Wednesday, July 1, 2009

Antara Bicara dengan Amal

Berbicara tentang kebenaran adalah mudah. Berbicara itu peranan akal. Bila akal ada ilmu maka manusia mampu untuk berbicara. Manusia yang mempunyai ilmu mampu memperkatakan soal-soal ilmunya. Jika akalnya mempunyai ilmu tentang ibadah, ia mampu memperkatakan tentang hukum hakam dalam ibadah, ilmu khusyuk dalam solat, ilmu dan hikmah dalam tahajjud. Memperkatakannya adalah mudah, cukup sekadar jika mempunyai ilmu tentangnya. Lebih-lebih lagi ilmu itu disandarkan pada sijil atau atau pangkatnya. Jika seseorang itu mempunyai sijil dalam pertanian maka ia mampu membicarakan tentang pertanian. Begitulah juga hal-hal lain dalam ekonomi, politik, sosial, motivasi, teknologi, agama dan sebagainya. sekali lagi saya katakan, memperkatakan tentang kebenaran adalah mudah, cukup sekadar mempunyai ilmu tentangnya.

Tetapi yang susahnya itu ialah menegakkan kebenaran. Menegakkan kebenaran ertinya menzahirkan apa yang diperkatakan. Ia bukan sekadar mempunyai ilmu tentangnya tetapi ia mesti mempunyai kekuatan yang luar biasa. Kekuatan luarbiasa itu ialah mempunyai jiwa besar. Jiwa besar tidak mampu sekadar mempunyai ilmu lebih-lebih lagi sekadar yang diperolehi melalui bacaan atau pengajian-pengajian. Jiwa besar ini lahir dari mujahadah an nafs. Mujahadah ini melalui satu proses iaitu takhalli, tahalli dan tajalli. Tanpa proses ini, kebenaran hanya mampu diucapkan tetapi tidak mampu dizahirkan.

1. Takhalli
Untuk melahirkan jiwa besar perlu mempunyai modal yang besar. Modal bagi jiwa besar ialah pengorbanan jiwa itu sendiri. Tanpa modal ini, jiwa besar tak mungkin dilahirkan. Sebagai ibarat, orang yang ingin mempunyai perniagaan yang besar, maka modal hendaklah kukuh. Tanpa modal yang kukuh, perniagaan besar tak mungkin berjaya. Hal lahir pun perlu modal lahir maka hal jiwa perlu modal jiwa juga.
Sebelum mendapat modal jiwa yang kukuh maka pengorbanan ke arah mendapatkan modal itu juga diperlukan. Ertinya modal jiwa besar ialah pengorbanan jiwa.Mengapa?sebabnya jiwa adalah punca segala kekuatan dan punca segala permasalahan. Orang yang kuat jiwa akan kuat kekuatan akal dan kekuatan lahirnya. Orang yang lemah jiwa maka akan lemah akalnya dan lemah lahirnya. Ertinya orang yang kuat jiwa akan melahirkan kekuatan positif dalam semua aspek dirinya. Orang yang lemah jiwanya akan melahirkan aspek negatif dalam dirinya. Untuk mendapatkan kekuatan jiwa maka proses takhalli di perlukan. Takhalli bermaksud mengosongkan jiwa dari hal-hal yang merosakkan jiwa atau imannya. Punca kerosakkan iman melalui mata, akal,perasaan,mulut, telinga, tangan, kaki, perut dan kemaluannya. Hal yang merosakkan perkara di atas perlu dikosongkan atau dibuang satu persatu. Tanpa membuang perkara tersebut, jiwa besar hanyalah angan-angan kosong sahaja.Bagaimana? Jika mata selalu memandang hal-hal maksiat spt menonton konsert, program tv/astro/video yang merosakkan dan melalaikan maka kita kosongkan atau tinggalkan perkara tersebut. Jika kaki suka melangkah ke tempat maksiat spt tempat hiburan yang melalaikan maka kita kosongkan(tinggalkan). Jika tangan suka mengambil atau memegang atau menghantar sesuatu perkara maksiat atau melalaikan maka kita kosongkan(tinggalkan). Jika akal suka membaca ilmu-ilmu yang maksiat dan melalaikan spt bahan bacaan dan majalah yang menonjolkan kemaksiatan maka kita tinggalkan(kosongkan). Jika mulut bercakap/berbual perkara yang melalaikan/maksiat maka kita kosongkan(tinggalkan). Jika perasaan suka kepada hal maksiat/melalaikan atau bergantung perasaan kepada makhluk atau bukan muhrimnya maka kita tinggalkan(kosongkan). jika perut suka kepada makan berlebihan atau yang haram maka kita kosongkan(tinggalkan). Jika syahwat digunakan untuk perkara yang selain dari kehendak Tuhan maka kita tinggalkan(kosongkan). Itulah antara yang dimaksudkan dengan Takhalli(kosongkan). Ertinya nak menjadi orang jiwa besar segala maksiat/sifat negatif/bergantungharap selain kepada Tuahan maka hendaklah dikosongkan(ditinggalkan). Ini proses yang pertama

