Dalam Islam, solat atau sembahyang adalah amalan yang paling besar dan agung selepas iman. Tiada amalan yang lebih besar selepas iman yang boleh menandingi sembahyang. Kerana itulah di dalam Islam sembahyang adalah menjadi tiang agama Islam. Tapaknya atau foundationnya adalah iman.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Pangkal segala hal ialah Islam. Sedang tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah berjuang di jalan Allah.” (Riwayat Tarmizi)
Kebesaran dan keagungan sembahyang itu boleh dilihat dan dirasakan melalui ilmu pengetahuan berdasarkan beberapa aspek seperti di bawah ini:
1. Ia merupakan ibu segala ibadah dalam Islam.
2. Ia adalah merupakan tiang seri agama Islam.
3. Ia diperintah oleh Allah Taala dengan cara Allah Taala memanggil Rasulullah SAW mengadap-Nya waktu Israk dan Mikraj, tidak seperti amalan-amalan yang lain hanya diwahyukan oleh Allah Taala kepada Rasulullah SAW melalui malaikat Jibril a.s.
4. Siapa yang meninggalkan sembahyang menjadi kafir berdasarkan Hadis. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja maka kafirlah dia secara terangterangan.” (Riwayat Ahmad)
5. Sembahyang, seluruh anggota terlibat. Perbuatan (fizikal), perkataan atau bacaan (lisan) dan hati atau roh serta akal kerana memahami.
6. Mengerjakannya disyaratkan suci lahir dan batin, daripada hadas besar dan hadas kecil, najis ain dan najis hukmi.
7. Kena mengadap kiblat. Ertinya merupakan lambang perpaduan umat Islam.
8. Terikat dengan waktu.
9. Digalakkan berjemaah.
10. Berbagai-bagai amalan malaikat ada di dalam sembahyang, kerana malaikat itu ibadahnya hanya satu-satu perkara sahaja. Seperti ada yang bertasbih sahaja sejak diperintahkan hinggalah hari Qiamat, yang bertakbir sahaja, yang bertahmid sahaja, ada yang rukuk sahaja, ada yang berdiri sahaja, ada yang sujud sahaja, begitulah seterusnya.
11. Berbagai-bagai bentuk zikir ada di dalam sembahyang. Ada berdiri, ada rukuk, ada sujud, ada duduk di antara dua sujud, ada tasbih, ada tahmid, ada takbir, ada munajat, ada berbagai-bagai bentuk doa, ada zikir, ada selawat, ada fizikal, ada akal, ada rohani, ada material, ada maknawi.
12. Ia merupakan ibadah yang terikat dengan disiplin yang tertentu, cara-cara yang tertentu.
13. Amalan sembahyang itu adalah merupakan intipati dan intisari ajaran Islam. Di dalamnya ada akidah, ada ibadah, ada taharah, ada masyarakat, ada perpaduan, ada disiplin, ada pemimpin, ada yang dipimpin (politik), ada pendidikan, ada syariat, ada tasawuf, ada akhlak, ada kebudayaan, ada ekonomi dan ada psikologi. Ertinya sembahyang menggambarkan keseluruhan ajaran Islam secara ijmali.
14. Ia merupakan cara peribadahan atau penyembahan yang paling lengkap kerana segala bentuk ibadah dan zikir para malaikat wujud dalam sembahyang.
15. Ia merupakan zikir yang paling besar kerana seluruh bentuk zikir ada di dalam sembahyang.
16. Ia merupakan peribadahan yang melibatkan semua anggota lahir dan batin. Ada yang bersifat fizikal dan ada yang bersifat maknawi atau rohani.
17. Di dalam sembahyang ada seluruh bentuk doa. Ertinya berbagai-bagai permintaan ada di dalam sembahyang.
18. Berbagai-bagai amalan para rasul wujud di dalam sembahyang.
19. Sembahyang merupakan mikraj orang mukmin.
20. Pada sembahyang ada latihan jasmani, ada latihan mental dan ada latihan rohani.
21. Sembahyang ada simbol-simbol merendah diri, ketaatan, kepatuhan dan simbol berdirinya manusia di Padang Mahsyar seolah-olah berhadapan dengan Tuhan menunggu perintah-Nya.
22. Sembahyang merupakan pembaharuan ikrar manusia kepada Tuhan, sehari semalam lima kali.
23. Sembahyang merupakan pembaharuan syahadah dan iman dengan Tuhan.
24. Sembahyang merupakan pembersihan jiwa dan dosa
0 comments:
Post a Comment