Siapakah pemimpin? Siapa saja yang berada diatas dari sudut status sosial maka dia adalah pemimpin. Seperti suami atau bapa adalah pemimpin dalam keluarga. Ketua Kampung adalah pemimpin bagi masyarakat sesuatu kampung. Guru Besar atau Pengetua adalah pemimpin dalam lingkungan sekolah. Penghulu atau Penggawa adalah pemimpin bagi satu-satu mukim. Dan begitulah seterusnya yang lain, umpamanya Pengerusi atau Pengarah atau Pengurus Besar adalah pemimpin bagi sesebuah institusi. Manakala Ahli Parlimen adalah pemimpin bagi masyarakat disatu kawasan parlimen. Menteri Besar atau Gabenor bagi seluruh rakyat negeri atau Wilayah. Perdana Menteri atau Presiden pula adalah pemimpin bagi seluruh rakyat dalam sebuah negara. Dalam pengertiannya yang umum maka setiap diri insan itu adalah pemimpin bagi diri sendiri dan terhadap apa saja yang dimilikinya sebagai amanah Allah SWT yang akan ditanya bagi setiap satunya.
Rasulullah SAW ada menyebut dalam Hadis tentang kepimpinan yang bermaksud diantaranya, ‘Dua golongan apabila baik maka baiklah rakyat iaitu Umara dan Ulama.’
Kedudukan pemimpin disisi rakyat adalah ibarat kayu dengan bayangnya. Kayu yang lurus maka bayangnya sudah pasti lurus. Atau kalau melihat bayangnya bengkok sudah diketahui bahawa kayunya pasti bengkok biarpun tanpa melihat kayunya. Juga dalam Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘Kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari.’ Oleh kerana kencing itu dalam tandas tertutup, tiada siapa yang tahu, memadai dengan melihat muridnya kencing. Kalau muridnya kencing dalam keadaan berlari, itu sudah memadai sebagai isyarat bahawa gurunya kencing berdiri. Sebab kencing berlari dah tentu diluar tandas. Itu hanya sebagai contoh dalam bentuk peribahasa.
Berdasarkan pengertian dari Hadis Rasulullah SAW diatas, juga dari perbandingan kayu dengan bayangnya. Di tambah pula dengan Peribahasa Melayu, kalau rakyatnya baik, itu menandakan bahawa pemimpin atasannya adalah baik. Sebaliknya kalau rakyatnya jahat maka itu adalah merupakan isyarat bahawa pemimpinya adalah jahat. Jahat dikalangan pemimpin lazimnya jarang sangat dapat di buktikan kerana mereka berkuasa, licik dan bijak melepaskan diri dengan berbagai cara. Bahkan melalui media yang mereka sendiri kawal, mereka berjaya mengadakan propanganda sehingga terbinalah imej bersih, baik dan berwibawa.
Namun apabila difahami dari Hadis Rasulullah SAW itu, biarpun tanpa dapat dibuktikan kejahatan pemimpin, memadai dengan melihat akhlak dan perlakuan rakyatnya. Biarpun rakyat tidak pernah diajarkan untuk berbuat jahat, namun mind set yang diberikan oleh pemimpin kepada rakyat membuatkan rakyat menjadi jahat. Dan mind set itu sudah pasti datangnya dari pemimpin juga. Sebagai bukti bagaimana mind set itu berlaku tanpa disedari, lihat kepada contoh sejarah Qabil yang jahat telah membunuh adiknya Habil. Nabi Adam mengajak anaknya supaya bebuat kebaikan dengan beriman kepada Allah. Namun Qabil ingkar dan tidak mahu beriman. Maka yang menjadi monitor kepada Qabil itu ialah nafsu dan cinta dunia. Apabila nafsu dan cinta dunia menguasai diri, maka suburlah sifat-sifat mazmumah. Dan syaitan pun amat mudah menggoda orang yang subur sifat mazmumah.
Dizaman mana pun kita berada, kalau manusia ini mind set nya sama seperti Qabil iaitu dikuasai oleh nafsu dan cinta dunia, maka hasilnya tetap sama, sebab fitrah manusia ini Tuhan cipta sama sahaja. Cuma bezanya ialah jenis, bentuk dan tahap kejahatan saja yang sentiasa berkembang.
Hari ini kita dihidangkan dengan berbagai gejala sosial yang berlaku dalam semua golongan dan semua peringkat masyarakat. Hanya berbeza pada bentuk, jenis dan tahap kejahatan diantara golongan dan peringkat masyarakat. Jahat tetap sama-sama jahat. Hanya Umara dan Ulama saja yang licik menyembunyikan atau pandai melepaskan diri dari dilihat kejahatan mereka. Malangnya mereka sendiri tidak menyedarinya. Mereka inilah yang membina mind set rakyat hingga menjadikan rakyat hidup dengan nafsu dan cinta dunia. Merekalah yang bersalah kerana mereka sendiri memang dikalangan orang yang sangat bernafsu rakus, tamak, ego, sombong dan cinta dunia.
