Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia itu sebaik-baik kejadian, kemudian Kami kembalikan mereka kepada serendah-rendah taraf, kecuali orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh, mereka mendapat anugerah dari Tuhan tanpa putus-putus.” (At Tiin: 4-6)Menurut ayat Al Quran di atas, Tuhan menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Kejadian manusia tidak sama dengan kejadian makhluk-makhluk yang lain. Kejadian manusia sangat indah dan sangat cantik. Kecantikan dan keindahan di dalam kejadian manusia itu dapat dilihat pada dua aspek:
Aspek Lahir
Cuba kita lihat keindahan ciptaan Tuhan pada fizikal manusia, anggota yang sangat penting dan sensitif diletakkan di atas. Contohnya kepala, telinga, mulut dan mata diletakkan di bahagian atas anggota badan. Tidak seperti binatang, contohnya ular, kalau tersentuh najis, sudah tentulah mulut dan hidung yang terkena dahulu. Berbeza dengan manusia, kalau terlanggar atau tersentuh najis, kaki atau tangan manusia yang terkena dahulu. Ia tidak terus ke hidung, mulut atau mata. Begitulah indahnya ciptaan Tuhan pada diri manusia. Banyak lagi keindahan pada fizikal manusia itu kalau kita mahu mengkaji. Dari sudut yang lahir pun kita sudah dapat rasa cantiknya kejadian manusia itu.Aspek Batin
Manusia juga mempunyai satu pakej yang sangat berperanan di dalam dirinya, iaitu akal, roh dan nafsunya. Ini bermaksud, di dalam diri manusia ada unsur malaikat, ada unsur haiwan dan ada unsur manusia.Unsur haiwan di dalam manusia ialah nafsu yang peranannya adalah berkehendak. Kalau manusia tidak ada sifat berkehendak, manusia tidak akan maju. Umpama malaikat, oleh kerana tidak ada nafsu dan tidak ada kehendak, mereka tidak membangun. Walaupun akal dan ilmu banyak tetapi sekiranya manusia itu tidak ada sifat kehendak, manusia tidak akan maju dan tidak akan berubah. Sebab itu perlu ada unsur haiwan di dalam diri manusia. Tetapi manusia juga perlu kepada unsur malaikat iaitu akal yang berperanan menerima dan memproses ilmu dan maklumat serta merancang. Setiap kehendak manusia mesti dirancang.
Sekiranya sifat kehendak tidak disertakan dengan ilmu dan perancangan, manusia akan melulu. Maka unsur haiwan dan unsur malaikat mesti ada bersama demi untuk kebaikan manusia. Ada satu lagi unsur yang tidak boleh diasingkan daripada kedua-dua unsur di atas, bahkan unsur ini lebih penting dan utama. Itulah dia unsur kemanusiaan iaitu roh. Roh adalah raja di dalam diri manusia. Roh yang akan mentadbir diri manusia itu sendiri. Ertinya nafsu dan akal mesti ditadbir oleh roh. Apabila manusia berkehendak dia mesti didasarkan oleh akal iaitu ilmu dan perancangan kemudian ditadbir pula oleh roh. Andai roh, akal dan nafsu berjalan seimbang, berjalan secara terdidik, kehidupan manusia akan jadi cantik. Tanpa roh, ilmu dan kehendak tidak akan berguna kerana tidak ada yang menggerakkan dan mentadbirnya dengan baik. Oleh itu, sebagai pendidik atau murabbi mesti faham hal-hal dan hakikat kejadian manusia.
PERANAN ROH, AKAL DAN NAFSU
Setiap unsur yang ada dalam diri manusia ada peranannya. Akal peranannya mengkaji tentang ilmu, maklumat, menganalisa sesuatu dan disimpan dalam otak kemudian dikeluarkan. Peranan nafsu pula hanya berkehendak sahaja, sama ada kehendak yang baik atau jahat bahkan kehendaknya tidak ada batas dan tidak bertepi. Sebab itu nafsu mesti dididik supaya dia hanya berkehendak kepada yang baik sahaja dan menolak yang sebaliknya. Nafsu kalau tidak dipimpin oleh roh, kehendaknya tidak ada batasan. Sekalipun apa yang dikehendakinya ada di puncak gunung yang tertinggi, atau ada di bawah dasar lautan yang terdalam atau di dalam hutan belantara yang tebal. Dia akan berusaha mendapatkannya dengan dibantu oleh akal.Roh manusia yang dikatakan raja diri itu, selain berperanan sebagai pentadbir, di dalamnya juga ada perasaan. Perasaan-perasaan di dalam roh atau hati ini sangat ajaib kerana ia sentiasa berubah-ubah dalam keadaan kita tidak boleh mengawalnya. Kehendak nafsu masih boleh dikawal dan disekat, seperti nafsu berkehendak kepada sesuatu yang merbahaya, sekiranya akal sempat berfikir, kehendak tersebut boleh disekat. Tetapi perasaan-perasaan yang datang di dalam hati tidak boleh disekat.
