Perkara yang sudah hilang dari milik kaum muslimin atau umat Islam secara umum amat banyak sekali. Sama ada kita sedari atau tidak. Tapi yang kita dengar selama ini, kerana sering diperkatakan, selalu saja disebut oleh para pemimpin, ulama, pendakwah, penceramah, para pejuang Islam, ialah ilmu pengetahuan. Hingga hampir semua umat tahu. Bahkan mengakui bahawa umat Islam telah kehilangan ilmu pengetahuan, yang mana satu ketika dahulu umat Islam membawa ilmu dan menguasainya di dalam berbagai-bagai bidang. Umat Islam pernah menguasai ilmu falsafah, sains, kedoktoran, ilmu falak, geografi, sejarah, matematik, selain daripada menguasai ilmu yang bersumberkan Al Quran dan Hadis. Lahirlah pakar-pakar tauhid, pakar feqah, pakar tasawuf, pakar tafsir, pakar Hadis, pakar sejarah dan lain-lain.
Di waktu itu umat Islam menjadi mahaguru dan tempat rujuk di berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan seluruh bangsa di dunia, bahkan bangsa-bangsa Eropah pun berdatangan ke negara umat Islam kerana mempelajari ilmu pengetahuan di pelbagai bidang. Ilmu yang dimiliki dan dikembangkan dan dikuasai oleh orang-orang Barat dan Amerika sekarang ini, asalnya adalah warisan daripada ilmu yang pernah dimiliki oleh umat Islam. Kemudian mereka memperdalaminya, memperluas dan mengembangkannya hingga mereka telah menjadi mahaguru kepada bangsa-bangsa di dunia. Termasuklah umat Islam, terpaksa belajar semula dengan mereka. Jadi kehilangan ilmu pengetahuan daripada umat Islam memang rata-rata umat Islam mengetahuinya dan mengakuinya kerana ia sering disebut-sebut di dalam ucapan dan tulisan. Perlu diingatkan bahawa apakah ilmu sahaja yang hilang dari umat Islam? Apakah tidak ada perkara-perkara lain yang hilang daripada umat Islam? Perkara-perkara yang perlu bahkan sesetengahnya wajib kita mencarinya?
Yang sebenarnya banyak perkara yang telah hilang daripada umat Islam. Sebahagian daripadanya wajib kita mendapatkannya semula. Kerana ia perkara yang amat berharga. Demi keselamatan kita di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat. Secara umum, perkara-perkara yang telah hilang daripada umat Islam itu boleh dibahagi kepada dua kategori:
Pertama:Kehilangan secara khusus
Kedua: Kehilangan secara umum
KEHILANGAN SECARA KHUSUS
Perkara-perkara yang hilang dari umat Islam secara khusus, antaranya ialah:
1. Hilangnya keadilan dari pemimpin atau pemerintah dan juga kasih sayangnya.
2. Hilangnya sifat berani daripada para alim ulama juga kasih sayang dan nasihat-nasihatnya serta sifat zuhudnya.
3. Hilangnya sifat malu daripada kaum wanita.
4. Hilangnya sifat sabar daripada fakir miskin.
5. Hilangnya sifat pemurah daripada orang kaya.
6. Hilangnya sifat tawadhuk daripada golongan atasan.
7. Hilangnya ilmu pengetahuan daripada ahli ibadah.
8. Hilangnya sifat lemah lembut dan kebijaksanaan daripada para pejuang Islam.
9. Hilangnya sifat bijaksana dan lemah lembut daripada para pendakwah.
10. Hilangnya rasa khusyuk daripada orang yang bersembahyang.
11. Hilangnya sifat amanah daripada orang yang diberi tanggungjawab.
KEHILANGAN SECARA UMUM
Perkara-perkara yang hilang daripada umat Islam secara umum, antaranya ialah:
1. Hilangnya ilmu pengetahuan.
2. Hilangnya kepimpinan bertaraf empayar atau sejagat.
3. Hilangnya akhlak dan budi pekerti yang mulia.
4. Hilangnya ukhwah dan kasih sayang.
5. Hilangnya rasa sifat cemburu terhadap agama dan terhadap kaum wanitanya.
6. Hilangnya perpaduan dan kesatuan umat Islam.
7. Hilangnya rasa bertuhan atau rasa tauhid.
8. Hilangnya rasa cinta kepada Akhirat.
9. Hilangnya rasa takut dengan Tuhan atau dengan dosa.
10. Hilangnya rasa tawakal.
11. Hilangnya rasa qanaah.
12. Hilangnya sifat redha.
13. Hilangnya sifat sabar.
14. Hilangnya sifat bertolak ansur.
15. Hilangnya persahabatan di kalangan kaum muslimin.
16. Hilangnya sifat taat dan setia daripada pengikut terhadap pemimpin.
17. Kehilangan tamadun Islam.
18. Kehilangan undang-undang dan perlembagaan Islam.
Inilah dia secara rambang apa yang telah hilang daripada umat Islam sama ada yang bersifat khusus mahupun bersifat umum. Kalau begitu keadaannya, ertinya umat Islam itu secara umum telah menjadi miskin di dalam semua hal. Miskin di segi material, miskin dari segi moral, miskin bersifat dunia mahupun miskin bersifat Akhirat. Miskin yang bersifat maddi mahupun miskin yang bersifat maknawi dan rohani.
