Monday, May 25, 2009

MATLAMAT DAN TUJUAN PENDIDIKAN

" Di mana-mana saja negara di dunia ini, warga pelajar dianggap tidak lebih sebagai bahan atau `buruh ekonomi` yang perlu diajar dan diberi kemahiran supaya mereka boleh digunakan untuk menjana ekonomi negara dalam segala bidangnya sama ada pertanian, perikanan, industri perubatan, perdagangan, industri perkhidmatan dan lain-lain lagi. "

Kebanyakan ibu bapa menganggap bahawa sekolah ialah tempat untuk menimba sebanyak-banyak ilmu hingga peringkat yang setinggi mungkin, supaya masa depan anak-anak terjamin. Dengan mendapat sijil dan kelulusan dalam bentuk ijazah sama ada ijazah pertama, masters atau PHD, itulah tiket untuk anak-anak mudah mendapat jawatan yang tinggi dan gaji lumayan. Mungkin di celah-celah itu terselit juga maksud supaya ibu, ayah, anak dan keluarga seluruhnya dipandang mulia di sisi masyarakat.

Sijil-sijil itulah juga asas yang digunakan dalam masyarakat kita bagi mengurniakan anugerah dan sebagainya. Mithali atau tidak, cemerlang atau tidak, sama ada ibu, ayah, anak atau keluarga itu boleh dijadikan contoh atau tidak, adalah berdasarkan kepada berapa ramai anak-anak yang berjaya dididik hingga menjadi doktor, jurutera, arkitek, akauntan, pensyarah univesiti, peguam dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, anak-anak dihantar ke sekolah khusus untuk tujuan ekonomi (untuk mendapat kerja) dan bagi tujuan mendapat kemulian dan kehormatan di sisi masyarakat. Tidak dapat kita lihat adanya maklumat yang lain selain dari dua matlamat yang disebutkan itu.

Oleh yang demikian samalah kita sebagai ibu ayah, dengan ibu ayah dalam masyarakat yang bukan Islam seperti di Amerika, United Kingdom, negara-negara Eropah, Jepun, Cina dan sebagainya. Ibu ayah di negara-negara tersebut juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tujuan ekonomi dan untuk mendapat kehormatan dan kemuliaan di sisi masyarakat dan tidak lebih dari itu.

Sedangkan menuntut ilmu itu diwajibkan oleh Islam. Masakan Islam mewajibkan kita menuntut ilmu hanya supaya kita boleh dapat kerja, dapat gaji yang banyak dan dimuliakan di sisi masyarakat kerana ilmu kita itu. Masakan matlamat hukum Islam supaya kita mencari ilmu itu terhenti setakat hal-hal dunia yang remeh-temeh seperti itu.

Kalau setakat itulah matlamatnya, apa perlunya Allah datangkan Islam kepada kita dengan apa perlunya diwajibkan pula kita menuntut ilmu. Orang-orang bukan Islam pun boleh faham malah mereka lebih gigih mencari ilmu tanpa payah mereka menganut dan mengamalkan Islam.

Di peringkat negara pula, berdasarkan kepada dasar pelajaran yang diamalkan dimana-mana saja negara di dunia ini, warga pelajar dianggap tidak lebih sebagai bahan atau `buruh ekonomi` yang perlu diajar dan diberi kemahiran supaya mereka boleh digunakan untuk menjana ekonomi negara dalam segala bidangnya sama ada pertanian, perikanan, industri perubatan, perdagangan, industri perkhidmatan dan lain-lain lagi. Inilah perkara pokok yang terkandung dalam dasar pelajaran negara.Kalaupun ada dasar yang berbau atau bersifat kemanusian seperti agama, moral atau bina insan, itu adalah untuk menentukan pelajar tidak liar atau jahat supaya mereka tidak merosakkan sistem yang sedia ada. Ia adalah untuk mempertahan dan menyelamatkan sistem yang ada dan bukan untuk menyelamatkan para pelajar itu sendiri dari kemurkaan Tuhan dan dari seksa api Neraka.

Digunakan istilah `dasar pelajaran` di sini, dan tidak `dasar pendidikan` seperti yang rasminya digunakan, untuk mengelak kekeliruan kerana dasar tersebut kurang menekankan hal-hal pendidikan yang sepatutnya membuahkan akhlak tetapi banyak kepada hal-hal pembelajaran yang bermatlamatkan ilmu terutama ilmu dunia atau ilmu akademik semata-mata.

