Perhubungan seorang murid kepada guru atau anak buah kepada pemimpin bermula dengan ikatan ketaatan. Tanpa ketaatan, apalah gunanya seorang guru kepada seorang murid, apalah ertinya seorang pemimpin kepada seorang pengikut. Untuk mengikat perhubungan murid-guru atau pemimpin-pengikut mestilah dengan ketaatan. Tanpa ketaatan maka tidaklah akan berjaya pendidikan dan kepimpinan. Pentingnya ketaatan ini ditegaskan dalam firman Allah bermaksud:
“Hendaklah kamu melakukan ketaatan yang sesungguhnya kepada Allah, Rasul dan pemimpin di kalangan kamu” (An-Nisa:59).
Namun, dalam melaksanakan ketaatan ini, tidaklah boleh membuta tuli atau sembarangan. Islam memberi garis panduan sepertimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah iaitu, “tidaklah boleh melakukan ketaatan kepada makhluk dalam apa jua perkara maksiat.”
Dalam hadis lain, Rasulullah menyatakan sebegini: “Sesungguhnya ketaatan kepada pemimpin itu hanyalah kepada kebaikan.” Selagi kita berpegang kepada hadis-hadis ini, maka tidak timbullah perkara yang bertentangan dengan Islam baik akidah, syariat ataupun tasauf dalam melakukan ketaatan kepada guru atau pemimpin kita.
Ketaatan yang sedemikian pula boleh membawa kepada kecintaan. Terkadang kecintaan datang dulu, baru kemudian datang ketaatan. Terkadang sudah lama taat, baru datang cinta. Kalau taat sahaja tanpa cinta, boleh jadi taat itu ada kepentingan. Lahir sahaja taat, tapi hati mendongkol atau menolak. Lahir sahaja taat, tapi rupanya ada udang di sebalik batu. Pura-pura taat tetapi ada benda lain yang diidamkan di sebalik ketaatan tersebut. Pura-pura taat semata-mata untuk mendapat habuan dunia. Yang sebaiknya adalah orang itu dia taat atas dasar cinta. Dia buat sesuatu itu memang kerana dia cinta orang tersebut. Seperti seorang isteri yang taat kepada suami, melakukan apa sahaja yang diminta oleh suami sebagai pembuktian cintanya kepada suami.
Tak kenal maka tak cinta. Sudah kenal maka timbul kecintaan. Kecintaan itu datang atas banyak sebab. Salah satunya kerana faktor wibawa pemimpin tersebut. Lagi, kerana guru atau pemimpin itu banyak berjasa kepada murid atau anak buahnya. Bila cinta sudah mendalam, maka di situlah ada pembuktian. Perkara ini adalah fitrah yang terdorong daripada hati orang yang mencintai. Seorang murid yang cinta kepada guru, dia sanggup berkhidmat kepada gurunya. Asalkan dia boleh berkhidmat kepada gurunya, di situ adalah kepuasan untuknya. Keseronokan orang bercinta tidak bertepi. Ada waktu diberinya hadiah. Ada waktunya dikirim salam. Ada waktu, disebut-sebut namanya. Bahkan kerana cinta yang mendalam, orang-orang yang rapat dengan guru tersebut turut dicintainya. Ini termasuk ibu bapa, adik-beradik dan anak-anak guru tersebut. Cinta seperti inilah yang membawa kepada ketaksuban.
Ditambah lagi, kecintaan seperti ini tidaklah terhenti setakat kepada guru itu sahaja. Sebenarnya, ia hanya sebagai wasilah atau transit membawa kepada kecintaan kepada Tuhan. Inilah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah, membawa maksud, “hendaklah kamu bersama Allah, dan jika kamu tidak mampu melakukannya, bersamalah dengan orang yang bersama Allah (Arifbillah), nescaya dia akan membawa kamu sampai kepada Allah.” Dalam hadis lain, Rasulullah menegaskan seperti berikut: “Hendaklah kamu dipimpin oleh orang-orangmu yang alim kerana sesungguhnya mereka adalah penghubung antara kamu dengan Tuhan”.
Kalaulah seorang alim itu boleh menjadi penghubung atau wasilah antara kita kepada Tuhan, mengapa tidak kita mengikat perhubungan dengan orang alim tersebut, moga-moga melaluinya kita diterima Tuhan. Bahkan ikatan itu tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan ketaatan dan kecintaan yang bersungguhan.
Kecintaan dan ketaatan atau disebut ketaksuban ini tidaklah sampai kepada tahap pemujaan kerana bahwasanya pujian dan pemujaan itu layak kepada Allah sahaja. Orang yang faham tak berbuat begitu.
Jelas seperti dinyatakan dalam Al-Quran, ayat kedua dalam surah Al-Fatihah, “Segala puji dan puja itu hanyalah selayaknya untuk Allah, Tuhan pentadbir alam.” Maknanya, ayat ini sudah sendirinya menjadi “pendinding” kepada orang orang-orang yang bercintaan supaya tidak sampai kepada pemujaan kerana dilarang sebegitu rupa.