Contohnya, kadang-kadang datang rasa gembira bila dapat apa yang kita hajatkan. Kadang-kadang datang rasa sedih, ada kalanya datang rasa marah bila melihat orang yang kita benci. Di waktu yang lain pula timbul rasa jijik atau geli bila melihat kekotoran yang ada cacing. Begitulah seterusnya perasaan-perasaan lain yang sentiasa timbul silih berganti di dalam hati manusia. Perasaan-perasaan tersebut datang secara spontan dan tidak ada yang sempat menyekatnya.
Perasaan-perasaan itu juga boleh hidup subur dan membesar. Perasaan marah misalnya boleh subur dengan cabaran-cabaran, caci maki orang atau sebagainya. Begitu juga perasaan sabar boleh subur dengan riadhah nafsiah dan mujahadah. Begitulah seterusnya perasaan-perasaan yang lain.
Sesungguhnya akal, nafsu dan roh yang tidak terdidik menjadikan manusia itu lebih teruk dan lebih sesat keadaannya daripada binatang, sebagaimana yang Tuhan sifatkan di dalam Al Quran:
Maksudnya: “Mereka itu seperti binatang, bahkan mereka lebih sesat daripada binatang.” (Al A’raf: 179)Binatang, walaupun kehendaknya tidak terbatas, tetapi kehendaknya tidak dibantu oleh akal. Sebab itu binatang tidak pandai merancang kejahatan. Harimau contohnya, tidak pernah dan tidak pandai berfikir atau merancang strategi membunuh mangsa. Apa yang berlaku, harimau menerkam mangsa apabila terserempak, bukan hasil perancangan, dendam atau sebagainya. Kerana itu binatang walaupun kehendaknya tiada batasan, ia tidak begitu bahaya, sebab ia tidak pandai berfikir dan merancang.
Manakala manusia yang kehendak nafsunya juga tidak bertepi, apabila perasaan marah meluap-luap, akan timbul perasaan dendam. Ketika itu akal yang tidak terdidik akan turut terpengaruh dengan kehendak nafsu, lalu membantu nafsu merancang dan menyusun strategi untuk membalas dendam. Pada waktu yang sama roh yang peranannya sebagai raja diri, oleh kerana tidak terdidik, sanggup mengikut telunjuk nafsu dan akal lalu mengarahkan seluruh anggota melakukan kehendak mereka. Akhirnya rosaklah manusia dan seterusnya dunia hancur dan ranap akibat perbuatan jahat manusia sendiri. Firman Allah dalam Al Quran:
Maksudnya: “Telah lahir kerosakan di daratan dan lautan, hasil perbuatan tangan manusia sendiri.” (Ar Rum: 41)Inilah realiti yang berlaku di dunia, bila manusia tidak terdidik, peranan binatang akan menjadi kuat dengan bantuan akal. Keadaan ini sangat bahaya kepada manusia.
Sekiranya ketiga-tiga unsur tersebut dididik dan dibentuk ke arah kebaikan, kehendak-kehendak nafsu yang baik didorong, perasaan-perasaan yang timbul pula didisiplinkan dengan akal yang telah terdidik, hati yang menjadi raja diri disuburkan dengan keimanan, ditanam rasa hamba dan rasa bertuhan, nanti akan terjadilah satu tamadun yang sangat selamat dan menyelamatkan. Ertinya tamadun yang sangat memberi manfaat kepada manusia di dunia bahkan di Akhirat mendapat keampunan dan rahmat dari Tuhan. Golongan manusia seperti ini Tuhan sudah menjanjikan pada mereka ganjaran yang tiada batasnya.
Keajaiban Hati
Hati atau roh merupakan penciptaan yang ajaib di dalam diri kita. Di antara keajaiban hati ialah:1. Hati atau roh boleh mentadbir kerajaan diri. Dengan bantuan nafsu dan akal, manusia boleh melahirkan tamadun.
2. Hati ibarat wadah tempat rebutan antara malaikat dan syaitan, hidayah dan kekufuran. Hati kalau tidak dididik, ia akan dipimpin oleh syaitan maka syaitan yang akan memberi ilham serta ilmu. Tetapi bila hati dididik, Tuhan yang akan memimpin dengan memberi ilmu dan hidayah melalui malaikat sehingga perasaan yang baik-baik sahaja diletakkan di dalam hati.
