Monday, July 20, 2009

PEMBANGUNAN MATERIAL/FIZIKAL DAN INSANIAH

Manusia yang hidup di muka bumi Tuhan ini, mereka memerlukan berbagai-bagai keperluan dan kelengkapan hidup. Untuk menyempurnakan kehidupan mereka dalam dua negara iaitu negara yang terdekat, dunia namanya atau alam syahadah dan negara yang jauh atau yang akhir yang tidak berkesudahan yang kekal abadi, Akhirat namanya. Manusia itu kejadian semula jadinya yang Allah Taala cipta, ada jasad lahir dan ada jasad batin. Jasad lahir atau jawarih ialah anggota yang bersifat fizikal yang dapat dilihat dan disentuh. Jasad batin ialah anggota yang bersifat maknawiah dan rohaniah, terasa adanya, tapi tidak dapat dilihat dan disentuh. Kedua-dua jasad yang ada pada manusia ini perlu diberi keperluan hidupnya. Kalau tidak, kedua-duanya akan rosak. Manusia itu akan melarat dan menderita di dunia dan menderita di Akhirat. Kalau salah satunya sahaja yang diberi perhatian untuk keperluan-keperluan hidupnya, ia tidak seimbang. Kalau jasad lahir sahaja diurus keperluan-keperluannya, sedangkan jasad batin tidak diurus, maka mudahlah kehidupannya di dunia tapi susah kehidupannya di Akhirat. Kalau jasad batin sahaja diurus keperluannya, jasad lahir tidak diurus keperluannya, mudahlah kehidupannya di Akhirat tapi susah kehidupannya di dunia.

Oleh itu manusia itu hendaklah mengurus anggota lahirnya dan juga mengurus anggota batinnya, barulah ia seimbang. Agar manusia itu bahagia di dunia, bahagia di Akhirat. Senang di dunia dan senang di Akhirat. Kalau demikian keadaannya, barulah manusia menjadi manusia yang sempurna yang mendapat kebahagiaan di dua negara. Jasad lahir manusia memerlukan makan minum, pakaian, tempat tinggal, seks, kesihatan, kemudahan perhubungan, kemudahan pertemuan, kemudahan tempat tinggal, kemudahan tempat bekerja, kemudahan tempat berbincang, kemudahan tidur baring, rehat, keselesaan, kemudahan tempat berkeluarga, kemudahan mencari rezeki dan lain-lain lagi. Untuk memenuhi keperluan jasad lahir manusia itulah, maka manusia sentiasa berfikir, belajar mencari ilmu, mencari pengalaman, kemudian berusaha dan berjuang terus-menerus, sambung- menyambung tidak henti-hentinya membangunkan pembangunan fizikal dan material untuk mendapatkan dan menghasilkan keperluan-keperluan lahir mereka. Maka dibangunkanlah tempat tinggal, dari masa ke semasa bertambah elok, bertambah cantik, bertambah selesa dan bertambah canggih. Direntangkan jalan raya, dari masa ke semasa bertambah baik, bertambah besar dan luas serta bertambah selesa. Dibangunkan ladang-ladang dengan alat-alat pertanian, dari masa ke semasa bertambah luas, bertambah elok, bertambah moden dan alatalat pertaniannya bertambah canggih. Direkalah kenderaan, dari masa ke semasa bertambah baik, bertambah cantik, bertambah selesa, bertambah moden dan canggih. Dibangunkan kilang, pekan dan bandar, bangunan pejabat, alat-alat perhubungan, alat-alat penyebaran ilmu dan berita, dari masa ke semasa bertambah baik, bertambah cantik, bertambah moden dan canggih. Sekarang, kemajuan material dan fizikal demi untuk menunaikan keperluan-keperluan jasad lahir manusia, sudah memuncak, sudah hebat dan mengkagumkan. Dengan itu dunia ini sudah kecil, negara sudah tidak ada sempadan lagi, langit telah ‘terbuka’, dunia telah sempit, manusia yang berbagai-bagai kaum dan bangsa ini benar-benar telah bergaul dan boleh berkenalan dari dekat antara satu sama lainnya. Di sini kita dapat melihat usaha dan perjuangan manusia untuk keperluan jasad lahiriah, sangat maju dan berjaya.

