Tuesday, April 28, 2009

Ayat Pertama Surah Al Fatihah - Bismillahirrahmaanirrahiim


baby
Dalam hidup kita, ada atau tidak, pada setiap hari seseorang yang memberitahu kita bahawa dia terlalu sayang dan terlalu pemurah kepada kita? Kita mungkin terfikirkan orang tersebut boleh jadi adalah ibu, suami atau isteri kita. Mereka kemudian memanggil kita duduk bersama, memberi sedikit sebanyak apa yang kita mahu dan perlu sehingga kita merasa yang mereka benar-benar sayang kepada kita.
Sebenarnya di dalam sembahyang, Allah, Tuhan Pencipta kita memanggil kita untuk ‘duduk-duduk’ denganNya dan Dia berkata kepada kita bahawa Dia adalah sangat Pemurah dan sangat Penyayang kepada kita. Ini adalah satu hadiah yang sangat istimewa. Ibu, suami atau isteri kita walau pun dia sayang tetapi dia tidak boleh katakan bahawa dia terlalu sayang dan terlalu kasihkan kita. Namun kita dapat merasa kasih sayangnya.
Tetapi Allah, Dia memanggil kita supaya datang kepada-Nya kerana terlalu sayang dan telah memberi apa sahaja untuk kita. Apa yang seharusnya kita rasa? Tentulah kita merasa seronok, bertuah, berbahagia.. Tuhan sayang kepada aku! Itulah perasaan, tindakbalas kita kepada Allah. Tuhan mahu kita merasai kasih sayang-Nya dan kasih sayang itu akan Dia balas lebih lagi.
Seperti sayang kita kepada ibu, maka kita sanggup memberi apa sahaja kepada ibu kita. Tetapi kenapa dengan Allah, kita tidak membalasnya? Kita tidak berusaha untuk membalasinya? Sebab itulah kita mesti kerap bertemu dengan-Nya (dalam sembahyang). Kalau kita mati tidak sempat membawa hati yang berperasaan terhadap Tuhan yakni hati yang tidak selamat maka tidak ada gunanya lagi, tiada nilainya kita dihantar ke dunia ini.. Sembahyang menuntut kita sangat berhubung dengan Allah, merasai apa perasaan yang Dia mahu dari kita dan cuba membalasinya. Dalam sembahyang itu Allah seolah-olah mengajak kita untuk berbual-bual.
Huraian Bismillahirrahmannirrahim dalam Al Fatihah
Al Fatihah dimulai dengan Bismillah… dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Daripada 99 nama-nama Allah dalam Asmaul Husna, Tuhan sangat menonjolkan sifat Rahman dan Rahim Nya. IstilahALLAH itu dikatakan Ismu Jalalah, nama Tuhan yang Maha Agung. Nama bagi satu Zat yang dikatakan Dia lah Tuhan, yang menciptakan langit dan bumi. Yang dimasyhurkan ialah dua sifat Nya iaitu Rahman dan Rahim Mengapa Tuhan tonjolkan dua sifat ini dan tidak yang lain? Kalau kita kaji setidak-tidaknya ada beberapa maksud atau faedahnya iaitu:
Kalau kita prihatin, memang dua sifat inilah yang tertonjol. Katalah As Syakur, ia tidak berapa nampak. Al Jabbar dan Al Qahhar boleh dilihat sekali sekala seperti gunung berapi meletus, dilanggar kereta, ada pemimpin yang jatuh. Sekali sekala nampak Al Kabir dan Al Kudrah Nya. Tetapi Rahman dan Rahim sangat tertonjol. Setiap detik tertonjol tetapi aneh kita tidak prihatin!.
AR RAHMAN - Yang Maha Pemurah
Orang yang lurus dan bersih hatinya, yang sangat sensitif, dia nampak sangat Rahmat Tuhan itu, seolah-olah macam salji yang turun.Yang terkesan ialah sifatnya yang sekali sekala berlaku. Berlaku gempa bumi di Iran, sebulan orang perbualkan padahal beberapa tahun sekali sahaja ia berlaku. Ajaib sekali. Bila ada orang mati dilanggar kereta, ia jadi bualan padahal bukan setiap detik ia berlaku.
Sepatutnya yang diperhatikan ialah Rahman dan Rahim Tuhan itu sebab ia bukan sahaja setiap detik berlaku bahkan setiap suku detik ia berlaku. Buktinya, ia berlaku dari kita bangun tidur sejak pagi. Sedar-sedar sahaja kita boleh bernafas.“Hidup lagi aku. Sayangnya Tuhan dengan aku. Dengan nafas itulah aku boleh hidup.”Kita hidup itu adalah dari kurnia Rahman dan Rahim Tuhan.
Bila kita pergi bilik air, itu Rahman dan Rahim Tuhan. “Boleh melangkah lagi aku. Tuhan sayang lagi dengan aku.”
