Tuesday, July 28, 2009

Kuliah Kepimpinan 2:SIKAP PEMIMPIN TERHADAP ANAK BUAHNYA

TANGGUNGJAWAB ASAS PEMIMPIN:
Satu perkara penting yang mesti diingat ialah tujuan pemimpin mendekati anak buahnya mestilah atas dua dasar, iaitu:

1. Untuk mendidik Secara langsung atau tidak, sama ada secara cakap atau sikap. Mentarbiah ini merupakan tugas asasi para pemimpin.

2. Memerhatikan kehidupan Kehidupan anak buah, soal makan minumnya, mata pencariannya dan keadaan rumahnya mesti diperhatikan, supaya yang kurang dapat ditampung. Misalnya, rumah anak buah yang dhaif mestilah ditampung. Manakala dalam soal yang lain adalah perkara sampingan sahaja. Pemimpin hendaklah memastikan bahawa pergaulannya dengan anak buah sampai matlamat. Matlamat itu ialah mendidik dan menjaga kebajikan hidupnya.

SYARAT-SYARAT MENJADI PEMIMPIN
1. Muslim
2. Lelaki
3. Akil (berakal)
4. Baligh
5. Baik pancaindera
6. Merdeka

SIFAT-SIFAT PEMIMPIN
1. Memilik ilmu Pemimpin mestilah memiliki ilmu yang cukup untuk memimpin. Sebaik-baiknya pemimpin mesti dari kalangan ‘minal mujtahidin’. Ini sangat dikehendaki. Kelayakan ini sangat penting jika seseorang menjadi pemimpin umum.

2. Mengenal diri .Maksudnya mengenal fizikal, akal dan hatinya sendiri.

a. Mengenal fizikal ini mudah. Yakni mengenal sama ada ia masih muda, tua, sakit atau sihat.

b. Mengenal akal pula ialah pemimpin mesti mengenal tahap IQnya sama ada baik atau sebaliknya. Sama ada fikirannya tajam, sederhana atau lemah. Dia juga mesti memahami apa ilmu yang banyak di kepalanya. Apakah ilmu dunia atau Akhirat. Kemudian dia mesti tahu apakah ilmu itu syumul atau tidak. Ilmu mana yang lebih, ilmu sains, ilmu feqah atau sebagainya.

c. Mengenal jiwa inilah yang sangat penting. Pemimpin mesti mengenal sifat positif dan negatifnya. Apakah sifat mahmudah yang ada dalam hatinya dan apakah sifat mazmumahnya pula. Ini penting supaya dia dapat mengungkai yang mazmumah dan menyubur yang mahmudah. Bagi pemimpin, mengenal sifat mazmumahnya lebih penting daripada sifat mahmudahnya. Ini kerana mazmumah boleh mencacatkan kepimpinannya. Misalnya jika dia ego atau pemarah, maka ramailah anak buah yang lari dan sakit hati. Jika dia penakut, maka kuranglah anak buah yang ingin bersandar dengannya. Begitu juga pemimpin bakhil atau tamak, anak buah tidak akan rapat dengannya.
Bagi sifat mahmudahnya pula, pemimpin mesti tahu kemana hendak diarahkan dan apa yang hendak dibuat dengan mahmudahnya itu. Misalnya sabar atau berani, bila dia harus berani atau sabar dan dalam perkara bagaimana dia harus berani dan sabar. Jika pemimpin tidak kenal dirinya, bagaimana dia boleh mengenal orang lain. Kalau dia tidak mengenal dirinya, sudah pasti dia tidak dapat mendidik dirinya. Jika dia tidak dapat mendidik dirinya, maka sudah pasti pula dia tidak dapat mendidik orang lain. Inilah punca mengapa kadangkala pemimpin diumpat, dimarah oleh anak buah. Di sini pemimpin mesti mengkaji kesalahannya. Jangan melihat kesalahan kepada anak buah sahaja. Jika kita baik sudah tentu disayangi oleh anak buah. Jika tidak, tentu ada yang tidak kena pada diri kita. Sebab itu salahkan diri sendiri, jangan salahkan anak buah sahaja.

SIKAP PEMIMPIN DENGAN ANAK BUAHNYA
Anak-anak buah (pengikut) terbahagi dua:

1. Pengikut di dalam kementerian atau jabatan
Mereka yang berjawatan rasmi dan bergaji tidak kira apa bahagian, unit, kementerian dan jabatannya. Mereka ini mungkin terdiri daripada pengarah, pengurus dan pegawai perhubungan.