Jasad batin (roh) manusia juga perlu kepada makan minum, pakaian, bahkan lebih patut dijaga makan minum dan pakaiannya daripada jasad lahir (jawarih). Makan minumnya termasuklah keyakinan, sembahyang, puasa, membaca Al Quran, tafakur, zikir, tasbih, tahmid, selawat dan doa. Pakaiannya ialah sifat taqwa iaitu melaksanakan segala yang diperintah atau yang disuruh dan menjauhi segala yang dilarang atau yang ditegah. Kalau ia sungguh-sungguh difahami, kemudian diusahakan dan diamalkan serta dihayati secara terusmenerus, akan lahirlah pembangunan insaniah yang bersifat rohaniah. Misalnya, lahirlah di dalam diri manusia itu sifat-sifat jujur, adil, benar, kasih sayang, lemah-lembut, pemurah, tawadhuk, pemalu, bertimbang rasa, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, pemaaf, meminta maaf, amanah, tekun, rajin, lapang dada, bekerjasama, simpati dan belas kasihan. Sifat mahmudah dalam diri manusia ini akan menjadi tabiat, menjadi budaya dan syiar di dalam kehidupan di kalangan manusia. Di sinilah rahsia perpaduan, kebahagiaan dan keharmonian yang manusia sejagat menginginkannya, lebih daripada menginginkan pembangunan material dan fizikal.

Apa yang sangat malang di dunia akhir zaman ialah tuntutan kehidupan mereka tidak seimbang di antara pembangunan material dan fizikal dengan pembangunan insaniah yang bersifat maknawi dan rohaniah. Pembangunan material dan fizikal, masya-Allah begitu menonjol, hebat dan canggih, daripada masa ke semasa bertambah meningkat, bertambah maju, bertambah moden, bertambah berjaya. Tetapi apa yang berlaku, pembangunan insaniah yang bersifat maknawiah dan rohaniah makin menurun, makin merosot, semakin kurang, semakin teruk dan punah, keadilan bertambah jauh, kejujuran bertambah kurang, amanah susah hendak dicari, pemurah sudah boleh dikatakan tiada lagi, kasih sayang sudah kemarau, sabar tinggal dalam ucapan, redha jauh sekali, tawakal hampir sudah tidak wujud, tolak ansur hampir punah, lapang dada sudah tidak ketara, mengutamakan orang lain lebih-lebih lagi sudah tiada, pemaaf hampir mustahil, meminta maaf kalaupun berlaku kerana terpaksa, bertolong bantu dan bekerjasama hanya program tertentu kerana ada tujuan tersembunyi; kerana nama dan glamour, kerana ada udang di sebalik batu atau kerana terpaksa, kalau tidak nanti apa orang kata.

Apabila pembangunan insaniah hampir punah di seluruh dunia terutama di dunia Barat dan Amerika, maka apakah yang terjadi? Iaitu di tengah-tengah pencakar langit, runtuhnya akhlak manusia sejatuh-jatuhnya menyapu bumi. Di tengah-tengah bangunan dan gedung-gedung yang indah, di situlah sarang pelacuran yang eksklusif, lesbian dan homoseksual. Di dalam keadaan bandar-bandar yang penuh dengan pembangunan yang hebat dan gagah, lampu-lampu yang bergemerlapan, kenderaan yang berselerak, berselirat, manusia yang sentiasa bergerak dan aktif seolah-olah tidak ada beza siang dan malam, di sanalah penipuan, rasuah, rompakan, kidnap, rogol, zina dan pembunuhan. Di dalam keadaan jalan raya highway, super highway yang melebar dan memanjang, di sanalah manusia melahirkan emosi, gelojoh, mementingkan diri sendiri, melanggar disiplin, tunjuk sombong, membesarkan ego, pantang dicabar, berlumba-lumba dan potong-memotong. Akibatnya dari ini berlaku eksiden dan insiden yang mengerikan, manusia mati setiap hari, kereta remuk-redam, punah-ranah, seolah-olah menjadi budaya jalan raya, seolah-olah tiada apa-apa, biasa sahaja, perkara biasa. Di dalam kejayaan material, di sinilah berlakunya penzaliman, diskriminasi, keangkuhan, khianat, rasuah, hidup nafsinafsi, sombong, megah, mementingkan diri, pembaziran, budaya lepak, vandalisme, bohjan, bohsia dan pergaulan bebas macam haiwan. Di dalam masa kejayaan material inilah, berlaku di seluruh dunia terutama di dunia Barat dan Amerika, orang tua terbiar, kanak-kanak tidak disayangi tapi kucing dan anjing lebih disayangi, hubungan hidup suami isteri begitu longgar, krisis rumah tangga, krisis politik dan berbagai krisis lagi. Peperangan di antara kaum, di antara etnik, di antara negara, di antara fahaman silih berganti terjadi setiap hari. Manusia gelisah, manusia resah, manusia kecewa, manusia putus asa, manusia membunuh diri. Aneh, pelik, ganjil, hairan, menakutkan sekali. Dunia pembangunan telah menjadi syurga, manusia hidup dalam neraka. Beginilah keadaan kehidupan manusia seluruh dunia apabila tidak seimbang antara pembangunan material dengan pembangunan insaniah, seolah-olah pembangunan material yang mengkagumkan itu tidak ada erti apa-apa lagi kepada manusia. Materialnya berjaya, nsaniahnya kecewa. Materialnya syurga, insaniahnya neraka. Luar manusia terang-benderang, dalam manusia gelap-gelita. Materialnya mencakar langit, akhlaknya menyapu bumi. Haiwan disayangi, manusia dibenci. Pencemaran alam ditakuti, pencemaran iman dan akhlak tidak dipeduli. Manusia dibiarkan kelaparan, haiwan diberi makan hingga kekenyangan.