3. Hati atau roh ibarat cermin. Hati yang tidak dididik dan diasuh akan menjadi gelap dan hitam. Sekiranya dididik, hati akan bercahaya dan bersinar seperti cermin yang sentiasa digilap. Cermin juga mudah menangkap apa sahaja objek yang ada di hadapannya. Ertinya, hati yang benar-benar bersih boleh menangkap apa-apa yang ada di Lauhul Mahfuz, ia akan diberi rasa-rasa yang tepat, hinggakan ada kalanya mendapat kasyaf, bisikan-bisikan yang benar, mendapat mimpi yang baik dan juga firasat, sebagaimana sabda baginda SAW:
Maksudnya: “Takutilah kamu akan firasat orang mukmin, kerana mereka melihat dengan cahaya Allah.” (Riwayat At Tarmizi)4. Hati yang bersih juga boleh mendapat ilmu terus dari Tuhan, kalau dia rasul atau nabi maka ilmu tersebut dinamakan wahyu. Bagi para wali atau orang-orang bertaqwa pula dinamakan ilham atau ilmu laduni. Ilmu ini bukan hasil belajar cara biasa tetapi ia terus dijatuhkan ke dalam hati. Ilmu yang diperolehi dengan hasil usaha biasa seperti membaca dan mengkaji, ia akan jatuh pada akal.
Inilah di antara keajaiban hati yang Tuhan jadikan dengan ciptaan yang sangat unik. Hanya orang-orang yang Allah pimpin dan pilih sahaja yang dapat membaca perjalanan hati yang cukup halus dan seni.
Kategori Hati
Peringkat-peringkat hati atau roh boleh dibahagikan kepada empat kategori:- Hati yang sangat bercahaya dan bersinar. Inilah hati atau roh para rasul dan nabi termasuk juga wali-wali Allah. Mereka ini bertaraf nafsu mutmainnah dan ke atas. Peringkat sinaran atau kilauan cahaya di antara mereka tidak sama mengikut peringkat masing-masing.
- Hati yang cerah tetapi tidak berkilau. Inilah hati orang-orang soleh yang nafsunya bertaraf mulhamah.
- Hati yang kabur ibarat cermin kabur yang tidak digilap. Ini adalah hati orang fasik atau zalim.
- Hati yang gelap hitam. Inilah hati orang-orang kafir dan munafik.
Punca Hati Terhijab
Sebab-sebab hati menjadi hitam dan terhijab, antaranya:- Kerana dosa-dosa lahir, seperti makan makanan yang haram atau syubhat, melihat dan mendengar perkara-perkara yang diharamkan.
- Nafsu yang tidak terdidik, penuh dengan mazmumah, seperti pemarah, hasad dengki, tamak dan lain-lain.
- Setiap dosa-dosa yang dilakukan akan membentuk bintik-bintik hitam pada hati yang merupakan hijab. Inilah yang Allah gambarkan di dalam Al Quran: Maksudnya: “Sebenarnya apa yang selalu mereka kerjakan itu (menjadi titik-titik hitam) yang menutup hati-hati mereka.” (Al Muthaffifin: 14)
a. Dia mesti mengikis dan membersihkan hatinya dari bintik-bintik hitam atau kotoran dosa. Ini bukan suatu kerja yang mudah dan ia mesti melalui proses yang agak panjang.
a. Setelah mengikis dan membersihkan hati dari bintik-bintik hitam tersebut (dosa), hati mesti sentiasa digilap sehingga bersih bersinar.
Mereka kena berhempas pulas untuk dapat membersihkan hati. Sekiranya mereka mati sebelum berjaya hatinya dibersihkan, terserah kepada Allah SWT sama ada hendak diampunkan atau diazab, seperti firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dia yang mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengazab siapa yang dikehendakiNya.” (Al Baqarah: 284)Semoga atas dasar usaha yang sedang dilakukan dalam melaksanakan niat baiknya untuk membaiki hatinya, ada nilaian dan pandangan serta pengampunan Allah SWT kepadanya.
Sebagai kesimpulan, para pemimpin dan murabbi yang terlibat di dalam mendidik manusia mesti memahami sungguh-sungguh tentang unsur-unsur yang ada di dalam diri manusia, supaya kaedah dan perlaksanaan yang dibawa di dalam pendidikan nanti tepat dan betul dengan cara yang Tuhan kehendaki. Sehingga manusia-manusia yang dididik itu benar-benar menjadi orang yang bertaqwa. Ertinya, dia dapat memainkan peranannya dengan sebaik-baiknya sebagai hamba Allah dan juga dapat bekerja sebagai khalifah Tuhan di muka bumi ini, sesuai dengan hasrat dan perintah Tuhan. Sehingga lahirlah hasil dari tangan-tangan mereka ini, manusia yang sangat berkasih sayang, bertolong bantu dan bertimbang rasa. Seterusnya akan lahirlah masyarakat yang aman damai dan mendapat keampunan Allah, sebagaimana yang Tuhan gambarkan melalui firman-Nya:
Maksudnya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan.” (Saba’: 15)
0 comments:
Post a Comment