan yang rapi dan berterusan. Proses pendidikan ini sukar untuk dicapai di sekolah dalam keadaan yang ada sekarang ini.

Walaupun kementerian pelajaran telah ditukar nama kepada kementerian pendidikan, ini sebenarnya ialah satu ‘misnomer’ atau tersalah nama. Tidak banyak berlaku usaha
pendidikan di sekolah. Yang banyak ialah pelajaran atau taalim semata-mata, khususnya ilmu dunia atau akademik. Kalau keadaan ini tidak berubah, elok rasanya nama kementerian berkenaan ditukar semula kepada nama asal iaitu kementerian pelajaran. Ia lebih tepat.

Sistem pelajaran kita sebenarnya ditiru bulat-bulat dari sistem pelajaran penjajah Inggeris. Dalam tamadun dan masyarakat Inggeris, yang ada hanyalah ‘education’ atau pelajaran atau istilah Arabnya ‘Taalim’. Tidak ada apa yang kita namakan sebagai pendidikan atau istilah Arabnya ‘Tarbiah’ di dalam sistem pelajaran mereka. Oleh itu tukarlah nama kementerian kepada nama apa sekalipun tapi kalau sistem pelajaran kita tidak diubah supaya lebih mirip kepada sistem Islam di mana ada kedua-dua unsur tarbiah dan taalim atau pendidikan dan pelajaran, maka ‘substance’nya tetap sama. Kalau ‘substance’nya sama maka buah atau hasilnya juga tetap akan sama.

Di dalam tamadun barat, pembentukan akhlak yang berasaskan keimanan sepertimana yang kita faham sebenarnya tidak wujud. Kalaupun ada sifat baik yang diutarakan, ianya hanyalah berasaskan tradisi, ‘civility’, etika atau takutkan hukuman undang-undang atau takut disaman di mahkamah.

Nilai akhlak agama Kristian jarang diketengahkan kerana agama Kristian sendiri membawa satu ajaran yang melemahkan usaha mujahadah dan membina akhlak. Menurut agama Kristian,
setiap orang Kristian akan akhirnya ke Syurga kerana segala dosa mereka di dunia telah dihapuskan dan ditanggung oleh ‘anak tuhan’ Jesus Christ ketika dia mati disalib.

Justeru itu, tidak ada tuntutan ke atas mereka untuk berakhlak atau berlaku baik. Mereka yakin, sejahat mana pun dan seburuk mana pun akhlak mereka, Syurga itu dijamin bagi mereka.Dasar pendidikan negara pula tidak banyak tertumpu kepada pembentukan akhlak. Ia hanya menganggap warga pelajar sebagai bahan ekonomi yang perlu diajar dan dilatih untuk
mendapat kemahiran supaya boleh mengisi keperluan buruh (labour) dan pengurusan (management) bagi industri, perusahaan, pertanian dan perdagangan negara. Kalaupun
ada sedikit penekanan kepada agama atau moral, ia hanya supaya warga pelajar tidak menjadi terlalu liar dan tidak terkawal sehingga boleh merosakkan sistem yang ada. Tidak ada dasar pendidikan negara yang bertujuan untuk membentuk manusia yang beriman, yang bertaqwa, yang berakhlak dan yang terbina insan mereka supaya mereka dapat menjadi seorang hamba Allah yang tulin.

Mendidik sebenarnya adalah di luar kemampuan para guru termasuk para ustaz dan ustazah di sekolah. Mereka tidak dilatih untuk itu. Mereka tidak tahu soal hati dan jiwa dan selok belok mendidik yang jauh lebih rumit dari mengajar. Mereka tidak berpeluang bergaul dan hidup bersama pelajar secara berterusan. Oleh itu mereka tidak mengenal sifat, watak dan peribadi setiap pelajar secara mendalam walhal ini adalah syarat penting dalam mendidik supaya sifat yang baik dan positif dapat disuburkan dan sifat yang buruk dan negatif dapat diungkai dan dibuang.

Tambahan lagi hasil dari suasana yang wujud, perhubungan antara guru dengan murid lebih banyak bersifat biasa atau ‘casual’. Perhubungan ‘casual’ tidak memadai di dalam usaha
untuk mendidik. Ia tidak menimbulkan komitmen, kepercayaan, ikatan hati dan penyerahan diri secara total. Tanpa perhubungan hati yang erat seperti ini antara guru dan murid,pendidikan tidak akan sampai ke mana.