Masuk bilik air, ada air lagi untuk mandi. Kita rasa segar. Tenaga kita yang tidak aktif semalaman itu , bila dapat air, terasa segar. Padahal waktu sakit itu dahsyat. Kena air, ¾ sakit hilang. Itulah kasih sayang Tuhan. Baru sampai bilik air sahaja, berapa ribu Rahman dan Rahim Tuhan. Mandi, bernafas dalam bilik air. Lepas itu kita boleh sembahyang dengan Rahman dan Rahim Tuhan juga. Seterusnya kita keluar pergi kerja dengan nafas yang turun naik, itu juga Rahman dan Rahim Tuhan yang berlaku setiap detik.
Kita melangkah kaki, memijak di bumi Tuhan.Kalaulah Tuhan jerluskan, bukankah dahsyat. Boleh berpijak dengan baik di bumi Tuhan. Boleh pula melihat-lihat ciptaan Allah, “Rupanya mata aku tidak buta. Ini Rahman dan Rahim Tuhan.” Dengan Rahman dan Rahim Tuhan itu, kita seperti di lambak-lambak dengan nikmat Tuhan,Kalau dia bukan seorang pemimpin manusia, perasaan yang dirasa untuk dirinya sahaja maka dia akan mabuk (sakr) dengan Tuhan. Itulah istilah-istilah yang dipakai.Dia seperti orang gila kerana tidak tahan dengan Rahmat dan nikmat yang bukan sahaja matanya dapat lihat bahkan hatinya juga melihat. Kalau Rasulullah SAW itu bukan pemimpin, mungkin dia sudah mabuk. Kalau sudah mabuk, sudah tidak boleh memimpin orang ramai.
Tetapi biasanya pemimpin-pemimpin itu Tuhan kawal perasaannya supaya tidak sampai mabuk. Setakat hatinya sahaja yang mabuk.Sebab itu kalau kita lihat ahli sufi yang bukan memimpin, ramai yang aneh-aneh. Kita hendak ikut dia pun, dia tidak suka sebab dia perhubungannya dengan Tuhan terganggu kerana kita.
Sebab itu Sayidina Ali RA dan Sayidina Umar RA , ketika bertemu Uwais Al Qarni, Uwais Al Qarni tidak mahu bercakap panjang dengan mereka. Tentulah Sayidina Umar dan Sayidina Ali lebih tinggi pangkat dan darjat dari Uwais Al Qarni yang hanya afdhol tabiin iaitu tabiin yang paling utama. Orang yang ada hubungan hati dengan Tuhan, dia tidak seronok untuk berhubung dengan manusia jika dia bukan pemimpin manusia. Uwais hanya menjaga kambing orang ramai. Dia adalah ulama berwatak nabi yang hanya jaga dirinya. Sebab itu dia mabuk dengan Allah. Biasanya orang kalau berjumpa Sayidina Umar dan Sayidina Ali, mereka hendak berlama-lama kerana mereka rasa itulah ibadah mereka. Melihat muka mereka pun terasa terhubung hati kita dengan Tuhan. Tetapi orang macam Uwais Al Qarni yang sentiasa terhubung dengan Tuhan, dia jadi semacam mabuk bersendirian.
Jadi itu hikmah yang pertama mengapa Allah menonjolkan diriNya dengan dua sifat ini. Kalau orang yang prihatin dalam kehidupannya, mata, akal dan rohnya prihatin, memang sifat Rahman dan Rahim Tuhan ini kelihatan yang sangat menonjol. Sifat Rahman dan Rahim Tuhan yang mencurah-curah itu ibarat seorang yang berada di padang pasir kemudian didatangkan salji yang tidak berhenti-henti. Munasabahlah dua sifat ini tertonjol. Tetapi pelik, begitu sekali pun tertonjol dalam kehidupan manusia, bahkan Tuhan ingatkan selalu dengan disebut Rahman dan Rahim itu melalui Bismillahi rahmanir rahim, namun kita buat tidak tahu dan kita tidak merasakan…
Padahal saya telah sebut tadi, mulai bangun tidur, di bilik air, di hadapan pintu rumah, belum jauh pun kita melangkah, kita merasa begitu banyak nikmat Tuhan. Jadi munasabahlah Tuhan menyuruh kita menyebut nama ini pada setiap perbuatan yang baik. Memang sifat inilah yang paling tertonjol . Tetapi sifat yang tertonjol ini tidak diperhatikan manusia. Menunjukkan hati kita sudah terlalu lalai. Kalau orang bukan Islam, kita tidak hairanlah. Hati yang lalai ini dimiliki orang yang masih solat, puasa dan sudah naik haji. Seolah-olahnya Rahman dan Rahim Tuhan itu kebetulan sahaja.
Contohnya kita ada seorang kawan yang kaya yang pemurah. Dia mengaajak kita bersiar-siar sekali sekala, memberi kita pakaian, hadiah untuk dibawa balik kepada anak. Dua bulan kemudian , kita jumpa dia lagi. Dia ajak kita makan dan ajak kita round-round lagi dengan keretanya.Ia berlaku sekadar sebulan sekali atau dua bulan sekali. Itupun kita mula bercakap, “Baiknya orang itu, pemurah dan berkasih sayang.”