2. Rakyat umum
Mereka yang berjawatan rasmi sama ada yang bekerja sendiri ataupun dengan pihak swasta. Bilangan mereka ini lebih ramai lagi.
Sikap pemimpin terhadap orang di bawah kementerian dan jabatannya:
1. Adakan usrah-usrah kepada mereka.
Usrah ini sangat penting. Ia akan melahirkan kasih sayang dan ukhwah. Melalui usrah juga dapat disampaikan ilmu ilmu baru. Usrah juga berfungsi untuk menyelesaikan masalah. Kepada orang atau tenaga-tenaga yang penting mesti kerap diadakan usrah, kerana mereka juga adalah pemimpin (di bawah mereka ada anak buah). Bagi mereka yang kurang penting, jarang-jarangkan.

2. Adakan kelas-kelas pengajian kepada mereka.
Ada juga di kalangan mereka yang tidak selesai fardhu ainnya. Maka perlu majlis-majlis ini diadakan. Majlis fardhu ain juga penting untuk melahirkan kasih sayang dan perpaduan yang lebih luas kerana majlis ini selalunya lebih umum, besar dan ramai yang terlibat.

3. Sekali-sekala adakan jamuan.
Jamuan makan boleh menambahkan kemesraan. Ia boleh membuahkan kasih sayang dan memberikan kegembiraan bagi yang menjamu dan juga yang dijamu.

4. Adakan ekspedisi dan perkelahan sekali-sekala.
Ini juga satu program yang penting untuk mencetuskan ukhwah, kasih sayang dan meluaskan pandangan bagi mengatasi kelemahan anak buah. Jangan biarkan anak buah terperap di pejabat sahaja hingga fikiran dan jiwanya keras macam dinding yang mengepungnya.

5. Sesetengah tindakan atau perkara hendaklah disyurakan terlebih dahulu.
Ada arahan yang perlu difahami oleh anak buah. Bila ada syura dengan anak buah, mereka akan faham akan sesuatu arahan. Barulah mereka boleh melaksanakannya. Jika tidak, nanti anak buah akan kurang bertanggungjawab. Arahanarahan dalam perkara penting dan besar yang sukar difahami elok disyurakan dulu, melainkan yang remeh-temeh.

6. Bermesra dengan semua orang di bawah jabatan dan kementerian.
Fitrah semula jadi manusia yang ada kaitannya dengan hubungan kawan sesama kawan, dengan anak-anak, dengan isteri-isteri, memang ada grafnya turun naik. Kecenderungan hati pada sesuatu masa dan pada seseorang memang tidak dapat dielak. Tetapi yang tercetus dari segi lahiriah, mesti cuba disamaratakan. Senyuman misalnya, kena diagih-agihkan. Begitu juga dengan kemesraan. Pada yang memang sudah disayangi hati, mudahlah. Tetapi pada yang belum, maka mesti juga diusahakan walaupun di tahap tabaqa’ (berlakon-lakon). Berlakon-lakon memberi kemesraan tidak salah, malah digalakkan. Misalnya, kita digalakkan buat-buat menangis bila membaca Al Quran. Begitulah kita dalam memberi kemesraan kepada orang yang hati belum cenderung. Tidak salah kerana kecenderungan hati kita tidak sama, seperti keluhan hati Rasulullah SAW berhubung dengan isteri-isterinya:
Hati aku ini ya Allah, bukan dalam kuasaku. Hati ini Engkau yang punya.”

7. Lakukan ziarah.
Ziarah ini penting untuk memperbaiki hati (hubungan) dengan anak buah. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Hendaklah berziarah orang yang tidak ada (jarang berjumpa). Nanti akan menambah kasih sayang.”

Sebab itu bila ada hati anak buah yang hendak retak, sudah rasa hendak menjarak (menjauh), maka segeralah menziarahinya. Tetapi perlu diingat, janganlah pemimpin terlalu banyak meluangkan masa untuk ziarah sehingga ada kerja yang lebih penting dan banyak tidak terbuat.

8. Lahirkan kegembiraan di atas kegembiraan mereka.
Pada ketika mereka mendapat anak, kahwin atau naik pangkat, maka tunjukkan kegembiraan atas kegembiraan mereka. Berilah hadiah untuk melahirkan kegembiraan itu. Hadiah itu penting untuk menjalin hubungan hati.

9. Jangan mencari-cari kesalahan mereka.
Mencari-cari kesalahan itu salah menurut syariat. Dalam AlQuran, Allah SWT mengingatkan:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, jauhilah dari berprasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.” (Al Hujurat: 12)

Justeru itu, cara mengintip, mengendap dan lain-lain seperti yang diamalkan sesetengah pihak untuk mencegah kemungkaran tidak menyelesaikan masalah. Allah tidak berkati cara itu, kerana ia satu kaedah yang mungkar untuk mencegah kemungkaran. Cara yang fasik untuk mencegah kefasikan, cara yang haram untuk mencegah yang haram. Kaedah membanteras kemungkaran seperti ini akan merebakkan lagi kemungkaran itu seperti mencuci najis dengan air najis. Najis tidak dibersihkan bahkan bertambah merebak lagi najis itu.

