Sunday, May 31, 2009

Madah Hati 1

...Al Quran itu boleh melembutkan hati dan melapangkan dada kalau dibaca dengan makna dan kehendaknya difahami. Jika tidak bukan sahaja tidak ada kesan, jemu pun datang.

...Al Quran itu umpama sungai; banyak manfaatnya, untuk mandi, untuk minum, untuk tanaman, untuk ambil ikan, untuk main sampan, ambil pasir dan berbagai-bagai.

...Alangkah bertuahnya seorang itu selepas beriman isterinya banyak setia belaka, anaknya banyak menurut kata, sahabat-sahabatnya banyak menolong perjuangannya,ibu dan ayahnya senang hati mendoakannya.

...Alim lisan pandai bercakap, tidak berbakti. Alim hati kurang bercakap, banyak berbakti. Alim lisan dan hati, bercakap dan beramal sama selari.

...Alim tidak ditentukan oleh degree. Kebenaran tidak ditentukan oleh jawatan rasmi. Kaya tidak mesti dengan harta. Miskin tidak mesti tidak berpunya.

...Allah dan Rasul patut dicintai. Ibubapa dan guru patut dihormati. Kanak-kanak patut disayangi. Orang yang mendapat kesusahan patut diberi simpati.

...Allah diingati, ibu juga diingati, ayah pun diingati, tapi rasa ingatan itu tidak sama.

...Allah dikenal dengan hati bukan dengan akal. Dan orang yang hatinya kenal Allah, pasti kuatlah agamanya.

...Allah menyuruh kita berusaha maka berusahalah, kejayaannya kerja Tuhan, bukan kerja kita, kalau kita campur tangan kerja Tuhan kita akan kecewa yang parahnya akan putus asa.

...Aneh sungguh manusia ini, dia nampak celanya orang yang tinggal berbatu-batu darinya sedangkan cela diri yang ada pada dirinya sendiri tidak disedari.

...Anggaplah nikmat dunia yang Allah beri itu kita tidak layak menerimanya tetapi Allah Taala beri untuk menguji kita apakah kita boleh bersyukur padaNya.

...Anggota lahir kalau dia cacat kita terasa atau dia sakit kita terasa juga, cepat-cepat kita mengubatnya. Anggota batin cacat atau sakit kita tidak terasa.Kerana itulah kita tidak terfikir untuk mengubatnya. Rosak anggota lahir, habis di dunia sahaja, boleh mendatangkan pahala ada untung juga. Rosak hati atau jasad batin, ia jadi derhaka, berdosa akhirnya ke Neraka.

...Antara ciri-ciri sebuah jemaah yang baik ialah; ada pemimpin yang mampu memimpin yang ibadahnya boleh ditiru, akhlaknya boleh diikut, ilmunya boleh dimanfaatkan dan berani. Jemaah itu ada program yang berterusan, pengikut-pengikutnya taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan taat kepada pemimpin. Ahli-ahlinya berkorban dan ada khidmat masyarakat.

...Antara kejayaan seseorang guru atau pemimpin atau ayah ialah dapat mendidik orang-orang di bawahnya hingga dapat rasa hormat dan takut kepadanya, bukan hormat sahaja dan bukan takut sahaja.

...Antara kelemahan jemaah Islam pada akhir zaman ialah kurang mengambil berat tentang sembahyang dan ahlak.

0 comments:

Post a Comment