Sunday, May 31, 2009

ERTI ATAU TAKRIF SABAR

Amat banyak disebut oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam menggambarkan kelebihan sifat sabar. Kemuncak atau yang tertinggi Tuhan sebut dengan pengertiannya iaitu tiadalah bagi orang yang sabar itu melainkan masuk syurga tanpa hisab. Apa erti atau takrif sabar. Sabar ialah menahan diri untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Berdasarkan takrif sabar tersebut memahamkan kita bahawa untuk memperoleh sifat sabar atau penyabar mesti ada hubungkait dengan Tuhan. Mesti atas dorongan untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Sedangkan untuk mendapat keredhaan Allah SWT bukan perkara yang mudah. Dan kalau seorang suami atau bapa itu memiliki sifat sabar, dia akan dipandang tinggi, dihormati, disegani dan dimuliakan oleh keluarganya. Allah SWT anugerahkan perasaan tersebut kepada keluarganya kerana dia sendiri diredhai oleh Allah SWT. Sabar ada tiga kategori sperti berikut:

a. Sabar dalam mentaati Allah SWT.
Ini adalah sabar peringkat paling rendah. Sabar dalam mentaati Allah SWT ini terdapat dua bentuk iaitu dengan melaksanakan segala perintah atau suruhan Tuhan secara lahiriah. Satu bentuk lagi ialah taat secara roh kepada setiap amal lahir yang dilakukan itu Namun begitu bukan mudah untuk dapat bersabar dalam mentaati Allah SWT. Bukan mudah dapat kekal istiqamah atau berkekalan dalam berlaku taat kepada Allah SWT. Sukar untuk tetap kekal sabar dalam melaksanakan suruhan Allah SWT dalam semua sudut kehidupan.

Ertinya perkara-perkara wajib hendak di tunaikan, manakala perkara-perkara sunat hendak di pertahankan dan semua perkara harus atau mubah turut hendak dijadikan ibadah yang turut mendatangkan pahala. Sabar dalam taat kepada Allah SWT ini kalau tiada cabaran, tiada gangguan, tiada halangan, tiada rintangan memang agak mudah dilakukan. Tetapi belum tahu lagi sekiranya bertembung dengan cabaran dan gangguan.

Contohnya hendak mempertahankan sembahyang. Kalau berada dirumah atau sekadar ketempat kerja mungkin tiada masalah. Keputusan terletak pada diri sendiri. Bagaimana agaknya kalau kita hadir dalam mana-mana majlis yang aturcaranya tiada ruang untuk sembahyang? Ketika itu akan bertarung perasaan kita sama ada hendak memilih Tuhan atau urusan. Atau kalau boleh juga menunaikan sembahyang, namun kita akan terjebak kepada dua kemungkinan iatu sama ada sembahyang bergopoh gapah hingga hilang roh sembahyang itu, atau bersenbahyang dihujung waktu yang juga akan hilang roh sembahyang. Hendak pertahankan sembahyang awal waktu serta tidak meninggalkan berjemaah, satu cabaran yang amat berat dalam keadaan manusia zaman ini yang amat sibuk dengan berbagai urusan.

Cukuplah satu contoh di atas, dan bolehlah dikiaskan kepada aspek lain. Sedangkan sekiranya hendak dihurai secara mendalam tentang sabar dalam mentaati Allah SWT, bukan terhenti kepada dapat berbuat sahaja atau dapat selesaikan ketaatan lahiriah semata-mata. Tuhan melihat hati dalam membuat amal lahir. Tuhan memang wajibkan beramal namun nilai amal disisi Tuhan adalah apa yang ada dalam hati ketika beramal itu. Erti mentaati Allah SWT itu ialah hati yang dapat merasai kehambaan yang mendalam.

