Thursday, May 21, 2009

APA TUJUAN MANUSIA DIJADIKAN?

Maksud Tuhan menurunkan manusia ke dunia ialah supaya selain untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, juga untuk menjadi khalifah-Nya di muka bumi ini dan mentadbirnya bagi pihak Tuhan dan untuk Tuhan. Tuhan ada berfirman di dalam Al Quran yang maksudnya:

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi diri kepada-Ku. (Az-Zariyat: 56)

Akan ditimpa kehinaan di mana sahaja kamu berada melainkan kamu menegakkan dua hubungan iaitu hablumminallah dan habluminnanas. (Ali Imran: 112)

Habluminallah itu ialah hubungan dengan Tuhan dan habluminannas itu ialah hubungan sesama manusia .

Jelasnya, manusia ini diberi Tuhan dua peranan yang tidak dapat tidak wajib dilaksanakan. Pertama ialah peranan sebagai hamba dan kedua peranan sebagai khalifah . Untuk melaksanakan kedua-dua peranan ini, manusia perlukan ilmu.

Untuk menjadi hamba, manusia perlu kepada ilmu asas yang dinamakan ilmu fardhu ain atau ilmu taqwa . Ini termasuk ilmu tauhid, fikh, tasawuf dan lain-lain lagi ilmu yang berbentuk keagamaan bagi memudahkan manusia beribadah secara khusus kepada Tuhan. Ini wajib bagi setiap individu. Soal taqwa semua orang mesti mengusahakannya. Pendeknya, semua orang mesti melayakkan dirinya menjadi hamba kepada Tuhan. Ia tidak boleh diwakil-wakilkan atau diserah kepada orang lain.

Untuk menjadi khalifah pula, manusia perlu kepada ilmu fardhu kifayah atau dikatakan juga ilmu dunia atau ilmu profesional. Ilmu ini tidak semua orang wajib mempunyainya . Cukup kalau ada sesetengah orang sahaja yang memilikinya asalkan keperluan masyarakat dapat diselesaikan atau dipenuhi. Cukup kalau seseorang itu mahir dalam satu bidang sahaja. Tidak perlu seseorang itu mahir dalam semua bidang. Bidang-bidang lain boleh diwakilkan atau diserah kepada orang lain. Kalau soal fardhu ain atau taqwa itu terletak di atas individu, soal fardhu kifayah ini pula terletak kepada kumpulan, masyarakat atau jemaah . Tugas fardhu kifayah boleh dikongsi bersama kerana ia ialah ibadah yang berbentuk umum dan bersama.

Namun begitu, seperti juga soal fardhu ain atau taqwa, kegiatan fardhu kifayah mesti juga ditujukan kepada dan untuk Tuhan. Ia mesti mengikut pattern atau bentuk yang Tuhan mahu . Segala kegiatan fardhu kifayah dalam segala bidang, sama ada di bidang perubatan, pendidikan, ekonomi, kejuruteraan, ketenteraan, pentadbiran, perhubungan antarabangsa, pertanian dan sebagainya, mesti dihubungkan dengan Tuhan.

Pendeknya, dalam keadaan dan kegiatan apa pun, sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah, kita tidak boleh hilang fungsi kita sebagai hamba dan sebagai khalifah. Jangan kita pandai dan mahir untuk diri sendiri. Hendaklah kita pandai dan mahir untuk Allah.

Justeru itu, untuk melahirkan hamba dan khalifah ini, sistem pendidikan yang perlu kita tegakkan mesti merangkumi dua perkara seperti berikut:
1. Bina insan dan taqwa
2. Melahirkan tenaga profesional di berbagai bidang yang diperlukan oleh masyarakat dan keperluan hidup semasa.

Bila insan terbina, maka akan lahirlah generasi yang cinta dan takut dengan Tuhan, yang bertaqwa, yang berakhlak dan yang penuh dengan segala sifat-sifat mahmudah seperti berkasih sayang, pemurah, pemaaf, mengutamakan orang lain, sabar, redha, bertolong bantu dan sebagainya. Manusia akan hidup aman damai, berkasih sayang dan dalam keadaan aman, tenteram dan penuh harmoni.

Bidang profesional pula akan membantu kita membangunkan kemajuan material supaya dengan itu hidup kita akan senang dan selesa lengkap dengan segala kemudahan dan prasarana. Maka akan lengkaplah hidup insan di muka bumi ini di mana segala keperluan dan tuntutan lahir dan batinnya dapat dipenuhkan.

Barulah hidup insan itu di antara tuntutan Akhirat dan dunianya, dan di antara tuntutan jasad dan rohnya akan menjadi seimbang. Inilah bentuk kehidupan yang dikehendaki oleh Tuhan. Untuk mencapainya, kita tidak boleh lari dari cara dan kaedah yang Tuhan mahu. Kalau kita ketepikan Tuhan dan syariatnya, maka kita akan kecundang dan hasil usaha kita akan menjerumuskan kita ke dalam kebinasaan.

Kalau kemajuan material sahaja dititikberatkan dan pembinaan insan dan taqwa tidak diambil berat, maka manusia akan hidup selesa dan maju tetapi pada masa yang sama manusia akan bertukar watak dan sifat menjadi haiwan. Satu membaham yang lain, tindas menindas dan tekan menekan. Tidak ada kasih sayang dan bertolong bantu. Hidup nafsi-nafsi. Masyarakat akan dipenuhi dengan jenayah dan keganasan. Manusia hidup dalam ketakutan. Tidak ada ketenangan dan kebahagiaan. Akhlak dan moral manusia menyapu bumi.

Hidup di dunia pun sudah seperti dalam neraka sebelum Neraka yang sebenar di Akhirat nanti. Kalau kemajuan rohani sahaja yang dititikberatkan, maka umat Islam akan terpaksa bergantung hidup dengan orang bukan Islam. Tidak akan ada kekuatan lahiriah dan umat Islam akan jadi lemah, miskin dan mundur.

Inilah dilema yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Umat Islam umumnya tidak dapat mengimbangkan di antara tuntutan lahir dan tuntutan batinnya, antara tuntutan jasad dan rohaninya dan di antara tuntutan dunia dan Akhiratnya. Umat Islam jadi pincang. Yang menghala ke Akhirat, Akhirat semata-mata. Tidak mahu ambil tahu tentang tuntutan hidup dan pembangunan material. Yang menghala ke dunia pula, dunia semata-mata.

Tidak mahu terlibat dalam soal pembinaan insan dan taqwa. Yang berusaha hendak jadi hamba, tidak mahu jadi khalifah. Yang berusaha hendak jadi khalifah pula tidak mahu menjadi hamba. Semua hendak mengambil satu peranan sahaja. Kalau tidak hamba, khalifah. Kalau tidak khalifah, hamba. Walhal Tuhan telah tetapkan fungsi manusia itu ada dua iaitu sebagai hamba dan sebagai khalifah. Kedua-duanya tidak boleh terpisah .

Patutlah penganut Islam ini, dimana-mana sahaja di dunia ditimpa kehinaan. Mereka tidak menegakkan kedua-dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia yang diperintah oleh Tuhan. Mereka tidak berperanan sebagai hamba Allah dan sekali gus sebagai khalifah Allah dimuka bumi.

0 comments:

Post a Comment