Saturday, July 4, 2009

Jihad Menegakkan Islam Melalui Kasih Sayang

Islam tidak akan tegak kecuali melalui jihad atau perjuangan.Namun bukan mudah untuk memperjuangkan kebenaran. Sebelum melangkah ke gelanggang perjuangan terlebih dahulu
mesti memiliki ilmu dan kefahaman tentang perjuangan. Betapa susahnya perjuangan menegakkan kebenaran itu kerana kebenaran itu amat mahal dan tinggi nilainya. Sedikit sahaja di kalangan umat Islam ini yang mampu perjuangkan kebenaran kerana untuk memiliki ilmu dan memahami segala liku dan selok-belok perjuangan itu sudah amat sukar, betapalah untuk menempuh perjuangan itu sendiri. Kita sudah terlalu jauh dari kehidupan perjuangan Rasulullah SAW dan para Sahabat. Tiada siapa yang berupaya mentafsirkan erti perjuangan itu secara tepat. Masing-masing ada berbagai fahaman dan tafsiran. Kalau dalam pentafsiran perjuangan itu sudah pelbagai, maka dalam perlaksanaan juga sudah pasti berbeza dan kadang-kadang bercanggah antara satu pihak dengan pihak lain atau satu puak dengan puak lain. Lebih parah lagi apabila masing-masing pihak mempertahankan bahawa takrif perjuangan pihak merekalah yang paling tepat lantas mempertikaikan pula pengertian dan cara pihak lain. Akibatnya bukan saja Islam tidak tegak bahkan semakin runtuh kerana berlakunya krisis di kalangan pihak yang hendak memperjuangkan Islam itu. Sebab itu, tidak hairan di mana saja di dunia ini umat Islam terhina. Ini kerana tidak mendapat pembelaan Tuhan. Tuhan tidak bela dan tidak bantu para pejuang Islam kerana kaedah yang dibawa sudah tidak menepati kehendak Tuhan dan sudah jauh menyimpang dari cara yang pernah ditempuh oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat.

Kebenaran (Islam) itu datangnya dari Tuhan. Tuhan jugalah yang berhak untuk memenangkan agama-Nya. Sepanjang sejarah perjuangan kebenaran, di tangan para rasul, Tuhan angkat martabat kebenaran itu mengatasi yang lain. Tuhan yang mengilhamkan kepada para rasul bagaimana kebenaran itu mesti diperjuangkan. Di zaman tiada lagi rasul, Tuhan tetap agungkan agama-Nya di tangan para pemimpin berwatak rasul. Itulah dia para mujaddid yang diutus oleh Tuhan setiap 100 tahun dan dilahirkan di awal kurun. Kepada para mujaddid inilah Tuhan ilhamkan kaedah tajdid hingga Islam itu kembali gemilang. Kalau bukan di tangan mereka, Islam hanyalah ibarat bara saja. Tidak padam tetapi tidak menyala. Para mujaddid atau para pemimpin berwatak rasul inilah yang paling faham tentang jihad dan paling tepat tafsiran dan kaedah perjuangan. Dan di tangan merekalah dijanjikan kemenangan. Memperjuangkan kebenaran yang pertama dan utama ialah memperjuangkan Tuhan hingga Tuhan dikenali, diagungkan, dibesarkan, ditakuti, dicintai dan dirasai segala-galanya dalam hidup manusia.

Apabila manusia mendapat Tuhan barulah syariat Tuhan serta yang lain-lain itu ada nilai di sisi Tuhan. Andainya Tuhan tidak diperjuangkan maka syariat Tuhan sama saja seperti ideologi. Ini kerana agama mesti ada hubungkait dengan Tuhan. Selain itu sekiranya Tuhan tidak ditakuti dan dicintai, syariat Tuhan amat mudah terabai dan terbarai. Apabila Tuhan tidak diutamakan, tidak dibesarkan, tidak diagungkan, tidak memiliki rasa bertuhan, maka syariat Tuhan juga turut dipandang remeh. Syariat sering diamalkan mengikut selera atau mengambil aspek aspek yang menguntungkan. Kadang-kadang apabila menghadapi risiko, amat mudah mengenepikannya sahaja. Kesimpulannya, aspek-aspek lain seperti keadilan, perpaduan, hukum-hakam menghapuskan kemungkaran dan kezaliman, akan menjadi mudah dilaksanakan, diamalkan dan dihayati setelah Tuhan itu terlebih dulu diperjuangkan. Segala syariat Tuhan sama ada yang berbentuk perintah mahupun larangan akan dirasai cantik dan indah untuk diamalkan. Perkara- perkara kecil dan remeh pun bernilai tinggi di sisi Tuhan dan seronok untuk diamalkan. Betapalah ajaran-ajaran Tuhan yang besar-besar.

