Tuesday, May 5, 2009

APAKAH YANG KITA PERJUANGKAN

Alhamdulillah, diwaktu ini ramai kita melihat orang-orang perseorangan, jemaah, parti dan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan Islam dalam berbagai bentuk dan ragamnya. Ramai yang mengakui mereka itu pejuang-pejuang Islam.

Ada yang memperjuangkan Islam di bidang politik. Mereka mahu parti mereka memegang tampuk pimpinan negara. Mereka mahu hukum hudud dilaksanakan. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ekonomi. Mereka mahu tegakkan sistem perbankan Islam, sistem takaful Islam, sistem pinjaman wang dan pembelian secara Islam dan sebagainya. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ibadah. Mereka mahukan semua orang datang ke masjid dan surau untuk beribadah dan untuk menegakkan sunnah terutama di bidang ibadah. Mereka mahu orang berusaha untuk mengejar pahala dan fadilat. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ilmu. Buka sekolah, madrasah, kolej dan universiti Islam supaya ilmu Islam dapat dikembangkan dan berbagai-bagai lagi.

Namun semua ini tertumpu kepada hal-hal syariat. Semuanya tertumpu kepada soal lahir. Hudud, ekonomi, ibadah dan ilmu itu semuanya adalah soal lahir dan soal syariat belaka.

Orang-orang dan kumpulan-kumpulan ini nampak gigih berjuang. Mereka seolah-olah berada dimana-mana. Tetapi mereka tidak sedar bahawa perjuangan mereka itu, walaupun dibuat di atas nama Islam, sangat jauh tersimpang dari kehendak Tuhan. Ia jauh tersimpang dari cara Rasulullah SAW berjuang. Perjuangan mereka bukan sahaja tidak lengkap, tidak bulat dan tidak syumul, malahan ia telah lari dari matlamat perjuangan sebenar sepertimana yang Rasulullah ajar kepada kita.

Agama yang Rasulullah bawa terdiri dari tiga perkara pokok, iaitu: • Iman • Islam • Ihsan Iman itu ialah aqidah. Islam itu ialah syariat. Ihsan itu ialah tasawuf. Oleh itu, kalau kita perjuangkan Islam sahaja iaitu syariat, apa pula halnya dengan iman dan ihsan. Dimana aqidahnya. Di mana pula tasawufnya. Syariat tanpa aqidah dan tasawuf tertolak. Tuhan tidak terima. Agama itu bukan syariat sahaja. Ia merangkumi juga aqidah dan tasawuf. Lebihlebih lagilah aqidah sebab ia soal pokok. Memperjuangkan syariat semata-mata tanpa aqidah belum boleh dikatakan memperjuangkan agama.

Perjuangan agama mesti dimulakan dengan iman atau aqidah. Iman dan aqidah adalah soal ketuhanan. Oleh itu, perkara pertama di dalam memperjuangkan agama ialah memperkenalkan Tuhan kepada manusia, supaya manusia kenal Tuhan. Supaya manusia cinta dan takut dengan Tuhan. Apabila manusia sudah cinta dan takut dengan Tuhan, syariat mudah ditegakkan. Tidak perlu diperjuangkan sangat. Sudah tentu orang yang cinta pada Tuhan akan suka melaksanakan apa sahaja yang Tuhan suruh. Sudah tentu juga, orang yang takut pada Tuhan tidak akan mahu melanggar perintah dan larangan Tuhan.

Matlamat agama bukan syariat. Matlamat agama ialah Tuhan. Khususnya mendapat redha, rahmat, kasih sayang dan keampunan Tuhan. Hanya dalam kita hendak menyembah, mengabdi diri, berbakti dan membesarkan Tuhan, kita tidak boleh memandai-mandai dan mencipta cara kita sendiri. Itu sebabnya syariat diturunkan. Syariat adalah jalan atau cara untuk kita menyembah, membesar dan mengagungkan Tuhan sepertimana yang Tuhan mahu.

Tidak boleh kita memperjuangkan agama tanpa kita perjuangkan Tuhan dan mempromosikan Tuhan kepada manusia. Tidak boleh kita perjuangkan syariat tanpa kita perjuangkan Tuhan terlebih dahulu. Nanti akan terjadi dalam perjuangan kita itu tidak ada Tuhan.Dalam pemerintahan kita, tidak ada Tuhan. Dalam hukum hudud kita, tidak ada Tuhan. Dalam ibadah kita, tidak ada Tuhan dan dalam ilmu kita juga tidak ada Tuhan. Takut-takut nanti kita membesarkan syariat tetapi tidak membesarkan Tuhan.

