Dalam ajaran Islam, mentaati dan menghormati pemimpin itu memang disuruh dan diperintahkan agar mudah para pemimpin itu memimpin, mendidik, mengasuh, mengarah dan mengajak membuat kerja-kerja di dalam sebuah negara atau di dalam sebuah negeri atau di dalam sebuah jemaah.
Jika tidak ada ketaatan dan tidak ada hormat kepada seseorang pemimpin itu, payahlah dia hendak menggunakan tenaga pengikut untuk membangun dan membuat kemajuan. Walaupun begitu kehendak ajaran Islam tapi bukan senang pengikut mahu taat secara lahir dan batin. Tidak semudah yang kita sangka bahawa pengikut boleh menghormati pemimpin dengan sepenuh hati tanpa pura-pura atau berlakon taat di hadapan tapi di belakang lain pula terjadi. Keadaan ini ada hubungkait dengan tujuan-tujuan pengikut itu mengapa mereka mentaati dan menghormati pemimpin mereka dan juga ada hubungan dengan peribadi dan sikap pemimpin itu. Adakah pemimpin itu mempunyai karisma dan wibawa yang tinggi seperti mempunyai ilmu dan akhlak yang tinggi atau sederhana sahaja atau peribadi dan akhlaknya teruk sekali. Oleh yang demikian maka terjadi di kalangan para pengikutnya mentaati dan menghormati para pemimpin tidak sama satu sama lain.
PERINGKAT GOLONGAN YANG MENTAATI PEMIMPIN
Telah menjadi tabiat semula jadi manusia yang hidup di dunia ini, tidak boleh terlepas daripada:
– ada mentaati, ada yang ditaati
– ada peminat, ada yang diminati
– ada pengikut, ada yang diikuti
– ada yang menyayangi, ada yang disayangi
– ada yang dipimpin, ada yang memimpin
– ada yang simpati, ada yang diberi simpati atau disimpati
– ada yang mengkagumi, ada yang dikagumi
– ada yang mencontohi, ada yang dicontohi.
Di sini saya akan menyebut beberapa golongan yang mentaati dan menghormati pemimpin pemimpin. Golongan yang mentaati dan menghormati pemimpin terdiri daripada beberapa peringkat iaitu:
1. Golongan yang mentaati dan mematuhi kerana takut pada seseorang pemimpin lantaran kekejaman dan penzalimannya. Kalau tidak dipatuhi dan ditaati, takut kena hukum seperti kena penjara, kena buang daerah, kena rampas hartanya, kena bunuh dan sebagainya. Biasanya pemimpin seumpama ini adalah pemerintah diktator yang kejam di dalam sesebuah negara. Orang ramai memberi ketaatan hanya pura-pura berlakon dan bersifat nifak. Di belakang, pemimpin itu dibenci, dikata, dihina, dicerca, dimaki-hamun. Secara senyap-senyap ada orang yang berusaha menjatuhkannya. Kalau mati, seluruh rakyat gembira dan selepas itu orang akan melupakannya.
2. Golongan yang mentaati pemimpin seperti yang telah disebut tadi, tapi bukan ditakuti kerana kekejaman seperti kena penjara dan lain-lain lagi, tapi takut tidak dapat jawatan atau tidak naik pangkat atau tidak dapat biasiswa atau tidak dapat projek atau apa-apa bantuan. Pemimpin-pemimpin ini biasanya adalah pemimpin-pemimpin politik yang berkuasa di sesebuah negeri atau negara. Mereka dipatuhi dan dihormati hanya secara pura-pura atau berlakon. Hati tidak pun menghormati. Di belakang mereka dikata dan diumpati. Pemimpin ini kalau tidak memimpin lagi, orang pun tidak peduli akhirnya dilupakan orang.
3. Golongan yang mentaati seseorang pemimpin, mereka pun tidak tahu mengapa mereka mentaati. Bukan kerana takut apa-apa dan bukan pula kerana menghormati dan menyenangi. Kerana mereka ini, hidupnya tidak pun bersandar dengan pemimpin tapi mereka melihat orang ramai patuh pada seseorang itu. Mereka pun ikut sama kerana kalau mereka tidak berbuat demikian mereka merasa keseorangan. Kalau begitu ikut sahaja orang ramai.
