Antara keindahan ajaran Islam itu ialah ia sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Perkara yang sesuai dengan fitrah semula jadi manusia itu banyak. Tapi di sini saya akan menyebut satu di antaranya agar sesuai dengan tajuk di atas.
Agama Islam membenarkan setiap orang itu mencari kekayaan walau sebanyak mana sekalipun. Ingin menjadi kaya ini adalah tabiat semula jadi manusia. Tidak ada manusia yang tidak ingin menjadi kaya. Kalau ada seorang dua, itu tidak dimasuk kira. Ianya jarang berlaku dan ia tidak boleh dijadikan hukumnya. Keinginan manusia untuk menjadi kaya itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Di sini bersatu atau bersekutu di antara kemahuan semula jadi manusia dengan kebenaran dari ajaran Islam. Di sinilah di antara indahnya ajaran Islam itu. Ia tidak bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia. Oleh itu setiap individu muslim boleh mencari kekayaan dengan cara berniaga, bertani, menternak dan lain-lain lagi asalkan jangan melampaui batas.
Ertinya dalam mencari kekayaan kenalah jaga syariat agar usaha kita itu bukan sahaja mendapat keuntungan bahkan mungkin usaha itu juga diberi pahala oleh Allah Taala yang Maha Pemurah. Setelah seseorang itu berusaha dan berjuang bersungguh-sungguh mencari harta dan kekayaan, kemudian setelah berhasil menjadi orang kaya, millionair atau billionair maka dia ada mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan.
Memang mengikut ajaran Islam, sesiapa yang ada kelebihan dari orang lain, sama ada harta atau wang ringgit, mereka mempunyai kewajipan dan tanggung jawab yang lebih terhadap masyarakatnya dengan kekayaan dan harta mereka itu, berbanding dengan orang lain yang lemah atau tidak memiliki harta yang lebih.
Di antara kewajipan dan tanggungjawab orang kaya kepada masyarakat ialah:
1. Wajib : Mereka wajib mengeluarkan zakat harta apabila cukub nisab dan sampai haulnya iaitu setiap setahun sekali sebanyak 2.5%.
2. Kewajipan yang aradhi: Iaitu mereka wajib pula menunaikan tanggungjawab dari kekayaannya untuk keperluan semasa yang mendatang atau yang terdesak seperti:
a. Jika negara diserang musuh, wajib mereka menggunakan duitnya untuk membeli senjata-senjata. Lebih-lebih lagi jika diminta oleh pemerintah.
b. Negara berhadapan dengan zaman kemelesetan. Wajib mereka membantu negara.
c. Keperluan pendidikan atau perhubungan untuk kepentingan umum.
3. Apa yang pemerintah tidak berkemampuan untuk sediakan, mereka berkewajipan bertanggungjawab melengkapkan atau mencukupkan keperluan itu. Mereka tidak boleh menganggap itu hanya tanggungjawab pemerintah semata-mata.
4. Jika pemerintah mengarahkan agar mereka membuat sesuatu perkara demi kepentingan umum kerana negara sudah tidak mampu lagi, wajib mereka menunaikannya.
5. Mereka yang enggan mematuhi pemerintah untuk memberihartanya demi kepentingan umum, maka pemerintah boleh memaksanya dan mereka mesti memberinya.
6. Kewajipan yang lain, wajib mereka merendah diri kepada orang ramai. Kerana orang kaya kalau mereka merendah diri, ini sangat memberi kesan kepada orang ramai. Orang ramai akan insaf dan malu. Maka mudahlah mereka dididik kepada kebaikan. Memang orang yang disegani seperti pemerintah, orang-orang besar, orang kaya, kalau mereka merendah diri, mudahlah orang ramai didisplinkan dan dididik kerana orang ramai mudah meniru dan mengikut orang-orang yang dihormati dan disegani.
Selain itu, Islam sangat menganjurkan kepada penganut-penganutnya menjadi pemurah. Bukan sekadar sanggup mengorbankan yang wajib sahaja. Mereka digalakkan bersedekah, menderma, memberi hadiah, mewakafkan harta seperti tanah, bangunan, kebun, bahan-bahan bacaan, kenderaan dan lain-lain lagi agar cepat masyarakat Islam terbangun.
Hasilnya kelak, yang sedang maju akan bertambah maju. Yang kurang maju akan jadi maju. Yang kurang, dapat dicukupkan. Yang koyak dapat ditampal. Yang lemah dapat dikuatkan. Yang tidak sempurna dapat disempurnakan. Yang tidak sudah, dapat disudahkan. Yang tidak mampu, dapat hidup bersamasama dengan orang yang mampu. Agar yang sedih, ceria semula. Yang terbiar dapat dibela. Juga agar fakir miskin tidak sengsara, anak-anak yatim terbela dan janda-janda dapat dijaga.
Sifat-sifat pemurah terutama daripada orang-orang kaya dan berada akan menyebabkan masyarakat Islam terbela. Masyarakat Islam akan cepat maju dan kasih sayang akan terjalin. Hubungan antara orang kaya dan miskin semakin rapat. Tidak ada orang yang terbiar. Akan wujud perpaduan dan kerjasama. Tiada lagi jurang. Sudah tentu kadar jenayah juga akan berkurangan. Maka semua orang akan hidup dalam aman bahagia, murni dan harmoni. Itulah kesan daripada sifat pemurah dan tawadhuknya orang-orang kaya. Banyak masalah masyarakatdapat diselesaikan. Sebab itulah sifat pemurah sangat dikasihi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bahkan dikasihi juga oleh semua orang.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orangorang yang berbuat baik.” (Al Baqarah: 195)
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan dekat dengan Syurga, tetapi jauh dari Neraka.”
Oleh itu orang kaya dianjurkan:
1. Kurangkan seminar, banyakkan amal.
2. Kurangkan bercakap, banyakkan berbuat.
3. Elakkan pembaziran, banyakkan khidmat.
4. Sederhanakan kehidupan, sebaliknya banyakkan sedekah dan bantuan.
5. Jadikan kekayaan diri sebagai bank kepada masyarakat. Agar masyarakat tidak merempat atau tidak payah lagi bersandar kepada bank yang akan membelenggu rakyat.
Sedarlah wahai orang kaya dan orang yang berada,
Kekayaan yang ada pada dirimu,
Adalah Tuhan yang punya,
Pulangkan semula kepada hamba-hamba-Nya,
Kamu tidak akan dihina,
Bahkan kamu akan menjadi orang yang mulia,
Di sisi Allah dan manusia.
0 comments:
Post a Comment