10. Jika mereka lakukan kesilapan, buat-buat tidak tahu kecuali kalau sudah merbahaya.
Elok buat tidak tahu akan kesalahan anak buah walaupun sebenarnya kita tahu dia melakukan kesalahan itu. Ini kerana ada anak buah yang terseksa jika dia tahu pemimpin tahu akan kesalahannya. Jadi langkah yang sebaiknya ialah jangan bertindak lagi. Elok ceritakan atau kuliahkan secara umum dahulu, sedarkan secara umum dan doakan. Jangan memanggilnya dahulu.

11. Setelah tiga kali kesalahan dibuat barulah dinasihat secara empat mata.
Bila kesalahan yang begitu berat, yakni yang melibatkan pelanggaran syariat dan membahayakan keadaan seperti meminum arak, mengambil dadah dan seumpamanya maka perlu ditangani secara cepat. Elok panggil empat mata tetapi jangan sekali-kali menghebahkan aibnya itu. Dalam suatu doa ada menyebut:

Maksudnya: “Lindungi keaiban kami dan kedua ibu bapa kami dan keaiban seluruh umat Muhammad.”

12. Setiap pengaduan hendaklah diteliti dan dikaji dahulu.
a. Pemimpin jangan sekali-kali berdendam, beremosi, mudah salah sangka dan lain-lain anggapan negatif. Tidak dapat tidak, sebagai pemimpin kita mesti menerima pengaduan.

b. Pengaduan-pengaduan itu mestilah dikaji, diteliti dan dinilai dengan adil.

c. Pemimpin adalah pendidik, dia mesti dapat menilai antara yang mengadu dan yang diadu. Susurlah ke akar umbi akan sesuatu pengaduan, kemudian barulah bertindak.

d. Pemimpin perlu sedar bahawa pengaduan ada hubungan dengan jiwa anak buah. Jangan sampai merosakkan jiwa mereka dengan tindakan yang tidak adil. Misalnya:

i. Jika yang mengadu itu orang yang memang kita sayang, maka kita terus bertindak tanpa usul periksa. Tetapi sebaliknya jika yang mengadu, orang yang kita tidak sayang maka kita usul periksa dengan teliti.

ii. Begitu juga bagi yang kena adu. Jika yang diadu itu orang yang kita sayang, kita tidak bertindak. Tetapi kalau yang diadu itu orang yang kita tidak sayang, maka dengan cepat kita bertindak.

iii. Seperkara lagi yang hendak diteliti, kadangkala yang diadu itu merupakan kesalahan kecil sahaja berbanding kesalahan yang dibuat oleh yang mengadu. Di sudut ini hendaklah pemimpin faham bahawa kesalahan orang yang dimenangkan kerana aduannya diterima lebih besar jika ia bangga dan ego. Sedangkan yang kena adu kalau dia insaf, malah kalau kesalahannya
memang kecil, tidak membahayakan dirinya. Oleh itu pemimpin mesti faham, mana satu salah yang lebih besar, mana satu salah yang kecil. Dia juga mesti faham, kenapa dan mengapa satu kesalahan itu dibuat oleh anak buahnya.

13. Kalau dihukum, hendaklah setimpal dengan kesalahannya.
Kalau kesalahan yang dibuat itu setimpal dihukum 50, jangan sampai dihukum 100. Berpada padalah. Kerana dalam Islam, salah kerana tidak menghukum lebih ringan daripada tersalah hukum. Apalagi hukuman yang berat seperti hukuman mati dan sebagainya lebih-lebih lagi hendaklah diteliti.

14. Hendaklah ambil tahu di mana dia tinggal dan bagaimana tempat tinggalnya. Ini penting bagi memudahkan perhubungan bila terjadi bencana alam dan kecemasan seperti sakit, kematian dan lain-lain. Dengan ini juga mudah dibuat ziarah dan memberi bantuan. Keadaan tempat tinggal pengikut mesti diperhatikan, apakah membahayakan atau selamat. Dan jika didapati tidak mampu, mereka hendaklah diberi bantuan. Malah kadangkala mengikut pemerhatian pemimpin, rumah anak buahnya sangat membahayakan dari segi keselamatan, walaupun tidak disedari oleh tuan punyanya.

15. Jika ada kesempatan bertemulah dengan keluarga mereka.
Kita berhubung dengan anak buah bukan dalam soal kerja sahaja tetapi juga dengan keluarga mereka. Pemimpin mesti usahakan pertemuan keluarga. Misalnya, perhimpunan hari keluarga untuk merapatkan lagi tali silaturrahim. Pertemuan seperti ini penting untuk merapatkan kasih sayang dan silaturrahim.

16. Berilah hadiah waktu yang sesuai.

17. Pemimpin elok menjadi imam solat. Dan pada hari Jumaat elok menjadi khatib.

18. Di kalangan orang penting elok ziarah di rumahnya, di kalangan orang biasa elok di tempat tempat umum.

0 comments:

Post a Comment