Iaitu rasa-rasa yang selayaknya bagi hamba kepada Tuhan seperti merasa takut, gerun, bimbang, cemas, harap, rendah diri, hina diri, rasa malu, rasa lemah dan berbagai rasa lagi kepada Alah SWT. Sekaligus turut marasai bertuhan yang mendalam seperti tasa Tuhan Maha Besar, Maha Agung, Maha Pencipta, Maha Melihat, Maha mengetahui dan berbagai rasa lagi. Ini juga yang diistilahkan sebagai taat dalam taat iaitu taat lahir dan batin. Kalau bukan atas rahmat, pimpinan dan kekuatan dari Tuhan, terasa amat sukar untuk
sabar dalam mentaati Allah SWT. Perlu berdoa selalu untuk mendapat rahmat dan pimpinan Tuhan.

Itu baru peringkat sabar dalam taat terhadap diri sendiri sebagai suami atau bapa. Sedangkan suami atau bapa itu Tuhan anugerahkan amanah yang perlu di pikul. Beban
terhadap keluarga bukan boleh di abaikan begitu saja. Suami mesti turut membawa keluarga agar turut sabar dalam mentaati Allah SWT. Dalam pada itu kena sabar juga untuk
membimbing keluarga dalam mentaati Alah SWT. Tidak boleh putus asa atau lemah semangat. Sekali lagi amat perlu meminta pertolongan dan bantuan Allah SWT untu dengan rahmat, pimpinan dan kekuatan dari Allah SWT akan terus berusaha hingga berjaya.

b. Sabar dalam meninggalkan maksiat atau dosa.
Terdapat dua bentuk iaitu maksiat atau dosa lahir dan maksiat atau dosa batin. Sabar peringkat kedua ini lebih berat berbanding dengan sabar kategori pertama tadi. Ini kerana Tuhan sediakan nafsu yang sangat menarik manusia kepada kejahatan. Dibantu pula oleh syaitan yang sudah bersumpah untuk menyesatkan anak Adam. Dalam zaman yang sudah jauh dari Rasulullah SAW, jauh dari rahmat Tuhan jauh dari iman dan taqwa, jauh dari ajaran Islam maka maksiat amat berleluasa. Ditambah pula oleh pengaruh media yang mempromosi segala macam maksiat dari barat.

Ditambah pula oleh budaya rosak dan negatif yang sengaja dicetuskan oleh musuh-musuh Islam untuk menghancurkan umat Islam. Kecuali memiliki kesabaran yang kuat demi
untuk Tuhan yang mampu meninggalkan segala larangan Allah SWT.

Amat sukar untuk terselamat dari dosa lahir yang berlaku melalui anggota tujuh iaitu mata, lidah, perut, telinga,tangan, kaki, dan kemaluan. Lebih-lebih amat susah untuk menghindari dosa batin atau dosa hati. Kadang-kadang hingga terlajak tidak lagi merasakan dosa hati itu sebagai dosa. Kalau ini terjadi maka dosanya lebih berat lagi kerana berbuat dosa dalam keadaan penuh kerelaan dan terus menerus dalam dosa. Kalau dalam dosa lahir yang Nampak dan dapat dikesan secara lahir pun sukar untuk menghindarinya maka dosa batin lebih sukar lagi kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebab itu kita terasa amat sukar untuk bersih dari riya, ujub, sum’ah, sombong, ego, pemarah, iri hati, dengki, dendam, cinta dunia, benci, memandang hina kepada orang lain dan banyak lagi.

Inilah juga merupakan pintu-pintu laluan kemasukan syaitan untuk menggoda manusia. Untuk lepas dari godaan syaitan maka semua pintu-pintu ini mesti ditutup melalui mujahadah yang tiada noktah akhir kecuali mati.

c. Sabar dalam menghadapi ujian .
Inilah peringkat kesabaran yang paling sukar. Ujian terbahagi kepada dua bentuk iaitu ujian kesusahan dan ujian kesenangan. Ujian kesusahan di antaranya seperti miskin, sakit, anak isteri meragam atau degil, pekerja bermasalah, perniagaan mengalami kerugian, orang fitnah, kecurian, musibah seperti kemalangan dan bencana alam dan seumpamanya.

