Pada hari ini mengapa umat Islam tidak menjadi satu bangsa yang berdisiplin, yang berpadu, yang bersih daripada maksiat dan kemungkaran, yang tinggi akhlaknya, kukuh imannya, kemas syariatnya, tinggi tamadunnya dan unggul kebudayaannya? Mengapa dan kenapa sembahyang mereka tidak dapat mendidik mereka lagi? Apakah mereka sudah meninggalkan sembahyang? Atau mereka masih bersembahyang tapi sembahyang mereka sudah tidak sempurna, tidak seperti di zaman salafussoleh? Atau apakah yang sudah tidak kena lagi dengan sembahyang mereka?
Untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan itu, mari kita senaraikan peringkat-peringkat orang yang ada hubung kait dengan perintah sembahyang yang agung, yang merupakan ibu segala ibadah di dalam Islam. Dengan mengenal kategori atau golongan umat Islam yang ada hubung kait dengan sembahyang itu dengan sendirinya akan terjawab mengapa ibadah sembahyang tidak dapat membangunkan umat Islam menjadi satu bangsa yang kuat dan agung, insya-Allah. Antaranya:
1. Sudah ramai di kalangan umat Islam yang sudah tidak bersembahyang. Bahkan ramai yang sudah tidak tahu bersembahyang. Golongan ini berdasarkan sebuah Hadis, mereka sudah menjadi kufur.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Barang siapa yang meninggalkan sembahyangdengan sengaja maka kafirlah dia secara terangterangan.” (Riwayat Ahmad)
2. Ada di kalangan umat Islam mengerjakan ibadah sembahyang secara jahil. Bacaannya tidak betul. Mereka tidak kenal syarat rukun sembahyang, sah batalnya, cara-cara bersuci sebelum mengerjakan sembahyang. Maka golongan ini tertolak ibadahnya dan berada di dalam dosa dan derhaka.
3. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang, faham tentang ilmu sembahyang tetapi oleh kerana tidak boleh melawan nafsu, godaan dunia atau tarikan dunia terlalu kuat, maka mereka mengerjakan sembahyang tidak istiqamah. Kadang-kadang sembahyang, kadang-kadang tidak. Waktu sempat, buat. Bila sibuk, tidak buat. Bila ada mood, sembahyang. Bila tidak ada mood, meninggalkan sembahyang. Inilah golongan fasik.
4. Ada golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang, walaupun ilmunya tepat, tapi waktu mengerjakan sembahyang tidak khusyuk. Fikirannya tidak sepenuhnya dengan sembahyang
atau terus-menerus mengingat perkara-perkara lain. Fikiran dan jiwanya selalu sahaja melayang-layang dan mengembara ke alam kehidupan sehari-hari. Macam-macam perkara terlintas di dalam sembahyang. Itulah golongan yang lalai.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Allah tidak akan menundukkan pandangan- Nya kepada orang yang hatinya tidak hadir dalam solat bersama-sama badannya.”
5. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang sentiasa tarik tali di antara mengingati bacaan sembahyang dengan tidak. Bila lalai dibetulkannya semula. Kadang-kadang ingat, kadang-kadang lalai. Ingat dengan lalai sentiasa silih berganti. Mereka tidak mahu begitu tapi terjadi juga. Golongan ini adalah golongan yang lemah. Golongan ini terpulanglah kepada Allah Taala. Moga-moga yang sedarnya dikira, yang tidak sedarnya tidak dikira.
6. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang bertepatan dengan ilmunya kemudian dapat menyorot dan menumpukan bacaannya di setiap perkataan dan lafaz yang diucapkan. Oleh yang demikian fikirannya tidaklah melilaulilau atau teringat-ingat perkara-perkara yang lain selain
daripada perkara-perkara yang ada hubung kait dengan sembahyang tapi tidak pula dapat memahami setiap perkataan atau lafaz yang diucapkan. Inilah golongan awamul muslimin.
7. Golongan yang mengerjakan ibadah sembahyang selain ilmunya tepat, dapat pula menyorot dan mengikuti maknamakna setiap perkataan atau lafaz yang diucapkan atau dibacanya di dalam sembahyang. Setiap bacaannya dapat difahami. Oleh yang demikian mereka dapat membuat penumpuan di dalam sembahyang hingga tidak teringat lagi perkara di luar sembahyang. Inilah golongan orang-orang yang soleh.
8. Golongan ini sama seperti golongan yang ketujuh tadi, tapi kelebihannya mereka dapat menghayati dan menjiwai setiap makna atau pengertian pada setiap perkataan atau lafaz yang dibacanya. Dengan perkataan yang lain, setiap perkataan yang dibacanya, yang difahaminya, dapat difikirkan dan dijiwai oleh hatinya. Inilah golongan muqarrobin.
9. Golongan ini selain daripada dapat memahami setiap yang dibaca di dalam sembahyang, setiap yang dapat difahaminya itu dapat difikirkan dan dijiwainya sungguh-sungguh hingga asyik, tenggelam dan mabuk dengan Tuhan, sama ada mabuk takut atau mabuk rindu hingga alam sekelilingnya dan dirinya tidak disedarinya lagi. Itulah golongan siddiqin.
Setelah kita mengkaji, menganalisa peringkat orang yang mengerjakan ibadah sembahyang atau yang ada hubung kait dengan sembahyang, bahawa sembahyang yang boleh membangunkan
iman, kesedaran bertuhan, penguat jiwa, membersihkan diri lahir dan batin daripada kejahatan dan dosa, yang boleh melahirkan disiplin diri di dalam kehidupan, yang boleh membangunkan akhlak yang tinggi, yang boleh bersatu padu, berkasih sayang, yang dapat melahirkan perasaan kehambaan yang tinggi dan boleh melahirkan manusia yang agung ialah tiga golongan sahaja. Iaitu golongan yang ketujuh, kelapan dan kesembilan.
Golongan yang lain itu sebahagiannya tidak sah sembahyangnya, sebahagian lalai di dalam sembahyang dan sebahagian lagi pula walaupun sembahyangnya sah dan di dalam sembahyang tidak mengingatkan perkara yang lain, namun tidak faham tentang sembahyang terutama apa yang dibaca, jauh sekalilah untuk dihayati. Sudah tentulah sembahyangnya tidak memberi kesan kepada peribadi masing-masing. Sembahyangnya tidak akan dapat mendidik mereka, sembahyangnya tidak akan menjadi benteng daripada maksiat dan kemungkaran, sembahyangnya tidak dapat meneguhkan iman dan seterusnya sembahyang tidak akan dapat melahirkan jiwa tauhid dan rasa bertuhan.
Golongan yang sembahyangnya tidak boleh mendidik dan mencegah daripada maksiat dan kemungkaran, ada keterangan di dalam kitab berdasarkan Hadis:
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Barangsiapa sembahyangnya tidak dapat mencegahnya daripada maksiat dan kemungkaran, tiada bertambah apa-apa daripada Allah Taala melainkan jauh daripada Tuhan.” (Riwayat Tabrani dan Ibnu Mardawih)
Sembahyang yang di antara tujuannya ialah hendak mendekatkan seseorang hamba itu kepada Allah Taala tapi berlaku sebaliknya iaitu jauh daripada Allah Taala. Wal‘iyazubillah
0 comments:
Post a Comment