Thursday, July 16, 2009

Kuliah Solat 1:Bukan Agama Kalau Tidak Ada Upacara Penyembahan

Setiap agama sama ada yang hak mahupun yang batil, mesti ada cara penyembahan dan upacara penyembahan, atau ada sistem peribadahan yang khusus. Cara penyembahan itu atau cara peribadahan itu pula ada yang menjadi pokok dan ada yang menjadi tambahan. Dalam Islam, ibadah tambahan itu dinamakan fadhoilula’mal atau amalan yang disunatkan. Kalau sesuatu ajaran itu tidak ada cara dan upacara peribadahan atau penyembahan, ia tidak dinamakan agama atau bukan agama namanya. Adapun agama, ia mesti ada hubung kait dengan Tuhan, sama ada Tuhan yang sebenarnya mahupun Tuhan yang palsu atau yang dikhayalkan. Sesuatu ajaran yang tidak ada penyembahan atau upacara peribadahan, ia dinamakan ideologi atau isme. Ideologi atau isme tidak ada hubung kait dengan Tuhan. Justeru itulah tidak ada penyembahan dan peribadahan di dalam ajaran ideologi. Ideologi atau isme, orang panggil atau namakan ajaran politik, bukan ajaran agama. Kerana itulah orang politik atau penganut-penganut ideologi atau isme, biasanya ada pegangan agamanya untuk mengisi kekosongan jiwa mereka sama ada agama yang hak mahupun agama yang batil; kecuali orang yang berfahaman komunis, kerana di dalam ajaran ideologinya tidak ada penyembahan kepada Tuhan.

Dalam ajaran Islam, upacara ibadah yang pertama dan utama disebut ‘as-Solah’ atau di dalam Bahasa Melayu ialah sembahyang. Di dalam Islam, sembahyang merupakan tiang agama. Ia wajib dilakukan lima kali di dalam sehari semalami. Solat di dalam Islam merupakan ibu segala ibadah yang ada di dalam ajaran Islam dan juga ia merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Bahkan ia adalah sebagai tiang serinya. Dalam ajaran Islam, sesiapa yang meninggalkan ibadah yang pertama dan utama ini, yang menjadi tiang seri agama Islam, maka seluruh amalannya yang lain tertolak atau tidak diterima. Rugi sungguhlah orang yang meninggalkan sembahyang lima waktu.

0 comments:

Post a Comment