Tapi aneh anak kita atau kita sebagai anak yang setiap hari duduk dengan ibu, diberi buku sekolah, diberi pakaian, sekali sekala dibawa keluar, kita tidak pernah rasa ibu ayah begitu sayangkan kita berbanding kawan kita yang bebuat sekali sekala. Kita boleh terikat hati dengan orang luar padahal sekali sekala sahaja orang itu berbuat baik pada kita
Ini samalah dengan apa yang orang buat pada Tuhan. Tuhan Pemurah dengan mereka, setiap detik dan setiap saat tetapi tidak pernah pula disebut. Setiap detik Tuhan memberi kasih sayang tetapi kita tidak pernah terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan. Kalau mengikut akal, tidak logik ia berlaku. Kalau dibahaskan logik atau tidak logiknya, tentulah kita akan lebih sayang dengan orang yang hari-hari belanja kita bukan yang belanja sebulan sekali. Tetapi yang tidak logik itulah berlaku. Begitulah kita buat pada Tuhan. Sekalipun kita sembahyang, puasa, wirid, zikir tetapi tidak nampak nikmat, rahmat dan kebaikan Tuhan.
Enam bulan sekali, bila sakit gigi, kita berkata, “Apalah Tuhan ni!!”. Yang sekali itu yang diingat. Waktu sihat itu kita lupa. Termasuklah kita yang berjuang, solat, puasa dan naik haji tetapi tidak teringatkan rahmat dan nikmat Tuhan. Itu menunjukkan hendak hidupkan hati susah sekali padahal kita dimandikan dengan Rahman dan Rahim Tuhan setiap hari. Tuhan menyuruh kita membaca Bismillah kerana Dia hendak mengisytiharkan dua sifat ini yang menonjol. Sifat yang lain hanya berlaku sekali sekala untuk kesedaran, untuk insafkan manusia.
Supaya berkat setiap kebaikan yang kita buat sama ada yang bersifat maddi atau maknawi, rohaniah, jangan lupa baca Bismillah. Supaya lahir cinta terhadap Tuhan. Apa rahsianya? Kita cinta atau tidak cinta Tuhan, itu tidak jadi masalah bagi Tuhan. Keagungan Tuhan tetap. Ia tidak berubah sama ada kita cinta atau bencikan Nya. Tuhan seolah-olah mengajar kita apabila kita baca Bismillah, kita tersedar atau tersentak yang mana waktu itu kita akan prihatin dengan banyaknya nikmat Tuhan. Supaya kita cintakan Tuhan. Agar kita jatuh hati dengan Tuhan. Faedahnya bukan untuk Tuhan.
Kalau orang cintakan Tuhan automatik dia akan cinta sesama manusia. Untungnya sesama manusia. Bila cinta sesama manusia, tiada pergaduhan, ada tolak ansur, bekerjasama, bermaaf-maafan, tiada hasad dengki, tidak ada peperangan.
Keuntungan, faedah dan manfaatnya untuk manusia, bukan untuk Tuhan. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Dalam Rahman dan Rahim Tuhan itu, bila kita kaji hikmahnya, dalamnya itu ada Rahman dan Rahim. Hikmahnya itu juga adalah Rahman dan Rahim Tuhan. Dalam Rahman ada Rahman. Dalam Rahim ada Rahim. Dalam kasih ada kasih. Dalam cinta ada cinta. Dalam kebaikan ada kebaikan. Kalau yang di luar pun kita tidak sedar, yang mata boleh melihat pun tidak perasan, betapalah yang tersirat.
Ada orang pemurah dengan kita, kita puji tetapi Tuhan setiap detik beri kita rahmat, tidak pernah kita puji atau promosikan Nya. Tidak rasa bersalah dengan Tuhan, tidak terfikir bagaimana hendak membalas nikmat Tuhan. Khusyuk atau tidak kita dalam solat sebagai kesyukuran kepada Tuhan? Sebab itu Tuhan menyuruh kita membaca Bismillah. Besar peranannya yakni hendak menyedarkan manusia bahawa Tuhan itu berkasih sayang. Agar dengan itu manusia mencintai Tuhan.Hasil cinta Tuhan, akan cinta sesama manusia.Akan berlakulah keamanan, keselamatan dan kebahagiaan.
Selama ini kita belajar Bismillah,”Kalau hendak buat sesuatu perkara, baca Bismillah ya. Jangan tidak ikut sunnah ya.” Setakat itu sahaja. Tidak perasan mengapa besarnya Rahman dan Rahim Tuhan itu. Tidak terasa besarnya Tuhan, tidak terasa peranan Nya besar. Tidak nampak hikmahnya besar. Tidak nampak besarnya rahmat dan nikmat Tuhan. Tidak nampak patutnya kita cinta Tuhan supaya cinta kita sesama manusia.

0 comments:

Post a Comment