Tuesday, May 5, 2009

ILMU ISLAM - 2

SYARIAT
Apa itu syariat?
Syariat adalah dari bahasa Arab. Ia ada bermacam-macam maksud dan erti, berdasarkan kedudukannya atau fungsinya, iaitu:
- Adakalanya disebut jalan.
- Adakalanya disebut undang-undang.
- Adakalanya disebut peraturan.
- Adakalanya disebut disiplin-disiplin.
- Adakalanya disebut konsep-konsep dan sistem-sistem.
- Adakalanya disebut perlembagaan.
- Adakalanya disebut panduan-panduan.
Inilah makna syariat secara lafaz atau perkataan. Tapi syariat Islam ada definisi yang khusus.

Takrif syariat
Takrif syariat mengikut syarak ialah peraturan-peraturan yang mengandungi perintah suruh dan larang yang Allah sampaikan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril. Ia mengandungi lima hukum iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan mubah (harus).

Peranan Syariat
1. Melahirkan disiplin.
2. Melahirkan orang yang menghormati undang-undang.
3. Melahirkan kehidupan lahir yang bersih.
4. Menegakkan keadilan.
5. Menyelesaikan masalah.
6. Menjadikan orang yakin pada seseorang itu.
7. Mengelakkan daripada membuat yang sia-sia.

Kedudukan syariat Islam adalah untuk kepentingan dunia dan Akhirat. Peraturannya adalah mengenai keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di Akhirat. Walaupun setiap zaman bagi setiap bangsa atau kaum mempunyai syariat atau peraturannya yang tersendiri, kalau ia bukan datang dari Allah tetapi setakat ciptaan manusia sahaja, maka sangat banyak kekurangan dan kelemahannya.

Faedahnya hanya untuk kehidupan di dunia semata-mata, tidak dihubungkaitkan dengan Akhirat. Itu pun sangat banyak kelemahan dan kekurangannya. Selalunya akan membawa kepada kemusnahan, huru-hara, pecah belah dan porak-peranda.
Walaupun ia dibuat untuk tujuan kebaikan dan keselamatan tapi biasanya tidak selamat. Ia berubah-ubah dan selalu dirasakan tidak kena. Bila timbul tidak aman, diubah dan digubal lagi. Dibuat yang lain pula. Itulah peraturan ciptaan manusia. Namun manusia tidak juga mahu tunduk kepada peraturan Tuhan sehingga akhirnya dunia jadi neraka.
Walau bagaimanapun kita yakin, di hujung umur dunia nanti, setelah manusia puas mencari tetapi gagal menemui peraturan yang sesuai, mereka akan terima syariat Islam, sekalipun mereka tidak menerima aqidahnya.

Peranan syariat Islam secara ijmali (rangkuman) adalah untuk:
1. Melahirkan orang yang berdisiplin
Bila syariat difahami secara tepat atau diamalkan secara tepat ia akan melahirkan orang yang berdisiplin. Disiplin semua orang suka sebab ia indah. Kadang-kadang manusia tidak pandai berdisiplin, tapi dengan mengamalkan syariat, automatik akan melahirkan disiplin. Sebagai contoh, di dalam makan minum, orang tidak makan kalau bukan waktu makan. Orang tidak makan kalau tidak lapar. Orang tidak makan benda yang haram.

2. Melahirkan orang yang menghormati undang-undang
Syariat Islam akan menghasilkan orang yang menghormati undang-undang. Semua orang suka. Bahkan umat Islam diarahkan menghormati undang-undang jalan raya, undang-undang dalam pentabiran, undang-undang dalam mesyuarat, undang-undang dalam berjual beli dan lain-lain.
Bila orang tidak menghormati undang-undang, hidup akan jadi haru-biru, banyak benda yang terlanggar dan tersepak. Manusia yang tidak menghormati undang-undang adalah manusia yang bersifat haiwan. Dia tidak akan patuh, jadi huru-haralah dunia. Mereka akan mencakar, menendang, menanduk, menyondol dan lain-lain lagi.
Sekarang, orang yang mencipta undang-undang, merekalah orang yang tidak ikut undang-undang. Seperti pakar undang-undang Islam atau pakar undang-undang syariat pun melanggar undang-undang dan syariat.

3. Melahirkan kehidupan lahir yang bersih
Yakni bersih daripada perkara haram, riba, penipuan, umpat keji, kata-mengata, fitnah-memfitnah, pergaulan bebas. Ia meliputi seluruh aspek lahir kehidupan manusia.