Orang yang hendak Islam dan orang yang hendak Tuhan tidak sama. Orang yang memperjuangkan Tuhan akan dapat Islam kerana Islam itu Tuhan punya. Akan tetapi, orang yang memperjuangkan Islam belum tentu akan dapat Tuhan.

Perjuangan yang tidak ada Tuhan di dalamnya ialah perjuangan ideologi, bukan perjuangan agama. Dalam perjuangan ideologi memang tidak ada Tuhan. Oleh itu, kalau dalam perjuangan kita tidak ada Tuhan, maka samalah perjuangan kita itu dengan perjuangan komunis, sosialis dan demokrasi. Dalam perjuangan agama, mesti ada Tuhan. Malahan dalam perjuangan agama, soal Tuhan adalah soal pokok. Soal syariat, sama ada syariat lahir atau syariat batin (tasawuf), ia jatuh nombor dua.

Jangan kita gunakan hujah bahawa umat Islam sudah kenal Tuhan. Itu sebab mereka Islam. Oleh itu tidak perlu lagi kita bawa mereka kepada Tuhan. Umat Islam hanya perlu memperjuangkan dan menegakkan syariat sahaja.

Hujah itu tidak masuk akal dan sangat jauh dari realiti. Siapa kata umat Islam sudah kenal Tuhan? Siapa kata umat Islam itu Islam kerana mereka kenal Tuhan? Orang yang benarbenar kenal Tuhan tidak akan berperangai dan berwatak seperti kebanyakan umat Islam yang ada pada hari ini. Cuba kita tanya, berapa peratus umat Islam yang bersembahyang. Sedangkan meninggalkan sembahyang dengan sengaja itu kufur hukumnya. Dan orang yang meruntuhkan sembahyang itu sebenarnya meruntuhkan agama. Sedarlah kita bahawa lebih dari 75% umat Islam tidak sembahyang lima waktu secara tetap dan istiqomah? Sedarkah kita bahawa 75% umat Islam kerjanya hari-hari ialah meruntuhkan Islam kerana mereka meruntuhkan sembahyang? Inikah orangnya yang kenal Tuhan? Inikah orangnya yang hendak kita harapkan untuk menegakkan syariat?

Cuba pula kita lihat berapa banyak umat Islam yang terjebak dan terlibat dengan bermacam-macam bentuk maksiat. Baik menagih dadah, minum arak, pergaulan bebas lelaki perempuan, berjudi, berzina, rogol, buang anak, membunuh, mencuri, merompak, pecah rumah, pop, rock, metal dan sebagainya. Inikah kerja umat yang kenal Tuhan? Inikah umat yang layak dan mampu menegakkan syariat?

Percaya Tuhan itu lain. Kenal Tuhan itu lain. Memang umumnya umat Islam percaya Tuhan. Tetapi berapa keratkah umat Islam yang kenal Tuhan. Setakat percaya Tuhan, orang Nasrani pun percaya Tuhan. Orang Yahudi pun percaya Tuhan. Malahan orang Hindu pun percaya Tuhan. Setakat percaya Tuhan sahaja tidak cukup untuk membina aqidah dan pegangan. Tanpa aqidah dan pegangan, jangan kata hendak menegakkan seluruh syariat, hendak mengamalkan fardhu ain atas diri sendiri pun susah. Hendak mengelak dari melakukan dosa dan maksiat lebih-lebih lagi susah.

Orang yang kenal Tuhan ialah orang yang arifbillah. Dia bukan setakat tahu sifat-sifat Tuhan tetapi dia merasa bertuhan. Sifat-sifat Tuhan itu tertanam dan mencengkam hati sanubari dan perasaannya. Di mana sahaja dia pergi dan apa juga yang dia buat, dia sentiasa merasa Tuhan melihatnya, mendengarnya dan mengetahui segala apa yang terdetik di hatinya. Dia rasa hebat, gerun, malu, berdosa dan lemah di sisi Tuhan.

Orang seperti ini sahaja yang mampu menegakkan syariat. Orang seperti ini sahaja yang ada kekuatan untuk menegakkan syariat. Orang seperti ini sahaja yang akan diberi hidayah dan taufik dan yang akan dibantu oleh Tuhan.

Orang yang hanya setakat percaya dan tahu sifat-sifat Tuhan, mereka ini orang-orang yang lemah aqidah. Mereka dicorak oleh suasana. Mereka tidak mampu mencorak atau mengubah suasana. Kalau suasana rosak, mereka ikut rosak. Mana mungkin orang macam ini dapat menegakkan syariat. Kerja menegakkan syariat ini kerja berat walaupun syariat yang hendak ditegakkan itu syariat yang ringan sahaja. Jangan cakap pasal hudud. Itu berat sangat. Hendak tutup aurat dan pakai tudung pun mereka tidak mampu. Hendak berhenti menghisap rokok pun payah.

