Para pelajar berfikir mengikut cara mereka masing-masing dan mengikut kebiasaan mereka sahaja. Mereka tidak dididik semenjak kecil bagaimana cara hendak berfikir dengan betul dan berkesan. Oleh itu ramai para pelajar tidak dapat menggunakan kemampuan akal mereka untuk berfikir dengan sepenuhnya dan secara optimum. Ini telah menyebabkan ramai pelajar tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik walaupun kemampuan akal mereka adalah lebih dari itu.
Apa yang diutarakan dalam ilmu kemahiran berfikir ini berlegar di sekitar tatacara dan prosedur berfikir, langkah-langkah berfikir, penyusunan, pemprosesan dan penghadaman maklumat dan fakta-fakta. Ia juga melibatkan keupayaan menyusun, mengenal dan menyaring fakta-fakta yang penting dan tidak penting, yang relevan dan tidak relevan dan berbagai-bagai teori serta perkara lagi yang kesemuanya menjurus kepada mencapai tahap berfikir yang lebih tinggi dan berkesan.

Ini adalah kerana Allah mahukan proses pemikiran itu tidak terlepas dari pengaruh hati dan jiwa yang ingatkan Tuhan . Ini yang manusia tidak faham. Berfikir dengan akal semata-mata tanpa membawa bersama hati dan jiwa yang berzikir kepada Allah akan membawa cara pemikiran yang tersimpang dari kebenaran dan kehendak Tuhan. Berfikir tanpa hati yang ingatkan Tuhan akan menjauhkan hidayah dan pimpinan Tuhan. Berfikir tanpa melibatkan akan menafikan ilham dan panduan dari Tuhan .
Akal hanyalah alat bagi menerima dan memproses maklumat, fakta dan ilmu.
Ia hanya mengisar dan mencanai, tidak lebih dari itu. Manfaat atau tidaknya ilmu yang diproses oleh akal bergantung kepada hidup atau matinya hati atau jiwa kita. Penggunaan akal tanpa dipimpin atau dikawal oleh hati akan menghasilkan ilmu yang tidak bermanfaat. Ilmu yang tidak ada manfaat umumnya ialah ilmu yang tidak mendekatkan kita kepada Allah dan yang tidak menambah iman dan ketaqwaan kita kepadaNya. Ilmu yang tidak bermanfaat ialah ilmu yang akan merosakkan kita.
Rasulullah pernah berdoa: "Aku berlindung dengan Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat."
Orang yang menggunakan akal semata-mata tanpa mengingatkan Allah terlebih dahulu atau tanpa dikawal oleh hatinya yang beriman dan bertaqwa, dinamakan orang akal, orang dunia atau orang yang berfikiran sekular. Segala yang difikirkannya ialah hal-hal dunia yang bermatlamatkan dunia dan berakhir di dunia. Allah dan Akhirat dikesampingkan dan tidak diambil kira.

Kekuatan dan kepintaran akal juga banyak bergantung kepada hidupnya hati atau jiwa kita. Orang yang hidup hatinya akan mempunyai akal yang bijak dan pintar. Contohnya ialah para Sahabat, para Tabiin dan para Tabit Tabiin. Rasulullah SAW mendidik dan membangunkan insaniah dan jiwa mereka. Hasilnya mereka menjadi orang-orang yang bertaqwa, yang bijak dan pintar. Asal dari pengembala-pengembala kambing yang hanya tahu tentang kambing, tapi dengan iman dan taqwa mereka mampu meneroka berbagai-bagai bidang ilmu termasuk ilmu hisab, ilmu astronomi, astrologi, ketenteraan, perubatan, sains dan lain-lain lagi di samping ilmu-ilmu Tauhid, Feqah, Tasawuf, Tafsir, ilmu Hadis dan sebagainya.
Disebabkan kepintaran akal mereka, negara Islam telah menjadi pusat ilmu bagi dunia di waktu itu. Dalam masa yang singkat, manusia dari seluruh pelosok dunia datang untuk menimba ilmu dari cendekiawan-cendekiawan dan para ilmuan Islam. Bukan sahaja ilmu mereka hebat tetapi sesetengah dari cendekiawan-cendekiawan Islam itu menguasai berpuluh bidang ilmu yang berlainan dalam satu masa.
Umat Islam mesti mengubah sikap dan fahaman mereka tentang kemahiran berfikir. Dalam Islam, fikiran bukan semata-mata tugas akal. Ia adalah tugas akal yang dirangsang dan dipandu oleh hati yang bertaqwa.
Oleh yang demikian, langkah pertama untuk mendapatkan kemahiran berfikir ialah dengan menanam iman dan taqwa di dalam hati terlebih dahulu. Kemahiran berfikir akan terjadi dengan sendirinya secara automatik.
0 comments:
Post a Comment