Kalaupun ada pujian, itu sebenarnya tidak lari daripada ajaran Islam. Ia termasuk dalam konsep “attahadasu binikmatillah” yakni menyebut nikmat Allah. Seorang yang berilmu dan kuat beragama dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya, patut sangat disebut namanya dan diceritakan kelebihannya. Ini dinyatakan dalam Al-Quran, firman Allah bermaksud:
“Maka nikmat Tuhanmu hendaklah kamu sebutkannya.”
(Ad-Dhuha:11)
Rasulullah sendiri memberitahu dalam satu maksud hadis beliau, “menceritakan nikmat Allah adalah syukur dan tidak melakukannya adalah kufur. Dan barangsiapa yang tidak mensyukuri manusia, maka dia tidak mensyukuri Allah.” Hakikatnya memuji orang Tuhan itu adalah mensyukuri nikmat Tuhan yang berlaku pada orang Tuhan tersebut. Mencerita-ceritakan kelebihan orang Tuhan itu adalah satu bentuk kesyukuran kepada Tuhan.
Adapun kecintaan kepada yang bukan dengan orang Tuhan (Arifbillah), inilah yang sepatutnya dibimbangkan. Kecintaan seperti ini, jika tidak dijaga dan dipandu dengan ajaran Islam, tidak akan sampai kepada Tuhan. Bahkan ianya boleh membawa kepada kemaksiatan dan menyebabkan tergelincirnya seseorang daripada agama yang lurus. Kebanyakan kecintaan ini berlaku kepada orang yang jahil agama. Banyak terjadi pengidolaan berlaku di kalangan muda-mudi terhadap ikon mereka dalam bidang hiburan, sukan dan fesyen. Apakah mereka ini patut dibiarkan sahaja?
Di sinilah ramai orang tidak faham, dengan semudahnya menuduh orang yang taksub kepada guru atau pemimpin itu salah. Lebih berat lagi mereka sewenang-wenangnya menuduh orang seperti ini boleh membawa kesesatan. Sedangkan tidaklah menjadi kesalahan taksub itu kecuali taksub kepada pemimpin atau guru yang jelas tidak menepati aliran akidah ahlus sunnah seperti aliran rafidhiyah, murjiah dan jabariah. Ataupun taksub kepada pemimpin atau guru yang terang-terangan tidak bersyariat seperti tidak bersembahyang atau tidak berpuasa. Bahkan mereka tidak sedar, orang yang belajar tanpa guru pun sebenarnya boleh membawa kesesatan kerana Sayyidina Ali pernah menyebutnya bahawa orang yang belajar tanpa guru maka syaitanlah yang akan menjadi gurunya.
Moga-moga tulisan serba ringkas ini sedikit sebanyak dapat memberi penjelasan tentang isu ketaksuban kepada guru atau pemimpin yang diwar-warkan baru-baru ini. Sekian.
Wednesday, May 6, 2009
TAKSUB KEPADA PEMIMPIN ATAU GURU, ADAKAH DIBOLEHKAN?
Related Posts:
KEMANAKAH AKHIRNYAAkhir ini entah mengapa kemelut dan krisis di kalangan bangsa Melayu kelihatan tidak pernah surut malah semakin menjadi-jadi, lepas satu, satu, ada sahaja isu yang berbangkit dan menyentuh sensitiviti orang melayu. Apatah lag… Read More
(i) Kelemahan Demokrasi Dalam Memilih Pemimpin HAMPIR semua pemerintah atau pemimpin di dunia kini baik orang Islam atau bukan, telah naik melalui pilihanraya. Yakni hasil pemilihan rakyat jelata di hari pemilihan yang dilakukan beberapa tahun sekali. Pemimpin manapun … Read More
Perbezaan Hasil Perjuangan: Politik Islam Vs Politik BaratRasulullah SAW dan Khulafaur Rasyidin telah dapat dapat mengislamkan tiga perempat dunia, bermula dengan negara Islam kecil Madinah dan Mekah, bukan melalui proses pilihan raya tetapi melalui kaedah dakwah dan tarbiah. Sedan… Read More
POLITIK YANG DI SALAHERTIKANRamai sekali orang politik yang tidak berpolitik. Mereka ini mendapat untung dari jawatannya tetapi sedikit sekali memberi keuntungan kepada negara dan rakyat. Setengah-setengah mereka pula bukan saja tidak menguntungkan ne… Read More
PAS Belum Di Bantu Oleh Tuhan Dan Belum Menjadi Pilihan Masyarakat(1)Tuhan sebut dalam Al Quran dengan maksud, ‘Akan ditimpa kehinaan dimana saja kamu berada kecuali kamu melaksanakan Hablumminallah dan Hablumminannas.’ Inilah rangkuman ajaran Islam yang syumul itu. Ini juga ajaran yang ses… Read More
0 comments:
Post a Comment