Rata-rata umat Islam adalah Islam tradisi. Mereka Islam kerana mak ayah dan datuk nenek mereka Islam. Mereka jadi Islam secara tidak sengaja, sedar-sedar sahaja sudah Islam. Islam mereka bukan di atas kesedaran atau pilihan hati. Mereka tidak kenal Tuhan. Tidak hairanlah mereka tidak kenal syariat. Halal haram pun mereka tidak tahu.

Jelaslah bahawa untuk memperjuangkan agama, Tuhan mesti diperjuangkan dahulu. Tuhanlah matlamat kita dan Tuhan lah yang akan memimpin dan menolong kita. Syariat bukan matlamat. Syariat hanya cara, jalan dan kaedah. Apa gunanya kita memperjuangkan cara dan kaedah kalau ia tidak membawa kita kepada Tuhan. Bukankah tujuan kita beragama untuk mendapat Tuhan?

Disamping itu, perjuangan agama bukan sahaja untuk umat yang sudah Islam. Ia juga untuk manusia yang belum Islam. Oleh itu, kalau syariat sahajalah yang kita perjuangkan, bagaimanakah orang bukan Islam dan orang-orang kafir akan tertarik dengan Islam? Fitrah manusia tidak tertarik dengan syariat. Malah sesetengah syariat itu dipandang payah, susah dan menakutkan. Fitrah manusia inginkan Tuhan. Setelah betul hubungan manusia dengan Tuhan dan setelah manusia benar-benar kenal, cinta, takut dan beriman dengan Tuhan, barulah mereka akan mampu menerima syariat walaupun payah dan susah. Bukan senang hendak sembahyang, bukan senang hendak bayar zakat, bukan senang hendak menerima hukum hudud dan sebagainya. Hatta berkhatan pun ramai orang bukan Islam takut.

Kalau memperjuangkan syariat salah dan memperjuangkan Islam pun salah, jadi apakah sebenarnya yang patut kita perjuangkan? Tuhan mahu kita perjuangkan kebenaran. Rasulullah juga mengajar kita memperjuangkan kebenaran. Yang perlu kita tegakkan bukan setakat syariat, bukan setakat Islam tetapi kebenaran.

Apakah maksud memperjuangkan kebenaran? Memperjuangkan kebenaran bermula dengan memperjuangkan Tuhan. Mengajak manusia kepada Tuhan. Mengajak manusia merasa kebesaran dan keagungan Tuhan. Mengajak manusia kepada rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Mengingatkan manusia bahawa Tuhan itu adalah segala-galanya. Kita perlu wujudkan dan betulkan hubungan kita dengan Tuhan. Di antara lain kita perlu kenal, beriman, yakin, tawakal, bergantung harap, berserah diri, taat, patuh, baik sangka, cinta dan takut dengan Tuhan.

Termasuk juga memperjuangkan kebenaran ialah memperjuangkan segala perintah Tuhan baik yang berbentuk suruhan ataupun larangan, hukum hakam, peraturan dan segala sistem yang Tuhan telah tetapkan di dalam semua aspek kehidupan. Ini termasuklah dalam ibadah, pentadbiran, perundangan, pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya.

Ketiga ialah memupuk perpaduan, kasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama, keharmonian, saling bertolong bantu dan bela-membela sesama manusia. Juga kita perlu perjuangkan akhlak dan budi pekerti manusia.

Inilah kebenaran dan inilah yang mesti diperjuangkan. Bila disebut kebenaran, ada Iman didalamnya, ada Islam di dalamnya, ada Ihsan di dalamnya. Dalam erti kata yang lain, ada aqidah didalamnya, ada syariat didalamnya dan ada tasawuf di dalamnya. Maka lengkap dan syumullah perjuangan itu. Kalau agama diperjuangkan secara serpihan dan tidak mengikut cara dan kaedah perjuangan Rasulullah, sudah pasti ia akan gagal. Yang lebih bahaya lagi, ia akan melahirkan lebih banyak kerosakan dari kebaikan. Orang yang memperjuangkan syariat tanpa Tuhan, kalau dia berwatak pasif, dia akan jadi beku dan jumud. Kalau dia berwatak agresif, dia akan jadi kasar dan militan. Walau apa pun, kedua-duanya tidak betul dan menyalahi kehendak Tuhan.

Agama Islam itu agama kebenaran. Memperjuangkan agama Islam itu adalah memperjuangkan kebenaran. Kebenaran adalah dari Tuhan. Oleh itu dalam hendak menegakkan agama Islam, Tuhan tidak boleh diketepikan. Tidak akan ada kebenaran kalau tidak ada Tuhan.

0 comments:

Post a Comment