4. Menegakkan keadilan
Hasil daripada melaksanakan syariat, dapat menegakkan keadilan. Keadilan ini termasuklah keadilan perbicaraan, keadilan pusaka dan warisan, keadilan mengagihkan keperluan hidup dalam negara, keadilan dalam pekerjaan seseorang, keadilan biasiswa, keadilan tempat tinggal, keadilan memberi nafkah, keadilan dalam menilai urusan hidup kita, keadilan yang macam-macam lagi seperti miliki harta, kenderaan dan lain-lain. Syariat menjadikan seseorang itu adil dalam mengendalikan dan menggunakan wang. Contohnya, jangan mainan kanak-kanak lebih mahal daripada kenderaan atau jangan harga cawan lebih mahal daripada periuk. Jangan serban lebih mahal daripada rumah. Itulah keadilan dalam Islam, ia sangat halus.

5. Menyelesaikan masalah
Syariat sekiranya dilaksanakan bersungguh-sungguh dapat menyelesaikan bermacam-macam masalah. Antaranya dapat menyelesaikan orang berbalah contohnya antara suami isteri, majikan dengan buruh atau sesama manusia. Dapat menyelesaikan bermacam-macam kekeliruan, dapat menyelesaikan perbalahan pembahagian harta, dapat menyelesaikan perbalahan giliran, dapat menyelesaikan masalah isu semasa bagi orang yang mampu berijtihad, dapat menyelesaikan masalah yang kusut dan dapat menyelesaikan masalah murid dengan guru.

6. Mengelakkan dari melakukan perkara yang sia-sia
Orang yang faham syariat dia tidak buat perkara yang sia-sia, seperti duduk berjam-jam bermenung, bermain catur, melangut di kedai kopi, berbincang panjang-panjang, bermain golf atau bermesyuarat panjang-panjang.

TASAWUF
Tasawuf takrifnya ialah "membersihkan hati dan anggota-anggota lahir daripada dosa-dosa, kesalahan dan kesilapan". Ertinya bersih luar dan bersih di dalam.

- Bersih di dalam:
Maksudnya membersihkan hati daripada riyak, ujub, pendendam dan lain-lain mazmumah, lebih-lebih lagi daripada syirik.

- Bersih di luar:
Maksudnya bersih daripada membuat yang haram, berpakaian yang haram, bercakap yang haram, menjaga mata, telinga daripada melihat dan mendengar yang haram serta lain-lain.
Bersih daripada kesalahan dan kesilapan lebih sulit lagi. Kadang-kadang kesalahan atau kesilapan itu kita tidak terasa dosa. Ini yang susah dikesan. Contohnya:

- Datang tetamu ke rumah tapi kita sembahyang sunat. Sepatutnya waktu itu tidak payah sembahyang sunat tapi pergi melayan tetamu. Dia memilih perbuatan yang kecil dengan meninggalkan perkara yang besar. Dia memilih yang sunat dan meninggalkan yang wajib.

- Beri sedekah di tengah orang ramai atau isytihar sedekah dalam media massa. Sepatutnya dia rasa berdosa, rasa malu sebab berbangga-bangga. Dalam berbuat baik itu berlaku dosa. Oleh itu kena usahakan dengan cara beri sedekah secara sembunyi-sembunyi atau minta disampaikan melalui orang lain.

- Bilal sudah iqamah, kita masih leka dan berat hendak bangun mendirikan sembahyang. Sepatutnya kita jadi macam tentera, bunyi wisel saja terus bingkas. Itulah yang afdhal. Jadi, bila iqamah saja teruslah bangun untuk menyusun saf. Dalam Islam, selagi saf makmum tidak lurus, imam tidak boleh angkat takbir. Jika tidak, imam dikira sembahyang seorang, bukan sembahyang berjemaah.

- Ketika membeli kalau boleh jangan tawar-menawar. Apatah lagi tawar-menawar yang berlebih-lebihan sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati.

- Ketika berdakwah jangan menyebut nama atau menyentuh peribadi orang tertentu atau memalukan orang lain.

Tasawuf Merupakan Intipati atau Isi Ajaran Islam
Tamsilannya ibarat buah. Kalau syariat lahir merupakan kulit, tasawuf itu adalah isi buah. Kulit perlu ada sebagai pengawal atau pelindung isi. Walaupun kulit tidak dimakan tapi ia perlu dijaga supaya baik, barulah isi buah baik dan dapat dimakan.

Biasanya orang melihat kulit untuk menilai isi. Untuk mendapat isi yang baik, biasanya kulit mesti baik. Kalau kulit rosak, tentu isinya rosak. Biasanya antara kulit dengan isi, lebih susah hendak mendapatkan isi yang baik berbanding kulit yang baik. Contohnya buah durian. Kalau kulit rosak, seluruh isinya akan rosak. Sedangkan isi itulah yang hendak dimakan untuk membangunkan tenaga.
Kalau kulit baik pun, belum tentu isinya baik. Contohnya rasa ikhlas. Malaikat pun tidak tahu. Ini rahsia Allah. Tidak dikaitkan dengan Syurga atau Neraka, tapi betul-betul kerana Allah atau mardhotillah.
Contohnya: Sembahyang dibuat bukan kerana pahala.
Sembahyang dibuat bukan kerana Syurga dan Neraka. Bukan kerana Allah tapi kerana hendak hadiah daripada Allah. Buat kerana fadhilat. Banyak menceritakan tentang fadhilat tidak mampu mengubah seseorang.

