Sunday, May 31, 2009

MENGAPA BERLAKU KRISIS?

Selalunya orang menganggap krisis bermula kerana sesuatu isu. Krisis dikatakan berpunca atas sebab ketidak-stabilan ekonomi dan politik kerana kepimpinan lama tidak beres.Demikian jugalah dalam apa juga pertubuhan, kalau terjadi krisis orang akan berkata puncanya ialah kerana isu-isu lahiriah semata-mata. Kerana itu orang akan salah menyalahkan dan membesar-besarkan perkara berbangkit dan yang berkaitan dengannya.

Para pemerhati yang barangkali berdukacita dengan kejadian itu turut memberi pandangan dan kritik dengan tujuan untuk meredakan ketegangan. Tetapi kerana mereka juga bersandarkan pada faktor-faktor luaran tadi, maka apa yang berlaku ialah suasana lebih rumit dan kacau-bilau. Kalau asalnya dua pihak yang bergaduh, maka dengan kritik tadi terjadi puak ketiga, keempat dan seterusnya.

Punca awal sesuatu krisis bukanlah pada kesalahan-kesalahan lahiriah semata-mata. Ertinya krisis bukanlah disebabkan oleh kesilapan-kesilapan teknik dan kelemahan peribadi dalam soal-soal teknikal.
Ibarat seorang doktor berdepan dengan pesakit yang meracau-racau dan bercakap merapu-rapu. Doktor tidak akan kaji mulut pesakit atau peti suaranya sekalipun yang nampak tidak betul ialah mulutnya atau kelajuan suaranya. Yang salah pada pesakit itu ialah sistem urat sarafnya atau ada tekanan pada jiwanya. Maka doktor pun ubatkan jiwa atau urat saraf, maka hasilnya pesakit itu kembali bercakap seperti biasa.

Begitu juga dalam menganalisa sesuatu krisis, kita jangan lihat soal-soal luaran yang mereka kecohkan. Ada faktor batiniah (rohaniah) yang mendorong terjadinya kekecohan itu sebenarnya.

Dalam sejarah Islam kita boleh tengok bagaimana umat Islam di zaman Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin selamat dan krisis walaupun sebab-sebab lahir sangat membolehkan mereka berbuat begitu. Sayidina Khalid Ibnu Walid misalnya pernah dijatuhkan pangkat sebagai Ketua Tunis Angkatan Tentera Islam, sewaktu beliau sedang lincah di medan perang menjadi tentera biasa. Sayidina Umar Ibnu Khattab melakukan begitu dengan tujuan-tujuan pentadbiran yang tertentu, bukanlah dengan tujuan untuk menjatuhkan Sayidina Khalid Ibnu Walid. Sekalipun tindakan itu berat bagi seorang manusia, tapi Sayidina Khalid tenang sahaja. Dia menerima perintah itu dengan taat, tanpa menunjukkan sebarang reaksi yang negatif. Beliau terus berperang dengan berani dan gagah. Melihatkan sikapnya yang tidak berubah apa-apa, seorang sahabat bertanya pada Sayidina Khalid, "Tidakkah tindakan Sayidina Umar itu mencacatkan hatimu?"

Jawab Sayidina Khalid, "Aku berjuang bukannya untuk Umar, tapi untuk Allah."

Lihatlah betapa hati yang ikhlas menyelamatkan Sayidina Khalid dari menyerang balas dan liar terhadap Sayidina Umar. Bukannya Sayidina Khalid tidak pandai buat helah untuk cabar Sayidina Umar. Bukan tidak ada kelemahan-kelemahan Sayidina Umar dalam pandangan Sayidina Khalid, sebab seorang yang bukan Nabi memang tidak maasum yakni tidak lepas dari kesalahan dan kesilapan. Tapi hati yang suci menghalang beliau dari dari kurang ajar dengan ketua. Sayidina Umar adalah ketuanya dan dia wajib taat, sekalipun perintah itu menyakitinya. Kalau Sayidina Umar tersilap maka dia maafkan sebab hanya dengan cara itu saja manusia boleh damai.

Kalau orang bersalah pada kita, kita tidak boleh maafkan, nanti kalau kita yang bersalah, orang tidak akan memaafkan kita. Apa jadi? Tentu krisis memanjang. Sayidina Khalid faham dia sendiri ada kekurangan, jadi perlu apa didedahkan kekurangan kawan. Dua kali lima sepuluh. Lima kali dua pun sepuluh.

