Tuesday, July 14, 2009

PERINGKAT-PERINGKAT MANUSIA MENCARI HARTA DUNIA

Seperti artikel sebelum ini, bahawa dunia ini adalah jambatan bagi akhirat atau ladang bagi akhirat. Manusia yang berjiwa akan bersungguh-sungguh mengusahakan ladang tersebut agar hasilnya akan dapat dituai di akhirat nanti. Namun terdapat manusia yang terlupa atau lalai dalam usaha mereka. Dalam mencari atau mengusahakan ladang dunia ini, terbahagilahlah manusia-manusia kepada 14 golongan.

1. Golongan yang sesat
Golongan yang hanya percayakan kehidupan dunia sematamata, tidak ada kehidupan yang kedua atau kehidupan hari Akhirat. Kalaupun mereka percaya adanya kehidupan Akhirat, tapi mereka menganggap bahawa kesenangan dan kesusahan kehidupan di dunia ini yang menentukan kesenangan dan kesusahan di Akhirat. Oleh itu mereka burulah kesenangan dan
kekayaan dunia tanpa batas. Mereka hanya memikirkan makan, minum dan seks. Mereka
tidak akan memikirkan halal dan haram sama ada mencarinya mahupun menggunakannya. Halal dan haram tidak ada di dalam kamus hidup mereka. Mereka benar-benar tenggelam di
dalam memburu dunia semata-mata iaitu makan, minum dan seks. Mereka itu ialah golongan seperti yang Allah firmankan melalui Al Quran iaitu seperti binatang bahkan ada yang lebih sesat lagi iaitu golongan orang kafir.

2. Golongan yang bakhil
Golongan yang merebut harta dengan tamak tapi masih menjaga tentang halal dan haram, zakat dikeluarkan, masih menjaga perkara-perkara yang asas, namun tidak sanggup dibelanjakan ke jalan Allah Taala. Tapi dibelanjakan ke jalan haram pun tidak juga, sekadar untuk kepentingan sendiri dan suka menyimpan. Itulah golongan muslim yang bakhil.

3. Golongan yang tamak
Golongan yang merebut dunia yang masih menjaga usahanya itu daripada yang haram, zakat tetap dikeluarkan, tetapi apa yang didapati tidak puas-puas kerana ingin kaya hingga cuai melaksanakan amalan yang asas di samping tidak dikorban ke jalan Allah Taala. Ini golongan yang tamak.

4. Golongan yang lalai
Golongan yang memburu harta namun tetap menjaga amalan yang asas dan usahanya juga halal tapi tidak mengeluarkan zakat dan tidak dikorbankan hartanya ke jalan Allah. Itulah golongan
muslim yang tertipu atau lalai.

5. Golongan yang bersyukur
Golongan yang bersungguh-sungguh mencari kekayaan tapi dengan tujuan untuk khidmat. Semua hal dijaga, ibadahnya yang asas dijaga, usahanya halal, zakat dikeluarkan, dikorbankan ke jalan Allah, pemurah kepada fakir miskin. Inilah golongan yang bersyukur dan pemurah tapi hisabnya banyak.

6. Golongan orang soleh
Golongan mencari harta sekadar untuk hidup dan boleh beribadah kepada Allah, tidak mahu mencari harta yang banyak takut tidak dapat menunaikan kewajipan dan takut lalai daripada Allah dan mereka pemurah pula, usahanya sangat dijaga daripada haram dan syubhat. Itulah golongan orang yang soleh dan pemurah.

7. Golongan pemalas
Golongan yang tidak suka bersusah-susah dengan harta dunia tapi bukan pula kerana takut lalai, tidak juga kerana takut tidak dapat menunaikan kewajipan. Kalau tidak ada dia memintaminta tapi tidak pula dia mencuri, menipu dan sebagainya.Ibadah tetap dilaksanakannya. Itulah golongan muslim yang pemalas.

8. Golongan siddiqin
Golongan yang tidak ada usaha langsung kerana menumpukan semata-mata untuk ibadah kepada Allah dan tidak pula meminta-minta. Tentang rezekinya diserah bulat-bulat kepada
Allah. Bahkan ada kalanya orang memberi pun dia menolaknya. Itulah golongan siddiqin.

9. Golongan fasik
Golongan yang tidak suka bersusah payah mencari rezeki, bila tidak ada dia meminta, menumpukan ibadah tidak juga. Inilah golongan yang fasik yang pemalas.

10. Golongan yang sentiasa lalai
Di dalam pada itu ada golongan yang memburu harta, kalau dapat dia lalai, kalau tidak dapat pun dia lalai.

11. Golongan yang lalai bila kaya
Ada golongan jika dapat menjadi kaya dia lalai tapi jika tidak dapat dia tidak lalai.

12. Golongan yang lalai bila miskin
Ada golongan yang apabila dia tidak dapat dia lalai, bila dapat dia tidak lalai.

13. Golongan yang tidak lalai apabila hidup sederhana
Ada golongan jika dia kaya dia lalai dan kalau miskin pun dia lalai tapi bila pendapatannya sederhana dia tidak lalai.

14. Golongan yang tidak lalai dalam suasana apa sekalipun
Ada golongan di dalam suasana apa dan bagaimana sekalipun dia tetap boleh mengabdikan dirinya kepada Allah dan mereka tetap tidak dilalaikan oleh kehidupan dunia. Golongan itulah yang menjadikan dunia sebagai jambatan ke Akhirat.

0 comments:

Post a Comment