Tuhan ciptakan manusia berserta dua peranan iaitu sebagai hamba dan khalifah. Sebagai hamba, Tuhan perintahkan manusia agar benar-benar kenal penciptanya iaitu Tuhan, mengagungkan Tuhan, membesarkan Tuhan, merasakan Tuhan segala-galanya. Sehingga dengan itu benar-benar memiliki jiwa tauhid, iaitu rasa takut dan cintanya kepada Tuhan amat mendalam serta tidak lekang dari hati. Amat merasai kehebatan Tuhan. Amat merasai Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan sebagainya. Kesan dari itu rasa bertuhan amat mendalam seperti rasa takut, gerun, cemas, bimbang, cinta, mengharap, rasa Tuhan tempat bergantung serta merasai Tuhan itu segala-galanya serta keperluan paling utama. Sehingga dirasai mendapat Tuhan mendapat segala-galanya, kehilangan Tuhan dirasakan kehilangan segala-galanya dalam hidup. Sekaligus rasa kehambaan juga amat mendalam. Rasa lemah, dhaif, berdosa, derhaka, lalai dan leka. Juga merasa diri tidak upaya dan tidak mampu, bodoh dan jahil. Yakin bahawa setiap sesuatu kejadian dan peristiwa adalah kerja Tuhan yang tidak sia-sia dan mempunyai maksud atau hikmah di sebaliknya. Menerima bahawa setiap sesuatu itu ada maksud baik dari Tuhan yang Maha Sempurna dan Maha Hebat. Natijah dari rasa bertuhan dan rasa kehambaan itu menjadikan seseorang hamba itu benar-benar bertaqwa. Rasa takut kepada Tuhan menjadikan seseorang itu membenci dan menolak segala kejahatan, kemungkaran lebih-lebih lagilah sangat membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah yang sangat meracun kehidupan manusia.nRasa cinta kepada Tuhan pula menjadi pendorong paling kuat seseorang hamba itu membawa segala kebaikan, kebaktian, taat dan berbuat kebajikan. Lebih-lebih lagi dari rasa cinta kepada Tuhan itu menyuburkan segala sifat positif dan mahmudah. Apabila ini berjaya dikuasai oleh seorang hamba maka jadilah dirinya selamat dan turut menyelamatkan orang lain. Peranan kedua yang Tuhan perintahkan kepada manusia ini adalah sebagai khalifah. Sebagai khalifah, Tuhan perintahkan supaya manusia ini mentadbir, mengatur, menyusun, membangun, berkemajuan dan mengendalikan segala urusan kehidupan
manusia. Manusia perlukan pendidikan, ekonomi, kebudayaan, politik, sosial, kesihatan, makan minum, pentadbiran, perhubungan teknologi dan berbagai lagi. Semua keperluan manusia perlu diatur, ditadbir, dikendalikan sebaik mungkin. Oleh kerana bumi ini Tuhan punya, maka segala urusan kekhalifahan itu adalah amanah dari Tuhan. Sekaligus Tuhan mahu ia menjadi alat dan saluran untuk berbakti kepada Tuhan. Segala urusan kekhalifahan itu mestilah sifatnya selamat dan menyelamatkan. Mesti mendatangkan kesejahteraan kepada manusia. Mestilah memberi manfaat kepada manusia itu sendiri.

Apa jaminan bagi mereka yang bertanggung jawab terhadap tugas dan peranan kekhalifahan boleh mencapai matlamat di atas? Sudah terbukti di mana saja di dunia ini berlakunya bermacam- macam penyelewengan, pecah amanah, penindasan, kerosakan dan sebagainya. Di atas nama kemajuan dan pembangunan itulah manusia berkrisis, berpecah, bermusuh, bergaduh, tindas-menindas, menzalim, berebut kuasa, gila kuasa, berbunuhan dan berperang. Kemajuan dan pembangunan sudah hilang manfaatnya, menghapuskan kebahagiaan, keharmonian dan kesejahteraan manusia. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana manusia yang mengendalikan urusan kekhalifahan itu tidak menyempurnakan bahkan tiada langsung peranan sebagai hamba. Dengan lain kata, pengurus, pentadbir dan pengendali urusan kehidupan manusia adalah di kalangan manusia yang tidak kenal Tuhan, tidak faham kerja Tuhan, tiada rasa bertuhan dan sekaligus tidak ada rasa kehambaan. Dengan lain kata, manusia yang tidak bertaqwa, manusia yang subur dengan mazmumah, jahat, derhaka dan mungkar. Sempurnanya peranan seorang hamba itulah jaminan selamatnya peranan sebagai khlaifah.