4. Seseorang yang mentaati dan menghormati seseorang pemimpin itu bukan kerana pemimpin itu. Mereka pun tidak mengharap apa-apa dan juga tidak takut apa-apa dengan pemimpin itu. Tapi mereka berbuat demikian adalah untuk strategi. Iaitu dengan tujuan agar orang ramai memberi keyakinan kepada mereka. Agar orang ramai akan memberi kepercayaan kepada mereka dan mereka boleh mencari pengaruh serta mudah dapat sokongan-sokongan daripada orang ramai. Apa saja anjuran, orang ramai akan menyokong. Kalau menjadi calon, agar orang ramai memberi undi, mereka pura-pura menghormati pemimpin itu. Ada kepentingan peribadi.
5. Ada golongan mentaati dan menghormati seseorang pemimpin itu bukan takut kepada pemimpin itu, tapi takut dengan orang ramai kerana orang ramai telah memberi ketaatan kepada pemimpin itu. Oleh itu jika mereka tidak ikut sama dengan orang ramai menghormati pemimpin itu, takut mereka akan dibenci oleh orang. Boleh jadi orang ramai akan memulaukannya. Oleh yang demikian kenalah buat-buat hormat dengan pemimpin itu.
6. Seseorang yang mentaati dan menghormati seseorang pemimpin itu oleh kerana ilmunya iaitu ingin mendapat ilmu kerana pemimpin itu mempunyai ilmu. Kerana inginkan ilmunya mereka taat dan hormati. Kalau tidak, payah untuk mendapatkan ilmunya. Golongan ini agak boleh tahan.
7. Seseorang yang mentaati dan menghormati pemimpin kerana tujuan ingin berkahwin dengan anak pemimpin itu. Maka mereka pun buat-buatlah baik. Tunjuk-tunjuklah taat kepadanya agar apabila mereka meminang anaknya akan diterima pinangannya. Jadi ada orang mentaati pemimpin dengan tujuan hendak berkahwin dengan anaknya.
8. Orang yang benar-benar ikhlas sepenuh hati mentaati dan menghormati pemimpin kerana agama pemimpin itu. Iaitu kerana ketaqwaan dan akhlak mulianya. Kerana ingin mereka dipimpin kepada Allah dan Rasul-Nya. Moga-moga mereka selamat di dunia dan selamat di Akhirat. Justeru itu mereka menyerah bulat seluruh jiwa raganya kepada pemimpin itu agar pemimpin itu dapat mendidik mereka menuju Allah Taala. Mereka itu orang yang benar-benar setia dengan pemimpin dan sanggup berkorban apa sahaja.
Demikianlah secara rambang pembahagian pengikut-pengikut atau peringkat-peringkat pengikut terhadap seseorang pemimpin. Di akhir zaman ini hendak mencari golongan yang kelapan itu iaitu golongan yang benar-benar ikhlas dan setia kepada pemimpin itu amat susah sekali diperolehi. Ini kerana orang ramai pun kebanyakannya telah rosak kerana kepentingan dunianya yang begitu mendalam. Begitu jugalah hendak mencari pemimpin yang bertaqwa di akhir zaman ini amat sulit sekali dan kerana itulah hendak melahirkan perpaduan dan kesatuan umat Islam bertaraf jemaah pun terlalu sulit, betapa pulalah bertaraf negara, lebih-lebih lagi bertaraf sejagat.
Kita harap moga-moga Allah akan lahirkan seorang pemimpin yang benar-benar berwibawa dan mempunyai karisma kerana mempunyai ketaqwaan yang tinggi. Ilmu dan kepimpinannya cukup matang hingga dia boleh ditaati dan dihormati oleh umat Islam dengan penuh ikhlas dan sepenuh hati.
Friday, July 31, 2009
Home »
Minda Tajdid
» Kuliah Kepimpinan 3:PERINGKAT-PERINGKAT PENGIKUT TERHADAP SESEORANG PEMIMPIN
0 comments:
Post a Comment