Apabila kita memperkatakan pemimpin umat Islam, terdapat berbagai-bagai peringkat dan pemimpin di pelbagai bidang dan jurusan. Dari kalangan mereka, ada yang menjadi pemimpin empayar, pemimpin negara, pemimpin negeri, pemimpin daerah, pemimpin mukim, pemimpin kampung, pemimpin tentera, pemimpin politik, pemimpin dakwah, pemimpin budaya dan kesenian, pemimpin pendidikan, pemimpin persuratan dan kesusasteraan, pemimpin ekonomi, pemimpin belia, pemimpin rumah tangga dan lain-lain.
Ertinya pemimpin di kalangan umat Islam itu, ada pemimpin besar dan ada pemimpin kecil. Ada pemimpin umum, ada pemimpin khusus. Ada pemimpin yang terbatas, ada pemimpin yang tidak terbatas. Ada pemimpin yang di dalam dia memimpin, dia juga kena pimpin. Pemimpin umum adalah seperti pemimpin empayar, pemimpin negara, pemimpin negeri, pemimpin daerah, pemimpin mukim, pemimpin kampung, pemimpin keluarga dan pemimpin jemaah. Pemimpin khusus pula seperti pemimpin pendidikan, pemimpin kebudayaan dan kesenian, pemimpin ketenteraan, pemimpin persuratan dan kesusasteraan, pemimpin ekonomi, pemimpin sains dan teknologi dan lain-lain lagi. Bagi pemimpin umum, di bawah kepimpinan dan tanggungjawabnya terdapat bermacam-macam golongan dan peringkat serta berbagai-bagai profesion. Pemimpin khusus pula hanya satu golongan yang berada di bawah tanggungjawab dan kepimpinan mereka. Ini kerana mereka memperjuangkan satu bidang atau satu profesion sahaja. Mungkin ruang lingkupnya luas. Contohnya, pemimpin ketenteraan. Ini sudah tentulah melibatkan seluruh negara atau empayar. Begitu juga pemimpin pendidikan, walaupun hanya satu aspek pengkhususannya namun ruang lingkupnya luas mencakup seluruh empayar atau negara dan ramai yang berada di bawah tanggungjawabnya. Tentu ramai orang yang hendak dipimpinnya. Setidak-tidaknya seluruh para guru dan pelajarpelajar.
Ada juga pemimpin umum yang ruang lingkupnya tidak luas walaupun di bawah pimpinannya berbagai-bagai lapisan masyarakat, berbagai-bagai profesion orangnya dan berbagaibagai bidang dan aspek yang hendak difikirkannya. Contohnya pemimpin negeri, bidang kuasanya hanyalah dalam negeri. Sebaliknya, seorang pemimpin tentera di dalam negara lebih luas lagi ruang lingkupnya. Walaupun orang di bawah pimpinannya satu golongan saja tapi daerah ruang lingkup kepimpinannya adalah seluruh negara.
Sekarang kita telah mengetahui bahawa pemimpin dan kepimpinan di dalam Islam itu ada berperingkat-peringkat. Ada yang besar, ada yang kecil, ada yang secara umum dan ada yang secara khusus. Jadi di sini kita akan memperkatakan apa tanggungjawab setiap pemimpin itu. Di dalam tulisan ini, saya tidak akan memperkatakan tanggungjawab pemimpin Islam secara luas dan menyeluruh. Saya cuma akan memperkatakan bahawa walau di peringkat mana pun pemimpin itu memimpin, namun ada dua perkara setiap pemimpin Islam itu wajib bertanggungjawab kepada ahli-ahlinya atau kepada anak pimpinannya. Tiada seorang pun yang boleh mengecualikan dirinya daripada bertanggungjawab kerana mereka adalah pemimpin Islam. Islam adalah agama mereka. Agama Islam mewajibkan kepada setiap pemimpin umat Islam bertanggungjawab terhadap agama dan akhlak orang yang
di bawah pimpinannya.
Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Setiap pemimpin akan ditanya oleh Allah Taala tentang setiap orang di bawah pimpinannya di Akhirat kelak. Tidak kira sama ada mereka pemimpin besar atau pemimpin kecil, pemimpin umum atau pemimpin khusus. Mereka tidak boleh hanya memikirkan bidangnya sahaja. Di dalam ajaran Islam, masalah agama terutama di sudut fardhu ain, setiap individu yang mukalaf mesti mengetahui, mengamal dan menghayatinya. Siapa yang menjadi pemimpin juga bertanggungjawab memastikan fardhu ain setiap anak pimpinannya mesti selesai kerana soal agama dan akhlak ini adalah keperluan dan keselamatan bersama dunia Akhirat. Tidak seperti di bidang fardhu kifayah, umpamanya di bidang ketenteraan, ekonomi dan pertanian. Kalau ada satu golongan yang berkecimpung dalam bidang itu dan mencukupi untuk keperluan masyarakat umum maka sudah memadai. Orang lain yang tidak mengambil bahagian di bidang ini terlepas daripada dosa. Manakala Rukun Iman yang enam dan Rukun Islam yang lima, setiap orang wajib mengetahuinya. Mengetahui halal dan haram serta memiliki akhlak yang mulia iaitu sifat-sifat mahmudah seperti adil, jujur, benar, tawadhuk, pemurah, kasih sayang, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, lapang dada, pemaaf, meminta maaf dan amanah diwajibkan kepada setiap orang, diperlukan oleh setiap orang dan setiap golongan. Setiap orang mesti melibatkan diri. Tiada seorang terkecuali sama ada dia pemimpin mahupun bukan pemimpin. Setiap pemimpin Islam itu tidak boleh berkata, “Saya pemimpin di bidang ketenteraan. Saya hanya bertanggungjawab kepada anak buah saya hal yang bersangkutan dengan ketenteraan sahaja. Soal agama dan akhlak itu bukan tanggungjawab saya.”
Pemimpin politik pula berkata, “Saya hanya pemimpin di bidang politik. Soal syariat dan akhlak itu bukan bidang saya.”
Pemimpin ekonomi pula berkata, “Demikian juga saya. Saya hanya memimpin di bidang ekonomi. Masalah agama dan akhlak mereka itu bukan tanggungjawab saya.”
Begitulah setiap pemimpin itu berfikiran demikian. “Soal agama dan akhlak itu tanggungjawab ulama, ustaz, pendakwah, pemimpin dakwah. Kami hanya memikirkan bidang yang khusus.”
Itu adalah fikiran mereka. Allah dan Rasul tidak mengkehendaki demikian. Islam memerintahkan setiap pemimpin umat Islam sama ada dia pemimpin negara, pemimpin negeri, pemimpin ketenteraan, pemimpin politik, pemimpin ekonomi, pemimpin persuratan dan kesusasteraan, pemimpin belia dan seterusnya, wajib bertanggungjawab kepada anak pimpinan mengenai agama dan akhlak mereka.
Di akhir zaman ini, di sinilah di antara kelemahan umat Islam yang mana pemimpin itu hanya bertanggungjawab di bidangnya sahaja. Terhadap urusan agama dan akhlak, mereka tidak ambil pusing. Bahkan banyak di kalangan mereka itu meringan-ringankannya. Di sinilah rahsianya mengapa setiap golongan itu, di antara satu sama lain payah hendak disatukan. Hati berjauhan walaupun tidak bergaduh. Tali pengikat di kalangan golongan umat Islam ialah agama mereka dan akhlak Islam, tapi talinya ini telah diputuskan. Pengikat untuk menyatukan umat Islam sudah tiada. Kalaupun ada tapi tali yang telah reput. Justeru itu di sesetengah golongan atau kumpulan, lebih banyak berlaku berbagai-bagai gejala yang negatif daripada sesetengah golongan yang lain. Dan sesetengah golongan agak lebih baik daripada kebanyakan golongan yang lain pula. Kerana golongan yang banyak menimbulkan gejala itu, mereka tidak lagi dipimpin ke arah agama dan akhlak yang mulia oleh pemimpin. Kalaupun ada program sekali-sekala, itu pun yang didatangkan dari luar. Pemimpin hanya memikirkan bidangnya sahaja. Seolah-olah agama dan akhlak persoalan individu. Padahal apa yang dikehendaki oleh Islam ialah setiap orang itu tidak kira apa kerjanya, bidang apa yang dia tahu, profesion apa yang dia miliki, namun terhadap agama dan akhlak mesti sama kerana ia keperluan bersama. Agama dan akhlak sama-sama punya, tidak seorang boleh berkecuali. Ia adalah kehendak Islam itu sendiri.