Di sinilah buktinya betapa pentingnya taqwa kepada manusia. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhimpun sebanyak- banyak sifat mahmudah pada dirinya. Dan sifat-sifat mahmudah itu pula mestilah pada kategori yang tebal. Perlu diingat dan difahami bahawa kerja-kerja kekhalifahan itu amat mencabar, banyak risiko dan kerenahnya. Memikul bebannya
mesti berjiwa besar. Orang yang berperanan sebagai hamba dan berjiwa tauhid saja yang berjiwa besar. Mereka saja yang mampu sabar, syukur, amanah, jujur, zuhud, tawakal,
berkasih sayang, redha, ikhlas, tawadhuk, rajin, bertanggungjawab dan lain-lain dalam segala urusan kehidupan. Sandaran hidup mereka hanya kepada Tuhan. Mereka menjadi orang yang sangat bersyukur terhadap Tuhan di atas rahmat dan nikmat yang tidak terhingga, tidak terhitung banyaknya. Di atas nikmat itu mereka juga takut kalau-kalau tidak pandai
dan tidak cukup bersyukur. Ketaatan tidak pula menjadikan mereka riyak, sombong, sum’ah dan merasa senang, kerana ketaatan itu belum pasti diterima oleh Tuhan dan belum pasti sampai ke hujung hayat. Lantas segala ketaatan dan kebaikan dilupakan. Kesusahan yang menimpa tidak menjadikan hati resah dan rusuh. Kesusahan diterima dengan senang, tenang dan sabar. Keyakinan tetap mantap bahawa di sebalik setiap kesusahan itu banyak hikmahnya. Hati sentiasa merintih terhadap kelemahan diri sekaligus mengharapkan pertolongan dan bantuan Tuhan. Terhadap bala bencana atau musibah diterimanya dengan redha kerana yakin bahawa tidak bergerak dan diam sesuatu itu melainkan datangnya dari Allah SWT dengan izin Allah dan dengan kehendak-Nya yang sudah ditakdirkan. Yakin bahawa Tuhan segala-galanya yang seluruh makhluk ini dalam genggaman-Nya. Demikianlah kesan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mendalam dalam diri manusia. Ini juga membuktikan bahawa kepincangan yang berlaku dalam kehidupan manusia kerana tidak sempurnanya peranan kehambaan bagi digunakan dalam peranan kekhalifahan. Yakni manusia yang jahat, hati yang subur mazmumah ini yang menghasilkan kepincangan dalam kehidupan. Sepintas lalu dapatlah disimpulkan sekiranya semua golongan dalam masyarakat dapat menyuburkan segala sifat-sifat mahmudah. Hasilnya golongan pemimpin akan sangat bertanggung jawab dan mendatangkan manfaat kepada manusia. Golongan kaya sangat membela dan berbakti kepada manusia yang memerlukan. Para ulama sangat berjasa dalam mendidik manusia. Golongan miskin dan pekerja sangat sabar dan redha tanpa mencetuskan sebarang masalah. Para suami sangat bertanggung
jawab kepada isteri dan isteri-isteri patuh kepada suami. Anak-anak mudah dididik dan sangat menghormati ibu bapa dan orang-orang tua. Para wanita sangat menjaga maruah. Para remaja menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara. Masyarakat bertuhan bersungguh-sungguh untuk menegakkan keadilan dalam semua aspek bermula dari diri sendiri, keluarga, masyarakat dan seterusnya. Kasih sayang dan perpaduan amat mudah tercetus kerana masing-masing sama-sama mencintai Tuhan. Semua orang sangat melihat kepada cacat cela, kesalahan, kelemahan diri, mazmumah diri hingga tidak sempat memikirkan kesalahan orang lain kerana takutkan Tuhan. Kaedah dan pendekatan dalam memperjuangkan kebenaran itu pula sangat lemah lembut dan penuh dengan kasih sayang. Sehingga dengan itu amat mudah terbongkarnya fitrah rasa ber tuhan di hati manusia. Sangat mudah menjinakkan hati manusia untuk dididik dan dibawa kepada Tuhan. Inilah rahsia perjuangan kebenaran yang dibawa oleh orang-orang
Tuhan di sepanjang zaman. Pendekatan yang diwahyukan kepada para rasul dan diilhamkan kepada para mujaddid. Oleh kerana mereka sangat memperjuangkan Tuhan maka Tuhanlah
yang berhak membela dan memenangkan mereka. Tuhan janji kejayaan kepada mereka.

0 comments:

Post a Comment