Kalau tidak bersyariat batin tidak ada erti. Syariat lahir macam kulit buah, kalau isinya busuk tak ada ertinya kulit buah itu walaupun nampaknya cantik.

Tasawuf Dikatakan Juga Syariat Batin
Batin juga perlu bersyariat. Nafsu perlu bersyariat. Akal juga perlu bersyariat. Tasawuf membantu syariat batin. Kalau tiada tasawuf maka Islam tiada seni dan tiada keindahan. Oleh sebab itu tasawuf patut diambil berat dan dipelajari sungguh-sungguh.

Hendak membangunkan syariat batin ini amat sulit. Bukan senang hendak syariatkan nafsu, akal dan hati. Syariat lahir perlu dibangunkan supaya dengan itu mudah pula dibangunkan syariat batin.

Peranan Tasawuf
1. Membersihkan hati dan jawarih (anggota) daripada dosa, kesalahan dan kesilapan.
2. Menghidupkan rasa kehambaan.
3. Menanamkan rasa keikhlasan.
4. Menghidupkan rasa bertuhan.

Menghidupkan rasa kehambaan
Ilmu tasawuf dapat menghidupkan rasa kehambaan. Untuk kita terasa hamba. Menghidupkan rasa takut pada Allah yang mesti ada di mana-mana. Rasa malu mesti dihidupkan kerana Allah melihat, Allah memerhati. Menghidupkan rasa hina diri di hadapan Tuhan.

Rasa kehambaan ini bila dihidupkan, mazmumah akan hilang dengan sendiri. Orang yang terlalu sombong, ego, ujub itu adalah disebabkan tidak ada rasa kehambaan.

Menghidupkan rasa bertuhan
Hati sentiasa sedar Allah melihat, mengetahui dan Allah sentiasa ada bersama kita. Inilah kunci kita tidak melakukan dosa.
Contohnya dalam majlis raja, kita tidak akan buat salah sekalipun menguap. Kita amat jaga tingkah laku kerana kita sedar raja yang berkuasa sedang melihat kita. Maka di hadapan Raja segala raja sepatutnya lebih-lebih lagilah kita malu hendak buat dosa.
Rasa bertuhan mesti bertapak di hati, barulah rasa kehambaan itu diperolehi.

AKHLAK
Takrif akhlak ialah 'perangai atau tabiat atau sifat-sifat lahir pada diri manusia sama ada yang positif atau negatif'.
Contoh yang positif ialah lemah lembut, timbang rasa, kasih sayang, mengutamakan orang lain, berani, tenang, sabar, redha.
Contoh yang negatif ialah pemarah, bakhil, kasar, gopoh-gapah, gelojoh, tamak, mementingkan diri sendiri dan lain-lain.

Akhlak sama seperti makan minum. Ia jadi basahan, dibuat secara tidak sedar. Kalau kebaikan diri dia tidak sedar maka itu tanda kebaikan itu sudah jadi sebati dengan dirinya.

Akhlak baik amat penting dalam kehidupan. Di sinilah letaknya penilaian Allah, Rasul dan manusia. Ia harga diri manusia, puak atau satu-satu bangsa. Ia bunga diri pada satu-satu bangsa. Akhlak baik merupakan buah ilmu dan amal. Sifat-sifat mahmudah digemari Allah, Rasul dan manusia. Inilah keindahan ajaran Islam.

Ajaran Islam kalau difahami, diamalkan secara tepat akan menarik hati dan menenangkan hati semua orang. Lahir akhlak mulia atau bunga diri dan orang amat ambil perhatian atau senang pada seseorang itu.

Amal ibadah yang tidak membuahkan akhlak mulia tidak ada nilai di sisi manusia. Orang akan benci. Sebab itu makin banyak beribadah makin dibenci dan orang tidak pandang besar. Begitu juga ibadah yang tidak membuahkan akhlak, Allah tidak akan pandang.
Contoh:
a. Dalam sejarah di zaman Rasulullah SAW pernah seorang perempuan yang banyak ibadah malam tapi di siangnya menyakiti jiran, Rasulullah menyebut dia adalah penghuni Neraka.
b. Seorang Sahabat lain pula membuat ibadah yang fardhu sahaja, dia tidak buat yang sunat-sunat. Tetapi usahkan hendak hasad dengki dengan manusia, niat hasad dengki pun tidak ada. Dia dikatakan oleh Rasulullah, ahli Syurga.