Kalau setiap pemimpin, tidak kira di peringkat yang mana dia berada, jika mereka mengambil berat terhadap didikan agama dan akhlak orang yang di bawah kepimpinan mereka, mendidik ke arah kedua-duanya, maka akan lahirlah di dalam masyarakat Islam ahli politik, ahli pendidikan, ahli ekonomi, ahli kesenian, ahli budaya, ahli persuratan dan kesusasteraan, ahli tentera, ahli polis, ahli dakwah, ahli jemaah, ahli sains dan teknologi, ahli akademik, ahli pentadbiran dan lain-lain golongan lagi yang taat dengan agama, berdisiplin, berakhlak tinggi dan mulia. Dengan cara itu akan dapat dilihat bahawa semua golongan umat Islam dari segi peribadinya dan individunya sama, selari, bersatu, rentak yang sama, syiar mereka sama, ketaatan dan akhlak mulianya sama, walaupun mereka pakar di dalam berbagai-bagai bidang dan profesion yang tidak sama. Apakah ada umat Islam berfikir bahawa ketaatan beragama, berdisiplin dan mempunyai akhlak yang mulia itu hanya diperlukan oleh guru-guru agama, ustaz-ustaz, alim ulama, para da’i semata-mata, golongan lain tidak perlu?! Apakah sifat jujur, alim, pemurah, kasih sayang, amanah dan lain lain lagi sifat sifat yang mulia hanya perlu untuk ahli agama, golongan yang lain tidak memerlukannya?
Apakah ada di kalangan umat Islam berfikir, jika taat kepada agama dan berakhlak mulia akan merugikan umat Islam dan manusia seluruhnya? Apakah dengan beragama dan berakhlak mulia akan membawa kemunduran, tidak akan maju, tidak akan berjaya, akan mundur ke belakang? Sebenarnya kepatuhan kepada agama dan berakhlak mulia, itulah menjadikan umat Islam berdisiplin. Akan memperindahkan dan memperbaiki lagi bidang dan profesyen setiap golongan itu. Di sinilah kemuliaan dan kehormatan umat Islam. Kalau ada sifat-sifat ini bukan sahaja Allah dan Rasul suka, tapi umat Islam akan dihormati oleh seluruh manusia sekalipun orang bukan Islam kerana akhlak mulia bersifat sejagat. Semua manusia menerima, suka dan merasa senang dengannya. Umat Islam di zaman salafussoleh mempunyai kepakaran dan kepandaian yang berlainan di berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan. Ada pakar tafsir, pakar Hadis, pakar feqah, pakar sejarah, pakar akidah, pakar falsafah, pakar sastera, pakar sains, pakar perubatan, pakar kaji bintang, pakar perang tapi di segi agamanya iaitu ketaatan kepada Allah dan Rasul, disiplin hidup serta akhlak mulia, mereka sama-sama terserlah, sama-sama hebat, sama-sama kuat, sama-sama membangunkan syariat, syiar Islam itu sangat menonjol dan dapat dilihat di dalam semua keperluan. Sedangkan di bidang fardhu kifayah masing-masing mempunyai
kepakaran yang tersendiri, mempunyai profesion yang berlainan. Mengapa terjadi demikian? Kerana didikan agama dan akhlak kepada semua golongan yang mengetahui di berbagai-bagai bidang itu adalah sama. Sama-sama dititikberatkan. Di dalam mereka mempunyai kepakaran di bidang-bidang tertentu, di sudut yang lain mereka menjadi abid. Di samping mempunyai ilmu yang tinggi di berbagai bidang, akhlak mereka juga begitu mulia dan tinggi yang tidak dimiliki oleh ahli ilmu di kalangan agama lain. Oleh itu kalau setiap pemimpin umat Islam di seluruh dunia hari ini berperanan, setiap pemimpin di setiap golongan dan bidang itu berusaha dan berjuang dengan serius mendidik anakanak pimpinannya kepada agama dan akhlak mulia, di dalam masa yang tidak lama, insya-Allah umat Islam ini akan menempah semula zaman kemenangan dan kegemilangan seperti di zaman silamnya.
Monday, July 27, 2009
Home »
Minda Tajdid
» Kuliah Kepimpinan 1:TANGGUNGJAWAB SETIAP PEMIMPIN UMAT ISLAM DI GOLONGAN MANAPUN YANG DIA PIMPIN
0 comments:
Post a Comment