Untuk membetulkan kembali mind set seluruh rakyat, maka pemimpin mesti kembali kepada fungsi atau peranan utama sebagai pemimpin dan ulama. Nescaya hasilnya nanti seluruh rakyat akan menjadi baik. Selama ini para pemimpin, dari serendah-rendah taraf kepimpinan iaitu suami atau bapa hinggalah kepada Perdana Menteri, hanya memenuhi fungsi kepimpinan yang lain ,tetapi sangat-sangat mengabaikan, sangat-sangat meminggirkan, sangat-sangat tidak mempedulikan fungsi utama mereka.
Apakah sebenarnya fungsi utama sebagai pemimpin?
Lihatlah kepada para Rasul. Mereka adalah pemimpin sejati, Tuhan jadikan para Rasul sebagai tempat rujuk, tempat ikutan, figure contoh tauladan, tempat menyalin dan meniru. Tuhan mahu pemimpin selain Rasul mesti melihat bahawa para Rasul itu ada bukti kejayaan sebenar dalam kepimpinan. Fungsi atau peranan paling utama para pemimpin ialah memperkenalkan Tuhan kepada siapa saja yang berada dibawah kepimpinan masing-masing. Suami atau bapa mesti pimpin, bimbing, didik isteri dan anak-anak sehingga kenal dan cinta kepada Tuhan. Begitu juga Perdana Menteri dan pemimpin-peminpin diperingkat lain, mesti pimpin, didik, bimbing rakyat dan anak buah sehingga mereka kenal dan cinta kepada Tuhan. Inilah kerja paling utama. Inilah tugas wajib, tidak boleh tidak, mesti dilakukan oleh pemimpin pada setiap masa tanpa bermusim. Kerana keperluan manusia kepada Tuhan itu tidak bermusim. Dengan lain perkataan mendidik, mengasuh, memimpin, membimbing, mentarbiyah hati rakyat hingga benar-benar kenal Tuhan, hingga takut dan cintakan Tuhan adalah tuntutan utama para pemimpin.
Keadilan yang utama bagi pemimpin ialah apabila rakyat mendapat Tuhan. Natijahnya rakyat akan menjadi baik. Kerja besar dan utama inilah yang telah dibuat oleh para Rasul. Dan ingatlah bahawa kezaliman yang paling besar yang dilakukan oleh para pemimpin ialah apabila rakyat tidak mendapat Tuhan, rakyat tidak kenal Tuhan, rakyat tidak takut dan tidak cintakan Tuhan, rakyat mengabaikan Tuhan, tidak membawa Tuhan campur tangan dalam urusan hidup. Amat zalim apabila pemimpin tidak mendidik rakyat agar mejadikan Tuhan sebagai cita-cita dan matlamat hidup. Akibatnya rakyat menjadi jahat, melanggar syariat, berkrisis dan bepecah belah, hilang bahagia dan mudah putus asa.
Selama ini pemimpin hanya tertumpu kepada mahu menjadikan, ‘Baldatun Taiyibah.’ Yang aman, makmur, bercukupan serba serbi, bebas, terjamin hak asasi dan sebagainya. Ini pun masih disangsikan mencapai tahap sebenar, sebab itu terlalu banyak pertikaian terjadi dalam masyarakat. Terlalu banyak rintihan, keluhan, tak puas hati dan sebagainya. Masih ramai rakyat yang hidupnya terpinggir ditengah-tengah kepesatan pembangunan dan kemajuan. Lebih-lebih lagi apabila pemimpin amat gagal dalam membangunkan, ‘Wa Rabbun Ghafur.’ Yang mendapat keampunan Allah SWT dengan iman, taqwa, bersyariat dan berkasih sayang. Sedangkan gabungan kedua-dua inilah yang menjadi negara idaman setiap menuasia yang belum rosak hatinya.
Sanggupkah para pemimpin, di peringkat mana pun, berhadapan dengan Tuhan diakhirat kelak dalam kedudukan kini mereka sangat zalim kepada rakyat masing-masing iaitu tidak melaksanakan fungsi dan peranan utama sebagai pemimpin? Inilah antara perkara yang utama akan disoal oleh Tuhan kepada seorang pemimpin diakhirat kelak. Tanggungjawab dan peranan sebagai pemimpin itu sangat berat disisi Tuhan.
Kalau seseorang itu adalah Suami, Bapa, Guru Besar, Pengetua, Ketua Kampung, Pengerusi atau Pengurus syarikat, Wakil Rakyat, Ahli Parlimen, Menteri Besar, Menteri, Perdana Menteri dan lain-lain, maka fungsi utama mereka ialah memperkenalkan Tuhan kepada rakyat atau orang bawahan mereka sehingga rakyat dan orang bawahan itu kenal, takut dan cinta kepada Tuhan, inilah peranan atau fungsi paling utama dan wajib bagi seseorg pemimpin. Pemimpin yang bertangunggjawab terhadap orang bawahannya akan melaksanakan fungsi dan peranan paling utama ini kerana memikirkan tangungjawabnya yang besar apabila berhadapan dengan Tuhan di Akhirat kelak. Sanggupkah para pemimpin diperingkat mana pun berhadapan dengan Tuhan di akhirat kelak dalam keadaan mereka sangat zalim kepada orang bawahan atau rakyat dibawahnya?
0 comments:
Post a Comment