Oleh sebab itu betulkan iman dan ibadah. Ia akan membuahkan akhlak mulia itulah taqwa. Kalau tidak berakhlak, ada macam tidak ada.Sesungguhnya satu bangsa itu dianggap ada selagi ada akhlak. Kalau sudah tiada akhlak, ia dianggap tiada. Bahkan ia perosak dunia, perosak masyarakat. Ia petanda bangsa itu akan terhapus (hapus moral, maruah) dan akan digantikan oleh bangsa yang lain.

Dalam Al Quran, Allah SWT memuji Rasulullah SAW kerana akhlaknya bukan kerana ibadahnya yang banyak dan bukan kerana perjuangannya yang banyak. Allah berfirman:
Maksudnya: "Sesungguhnya engkau wahai Muhammad mempunyai akhlak yang mulia (agung)." (Al Qalam: 4)

Di antara rahmat Allah kepada Rasulullah SAW ialah dapat akhlak Al Quran, kasih sayang dan lemah lembut. Tidak tahu nas Al Quran dan Hadis pun tidak mengapa, tapi cukup dapat berakhlak Al Quran.
Hadis juga ada menyebut:
Maksudnya: "Sebaik-baik manusia ialah yang paling baik akhlaknya." (Riwayat At Tabrani)
Kalau begitulah besarnya erti akhlak maka akhlak sangat memberi kesan atau peranan dalam kehidupan manusia.

Peranan Akhlak
1. Kasih sayang
Boleh menjalinkan kasih sayang di antara satu sama lain, sama ada di antara dua orang, dua kelompok atau dua kaum dan lain-lain.
2. Harmoni
Boleh melahirkan hidup yang harmoni dan aman damai.
3. Perpaduan
Boleh melahirkan perpaduan. Kalau tidak pun berpadu secara yang sebenar-benarnya, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan perbalahan, mengurangkan krisis dan pergaduhan.
4. Menjadikan seseorang itu dihormati dan diyakini
Orang berakhlak mulia dihormati dan kerana itu dia dipercayai dan diyakini.
5. Memudahkan menyelesaikan perbalahan
Sekiranya perbalahan diselesaikan oleh orang yang tidak berakhlak makin bertambah pecah. Keputusan orang yang berakhlak lebih mudah diterima.
6. Menenangkan masyarakat
Akhlak mulia rahsia kasih sayang, perpaduan dan terhindarnya masalah.

Sebab itu akhlak kena jaga, akhlak kumpulan kena jaga, akhlak jemaah kena jaga. Akhlak adalah harga diri (izzatun nafsi) dan wibawa seseorang. Ada akhlak ada wibawa. Jika tidak ada akhlak tidak ada wibawa.
Akhlak boleh lahir disebabkan oleh tiga faktor:
1. Akhlak mulia didorong oleh iman.

2. Akhlak mulia didorong oleh ibadah yang tepat.
Kalau watak-watak yang baik itu didorong oleh iman, ia dikatakan akhlak atau dalam bahasa Melayu dikatakan budi pekerti. Akhlak yang mulia akan melahirkan disiplin.

3. Ada juga watak-watak baik yang bukan didorong oleh faktor-faktor di atas iaitu:
a. Etika
Peraturan-peraturan yang dibuat di kampung-kampung, di pejabat-pejabat atau di tempat-tempat kerja dipanggil etika (etika kerja), hakikatnya bukan akhlak tapi etika kerana ia didorong oleh faktor perlu-memerlukan satu sama lain. Kalau tidak, takut orang buang kerja atau orang tolak atau orang marah. Nampaknya macam baik tapi sebenarnya kerana disiplin kerja. Bila pergi ke tempat lain, lain pula akhlaknya kerana waktu itu disiplin kerja itu sudah tidak mengikat dirinya. Itu adalah etika.
b. Watak yang ditempa oleh bi'ah (keadaan sekeliling/environment)
Orang-orang hidup di bi'ah atau suasana (persekitaran) yang sejuk seperti pokok yang menghijau biasanya mempunyai watak yang lemah lembut, tidak gelojoh, pemurah dan tenang.
Watak ini bukan akhlak kerana ia tidak lahir dari dorongan iman. Ia tidak tahan dicabar atau diuji. Walau bagaimanapun orang yang mempunyai watak ini senang atau mudah dididik.
Ada pula bi'ah (suasana) yang membuatkan orang-orang yang hidup di situ jadi berani, agresif, gopoh iaitu tabiat yang dididik oleh environment (bi'ah) yang panas, kering, gurun, padang pasir dan kehidupan yang susah. Watak ini tahan lasak, tahan kena cabar dan tahan kena uji. Tapi watak begini susah untuk dididik.

Sekian.

0 comments:

Post a Comment