Inilah keadaan sistem dan matlamat persekolahan yang wujud sekarang di mana-mana saja di dunia ini. Tidak salahlah kalau ada pihak yang menuduh sistem ini sebagai sekular kerana ia tepat dengan takrif sekular itu sendiri, sekalipun sekolah-sekolah agama. Kerana tujuannya adalah sama iaitu untuk mendapatkan sijil bagi melayakkannya memperolehi dua perkara seperti yang dinyatakan di atas tadi.

Ini kerana sekular bermaksud sesuatu yang bermatlamatkan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan dengan Akhirat. Oleh itu, sesuatu mesti dilakukan supaya sistem sekolah kita dapat disusun untuk menjadikannya satu sistem yang menjurus kepada Akhirat, dan kepada keredhaan Tuhan dan tidak hanya untuk mencetuskan kemajuan dan pembangunan duniawi.

Dalam erti kata yang lain, sistem persekolahan kita mesti mampu membina suatu tamadun rohani yang akan membawa kebahagiaan di dunia dan di Akhirat. Tujuan utama pelajaran dan pendidikan dalam Islam bukan semata-mata hendak menguasai berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan tetapi adalah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Iaitu insan yang menjadikan Allah cinta agungnya, Akhirat matlamat hidupnya, yang melihat dunia ini semata-mata sebagai tempat bercucuk tanam yang hasilnya diperolehi di Akhirat, agar terselamat dari Neraka dan berjaya memasuki Syurga.

Juga untuk melahirkan insan yang rela berjuang dan berkorban dalam menyampaikan pelajaran serta membangunkan syakhsiah manusia di tengah masyarakat agar ahli-ahli masyarakat juga menjadi insan-insan yang bertaqwa.

Dalam erti kata yang lain, untuk melahirkan insan yang mampu mengajak dan menyeru manusia kepada kebajikan dan kebaikan serta untuk menegah dan menghindar mereka dari kejahatan dan kemungkaran (amru bil makruf wanahyun anil mungkar).

Dalam Islam, sekolah bukan semata-mata untuk melahirkan ahli ilmu yang bertauliah dengan tujuan untuk makan gaji, untuk sara hidup atau untuk kemegahan dan nama di dunia, tetapi adalah untuk melahirkan orang-orang yang bekerja untuk Tuhan. Iaitu orang-orang yang bertanggung jawab menyampaikan ajaran Allah Taala dan memperkenalkan manusia kepada Allah. Agar agama Allah diterima oleh manusia dan dapat mengatasi seluruh agama lain di atas muka bumi ini.Agar manusia seluruhnya menyembah Allah yang mencipta mereka dan bukan tuhan-tuhan palsu yang lain.

Ini semua adalah untuk menentukan agar seluruh kehidupan berjalan dengan penuh disiplin, bertolong bantu, bekerjasama dan mengikut syariat Allah supaya akan wujud harmoni dan kasih sayang antara manusia.

Begitulah besarnya matlamat dan erti pelajaran dan pendidikan kepada manusia. Ia merupakan roh dan nadi kepada seluruh kehidupan. Kalau sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu hanya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, dapat melahirkan ahli-ahli ilmu di berbagai bidang dan dapat melahirkan cendikiawan-cendikiawan yang terbilang dan tidak lebih dari itu, maka ia dianggap telah gagal. Kerana ia telah melahirkan manusia yang tidak kenal penciptanya yang membelakangkan syariat-Nya, yang mengutamakan hidup di dunia melebihi hidup di Akhirat, yang sombong, yang mementingkan diri dan yang gilakan nama dan glamour.

Dengan adanya manusia-manusia seperti ini maka akan lahirlah budaya jatuh-menjatuh, fitnah-memfitnah, singgung-menyinggung, umpat-mengumpat dan kata-mengata. Akan timbul huru-hara dalam kehidupan dan manusia akan hilang keamanan dan keselamatan.

Matlamat pelajaran dan pendidikan ialah untuk membolehkan manusia melaksanakan tanggungjawab dan fungsi ianya dicipta oleh Tuhan.
Dan tidaklah manusia itu dicipta oleh Tuhan melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya . Sekiranya sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu tidak menghasilkan manusia yang pandai mengabdi dan memperhambakan dirinya pada Allah dan sebaliknya pula hanya bertujuan untuk membina hidup di dunia, mengumpul kekayaan dan harta, ingin dipuji dan dimuliakan oleh manusia, maka ini telah tersimpang jauh dari tujuan manusia itu diciptakan. Kalau kita tidak menepati tujuan kita diciptakan oleh Tuhan, maka sudah barang tentu Nerakalah tempat kembali yang selayaknya, wanauzubillah.

0 comments:

Post a Comment