Dalam mendidik, para murid perlu kepada seorang role model untuk diikuti dan dicontohi. Soalnya, berapa ramaikah para guru termasuk ustaz dan ustazah di sekolah yang watak,
akhlak, ibadah dan peribadi mereka benar-benar dapat dijadikan contoh yang baik. Kalaupun ada, murid yang mana harus mencontohi guru yang mana kerana guru terlalu ramai.
Dalam belajar atau mengajar, tidak ada masalah kalau guru ramai kerana hanya ilmu sahaja yang perlu disampaikan. Tetapi di dalam mendidik, tidak boleh ada lebih dari seorang
pendidik bagi setiap murid. Pendidik itulah yang menjadi contoh dan ikutan. Kalau terlalu ramai pendidik, murid akan bercelaru dan jadi rosak. “Too many cooks spoil the brook. Even if all of them are chefs.”

Suasana dan persekitaran sekolah juga menjadi penghalang kepada proses pendidikan. Sekolah yang bermatlamatkan kelulusan bersijil bagi tujuan ekonomi dan untuk mendapatkan
pekerjaan tidak mencetuskan suasana yang sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni di dalam pendidikan yang bermatlamatkan kesejahteraan dunia dan Akhirat. Suasana
dan nilai kedua-dua ini sangat berbeza dan bertentangan di
antara satu sama lain. Kalaupun ada mata-mata pelajaran yang
bertujuan untuk mendidik seperti agama, moral dan sebagainya,ia disampaikan dalam bentuk ilmiah semata-mata seperti mana juga mata-mata pelajaran yang lain. Contohnya, pelajaran agama mengajarkan bahawa solat atau sembahyang itu wajib hukumnya. Akan tetapi, pelaksanaannya tidak pula ditekan atau diberatkan oleh sekolah sama ada kepada guru
mahupun kepada murid. Ikut suka masing-masing. Hendak sembahyang, sembahyanglah. Tak mahu sembahyang pun tak apa. Kemudahan untuk bersembahyang pun tidak mencukupi
dan masa untuk menunaikannya juga tidak dikhaskan. Begitulah juga halnya dengan hukum menutup aurat, pergaulan bebas lelaki perempuan dan berbagai-bagai lagi.

Disiplin dan kaunseling di sekolah bolehlah dianggap sebagai usaha yang paling hampir kepada pendidikan. Namun demikian, kedua-dua guru disiplin dan guru kaunseling hanya
mengendalikan kes-kes murid yang sudah rosak. Mereka sebenarnya bukan mendidik tetapi membaik pulih. Pendidikan bukan baik pulih tetapi pembentukan akhlak dan peribadi
yang bermula dari awal dan dilakukan secara berterusan. Guru disiplin dan guru kaunseling pula selalunya bukan guru darjah atau guru tingkatan bagi murid yang bermasalah tetapi guru yang khusus untuk tujuan itu. Itu sebabnya usaha mereka kurang efektif kerana mereka tidak kenal secara mendalam murid bermasalah yang mereka kendalikan sama ada watak mereka, sifat mereka, apa yang mereka suka, apa yang mereka benci dan sebagainya. Kalau murid yang bermasalah tidak dikenali betul-betul sifat dan wataknya, tindakan disiplin dan kaunseling mungkin tidak tepat. Ini boleh menjadikan keadaan bertambah buruk dan ‘counter productive’. Murid yang kuat perasaan dan kuat emosi contohnya, kalau dilayan dengan ugutan dan kekerasan, akan rosak dan patah jiwanya. Kalau dimanjakan, akan rosak juga. Sebaliknya, murid yang kuat jiwa yang menyimpan marah dan benci dalam hatinya, kalau dihukum dan disakitkan tanpa diberi kasih sayang akan berdendam sampai bila-bila. Api marahnya mungkin akan padam buat sementara waktu tetapi baranya akan terus menyala menunggu masa sahaja untuk marak semula dengan lebih ganas lagi.

Tambahan kepada keadaan di sekolah, ibu bapa di zaman ini pula umumnya sudah tidak lagi mendidik anak-anak mereka di rumah. Mungkin kerana mereka tidak mampu, tidak tahu bagaimana hendak mendidik atau ibu bapa sekarang terlalu sibuk dengan kerja dan hal-hal urusan dunia.Jadi, kebanyakan anak-anak di zaman ini sebenarnya tidak terdidik. Di rumah tidak, di sekolah pun tidak. Rumah hanya jadi tempat penginapan dan sekolah hanya jadi tempat menimba ilmu dan kemahiran untuk kegunaan hidup dan keperluan ekonomi kerana itulah sebenarnya tujuan ilmu akademik. Ibu bapa harapkan pendidikan anak-anak kepada guru dan guru harapkan ibu bapa yang mendidik. Ibu bapa tak mampu. Guru pun tak mampu. Akhirnya tidak ada yang membimbing anakanak dalam hal akidah, dalam hal keimanan dan ketaqwaan,
dalam hal ibadah, dalam hal akhlak dan dalam hal hidup beragama.

