Thursday, April 9, 2009

KHUSYUK: ERTI SEBENARNYA

Petikan
"Apa sahaja yang kita besar-besarkan, yang kita penting-pentingkan, yang kita utamakan, yang kita cemas-cemaskan, yang kita bimbang-bimbangkan, yang kita takut-takutkan dan sebagainya, itulah yang kita khusyukkan."
"Di mana sahaja kita berada, pada setiap masa dan ketika, kita perlu rasa bertuhan. Iaitu merasa Tuhan sentiasa melihat, sentiasa mendengar, sentiasa mengetahui tentang hal lahir dan batin dan sebagainya"

Kita selalu mendengar dan kadang-kadang kita bincang dan kita muzakarahkan tentang khusyuk. Umumnya, orang mengkaitkan khusyuk itu dengan solat atau sembahyang.

Bila sahaja disebut khusyuk, terlintaslah di fikiran kita tentang penumpuan dan kehadiran hati dalam sembahyang. Justeru itu, ramai orang hanya mengusahakan khusyuk ketika hendak memulakan sembahyang khususnya semasa takbiratul ihram. Ketika itulah kita cuba dan berusaha untuk menumpukan perhatian dan menghadirkan hati di dalam sembahyang dengan mengikuti dan memahami apa yang kita baca dan mengelak dari memikirkan tentang perkara-perkara lain yang tidak bersabit dan tidak bersangkut-paut dengan sembahyang itu.

Kefahaman khusyuk seperti ini telah tersimpang dari erti dan maksud khusyuk yang sebenarnya. Kerana salah faham inilah maka ramai orang tidak berjaya untuk mencapai khusyuk yang sebenarnya di dalam sembahyang walaupun telah bersembahyang selama berpuluh-puluh tahun. Mereka sangka telah khusyuk dalam sembahyang, tetapi kesan sembahyang terhadap diri, akhlak dan peribadi sangat kurang atau minimum. Tidak nampak banyak perubahan pada diri dan peribadi walaupun sudah berpuluh-puluh tahun bersembahyang.

Walhal sepatutnya orang yang benar-benar khusyuk dalam sembahyang itu ada banyak kesan pada dirinya. Teguh dan kuat iman dan keyakinannya. Murni dan luhur akhlaknya. Berdisiplin hidupnya. Bersih dirinya daripada berbuat maksiat dan kemungkaran kecuali terlalu sedikit. Kuat berpegang dan mengamalkan syariat Islam dan bersih hati dan jiwanya daripada sifat-sifat mazmumah dan sifat-sifat yang keji.

Namun begitu, jika seseorang itu sudah boleh menumpukan fikirannya di dalam sembahyang, sudah boleh mengikuti dan faham apa yang dibaca dan dilafazkannya di dalam sembahyangnya dan tidak pula teringat perkara-perkara lain di luar sembahyang dan yang tidak ada sangkut paut dengan sembahyangnya dari mula dia takbir hingga dia memberi salam, ini sudah dianggap baik. Ini pun bukan mudah untuk dicapai. Tetapi ini belum lagi dianggap khusyuk.

Kesan sembahyang seperti ini terhadap diri dan peribadi kita walaupun ada, tetapi terlalu sedikit dan tidak begitu ketara. Tuntutan supaya umat Islam itu khusyuk bukan terhad ketika di dalam sembahyang sahaja.

Umat Islam dituntut supaya berada dalam keadaan khusyuk setiap masa walau pun di luar, lebih-lebih lagilah di dalam sembahyang . Kalau kita tidak khusyuk di luar sembahyang, agak mustahil kita akan dapat khusyuk di dalam sembahyang. Kerana khusyuk itu bukan perkara akal atau fikiran atau meditasi. Khusyuk itu adalah perkara hati, jiwa dan roh. Ini melibatkan rasa. Iaitu rasa-rasa terhadap Tuhan, terhadap ciptaan-ciptaan Tuhan, terhadap diri kita sebagai hamba, terhadap dosa dan pahala, Syurga dan Neraka dan sebagainya.

Perkara akal atau fikiran mungkin mudah memulakan dan menamatkan seperti kita membuka dan menutup suis lampu atau seperti kita menukar channel televisyen. Setakat membawa fikiran dan kesedaran akal kita ke dalam sembahyang mungkin lebih mudah dan boleh dibuat ketika kita bertakbiratul ihram. Tetapi untuk membawa rasa , ini mustahil.