Setelah kita menghuraikan secara ringkas, pembangunan material dan pembangunan insaniah maka kita dapat membuat konklusi dan rumusan seperti berikut:

1. Pembangunan material dan fizikal dari sehari ke sehari semakin meningkat dan maju tapi pembangunan insaniah dari sehari ke sehari menurun dan punah.

2. Pembangunan material atau fizikal mudah diperturunkan dan diwarisi serta disambung oleh generasi kemudian dari masa ke semasa tapi tidak demikian keadaannya pembangunan insaniah ini susah hendak diperturunkan dan diwarisi oleh generasi kemudian.

3. Membangunkan material atau fizikal mudah dibandingkan membangunkan insaniah.

4. Mengubah kehidupan yang lahir ini daripada buruk kepada cantik, ini mudah tetapi mengubah kehidupan yang batin iaitu mengubah tabiat manusia daripada perangai buruk kepada perangai baik ini amat susah sekali. Sebagai bukti, katalah seorang ini kenal dirinya sejak di bangku sekolah lagi punya sifat pemarah, kemudian selepas 40 tahun kita bertemu lagi dengannya, masya-Allah sifat pemarahnya tidak berubah bahkan ia bertambah tua dengan tua umurnya.

5. Pendidik dan pembangun material atau fizikal lebih berjaya daripada pendidik dan pembangun insaniah.

6. Di sini kita faham dan insaf bahawa kemajuan material dan fizikal bagaimana hebat, cantik dan canggih tidak dapat mendidik manusia daripada jahat kepada baik bahkan adakalanya manusia yang baik jadi jahat
.
7. Kemajuan yang lahir boleh membawa manusia paling tidak kufur nikmat, tapi pembangunan insaniah membawa manusia bersyukur dengan kemajuan yang lahir itu.

8. Kemajuan di sudut material dan fizikal semakin maju tapi manusia semakin berebut-rebut, iri hati, hasad-menghasad, khianat-mengkhianat, jatuh-menjatuhkan, tunjuk-menunjuk, jauh-menjauhi, sombong-menyombongi, rasuah-merasuah, tipu-menipu, benci-membenci, hilang kasih sayang, perpaduan makin pecah dan banyak berlaku jenayah.

9. Berlainan sekali pembangunan insaniah; makin maju, makin bersyukur, makin sabar, makin berkasih sayang, makin berpadu, makin bertolak ansur, makin pemurah, makin bertawakal, makin redha, makin berlapang dada, makin bersimpati, makin bertimbang rasa, makin bahagia, makin harmoni.

10. Pakar-pakar dan tokoh pembangunan material dan fizikal bertambah setiap masa, pakar dan tokoh-tokoh insaniah bertambah kurang.

11. Kepesatan pembangunan material dan fizikal kita akui, dunia semakin cantik dan indah, kehidupan manusia bertambah mudah dan selesa, tapi tidak menjamin kebahagiaan dan keharmonian.