Sabar dalam menghadapi ujian susah ini dalam erti kata tahan hati, tenang menghadapinya, tidak menderita, tidak putus asa, tidak kecewa, tetapi tidak emosi, tidak gopoh dalam mengatasinya. Tidak menunding jari kepada orang lain, tidak hilang pertimbangan. Melainkan menerimanya dengan senang hati, bersangka baik terhadap Tuhan bahawa semua itu ada maksud baik dari Tuhan, ada hikmah, ada didikan Tuhan, ada peringatan dan pengajaran dari Tuhan. Hatinya benar-benar dapat merasakan Tuhan hendak menguji keimanannya apakah dengan ujian itu dapat terus bersabar dengan mengharapkan Tuhan redha terhadap dirinya. Ujian kesenangan umpamanya kaya, berpangkat, ada kedudukan, popular, orang sanjung, orang puji, perniagaan bertambah maju dengan mudah dan lain-lain lagi.

Dalam kesenangan ini pun satu ujian kesabaran yang amat berat. Ramai orang berjaya boleh sabar dalam kesusahan, tetapi jarang boleh tahan sabar dengan ujian kesenangan. Maksudnya dalam kesenangan itu seseorang bertahan kerana mengharap keredhaan Allah SWT. Tidak lupa diri, sangat bersyukur dengan hati benar-benar merasakan itu semua kurniaan dan anugerah Allah. Lantas semakin subur sifat pemurah, semakin tawadhuk, semakin kuat hubungan hati dengan Tuhan dan semakin kuat membela manusia terutama yang sangat memerlukan pertolongan. Takut hendak berfoya-foya dengan kesenangan itu, takut hendak berlaku sombong kerana yakin Tuhan boleh tarik bila-bila masa saja dengan sekelip mata. Dia dapat merasakan yang hidup ini hanya sementara dan sekejap saja.

Hidup ini kalau senang pun hanya sekejap dan sedikit saja berbanding Akhirat. Dan kalau
susah pun sementara dan kecil saja berbanding Akhirat. Maka dia tidak akan sampai durhaka kepada Tuhan kerana takutkan kesusahan dunia yang kecil hingga menanggung
azab yang berat di Akhirat. Dan tidak juga durhaka kepada Tuhan kerana mendapat kesenangan yang sedikit hingga hilang kesenangan yang hakiki di Akhirat kelak.

Setelah suami atau bapa berjaya memiliki ketiga-tiga kategori sabar di atas maka dia dianggap sebagai orang yang sabar. Bertambahlah satu lagi ciri wibawa sebagai seorang
suami. Oleh itu bukti kesabaran yang dimiliki hendaklah dikongsi dengan anak isteri. Menjadi kewajipan suami atau bapa mendidik anak isteri mendapat semua kategori sabar
seperti dirinya. Dalam mendidik anak isteri itu kepada kesabaran, kena bersabar juga. Dalam mendidik manusia termasuk anak isteri, suami akan menempuh ketiga-tiga kategori
sabar tersebut. Ertinya dia perlu sabar untuk mendidik anak isteri itu supaya taat, meninggalkan maksiat serta menghadapi ujian. Sifat sabar dengan kejayaan mendidik manusia adalah lazim melazimi. Yakni orang yang sabar saja Tuhan beri kejayaan mendidik manusia. Dan kalau hendak mendidik manusia mesti ada sifat sabar.

Empat tanda orang yang tidak sabar.
i. Cepat marah, baran atau meradang.
ii. Mudah merajuk dan mudah purus asa atau kecewa.
iii. Bergopoh gapah, tergesa-gesa, melulu, tidak berhatihati dan tidak usul periksa.
iv. Mudah dikuasai emosi, gelisah, tidak tenteram, tidak tenang mudah hilang pertimbangan.

0 comments:

Post a Comment