Kalau rasa khusyuk tidak wujud di luar atau sebelum sembahyang, maka ia terus tidak akan wujud di dalam dan di sepanjang masa kita bersembahyang. Sebab perkara roh, hati dan jiwa yang membawa kepada rasa-rasa ini ialah hasil dari penghayatan dan penjiwaan. Ia tidak boleh dibuka atau ditutup atau di off kan atau di on kan ikut sesuka hati kita. Ia adalah keadaan dan sifat hati itu sendiri.
Kalau ada rasa khusyuk maka khusyuklah dia. Kalau tidak ada maka dia tidak akan dapat khusyuk.
Allah ada berfirman: Di mana sahaja kamu berada, di situ ada Tuhan. Ini membawa maksud bahawa di mana sahaja kita berada dan pada setiap masa dan ketika, kita perlu rasa bertuhan. Iaitu merasa Tuhan sentiasa melihat, sentiasa mendengar, sentiasa mengetahui tentang hal lahir dan batin dan sebagainya.

Dalam erti kata yang lain, kita sentiasa disuruh rasa bertuhan lebih-lebih lagilah di dalam sembahyang. Malahan di dalam sembahyang, rasa bertuhan ini patutnya lebih subur, lebih hidup dan lebih tajam kerana dalam sembahyang itu ada disiplin, rukun-rukun dan syarat-syarat sah batalnya. Kalau kita belum khusyuk di luar atau sebelum sembahyang, dan hanya mampu membawa akal dan fikiran kita sahaja ke dalam sembahyang, paling tinggi kita hanya akan dapat menumpukan perhatian dalam sembahyang dan tidak lebih dari itu.

Kita tidak dapat rasa hebat dengan Tuhan, rasa Allah itu Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, Maha Pengampun, Maha Penyayang dan sebagainya. Jauh sekalilah dapat kita rasa berkasih sayang, bermanja-manja, meminta-minta, mengadu-ngadu, berbual-bual, berdailog atau mencurahkan segala rasa dan isi hati kita kepada Tuhan.

Sebenarnya perkara yang kita khusyukkan ialah apa sahaja yang mengisi dan memenuhi hati dan jiwa kita. Ertinya apa sahaja yang kita besar-besarkan, yang kita penting-pentingkan, yang kita utamakan, yang kita cemas-cemaskan, yang kita bimbang-bimbangkan, yang kita takut-takutkan dan sebagainya, itulah yang kita khusyukkan.

Kalau rumah, kereta atau perniagaanlah yang mengisi hati dan jiwa kita hingga itulah yang kita ambil berat lebih dari segala-gala yang lain, maka itulah dia perkara yang kita khusyukkan. Sudah barang tentu rumah, kereta atau perniagaan itulah yang akan kita bawa ke dalam sembahyang.

"Khusyuk bagi orang mukmin ialah jiwa tauhidnya yang sangat mendalam dan rasa bertuhan serta rasa kehambaan dalam jiwanya begitu kuat hingga ia memenuhi seluruh pelosok hati dan perasaannya. Rasa ini tidak lekang dan dibawanya ke mana-mana. Rasa cinta dan takutnya kepada Tuhan menguasi fikiran dan jiwanya. Dia khusyuk di luar sembahyang dan dia lebih-lebih lagi khusyuk di dalam sembahyang."

Bagi orang yang belum mukmin dan ringan ketauhidannya atau bagi orang yang hanya berfikiran tauhid dan belum berjiwa tauhid atau bagi orang yang alimbillah (tahu Tuhan), yang belum arifbillah (betul-betul kenal Tuhan), ibadah mereka selalunya tidak ada kualiti dan tidak sampai ke tahap khusyuk. Ibadah mereka belum ada kemanisan dan mereka rasa berat untuk beribadah. Mereka beribadah dalam terpaksa. Ini sungguh perit dan menyeksakan.

Sembahyang yang benar-benar khusyuk itu ialah sembahyang yang sentiasa mempunyai rasa-rasa yang berubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain sesuai dengan rukun dan bacaan dalam sembahyang dari mula takbiratul ihram hingga kepada salam. Untuk mencapai rasa-rasa ini, ia mesti terlebih dahulu diusahakan dalam keadaan biasa di luar sembahayng. Hanya di dalam sembahyang ia disubur, dihidup dan ditajamkan lagi supaya kita lebih dapat berinteraksi, berhubung hati dan berhubung rasa dengan Tuhan.

0 comments:

Post a Comment