Bapa jarang ada di rumah, jadikanlah tempat rujuk sahaja yakni apabila ada masalah di dalam keluarga, tanyalah bapa. Melalui ibu sebagai perantaraan berilah tahu kepadanya tetapi tidak salah kalau anak-anak terus direct kepadanya asalkan jaga adab-adabnya.
Segala sifat mahmudah latihlah di rumah, di sekolah menambahnya dan latihlah mereka beribadah disiplinkan sembahyangnya. Ajak mereka bekerja sama mengurus rumah tangga. Programkan kerja-kerja, disamping kerja-kerja sekolahnya.

Ajarlah juga dan wujudkan di dalam keluarga, ibu dan ayahlah modelnya dan mereka akan menirunya iaitu galakkan makan bersama di dalam institusi keluarga. Ajar mereka adab-adab dan displinnya, tidur baring, membaca dan rehat tunjukkan juga cara-caranya. Agar keluarga terurus, disiplin ada wujud harmoni. Itulah syurga rumah tangga, sebelum syurga di akhirat sana.
Dari kecil lagi mendidik anak-anak itu hendaklah kenalkan Tuhan, mencintai dan menakuti-Nya. Dari kecil lagi jangan terlalu dibelai dan dimanjakan, kalau memarahinya jangan keterlaluan sampai hilang pertimbangan dan jangan kerap pula dilakukan atau tidak pernah dimarahi, kejahatan dibiarkan berpanjangan.
Sayangnya kita kepada anak itu jangan terlalu dinampakkan, apa sahaja kehendak anak-anak ditunaikan tanpa dipersoalkan dan jangan dididik dengan duit keterlaluan dan berlebih-lebihan.
Begitulah juga jangan pakaian berlebih-lebihan hingga pembaziran, kalau sekadar yang diperlukan itu tidak mengapa bahkan itu adalah kewajipan.
Sembahyang dari kecil lagi diajar dan disuruh dirikan, jangan setelah dewasa barulah hendak diperintahkan padahal sembahyang itu dari kecil lagi mesti dibiasakan supaya setelah dewasa ia telah mendarah mendaging, payah hendak ditinggalkan.
Begitulah juga halal haram pantang-larang Tuhan dari kecil lagi diajarkan minta mereka tinggalkan. Mana yang disuruh Tuhan dari kecil lagi diajarkan dan diamalkan setelah dewasa mereka mudah meneruskan kerana sudah kebiasaan.
Latih mereka hidup berdisiplin ada time ibadah, ada time membaca, ada time makan, ada time rehat, ada time bermain ada time berjalan agar setelah dewasa kelak mereka akan menjadi bangsa yang ada disiplin hidup yang berkekalan.
Disiplin itulah menjadikan bangsa itu beragama, rajin, maju, bersatu, rasa bersama bekerjasama dan berwibawa. Bangsa itu akan kuat, disegani dan dihormati serta diikuti.
Latih dari kecil lagi makan bersama, sembahyang bersama, bekerjasama dan dengan jiran dihormati dan diperhati. Didik anak-anak selepas Subuh dan Asar jangan dibenarkan tidur kecuali perlu kerana ia akan melemahkan akal fikiran menjadi manusia pemalas.

0 comments:
Post a Comment