2.Tahalli
tahalli bermaksud memasukkan perkara-perkara positif atau perkara yang mendatangkan iman ke dalam jiwa. Proses ini berkesan jika proses takhalli dilakukan bersungguh-sungguh. Oleh kerana melalui proses takhalli, maka mata meninggalkan dari menonton hal-hal maksiat maka melalui prosess tahalli maka mata digunakan untuk menonton perkara-perkara yang mendatangkan iman. contohnya meninggalkan menonton hiburan yang melalaikan maka digantikan dengan menonton program yang mendatangkan iman. Begitu juga telinga mengosongkan dari lagu/suara yang merosakkan iman kepada lagu/suara yang mendatangkan iman. begitu juga mengosongkan perasaan daripa bersangkut dengan perasaan manusia lebih-lebih lagi perasaan wanita/lelaki kepada lelaki/wanita yang bukan muhrimnya kepada perasaan diletakkan untuk Tuhannya sahaja. Bagi orang yang ingin mencapai darjat yang tinggi di sisi Tuhannya, perasaan cinta tidak diletakkan kepada selain Tuhannya walupun kepada isterinya yang sah. Perkahwinan bukan meletakkan cinta suami atau isteri kepada pasangannya tetapi perkahwinan adalah satu jalan suami mendidik isteri supaya meletakkan cinta itu kepada Tuhannya. Mengapa? kerana meletakkan cinta kepada makhluk akan menyebabkan rosaknya iman. Suami isteri hanyalah satu jalan(amanah) yang sementara yang kemudiannyanya amanah itu akan diambil balik oleh Tuhan dan orang yang menjaga amanah itu akan ditanya tentang segala tanggungjawabnya terhadap amanah tersebut. Begitu juga dengan hal kaki, tangan, perut dan syahwat. Kita kosongkan dari perkara yang merosakkan iman kepada yang mendatangkan iman. Proses takhalli dan tahalli adalah proses yang amat berat. Oleh itu ia memerlukan pengorbanan dan pimpinan. Tanpa pengorbanan dan pimpinan, nescaya manusia tidak mampu lakukan. sebab itulah dijadikan mujahadah an nafs itu adalah peperangan yang sangat besar. untuk menghadapi peperangan an nafs ini, Tuhan turukan wakilnya iaitu Para Rasul, Nabi-nabi, Ulama-ulama dan Mujaddid. kalau sekadar akal sahaja tanpa perlu mujahadah, cukup sekadar dijadikan ahli falsafah sahaja.

3. Tajalli
tajalli adalah hasil dari proses takhalli dan tahalli. Tanpa proses takhalli dan tahalli yang sempurna, manusia tidak akan dapat tajalli. Tajalli ialah kelazatan iman. Hasil proses di atas, manusia itu akan merasai lazatnya beriman dan beramal. Datangnya rasa roza' dan qauf. Bila berhadapan dengan hal-hal keimanan, hatinya mengharap. Bila datangnya hal-hal yang merosakkan iman, hatinya sakit dan merintih. Bila datang hal-hal yang merosakkan iman, ia akan berusaha membetulkannya. Proses membetulkan itu lah yang akan menzahirkan kebenaran. Jika dia melihat ekonomi yang dirosakkan oleh sistem ideologi kapitalis, hatinya meronta-ronta dengan membuat jemaah atau membina ekonomi yang menentang sistem kapitalis tersebut. Maka dari proses ini zahirlah ekonomi Islam yang selamat dan menyelamatkan. Apabila melihat sistem politik dirosakkan oleh ideologi ciptaan manusia seperti demokrasi, komunisme, autokratik dan seumpamanya, maka hatinya meronta-ronta untuk membetulkannya. Maka dia akan membina sistem politik yang bertunjangkan Tuhan. Hasil zahirlah dalam keluarganya, jemaaahnya sistem politik Islam yang selamat dan Menyelamat. Jika ia melihat hiburan-hiburan yang merosakkan dan melalaikan lahir dan berkembang, hatinya sayu dan merintih. Hasil keindahan iman, maka dizahirkan hiburan-hiburan Islam yang menambahkan iman. Inilah antara contoh menzahirkan kebenaran. Sebab itu menzahirkan sangat susah tetapi bercakap tentang kebenaran itu mudah. kadang-kadang orang yang bercakap tentang kebenaran, malangnya zahirnya terlibat dalam hal-hal yang dilarang oleh Tuhannya. Ramai ulama yang terlibat dalam politik demokrasi, komunisme. Ramai ustaz-ustazah yang terlibat dalam ekonomi kapitalisme. Ramai lulusan agama yang terlibat dalam hiburan yang merosakkan. Ramai bijak pandai agama yang terlibat dalam hal-hal percintaan dan penyerahan perasaan murahan. Sepatutnya mereka adalah role model Islam yang selamat dan menyelamatkan, tetapi sekarang hakikatnya tidak sebegitu. kerana apa? kerana tidak berlaku proses jiwa besar dalam diri mereka. Mereka terikut-ikut rentak pembangunan akal, tetapi tidak berjaya mengikut rentak pembangunankerohanian(kejiwaan).

Sebab itu saya melihat, gagalnya membangunkan jiwa besar di Malaysia adalah kerana sistem pendidikan yang tidak tepat mengikut kehendak Tuhan. Pendidikan yang ada sekarang hanya tertumpu kepada pembangunan tamaddun akal dan perasaan. sekolah hanya melahirkan bijak pandai dan pelakon-pelakon cinta dan perasaan. Hasilnya perasaa cinta manusia dikejar sungguh-sungguh tetapi cinta kepada Tuhan hanyalah nolstagia. Hasilnya lahir bijak pandai tetapi berjiwa lemah. Dasar pendidikan sepatutnya membina dasarkan melahirkan cinta dan perngorbanan kepada Tuhan serta pembangunan akal. Hasilnya ialah lahir bijak pandai yang mengorbankan segala tenaga, akal fikiran dan jiwa raga untu meninggikan kalimah Tuhan di muka bumi ini. Barulah Tuhan akan jadikan Malaysia ini negara yang mendapat rahmat dan kerberkatan.

sekian

0 comments:

Post a Comment