Apabila kita mengatakan perjuangan ertinya adanya sebuah jemaah yang ada pemimpin yang ditaati, ada pengikut yang setia, ada dasar perjuangan yang berlandaskan Al Quran dan As Sunnah, yang ia ditegakkan lebih dahulu sejauh yang termungkin di dalam jemaah itu sebagai model. Ada aktiviti ke luar dan ke dalam melalui berbagai-bagai cara dan strategi untuk mencapai matlamat. Ertinya Islam tidak berjuang secara individu atau secara berseorangan tanpa ada jemaah, pemimpin dan pengikut serta tanpa aktiviti, kerana Islam itu adalah cara hidup bernegara, berekonomi, bermasyarakat, berpendidikan, berhubung, berkebudayaan, berundang-undang, berdisiplin dan lain-lain lagi. Oleh kerana perjuangan Islam itu adalah terpaksa sibuk, berkorban, terkorban, menghabiskan masa, berhadapan dengan kesusahan dan cabaran, terpaksa mengkesampingkan kepentingan diri, maka selepas kejatuhan empayar Islam ada beberapa golongan umat Islam dalam menghadapi perjuangan ini iaitu:
1. Golongan yang hidup matinya untuk Islam. Faham apa yang mereka perjuangkan. Bersungguh-sungguh mengamalkan di dalam diri mereka dan keluarga mereka, memberi seluruh jiwa raga, masa dan harta untuk Allah dan Rasul. Mereka sanggup berhadapan dengan sebarang risiko, bahkan mati di dalam perjuangan itu memang ditunggu-tunggu. Syahid adalah idaman mereka. Golongan ini amat sedikit dan darjatnya lebih tinggi daripada ahli ibadah.
2. Golongan yang bersungguh-sungguh berjuang seperti golongan yang pertama tadi serta faham apa yang mereka perjuangkan. Cuma lemah mujahadah melawan nafsu. Di dalam gigih berjuang itu, maksiat dibuat juga. Di dalam ada cita-cita Islam, terlibat juga dengan dosa. Ini terserahlah kepada Allah Taala, terpulanglah kepada Allah. Dia mengampunkan sesiapa yang Dia kehendaki dan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki. Atau jika kebaikan yang mereka lakukan lebih banyak daripada kejahatan, maka beratlah amalan kebaikannya maka mereka tergolong dalam ashabul yamin.
3. Golongan yang berjuang secara jahil. Fardhu ain di dalam diri pun belum selesai. Mereka berjuang semata-mata kerana semangat dan fanatik sahaja. Di dalam perjuangan mereka mengganas, merosak dan menzalim sama ada di sedari atau tidak. Mereka itu kalau gigih sekalipun berjuang, namun Allah SWT tidak akan menerima perjuangan mereka. Kerana kerosakannya lebih banyak daripada kebaikannya. Golongan ini agak ramai di zaman ini.
4. Umat Islam yang berjuang bukan kerana Allah dan Rasul atau bukan kerana hendak menegakkan Islam tapi berjuang kerana mahu merebut pangkat atau kerana sakit hati dengan musuh-musuhnya atau kerana kemegahan bangsa, negara atau kerana nama atau kerana ideologi. Islam itu hanya diselit-selitkan atau dijadikan bahan slogan untuk mempengaruhi umat Islam. Golongan ini tertolak. Sama ada jadi zalim, fasik atau kafir.
5. Golongan yang ingin berjuang tapi belum mula berjuang kerana wadah-wadah perjuangan yang wujud di negaranya atau jemaah perjuangan yang ada di negaranya tidak meyakinkan. Kerana tahu tidak ada kemampuan dan kelayakan, mereka beribadah dan membaiki diri sambil menunggu perjuangan yang sebenar. Mereka lebih banyak menyendiri. Golongan ini memang elok menyendiri.
6. Golongan yang menghabiskan masa untuk ibadah serta membaiki diri, sedangkan kemampuan ada. Walaupun ada perjuangan kebenaran di hadapan matanya namun mereka tidak mahu menggabungkan diri. Kerana tidak mahu bersusah payah atau tidak mahu menerima atau menanggung risikonya. Golongan ini dimurkai Allah SWT.
7. Golongan yang uzur, sama ada uzur disebabkan sakit atau cacat anggota atau tua atau terlalu miskin, sedangkan tanggungjawab serta ada keluarga yang hendak ditanggung. Maka mereka tidak dapat ikut serta di dalam perjuangan, hanya memberi doa semata-mata. Golongan ini dimaafkan.
8. Golongan yang memilih menghabiskan masa untuk beribadah daripada berjuang di waktu musuh belum begitu mengancam terhadap umat Islam dan negara Islam. Sedangkan sudah ada golongan lain yang berjuang dan tenaga itu sudah cukup sebagai menegakkan fardhu kifayah. Maka golongan itu diharuskan untuk bersikap demikian tapi pahalanya rendah dibandingkan dengan golongan yang berjuang itu.
9. Golongan yang sudah tidak mempedulikan langsung terhadap Islam. Mereka ialah Islam keturunan. Ibadah untuk dirinya sahaja, tidak mahu berjuang, malah mereka tidak mahu fikir mengenainya dan hanya mahu hidup sematamata. Memikirkan makan, minum dan seks sahaja. Islam tidak ada langsung di dalam hati mereka. Golongan ini disangsikan keislaman mereka.
10. Ada golongan pada mulanya menceburkan diri di dalam perjuangan. Apabila mendapat kesusahan atau tidak tahan berhadapan dengan ujian dan cabaran, akhirnya mengundurkan diri. Yang mengundurkan diri itu, ada yang menentang dan ada yang tidak menentang.
11. Ada golongan yang menggabungkan dirinya di dalam perjuangan setelah perjuangan itu telah menghasilkan buahnya, ertinya setelah perjuangan memberi kesenangan. Tapi apabila berhadapan dengan ancaman atau ujian yang berat, ia akan menentang perjuangan itu dan adakalanya terus menyebelahi musuhnya
Monday, July 20, 2009
Home »
Minda Tajdid
» GOLONGAN-GOLONGAN DI KALANGAN UMAT ISLAM TERHADAP PERJUANGAN
0 comments:
Post a Comment