Sayidina Ali bin Abi Thalib, ketika diadukan padanya konon Sayidina Muawiyah telah mengata-ngatakan beliau, dengan tegas berkata pada tukang adu tersebut, "Lebih baik engkau tutup mulut. Kerana kalau benar pun Muawiyah mengata-ngatakan aku, maka telah aku maafkan dia."

Demikianlah Islam telah memuliakan manusia dengan akhlak yang agung. Islam mendidik jiwa manusia menjadi ikhlas, jujur, berkasih sayang, bermaaf-maafan, pemurah, baik sangka dan lain-lain. Allah S.W.T menggambarkan perihal kehidupan umat Islam dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Mereka berlemah lembut dengan orang-orang Mukmin dan tegas serta keras dengan orang kafir."
Al Fath: 29.

Pernah Sayidina Abu Hurairah meminta satu jawatan dari Rasulullah tapi tidak dibenarkan. Dan ini diterima baik oleh Abu Hurairah tanpa menimbulkan apa-apa krisis. Abu Sufian ketua kaum dan pembesar Quraisy di beri penghormatan sebagai orang besar dalam Islam oleh Rasulullah S.A.W. Sekalipun beliau baru saja masuk Islam (yakni sesudah penaklukan Makkah).

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Siapa masuk Kaabah selamat dan siapa masuk ke rumah Abu Sufian selamat."

Tindakan Rasulullah tidak menimbulkan apa-apa krisis di kalangan sahabat-sahabat besar, walaupun perkara itu sungguh kontraversi. Itu adalah kerana jiwa yang bersih dan akhlak mulia, yang ada pada sahabat.

Apakah syarat lain untuk membentuk serta membina masyarakat harmoni, kalau bukan dengan akhlak mulia? Dengan wang manusia makin bertambah rakus. Dengan ilmu manusia tambah sombong. Dengan nama dan pangkat manusia tambah ganas. Tapi dengan akhlak, manusia masing-masing berusaha untuk jadi lebih baik dan orang lain. Sebab itu terjadi satu kisah di medan perang, seorang yang luka parah dan kehausan, waktu hendak menyuapkan air ke mulutnya tiba-tiba terdengar suara lain mengerang-ngerang minta air, maka dihulurkan air itu kepada sahabat yang mengerang tadi dengan keadaannya sendiri tiada lagi air. Orang yang kedua juga ketika mahu minum, terdengar orang ketiga memerlukan air, dihulurkannya pula air itu hingga dia sendiri terus kehausan. Begitulah hingga air itu akhimya tiada siapa sempat minum sebelum semuanya mati syahid.

Kalau bukan dengan ilmu agama yang mendidik manusia jadi beriman, jujur, ikhlas, takut dosa, rindu akhirat, merendah diri, saling kasih mengasihi; mustahil rasanya terjadi kehidupan sebagaimana yang diceritakan tadi. Bukan senang untuk buang sikap tamak, mementingkan diri sendiri, sombong, bakhil, dengki, dendam, jahat sangka, gila dunia, ujub, gopoh gapah dan lain-lain. Walhal dengan sikap inilah iblis tercampak dalam kemurkaan Allah, Qabil membunuh Habil, Firaun ditelan Laut Merah, Qarun di makan bumi dan Abu Lahab tercampak ke dalam api neraka. Seorang pun tidak selamat selagi ada padanya jiwa yang jahat dan kotor. Firman Allah:

Ertinya:

"Pada hari itu tidak berguna harta dan anak-anak kecuali mereka yang datang mengadap Allah dengan membawa hati yang sejahtera."
Asy Syuara: 88,89.

Jelaslah bahawa kejatuhan dan kemusnahan manusia adalah berpunca dari sifat bathin yang tidak bersih. Sifat-sifat ini kalau ada, akan mendorong manusia buat macam-macam kesalahan. Krisis yang berlaku tidak habis-habis sejak akhir-akhir ini adalah kerana tidak bersihnya hati manusia kini.

Dengan kata lain, krisis atau perpecahan dalam sesebuah badan pertubuhan adalah berpunca dan jiwa ahli-ahli yang tidak bersih (jiwa tidak sufi), akibat daripada ilmu Islam yang tidak dihayati dan penerapan nilai-nilai Islam tidak berjalan. Dan bukannya kerana soal-soal teknikal, sebab tiada seorang yang tidak bersalah.

0 comments:

Post a Comment