Akhirnya, yang mendidik anak-anak ialah suasana dan persekitaran yang sudah nyata rosak. Agen-agen yang merosakkan suasana dan persekitaran ini lebih banyak dan lebih ramai dari pihak-pihak dan para penguasa yang mengawalnya. Bermacam-macam bentuk pengaruh liar, separuh lucah dan yang melalaikan disiarkan melalui media elektronik di kaca TV dan radio. Ini termasuklah muziknya, lagu-lagu pop, rock dan metalnya, berbagai-bagai drama, filem termasuk filem Hindustan dan drama-drama yang diimport. Program-program ini, walaupun sekali imbas nampak macam ‘innocent’ tetapi ia mengandungi pengaruh negatif yang halus yang makan dalam dan boleh merosakkan jiwa, jati diri, pegangan dan nilai hidup para pelajar. Para pelajar nampak macam Islam, nama pun nama Islam, tetapi fikiran, hati, jiwa, citarasa,kecenderungan dan nilai hidup mereka sudah tidak Islamik.

Mereka tidak kenal Islam. Jiwa mereka kosong dari keimanan dan ketuhanan. Mereka ini akan mudah terpengaruh dengan hal-hal yang menyeleweng dan budaya-budaya yang boleh
merosakkan akhlak dan tatasusila. Ini ditambah lagi dengan media cetak yang memaparkan
berbagai unsur lucah dan separa lucah serta budaya-budaya tergeliat yang melibatkan artis, pelakon, pelawak, ahli sukan dan sebagainya. Mereka inilah yang jadi contoh, ikutan, idola dan role model bagi para pelajar. Kalau golongan inilah yang dinobatkan sebagai role model dan yang sentiasa dicontohi, apa sangatlah yang hendak diharapkan dari para pelajar kita. Tak hairanlah kalau akhlak dan moral mereka runtuh. Mana perginya tokoh-tokoh seperti para Sahabat, ulama-ulama besar seperti Imam Syafie, Imam Ghazali dan pejuang dan pahlawan Islam seperti Salehuddin Al-Ayubi, Muhammad Al-Fateh dan beratus-ratus bahkan beribu-ribu lagi watak Islam yang lebih layak dicontohi di samping Rasulullah SAW sendiri. Tak cukup dengan itu, diadakan pula show dan pementasan secara live dengan muzik pop, rock, metal dan sebagainya. Tak cukup dengan artis tempatan, diimport pula artis dari luar negara. Micheal Jacksonlah, The Corrslah. Semuanya datang untuk membuat kerosakan. Dan segala-galanya dipermudahkan untuk mereka malah diberi pula sokongan dari pihak atasan tertentu.

Itu belum lagi internet di mana maksiat yang terkandung di dalamnya seperti laut yang tidak bertepi dengan unsur ganas dan unsur seks yang berbagai-bagai bentuk dan versi
mengikut selera dan citarasa siapa sahaja yang meminatinya. Apa yang kita perkatakan setakat ini ialah perkara dan kegiatan yang ada permit, yang ada lesen yang sah dan yang dibenarkan. Yang tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara. Itu pun sudah cukup merosakkan. Kita belum lagi memperkatakan tentang unsur dan pengaruh yang diharamkan dan yang tidak berlesen dan berpermit. Tentang VCD lucah yang dijual murah di merata-merata tempat termasuk di perkarangan sekolah. Tentang komik-komik lucah untuk tatapan kanak-kanak sekolah yang dibeli dengan duit belanja sekolah. Tentang dadah, pil-pil khayal dan berbagai-bagai lagi. Semua kegiatan yang haram ini menambahkan lagi kerosakan kepada kerosakan yang sudah tersedia tercetus oleh unsur dan pengaruh yang berlesen dan yang dibenarkan.

Ke manakah hala tuju kita sekarang? Golongan pelajar dan anak-anak muda kita sudah rosak kerana tidak ada yang mendidik mereka ke arah akhlak yang mulia dan cara hidup yang sihat. Di rumah mereka tidak dididik. Di sekolah juga mereka tidak dididik. Mereka terdedah pula kepada suasana dan persekitaran masyarakat yang sudah hancur dan punah-ranah,yang hanya menjurus kepada berfoya-foya, berseronok-seronok,berlalai-lalai dan membuang-buang masa. Siapa yang mesti bertanggungjawab?

0 comments:

Post a Comment