Oleh itu kalau kita ingin mengembalikan sesuatu yang hilang dari umat Islam agar mereka memilikinya semula, ini memerlukan satu perjuangan yang bukan main-main. Memerlukan satu
perjuangan yang gigih. Memerlukan pengorbanan apa sahaja. Memerlukan satu perjuangan yang tersusun dan berdisiplin. Memerlukan pemimpin yang boleh menjadi contoh terutama ketaqwaan dan ilmu serta kepimpinannya. Memerlukan ketaatan dan kesetiaan para pengikut. Memerlukan perjuangan yang terus-menerus tanpa henti-henti. Memerlukan kebijaksanaan. Memerlukan role model di kalangan para pejuang dan pemimpin-pemimpinnya.
Pada hari ini, oleh kerana umat Islam memandang serius bahawa yang hilang itu adalah ilmu pengetahuan, nampaknya di dalam memperjuangkan ilmu pengetahuan kelihatan ada kesungguhan walaupun belum sampai ke matlamatnya. Namun sedihnya dan amat malang sekali perkara-perkara yang lain selain ilmu pengetahuan tidak dirasakan hilang atau mungkin terasa juga kehilangannya tapi tidak dianggap penting seperti pentingnya ilmu pengetahuan. Maka usaha dan perjuangan untuk mengembalikan perkara-perkara itu kurang diambil perhatian atau tidak begitu serius memperjuangkannya. Lantaran itu kehilangan perkara-perkara yang lain selain ilmu pengetahuan rasa amat payah untuk dikembalikan atau amat payah hendak dicari semula. Bahkan sebahagian umat Islam tidak mengambil pusing langsung mengenai akhlak, ukhwah dan lainlain. Umat Islam sudah tidak terasa lagi kehilangan iman, kehilangan akhlak, kehilangan sifat pemurah, kehilangan sifat sabar, kehilangan sifat redha, kehilangan kesatuan dan perpaduan, kehilangan sifat bertolak ansur dan lain-lain lagi.
Sebagai contoh:
Seorang ibu atau bapa atau guru, apabila seseorang anak atau murid tidak lulus di dalam peperiksaan, mereka marah, susah hati, risau. Kemudian guru itu atau ibu bapa akan memberi berbagai-bagai nasihat, berbagai-bagai cara dan tekanan dilakukan agar murid atau anak itu lulus pada masa yang akan datang. Guru atau ibu bapa bising sungguh dengan pelajar atau anak yang tidak lulus tadi. Tapi kalau dia tidak bersembahyang atau tidak berakhlak, guru atau ibu bapa tidak pula rasa susah hati. Tidak pula bising, tidak pula memberi nasihat, memberi ingatan serta memberi berbagai-bagai cara dan tekanan agar dia bersembahyang atau berakhlak. Kalaupun guru atau ibu bapa tidak senang tapi rasa tidak senang itu tidak serius, tidak begitu menekan perasaan. Begitulah seterusnya golongan-golongan lain. Tapi kalau ilmu pengetahuan, semua golongan mengambil berat. Semua golongan membising-bisingkannya. Semua golongan mengambil tahu. Semua golongan mengambil perhatian. Kalau mundur, semua golongan susah hati. Kalau berjaya atau cemerlang, semua golongan suka atau gembira. Mengapa terjadi demikian? Ini kerana ilmu yang dikejar itu, mereka hendak jadikan alat untuk mendapatkan keuntungan dunia. Tapi sembahyang, akhlak, iman, taqwa, mereka fikir tidak ada hubungan dengan kepentingan atau keuntungan dunia. Kalau begitu, cuba gambarkan betapa sulitnya kita hendak mengembalikan sesuatu yang hilang selain daripada ilmu pengetahuan. Umat Islam memandang kehilangan itu semua tidak merugikan. Kalau dapat pun mereka menganggap tidak menguntungkan apa-apa. Begitulah rosaknya jiwa dan cara berfikir umat Islam pada hari ini. Padahal kekuatan umat Islam, survivalnya, kemerdekaannya, kedaulatannya, kemajuannya, kejayaannya, kebahagiaannya, keharmoniannya, bukan ditentukan oleh faktor ilmu sematamata. Tapi ditentukan oleh semua faktor tadi. Oleh yang demikian, kita umat Islam wajib berusaha dan berjuang untuk mengembalikan semua yang hilang itu agar menjadi milik kita semula. Di sanalah semuanya kemuliaan kita.
Tuesday, July 14, 2009
Home »
Minda Tajdid
» APAKAH PERKARA YANG SUDAH HILANG DARI UMAT ISLAM?
0 comments:
Post a Comment