12. Kemajuan material dan fizikal menyebabkan bertambah sempit dan dekat dunia ini dibuatnya dan memudahkan jasad lahir manusia bertambah dekat dan rapat, tapi hati satu sama lain bertambah jauh.

13. Dengan kepesatan pembangunan material dan fizikal, jasad mudah bertemu tapi susah hendak bersatu dan bertemu hati.

14. Pejuang-pejuang dan pendokong material lebih ramai daripada pejuang dan pendokong pendokong kemajuan insaniah.

15. Pejuang insaniah terutama pemimpin selalu tersisih tidak seperti pejuang-pejuang material.

16. Kemajuan material boleh dipusakai tapi kemajuan insaniah tidak boleh dipusakai.

17. Pejuang material atau kebendaan terutama bila mereka menjajah negara orang, banyak membuat kerosakan tidak seperti pejuang-pejuang insaniah.

18. Ilmu tentang kemajuan material dari sehari ke sehari bertambah berkembang tapi ilmu mengenai pembangunan insaniah bertambah kurang.

19. Pemimpin pejuang-pejuang material selalunya ditakuti dan dibenci, orang hanya berpura-pura menghormatinya. Tapi pemimpin pejuang insaniah selalunya dihormati, orang suka dekatinya.

20. Zaman kegemilangan pembangunan material biasanya lama tapi zaman kegemilangan pembangunan insaniah biasanya tidak lama.

21. Zaman kegemilangan kemajuan material tidak membawa keamanan, buktinya dunia Barat hari ini terutama Amerika, hidup penuh dengan ketakutan kerana berlakunya dalam masyarakat mereka berbagai-bagai bentuk jenayah. Tidak seperti zaman kegemilangan pembangunan insaniah, masyarakatnya aman damai, hingga wanita boleh berjalan seorang diri pun tiada siapa yang mengganggu. Suasana ini telah berlaku di zaman Rasulullah SAW hingga selama 3 kurun.

22. Kemajuan insaniah adalah pusaka para rasul dan nabi-nabi, kemajuan material adalah pusaka Qarun dan raja-raja.

23. Pemimpin-pemimpin pejuang material selalunya dilupakan orang lebih-lebih lagi selepas matinya, tapi tidak kepada pemimpin pejuang insaniah, setelah mati pun dikenang orang hingga makam mereka diziarahi.

24. Pembangunan material adalah lambang kebesaran dan kemegahan tapi pembangunan insaniah adalah lambang kehambaan dan ketaatan.

25. Pemimpin pejuang material walaupun penuh dengan kebesaran dan kekayaan tapi tidak punya pengikut, tapi pemimpin pejuang insaniah mempunyai pengikut seperti para rasul, imam-imam mujtahidin, pemimpin pejuang kebenaran seperti Hassan Al Banna dan lain-lain lagi.

26. Pemimpin-pemimpin pejuang material selalunya meninggalkan pembangunan, tetapi pemimpin pejuang insaniah selalunya meninggalkan ajaran dan didikan.

27. Pemimpin pejuang material selalunya orang ziarah hendakkan duit atau sokongan tapi pemimpin pejuang insaniah orang ziarah inginkan doa dan keberkatan.

28. Pemimpin pejuang material apabila dia jatuh daripada jawatannya atau bankrap, orang tidak peduli bahkan orang yang dikatakan kawan-kawan selama ini pun habis lari, tidak seperti pemimpin pejuang insaniah, makin dia teruji makin orang simpati, semakin orang suka hendak ziarahi.

Perlu diingatkan, kunci kebahagiaan hidup manusia di dunia ini ialah apabila berlaku dan tercetusnya kemajuan material dan kemajuan insaniah serentak atau bertembung dua tamadun lahiriah dan rohaniah dalam satu masa. Maka hidup di dunia dirasakan syurga sebelum Syurga yang hakiki dan kekal abadi di Akhirat. Kita tidak tahu bila akan berlaku, kita harap akan berlaku. Marilah kita sama-sama berjuang dan berdoa mogamoga dunia ini menuju ke arah itu. Ya Allah, rahmat-Mu dan nikmat-Mulah yang kami harap! Kami menunggu.

0 comments:

Post a Comment